Sunday, November 30, 2008

Menanti keazaman politik Anwar di Melawati

Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) akan menganjurkan kongres tahunannya, hujung minggu ini, di Stadium Tertutup Melawati, Shah Alam. Ia dilihat perhimpunan terbesar dan paling meriah selepas parti yang diterajui Anwar Ibrahim itu mencapai kejayaan gemilang dalam pilihan raya umum ke-12, Mac lalu.

Kegagalan membentuk kerajaan persekutuan pada 16 September tentunya tidak menghalang kongres berkenaan mendapat perhatian istimewa pemerhati politik, tempatan dan antarabangsa, sebaliknya mengundang rasa ingin tahu yang mendalam untuk mendekati sosok tubuh parti penuh potensi ini. Bagaimanapun Anwar diharap menghuraikan punca Pakatan gagal mengambil alih kuasa, terutama mengapa tarikh 16 September itu dipilih sebagai target.

Walaupun Pakatan Rakyat belum dapat dibentuk secara formal dan ikatan tiga parti komponennya agak longgar, namun pengaruh KeADILan - terutama dengan kehadiran nyata Anwar - dalam memperkukuhkan kewibawaan saingan terdekat BN itu, sekali gus menyemai pembentukan sistem dua parti, dilihat cukup besar sekali. Majoriti rakyat pula jelas menggantung harapan besar agar perubahan menyeluruh dapat dilakukan apabila Pakatan berkuasa di peringkat persekutuan nanti.

Amaran keras Mahathir

Sebarang masalah yang mengganggu keupayaan KeADILan untuk berkembang akan membantutkan pertumbuhan Pakatan Rakyat. Manakala kelancarannya menghadapi pelbagai mehnah boleh mempercepatkan lagi proses peralihan kuasa yang sebenarnya, dalam pilihan raya ke-13 nanti, seperti selalu diperingatkan Dr Mahathir Mohamad kepada pemimpin Umno.
Terbaru, 25 November lalu, bekas Perdana Menteri itu sering memberi amaran keras: "Hari ini bukan Presiden Umno sahaja yang dianggap tidak layak, tetapi seluruh kepimpinan Umno tidak disukai dan tidak dianggap layak memimpin negara kerana pencalonan mereka adalah hasil sogokan (rasuah). Memilih mereka bermakna memilih perasuah untuk mendirikan Kerajaan. Masyarakat yang mana yang mahu terima Kerajaan perasuah? Ramalan saya ialah Umno akan kalah teruk pada pilihan raya umum ke-13. Mendapat sokongan daripada parti (melalui rasuah) tidak akan menjamin kemenangan dalam pilihan raya umum."

Sebagai parti muda dan masih "mentah usianya", dimulai dengan penubuhan Parti Keadilan Nasional, hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya 1999, yang berazam membudayakan "politik baru", merentasi batas kaum dan agama, KeADILan boleh dianggap telah mencapai satu tahap pencapaian yang agak luar biasa.
Bukan mudah untuk sebuah parti baru, yang didorong penubuhannya oleh satu peristiwa di luar jangka pemecatan Anwar pada September 1998 (kerap dihujahkan bahawa parti berasaskan "kepentingan" tokoh tertentu tidak bertahan lama), bukan sekadar berjaya melepasi ujian tiga kali pilihan raya umum, malah ketuanya dianggap lebih berkelayakan menerajui kerajaan berbanding perdana menteri sedia ada.

Limpahan sokongan tidak terduga terhadapnya, sehingga meningkat 30 kali ganda pada 2008 berbanding penguasaan hanya satu kerusi Parlimen pada 2004, ekoran kegagalan Abdullah Ahmad Badawi menunaikan janji manis beliau, wajar dimanfaatkan sebaiknya agar KeADILan kelihatan lebih dekat, jujur dan mesra dengan rakyat, tanpa melupakan kewajipan untuk memperkasakan organisasi parti. Lebih manis apabila Anwar sendiri menang besar dalam pilihan raya kecil 26 Ogos 2008, dengan majoriti 15,672 undi berbanding majoriti yang diperolehi sebelumnnya oleh Dr Wan Azizah wan Ismail, 13,388. Anwar kemudiannya dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Ramai mengharapkan persidangan tahunan ini, di sebuah negeri terkaya di Malaysia, yang kini diterajui KeADILan bersama PAS dan DAP, mampu merangsang semangat dan komitmen ahli serta kepimpinannya bagi meletakkan parti berkenaan pada landasan yang kukuh, menuju tepat sasaran yang digariskan, dalam tempoh munasabah. Sebagai parti yang menampung begitu banyak kepelbagaian, KeADILan terpaksa mengharungi cabaran besar, antaranya, menipiskan sentimen perkauman yang rupanya tidak pernah reda walaupun selepas lebih 50 tahun negara merdeka.

Selangor perlu menunjuk jalan

Pengalaman lapan bulan mentadbir Selangor sudah cukup untuk melakukan bedah-siasat awal bagi merongkai kekusutan jika ada, apatah lagi pelbagai "aksi dan reaksi menarik" ditonjolkan di negeri itu, seperti digembar-gemburkan media. Selangor sebenarnya mampu menjadi negara contoh kepada negeri-negeri lain dan bukti keupayaan Pakatan merealisasikan segala janji dalam manfestonya, terutama dalam aspek negara berkebajikan.

Retreat Pakatan Rakyat di sebuah hotel di Ampang, yang diadakan sebanyak dua kali, pada 19 dan 25 November lalu, adalah inisiatif yang perlu dilanjutkan, khususnya bagi melakukan usaha penambahbaikan terhadap pemerintahan lima negeri dan keberkesanan pembangkang di Parlimen, selain mengeratkan kerjasama dan persefahaman ketiga-tiga parti pada setiap tahap kepimpinan. Sebarang konflik berbangkit wajar diatasi segera. Media di bawah kawalan Umno-BN sememangnya diketahui berperanan sebagai tukang adu-domba dan berusaha mengelirukan penyokong ketiga-tiga parti jika timbul isu-isu dalaman yang sensasi. Jangan perkecilkan keupayaan media berkenaan walaupun mereka gagal berperanan dalam kempen pilihan raya lalu.

Sejak awal penubuhannya, KeADILan dari satu sudut, dianggap parti yang kurang mendapat dokongan akar umbi, tidak sepertimana PAS dan Umno, yang terzahir melalui gerak kerja massa di peringkat bahagian dan cawangan. Ya, ia memang popular, namun bagai disokong dari jauh tetapi kekurangan penggeraknya. Malah, ada pihak mendakwa, walaupun selepas menang besar Mac lalu, proses perkaderan parti itu, bermula di peringkat bawahan, masih belum dapat diaktifkan dengan baik. Kepada pengkritik, ideologinya mungkin masih samar dan belum berakar, manakala disiplin sebahagian ahlinya boleh dipersoalkan.

Mungkin tanggapan seperti itu tidak benar, namun keraguan berkenaan perlu diperjelaskan, termasuk tuduhan bahawa KeADILan terlalu bergantung dengan ketokohan Anwar, sehingga sukar dibayangkan masa depannya tanpa bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Dalam tradisi politik Malaysia, parti perlu kuat dan berpengaruh, antaranya ditandai dengan rangkaian cawangan yang mantap dan sikap proaktif aktivis di setiap pelosok negara, di samping ketokohan pemimpin utama yang menyerlah, dan kesediaan untuk membumikan agenda reformasi.

Medan paling sesuai berdebat

Kongres hujung minggu ini adalah gelanggang paling sesuai untuk perwakilan berbahas dan berdebat, termasuk menimbulkan hal-hal agak sensitif (yang selama ini mungkin disapu ke bawah karpet) tetapi mendesak untuk diselesaikan, asalkan ia boleh memperkukuhkan parti menjalin kerjasama lebih erat sesama Pakatan.

Seorang profesor sains politik menekankan agar Anwar memperincikan perkara-perkara berkaitan konsep multi-racial yang ingin diketengahkan Pakatan Rakyat: "Ia termasuklah bagaimana KeADILan merangka hala tuju bagi membina Malaysia baru serta menguatkan hubungan sesama rakan dalam Pakatan. Bahkan mereka perlu turut berperanan bagi membangunkan kebajikan ahli KeADILan serta sumbangan yang telah diberikan khususnya terhadap negeri yang diterajui parti itu."

Walau apapun, apa yang penting ujar profesor berkenaan, KeADILan perlu fokus untuk mengurus selia tugas dan tanggungjawab yang diberikan buat masa ini agar ia tidak menjadi sia-sia. "Fokus pada tanggungjawab mentadbir Selangor sebagai negeri yang kaya dengan sumber pendapatan kerana kita bimbang mereka akan jadi seperti yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran," katanya. KeADILan, tambahnya, perlu mencari dan membentuk formula pembentukan sebuah kerajaan yang baik selepas meneliti kelemahan kerajaan Umno-BN yang memerintah negara ini sejak 51 tahun lalu.

KeADILan lahir dalam realiti berbeza, seiring kelantangan tuntutan reformasi yang belum tertunai, tegak dengan citra sebagai parti inklusif. Justeru, elemen "politik baru" seperti keterbukaan dan ketelusan harus dibiarkan membiak subur, apatah lagi generasi muda amat mengharapkan pembaharuan dapat dilaksanakan dalam parti terlebih dahulu.

Rumusan dua pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Muhammad Nadzri Mohamed Noor dan Ghazali Mayudin, dalam kertas kerja mereka, Pilihan Raya Umum ke-12: Gelombang Politik Baru Kedua, Pendemokrasian dan Perubahan Fundamental? wajar diberi perhatian oleh semua aktivis Pakatan:
"Dengan menguasai lima negeri, Pakatan Rakyat berada dalam kedudukan untuk membuktikan parti pelbagai ideologi dan pemimpin berbilang etnik boleh bekerjasama untuk menjalankan pemerintahan dengan baik. Kejayaan atau kegagalan itu boleh menjadi faktor yang penting sama ada "gelombang politik baru kedua" ini berhenti buat sementara waktu untuk menantikan "gelombang parti baru ketiga" pada masa depan atau gelombang ini akan terus melanda seluruh negara sehingga menenggelamkan "politik lama" yang berasaskan sentimen etnik dan agama." _
Baca Seterusnya......

Saturday, November 29, 2008

Berani Mahathir sahkan Mukhriz tidak rasuah?

Politik wang, "istilah sopan" untuk gejala rasuah dalam pemilihan Umno diakui sudah mencapai tahap paling parah, namun bagi majoriti rakyat Malaysia ia tidak lebih sekadar satu isu basi yang hanya hangat dibincangkan setiap tiga atau empat tahun sekali. Walaupun didedahkan, misalnya hanya untuk menjadi ketua bahagian sahaja ada calon yang menghabiskan puluhan juta ringgit, masyarakat umum tidak lagi terkejut dengan "perangai jelik orang Umno itu".

Malah, ramai yang senyum sinis (menahan muak) mendengar pelbagai penegasan pimpinan tertinggi Umno bagi memerangi politik wang yang sudah mendarah-daging seluruh tubuh parti berkenaan. Terbaru, bakal Presiden Umno, Najib Razak dari Lima, Peru mengakui usaha menangani rasuah dalam Umno tidak mudah dan memakan masa panjang untuk mengatasinya.

"Saya percaya ada beberapa langkah tambahan yang boleh kita lakukan untuk membanteras politik wang dalam politik," tambah Najib selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Apex, 24 Nov lalu. Soalan yang pasti menyusul: Apakah Najib ada kredibiliti untuk bercakap soal korupsi atau salahguna kuasa?

Sewaktu media riuh-rendah dengan lakonan tidak menjadi pemuka-pemuka Umno mengganyang politik wang, para perwakilan, sama ada untuk persidangan penuh, Pemuda, wanita, hatta Puteri, sudah mengira berapa banyak habuan yang bakal diraih. Ada yang membekalkan nombor akaun bank supaya mudah urusan "transaksi" nanti.
Penggiat jentera kempen pula siap menghitung bajet, dengan segala kos operasi, bagi menghadapi "pusingan kedua' yang lebih mendebarkan, selepas "kuda" mereka dapat melepasi kuota pencalonan yang ditetapkan. Ramai petugas sepenuh masa telah dikenal pasti untuk menggerakkan kempen.

Apabila semakin ramai calon yang dapat bertanding, atau membuka ruang membatalkan persetujuan awal peralihan kuasa - seperti dalam kes pertandingan ketua wanita - maka peluang perwakilan untuk mengutip laba kian terbuka.

Harus diingat, mereka yang terpilih sebagai perwakilan bahagian ke persidangan agung pun sudah "banyak melabur" sebelum mendapat status istimewa G7 (selain pemegang utama jawatan di peringkat bahagian yang terpilih secara automatik) yang bakal menjadi buruan calon-calon, menjelang pemilihan Mac 2009.

Ya, bayangkan saja, selepas lebih 20 tahun (percubaan Anwar Ibrahim menentang Ghafar Baba pada November 1993 berakhir dengan kemenangan percuma selepas penyandang, Ghafar hanya mendapat tujuh pencalonan) jawatan timbalan presiden Umno bakal direbut tiga calon yang "tebal poketnya", Muhyiddin Yassin, Mohd Ali Rustam dan Muhammad Muhd Taib.

Hampir semua perwakilan Umno "merindui" kehangatan kempen untuk jawatan berprestij itu, yang "datangnya tidak selalu, mungkin ini kali pertama dan terakhir semasa menjadi perwakilan".

Bagi Pemuda, persaingan antara Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Dr Mohd Khir Toyo pastinya menelan belanja yang cukup tinggi. Malah, saya kira, ia mungkin membabitkan wang paling banyak dalam sejarah pemilihan sayap kanan Umno itu. Jawatan ketua pemuda merupakan posisi strategik untuk mana-mana pemimpin Umno melangkah lebih jauh, di samping dapat membentuk rangkaian pengaruh lebih mantap, seperti pernah ditunjukkan Anwar dan Najib.

Walaupun Dr Mahathir Mohamad adalah tokoh paling lantang mengecam budaya jijik sogokan membeli undi dalam pemilihan Umno, beliau sendiri tentu sukar untuk memberi jaminan bahawa anaknya langsung tidak terbabit dengan gejala buruk itu.

"Saya tak pasti, antara Mukhriz dan Khairy, siapa yang kurang membelanjakan wang dalam kempen nanti," kata seorang aktivis Pemuda Umno, yang mendakwa ketiga-tiga calon ketua pemuda itu sudah terjerumus dalam gaung rasuah. "Masakan Mukhriz mampu mendapat pencalonan paling tinggi ketika Khir Toyo dan Khairy dikatakan mengumpan perwakilan bahagian-bahagian dengan rasuah?" tambahnya.

Rasuah sememangnya jenayah paling sukar dibanteras kerana pelakunya payah untuk dibuktikan. Jarang orang yang menerima rasuah mahu ke hadapan menjadi saksi kerana mereka sudah menerima "nikmat" daripada jenayah itu.

Seolah-olah, dalam jenayah ini, berbeza dengan jenayah bunuh, curi, rompak atau rogol, tiada sesiapa yang terlibat dengannya menjadi mangsa. Perasuah mendapat manfaat dengan undi yang diperolehinya, manakala perwakilan yang menerima rasuah, "seronok-suka" dengan habuan yang diterimanya, walaupun masing-masing menyedari maksud sabda Nabi: "Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan dalam api neraka."

Lebih malang, seperti pernah diungkapkan oleh Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS, kalangan pemimpin politik yang "dilihat menghayati agama pun terlibat dengan rasuah, walaupun mereka begitu menjaga amal ibadat lain, termasuk ibadat sunat".


Sebenarnya, mangsa daripada petaka buruk akibat berleluasanya rasuah dalam pemilihan Umno terlalu ramai. Justeru, seluruh rakyat yang menjadi mangsa aktiviti tidak berakhlak itu perlu bangun menunjukkan bantahan dan protes secara terbuka.


Ia bukan kegiatan eksklusif dalam Umno yang tidak memberi kesan kepada rakyat, seperti didakwa Syed Hamid Albar ketika pemimpin PAS Johor membuat laporan polis terhadap amalan rasuah membabitkan pemilihan Umno Kota Tinggi yang dipimpinnya.


Rakyat yang sedia menderita akibat tekanan kenaikan kos sara hidup terus menanggung keperitan dihimpit jenayah rasuah pemimpin Umno. Dari mana sumber calon-calon yang menghabiskan jutaan ringgit untuk merebut jawatan dalam umno itu, kalau bukan khazanah kekayaan negara, yang sepatutnya diagihkan secara adil dan merata buat rakyat?


Kos projek pembangunan meningkat berkali ganda, demi memenuhkan kantung penguasa dan deretan kroni mereka, yang kemudiannya "dilaburkan" kembali demi mengekalkan jawatan dan kedudukan.


Saya pernah mendedahkan di Harakah, begitu banyak projek yang terpaksa dinaikkan kosnya, hanya untuk mengagihkan "keuntungan atas angin" kepada pelbagai lapis "kontraktor', yang sebahagian besarnya adalah pemimpin Umno peringkat bahagian.
Masih saya ingat, ada projek menaikkan taraf sekolah, membabitkan kos RM200,000 setiap satu, untuk ratusan sekolah di seluruh negara, yang dibuat menjelang pilihan raya umum. Kontraktor hanya dibayar RM70,000 (35 peratus), manakala wang selebihnya RM130,000 dibahagi-bahagikan kepada "hantu-hantu politik". Angka 65 peratus untuk rasuah daripada kos projek itu adalah terlalu besar untuk ditampung oleh wang rakyat!
Itu secebis contoh kecil. Usah dikira projek berbilion ringgit yang dianugerahkan secara rundingan terus, dengan persen tertentu ditetapkan kepada Umno, dan diserahkan secara tunai di Putrajaya!


Hairan juga, Mahathir tidak pernah bersuara tentang gejala rasuah untuk membeli undi dalam setiap kali pilihan raya umum, bagi memenangkan BN sekali gus mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiganya, yang menghanguskan wang rakyat dalam jumlah yang cukup besar dan menggerunkan! Korupsi itu bukan hanya membabitkan wang yang banyak, tetapi juga salahguna kuasa "kerajaan sementara" dan penyelewengan-penipuan SPR yang tiada taranya.


Apa pun, saya mendoakan agar peringatan Mahathir di bawah ini akan menjadi kenyataan, apabila rakyat, dalam pilihan raya akan datang, bersatu hati menolak parti dan calon pilihan raya yang rasuah: "Sesungguhnya kesan daripada tingkah laku calon-calon untuk jawatan dalam Umno dan juga ahli-ahli Umno yang tamak dan begitu bersedia untuk disogok sudah menjadikan Umno sebuah pertubuhan yang dipandang hina dan dibenci oleh rakyat samada Melayu, Cina atau India.


"Dengan mengetahui Umno terdiri dan dipimpin oleh perasuah, dengan anggapan bahawa siapa sahaja yang menjadi calon Umno dalam pilihan raya umum ke-13 akan terdiri daripada orang yang telah dicalonkan kerana rasuah, dipilih oleh pemimpin perasuah dari parti yang secara terbuka mengamal rasuah, apakah pengundi akan rela beri undi mereka kepada calon-calon Umno? Saya fikir tidak." _

Baca Seterusnya......

Tuesday, November 25, 2008

Sebelum Pakatan Rakyat dihinggapi penyakit sang penguasa

Pada masa lalu pemilihan Umno dilihat lebih hebat debarannya berbanding pilihan raya umum. Di luar Kelantan, mana-mana calon yang menang dalam pemilihan Umno dan kemudiannya dipilih sebagai calon BN dalam pilihan raya umum selalunya tidak menghadapi saingan sengit daripada pembangkang.


Justeru, terpampanglah pelbagai karenah negatif calon-calon yang bertanding dalam pemilihan Umno, bermula di peringkat cawangan, bahagian, apatah lagi majlis tertinggi parti. Selain budaya politik wang yang telah lama membusuk, bermacam-macam strategi diatur menentang "rakan sendiri". Pengurus kempen ligat memilih taktik dan tipu-helah.

Jawatan dalam Umno dikira tiket mengaut kekayaan dan meraih kemasyhuran memeluk kekuasaan yang begitu diidamkan. Pegawai tinggi kerajaan pun terpaksa tunduk dengan kemahuan "pemimpin kecil" Umno. Tidak hairanlah, dalam keghairahan merebut posisi penting dalam parti berkenaan, segala teknik digunakan. Bomoh-bomoh turut menjadi tumpuan.

Sehingga tercetusnya tuntutan reformasi pada 1998, politik Malaysia "tidak serupa dahulu lagi". Misalnya, menang sebagai ketua bahagian Umno tidak lagi menjamin kemenangan dalam pilihan raya umum. Wilayah kekuatan pembangkang sudah beralih daripada kawasan tradisi di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. PAS menang beberapa kerusi di Perak, Selangor dan Pahang. Kehadirannya di Pulau Pinang juga terasa. Marah benar orang Melayu dengan Umno!

Sidang Dun di negeri-negeri berkenaan menjadi rancak. Menteri Besar Umno yang dahulunya cukup selesa kini mula gelabah bila diusik. Salah guna kuasa, rasuah dan pelbagai penyelewengan dibongkar. Rakyat dapat melihat fungsi "semak dan imbang" oleh pembangkang (Barisan Alternatif ketika itu) bagi memastikan kepentingan umum terjaga.

Pilihan raya 2004 mengubah keadaan. Umno nampak pulih sepenuhnya. PAS Kelantan pun hampir tersungkur. Fenomena Abdullah Ahmad Badawi memeranjatkan. Dan pemimpin Umno kembali kepada sifat asal. Mereka yang terkejut dengan prestasi 1999 mulai membangga diri dan memandang lekeh pembangkang. Abdullah juga mudah lupa diri, hanya pandai berjanji; alpa bahawa rakyat menyokongnya demi menagih perubahan dan mahu kualiti hidup ditingkatkan.

Rakyat memendam rasa dalam era 2004-2008. Mereka tidak mempersiakan peluang dalam pilihan raya Mac lalu. Pemimpin BN terkedu dengan hukuman tidak terduga itu. Pakatan Rakyat dibentuk. Laluan untuk sistem dua parti nampak terbuka. Memang benar politik Malaysia "tidak serupa dahulu lagi".

Zaman Umno boleh meletak calon "tunggul kayu" dan menang mudah dalam pilihan raya sudah berakhir. Negeri-negeri terkaya kini menjadi milik Pakatan.

Abdullah dilihat punca kekalahan besar itu. Dia dipaksa berundur secara mengaibkan, termasuk oleh kawan-kawan rapatnya sendiri. Pelan peralihan kuasa yang dirangkanya bersama Najib Razak ditolak mentah-mentah. Abdullah terpaksa akur, beliau mesti keluar secepat mungkin. Dikatakan, hanya dengan ketiadaannya Umno boleh dipulihkan. Najib mesti diberikan masa secukupnya untuk menjenamakan semula Umno.

Dilihat hebatnya Umno bercakaran semasa musim pemilihan ini - ketika ia dalam keadaan paling kritikal selepas lebih 60 tahun ditubuhkan - mungkin pemimpinnya merasakan tragedi 2008 mudah dirawat sepertimana kekalahan 1999 mudah ditebus.

Ingatan Dr Mahathir Mohamad bahawa rakyat semakin muak dengan gelagat pemimpin Umno bermain politik wang bagai tidak diendahkan, malah diperolokkan. Selepas lapan bulan, Umno masih serupa dulu, malah di Kedah, Selangor dan Perak yang mana ia hilang kuasa, pemimpinnya gagal bertindak sebagai pembangkang berkesan. Isu-isu yang dibangkitkan Umno tidak lebih daripada isu lapuk yang dikitar semula daripada kem pemikiran Biro Tata Negara (BTN).

Najib sebagai anak didik Mahathir memang mengheret bagasi sejarahnya yang cukup berat. Seribu satu kes menganggunya. Namun, pada hemat saya, keupayaan Najib tidak boleh diremehkan. Persepsi rakyat kadang-kadang sukar ditelah, apatah lagi jika pada masa sama, prestasi Pakatan di lima negeri gagal mencapai target.

Bagi sesetengah orang, Muhyiddin Yasin dan Dr Zahid Hamidi, jika menang pada Mac 2009, mungkin dapat membantu Umno menarik kembali sokongan. Wanita, Pemuda dan Puteri juga akan mempunyai ketua baru. Harapnya orang Melayu tidak mudah terkeliru dengan situasi "apa-apa saja yang baru".

Sama ada Umno-BN dapat mengembalikan sokongan terhadapnya bukan hanya ditentukan oleh keupayaan barisan kepimpinan baru yang diterajui Najib, tetapi lebih dipengaruhi kemampuan Pakatan Rakyat menunjukkan teladan unggul di negeri-negeri yang diperintahnya, selain mempamerkan peranan yang diharapkan rakyat di Parlimen dan mampu menyelesaikan masalah seharian mereka. Personaliti wakil rakyatnya harus sentiasa "peduli dan bersih".

Ciri-ciri "kerajaan menanti" wajar dipenuhi segera. Cabaran semasa, terutama berkaitan ekonomi, mesti ditangani secara yang cukup meyakinkan. Isu-isu sensitif tidak seharusnya dibiarkan "selesai dengan sendiri". Saya kerap menekankan agar jangan memandang mudah hal-hal yang boleh merangsang emosi dan sentimen perkauman walaupun kita berbangga elemen "politik baru" makin mendapat tempat. Majoriti pengundi Melayu di desa masih terkepung dengan tradisi lama yang dipupuk Umno itu.

jika Umno berbalah kerana tawaran hebat daripada jawatan dalam parti, tidak mustahil, kegawatan yang sama boleh berlaku dalam Pakatan sekiranya ramai melihat PAS, KeADILan dan DAP adalah lubuk kuasa yang menjanjikan segala habuan. Rakyat sentiasa memerhatikan perkembangan ini, terutama perubahan pada gaya hidup pemimpin. Mereka cukup sensitif dengan perubahan yang tidak perlu itu.

Janji Pakatan terlalu besar dan indah, malah lebih hebat berbanding umpan Abdullah ketika mula menerajui takhta dulu. Rakyat menolak Abdullah kerana janjinya, maka atas hujah sama, Pakatan juga boleh dihukum. Usah sesekali meremehkan keupayaan rakyat dalam membuat penilaian secara bijaksana tentang prestasi Pakatan, baik sebagai kerajaan di lima negeri ataupun pembangkang berkesan di Parlimen.

Usah berasa terlalu rendah untuk mengambil iktibar daripada kejatuhan BN, Mac lalu. Banyak pengajaran berguna daripada episod paling bersejarah itu._

Baca Seterusnya......

Kepentingan ideologi dalam usaha menjatuhkan sistem: Kes Iran

Pada dasarnya ideologi ialah satu sistem nilai atau kepercayaan politik yang dianggap oleh pendokong-pendokongnya sebagai satu sistem politik yang ideal untuk direalisasikan. Rasional-rasional yang terkandung di dalamnya dianggap oleh mereka dapat menerangkan keadaan masyarakat yang mereka hadapi dan dapat pula digunakan sebagai kerangka teori untuk merancang sistem alternatif bagi masyarakat tersebut.

Pegangan ideologi ini pula sebaliknya bertindak mencorak sikap politik mereka terhadap pelbagai institusi dan proses masyarakat. Menurut Syed Ahmad Hussein (1994), ideologi berhubung langsung dengan soal kuasa politik. Ia juga mengandungi dalih-dalih normatif untuk memperjuangkan sesuatu program perubahan atau reaksi kepada keadaan yang ada, ataupun dalih-dalih yang mempertahankan keesahan status quo.

Ideologi berbeza dengan falsafah. Ideologi menuntut tindakan dan bukan setakat menganalisis dan mengupas. Sebab itulah ideologi pernah ditakrifkan sebagai "sistem idea yang action-related". Ideologi juga mempertahankan sesuatu sistem nilai dan mempertikaikan sistem-sistem nilai lainnya.

Ia turut boleh berperanan mengerah sokongan untuk berpadu dalam menghadapi peperangan atau ancaman luar, di samping menjadi pendorong perpaduan rakyat, termasuk melalui pengerahan untuk menyertai rapat-rapat raksasa yang selalunya melibatkan pengluahan ketaatan kepada ideologi, negara dan pemerintah.

Di peringkat individu, ideologi memberikan identiti dan perasaan keanggotaan kepada individu dalam kumpulannya. Ia juga boleh dijadikan alat rasionalisasi peribadi yang dapat menolong seseorang individu itu membendung tekanan hidup dan mengawal keraguan dan konflik kejiwaan, selain memuaskan keinginan seseorang untuk menghubungkan dirinya dengan identiti yang lebih umum.

Pendek kata, ideologi boleh berperanan sebagai kuasa azimat yang luar biasa hebatnya, sehingga memungkinkan satu sejarah baru terbentuk, misalnya melalui beberapa revolusi yang terpahat dalam sejarah dunia.

Negara yang dipilih untuk menunjukkan kepentingan ideologi sebagai penggerak menjatuhkan sistem pemerintahan bobrok ialah Republik Islam Iran.

Revolusi Iran mempunyai kedudukan yang istimewa berbanding perubahan di negara lain apabila dinasti Pahlavi (diterajui Mohamad Reza Shah Pahlavi) yang mengamalkan kuku besi dapat ditumbangkan melalui dorongan kuat Islam sebagai satu ideologi pemerintahan dengan kepimpinan karismatik Ayatullah Khomeini.

Terlalu sukar untuk membayangkan suatu revolusi lain dalam sejarah di mana kepimpinannya mempunyai kuasa sehebat para pemimpin Revolusi Islam Iran.

Bagaimanapun gerak kerja yang didokong golongan agama itu, yang berjaya menumbangkan sepenuhnya sistem monarki pada 11 Februari 1979, sudah dimulakan lama sebelum itu, dan memakan korban yang cukup banyak.

Dan inilah juga persoalan menarik dalam perbincangan kita, bagaimana puluhan ribu rakyat jelata Iran dengan tangan kosong sedia turun bertempur di jalan-jalan raya di Tehran, sewaktu perintah berkurung dikuatkuasakan, sehingga akhirnya ketiga-tiga cawangan angkatan bersenjata Iran menyerah diri kepada kuasa rakyat.

ELEMEN PENTING GERAKAN PERUBAHAN

Dalam mana-mana gerakan perubahan sosial, apatah lagi ?bertaraf revolusi? seperti berlaku di Iran, tiga elemen penting harus ada:

1. Sistem sedia ada begitu korup dan bobrok, sehingga majoriti rakyat mudah diyakinkan bahawa ia perlu ditukar, berdasarkan fakta dan keterangan yang tidak mungkin dapat disembunyikan lagi.

2. Kehebatan ideologi atau sistem pemerintahan baru yang ditawarkan sebagai alternatif bagi menumbangkan sistem lama yang menekan dan menzalimi rakyat.
3. Kemunculan pemimpin karismatik.

KEBOBROKAN DINASTI SHAH IRAN

Menurut Masih Muhajeri (1984), rakyat Iran selama lebih satu abad telah berusaha untuk menubuhkan sebuah kerajaan Islam bagi membebaskan diri daripada satu sistem yang begitu mengongkong dan menghina mereka.

Katanya, motif utama di belakang Revolusi Islam Iran adalah kebangkitan semula Islam, penubuhan sebuah kerajaan Islam dan penguatkuasaan hukum-hukum Allah yang telah digariskan al-Quran.

Dinasti Pahlavi pula dianggap mengkhianati bangsanya sendiri apabila bertindak sebagai agen kolonialisme Amerika di Timur Tengah, sehingga kehidupan rakyat Iran telah jauh terpesong dari ajaran Islam. Shah Iran juga didakwa terlibat dalam pakatan jahat Amerika-Israel.

Budaya lucah (misalnya, kegiatan seks dilakukan di hadapan umum atas tajaan isteri Shah), amalan rasuah (keluarga dan rakan-rakan rapat Shah memperolehi komisyen melangit), eksploitasi kekayaan negara (hasil minyak diguna untuk golongan istana bermewah-mewah), usaha memusnahkan pengaruh golongan agama (malah membunuh ulamak terkemuka) dan kezaliman polis perisik Savak (yang dilatih agen perisik Israel, Mossad dan CIA) meningkatkan lagi rasa marah rakyat terhadap pemerintah.

Rakyat yang kebanyakannya hidup dalam kemiskinan bertambah jelek melihat pembaziran Shah, misalnya untuk merayakan hari kemahkotaannya, berbilion rial dibazirkan (termasuk menghantar pesawat khas ke Belanda untuk membeli bunga dan membawa masuk wanita Paris dengan pesawat Concorde), selain pesta merangsang nafsu di istana dianjurkan dalam tempoh yang lama. Ramai kanak-kanak yang tidak berdosa mati berhampiran lokasi perayaan kerana tidak ada kemudahan perubatan, tidak cukup makan, malah dinafikan keperluan asas. Shah juga dituduh melindungi pengedar dadah kelas atasan.

Sebahagian besar hasil penjualan minyak digunakan untuk membeli senjata dari Amerika, Eropah dan Israel. Peruntukan besar buat penasihat tentera dari Amerika turut dibebankan kepada rakyat Iran. Iran juga dijadikan pangkalan tentera Amerika untuk menyerang Soviet. Dalam perang Arab-Israel tahun 1967 dan 1973, pesawat Israel menerima bahan bakar dan peralatan perang dari pangkalan udara Iran.

Walaupun institusi ketenteraan Iran berada dalam kekuatan yang hebat, namun ia sepenuhnya dikongkong Amerika, satu penghinaan yang tidak dapat diterima rakyat Iran dan anggota tenteranya sendiri. Ribuan agen Savak, yang dibayar gaji lumayan dan kemudahan istimewa, menangkap siapa saja yang disyaki menentang Shah. Memiliki buku dan gambar Khomeini merupakan satu kesalahan dan boleh dipenjarakan sehingga seumur hidup, malah ada yang dibunuh.

Ramai ulamak dan aktivis, termasuk mahasiswa, menjadi korban.
Savak yang melakukan pelbagai bentuk penyeksaan untuk memaksa para pejuang mendedahkan rahsia. Antaranya adalah merogol isteri, anak atau adik perempuan di hadapan aktivis berkenaan. Savak menyusup di kampus, kilang, pejabat, masjid, juga berkeliaran di jalan raya, sekolah, malah di kalangan golongan agama dan keluarga.
Dalam keadaan tertekan itulah rakyat Iran di bawah kepimpinan karismatik Khomeini bangun dan mengorbankan jiwa lebih daripada 60,000 syuhada dan 100,000 lagi menjadi cacat.

KEMURNIAN IDEOLOGI ISLAM

Seorang pengkaji yang begitu berminat dengan perkembangan Iran selepas revolusi, Kalim Siddiqui (1996) menegaskan, tidak ramai orang di luar Iran dan tidak juga ramai di dalam Iran yang memahami bahawa Revolusi Islam adalah berasal daripada revolusi intelektual dalam tradisi Syiah.

Pengaruh ulamak dan pusat-pusat keagamaan yang cukup besar dalam tradisi kehidupan masyarakat Syiah Iran juga memainkan peranan besar, khususnya selepas pintu ijtihad dibuka. (Sebelum itu, ulamak Syiah berpendirian tiada Negara Islam yang sah boleh didirikan sehingga datangnya Imam Mahdi).

Kesanggupan rakyat, biarpun yang tidak mendalami ilmu agama, untuk mati syahid dalam memperjuangkan kebenaran amat dikagumi. Kesedaran tentang politik Islam cepat tersebar, terutama pemahaman tentang konsep mustadhafiin dan mustakbirin, begitu juga slogan "Tidak Timur, Tidak Barat".

Imam Khomeini menekankan soal golongan yang menindas, seumpama Amerika Syarikat dan golongan yang tertindas, seperti rakyat Iran sendiri. Ia berupaya menyuntik kekuatan dalaman luar biasa terhadap pelbagai lapisan rakyat untuk berdada dengan muntahan peluru tentera yang mempertahankan Shah.

Malah, selepas kerajaan baru terbentuk, dan kemudiannya menghadapi pelbagai tentangan dari pihak luar, termasuk sehingga mencetuskan peperangan dengan Iraq (yang didokong Amerika), namun komitmen tinggi rakyatnya untuk mempertahankan revolusi tetap terserlah.

Semangat juang inilah juga yang mendorong penubuhan Jihad-e Sazindigi atau Jihad untuk Pembinaan Semula Kehidupan (Jihad). Sekumpulan siswazah muda yang bersemangat di kalangan jurutera, doctor, ahli sains menyertai Jihad untuk membangun prasarana terutama berkaitan perumahan dan pertanian di kawasan perkampungan, selama beberapa minggu, bagi membina keperluan asas dan memperkenalkan kaedah pertanian moden, tanpa sebarang perbelanjaan negara.

Apabila berlaku perang dengan Iraq, ramai anak-anak muda yang sedikit terlatih (dikenali sebagai Baseej atau kerahan) menawarkan diri untuk berjuang bersama-sama tentera mahir, dan mereka menunjukkan keberanian yang menimbulkan ketakutan di hati tentera Iraq yang asyik dengan majalah Playboy di katil-katil mereka, sehingga melenyapkan sebarang keinginan campur tangan oleh kuasa-kuasa besar dunia, Eropah dan juga negara Arab lainnya.

FAKTOR KEPIMPINAN KARISMATIK

Mengulas kejayaan revolusi Iran tidak akan bermakna tanpa merujuk faktor kepimpinan karismatik, bukan sahaja melibatkan peranan Imam Khomeini, tetapi juga tokoh-tokoh lain, yang turut melahirkan gagasan revolusioner, seperti Dr Ali Shariati, Ayatullah Taleqani dan Ayatullah Mutahhari.

Wan Idros Wan Sulaiman (1999) menekankan, pada asasnya teori kepimpinan karismatik yang unggul adalah daripada Robert J. House yang banyak menulis berkenaan karismatik yang dianggapnya sebagai gifted.

House menyarankan bahawa pemimpin karismatik mempunyai tingkatan-tingkatan kuasa rujukan yang amat tinggi dan sesetengah kuasa itu didapati daripada keperluan pemimpin berkenaan untuk mempengaruhi orang lain dan juga dari tingkat keyakinan diri, penguasaan yang amat tinggi dan kepercayaan teguh tentang kebenaran moral.

House juga menegaskan pemimpin karismatik bijak menyampaikan pandangan atau matlamat yang ingin dicapai sehingga mampu meraih komitmen dan tenaga pengikutnya. Mereka begitu berhati-hati mewujudkan satu imej kejayaan dan kecekapan serta menunjukkan contoh-contoh melalui perilaku mereka, mengenai nilai-nilai, norma dan kepercayaan yang mereka tegakkan.

Pemikiran Ayatullah Khomeini, lewat tulisan-tulisannya, menurut Amien Rais (1987), melihat Islam sebagai agama yang dinamis dan menjadi agama kaum pejuang yang mendambakan keadilan dan kebenaran, serta agama mereka yang ingin melakukan pembebasan dari setiap penindasan.

Beliau mengingatkan kaum Muslimin terhadap citra Islam yang diprojekkan oleh musuh-musuh Islam, sebagai agama ibadat dan tidak ada hubungan dengan masalah negara. Khomeini melihat imperialisme dan kolonialisme bukan hanya dari segi ketenteraan, politik dan ekonomi, tetapi juga dari segi pendidikan, keagamaan dan kebudayaan.

Di matanya, Amerika merupakan "Syaitan Besar". Beliau jelas memihak kepada kaum yang lemah atau mustadhafiin, dan menentang golongan mustakbirin atau penindas. Beliau diusir ke Turki, Iraq, kemudiannya Perancis, dan kembali ke Tehran pada 1 Februari 1979.

Ucapan Khomeini dari Najaf dan Paris telah dirakam untuk diedarkan ke seluruh Iran, mendorong rakyat keluar ke jalan-jalan raya berdepan hujan peluru. Pembunuhan berlaku hampir setiap hari, namun kasih sayang rakyat kepada Khomeini bertambah subur.

Walaupun terpisah jauh dalam tempoh 16 tahun, ikatan yang kukuh tetap wujud. Shah terpaksa melarikan diri pada 16 Januari 1979 ke Kaherah, ekoran kebangkitan rakyat yang tidak dapat disekat lagi. Rakyat dari seluruh pelosok negara memberi sambutan bersejarah kepada Khomeini di lapangan terbang Mehrabad.

Di makam para syuhada, Behesht-e Zahra, beliau menyampaikan ucapan paling penting dengan mengisytiharkan kabinet tidak sah dan mengumumkan beliau sendiri akan menubuhkan kerajaan. Sebagai usaha terakhir, Perdana Menteri Bakhtiar, pada 10 Februari 1979 mengisytiharkan perintah berkurung 24 jam untuk membolehkan penggelidahan ke atas kediaman Khomeini.

Namun rakyat bangun membentuk tembok untuk melindungi pemimpin revolusi itu. Selepas bertempur selama 24 jam di jalan-jalan raya, angkatan tentera, yang dimulakan oleh pasukan udara, berpaling tadah dan memberikan sokongan kepada Khomeini. Maka tercapailah kemenangan revolusi Islam menggantikan pemerintahan kuku besi.

Arkitek kedua revolusi ialah Dr Ali Shariati, lulusan sosiologi, lahir pada 1933 dan meninggal pada usia muda, 44 tahun, kemungkinan diracun agen Savak, di London. Shariati menganjurkan diterapkan pendekatan Nabi s.a.w. untuk melakukan perubahan sosial dan transformasi kejiwaan masyarakat.

Beliau mengajarkan bahawa bentuk sesuatu adat dapat dipelihara, tetapi isi atau maknanya harus diubah. Contoh yang diberikan Shariati adalah bagaimana Nabi melestarikan ritual haji yang mula-mula penuh dengan penyembahan berhala, kemudian berubah total menjadi penyembahan kepada Allah berdasarkan Tauhid.

Pemahaman Shariati tentang Islam terasa sangat revolusioner apabila membaca karya-karyanya. Misalnya pengertian intizhar dalam tradisi Syiah, yang sering difahami sebagai menunggu datangnya imam yang ghaib, diberikan tafsiran yang cukup kreatif oleh Shariati. Menurutnya, intizhar bererti menunggu secara aktif kedatangan kebenaran yang harus diperjuangkan.

Dihubungkan dengan konteks masyarakat Iran di zaman Shah, gagasan-gagasan Shariati benar-benar dapat menggerakkan masyarakat, terutama golongan terpelajar di kampus, sehingga kuliahnya di Universiti Masyad dan pusat keagamaan Husayniya-e Irsyad dihadiri ribuan angkatan muda, seterusnya menumbuhkan bibit-bibit revolusi Islam.


Shariati juga berani mengkritik ulamak-ulamak yang menafsirkan ilmu-ilmu Islam menjadi ilmu fiqh yang sempit. Sebaliknya, karya-karya Shariati banyak mengemukakan suatu konsepsi Islam yang baru, penuh bersemangat dan memberikan inspirasi, khususnya membangkitkan kembali kerinduan untuk mati syahid. Beliau mempopularkan istilah rausyanfikr, iaitu cendekiawan yang terlibat dalam gerakan sosial masyarakat dan berpandangan luas.

Sesungguhnya Shariati benar-benar memahami semangat orang muda, malah berhasil memberikan satu ideologi kepada mereka, yang dapat memenuhi keinginan mereka untuk tetap taat kepada keyakinan agama, mahupun dorongan untuk mencetuskan revolusi.

Keistimewaan Shariati terletak dalam kemampuannya meleburkan pelbagai bentuk idealisme sosial, ekonomi dan kebudayaan yang kelihatannya saling bertentangan, menjadi satu ideologi yang padu, dan dengan demikian memberikan satu tujuan bersama bagi segala jenis orang Iran yang aktif berpolitik.

Shariati diakui seorang pemikir hebat di zamannya, yang mendorong satu perubahan luar biasa berlaku di Iran, dengan pemimpin di medan tempurnya adalah Khomeini.
Selain faktor Khomeini dan Shariati, pemikiran Islam revolusioner di Iran juga berhubung erat dengan Ayatullah Taleqani dan Ayatullah Mutahhari.

Taleqani yang lahir pada 1911 dan syahid pada 1979, sejak muda bersahabat baik dengan Taqi Shariati, ayah Dr Ali Shariati, selain berhubungan dengan Khomeini. Beliau keluar-masuk penjara, manakala rumahnya menjadi pusat golongan intelektual progresif yang sering berdiskusi dengannya mengenai perubahan sosial dalam konteks masyarakat Iran.

Taleqani cukup arif dengan ilmu falsafah, Yunani mahupun Barat, selain mempunyai wawasan mengkagumkan tentang ekonimi Islam, namun beliau mengabdikan seluruh kehidupannya untuk menentang regim zalim Shah Iran. Beliau banyak mengkritik golongan ulama dan intelektual yang bersikap opurtunis.


Mutahhari, juga syahid pada 1979, merupakan profesor di Fakulti Teologi Universiti Tehran. Beliau bukan sahaja pemikir revolusi tetapi juga penggerak revolusi dan salah seorang dari pemimpin utamanya. Sesuatu yang unik dalam proses revolusi Iran apabila ia menggabungkan begitu ramai pemikir dan pemimpin berwibawa, menurut bidang masing-masing, seperti Mehdi Bazargan, Abul Hassan Bani Sadr (walaupun kemudiannya 'menyeleweng'), Ali Rajaie, Javad Bahonar, Montazari, Behesti, Rafsanjani dan Ali Khameini.


Justeru, meskipun puluhan pimpinannya terkorban syahid selepas Khomeini berkuasa, ekoran komplot mematahkan revolusi, namun Iran terbukti tidak ketandusan pemimpin, di samping rakyatnya terus memberi sokongan padu biarpun negara itu diasak dari segenap penjuru.


KESIMPULAN


Kajian mendalam terhadap perjuangan rakyat Iran menentang pemerintahan monarki kuku besi Shah akan menghasilkan penemuan cukup menarik, khususnya kesediaan mereka untuk sanggup mati demi menegakkan kebenaran Islam, di bawah kepimpinan karismatik Khomeini yang didokong tradisi intelektual yang tinggi.


Kejatuhan regim zalim dinasti Pahlavi sebenarnya tidak memudahkan usaha pembentukan sebuah kerajaan baru kerana kuasa-kuasa besar dunia, dengan memperalatkan musuh-musuh dalaman, termasuk individu-individu yang cukup rapat dengan Khomeini, tidak henti-henti melakukan usaha sabotaj. Antaranya adalah perang Iran-Iraq yang dipaksakan, begitu juga sekatan ekonomi yang memeritkan, selain memencilkan kejayaan revolusi di kalangan umat Islam atas daleh perbezaan mazhab.


Komitmen rakyat Iran begitu tinggi bagi mempertahankan revolusi agung itu, sebahagiannya didorong oleh kesucian dan kemurnian akidah perjuangan, atau apa yang disebut ideologi, dalam konteks perbincangan kita. Kesederhanaan Khomeini yang terus menjalani kehidupan serba sederhana, walaupun selepas berkuasa, juga merupakan faktor pemersatu rakyat Iran untuk terus memajukan negara yang dibina di atas keringat, air mata dan darah syuhada itu.

RUJUKAN

Amien Rais. 1987. Cakrawala Islam: antara cita dan fakta. Bandung: Penerbit Mizan
Ghazali Mayudin (pnyt). 1999. Teori sains politik pilihan: aplikasinya dalam konteks Malaysia. Bangi: Jabatan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia.

John L. Esposito (pnyt). 1986. Identitas Islam pada perubahan sosial-politik. Jakarta: Bulan Bintang

Kalim Siddiqui. 1996. Stages of Islamic revolution. London: The Open Press.
Masih Muhajeri. 1984. Dimensi revolusi Islam. Kuala Lumpur: Islamic Media & Communications.

Syed Ahmad Hussein. 2006. Pengantar sains politik. Kuala Lumpur & Pulau Pinang: Dewan Bahasa dan Pustaka & Pusat Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia. _

Baca Seterusnya......

Thursday, November 20, 2008

Isu kenapa hakim dipecat: Biar sejarah bercerita!

Kes pemecatan Tun Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara dan dua lagi bekas Hakim Mahkamah Agung, Wan Sulaiman Pawanteh dan George Edward Seah Kim Seng, 20 tahun lalu, adalah babak paling hitam dalam sejarah badan kehakiman negara kita. Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bertanggungjawab sepenuhnya dalam tragedi yang begitu memalukan itu.

Sehebat mana pun sumbangan Mahathir kepada negara, tindakannya memecat tiga hakim kanan itu, dengan alasan yang direka-reka, melalui persidangan dua tribunal khas yang penuh ketempangan itu, "sukar untuk dimaafkan". Ia tidak boleh "diampun" hanya dengan bayaran ex-gratia atau pencen, biar berapa banyak jumlahnya. Malah, usaha memulihkan kewibawaan badan kehakiman kini amat sukar dilakukan, antara lain, disebabkan rekod buruk itu.

Tun Salleh dipecat pada 8 Ogos 1988, manakala Wan Sulaiman dan George Seah pada 7 Oktober. Saya bersetuju dengan dakwaan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Abdul Aziz, pada 6 November lalu, "bercakap tidak benar dan melakukan pembohongan besar" di Parlimen apabila menyatakan tiga bekas hakim itu bukan dipecat tetapi diberhentikan awal.

Sudah terang lagi bersuluh. Tun Salleh dipecat bagi menyelamatkan kerjaya politik Mahathir sebagai Presiden Umno, yang ketika itu dalam keadaan cukup kritikal, ekoran kemenangan tipisnya menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah, dengan hanya majoriti 43 undi, pada pemilihan 24 April 1987, dipersoal di mahkamah.

Seramai 11 penyokong Ku Li mengemukakan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di bawah Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, di mana hanya terdapat seorang hakim, Harun Hashim. Mereka membawa bukti terdapat perwakilan haram yang mengundi, dan ini boleh menyebabkan pertandingan itu tidak sah dan terbatal. Isu itu sebenarnya sudah dirujuk kepada Setiausaha Agung Umno, Sanusi Junid sebelum pemilihan tetapi ia tidak dilayan. Jadi tidak tepat dakwaan mengatakan bahawa penyokong Ku Li membawa kes itu ke mahkamah kerana kalah dalam pemilihan. Mereka sudah membuat aduan sebelum pertandingan dijalankan.

Yang peliknya, Mahathir mengarahkan peguamnya, Sri Ram, membuat perakuan di mahkamah bahawa Umno memang mempunyai cawangan-cawangan yang ditubuhkan tanpa kelulusan Pendaftar Pertubuhan, yakni cawangan haram. Dengan itu Harun Hashim tidak mempunyai pilihan lain kerana tertakkluk kepada tuntutan Seksyen 12(1) dan Seksyen 12(3) Akta Pertubuhan. Lalu, pada 4 Februari 1988, Umno - seperti yang dikehendaki Mahathir - diisytiharkan pertubuhan haram.

(Seksyen 12(1) Akta Pertubuhan berbunyi: "Tidak ada sesebuah pertubuhan pun yang berdaftar boleh menubuhan sesebuah cawangan tanpa terlebih dahulu memperolehi kelulusan daripada Pendaftar." Manakala Seksyen 12(3) berbunyi: "Apabila sesebuah pertubuhan berdaftar menubuhkan sebuah cawangan tanpa terlebih dahulu memperolehi kelulusan daripada Pendaftar, mala pertubuhan yang berdaftar tersebut akan dianggap sebagai pertubuhan haram.")

Berpura-puralah Mahathir mengecam Hakim Harun Hashim seolah-olah beliau begitu terkejut dan amat tidak bersetuju dengan penghakiman itu. Buat seketika dunia diperbodohkan seolah-olah mahkamah membuat keputusan yang tidak menyebelahi Mahathir, walhal itulah yang dikehendakinya. Motif Mahathir untuk mengharamkan Umno lebih jelas apabila beliau sebagai Menteri Dalam Negeri tidak menggunakan kuasanya seperti diperuntukkan Seksyen 70, yang menegaskan menteri boleh atas budi bicaranya dengan bertulis membuat pengecualian ke atas mana-mana pertubuhan dari mematuhi mana-mana satu atau semua peruntukan dalam Akta Pertubuhan.

Mahathir mahu membentuk satu parti baru, yang namanya seakan-akan sama dengan Umno, kalaupun tidak serupa, dengan keahlian dan aset parti lama (melalui pindaan Akta Pertubuhan, Mac 1988), tapi serentak dengan itu dapat memastikan seteru politiknya, seperti Ku Li dan pengikutnya, dikeluarkan secara automatik.

Pada 8 Februari 1988, Mahathir mendaftarkan parti baru, Umno 88. Pada masa sama, satu lagi parti baru, Umno Malaysia didaftarkan bagi pihak Ku Li. Pihak Pendaftar Pertubuhan kemudiannya menolak permohonan kedua-dua pihak, atas alasan pengharaman Umno pada masa itu belum digazetkan lagi. Beberapa hari kemudiannya Umno Baru didaftarkan dengan nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Baru) ataupun Umno.

Bulan berikutnya Akta Pertubuhan dipinda bagi menjayakan strategi Mahathit seterusnya. Diperuntukkan bahawa satu pertubuhan baru yang kebanyakan ahlinya daripada satu pertubuhan yang telah diharamkan boleh mengambil alih harta, wang dan juga tanggungan pertubuhan yang telah diharamkan itu.

Kumpulan 11 tidak berpuas hati dengan keputusan Harun Hashim dan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung. Mahathir arif benar, majoriti hakim-hakim Mahkamah Agung ketika itu tidak dapat dipengaruhinya. Keputusan yang amat ditakuti Mahathir adalah Umno akan dihidupkan semula, cuma pemilihannya sebagai Presiden Umno dibatalkan. Walaupun peruntukan akta memang menjelaskan Umno ketika itu boleh diharamkan tetapi hakim dikatakan boleh membuat keputusan lain memandangkan pesalah (Mahathir) mendapat manfaat besar daripada kesalahannya sendiri.

Logiknya, seseorang pesalah tidak boleh mendapat keuntungan atau manfaat daripada kesalahan yang sengaja dilakukannya, malah dia sepatutnya dihukum. Pihak yang sengaja membiarkan ada cawangan haram adalah pihak Mahathir sendiri, dan mereka juga yang membuat perakuan bagi "memaksa" hakim mengharamkan Umno.

Apabila Umno diharamkan, terbukti bahawa yang mendapat keuntungan besar adalah pihak yang menyebabkan Umno itu diharamkan. Justeru, hakim tidak boleh membuat keputusan mengharamkan Umno kerana ia hanya menguntungkan pihak Mahathir. Dengan itu, keputusan perbicaraan yang memihak Mahathir itu harus dibatalkan kerana ia bercanggah dengan prinsip "keadilan semulajadi".

Mahathir sedar, dengan popularitinya berada pada tahap paling rendah dan taktik kotornya didedahkan, jika ada pertandingan semula besar kemungkinan besar Ku Li boleh mengecewakannya. Walaupun ramai pesalah terpaksa menunggu keputusan "hidup atau mati" di depan hakim, Mahathir tidak sanggup menanti takdir.

Tun Salleh telah mengarahkan sembilan hakim (melibatkan sidang hakim paling ramai pernah dicatatkan) mendengar perbicaraan bersejarah itu. Implikasi arahan ini amat disedari Mahathir. Tujuh hakim Mahkamah Agung wakjtu itu diketahui umum sedia membuat keputusan yang tidak selari dengan kehendak pemerintah (Mahathir) jika itu yang dituntut keadilan.

Pilihan Mahathir terbatas. Tun Salleh mesti disingkirkan dengan apa jua cara. Tetapi masalah belum selesai dengan pemecatan Tun Sallah. Sembilan hakim yang majoritinya sukar "dikawal" itu tetap boleh mendengar rayuan tadi. Bukan saja Tun Salleh mesti dipecat, arahannya juga mesti "tidak boleh dilaksanakan".

Kebetulan waktu itu Syed Agil Barakbah bersara dari Mahkamah Agung dan mewujudkan satu kekosongan. Mahathir segera mengeksploitasi keadaan itu dengan menaikkan pangkat Harun Hashim daripada Hakim Mahkamah Tinggi menjadi Hakim Mahkamah Agung.

Sekali lagi dunia tertipu apabila dicanang kenaikan pangkat Harun Hashim itu menandakan mahkamah Malaysia begitu bebas. Masakan tidak, seorang hakim yang mengharamkan Umno pun boleh dinaikkan pangkat. Walhal Mahathir melantiknya bagi menggagalkan arahan Tun Salleh supaya sembilan hakim mendengar rayuan Umno 11.

Sebagai hakim yang mendengar kes itu di Mahkamah Tinggi, Harun Hashim tentu hilang kelayakan mendengar rayuan kes sama. Tinggal lapan yang layak, sedangkan hanya tujuh (angka ganjil) yang dikehendaki. Arahan Tun Salleh tidak boleh dilaksanakan lagi. Dengan itu, penggantinya, Abdul Hamid Omar (yang menjadi pengerusi tribunal memecat Tun Salleh) boleh merombak komposisi hakim yang difikirnya sesuai untuk mendengar rayuan berkenaan.

Selain itu, dengan membariskan Harun Hashim bersama hakim-hakim Mahkamah Agung, Mahathir telah meletakkan Harun Hashim dalam kedudukan lebih nutral. Sebagai Hakim Mahkamah Agung, Harun Hashim tidak boleh membuat keputusan bersendirian, seperti ketika berada di Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, Mahkamah Tinggi, melainkan bersama-sama, sekurang-kurangnya dua orang hakim yang lain.

Maka terselamatlah Mahathir, dan bertambah kecewalah Ku Li ... hingga kini. Namun yang lebih buruk, sehingga 20 tahun kemudian, wibawa kehakiman yang musnah teruk itu begitu sukar dipulihkan semula. Kes pita video Linggam membuktikannya. Negara semakin ketandusan hakim-hakim yang boleh dihormati ekoran tindakan Mahathir dua dekad lalu. _

Baca Seterusnya......

Wednesday, November 12, 2008

Catatan kematian II

Ramai juga yang agak terkejut dengan tulisan saya minggu lalu mengenai kematian. Ada kawan-kawan yang khuatir, menyangka mungkin penyakit saya di tahap kritikal. Mereka maklum tentang kondisi tubuh saya yang sering lemah sejak lama.

Saya mengaku sedang bercuti panjang tetapi artikel itu hanya peringatan untuk diri, dan juga pembaca, lagi pun ini bukan kali pertama saya mengimbau tentang panggilan maut. Pemergian secara tiba-tiba anak perempuan saya, Nurul Syafiqah, ketika berusia 11 tahun, 1 Ramadan tiga tahun lalu, pernah saya rakamkan, dan ia mendapat reaksi meluas.

Akur saat pemisah semakin dekat

Tidak mudah mengajak orang berfikir dan merenung tentang hakikat mati yang pasti tiba itu. Semua akur bahawa saat pemisah itu tidak akan mungkir. Setiap detik berlalu bermakna kita makin dekat menghampirinya. Setiap majlis hari lahir yang disambut bermakna kian singkatlah baki umur. Hakikatnya, usia kita semakin berkurang, bukan bertambah.

Kehidupan sebenarnya semakin bermakna dan dihargai jika mati sering diingati. Lalu, silaplah tanggapan teman saya yang menelah artikel saya itu bernada kecewa dan pesimistik.

Kita juga tidak perlu diberitahu bila ajal bakal menjemput - misalnya dua bulan lagi, seperti mungkin pernah dialami individu yang kita kenal - sebelum kita dapat melihat kehidupan ini dari sudut pandang berbeza. Pesalah yang menunggu jerutan tali gantung mungkin mempunyai tempoh hayat lebih lama berbanding kita - saya atau anda!


Tertarik saya dengan ulasan seorang blogger terhadap buku Memaknai Kematian, karya Jalaluddin Rakhmat: " ... kebanyakan (buku tentang mati) dengan cara penyampaian yang "menyeramkan" dan "mengancam". Selalu terasa, kematian adalah sesuatu yang menakutkan. Mulai dari prosesnya sampai setelahnya. Alam kubur begitu seram kita bayangkan dengan serangkaian siksanya. Namun tidak dengan buku ini. Ia memberikan cara lain dalam penyampaian tentang apa itu kematian sekali gus menyajikan perspektif lain dalam memandang kematian.

"Dalam buku ini kematian diibaratkan dengan kamar mandi. Tempat menyucikan diri dari kotoran yang melekat pada tubuh. Karena itu adalah tempat untuk membersihkan, buat apa kemudian kita takut?"

Diceritakan cucu Rasulullah yang kesembilan, ketika mengunjungi seorang yang sakit parah. Orang yang sakit itu takut luar biasa menghadapi kematian. Wajahnya resah gelisah, sama sekali tak tampak kedamaian. "Wahai hamba Allah, kamu takut kematian karena kamu tidak memahami arti kematian. Sekarang katakan kepadaku, andaikan tubuhmu dilumuri kotoran, sehingga kamu merasa tidak enak dan merasakan kepedihan dalam seluruh tubuhmu. Lalu kamu membersihkannya di kamar mandi, sehingga kamu merasa bebas dari kotoran dan rasa sakit itu. Dalam kondisi demikian, apa yang hendak kamu lakukan: Ingin membersihkan diri dari kotoran itu atau kamu enggan mandi dan senang dalam keadaan kotor?" Orang yang sakit itu menjawab, "Wahai cucu Rasulullah, saya lebih baik memilih mandi membersihkan diri."
Kematian kesempatan untuk membersihkan diri

Cucu Nabi berkata, "Ketahuilah, kematian sama dengan kamar mandi. Kematianmu adalah kesempatanmu yang terakhir untuk membersihkan kamu dari dosa-dosamu. Membersihkan kamu dari keburukan-keburukanmu. Jika kematian menjemputmu sekarang, tak meragukan lagi bahwa kematian itu akan membebaskanmu dari semua derita dan kepedihan serta akan memperoleh kebahagiaan yang abadi."

Orang yang sakit tadi berubah cerah ceria, kedamaian tampak di wajahnya. Kemudian dengan cara yang sangat indah, ia menyerahkan dirinya pada kematian, dengan penuh harapan akan akasih sayang Allah. Ia menutup matanya, kerana telah melihat kebenaran dan segera menemui tempat tinggalnya yang abadi.

Ibnu Qayyim pernah menyebut bahawa sakaratul maut adalah salah satu cara penebusan dosa manusia.

Kang Jalal seterusnya melanjutkan, lantaran kematian itu sesuatu yang pasti, kita tidak hanya dituntut mempersiapkan diri untuk menghadapinya, tetapi juga, kalau bisa, memilih cara kematian itu terjadi. Cara kematian yang terhormat, punya makna bagi kehidupan orang lain. Bukan kematian yang sia-sia dan tidak bermakna, seperti kematian seorang pengecut.

"Berani menghadapi kematian, sama artinya dengan berani menghadapi kehidupan," ujarnya.

Saya tidak pasti siapa pernah menuturkan, namun ia membekas dalam diri: "Apa yang ditakutkan dengan mati di medan tempur, atau di tali gantung, atau di depan penembak tepat, sekiranya kita di atas landasan kebenaran. Sakit menghadapi mati itu sama sahaja walaupun nafas kita berakhir di atas tilam yang empuk kerana yang menentukan derita sakaratul maut adalah amalan kita, bukannya cara kematian itu sendiri."

Persiapan mati mementingkan diri?

Soalan timbul, apakah dengan mengingati mati maka hidup ini akan ditumpukan demi "kepentingan diri" melakukan ibadah khusus semata? Ia sebenarnya tidak berbangkit memandangkan amal soleh itu sendiri mencakupi semua dimensi, duniawi dan ukhrawi, daripada bangun di tengah malam sehingga menyantuni fakir miskin dan memenuhi keperluan golongan terpinggir.

Siapa tidak terkesan dengan detik-detik akhir Nabi menjelang kewafatan, meskipun baginda bakal menemui Kekasih yang dirinduinya. Apabila diberitahu Jibril bahawa "pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," ia masih tidak menggembirakan lagi Rasulullah.

"Khabarkan bagaimana nasib umatku kelak?" kata Nabi. Maknanya, baginda sentiasa memikirkan nasib "orang lain". Malah, ada riwayat mengatakan Nabi mahu memikul segala keperitan maut asalkan siksanya tidak ditimpakan kepada umatnya. Selain membisikkan nasihat terakhir kepada menantunya Ali agar memelihara solat, Nabi berpesan, "peliharalah orang-orang lemah di antaramu". Dan kalimah "ummati, ummati, ummati," mengakhiri kehidupan insan paling mulia itu.

Justeru, "kepentingan orang lain" harus menjadi keutamaan kita meskipun sibuk membuat persiapan menghadapi mati.

Ketika menulis artikel ini, saya baru saja tamat membaca riwayat hidup bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, karya Ooi Kee Beng. Tun Ismail dan rakan karibnya, Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein didapati menghidap penyakit serius, masing-masing masalah injap jantung (juga kanser leher) dan leukemia. Penyakit Tun Razak dikesan sudah begitu serius pada akhir 1969.

Rahsia itu hanya diketahui mereka berdua dan dua tiga sahabat peribadi Tun Ismail yang semuanya diminta bersumpah tidak akan membocorkannya. Doktor memberitahu hayat Tun Razak paling lama empat tahun, meskipun akhirnya bertahan enam tahun.

Rahsia dibawa ke mati

Takdir menentukan Tun Ismail pergi dahulu, pada malam Jumaat 2 Ogos 1973, ketika isterinya baru selesai operasi pembedahan kecil di hospital, manakala Tun Razak di Ottawa, Kanada, menghadiri mesyuarat ketua-ketua kerajaan Komanwel. Pada sebelah petangnya, Tun Ismail, pemangku Perdana Menteri, baru merasmikan sambutan jubli perak GPMS di Kampung Bahru.

Satu letupan sebagai kesan bunyi acara sambutan begitu mengejutkan Tun Ismail. Anaknya, Zailah, 20 tahun, yang menonton majlis itu melalui televisyen di rumahnya melihat Tun Ismail bermandi peluh selepas letupan berlaku.

Menarik untuk diperhatikan bagaimana dua negarawan ulung itu memanfaatkan baki usia mereka selepas mengetahui detik-detik kematian begitu hampir. Buku yang baik untuk dibaca. _

Baca Seterusnya......

Monday, November 10, 2008

Jika mengetahui penghujung usia kita

Apa perasaan anda jika tiba-tiba diberitahu menghidap penyakit kronik, yang selalunya - berdasarkan pengalaman pesakit serupa - tidak mempunyai peluang untuk hidup lebih lama? Atau mungkinanda dapat terus menghirup udara segar, namun sudah tidak berupaya bebas bergerak, segalanya perlu dipapah dan bantu, dan hanya terlantar menanti keajaiban untuk sembuh. Allah Maha Mengetahui akhiran hidup kita.

Perhatikan sekeliling kita. Tidak perlu pergi jauh untuk mencari contoh. Berapa ramai anggota keluarga dan kenalan rapat pergi buat selamanya tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal. Ada teman baik yang nampak sihat, segar bugar, tiba-tiba kita mendapat khabar meninggal dunia ketika tidur. Ada saudara-mara yang baru bertemu pada hari lebaran lalu, di hening malam kita dikejutkan panggilan telefon memaklumkan diserang angin ahmar, terus koma hingga dijemput Ilahi.

Ada rakan sekerja, belum pun mencecah usia 30 tahun, berpotensi hebat dalam kerjaya, hanya mengadu sakit sekitar matanya, bila diperiksa doktor, masya-Allah, rupanya tanpa disedari sudah lama kanser bersarang. Tidak sampai dua minggu selepas itu, ajalnya tiba. Itu belum dihitung kes-kes kemalangan maut yang menyambar tanpa sebarang amaran awal.

Sememangnya kita dituntut agar sentiasa bersedia, membuat persiapan secukupnya, bagi menghadapi maut. "Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa; dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal." (maksud al-Baqarah: 197)

Saidina Ali r.a. ketika ditanya tentang takwa menjawab: " Taqwa adalah takut kepada Allah Yang Maha Agung, melaksanakan segala perintah yang diturunkan, reda dengan nikmat yang ada meskipun sedikit dan sentiasa dalam keadaan siap sedia menghadapi maut sebelum kedatangannya."

Soalnya, berapa ramai yang mengambil pengajaran dan iktibar daripada terkaman maut, kecuali dalam tempoh masa yang begitu singkat, untuk kemudiannya melupakan, hinggalah dikejutkan kembali dengan tragedi seterusnya. Ya, sesungguhnya, insan memang mudah alpa dan banyak pula dalehnya.


Benar, sakit merupakan nikmat, mengingatkan yang lupa, menyedarkan yang leka, dan jugasatu "cara" untuk meningkatkan martabat seseorang jika setulusnya reda dengan ujian Tuhan itu. Berapa ramai orang yang disuntik kesedaran mendalam, keinsafan seikhlasnya, hanya setelah melalui sakit dan derita berpanjangan. Tidak kurang yang mengucap syukur kerananyawa tidak direntap dengan tiba-tiba, tetapi didahului peringatan sakit, membuatkan kita sempat bertaubat, sehingga mampu merencana hidup baru dengan usia yang berbaki.

Dengan begitu banyak peristiwa yang hadir di kiri kanan, mengapa terlalu sukar untuk rasa insaf merubah gaya hidup kita? Mengapa hati ini terlalu keras untuk memerhatikan kejadian dan gerak alam untuk kita mengambil manfaat daripadanya, sebelum segalanya sudah terlambat apabila roh tercabut dari jasad?

Perhatikan jejak usia yang ditinggalkan. Memang pantas sekali ia beredar. 40 tahun berlalu seolah-olah baru semalam dilepaskan. Masih terbayang-bayang zaman kanak-kanak di kampung. Lintasan ingatan kian segar di bangku sekolah, guru-guru yang mendidik, kawan-kawan sepermainan, ibu ayah yang menyayangi, nenek dan datuk yang mengambil berat. Satu demi satu adegan kehidupan pahit-manis bersilih ganti. Dan kerdilnya diri mengenangkan dosa dan maksiat, sambil membilang sekelumit jasa yang ditinggalkan, ya ... alangkah kecilnya.

Menginjak dewasa, kesibukan berkeluarga dan berkerjaya sering menjadi hambatan. Banyak yang dikejar umpama fatamorgana, dan kegelisahan menggapai cita-cita sukar diredakan. Segalanya seperti tidak mencukupi. Dalam keadaan itu, jika kita dapat berhenti sejenak, dan sempat bermuhasabah tentang erti hidup yang makin hilang, mungkin ia seperti satu kurniaan nikmat yang begitu hebat.

Ramai yang bergelut hanya mencari kehidupan untuk diri sendiri. Amat kecil sumbangan untuk orang lain. Walhal sebahagian kebahagiaan adalah apabila kita dapat membahagiakan orang lain, apatah lagi mereka yang memusuhi kita.

Ingatlah, janji dengan Allah masih banyak belum tertunai. Dosa dengan makhlukNya tidak tertebus. Sedang malaikat maut mungkin sedang mengintai di jendela. Lalu, apa jawab nurani anda jika mengetahui derap langkah kita di dunia ini menghadapi penghujungnya. "Cepat-cepatlah tulis autobiografi," gurau seorang kawan bila mendapat tahu saya sering sakit. Saya tidak pula mengambil berat saranannya kerana ... apalah sangat yang mahu dikongsi pengalaman hidup yang mendatar-kelabu ini, dan benarkah sudah singkat benar baki usiaku!
Baca Seterusnya......

Memperbaharui semangat demokrasi kota Greek lama

Amalan demokrasi di Athens, bermula pada kurun kelima sebelum masihi, merupakan pembabitan langsung semua lelaki dewasa berumur 20 tahun ke atas.

Mereka terbabit dalam Perhimpunan Rakyat yang bersidang 10 kali setahun. Selaras dengan pertambahan penduduk, kerencaman latar belakang dan perbezaan tahap ekonomi, ia kemudian dikembangkan kepada demokrasi berperwakilan apabila rakyat memilih wakil mereka untuk menggubal undang-undang dan menjalankan pemerintahan.

Walaupun sudah dilantik wakil rakyat, melalui proses pemilihan yang sepatutnya adil dan bebas, seterusnya menubuhkan kerajaan, tanggungjawab mentadbir dan menentukan hala tuju negara tidak seharusnya ditinggalkan kepada ahli-ahli politik sahaja.

Prinsip asas demokrasi sebagai pemerintahan rakyat mesti dikekalkan, dengan cuba melibatkan seramai mungkin anggota masyarakat, tentunya tidak bermula dan berakhir dengan pilihan raya semata-mata.
Selain memastikan pilihan raya dijalankan secara bebas, bermula dengan senarai daftar pemilih yang bersih, kebebasan bersuara yang terjamin, perjalanan kempen yang benar-benar demokratik, penjumlahan undi yang telus, rakyat tidak sewajarnya disekat - malah dirangsang - daripada terus memberi pandangan dan kritikan terhadap kerajaan.

Ruang diskusi awam harus diperbesarkan, pastinya dengan memansuhkan semua akta drakonian, misalnya ISA, sehingga jiwa takut untuk memberi pandangan berbeza dapat dilenyapkan.
Amat rugi, seperti yang berlaku di negara ini, apabila kita tidak berpeluang berkongsi idea untuk membangunkan negara dengan seramai mungkin warganya, khususnya golongan intelektual.
Kelompok terpelajar yang bertambah berkali ganda jumlahnya terperosok begitu sahaja di menara gading, diikat dengan pelbagai peraturan yang mengongkong, sedangkan jika ilmu dan penemuan mereka dapat dimanfaatkan, rasanya banyak masalah dan konflik yang membelit negara dapat dirongkai.

Bukan sedikit wang rakyat yang dibelanjakan untuk melatih tenaga akademik sehingga mereka menjadi pakar sesuatu bidang.

Kemahiran berharga itu sepatutnya dapat dinikmati bersama, terutama melalui saluran yang mudah dan cepat, misalnya menerusi media massa.

Sayang sekali apabila kajian yang menelan kos tinggi itu seringkali tidak dibenarkan untuk siaran akhbar jika dikira memberi kesan negatif kepada pemerintah.

Semuanya harus mendapat perkenan naib canselor terlebih dahulu. Mana-mana hebahan tanpa restu boleh mengundang tindakan tatatertib dan surat tunjuk sebab.

Dalam masa 20 tahun, jumlah universiti tempatan meningkat lima kali ganda. Pelbagai disiplin ilmu diajar. Kelas menengah membesar. Dunia berubah pantas seiring fenomenaglobalisasi.

Namun para pensyarah kita tetap dihantui mentaliti hamba, manakala anak-anak mahasiswa dikapit budaya takut tanpa sebab. Sikap individualistik membarah. Rasa peduli luntur.

Mereka mungkin memberontak dalam diam tapi sukar mengungkapkannya sebagai seorang ilmuan. Amarah itu mungkin diluahkan dalam peti undi, yang boleh menumbangkan sesebuah kerajaan, tetapi penyertaan aktif untuk membina negara sukar dilangsungkan.

Malangnya, tiada petanda akan muncul kebangkitan radikal untuk memecahkan kebuntuan ini. Masing-masing mengelak untuk bertembung risiko.

Ya, memang sukar mencari jiwa pemberani di kalangan pensyarah. Kalau ada pun, ia mudah dipatahkan kerana kewujudannya terpencar dan terserak-serak.

Bertambah buruk apabila semakin ramai pentadbir kampus, terutama naib canselor dan timbalan-timbalannya, yang berlumba-lumba menjadi pengampu elit penguasa. Tanpa diperintah mereka bersedia menjadi hamba demi mengejar daki dunia.

Dunia akademia perlu dibebaskan segera. Penghuninya harus sedar akan kerugian yang ditanggung rakyat akibat pemenjaraan mereka itu. Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang lebih baik untuk didiami setiap warganya, jika urusan pemerintahannya tidak diserahkan kepada sekelompok kecil mereka yang terbukti rakus dan tamak. Sepatutnya semakin ramai terbabit "memperelokkan negara" ini.

Semangat demokrasi Athens 25 kurun lalu sebenarnya boleh dijelmakan kembali. Perkembangan pesat teknologi maklumat terutama kemudahan internet dapat membantu untuk semua kita berpartisipasi secara langsung bagi mewujudkan Malaysia yang lebih damai dan berkat.

Tenaga akademik kita harus memulakannya. Dan saya kira teman lama saya, Prof Zaini Ujang, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia yang baru, boleh mempeloporinya! - mks._
Baca Seterusnya......

Rasa peduli di luar Ramadan

Kita sering diperingatkan bahawa antara hikmah puasa adalah menyemai rasa peduli dan prihatin terhadap golongan fakir miskin, dapat merasai perit perut mereka menahan lapar, serta menyuntik keinsafan untuk segera membantu masyarakat yang melarat.

Banyak kisah teladan Nabi dan para sahabat yang berupaya mendorong menyuburkan sifat pemurah dan melahirkan lebih ramai dermawan, bukan sekadar terbatas di bulan Ramadan.

Dalam Islam keadilan sosial cukup dititik-beratkan, selain keadilan hukum. Amien Rais merumuskan: Banyak sekali ayat al-Quran yang mengingatkan bahawa harta kekayaan tidak boleh berputar di tangan kelompok kaya saja (al-Hasyr: 7); bahawa orang-orang bertaqwa adalah mereka yang menyedari bahawa dalam harta kekayaan yang ia miliki ada hak bagi golongan fakir dan miskin (az-Zariyat: 19), bahawa perhatian yang penuh harus kita berikan kepada lapisan masyarakat yang belum hidup wajar sebagai manusia (al-Haqqah: 33-34; al-Fajr: 17-18; dan al-Ma'un: 1-2).

Mampukah madrasah Ramadan menyemai budaya menyantuni golongan miskin, memandang mereka dengan penuh kasih sayang sehingga tertanam rasa gelisah jika tidak dapat membantu meringankan beban kelompok yang sering direndah-rendahkan itu?

Seorang isteri tahanan ISA pernah mengeluh: "Mengapa hanya semasa 10 hari terakhir puasa, bantuan mencurah-curah, tapi selepas itu senyap? Apakah kami hanya makan sewaktu Ramadan atau Aidilfitri saja?"

Perhatikan juga kunjungan ke rumah anak-anak yatim, orang-orang tua di musim lebaran, memang menakjubkan. Mereka dibawa ke hotel lima bintang, dijamu puas-puas; sayang, selepas itu kembali dilupakan.

Menurut pengkaji, ada dua hal utama yang dilakukan Rasulullah untuk membebaskan dan membela kelompok miskin.

Pertama, membangkitkan harga diri golongan susah ini, dengan baginda memilih hidup di tengah para hamba sahaya dan orang miskin, sehingga Nabi digelar abul masakin (bapa bagi orang miskin).

Kedua, baginda memilih hidup seperti orang miskin, hidup sederhana, ditahannya lapar berhari-hari kerana Nabi mengerti sebahagian sahabatnya sering kelaparan.

Sikap prihatin ini membudaya dalam diri para sahabat, antaranya Umar al-Khattab.

Hidayat Nur Wahid mengungkapnya dengan baik sekali: "Malam yang tenang menyelimuti mereka yang sudah kembali ke peraduan. Seorang lelaki menyingkirkan selimutnya. Dia bangkit berjalan menyusuri lorong-lorongnya yang sepi. Angin berhembus dingin menusuk tulang. Lelaki itu keluar menyatu dengan malam. Dia tidak boleh tidur. Dia khuatir kalau ada musafir terlantar yang tidak menemui tempat penginapan, orang sakit yang memerlukan ubat, dan orang kelaparan yang tidak menemui sesuatu yang mengalas perutnya. Dia khuatir ada urusan rakyatnya yang dia abaikan. Bahkan dia juga merasa bertanggungjawab terhadap seekor kaldai yang tergelicir di tepi sungai Furat."

Kisah masyhur itu perlu diulang-ulang untuk menyebatikan diri kita dengannya. Umar yang sering mengadakan "lawatan mengejut" itu kemudiannya terdengar bicara ibu dan anak gadisnya dari sebuah rumah kecil.

Si anak menolak cadangan ibunya yang mahu mencampurkan susu dengan air sebelum dijual kerana Amirul Mukminin melarangnya. Ibu menjawab, "Umar tidak melihat kita".

Dipintas cepat si anak: "Seandainya Umar tidak melihat, tetapi Tuhan Umar melihat kita." Umar kemudiannya menjodohkan 'Ashim, puteranya dengan gadis warak itu, Umm Ammarah, yang melahirkan puteri bernama Laila, dan berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan, yakni bapa Umar Abdul Aziz, yang seterusnya dikenang dengan kisah kesederhanaan dan kewarakan menjaga harta awam, suatu cerita yang mungkin dianggap hampir mustahil diulangi di zaman ini.

Tahniah buat Lim Guan Eng yang berani "menyanggupi" untuk meneladani watak unggul itu. Untuk pemimpin (bukankah kita semua ini pemimpin?), renungilah kata-kata Umar: "Kalau rakyat mengalami kekenyangan, akulah orang yang terakhir menikmatinya, tapi jika mereka mengalami kelaparan, akulah yang pertama merasakannya."

Meneliti sumbangan buat tabung Harakahdaily untuk mangsa ISA, saya masih yakin nurani kebanyakan kita masih jernih dan tulus untuk terus membantu.

Saya tidak risaukan orang biasa, cuma bimbang dengan pemimpin (dan mereka yang rapat dengannya) yang selalu ditimpa ujian kesenangan dan kemewahan! - mks._
Baca Seterusnya......

Melatih diri untuk sedia dibangkang

Ada pembaca yang tidak berpuas hati apabila saya mengimpikan agar disempurnakan ketukan "paku terakhir pada keranda Umno-BN".

Bagi mereka, Umno-BN tidak perlu dikuburkan (sesetengahnya beranggapan ungkapan saya itu nampak takbur dan tidak demokratik), tetapi ia harus dibirkan berperanan proaktif sebagai parti pembangkang kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

Kerajaan yang baik dan bertanggungjawab selalunya didahului oleh pembangkang yang berkesan. Sememangnya saya tidak pernah bersetuju dengan konsep "pembangkang sifar" seperti dipopularkan Dr Mohd Khir Toyo menjelang pilihan raya 2004.

Dan memang benar berlaku dalam pilihan raya berkenaan, Dun Selangor tidak lagi menyaksikan aksi Adun pembangkang Melayu, walaupun wakil DAP bertambah seorang menjadi dua. Namun malangnya Ketua Pembangkang Teng Chang Khim digantung dalam tempoh yang cukup panjang menyebabkan tiada lagi peranan "semak dan imbang" yang akhirnya memudaratkan kerajaan BN sendiri.

Rakyat Selangor turut rugi apabila suara berani dan kritis pembangkang "didiamkan". Saya hanya mahu menekankan bahawa era Umno-BN sebagai parti pemerintah hampir berakhir.

Itu pun sekiranya parti-parti yang bersekutu secara longgar dalam Pakatan menunjukkan teladan unggul, tidak berpecah-belah, saling menghormati, bertoleransi serta menunaikan janji semasa kempen dahulu.

Harus diingat, rakyat yang menunjukkan keberanian pada 8 Mac 2008, tiba sahaja pilihan raya akan datang - jika difikirkan perlu - boleh menolak jatuh Pakatan jika terbukti ia mengkhianati amanah.
Kemampuan parti-parti komponen Pakatan, khususnya PAS, untuk menerajui kuasa, tidak hanya bergantung kepada kebobrokan Umno dan mereputnya kaedah lama BN yang memakan diri, juga bukan sekadar mahir berpolitik seperti ketangkasan gerak, kebernasan idea, cepat membaca realiti, bijak memanfaatkan peluang, gigih memperteguhkan parti dan berupaya menyerap segala kritikan untuk memantapkan lagi sokongan, tetapi juga harus "tawaduk dan warak" dengan kuasa. Kuasa jika salah dikendali boleh menjadi punca segala kejahatan.

Tidak mudah untuk mana-mana pemerintah, termasuk Pakatan Rakyat di lima negeri, menerima teguran, nasihat apatah lagi kecaman.

Begitu juga untuk berdepan dengan himpunan demonstrasi dan tunjuk perasaan. Hanya pemimpin berjiwa besar dapat bersikap terbuka dengan sanggahan-sanggahan yang seringkali dihamburkan secara kasar.

Mungkin ada dasar baru yang tersasar, pendekatan yang tidak praktikal atau pelbagai lagi kelemahan; soalnya apakah mudah untuk mengaku silap dan membetulkan kesalahan? Memberi nasihat pastinya lebih mudah daripada menahan telinga merah mendengar kritikan.

Sebab itu ada pihak mendakwa bahawa tiada kerajaan yang senang dan selesa dengan wartawan-media yang menjunjung konsep kebebasan akhbar. Rata-rata pemerintah mahukan media yang hanya menyanjung dan memuji.

Antara forum terbaik untuk membuka lebih luas perdebatan awam adalah memanjangkan tempoh persidangan Dun di negeri Pakatan, dengan memberi peluang lebih lama kepada pembangkang (BN) untuk berbahas.

Semasa BN memerintah, sesi perbahasan terlalu suntuk. Malah, kalau dijumlahkan sepanjang tahun, ada negeri yang membenarkan persidangan tidak melebihi 10 hari setahun, dan kadang-kadang sehari hanya dua jam sahaja.

Apalah yang boleh disuarakan dalam masa sesingkat itu. Kemudahan awam, seperti stadium atau dewan, juga tidak dibenarkan untuk parti pembangkang menggunakannya. Umumnya, perbezaan pendapat tidak langsung dirai, ruang diskusi dikecilkan, percambahan idea disekat. Saya tidak pasti apakah warga kampus di universiti yang dikelolakan kerajaan negeri Pakatan, seperti Unisel di Selangor, dapat bebas beraktiviti dan tidak lagi dikongkong pelbagai "peraturan gila" yang membantut kegiatan intelektual mereka?

Pemerintah sering melihat sekatan sebagai keperluan untuk memudahkan mereka mentadbir, atas daleh "demi kepentingan golongan majoriti". Namun, kini ramai berharap negeri Pakatan dapat membenam segala kepalsuan itu!_
Baca Seterusnya......

Najib mampu rawat Umno?

Pelan peralihan kuasa dalam Umno dipercepatkan, antara lain, bagi memastikan parti itu dan sekutunya dalam BN dapat melakukan perubahan segera sebelum pilihan raya umum ke-13.

Ahli-ahlinya yang merasai keperitan amat sangat selepas kehilangan lima negeri dikatakan mahu Umno dipulihkan dalam tempoh singkat demi menyekat kemaraan Pakatan Rakyat.

Kekalahan memalukan pada 8 Mac lalu seluruhnya dibebankan kepada Abdullah Ahmad Badawi sehingga beliau perlu diundurkan secepat mungkin.

Soalnya, apakah benar Umno tanpa Abdullah mampu dirawat? Benarkah Abdullah menjadi faktor utama tsunami politik yang hampir membenamkan BN lima bulan lalu manakala tokoh-tokoh lain, khususnya Timbalan Presiden Umno boleh berlepas tangan?

Jika keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh dijadikan rujukan, yang menyaksikan majoriti kemenangan Anwar Ibrahim bertambah, betulkah ia juga berpunca dari Abdullah, sedangkan Najib Razak menjadi jurukempen no. 1 BN waktu itu?

Untuk meredakan kegelisahan sendiri, pemimpin Umno kerap menyifatkan keputusan Mac 2008 umpama pilihan raya November 1999; ia boleh bertukar jika perdana menteri dan presiden Umno turut bertukar.

Seperti Dr Mahathir Mohamad berundur pada akhir 2003, seterusnya pengundi memberi mandat terbesar buat BN pada 2004, maka harapan sama disandarkan kepada Najib.

Sebenarnya Abdullah hanya memerlukan masa tidak sampai lima bulan selepas dilantik menjadi perdana menteri bagi mengetuai kempen BN untuk meraih sokongan rakyat pada 21 Mac 2004. Tapi Najib seperti menagih masa lebih lama, iaitu lebih tiga tahun sebelum berdepan pilihan raya ke-13.

Prestasi buruk Umno pada 1999 lebih difaktorkan oleh penolakan pengundi Melayu terhadap Mahathir. Justeru, apabila Mahathir berundur, rakyat bersedia memberi peluang kedua buat Umno-BN.

Bagaimanapun mereka tidak boleh melupakan rentetan episod hitam era Mahathir. Selepas janji manis Abdullah ternyata tidak dapat ditunaikan, meskipun ada satu dua perubahan kosmetik terlakar, rakyat tanpa didahului jerit-pekik, memberi mesej bermakna buat Umno-BN.

Namun, ia sudah melewati penentangan terhadap seorang tokoh. Gema reformasi 1998 terjelma semula, tapi dalam bentuk berbeda. Elemen politik baru yang berputik 10 tahun lalu nampak mekar mewangi.

Rakyat sebenarnya menolak sistem reput Umno-BN. Mereka benar-benar mahu melihat perubahan seutuhnya, bukan sekadar penggantian pemimpin tertinggi.

Isu-isu yang dahulunya dianggap abstrak, seperti hak asasi manusia, good governance, pilihan raya adil dan bersih, pemantapan institusi penting keadilan dan demokrasi seperti SPR, Parlimen, Jabatan Peguam Negara, badan kehakiman, polis, kini mendapat respons berbeza.

Tidak mudah lagi untuk Umno berlindung di sebalik sindom penafian, dengan anggotanya yang terus mabuk kuasa dan kemaruk wang ringgit (seperti terjelma dalam kempen pemilihan mutakhir ini).

Beban sejarah Najib cukup untuk membunuhnya! Beliau tidak semestinya dapat menyelesaikan kegawatan yang ditinggalkan Abdullah, tetapi yang pasti Najib bukan tokoh terbaik menyandang jawatan PM. Belum apa-apa, rentetan kes - walaupun masih belum dibuktikan - sudah mengikat geraknya.

Altantunya, Scorpene, Sukhoi, dan kini Cougar EC 275 membelitnya. Apakah rahsia Najib di Mindef makin terdedah selepas Abdullah berpeluang dengan lebih selesa untuk menekuni failnya?

PM lain melangkah gagah di hari pertama, sedangkan Najib penuh keraguan.

Bagi saya, Umno sukar dirawat lagi walaupun Abdullah dipaksa berundur lebih awal. Ia perlu over-haul sepenuhnya, bukan hanya penjenamaan baru. Peluang sudah diberi lebih 50 tahun.

Malah sehingga kini, Umno belum lagi mengambil pengajaran 8 Mac. Ia masih angkuh, takbur dan terpinga-pinga dengan sindrom penafian.

Personaliti Najib mungkin lebih kuat berbanding Abdullah tapi konflik dalam dirinya (juga keluarga) begitu dahsyat. Mahathir mungkin diberi peluang untuk membantunya, namun silap langkah, ia boleh mengundang petaka lebih besar.

Soalnya, mampukah dalam kekalutan ini, Pakatan Rakyat dapat merebut peluang memintas Najib? Krisis keyakinan yang dideritai Umno-BN tidak semestinya secara automatik menyediakan tempat selesa buat Pakatan.

Jawapan ada pada Anwar Ibrahim, Ustaz Abd Hadi Awang dan Lim Guan Eng! - mks. _

Baca Seterusnya......

Malang Abdullah!

Petang Selasa 7 Oktober, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi belum membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti itu yang dianjak kepada Mac tahun depan, namun ketika akhbar ini berada di pasaran, teka-teki itu telahpun terjawab.

Abdullah tentu tidak pernah menduga kerjaya politiknya bakal berakhir secara cukup tragis, sepertimana beliau tidak termimpi dilantik ke jawatan no. 1 itu, lima tahun lalu.

Mungkin ada pihak melihat banyak "kebetulan" menyebelahi Abdullah selama ini, namun ahli politik pastinya tidak boleh mengharapkan hanya kepada rantaian "kebetulan" dan "nasib baik".

Pelantikannya dulu disambut penuh harapan. Majoriti rakyat, terutama orang Melayu, agak terubat dengan janji-janji Abdullah, selepas mereka melalui zaman pahit era Dr Mahathir Mohamad. Abdullah menyuntik keyakinan bahawa Malaysia bukan lagi milik seorang pemimpin, tetapi boleh dikongsi bersama puluhan juta rakyatnya.

Ramai teman-teman mengimpikan agar Abdullah dapat memulangkan kembali negara kepada kita semua. Biar rakyat, sekurang-kurangnya, dapat berimiginasi bagaimana Malaysia harus dikendalikan bersama.

Walaupun mengakui personaliti Perdana Menteri baru tidak sehebat penyandang sebelumnya - dan itulah "kelebihan" Abdullah - saya sendiri mengharapkan institusi-institusi penting seperti Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya, Badan Pencegah Rasuah dapat diperkukuh dan dimantapkan.

Ketika itu langsung tidak terbayang akan terasas pelbagai fenomena jelik, seperti dakwaan "kerajaan tiga beranak", yang memusnahkan terus impian untuk melihat Malaysia ditadbir secara lebih kolektif dan demokratik. Abdullah cuba membina legasi tersendiri dengan mengusahakan beberapa perubahan positif, selain memperkenalkan konsep Islam Hadhari.
Saya cuba melihat sisi positif dalam usaha pembaharuan Abdullah itu walaupun banyak bayangan hitam menyelubunginya.

Niat Abdullah mungkin luhur, namun beliau tidak mempunyai kekuatan tekad politik yang kental. Memang tidak mudah melakukan reformasi jika tidak didokong anggota kerajaan dan ahli parti, apatah lagi sosok Abdullah tidak menjelmakan aura seorang pemimpin karismatik, malah mudah tunduk dengan kehendak keluarga dan pasukan penasihatnya.

Ya, Abdullah nampak mudah didekati, jauh lebih mesra berbanding Mahathir, namun pemimpin yang mahu menerajui perubahan perlu perwatakan lebih sofistikated, sekurang-kurangnya meneladani salah satu sifat Nabi, kebijaksanaan.

Abdullah memang mensesiakan peluang dan kesempatan. Mandat rakyat pada 2004 (terbesar sepanjang sejarah Perikatan-BN menyertai pilihan raya) mungkin menjadikannya alpa dan lupa diri. Lebih daripada itu, sudah dapat dikesan bahawa sejak hari pertama menjadi PM, Abdullah sememangnya menanggung beban yang tidak terdaya dipikulnya. Saya boleh bersetuju dengan pandangan bahawa ciri-ciri seorang perdana menteri yang berkesan tidak ada pada dirinya.

Lalu timbul persoalan, apakah Dr Mahathir tidak menyedari kelemahan ketara yang paling asas itu - keupayaan kepimpinan?

Tentulah tidak adil untuk memperlekehkan apa saja usaha Abdullah seolah-olah beliau langsung tidak menyumbang apa-apa buat negara tercinta ini. Tekadnya memang ada, keazamannya terserlah, niatnya tidak perlu dipertikai, nampak bibit-bibit positif dari usaha reform beliau.
Sayang, ramuannya belum cukup untuk Abdullah berdiri tegak berdepan cabaran badai-taufan, melalui simpang-perenang yang mengelirukan, apatah lagi menawarkan formula terbaik untuk Malaysia keluar daripada lingkaran masalah dan konflik berpanjangan.

Jika Abdullah sebelum ini dilihat sering "bernasib baik", malangnya ketika di penghujung, beliau bagai keseorangan melalui terowong gelap.

Pelan peralihan kuasa 2010 ditolak mentah-mentah. Usaha pemulihan parti serba tidak menjadi. Rakan-rakan dalam BN menikam dari belakang. Teman baik sesama Umno pun tidak menghormatinya lagi. Benar, bila kelapa tumbang, kura-kura pun boleh memanjatnya.

Abdullah bakal pergi. Bagaimana pula penggantinya? Najib Razak, Tengku Razaleigh Hamzah, Muhyiddin Yassin, atau pimpinan Pakatan Rakyat sudah bersedia menyambut amanah besar ini?
Mungkinkah Umno-BN dapat dipulihkan dengan kepimpinan baru nanti, atau lebih bercempera? Seperti Abdullah yang tidak lagi "bernasib baik", saya juga risau jika Pakatan Rakyat terus mengimpikan "kebetulan" dan "nasib baik" menyebelahi mereka.
______________________
(Abdullah mengumumkan keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti itu Mac depan petang semalam (8 Oktober 2008).Beliau juga akan melepaskan jawatan perdana menteri dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya pada bulan Mac apabila Dato' Seri Najib Razak dipilih sebagai presiden baru parti itu.)_
Baca Seterusnya......

Bersemuka think tank MCA

Kunjungan badan pemikir parti MCA, INSAP (Institute of Strategic Analysis & Policy Research), yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Fui K Soong dan Timbalan Pengarah, Rita Sim ke pejabat Harakah, 18 September lalu, bersama lapan kakitangannya, membawa makna besar buat kami.

Meskipun dipisahkan oleh anutan politik yang berbeza, ia langsung tidak menghalang sesi perbincangan yang cukup terbuka, termasuk membabitkan isu-isu sensitif, selain dapat menyelami lebih dekat bagaimana pandangan pihak luar, khususnya bukan Islam, terhadap PAS dan politik Melayu.

Saya tiba agak lewat dari Alor Star kerana ada program bersama rakan-rakan Perikatan Belia Bersatu Malaysia (Pembela) di Country Height Darulaman, Kubang Pasu, sehari sebelum itu.

Kebetulan, ketika berkongsi idea tentang keperluan mengaktifkan badan-badan sukarela dan NGO di negeri-negeri Pakatan Rakyat seperi Kedah, sebelum majlis berbuka puasa di Jitra, saya banyak merujuk idea-idea Soong dan Rita, terutama tentang tiga tonggak dalam masyarakat Cina, iaitu institusi pendidikan, media dan persatuan (Hua Zong) Cina.

Kedudukan parti politik hanya satu juzuk kecil daripada lebih 5,000 persatuan Cina, tidak sepertimana parti politik Melayu yang wujud sebagai sebuah tonggak secara bersendirian.

Wakil INSAP, terutama penganalisis medianya, Markus, banyak menimbulkan topik-topik menarik untuk didebatkan. Pelbagai kemusykilan diluahkan.

Soong dan Rita, apabila diajukan tentang masa depan MCA dalam BN, tidak ragu-ragu menjelaskan dilema parti Cina itu.

"MCA dalam keadaan terperangkap," kata mereka, mengulas dakwaan saya bahawa hegemoni Umno dalam BN membuatkan konsep dominasi Melayu dipandang dari sudut negatif. Saya cuba menonjolkan aspek-aspek positif dalam aspek hubungan longgar Pakatan Rakyat.

"Tidak wajar ada parti yang nampak terlalu dominan dan menguasai segalanya," kata saya, "masing-masing ada tanggungjawab besar, dirundingi sebelum merumuskan keputusan, dan bersedia untuk menegur dan ditegur apabila silap dan alpa. Usah ulangi kesilapan Umno dalam menerajui BN."

Bagaimanapun mereka tidak melihat kemungkinan MCA keluar daripada gabungan, sebaliknya menekankan peranan MCA sebagai pengimbang kepada Umno.

PAS pula, bagi Soong, dilihat berada dalam posisi strategik sebagai "the real kingmaker".
"Kata-kata Ustaz Abdul Hadi bahawa PAS adalah penentu politik Malaysia adalah tepat," kata Markus.

Malah kemenangan besar Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, baru-baru ini, menurut Rita, disumbangkan oleh peranan penting ulama-ulama PAS dalam tempoh berkempen, terutama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyanggah tindakan sumpah laknat Saiful Bukhari Azlan.

Soong melalui tulisannya dalam akhbar The Star pernah menekankan: "PAS is the most organised, financially independent and talented organisation in the country."

Konsep Negara Islam PAS, bagi INSAP, masih kabur dan mengundang pelbagai tafsiran negatif.
"Tanpa Negara Islam, tidak ada apa-apa masalah PAS kepada kami," kata Soong.

"Tapi tanpa Negara Islam itu, tidak adalah PAS," saya mencelah.

Apa pun, pertemuan dua jam itu terasa begitu pendek. Di akhir diskusi, Soong, Rita dan Markus, begitu beria-ia mengundang kami ke pejabat mereka pula.

"Mungkin kami akan aturkan sesi perbincangan tertutup wakil Harakah dengan pemimpin MCA," pelawa Rita.
"Ya, kita boleh saja berdebat dan bertembung pendapat, tapi biarlah selepas saling memahami," jawab saya, sambil menyatakan kesediaan kami untuk terus berdiskusi. - mks._
Baca Seterusnya......

Blog Archive