Friday, July 18, 2008

Ujian Pakatan, Aina dan Harakah 2x seminggu

Kancah politik membara, bahang terasa di mana-mana. Tempoh 24 jam terasa amat lama, apa sahaja boleh bertukar. Justeru, aktivisnya perlu tangkas dan bingkas mendepani cabaran. "Sukar dijangka siapa akhirnya menang perang taktikal ini," kata seorang pensyarah sains politik merujuk "pertelingkahan terbuka Anwar-Najib".
"

Soalnya, yang berperang bukan sahaja mereka berdua, tetapi kehormatan orang Melayu. Dunia melihat gaya orang Melayu berpolitik. Ramai warga tempatan sendiri sudah muak dengan keghairahan menelanjangkan aib seteru masing-masing," ujarnya

Politik tidak harus mewajarkan segalanya. Fitnah tidak boleh ditangani dengan fitnah juga. Adab harus dipelihara, maruah usah digadai, prinsip bukan barang dagangan. Dakwaan liwat dan zina tidak harus dipermainkan.

Memang tidak mudah menahan emosi untuk menyanggah serangan tidak beretika. Namun kewarasan hanya teruji tika kita berdepan perang propaganda menggila ini. Apa pun, jangan rendahkan mentaliti rakyat. Mereka sedang membuat penghakiman kedua selepas merakam sejarah dalam pilihan raya 8 Mac lalu.

Manakala Umno dan parti komponen BN lain dilanda perpecahan dalaman yang serius, keutuhan Pakatan Rakyat yang masih belum diikat secara formal wajar diperkukuhkan. Pastinya ada badai melanda, taufan menerpa, namun sikap hormat-menghormati, bertolak-ansur dan tidak memandang rendah peranan masing-masing adalah ramuan awal untuk Pakatan menunjukkan teladan dan budaya politik baru yang lebih luhur sifatnya.

II.

Aina Mardiah Shahrial, 17, anak sulung tahanan ISA Shahrial Sirin meninggal dunia dalam keadaan tragik. Puteri pintar ini tiba-tiba terjatuh di ruang tamu rumah sempitnya di Sg Serai, Hulu Langat, jam 1.30 tengah hari, 2 Julai lalu, dan terus koma.

Ibunya, Fatma Masrum - yang sudah 7 tahun bertindak sebagai ketua keluarga selepas Shahrial dikurung tanpa bicara - hanya mampu menatap dan memeluk Aina yang terbujur kaku apabila doktor memaklumkan kakak kepada empat adik beradik itu mempunyai peluang yang sangat tipis ...

Fatma terus Fatma terus menghubungi polis Cawangan Khas (SB) Bukit Aman, mohon disegerakan 'pelepasan sementara' suaminya, agar dapat menemaninya di saat-saat akhir hidup Aina. Semua dokumen difakskan petang hari kejadian. Masa berjalan cukup pantas, namun pihak polis bergerak begitu lembab.

Apabila polis Kajang menemuinya di hospital esok pagi, Fatma dijanjikan Shahrial sudah bersiap untuk pulang. Untuk mengubati resah, Fatma menghubungi sendiri suaminya. Beliau amat terkejut apabila diberitahu Shahrial masih dalam kawasan Kemta. Mungkin untuk memujuk hatinya, sekali lagi Fatma dijanjikan suaminya akan segera berlepas jam 1 tengah hari. Penantian cukup menyeksakan.

"Tempoh tiga jam ini cukup kritikal untuk Aina," kata Norlaila Othman, bisik seorang lagi isteri tahanan. Saya mencongak, jika Shahrial berlepas jam 1 petang, mungkin jam 5.30 beliau tiba di Kajang. Rupanya kemanusiaan sudah hilang. SB mungkin tidak mahu si ayah dapat menjenguk anaknya ketika wad penuh dengan pengunjung.

Jam 6.10 petang, Aina pergi buat selamanya. Ayahnya baru suku perjalanan. Shahrial tiba tiga setengah jam kemudian. Namun ayah yang pasrah tetapi tenang dengan senyuman itu berjaya menahan sebak. Matanya merah. Pertama kali selepas 7 tahun beliau menjejaki kawasan rumahnya.

Namun, Aina sudah tiada. ISA dan penguasa, sama-sama menyempurnakan kezaliman.


III.

Tarikh 15 Ogos dipilih untuk kami melancarkan penerbitan Harakah dua kali seminggu, edisi Isnin dan Jumaat. Fungsinya sebagai akhbar akan dipulihkan. Tidak mudah memenuhi impian pembaca. Suasana sudah berbeza berbanding era 1998-99 yang mencetuskan fenomena tidak terduga buat Harakah. Waktu itu begitu ramai pencandu Harakah, kini kami mengharapkan sokongan sama.

Ya, tanggungjawab ini pasti berat dan perit, tapi saya yakin ada misteri kenikmatan bersamanya.
Baca Seterusnya......