Saturday, August 30, 2008

Galasan bebanan Anwar makin berat

Sejak awal tiada siapa berani meramalkan BN boleh merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh, apatah lagi berdepan Anwar Ibrahim, tokoh karismatik dan menjadi kebanggaan penduduk setempat.

Tumpuan hanya kepada sejauh mana majoriti kemenangan Dr Wan Azizah Ismail pada Mac 2008 (13,398 undi) dapat dikurangkan; itu sudah dianggap satu kejayaan.

Jalan pemulihan Umno sebenarnya belum tertutup mati. BN masih berpeluang mencari strategi terbaik, namun ia seperti tidak mahu belajar daripada sejarah.

Bukan perlu mengggali pengalaman lama zaman purba atau pramerdeka, hanya iktibar daripada pilihan raya ke-12, beberapa bulan lalu. BN mensesiakannya. Seperti terlalu sukar buatnya menimba pengajaran daripada kekalahan. Pemimpinnya tetap angkuh mendongak ke langit. Justeru, ia terus tersilap membaca realiti.

Umno lebih suka menyalahkan parti-parti komponen BN lainnya. Kehilangan teraju kuasa di Kedah, Perak dan Selangor tidak mampu menginsafkannya.

Lalu ditunjukkan bahawa kerusi yang kalah bukannya milik Umno tetapi hak MCA, Gerakan atau MCA. Mereka mendakwa, pengundi Melayu masih menyokong Umno.

Buktinya, kata mereka, jumlah kerusi Dun di kawasan Melayu di Selangor dan Perak, yang dikuasai Umno, melebihi kerusi PAS atau KeADILan yang diwakili Adun Melayu.

Dari sisi lain, jentera kempennya yang terbukti gagal pada Mac 2008 masih beroperasi cara lama. Isu-isu sensasi yang tiada kaitan dengan kehidupan rakyat diperbesarkan, manakala keperitan menanggung bebanan seharian diremehkan, dan paling menonjol, media yang ditungganginya terus memperbodoh-bodohkan minda pengundi.

Serangan dihamburkan semahunya bagai mahu melepaskan geram, sedangkan yang harus diutamakan ialah usaha memujuk rakyat dengan pendekatan berhemah.

Peliknya, itulah juga yang dilakukan dalam pertempuran di kubu kuat Anwar. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dihujani pelbagai kecaman, kata-nista, serta dilonggok fitnah paling hina, dan ia diulang-ulang melalui media utama sehingga meninggalkan kesan berbeza, yakni menikam balik Umno-BN.

Pengaruh media baru seperti internet kepada warga Permatang Pauh mungkin tidak sekuat Lembah Klang, namun media di bawah kawalan mutlak Umno, yang beroperasi secara "tunggang-langgang" menyebabkan rakyat "semakin meluat dan jijik" dengan pemerintah.

Anda tidak perlu turun padang meninjau perjalanan kempen. Cukup dengan membuka lembaran akhbar dan menatap siaran berita TV. Aneh ya, mengapa Umno-BN harus terus mengulangi "cerita lama keganasan" sehingga memaksa jurufoto "yang dibelasah" tinggal begitu lama di hospital?

Begitu juga dengan adu-domba tentang perselisihan PAS-KeADILan, dan "permainan lapuk" menimbulkan sentimen kevbencian orang Melayu terhadap DAP. Hatta rakaman sumpah laknat Saiful Bukhari makin membuatkan Anwar mendapat simpati. Serba tidak menjadi kempen BN!

Akhirnya keputusan menunjukkan dua daripada tiga pengundi di Permatang Pauh menyokong Anwar. Majoriti yang diperolehi Anwar (15,671 undi) adalah lebih besar daripada jumlah undi Arif Shah (15,524) sendiri.

Kekhuatiran awal bahawa pengundi Melayu mula sangsi dengan keperibadian Anwar, ekoran sumpah Saiful, bagai tertolak terus. Ia lebih kepada bagaimana isu itu dibentangkan kepada khalayak, dengan rekod lama pertuduhan 1998 yang belum dapat dilupai.

Banyak pihak mahu momentum kemenangan ini membawa Pakatan Rakyat ke mercu kuasa dan merintis laluan mudah Anwar ke Putrajaya. Impian itu pastinya tidak mudah digapai.
Ranjau dan duri menanti Anwar, selain kes dakwaan liwat yang boleh menjerutnya bila-bila masa. Galasan bebanan di belakang Anwar makin memberat.

Kemenangan besar ini tentu menggusarkan Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak, tetapi ia juga menuntut kebijaksanaan Anwar bersama pimpinan Pakatan menempuh cabaran baru yang menjadi perhatian istimewa masyarakat. Usah persiakan harapan rakyat. - mks._

Baca Seterusnya......

Friday, August 22, 2008

Sukarnya meramal

Terbukti, dalam politik tempoh seminggu memang sudah terlalu lama. Pada hari saya berangkat menunaikan umrah baru-baru ini, Dato' Seri Anwar Ibrahim diperintah hadir ke mahkamah atas tuduhan liwat.

Kemudiannya berlaku kekecohan ekoran forum Majlis Peguam. Rakan saya, Abu Bakar Haq, pengendali blog sensasi, penarikbeca, ditahan polis. Saya juga tidak sempat hadir ke Ipoh mengikuti muktamar PAS ke-54, selain hanya mampu mendoakan penerbitan sulung Harakah dua kali seminggu berjalan lancar, tanpa "membidani kelahirannya".

Hari penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh sekadar diikuti melalui laporan media.

"Begitu pantas politik Malaysia berubah. Tak berbaloi nak tulis buku politik popular, siap dicetak, isu lain pula mencelah," kata seorang teman sambil bertanya mengapa saya begitu lama tidak menerbitkan buku.

"Tahu pun jawapannya ...," pintas saya, walhal itu hanya daleh. Politik yang dinamik sepatutnya lebih mendorong untuk karya-karya baru beredar di pasaran. Namun, pastinya degup jantung rakyat berdetak pantas menempuh rentak kehidupan yang lebih keras.

Kenaikan kos hidup tetap menyesakkan walaupun media tidak menghebohkannya lagi. Apa pun arus perubahan yang ditunjukkan melalui tsunami politik 8 Mac lalu belum reda, malah melihat jumlah kehadiran di Ipoh dan rempuhan di Permatang Pauh, ia seperti mahu menuju kemuncaknya.

Beberapa insiden "keganasan" penyokong Pakatan Rakyat cuba dimanipulasi, tetapi saya kira impaknya cukup minimum bagi mencalarkan imej KeADILan, apatah lagi calonnya, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Malah mungkin menikam belakang BN. Jentera propaganda Umno-BN sepatutnya mengambil iktibar di atas kegagalan mengulangi kaedah kuno yang memperbodohkan minda rakyat.
"Kalau benar sekalipun, orang sudah tak percaya, itulah bahananya bila kerap sangat berdusta," kata seorang veteran politik. Bagaimanapun, perubahan politik harus disambut dengan ketangkasan dan juga kewaspadaan. Kita harus bijaksana membaca "pergerakan senyap" yang kadang-kadang tidak dizahirkan.

Rakyat sebenarnya terus berkata-kata biarpun "di permukaan" nampak tenang. Malang sekali jika aktivis politik tidak dapat membaca atau memahami riak dan mesej yang cuba dihantar rakyat. Kesukaran menelah atau meramal perubahan politik Malaysia diakui banyak pihak.

Tukang nujum politik memang "susah cari makan" di sini. Tinjauan pendapat, malah kegiatan cula undi dari rumah ke rumah pun mengelirukan.

Justeru, banyak pihak terpedaya dengan data-data yang diperolehi, yang kemudiannya membuatkan rumusan menjadi tunggang-langgang. Dalam suasana begitu, Harakah dibenarkan terbit semula dua kali seminggu.

Memang fungsinya sebagai akhbar - juga lidah rasmi parti - dapat dipulihkan semula, tetapi cabaran besar siap menunggu kami. Keterbukaan ruang debat awam menuntut kesungguhan dan kreativiti tinggi, apa lagi di waktu pembaca lebih kritikal dan memilih hanya yang terbaik.

Dalam pada itu, banyak pihak mempertikai syarat KDN yang terus mengehadkan jualan Harakah "Untuk Ahli PAS Sahaja".

Permatang Pauh memang mempunyai keunikan tersendiri, sejak dulu lagi. Pengaruhnya terhadap lanskap politik tanah air cukup besar. Harakah cuba mengatur gerak menyumbang khidmat, sekurang-kurangnya agar rakyat mendapat maklumat seimbang.
Dalam suasana media baru, seperti laman web, blog dan juga sms menawarkan pilihan, media cetak seumpama Harakah, harus meningkatkan upaya.

Ya, meskipun penampilan agak berbeza, namun komitmen kami tetap sama, bagi menyegarkan dunia kewartawanan dengan kebenaran dan kejujuran. Agar dengan itu Harakah kekal relevan dalam arus perubahan politik yang makin sukar dijangka ini

Baca Seterusnya......