Thursday, March 26, 2009

Arahan Najib dan jerat Harakah

Penggantungan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan memang mengejutkan. Saya juga pelik memikirkan rasional di sebalik tindakan tidak bertamadun itu, terutama dalam konteks kepentingan Umno-BN yang kini "menggelepar", apatah lagi ketika berdepan tiga pilihan raya kecil yang cukup kritikal itu?
Walaupun momentum Permatang Pauh dan Kuala Terengganu mesti disekat tetapi jalan yang dipilih boleh mengundang padah yang lebih celaka. Zaman sudah berubah namun Umno kekal sombong dengan pendekatan usang yang memerangkap diri. Menutup akhbar adalah langkah primitif si bacul yang gentar untuk bersemuka dengan kebenaran. Ia hanya membayangkan kekerdilan jiwa, kemandulan idea, kelemahan daya tahan dan manifestasi minda tertutup kelas tiga.

Sukar dibayangkan, di zaman langit terbuka, maklumat mudah dipetik di hujung jari, kemudahan jalur lebar internet dimantapkan dengan dana besar kerajaan, tiba-tiba pemerintah mengambil sikap bebal menolak keterbukaan. Lebih malang apabila sanggup berbohong dan berdalih palsu, semata-mata mahu menegakkan benang basah.

Gantung tiga bulan - mendekati 100 hari - merupakan satu tempoh yang terlalu panjang bagi sebuah akhbar. Selama ini Harakah terbit mengikut jadual termasuk di zaman Dr Mahathir Mohamad. Harus diingat permit Harakah diberikan pada 1 Mac 1987, ketika Umno bergolak hebat, di ambang kehancuran. Malah, apabila Mahathir menambah kekerapan Harakah daripada sekali seminggu kepada dua kali seminggu, pada 18 Jun 1990, negara bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum yang agak kritikal buat Umno apabila Tengku Razaleigh Hamzah berjaya membentuk pakatan Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat. Justeru, adalah silap besar jika Najib Razak merasakan sokongan terhadap Umno dapat dipulihkan jika seteru politiknya dikuburkan terlebih dahulu.

Pendekatan mendera Najib hanya membawa mesej negatif yang sama sekali tidak menguntungkannya. Umno memang perlukan perubahan segera, jika tidak ia sendiri akan diubah oleh rakyat dengan mengalihkannya daripada kerusi kuasa. Anehnya, selepas setahun dikejutkan tsunami 8 Mac 2008, Umno bukan sahaja membeku di takuk lama, malah nampak semacam mereput. Saya ramalkan Najib mungkin akan dikenang sebagai Perdana Menteri BN yang terakhir. Alasannya, anak Tun Razak ini masih terikat dengan mentaliti lama dan takut bersaing dalam gelanggang terbuka. Dan anak-anak muda sedang memerhatikan gelagat Najib sambil memberi markah atas upaya dirinya.

Secara peribadi, agak lama juga saya tidak aktif dalam kerja-kerja mempromosi kebebasan media. Namun, penggantungan Harakah bagai menyentak rasa peduli saya terhadap usaha membebaskan segala belenggu yang merantai dunia kewartawanan. Tindakan KDN itu, yang cuba dijustifikasi menterinya, Syed Hamid Albar perlu diberi sanggahan secukupnya, biar bergemerincing paluan gendang perang sebagai muzik latarnya. Syed Hamid mendakwa Harakah dan Suara Keadilan memutar belit fakta, mengelirukan maklumat dan percubaan menyuntik perasaan benci orang ramai terhadap kerajaan dan pemimpin. "Pegawai KDN beberapa kali memanggil dan menasihati mereka tetapi kelihatan ia terus menggunakan cara keterlaluan untuk mempromosi ideologi politik," tambahnya.

Meneliti daleh Syed Hamid itu, saya bimbang beliau tidak bercakap benar atau tidak mendapat maklumat tepat dari pegawainya. Kami kerap dipersalahkan kerana menjual Harakah di tempat awam kepada bukan ahli PAS dan kandungan Harakah sendiri yang memaparkan juga bahan-bahan selain berita PAS. Syarat "karut" itu, bagi saya, harus digugurkan. Kempen mesti dilancarkan di seluruh negara bagi membuang segala peraturan "tidak munasabah", sekali gus menggesa agar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dimansuhkan. Mungkin kempen 2 bukit dapat dijadikan landasan kukuh untuk menyedarkan rakyat tentang undang-undang "karut-marut" ini.

Bagaimanapun, dalam masa tiga bulan ini, kami akan mencari jalan keluar dengan terus menerbitkan tabloid tidak berkala, selain lebih aktif mengemaskinikan Harakahdaily. Kami cuba membuktikan bahawa Najib sebenarnya silap besar menggantung Harakah. Episod ini pasti sukar dilupakannya jika kemudian hari nanti ternyata benar Umno terlungkup di zaman pemerintahannya dan beliau mencatat rekod sebagai Perdana Menteri BN yang terakhir. _
Baca Seterusnya......

Penggantungan Harakah, tembakan pemedih mata dan pencalonan Nizar

ISNIN 23 Mac, hari bergelora. Meskipun tiada hujan, namun langit kelabu. Sejak Harakah dilancarkan 22 tahun lalu, tiada detik sukar seperti petang itu.

Tepat jam 4.55 petang, faks dari Bahagian Kawalan Penerbitan, Kementerian Dalam Negeri, memancung keheningan pejabat. Saya agak keletihan, baru pulang dari Putrajaya. Fikrah Harakah edisi Isnin menunggu untuk diisi. Bahan belum mencukupi.

Sebaik keluar lif di tingkat dua, rakan wartawan Nyza Ayob menyapa: "Dah tengok surat KDN?' Tanpa menjangka sesuatu yang buruk bakal berlaku, saya hanya menggeleng. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja debar jantung berdegup kencang.

"Harakah kena gantung tiga bulan!" Maklum Nyza, masih tersenyum. Bagi saya, ia bagai petir menyambar. Surat ringkas dua perenggan hanya memaklumkan KDN menggantung permit lidah rasmi PAS yang kini sudah dianggap akhbar alternatif no. 1 itu, selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta.

Terdetik di hati, "masakan secepat itu, bukankah baru kelmarin Pengarah Urusan, Dato' Kamarudin Jaffar menelefon pegawai KDN menjelaskan isu surat tunjuk sebab dari KDN?"
Segera saya memanggil pembantu, Atriza Umar, mencarikan surat bertarikh 26 Feb lalu, yang ditandatangani Che Din Yusoh. Saya mahu dapatkan nombor telefon bimbitnya -- sambil menahan sabar -- untuk mendapatkan penjelasan. Ya, mengapa KDN harus tergesa-gesa sekali? Dunia belum kiamat. Umno belum terlungkup.

Bukankah selama ini KDN banyak melakukan kesilapan dalam membuat keputusan, sehingga terpaksa menarik balik, atau dalam beberapa kes tahanan ISA, antaranya membabitkan seorang wartawan wanita sebuah akhbar Cina, harus membebaskan segera selepas memberikan alasan penahanan yang tidak masuk akal.

Memang KDN tidak belajar dari kesalahan walaupun menterinya bertukar, perdana menteri bergilir.

Perbualan saya dengan Che Din tidak wajar dirakamkan di sini. Nokhtah.

Saya mula berkhidmat di Harakah seawal seminggu sebelum Harakah sulung diterbitkan, April 1987. Walaupun keluar-masuk Harakah lima enam kali, rasa saya tidak pernah sekalipun Harakah gagal diterbitkan atas halangan KDN, waimma satu keluaran.

Apa yang tidak disebut tentang "kediktatoran" Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri dan menteri dalam negeri? Namun beliau hanya mencantas kekerapan Harakah, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.

Dalam era reformasi yang memuncak itu, ketika edaran Harakah meningkat daripada 60,000 naskhah sehingga mencecah 400,000 naskhah, dan Mahathir cemas menghadapi pilihan paling getir baginya, 1999, tetapi Harakah tidak pernah diganggu seteruk ini.

Memang jualannya dihadkan kepada ahli PAS di premis parti sahaja dan kandungannya ditekankan agar mematuhi skop dan konsep yang diluluskan, iaitu hanya memuatkan berita dan rencana yang berkaitan PAS sahaja, tetapi arahan gantung, apatah lagi selama 3 tahun - satu tempoh yang relatif panjang - tidak pernah dikuat-kuasakan.

Abdulah Ahmad Badawi pula, selepas kalah lebih teruk pada 8 Mac 2008, yakni lebih buruk berbanding prestasi Mahathir pada Nov 1999, namun beliau tetap menerima permohonan PAS untuk mengembalikan kekerapan Harakah kepada dua kali seminggu. Ada tanda jiwa besar di situ.

Lalu, bahana siapakah yang mencetuskan onar sedahsyat ini? Menterinya masih Syed Hamid Albar, Abdullah tetap PM, tapi siapakah yang mahu percaya dengan dakwaaan bahawa tindakan zalim ini bukan didorong oleh kepentingan politik yang cukup sarat? Zaman sudah berubah. Dunia semakin telus. Media baru membentuk realiti.

Tanpa perlu berpakat, semua mata tertumpu kepada Najib Razak. Tuduhan ditujukan kepadanya. Beberapa hari lepas saya menelefon Zunar, Ketua Pengarang Suara Keadilan, memberitahu Harakah kena surat tunjuk sebab, atas alasan teknikal yang lazim digunakan.
Zunar menyanggah tanggapan bahawa Najib akan secepat itu "main kasar" dengan akhbar alternatif. Saya boleh bersetuju dengan Zunar. Kami langsung tidak terlintas Najib akan melakukan perbuatan sehodoh ini.

Malamnya, selepas makan di Restpran Haslam, saya mendapat SMS daripada Azizi Hj Abdullah: "Belum apa-apa gas dan water canon dah disembur di Padang Awam Cinta Sayang, Sungai Petani malam ini. Dajai. Habis cempera."

Saya terus hubungi wartawan Kedah, Izwan Abdul Halim. Dari jauh, suara Izwan serak, macam menanggung pedih disembur gas pemedih. Segera saya putuskan talian. Darah menyirap lagi.
Nampak jelas penggantungan Harakah, Suara Keadilan memang dirancang untuk menghadapi situasi sulit BN terutama pilihan raya kecil dan perhimpunan Umno yang penuh rasuah itu.
Mujur ada berita menyejukkan hati. Ir Mohamad Nizar Jamaluddin dipilih calon PAS Bukit Gantang. Peluang Nizar terbuka, tapi tidak boleh diremehkan potensi menang BN. Ini pilihan raya paling kritikal buat Umno. Banyak peluru yang disimpannya. Kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu bukan indikator segalanya cerah di sini.

Memang Nizar aset terbaik bagi menguji penerimaan rakyat Perak atas kemelut yang berkecamuk di negeri itu.

Sama-samalah kita bergelut dalam pesta demokrasi yang serba pincang ini, ya ... walaupun mungkin tanpa Harakah, berdepan tembakan gas pemedih mata, dan 'kesamsengan' jentera BN di bawah pengarah barunya ini, sambil mengharapkan ada kewarasan bagi membetulkan keadaan. _
Baca Seterusnya......

Perdana Menteri BN yang terakhir

Dari awal, saya memang tidak tertarik dengan teori konspirasi dalam Umno, apa lagi terhadapdakwaan bahawa Abdulllah Ahmad Badawi kemungkinan besar tidak akan menyerahkan jawatan tertingginya dalam kerajaan kepada Najib Razak selepas perhimpunan agung Umno nanti. Abdullah bukannya seorang tokoh yang bersedia mendepani cabaran dan gugatan sehingga sanggup bertahan dengan prinsip yang didokong. Beliau kelihatan mudah tunduk dengan tekanan dan suka mengelak daripada bertembung dalam suasana lebih sukar.

Sudah ditakdirkan Abdullah menjadi Perdana Menteri dalam tempoh yang relatif singkat. Bermula dengan kejutan menang besar dalam pilihan raya umum 2004, Abdullah juga terkejut besar dengan tsunami politik 8 Mac 2008 yang memaksa dirinya berundur lebih awal. Sukar hendak dipastikan legasi tinggalannya yang menjadi kenang-kenangan generasi akan datang. Kalau projek Islam Hadarinya pun sudah dilupakan -- malah tidak difahami rakyat -- ketika beliau masih seorang Perdana Menteri, maka apa lagi mahu diharapkan dengan program lain yang diperkenalkannya. Namun begitu, beberapa langkah awal Abdullah untuk membenarkan Malaysia lebih menikmati suasana keterbukaan dan demokratik, mungkin akan dihargai satu masa nanti.

Sejak hari-hari pertama Abdullah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Najib bukan pilihan utama untuk dilantik sebagai timbalannya. Beliau mengambil masa agak panjang, itu pun selepas "dipaksa" Dr Mahathir Mohamad, bagi memilih Najib. Orang lebih suka mengaitkan Muhyiddin Yassin -- yang juga dilihat rapat dengan Anwar Ibrahim -- sebagai tokoh yang wajar digandingkan bersama Abdullah. Bagaimanapun, siapa menyangka Muhyiddin kemudiannya menjadi tokoh paling lantang menolaknya ke tepi dinding dan memaksa Abdullah mempercepatkan pelan peralihan kuasa. Ternyata dari segi ini, Najib terhutang budi kepada Muhyiddin.

Semua sepakat bahawa imej Najib sebagai bakal perdana menteri begitu suram dan mendung. Bebannya menanggung pelbagai tuduhan dan dakwaan nampak berat dan meletihkan. Sepatutnya beliau melangkah masuk Seri Perdana dengan sorak-sorai yang bergemuruh, dengan harapan baru rakyat yang menggunung. Itulah suasananya ketika Tun Abdul Razak dan Dr Mahathir mengambil alih kuasa, malah begitulah juga sambutan luar biasa rakyat sewaktu Abdullah memulakan beberapa langkah pembaharuan. Bukan sahaja Najib dicurigai, tetapi lebih buruk lagi, isterinya, Rosmah Mansur turut "digeruni". Ia sudah tentu suatu perkembangan yang menyedihkan, bukan sekadar buat pasangan suami-isteri ini, malah kepada negara ini seluruhnya.

Abdullah tiada pilihan kecuali meneruskan pelan peralihan kuasa walaupun mungkin kini beliau menyedari Najib dan isterinya merupakan satu bebanan berat buat negara. Sudah terlalu lewat untuk Abdullah mencari jalan keluar dan beliau pula sememangnya tidak berkeupayaan menyanggah arus biarpun jika berbuat demikian beliau akan mendapat sokongan majoriti. Personalitinya tidak cukup kuat untuk membawa -- apatah lagi menjayakan -- suatu misi perubahan. Di kala mendapat sokongan hebat pada 2004, Abdullah mensia-siakan peluang terbaik itu, seolah-olah beliau hanya mahu menjadi seorang perdana menteri yang paling seronok ketika memerintah, sekadar bersantai memperagakan diri. Hanya ketika di hujung pemerintahannya, Abdullah nampak begitu tergesa-gesa untuk mencari sentuhan bermakna, tetapi ia sudah cukup terlewat.

Jika Abdullah boleh dianggap malang, nasib Najib sebagai pengganti lebih tidak keruan. Bayangkan sahaja, anak-anak kecil pun sudah mempersoalkan wibawanya untuk menerajui negara, apatah lagi untuk memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa. Beberapa kes mutakhir, misalnya rampasan kuasa di Perak, semakin menunjukkan belang Najib yang menakutkan itu. Ia langsung tidak membantu Najib untuk memulihkan imejnya yang sedia buruk. Bayangkan sahaja jika BN kalah di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, reputasi Najib terus menjunam dan ini menyukarkan beliau untuk memimpin negara keluar dari suasana kemelesetan dan ketidak-tentuan. Ya, mungkin segalanya diatur bagi menyempurnakan Najib sebagai perdana menteri terakhir dari BN. _
Baca Seterusnya......

PPSMI: Lemahnya Abdullah, sampai ke akhir ...

Demonstrasi 100,000 rakyat menuntut agar rancangan "pelik, aneh dan bengap" Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sememangnya berjaya dengan cemerlang sekali.

Sekalung tahniah buat pihak penganjur yang mengatur persiapan rapi sejak awal, juga para pejuang bahasa, aktivis budaya, pemimpin politik dan sudah pasti orang ramai, termasuk pelajar-pelajar sekolah yang bersedia dikejar anggota FRU dan ditembak gas pemedih mata, semata-mata bagi merakam sejarah baru era perjuangan bahasa yang lebih mencabar.

Kehadiran cukup memberangsangkan. Lautan manusia, walaupun terpecah-pecah kerana disuraikan polis secara ganas, bukan sekadar mahu menyampaikan mesej jelas-tegas buat pemimpin kerajaan BN, malah mereka bertekad tinggi untuk melakukan perubahan menyelamatkan masa depan anak bangsa. Mereka sedar penguasa sombong-angkuh BN selalunya sukar memahami bahasa lunak melalui diskusi, perbincangan meja bulat atau memorandum yang dikarang indah.

Justeru, perarakan raksasa 7 Mac lalu boleh dianggap langkah awal sementara menantikan respons sewajarnya, sebelum tindakan lebih berkesan melalui peti undi dapat dibuat kurang lebih tiga tahun lagi.

Ada pihak menyifatkan himpunan petang Sabtu itu satu kebangkitan menyeluruh umat Melayu (tanpa mengetepikan ia turut dimeriahkan oleh pelbagai NGO dari masyarakat Tionghua dan India) dan petanda penolakan mereka terhadap Umno yang terbukti telah "menjahanamkan" bangsa, agama dan negara. Orang Melayu dalam pilihan raya ke-12 lalu masih meninggalkan sisa-sisa sokongan buat Umno, namun parti berkenaan jelas "tidak mengenang budi".

Jerit derita orang Melayu tidak dihiraukan, malah diremehkan. Lihat saja layanan pemimpin Umno terhadap gema suara tokoh-tokoh Melayu, misalnya Sasterawan Negara A Samad Said dan bekas Ketua Pengarah DBP, Dr Hassan Ahmad.

Menteri Pelajaran, Hishammuddin Hussein bukan sahaja tidak mengambil berat bantahan tokoh-tokoh ini terhadap PPSMI, tetapi turut membuat tohmahan melulu bahawa mereka diperalatkan oleh pembangkang. Ya, selepas Umno menutup pintu daripada mendengar kritikan-teguran para pejuang bahasa ini, yang sarat dengan hujah bernas dan argumen konkrit, pemimpinnya bertindak liar menghamburkan penghinaan, sehingga rombongan menghadap Yang di-Pertuan Agong pun ditembak gas pemedih mata secara sembrono dan membabi-buta.

Lalu, diulang-tayang propaganda tujahan media bahawa pihak yang didakwa mencetuskan keganasan adalah peserta himpunan atau penunjuk perasaan, walhal mereka sebenarnya yang menjadi mangsa. Semuanya taktik lapuk dan usang yang terbukti selama ini telah memakan tuan. Rakyat makin muak dan jelak, seperti marahnya mereka dengan rampasan kuasa di Perak dan bagaimana paparan media terhadap drama berkenaan.

Lebih aneh, Abdullah Ahmad Badawi yang bakal bersara beberapa hari lagi bersuara lemah memohon Kementerian Pelajaran supaya disegerakan keputusan yang wajar bagi mengelakkkan tercetusnya isu lebih besar pada masa depan. Laihnya Abdullah seolah-olah jawatan Perdana Menteri bukan miliknya lagi.

Mengapa tidak digunakan kuasa eksekutifnya untuk mencabut dasar "gila" ini, yang mana ketika diperkenalkan dahulu langsung tidak pernah dirundingi biarpun ia bercanggah dengan Perlembagaan dan apa jua undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan? Ataupun Abdullah sudah dikepung dan "diikat kaki dan tangannya" oleh Najib Razak, sehingga terpaksa melutut meminta ehsan kepada Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin, yang juga sepupu Najib? Memalukan betul! Sedangkan ramai mengharapkan Abdullah mampu menjernihkan suasana yang dilihat serba buntu dalam tempoh kritikal ini. Ataupun Abdullah kini ibarat harimau kehilangan taring dan sudah dikerat kukunya.

Elok juga direnungi dua perenggan terakhir ucapan tokoh besar PAS, Almarhum Tan Sri Asri Muda, di bawah ini sewaktu menentang Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967) - yang terus mengagungkan bahasa Inggeris - di Parlimen, pada bulan Mac, 1967 di hadapan Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abd Rahman. PPSMI pastinya lebih ganas dan merbahaya. Justeru, ia sewajarnya ditentang habis-habisan, sehebat mungkin, bagi memastikan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa utama dunia dapat dipulihkan, selain penganiayaan terhadap anak-anak kita dapat dihentikan segera.

"Tuan Yang Dipertua, saya percaya, bahawa suara hati yang saya kemukakan di Dewan ini, itulah juga suara hati yang lahir daripada nurani tiap-tiap seorang anggota Dewan yang berjiwa dan bersemangat cintakan bahasa kebangsaan, cinta sejati, cinta bersih bukan cinta celupan, tetapi Tuan Yang Dipertua, keadaan yang mengikat dan kepentingan yang mengelilingi mereka itulah sahaja yang saya rasa mungkin menyebabkan mereka tidak berani membuat tentangan; hati membangkang, seradang-radangnya, mulut membungkam seribu bahasa, hanya tangan terangkat ke atas menyatakan setuju pada zahirnya, tetapi menyerah kalah pada hakikatnya.

"Akhirnya, Tuan Yang Dipertua, saya berani menyatakan di sini bahawa tentulah bangkangan yang saya kemukakan ini akan ditindas atau akan dikalahkan dengan jumlah kepala-kepala penyokong kerajaan dalam Dewan ini nanti, tetapi, Tuan Yang Dipertua, biarlah sejarah mencatatkan bahawa kelulusan rang undang-undang ini adalah tambahan daripada dosa-dosa jenayah politik Umno yang telah begitu banyak untuk diadili oleh mahkamah sejarah keturunan bangsa Melayu yang akan datang kelak." _
Baca Seterusnya......

8 Mac, setahun dulu

Keputusan pilihan raya umum 8 Mac 2008 memang satu kejutan, malah dianggap tsunami politik yang langsung tidak dijangka. Pakatan Rakyat (yang dibentuk kemudian) pun terkejut, apatah lagi BN, yang kehilangan empat negeri selain Kelantan dan dinafikan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Jika dirujuk siri pilihan raya kecil sebelumnya, ternyata ia menyebelahi BN. Misalnya pada November 2005 di Pengkalan Pasir, PAS dikecewakan dengan kemenangan psikologi BN sehingga majoriti di Dun tinggal satu kerusi! Di Batu Talam, Pahang, pada Januari 2007, PAS yang bertanding pada 2004 memulaukan pilihan raya kecil itu. Tiga bulan selepas itu, DAP kalah dengan majoriti lebih besar di Machap, Melaka.

Tidak lama kemudian, Ijok yang ramai pengundi India, menyediakan gelanggang mengukur pengaruh. Abdul Khalid Ibrahim tewas kepada K Parthiban, dengan majoriti 1,850 undi. Siapa sangka setahun selepas itu, Khalid yang diperolokkan oleh RTM dan TV3 kerana tersasul meminta pengundi menyokong BN, bukan sahaja menebus kekalahannya di Ijok, malah dilantik Menteri Besar Selangor apabila Pakatan menang selesa mengecewakan Dr Mohd Khir Toyo.

Mengisi kempen selama 13 hari, kami di Harakah turut memeriahkan pesta demokrasi itu. Kami juga mengusahakan siri makalah khas, Kempen, yang diedarkan percuma dan mendapat sambutan luar biasa, hingga dicetak jutaan naskhah. Dalam minggu pertama, perjalanan kempen agak lembab. Masuk minggu kedua, keadaan berubah secara drastik. Sokongan pengundi, terutama daripada masyarakat bukan Melayu begitu mengkagumkan, khususnya kepada PAS. Semuanya bagai satu keluarga besar, masing-masing bertekad mahu 'mengajar keangkuhan' BN.
Tohmahan buruk selama ini terhadap PAS hilang ghaib sekelip mata. Pada malam pilihan raya, semasa berhenti di kawasan R&R Sungai Perak, menuju utara, saya perhatikan beberapa gadis India turun dari kereta dengan menyelimuti badan mereka dengan bendera PAS. Seorang perempuan Melayu memakai jeans ketat dan kemeja-T pendek turut mengibarkan panji-panji PAS sambil menunjukkan tanda bagus kepada saya. Esoknya, hari mengundi, ramai sahabat dari Selangor menghantar SMS memaklumkan bahawa pengundi India memenuhi bangsal panas PAS untuk turut membantu di saat-saat akhir.

Malam 8 Mac, saya berada di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut semasa BN melutut kalah. Masya-Allah, tidak dapat digambarkan perasaan penuh syahdu ketika Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak berucap kepada penyokong. Laungan takbir yang tiada hentinya mengingatkan tanggungjawab besar yang sedia menanti. Bukan sahaja di Kedah, majoriti rakyat sememangnya dahagakan perubahan. Mereka menolak BN selepas memberikan peluang secukupnya, ya, selama 50 tahun. Tema negara berkebajikan dilihat memikat dan mengetuk hati pengundi, di samping perwatakan pemimpin yang mesra-rakyat dan sedia turun padang menyelami degup jantung golongan bawahan.

Pengalaman Pakatan Rakyat membentuk kerajaan negeri Perak pastinya lebih menarik. Wakil parti paling kecil memiliki kerusi Dun, yakni PAS, dipilih menjadi menteri besar. Kewibawaan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin diuji secukupnya. DAP yang menang semua kerusi Dun yang ditandinginya sederap langkah sedia bersama parti Islam dan KeADILan mengisi agenda tuntutan rakyat.

Bagi saya, keunikan jalinan mantap gabungan di Perak itu begitu indah dan menambahkan lagi keceriaan warna-warni politik Malaysia. Ketika sampai di Pejabat Perhubungan PAS Perak, jam 6 petang Jumaat, untuk mengadakan wawancara khas dengan Menteri Besar Nizar, saya perhatikan beliau agak serius berbincang dengan Pengerusi DAP Negeri, Ngeh Koo Ham, rasanya untuk pembahagian potfolio Exco. Riak muka mereka nampak seolah-olah ada banyak perkara yang belum dapat disepakati. Menariknya, perbincangan "empat mata" itu dijalankan di ruang depan pejabat, tempat orang lalu-lalang.

Selepas setahun banyak insiden suka-duka dirakam sejarah. Paling menghiris tentulah tragedi rampasan kuasa di Perak, yang kini membuahkan krisis berpanjangan. BN, terutama di bawah Najib Razak, begitu ghairah mahu menebus kekalahannya, tanpa mengira sebarang etika dan adab. Ia petanda Umno makin gawat dan tenat sementara menunggu satu lagi hukuman rakyat dalam pilihan raya umum ke-13.

Segala usaha "pemulihan" Umno-BN nampak gopoh dan menyerlahkan lagi bahawa "kebongkakan" sudah sebati dengannya. Kalau pun bukan kubur sendiri yang digali Umno, sekurang-kurangnya jurang dalam sudah tersedia untuk memerangkap. _
Baca Seterusnya......