Friday, July 30, 2010

Najib yang tersepit

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Mulanya saya mahu tinggalkan sekejap isu sekitar karenah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang tidak habis-habis itu, juga hal permit penerbitan Suara Keadilan dan Roket yang belum diperbaharui, serta halatuju dan program KAMI (Kumpulan Aktivis Media Independen) bagi melobi dimansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Ya ... banyak lagi isu di luar sana yang wajar disinggung waktu ini, misalnya kembang-kempis perpaduan PAS-Umno, kes saman ekor yang mengundang amarah rakyat atau sensasi pengguguran Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Abdul Latif dari pasukan pendakwaan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ramai beranggapan polemik kebebasan akhbar tidak menyentuh secara langsung kehidupan seharian rakyat yang makin terhimpit dan tersepit sekarang; ia hanya menarik minat pengamal media bebas, manakala kalangan wartawan media propemerintah pun seperti buat tak kisah saja.

Senario politik baru

Malah khabarnya ada segelintir aktivis media baru (laman web, blog dan seumpamanya) menganggap ia bukan isu mendesak kerana, bagi mereka, akhbar bercetak sudah ketinggalan zaman dan makin susut pengaruh dan tandus kredibilitinya.

Justeru, imiginasi rakyat dikatakan sukar "menangkap" isu berkenaan, apatah lagi untuk menggembleng kekuatan bagi menentangnya, sepertimana berjaya diusahakan melalui demonstrasi besar-besaran dalam isu tuntutan pilihan raya Bersih, mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), atau membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI).

Saya tidaklah sampai ke peringkat untuk merendah-rendahkan keupayaan rakyat Malaysia menanggapi isu-isu kritikal, apatah lagi senario "politik baru" semakin mendapat tempat dalam masyarakat, bermula daripada pilihan raya 1999 lagi, dan begitu mengakar kukuh dalam pilihan raya ke-12 dua tahun lalu.

Persoalan yang dahulunya nampak abstrak dan dilihat tidak kurang menarik minat pengundi Melayu, seperti isu kebebasan kehakiman, hak asasi, kepentingan golongan minoriti, sudah mula difahami dengan baik. Teriakan reformasi 1998 memulakan babak baru itu.

Darjah keaktifan penyertaan rakyat terhadap isu-isu sosio-politik semakin tinggi, termasuk melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil, selain parti-parti siasah. Meskipun pengaruh pembangkang merosot teruk dalam pilihan raya 2004, namun kesedaran yang bercambah dengan pantas itu sukar disekat lagi.

Tekanan Najib dan implikasi terhadap pilihan raya

Proses pendemokrasian atau peluasan ruang sivil tumbuh selaras dengan pertumbuhan pesat kelas menengah, kemajuan ICT dan terobosan globalisasi, peningkatan urbanisasi serta penghayatan hidup beragama.

Apa pun, saya tetap melihat bahawa tekanan menyeluruh dan terancang oleh pemerintahan Dato' Seri Najib Razak terhadap tiga organ parti dalam Pakatan Rakyat (Harakah, Suara Keadilan dan Roket) mampu mengundang implikasi politik yang besar dalam pilihan raya akan datang.

Benar, Harakah sudah diperbaharui permitnya - setelah gagal berada di pasaran untuk satu keluaran - tetapi dengan penguatkuasaan syarat-syarat "karut-marut" dan "ugutan" terhadap peruncit di premis awam, oleh KDN, bermula pertengahan Julai lalu, hak PAS sebagai sebuah pertubuhan berdaftar dengan keahlian lebih sejuta orang telah dinafikan.

Mempersudutkan Harakah sekadar untuk "ahli-ahli PAS" serta hanya boleh dijual "di pejabat urusan dan markas parti sahaja", dan amaran KDN akan mengambil tindakan keras jika melanggar pantang-larang itu mengggambarkan terdapat fenomena "counter democratization" di Malaysia.

Parti perlu berinteraksi bebas dengan pengundi

Setiap perdana menteri yang baru menaiki singgahsana takhta mempamerkan dengan bangga gimik melonggarkan sekatan terdahulu, tetapi tanpa perlu menunggu lama, belangnya menyerlah apabila menyerkup kembali sisa-sisa kebebasan dengan peraturan lebih ketat. Senario pada awal pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib adalah contoh nyata.

Bukankah PAS, juga KeADILan dan DAP, merupakan parti politik yang dijamin bebas bergerak memperluaskan pengaruh di kalangan rakyat, dan kemudiannya dibenarkan bertanding dalam pilihan raya (yang sepatutnya bersih, bebas dan adil), bagi memilih kerajaan baru dan "menjatuhkan" regim terdahulu?

Agar rakyat dapat membuat pilihan yang tepat, setiap parti mesti boleh berinteraksi sebebasnya dengan pengundi, bagi menjelaskan manifesto, sikap dan pendirian terhadap apa jua isu dan dasar-dasar yang ingin dibentuk. Saluran perhubungan itu, terutama media, tidak boleh diganggu dengan seribu satu peraturan "karut-marut" yang bercanggah dengan prinsip asas demokrasi.

Memperkecilkan semua lidah rasmi parti Pakatan Rakyat sebagai "sebuah akhbar yang berkonsepkan surat berita parti yang berperanan memaklumkan kepada ahli-ahlinya mengenai maklumat aktiviti parti" - seperti peraturan baru yang dipaksakan KDN - juga merupakan satu lagi syarat yang menodai amalan kebebasan bersuara, selain menonjolkan rasa takut pemerintah terhadap potensi saingan politiknya.

Keadaan ini lebih buruk daripada situasi "padang permainan tidak sama rata" apabila realitinya seolah-olah Umno-BN langsung tidak membenarkan "pemain lain" masuk ke padang!

Pakatan Rakyat ke Putrajaya

Najib cukup menyedari bahawa tugasnya untuk melangsungkan survival kuasa Umno-BN cukup perit, malah seperti bakal menemui "jalan mati". Pilihan raya umum ke-13 memang genting buat kedua-dua, BN dan Pakatan. Inilah peluang terbaik rakyat memilih kerajaan alternatif.

Selepas majoriti dua pertiga BN dinafikan di Parlimen dan penguasaan ke atas lima negeri (antara yang termaju di negara ini), target seterusnya Pakatan hanya satu: Berpindah ke Putrajaya! Dan ini merupakan matlamat yang rasional dan mudah diterima akal, tidak seperti impian pembangkang sebelum ini yang pernah dipersendakan sebagai "menunggu kucing bertanduk".

Kita lihat pelbagai kaedah dilakukan, dengan peruntukan dana awam yang cukup besar (mewabakkan lagi amalan rasuah dalam kerajaan), untuk menjinakkan hati rakyat kembali bersama pemerintah, namun setakat ini "teori pendulum" tidak nampak akan berulang.

Memang diakui bahawa setiap pilihan raya pertama yang diterajui perdana menteri baru (seperti Tun Abdul Razak, dalam 1974; Dr Mahathir, 1982; Abdullah, 2004) menunjukkan prestasi membanggakan BN, tetapi saya yakin fenomena "politik baru" telah menamatkan tradisi itu. Najib tidak berpeluang untuk menikmatinya.

Walaupun ada pihak menyanggah pendapat bahawa majoriti pengundi Melayu masih bersama Umno - merujuk pilihan raya April 2008 - saya lebih suka agar pandangan itu diterima dahulu agar mudah membentuk strategi menawan kelompok terbesar ini.


Pelampau Melayu yang tidak realistik

Najib tentu mengakui bahawa harapannya lebih tertumpah kepada pengundi Melayu sepertimana pengundi Cina menjadi penyelamat kepada Dr Mahathir pada 1999. Trend masyarakat Cina yang bangkit sederap memprotes melalui kertas undi dalam pilihan raya lalu dijangka berterusan. Difahamkan mereka selesa dengan kepimpinan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan begitu terkilan dengan tindakan "merampas kuasa" di Perak.

Kewujudan Perkasa pimpinan Ibrahim Ali, dan sokongan terbuka akhbar Melayu yang dikawal mutlak Umno kepadanya, seperti Utusan Malaysia, makin memburukkan suasana. Faktor Dr Mahathir yang menyusahkan Abdullah dahulu turut tidak membantu.

Walaupun Dr Mahathir pernah dikagumi pengundi Cina, terutama dalam pendekatan ekonominya,bagaimanapun selepas bersara dan kini dilihat agak dekat dengan Najib, imejnya begitu mengelirukan; ada kalanya beliau seakan-akan "pelampau Melayu" yang tidak realistik, mungkin mahu mengulangi era penentangannya terhadap pemerintahan Tunku Abdul Rahman khususnya pasca tragedi 13 Mei 1969.

Rakyat, termasuk orang Melayu, semakin bijak menilai. Membakar sentimen perkauman tidak akan membawa Malaysia ke tahap yang lebih membanggakan, sebaliknya boleh mengundang padah buat semua.


Propaganda Media

Selama mana kita mahu dipermainkan oleh elit penguasa seolah-olah kita mesti merebut-merampas hak bangsa lain untuk hidup lebih sempurna? Miskin sangatkah Malaysia sehingga sesuatu bangsa seolah-olah hanya boleh survive dengan menindas kaum lain? Walhal, berdasarkan skandal kewangan negara yang hangus puluhan bilion, negara kita cukup kaya bukan saja untuk menampung kepelbagaian warganya, malah meliputi pendatang luar.

Najib tidak jemu-jemu cuba mencuri sokongan masyarakat bukan Melayu, antaranya, melalui konsep 1-Malaysia dan beberapa langkah "liberalisasi", tetapi beberapa pilihan raya kecil menunjukkan pengundi Cina tidak mudah diumpan.

Dalam masa sama, hanya mengharapkan orang Melayu terus menjadi penyelamat bahtera BN adalah risiko cukup tinggi. Usah perkecilkan kematangan berpolitik mereka walaupun tiada perubahan jelas di Hulu Selangor dan Bagan Pinang.

Propaganda media yang mendakwa nasib orang Melayu terancam di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor, mungkin boleh menyentuh emosi kemelayuan, tetapi apabila tersingkap realiti, ia boleh menelanjangkan pembohongan tadi dan memberikan kesan lebih buruk buat Umno. Rekod parti itu menerajui kerajaan sejak merdeka adalah catatan sejarah yang membuktikan orang Melayu tetap ketinggalan sedangkan pemimpin Umno merangkul pelbagai keistimewaan.

Mungkin situasi awal lebih memihak Umno tetapi dengan usaha berterusan PAS mendekati rakyat, serta berupaya menjelaskan perkara sebenar terhadap kemusykilan yang sengaja diada-adakan, selain imejnya yang cukup positif sebagai penerajui kerajaan Kedah (dan Kelantan selama lebih 20 tahun), posisi Umno sebagai parti utama orang Melayu boleh menggelongsor.

Yang penting informasi, sebagai kuasa sakti alaf ini, dan cara ia diolah, harus langsung tanpa sensor kepada masyarakat Melayu. Orang Melayu yang bermaklumat dan berpengetahuan tinggi diharap tidak mudah lagi menelan fitnah media tradisional yang dikatakan semakin mendekati tarikh luputnya itu.

Kesepakatan PAS-KeADILan-DAP lebih ampuh

Mungkin Najib percaya majoriti orang Melayu masih terpengaruh dengan media yang dikawal mutlak pihaknya, seperti televisyen dan akhbar, sedangkan internet tetap terbatas di bandar. Justeru, akhbar seperti Harakah dan Suara Keadilan, harus disekat atau paling tidak jualannya dipastikan "tidak membahayakan".

Dengan lingkungan mencengkam itu, sudah tentu Najib tidak bersedia mempertaruhkan kedudukan dan maruahnya, hanya demi mempamerkan imej terbuka dan sederhana.

Dr Mahathir yang merasakan bakal terjunam dengan pengaruh hebat Anwar pada 1998 ternyata tidak sanggup menunggu nasib buruk yang menimpa rakannya, Suharto di Jakarta, lalu merencanakan konspirasi menjatuhkan timbalannya. Begitulah juga Najib. Asakan Pakatan cukup berbisa. Kesepakatan PAS-KeADILan-DAP, yang lebih ampuh berbanding Barisan Alternatif dahulu, mesti dipecahkan.

Orang yang terdesak, seperti Najib, dan parti yang biasa mewah-selesa dengan nikmat kuasa seperti Umno-BN, akan melakukan apa saja untuk mempertahankan takhta. Jangan hanya sekadar menunggu tindakan luar biasa tidak terduga mereka untuk melakukan serangan balas.
Baca Seterusnya......

Monday, July 26, 2010

Media bebas, banteras rasuah dan rawatan kesihatan untuk semua

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Budaya rasuah ternyata mampu menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah regim. Khazanah kekayaan negara, biar betapa melimpah sekalipun, akan dipunggah tanpa batas, untuk mengenyangkan kroni dan suku-sakat penguasa, yang kemudiannya digunakan untuk mempertahankan survival kuasa.

Amalan korupsi semakin merebak dan mewabak apabila ruang awam bagi masyarakat sivil dijerut dan tambah mengecil. Rakyat tidak berpeluang menyalurkan bantahan dan protes secara berkesan bagi memperbetulkan keadaan. Sesiapa yang cuba membongkar dan menyelongkar penyelewengan "akan disusahkan".



HUBUNGAN TIMBAL-BALAS

Kebebasan bersuara sememangnya mempunyai hubungan timbal-balas dengan kemajuan ekonomi sesebuah negara dan berpeluang menyekat budaya bobrok salahguna kuasa, memperkemaskan urus tadbir dan sistem penyampaian awam, serta mengelak daripada pembaziran dan kebocoran dana kerajaan.

Walaupun agensi membanteras tumbuk-rasuk seperti Badan Pencegah Rasuah (yang mula beroperasi 1 Oktober 1967) ditingkatkan menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (pada 1 Januari 2009), namun sekiranya ruang rakyat bersuara disempitkan, yang membataskan lagi upaya "semak dan imbang", apatah lagi jika kuasa mendakwa masih mutlak di bawah Jabatan Peguam Negara (yang sering melakukan pendakwaan jenayah terpiliuh), jangan haraplah kedudukan negara kita dalam ranking dunia akan meningkat.

Negara-negara yang mencapai kedudukan terbaik dalam ranking Transparency International mengenai rasuah, seperti Denmark (tangga pertama), Sweden (pertama), New Zealand (pertama), Finland (kelima) dan Switzerland (kelima) juga menduduki tempat teratas dari segi ranking demokrasi (Denmark, 1; Sweden, 2; New Zealand, 4; Finland, 3; Switzerland, 6)) dan kebebasan akhbar (Denmark, 2; Sweden, 4; New Zealand, 6; Finland, 1; Switzerland, 6).

Pengecualian hanya berlaku ke atas Singapura, yang berada pada kedudukan ke-4 (indeks rasuah) walaupun ranking demokrasinya 74, dan kebebasan akhbar, 114. Statistik merujuk rekod tahun 2007.

Mungkin atas sebab itulah, bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew sering mendakwa bahawa sistem tidak demokratik lebih baik dalam membawa kemajuan ekonomi.

MENYANGGAH HIPOTESIS LEE

Bagaimanapun, Prof Emeritus Amartya Sen, pemenang Hadiah Nobel Ekonomi 1998, menyanggah "hipotesis Lee" itu, dengan mengatakan bahawa ia "adalah berdasarkan empirisisme yang bertaburan, dirumus dari informasi sangat terpilih dan terhad, berbanding sebarang ujian statistik umum ke atas data meluas yang sedia ada."

Jelasnya, terdapat banyak bukti bagi menunjukkan bahawa yang diperlukan untuk menjana pertumbuhan ekonomi lebih cepat adalah iklim ekonomi lebih mesra dan bukannya sistem politik lebih keras.

Beliau menegaskan bahawa respons kerajaan terhadap penderitaan akut rakyat sering bergantung pada tekanan yang dikenakan terhadapnya. "Dalam sejarah ngeri kebuluran di dunia, tiada kebuluran besar pernah berlaku di mana-mana negara merdeka dan demokratik dengan kebebasan akhbar yang relatif," tambah beliau.

Dalam pada itu, buku panduan Trasparency International 2002 meletakkan media yang bebas adalah sama pentingnya dengan kehakiman yang independen, dalam usaha melawan rasuah.

"Perlindungan sumber informasi adalah syarat utama yang diperlukan wartawan agar dapat menjalankan tugas dengan bebas. Wartawan harus yakin bahawa dia dapatmenyebarkan berita tanpa terancam kena denda atau dipenjarakan kerana tidak mengungkap sumber informasinya," tulisan itu dipetik.

Ia turut menyenaraikan faktor-faktor mengapa badan antikorupsi gagal berfungsi dengan berkesan, antaranya, kemahuan politik yang lemah, tidak ada sumber daya atau peruntukan sewajarnya, campur tangan politik, gagal melibatkan masyarakat dan badan itu sendiri korup!

Agensi membanteras rasuah hanya dapat menjalankan tugasnya dengan efektif jika mendapat dokongan politik dari tingkat tertinggi pemerintahan, memiliki sumber daya yang memadaiuntuk menjalankan misi, wewenang yang memadai untuk memperolehi dokumen dan untuk meminta keterangan dari saksi, dan memiliki pimpinan yang dipandang mempunyai integriti yang tinggi.

LONGGOKAN UMPAN RASUAH

Dalam hal ini Lee Kuan Yew (walaupun mempunyai rekod hitam-legam menzalimi musuh politiknya; baca dua memoir politik Said Zahari, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah dan Meniti Lautan Gelora ) memang dikenali mempunyai kemahuan politik yang tinggi untuk membanteras rasuah, berbeza dengan pimpinan kerajaan Malaysia yang seringkali dilihat lebih suka "membersihkan pemimpinnya yang dituduh rasuah".

Malah Umno itu sendiri terbukti bergelumang dengan amalan rasuah dalam proses pemilihan kepemimpinannya, dan kempen pilihan raya umum sering dilonggokkan dengan umpan rasuah oleh pemimpin BN dalam pelbagai bentuk, yang kian sukar dijebak undang-undang. Pelik juga, ada tokoh Umno yang dihalang menyertai pertandingan parti kerana terbukti rasuah tetapi masih dilantik memegang jawatan kanan dalam kerajaan.

Justeru, saya dan beberapa rakan wartawan memutuskan untuk kembali mengaktifkan kembali gerakan bebaskan media melalui Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) agar rakyat seluruhnya mendapat manfaat. Tanpa media bebas, segala "kebusukan" dalam pemerintahan sukar dibanteras, dan kekayaan negara hanya berlegar di kalangan pihak tertentu yang rapat dengan serambi kuasa sahaja.

Selain melobi agar reformasi menyeluruh ke atas Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP), peraturan lain yang mengongkong, misalnya Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) harus turut dirombak. Hanya dengan pembentukan masyarakat bermaklumat yang matang sahaja mampu melahirkan sistem semak dan imbang yang berkesan.

II. HARAKAH DAN PROGRAM KEBAJIKAN RAKYAT

Pengalaman berkampung di wad HUKM - dan sebelumnya naik-turun hospital awam dan swasta, juga pusat perubatan tradisional bagi mendapatkan rawatan - diharap dapat mendekatkan diri dengan realiti kehidupan sebahagian anggota masyarakat yang jarang diberi perhatian.

Selain melihat sendiri penderitaan pesakit, berbicara dengan keluarga yang resah menanti, menyelami kegelisahan mereka yang terpaksa menunggu lama, saya turut berdepan dengan banyak kes "pengabaian" akibat kekangan kewangan pesakit.

Malang sekali apabila si miskin (di negara yang makmur-mewah ini) seolah-olah dinafikan hak mendapat rawatan yang berkualiti hanya kerana kesempitan hidup, dan terpaksa menadah ehsan orang lain.

Dengan peningkatan pelbagai penyakit kronik yang kini tidak mengenal mangsa, kos rawatan semakin membebankan termasuk kepada mereka yang kelihatan "agak senang hidupnya".Teknologi perubatan memang semakin canggih, namun fenomena "antara dua darjat" menyebabkan ia mungkin dinikmati oleh golongan berada sahaja.

PERKASAKAN HOSPITAL AWAM

Terasa keperluan yang cukup mendesak agar hospital awam kita diperkasakan secara tuntas, tanpa lengah agar - seperti janji Pakatan Rakyat - setiap rakyat berhak menikmati perkhidmatan kesihatan awam yang terbaik pada kos yang berpatutan. Pakatan juga akan menimbangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam supaya lebih setanding dengan perkhidmatan sektor swasta.

Benar juga luahan seorang pesakit buah pinggang yang banyak berkongsi pengalaman dengan saya: "Bagi orang macam kita, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat patut diangkat menjadi agensi kerajaan terpenting, ya? Pejabat zakat dan baitulmal pula mesti mudah membantu, kan?"

Tambahnya, "masalah besar, you pun tahu, elit Umno-BN melihat projek kebajikan seperti pembinaan hospital, kontrak bekalan ubat dan peralatannya, untuk kaut untung berlipatganda ... rasuah pun banyak."

Seorang rakan, jurutera kanan sering merungut: "Dalam setiap projek, sekurang-kurangnya RM10 juta hanya untuk rasuah politik. Nilai projek meningkat hanya untuk mengenyangkan kroni dan dana politik parti pemerintah. Semua projek yang berpotensi untuk buat duit dijalankan melalui rundingan, bukan tender terbuka. Hang masih ingat kes bekas setiausaha politik Nor Yaacob, Hasbie Satar?"

(Terdapat kajian merumuskan bahawa projek raksasa yang melibatkan pembinaan infrastruktur lebih disukai daripada projek untuk pembangunan luar bandar, sektor pertanian dan pembasmian kemiskinan kerana skop untuk melakukan rasuah adalah lebih luas dan lumayan lagi. Begitu juga dengan perbelanjaan kendalian, operasi serta penyelenggaraan mesin dan lain-lain aset kerajaan kurang diminati daripada perbelanjaan jentera dan peralatan baru).

RASUAH TETAP PENGHALANG UTAMA

Sepatutnya soal dana tidak menjadi masalah besar bagi mempastikan rakyat mendapat kemudahan perubatan terbaik. Lihatlah betapa pembaziran peruntukan kerajaan begitu besar sekali, sebahagiannya berpunca daripada amalan korupsi, seperti yang pernah diakui Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hasan, sehingga jumlahnya mencecah puluhan bilion ringgit. (Ada dakwaan bahawa pemerintahan Dr Mahathir Mohamad membazirkan lebih RM100 bilion dalam pelbagai skandal kewangan).

Malah, banyak kes pembinaan hospital di negara ini tertangguh, seperti di Shah Alam, dan ada pula yang sudah disiapkan tetapi mengalami kecacatan yang begitu ketara, misalnya di Johor Bahru dan Alor Setar. Sebahagiannya juga disebabkan amalan rasuah. Masakan tidak, peruntukan besar sudah dipotong untuk komisyen politik.

Apabila saya mendapat serangan pertama jantung, awal pagi Disember 2009, dan dikejarkan ke sebuah hospital awam berdekatan, pemeriksaan mendapati saya "okey saja" dan dibenarkan pulang tanpa dibekalkan sebarang ubat. Hinggalah apabila pada sebelah petang, Dato' Husam Musa menziarahi dan menggesa saya ke sebuah pusat perubatan swasta.

Hari itu juga, selepas ujian angiogram, saya diminta menjalani rawatan angioplasti esoknya. Saya masih mengingati balasan SMS Husam terhadap rakaman penghargaan keluarga kami: "Saya melihat sendiri ada rakan-rakan yang tidak dapat diselamatkan kerana lambat dirawat."

Beliau mengharapkan Harakah dapat memulakan inisiatif membantu dan memudahkan rakyat Malaysia yang kesempitan bagi mendapatkan rawatan terbaik. Selama ini Harakah berjaya mengendalikan tabung kemiskinannya (TKH) dengan baik. Agihannya merata ke seluruh negara. Banyak keluarga yang memerlukan sudah dibantu. Sumbangan pembaca juga cukup membanggakan.

Konsep "kerajaan berkebajikan" sebenarnya boleh diterapkan, sekadar mampu, meskipun Pakatan belum mengambil alih sepenuhnya pemerintahan negara ini, bagi meringankan rakyat daripada bebanan kos sara hidup yang meningkat dengan drastik.

Melalui SMS, yang mengungkapkan kesyukuran di atas kejayaan pembedahan "bypass" saya, pembaca yang mahukan Harakah lebih proaktif mendekati degup jantung rakyat bawahan. "Sdr bernasib baik kerana ramai yang membantu, tetapi bagaimana dengan orang biasa yang juga sakit teruk," kata seorang daripadanya.

DEKATI DEGUP JANTUNG RAKYAT BAWAHAN

"Banyak isu seharian masyarakat, seperti kenaikan harga barang dan kecekapan PBT, boleh disorot dari perspektif lebih menarik. Harakah patut turun padang membantu menyelesaikannya, dan usah lupa mempromosi program kebajikan parti terutama Ramadan nanti," seorang pembaca dari Seremban menelefon.

"Jangan biarkan media lain, misalnya TV3 lebih ke depan dalam program membantu golongan miskin dan yang hidup tersepit. Harakah mesti lebih kreatif menjejaki isu-isu rakyat. Jurang kaya-miskin yang kian melebar harus didekatkan. Dedah gelagat pemimpin boros yang asyik perkayakan diri dan suku-sakat," ujarnya lagi.

Insya-Allah, Harakah cuba memanfaatkan pelbagai cadangan itu, sekurang-kurangnya menyokong pelbagai usaha kebajikan bagi menyuburkan semangat untuk membelanjakan harta di jalan Allah. Al-Quran sendiri banyak mendorong, antaranya, maksud al-Baqarah, ayat 261: "Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya ...."

Imam Ahmad meriwayatkan dari Ibnu Mas'ud, bahawasanya ada seorang lelaki yang menginfakkan seekor unta yang hidungnya telah diberi tali di jalan Allah. Lalu Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Engkau pasti akan datang pada hari kiamat kelak, dengan 700 unta yang telah ditalikan hidungnya."

Baca Seterusnya......

Friday, July 23, 2010

Bagai Subuh Isnin yang terakhir ....

Oleh Ahmad Lutfi Othman

CATATAN pengalaman saya menjalani pembedahan pintasan jantung (bypass operation) dibuat sekadar mahu berkongsi rasa, di samping menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga, serta cuba mengambil iktibar positif dari setiap takah-takah kehidupan (bukankah kita diminta merenung pengajaran walaupun hanya tertusuk duri yang kecil), jauh sekali daripada niat sengaja mengangkat episod personal. Memang rakaman ini terasa sukar sekali, ya ... dalam keadaan serba-salah dibimbangi menyelinap keegoan atau niat mengangkat diri, sedangkan motifnya demi manfaat bersama.


Seringkali ada cebisan memori yang dilihat kecil oleh seseorang tetapi mampu mendorong satu perasaan luar biasa oleh individu yang lain.

KEMATIAN

Lagipun, bagi saya, apa jua yang dapat mengingatkan kita tentang kematian (dan memberi keinsafan), usah dipersiakan. Bukankah Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat merenggut kelazatan dunia, iaitu mati." Maksud firman Allah: "Tiap-tiap yang bernyawa akjan merasai mati" (ali-Imran: 185 dan al-Ankabut: 57).

Baginda turut berpesan bahawa Mukmin yang paling beruntung dan bijak ialah ereka yang paling banyak mengingati mati dan mempunyai bekal yang banyak untuk menghadapi kematian.

Justeru, agak kerap juga saya menukilkan kisah kematian yang paling hampir dengan diri, misalnya pemergian secara tiba-tiba puteri tercinta, Nurul Syafiqah, 11 tahun, pada awal pagi 1 Ramadan 2005 (akhbar Siasah), juga kehilangan bonda tersayang, Aishah Megat Hamzah, 11 tahun lalu (majalah Detik). Syafiqah pergi di depan mata kami sekeluarga, manakala khabar duka tentang ibu dikejutkan melalui telefon menjelang subuh.

Difahamkan ramai meninggal dunia apabila mendapat serangan jantung buat kali pertama. Sebahagiannya langsung tidak didahului oleh tanda-tanda awal. Diri sendiri pun tidak menyedari dihimpit risiko arteri tersumbat dan degupan jantung terhenti.

Ada rakan yang kelihatan segar-bugar, aktif bersukan, tiba-tiba dimaklumkan telah dikejarkan ke hospital selepas bermain futsal dan pulang ke rahmatullah dalam perjalanan.

Maut memang mengintai di mana-mana. Alangkah beruntungnya orang yang sentiasa bersiapa siaga untuk menemui Ilahi dan diberi kesempatan (dan kesedaran) untuk menambah bekalan, selain bertaubat nasuha.

MENYEGERAKAN TAUBAT

Dalam kitab "Ensiklopedia Kematian", karya Imam Al-Qurtubi, disebutkan bahawa ciri-ciri orang yang selalu mengingati mati adalah menyegerakan taubat, rendah diri dan rajin beribadah. Sementara ciri-ciri orang yang tidak mengingati mati adalah menangguhkan taubat, tidak ikhlas dengan pemberiannya dan malas beribadah.

Setiap kita pasti ada pengalaman tersendiri diberi "peluang kedua" hidup mengabdikan diri setulusnya, merasai kemanisan beribadah, khusyuk di hening pagi bermunajat, berdoa, "membuat janji baru" dengan Tuhan.

Namun, begitulah kelemahan insan ... keinsafan mudah hilang seperti juga ia kerap kali muncul secara drastik. Ia membekas hanya seketika, tidak mampu membentuk personaliti lebih unggul, dan kembali sombong-angkuh-lalai.

Ahad, 25 April, saya diberitahu bahawa pakar perunding bedah jantung, Prof Madya Dr Mohd Zamrin Dimon akan mengetuai team pembedahan awal pagi esoknya. (Sebelum itu, dijangka Prof Madya Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman, yang saya kenali lebih awal, tiga tahun lalu).

Ternyata perwatakan Dr Zamrin cukup menyenangkan. Ketika berbicara beliau memandang tepat wajah pesakit, memberi ruang cukup selesa untuk saya bertanyakan apa jua keraguan. Senyumannya sentiasa menguntum.

Memang banyak yang berselirat dalam fikiran saya. Ia tidak lari daripada membayangkan entah apa risiko yang bakal menyusul. Alhamdulillah, sejak masuk wad tiga hari sebelum itu saya banyak melatih diri untuk pasrah, bertawakal dan bersedia menerima kemungkinan solat Subuh Isnin, 26 April adalah yang terakhir buat hamba yang menimbun dosa ini. Pergi tidak kembali ...

"SAYA PUN TAKUT ..."

"Ada apa lagi yang nak tanya?" Tanya Dr Zamrin selepas melihat saya agak diam. "Tak ada apa-apa," jawab saya, masih menyimpan debar.

"Lutfi takut Dr," pintas isteri saya, Siti Hawa. "Kalau saya di tempat dia pun saya takut," segera Dr Zamrin membalas sambil tersenyum. (Beliau berpengalaman lebih 10 tahun "membuka jantung" sekitar 1,500 pesakit yang dibedahnya, setiap tiga hari dalam seminggu tugasnya di bilik bedah).

Tidak perlu dinafikan, itulah perasaan yang sukar diredakan, "takut" ... tetapi pantas disusuli dengan "harap". Takut dengan pelbagai risiko "bypass". Meskipun mungkin hanya sekitar tujuh peratus gagal (mati), tetapi jika menimpa kita, ia "adalah 100 peratus gagal"!Namun harapan tetap menggunung, mengharapkan kasih sayang Allah yang tidak bertepi itu.

Sebenarnya semasa menunggu "takdir", saya lebih suka menyendiri. Masa terlalu berharga. Selain isteri di bilik no 3 Wad Sutera, saya mengharapkan tidak ramai tetamu yang menziarahi. Alhamdulillah, tiap detik berlalu (kiraan waktu bukan lagi hari atau jam, tetapi minit dan saat) saya cuba manfaatkan sebaiknya.

Sebaik mendapat "arahan" supaya "bypass", dua minggu sebelum itu, segera saya menghubungi ustaz-ustaz yang saya kenal agar dapat dititipkan "panduan praktikal menghadapi kematian".

Ada yang terkejut dengan permintaan saya. Rakan sekerja menitis air mata. "Saya anggap inilah masa berbaki yang ada. Kalau Allah panjangkan umur, itu bonus," SMS saya buat seorang teman.

MERENTASI ALAM BARZAKH

Saya cuba hubungi Dr Musa Fathullah Harun, pengarang "Perjalanan Rabbani: Merentasi Alam Dunia, Barzakh dan Akhirat". Beliau pernah menjadi guru saya di UTM, Jalan Semarak, sekitar 1980-an dulu.

Semasa mengendalikan akhbar Siasah, saya menjemput Dr Musa mengisi ruangan soal jawab agama. Di samping berhasrat mendapatkan nasihat terakhir daripadanya, saya cukup tertarik dengan huraian dalam kitab setebal 720 halaman itu, terutama tentang sakratul maut dan himpitan kubur. Ia agak berbeda dengan peringatan tentang kematian dalam "Ihya Ulumiddin".

Maksud firman Allah, al-Fajr, ayat 27-30: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai, maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku."

Begitu juga maksud sabda Nabi s.a.w., yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah r.a: "Dan jadikanlah maut itu sebagai kerehatan bagi daripada segala keburukan."

Selepas kematian anak saya, Nurul Syafiqah, hampir 100 buah kitab berkenaan saya hadiahkan kepada kawan-kawan, bersama terjemahan al-Quran, "Pimpinan Ar-Rahman". Dalam kitab itu, Dr Musa menukilkan pelbagai hujah dan dalil bahawa kematian bagi orang Mukmin tidaklah menyakitkan seperti orang kafir atau yang derhaka kepada Allah.

"Hadis yang menggambarkan kesengsaraan dan azab luar biasa yang dihadapi orang Mukmin ketika dicabut nyawa adalah daif, batil dan ada yang palsu serta bercanggah dengan firman Allah," tulisannya dipetik.

Malang sekali saya gagal mendapatkan amanat Dr Musa, namun kitabnya menjadi bacaan wajib, terutama bab amalan harian Rabbani, sepanjang tempoh kritikal menunggu pembedahan, di samping "Pimpinan Ar-Rahman".

Selain itu, "Ensiklopedia Kematian" dan 10 jilid "Tafsir Ibn Kathir" menjadi teman sekatil. Dalam menafsirkan surah Alam Nasyrah, ayat kelima dan keenam, dinukilkan dalam yafsir itu bahawa kalimat kesulitan (al-'usr) dalam bentuk tunggal (mufrad) tetapi kalimat kemudahan (al-yusr) dalam bentuk tidak ada ketentuannya (nakirah),sehingga Nabi bersabda, "satu kesulitan itu tidak akan pernah mengalahkan dua kemudahan".

Surah-surah tentang pemantapan aqidah dan huru-hara kiamat menjadi pilihan. Ingatan seorang jemaah Afrika di Masjid Nabi dua tahun lalu sentiasa mengingatkan saya agar jangan meninggalkan bacaan Al-Kahfi setiap Jumaat, selain melazimi diri dengan Al-Hasyr setiap pagi dan petang.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Mu'qil bin Yasar, bahawa Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Barangsiapa ketika bangun pagi mengucapkan tiga kali, 'A'uudzu billaahis Sami'il 'Aliim minasy syaitaanir rajiim (aku berlindung kepada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari syaitan yang terkutuk), lalu membaca tiga ayat dari akhir surah al-Hasyr, maka Allah menugaskan kepadanya tujuh puluh ribu malaikat untuk mendoakannya hingga sore hari. Dan jika ia meninggal pada hari itu, maka ia wafat sebagai syahid. Dan barangsiapa mengucapkanya pada sore hari, maka ia juga mendapatkan kedudukan yang sama."

BUKU-BUKU BERPENGARUH


Saya menyelak kembali buku-buku yang amat berpengaruh di waktu mahasiswa dulu, misalnya "Petunjuk Sepanjang Jalan", tulisan Syed Qutb dan karya-karya ulama haraki Hassan Al-Banna dan Maududi. Seorang teman menunjukkan buku "Pahala Hidup 7000 Tahun!" Menyedari tugas saya di Harakah, beliau merujuk petikan hadis, yang maksudnya: "Jika aku berjalan bersama saudaraku untuk membantu menyelesaikan hajatnya, ia lebih aku sukai daripada beriktikaf di masjid selama sebulan," dan "orang yang menunjukkan kepada kebaikan (sama pahala) seperti pembuat kebaikan juga".

Soal memberi makan cukup menarik perhatian. Saya menelefon kawan di Pejabat Agung PAS, bertanyakan apakah masih ada program memberi makan percuma setiap petang Jumaat.

Rupanya pemberian sebungkus nasi dan sebotol air mineral itu tetap berjalan walaupun tidak mendapat publisiti. Saya berniat, apabila sihat nanti, akan meuar-uarkan program tersebut secara lebih meluas melalui Harakah, agar lebih ramai dermawan dapat menyumbang. Laporan Berita Harian, seminggu sebelum saya dibedah, tentang seorang pengusaha di Shah Alam menyediakan makanan percuma setiap hari di restoran kecilnya begitu mengujakan.

Segera saya menghantar SMS kepadanya. Beliau membalas, "kami cukup gembira kalau saudara dapat singgah ke tempat kami."

Saya turut diperingatkan oleh seorang ustaz tentang penyebab terkabulnya doa. Antara adabnya adalah bertawasul kepada Allah dengan Asma-ul Husna dan sifat-Nya yang Maha Tinggi, atau dengan amal soleh yang pernah dikerjakan. "Bismilllah enam", risalah Manzil dan al-Ma'thurat, serta solat rawatib, tahajud, taubat, hajat, witir dan dhuha menjadi kelaziman.

Dua untaian doa dalam al-Ma'thurat cukup mengesankan. Maksud yang pertama: "Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya akan terhalanglah sesuatu di bumi dan di langit, untuk menimpakan bencana, dan Ia Maha Mendengar dan Mengetahui. Maksud yang kedua: "Allahumma, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau; Engkau yang menciptakan dan aku abdi-Mu, dan aku berada dalam perjanjian dengan-Mu, ikrar kepada-Mu, (yang akan kulaksanakan dengan) segala kemampuanku; dan aku berlindung pada-Mu dari kejahatan apa-apa yang telah aku lakukan; aku mengakui (dengan sebenar-benarnya) nikmat-Mu kepadaku; dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang boleh mengampuni dosa-dosa, kecuali Engkau."

SUBUH TERAKHIR

Sebaik usai solat Subuh pagi Isnin, ketika jururawat menunggu untuk menolak katil ke bilik bedah, isteri terus berpesan agar tetap mengulangi ayat 51 at-Taubah, bermaksud: "Katakanlah: Sesekali tidak akan menimpa kamiu melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami dan hanyalah kepada Allah orang-orang beriman harus bertawakal."

Subuh itu terasa cukup syahdu dan tenang sekali walaupun saya terlanggar pantang sebelum pembedahan, iaitu tidak boleh minum apa-apa lagi selepas jam 12 tengah malam. Cukup berat mahu bangun dari sejadah. Apakan daya, tiga jururawat dengan wajah manis, sudah tercegat di tepi. Saya perhatikan wajah Siti dalam-dalam ...

Baca Seterusnya......

AMCP: Najib perlu berani mansuh legasi Mahathir

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Keputusan pilihan raya umum, November 1999 memang bersejarah, terutama buat Umno dan Barisan Alternatif. Dan ia didahului oleh satu peristiwa tragis; pemecatan Anwar Ibrahim secara mengaibkan dari jawatan kerajaan dan parti. Teriakan reformasi menjadi fenomena dan siulan popular. Ramai menteri Umno tumbang dalam pilihan raya ke-10 itu.


Jumlah kerusi Parlimen PAS meningkat berlipat kali ganda meskipun majoriti dua pertiga BN belum dapat dinafikan. Selain mengekalkan penguasaannya di Kelantan, PAS berjaya memerintah Terengganu. Presidennya, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dilantik Ketua Pembangkang di Parlimen.

Buat pertama kali propaganda Umno melalui media di bawah kawalan mutlaknya ditolak pengundi, terutama orang Melayu. Perkiraan politik Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad tersasar. Rakyat Malaysia tidak lagi menerima apa saja penjelasan pemimpin kerajaan.

Pertuduhan ke atas Anwar diketawakan, jelas ia dibuat secara tergesa-gesa dan sarat dengan motif politik. Isunya hanyalah survival kuasa sang Perdana Menteri yang begitu takutkan bayang-bayang sendiri. Pengalaman Presiden Suharto yang terpaksa berundur, juga atas desakan reformasi, begitu membimbangkan Dr Mahathir.

Rakyat tidak mudah lagi menelan bulat-bulat muntahan pemimpin Umno. Jualan akhbar utama menjunam, sebaliknya media alternatif seperti Harakah, Eksklusif dan Detik ditunggu-tunggu di pasaran.

Melalui satu kajian, seperti dilaporkan dalam buku "Transparency and Authoritarian in Southeast Asia" oleh Garry Rodan (2004), di antara tahun 1990 dan 2000, pembaca NST jatuh 34 peratus, Utusan Malaysia merudum 27 peratus dan Berita Harian, 30 peratus. Pada masa sama, menurut kajian itu lagi, edaran
Harakah meningkat, daripada sekitar 70,000 naskhah kepada 350,000 naskhah.

Beberapa penerbitan seperti Detik, Wasilah, Tamadun, Eksklusif dan Aliran Monthly, meningkat jualannya. Majalah Tamadun misalnya, yang saya terajui ketika Anwar dipecat, mencatat sejarah. Mungkin buat pertama kali sebuah majalah bulanan terpaksa diulang cetak, bagi terbitan September 1999, dan meningkat mendadak edarannya, daripada 20,000 naskhah kepada 140,000. Halaman warna majalah itu dijadikan poster dan dijulang oleh para demonstran di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Majalah Detik yang saya sewa permit penerbitannya daripada seorang teman juga menikmati tempias yang menakjubkan itu. Jumlah cetakan melebihi 100,000 naskhah walaupun ia diuruskan secara amatur. Ringkasnya, pembaca mula ghairah mencari bahan bacaan alternatif selepas muak dengan "pendedahan lucah" akhbar yang dikongkong Umno-BN. Ketika itu juga laman-laman reformasi diminati sehingga kandungannya difotokopi bagi sebaran ke seluruh pelosok tanahair.

Dr Mahathir jelas berdendam dengan penerbitan bebas, yang memberi ruang buat seteru politiknya mendekati rakyat. Langkah awalnya selepas membentuk kerajaan pada November 1999 ialah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri melalui peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 agar tidak memperbaharui permit Detik, Eksklusif dan Wasilah.

Sebenarnya kebenaran sudahpun diberikan kepada Detik, dan kami telah membayar RM500 kepada KDN. Bagaimanapun, permit yang diluluskan pegawai KDN itu ditarik balik, atas arahan menteri. Difahamkan isu majalah Detik yang digunakan pembangkang dalam kempen di Kedah mendapat perhatian istimewa dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Mujur permit Detik milik seorang kawan, jika ia hak peribadi tentu saya akan menerbitkannya juga disebabkan kami sudahpun menyiapkan urusan rekabentuk kandungan Detik keluaran November 1999. Saya sudah bersedia menghadapi apa jua tindakan KDN. Tetapi bagi mengelak bebanan buat rakan tadi, maka saya terpaksa akur. Rugi besar juga saya ketika itu.

Pada Mac 2000, kekerapan penerbitan Harakah dikurangkan daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan. Fungsinya sebagai sebuah akhbar dilumpuhkan, menyamai majalah-majalah hiburan yang juga diterbitkan dalam kekerapan sama.

Agak hairan juga saya dengan sikap pimpinan PAS yang dilihat "bersikap terbuka" dengan tindakan "ganas" Menteri Dalam Negeri itu. Seingat saya, hanya satu demonstrasi kecil dianjurkan di hadapan Masjid Negara membantahnya.

Kemudiannya kita menyaksikan tangkapan ISA dibuat ke atas aktivis reformasi dengan pertuduhan palsu dan sekatan berhimpun diperketatkan lagi, semata-mata demi survival Umno yang semacam "nyawa-nyawa ikan" waktu itu.

Bagi Dr Mahathir, momentum sokongan rakyat kepada BA harus disekat segera. Ternyata Umno-BN memilih pendekatan keras dan mendera, berbanding cara memujuk, bagi meraih kembali undi pengundi Melayu.


Jika diteliti sejarah pindaan AMCP 1984 - yang dibentangkan di Parlimen pada 3 Disember 1987, lebih kurang sebulan selepas tangkapan borong lebih 110 aktivis sosial dan politik dalam Operasi Lalang ISA, juga membabitkan pembatalan permit empat akhbar, The Star, The Sunday Star, Watan dan Sin Chew Jit Poh - Dr Mahathir memang sengaja mahu bertembung dengan kuasa kehakiman yang dilihatnya banyak menganggu pemerintahan kuku-besinya.

Dorongan utama Dr Mahathir meminda AMCP adalah berikutan kes pembatalan permit kerja wartawan Asia Wall Street Journal (AWSJ) di Kuala Lumpur, John Peter Berthelsen dan kes penolakan permohonan Aliran untuk mendapat permit penerbitan dalam bahasa Melayu.
Dr Mahathir yang juga Menteri Dalam Negeri mengemukakan beberapa pindaan yang cukup tidak demokratik, antaranya, penghapusan konsep pembaharuan permit, menambahkan satu lagi kesalahan iaitu berita yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, keputusan menteri tidak boleh dicabar di mahkamah, dan penyingkiran hak untuk pendengaran bagi kes-kes penggantungan atau pembatalan permit.

Semasa perbahasan di Dewan Rakyat, ramai ahli-ahli Parlimen pembangkang, misalnya Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Lim Guan Eng tidak dapat menyertainya kerana dikurung ISA. Dalam buku "Akhbar dan Kuasa" (1996), Mohd Safar Hasim merakamkan bahawa wakil DAP Bukit Bintang, Lee Lam Thye berkata pindaan seksyen 13A dan 13B amat tidak demokratik dan keras. Tambahnya, cadangan pindaan itu dengan jelas memberi kuasa lebih luas kepada menteri. Sekiranya diluluskan, beliau akan menjadi pendakwa, hakim,
juri, dan pelaksana kerana beliau dan beliau sahajalah boleh membuat keputusan ke atas nasib semua penerbitan di mana tiada ruang untuk menuntut keadilan.

Malah penyokong kerajaan, Dr Goh Cheng Teik (BN - Nibong Tebal) meminta menteri menimbang semula seksyen baru 13A. "Menteri telah mengatakan bahawa demokrasi kita beralaskan sistem pembahagian kuasa. Mengikut falsafah pembahagian kuasa ini tiap-tiap cawangan pemerintah mengadakan peranan masing-masing. Cawangan badan perundangan menggubal undang-undang, cawangan eksekutif menguatkuasakan undang-undang, cawangan kehakiman bertanggungjawab menyemak undang-undang yang digubal oleh cawangan badan perundangan untuk menentukan bahawa ia betul-betul secocok dengan Perlembagaan dan juga menyemak penguatkuasaan undang-undang yang dijalan oleh cawangan eksekutif ini untuk menentukan bahawa ia secocok dengan undang-undang kita."

Wakil tunggal PAS, Nik Abdullah Nik Arshad (Pengkalan Chepa) mengatakan kerajan tamak kuasa, dan terlampau berhasrat untuk mengekalkan kuasa. Dengan sebab itu kerajaan tidak cukup dengan beberapa akta yang ada seperti ISA, Akta Rahsia Rasmi dan sebagainya. Tetapi dengan pindaan itu, lebih ketara nampaknya kerajaan untuk mengepung segenap ruang kebebasan rakyat supaya rakyat menjadi kaku dan beku dalam menyampaikan sesuatu pandangan khususnya tentang kesilapan kerajaan.
Rupanya syarat-syarat permit itu boleh ditambah oleh KDN, misalnya untuk Harakah, ia hanya boleh dijual kepada ahli dan di premis parti, selain kandungannya hanya terbatas kepada kegiatan parti sahaja. Kalaupun Harakah boleh beroperasi di luar batasan itu, ia sekadar ehsan pemerintah, bukannya hak yang dijamin. Seolah-olah ahli PAS hanya terkurung di Batu Caves sahaja dan tidak bercampur gaul dengan masyarakat!

Menyedari tindakan melampau KDN, saya bersama beberapa rakan media membentuk Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI). Tujuannya untuk menimbulkan kesedaran awam terhadap kemerosotan ketara ruang rakyat berpartisipasi terutama melalui media bebas.

KAMI m engadakan pertemuan dengan Suhakam, di sebuah hotel di KL, membabitkan Naib Pengerusinya, Allahyarham Hakim Harun Hashim serta pesuruhjaya Hamdan Adnan, Mehrun Siraj dan Zainah Anwar. Saya kerap diundang Suhakam ke majlis anjurannya, berkaitan kebebasan media. Pernah sekali bersama Zainudin Maidin.

KAMI sempat menganjurkan majlis makan malam sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, di Hotel Vistana, yang turut menganugerahkan Pak Said Zahari sebagai tokoh pejuang kebebasan media. Rakan sepejabat, dengan idea kreatifnya, menyiapkan gimik keranda untuk "jenazah Detik" yang dimatikan secara kejam.

Menteri Dalam Negeri bertukar ganti namun AMCP tetap tidak dipinda dan langsung tiada riak daripada PM Najib Razak untuk melonggarkannya, walaupun ada inisiatif untuk meminda ISA. Reaksi bekas menteri, Syed Hamid Albar bagi memansuhkannya juga tidak dihiraukan. Khairy Jamaluddin, ketika berucap pada forum Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), pada 10 Mei 208 turut menggesa agar AMCP dimansuhkan.

Pada 2 Mei lalu, Presiden NUJ, Norila Mohd Daud menggesa kerajaan supaya mengkaji semula AMCP yang disifatkannya sebagai sudah ketinggalan berbanding dengan keadaan semasa.

Malah dalam tempoh 1999 dan 2000, lebih 1,000 wartawan akhbar arus perdana menghantar memorandum kepada Menteri Dalam Negeri supaya akta berkenaan dipinda.

Justeru, dengan berulangnya karenah KDN mengenai permit penerbitan baru-baru ini, membabitkan Harakah, Suara Keadilan dan Roket tidak syak lagi, tiba masanya KAMI kembali aktif berkempen agar bukan sahaja AMCP dimansuhkan, tetapi media dapat dibebaskan sepenuhnya dari kongkongan pemerintah.

Media bebas akan menguntungkan semua pihak, termasuk kerajaan yang bersikap terbuka.

AMCP yang bermula dengan Ordinan Mesin Cetak 1948, yang digunakan untuk berdepan ancaman pengganas bersenjata komunis, sudah tidak relavan lagi kewujudannya. Di zaman kuasa siber mendominasikan situasi, AMCP hanya perkakas terakhir bagi pemerintah korup mempertahankan hari-hari akhirnya.
layari web khas http://bebaskan-media.blogspot.com/
Baca Seterusnya......

Sebelum degup jantung dihentikan ...

Oleh Ahmad Lutfi Othman

PEMBEDAHAN pintasan koronari jantung sepatutnya bukan lagi proses rawatan yang menggerunkan. Bagaimanapun, apabila operasi angioplasti (mengembangkan saluran darah ke jantung yang tersumbat) ketiga saya gagal pada pertengahan April lalu dan doktor memaklumkan bahawa saya tiada pilihan, selain segera menjalani "bypass operation", saya menerimanya dalam keadaan berbelah-bahagi.

Jantung berdegup kencang. Maaf cakap, memang saya takut dan gerun mendengar "bypass". Dulu, nak ambil darah kat jari untuk test kencing manis pun "seriau". Bila doktor cadangkan suntik insulin, saya mencari pelbagai alasan untuk mengelaknya. Kemudiannya, mendengar operasi angioplasti pun kecut perut. Tup tup kena "belah dada" pula, lagilah menggigil ...
Justeru, saya harus segera membuat keputusan, tidak boleh berfikir panjang lagi. Masa adalah denyut nadi yang pantas bergerak. Bukan memutuskan sama ada mahu dibedah atau tidak, tetapi hanya untuk memilih hospital mana untuk menjalani "major operation" yang mengundang risiko itu. Mulanya saya dicadangkan ke sebuah hospital awam kerana bayarannya rendah. (Untuk tiga kali operasi angioplasti di hospital swasta sebelum itu banyak juga wang dibelanjakan, lebih RM50,000).

Temujanji diatur dengan pakar kardiologi hospital di selatan Kuala Lumpur itu tetapi di saat akhir saya menukar fikiran. Asasnya mudah, saya tiada kenalan di hospital berkenaan bagi bertukar-tukar fikiran dan menjawab beberapa persoalan berbangkit dalam diri. Bukan sangsi dengan kepakaran di sana tetapi terasa diri dalam kegelapan untuk membuat pilihan tepat.

Bulatkan hati

Melalui seorang teman rapat, pensyarah di UKM, saya bulatkan hati ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (kini dikenali sebagai PPUKM). Prof Madya Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman, pakar perunding bedah jantung, yang saya temui di klinik pakar, tingkat 7, peramah orangnya. Bicaranya terus-terang, tidak berselindung, penuh keyakinan.

Meneliti VCD yang dibekalkan pusat rawatan angioplasti, Dr Ramzi mengakui ada risiko pembedahan, tetapi tambahnya, jika tidak menjalani "bypass" risikonya mungkin lebih tinggi. Risiko pembedahan jantung adalah kematian!

"Ada pesakit lebih teruk daripada you, selamat, tapi ada pula yang nampak kurang risiko berbanding you, tidak berjaya diselamatkan," jelas Dr Ramzi menjawab kebimbangan saya. Rekod buruk diabetis selama 20 tahun, ditambah masalah pada buah pinggang saya tambah merisaukan. Beliau menjangka kemungkinan saya terpaksa melalui rawatan dialisis sebaik selesai pembedahan.

Makin kencanglah debaran jantung. Saya melihat kesengsaraan (sebenarnya ketabahan) teman-teman yang buah pinggang mereka gagal berfungsi. Rutin harian terpaksa berubah. Apa pun, ia segera diredakan apabila Dr Ramzi memberitahu ada teknik baru mendapatkan urat di kaki sebagai saluran baru di jantung, iaitu kaedah VMMS (teknologi penuaian pembuluh darah), yang dapat memendekkan masa pemulihan terutama untuk pesakit kencing manis.

Hanya lega sekejap mendengar bicara Dr Ramzi. Gelisah menerpa semula apabila beliau menjelaskan bagaimana teruknya saluran darah saya ekoran mendapan kolestrol sejak sekian lama.

Balik dari HUKM, saya segera mencari kawan-kawan yang ada pengalaman dengan "bypass". Memang di waktu sukar seperti itu rakan-rakan lebih mampu untuk membantu. "Tidak sedar-sedar selepas dibius"

Seorang doktor muda yang mempunyai klinik berdekatan rumah saya - beliau pernah bertugas di IJN - menceritakan kisah sedih ayahnya. Tiada siapa dalam keluarganya menduga ayah mereka "tidak sedar-sedar" selepas dibius untuk pembedahan.

"Kami hampir tidak terbayang risiko itu memandangkan dia tidak menghadapi apa-apa penyakit kronik lain, dia tak ada diabetis macam you," katanya, sambil menambah, "dan bayangkan lagi apa perasaan saya sebagai seorang doktor pula, yang gagal menyelamatkan ayah. Namun, segalanya ketentuan Allah."

Tentunya banyak lagi cerita tentang kejayaan pembedahan pintasan jantung tetapi yang mudah berbekas di hati adalah rekod kegagalan. "Bypass perkara biasa sekarang, Lutfi, nanti awak terasa muda 10 tahun," usik seorang kawan.

Selain itu, saya agak terkejut bila ramai juga membantah apabila dimaklumkan saya memilih HUKM. Rupanya mereka masih mengingati episod duka kematian Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor - Presiden PAS yang begitu disayangi bukan saja ahli-ahli parti Islam itu tetapi sesiapa jua yang pernah mengenalinya - selepas menjalani "bypass' di hospital berkenaan. (Saya sendiri teresak-esak menangis ketika mengiringi jenazahnya dari HUKM, Cheras ke surau berdekatan). Itulah hakikat yang sukar diterima: Ada pesakit nampak sihat dan sesetengahnya "segar-bugar" ketika katil disorong ke bilik bedah, tetapi selepas dibius, "tidak bangun-bangun" lagi. (Ustaz Fadzil yang kerap berjenaka dikatakan masih ceria bertanyakan juadah ayam kampung yang digemarinya sehari sebelum dimasukkan ke wad HUKM).

Pemergian Almarhum selepas PAS menang besar dalam pilihan raya umum 1999 memang satu kejutan (dan kehilangan) besar, apatah lagi beliau merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen, yang menyaksikan keupayaan hebatnya berpidato dan kemampuannya mematahkan hujah lawan dengan gaya yang cukup menarik.

Reputasi HUKM dan kematian mengejut Ustaz Fadzil

Saya tak pasti sejauh mana kes Ustaz Fadzil hampir 10 tahun lalu itu masih memberi impak negatif kepada reputasi Pusat Jantung dan Paru-Paru HUKM (apa pun saya kira tanggapan itu amat tidak adil buat petugas HUKM, terutama pakar-pakar bedah jantungnya, yang ternyata gigih menabur bakti), namun apabila bulat hati memilih "untuk menyerah diri" di hospital berkenaan, saya segera memikirkan situasi terburuk bakal menimpa: kematian.

Terdetik di hati, jika ramai yang dipanggil Ilahi secara tiba-tiba, termasuk anggota keluarga dan sahabat rapat, saya merasakan lebih bernasib baik kerana masih sempat untuk bermuhasabah, bertaubat, bermunajat dan melazimi diri dengan amalan mendekatkan diri dengan Allah. "Mati tetap akan datang, tidak di bilik bedah, mungkin di atas katil di rumah, atau terbujur di jalan raya. Awak patut bersyukur Lutfi, jika ditakdirkan tidak panjang umur, awak sekurang-kurangnya dapat membuat persiapan bertemu Ilahi," hati saya berbisik-bisik, sebenarnya mahu menenangkan diri sendiri.

Terlintas dalam fikiran bahawa nikmat kesihatan bagai disia-siakan selama ini. 46 tahun usia berlalu terasa sekejap. Selain menelaah kitab-kitab agama yang lama tidak disentuh, terutama tafsir IbnuKathir, saya menghubungi ustaz-ustaz untuk mendapat pedoman memanfaatkan kesempatan paling berharga itu.

Benar dan ternyata cukup benar, ayat-ayat Allah adalah penyembuh kegelisahan. Bebanan dosa yang menimbun membayangi kegelapan malam. Satu demi satu peristiwa silam menjelma dalam kotak fikir. Masa merenung diri pantas berlalu.

Saya turut dinasihatkan agar, jika mampu, banyak membuat kenduri atau majlis makan, khususnya untuk fakir miskin, anak-anak yatim dan pelajar-pelajar tahfiz.

Menyantuni keluarga tahanan ISA

Terasa puas bila mengingatkan sempat juga saya menyantuni dan membantu keluarga malang tahanan ISA melalui rayuan bersiri dalam Harakah, termasuk menziarahi mereka sehingga ke negeri di bawah bayu. Bertemu muka dengan anggota keluarga tahanan ISA ketika suami atau ayah mereka dikurung tanpa bicara cukup menyedarkan bahawa kita masih tidak melakukan yang sepatutnya bagi memansuhkan akta drakonian yang zalim itu.

Bagaimanapun tabung ISA mendapat sambutan menggalakkan, sekurang-kurangnya dapatlah sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka terutama menjelang hari libur.

Seorang bekas tahanan ISA, warga Moro yang mempunyai keluarga di Sandakan, Sabah, yang kini dipenjarakan di Manila selepas dibebaskan dari Kamunting sempat berbual melalui telefon. Beliau nyata sebak, tetapi masih sempat menyuntik kata-kata perangsang buat saya. Kebetulan beliau juga menderita sakit kronik, yang turut memerlukan pembedahan.

Terselinap di hati bahawa lebih ramai insan yang bergelut dengan keperitan dan kesengsaraan. Sudahlah sakit, keluarga pula terpaksa mengerah keringat mencari sesuap nasi.

"Lutfi lebih beruntung"

"Bapa saya buat bypass di usia lebih muda, 42 tahun, lebih 15 tahun lalu. Dia buat persiapan macam akan pergi buat selamanya. Kami sekeluarga belajar untuk pasrah. Hari operation, saya anak sulung terpaksa menjaga adik-adik di rumah.

"Hanya emak dan seorang dua saudara yang menunggu di luar bilik bedah. Bulan puasa pula tu. Alhamdulillah, sampai sekarang dia sihat. Lutfi lebih beruntung, ramai mendoakan dan membantu kos rawatan," kata bekas kawan sepejabat yang pernah membantu semasa saya mengusahakan penerbitan akhbar politik tidak berkala selepas majalah Detik dan Wasilah diharamkan KDN. Beliau banyak meredakan kekhuatiran yang kerap menerpa ketika itu. (bersambung)
Baca Seterusnya......

Kebebasan akhbar mesti diperjuang, bukan ehsan

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Saya masih bercuti panjang sehingga hujung Julai ini. Kesan luka di kaki berikutan pembedahan pintasan jantung dua bulan lalu masih terasa. Berjalan pun kena bertongkat, tapi alhamdulillah semangat untuk menulis mulai muncul, apatah lagi apabila mendengar khabar duka bahawa permit penerbitan Harakah belum diperbaharui.

Resah saya memikirkan karenah tidak habis-habis oleh KDN yang diberi kuasa mutlak oleh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Akta ini diperketatkan oleh Dr Mahathir Mohamad sebanyak dua kali di zaman pemerintahannya, 1984 dan 1987. Akta ini dengan angkuh menafikan segala ruang untuk semakin kehakiman, sekali gus memberikan kuasa mutlak seluas langit dan bumi kepada Menteri Dalam Negeri untuk menggantung atau tidak memperbaharui mana-mana permit penerbitan.

Tidur saya kini kerap terganggu, bukan lagi disebabkan menahan sakit di dada atau perit di kakit, tetapi "sakit hati" dengan kesombongan regim Umno-BN. Di kala dunia berbicara soal proses pendemokrasian sejagat, Najib Razak memilih jalan lain, undur ke belakang dan akan diketawakan masyarakat antarabangsa. Ketika konsep langit terbuka dan jaringan maklumat dapat diakses dengan mudah dan cepat di mana saja, suasana kebebasan akhbar di Malaysia mundur semundur-mundurnya.

Melalui buku Strategi Membanteras Korupsi, Jeremy Pope dalam bab Masyarakat Sivil, menukilkan ungkapan Woodrow Wilson: "Kebebasan tidak pernah datang dari pemerintah. Kebebasan adalah hasil perjuangan penganut-penganutnya."

Saya cukup tertarik dengan kata-kata penuh makna ini. Kebebasan tidak akan datang menggolek, ia mesti diperjuangkan dengan segala kekuatan dan potensi yang ada pada kita. Pemerintah yang berasa selesa dengan pelbagai akta dan peraturan yang mengongkon akan terus menindas demi survival kuasa mereka. Soalnya, bagaimana dengan kita, apakah sekadar memerhati atau mengambil masa terlalu lama untuk bertindak menuntut hak yang terancam ini?

Bagi saya, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan cukup memperbodohkan kita. Selepas PAS bersama Barisan Alternatif mencapai kemenangan gemilang dalam pilihan raya umum 1999, tanpa sebarang sebab, tiga bulan selepas itu, permit penerbitan Harakah dikurangkan, daripada diterbitkan dua kali seminggu menjadi dua kali sebulan.

Sebelum itu, macam-macam peraturan baru, sama ada dari segi pengedaran, jualan dan juga kandungan Harakah dikuatkuasakan. Kebanyakannya bercanggah dengan logika dan rasional. Malah pengurusan Harakah terpaksa membazirkan bukan sedikit wang untuk menyediakan rak khas kepada peruncit, seperti diarahkan KDN.

Kini, KDN dengan peruntukan luarbiasa akta berkenaan sekali lagi datang menganggu. Pernit Suara Keadilan tidak diperbaharui, manakala nasib Harakah hanya mengharapkan ehsan menteri. Dalam masa seminggu Harakah terpaksa menjawab dua surat tunjuk sebab. Dakwaan yang dikenakan adalah kitaran semula surat-surat lama KDN
Banyak pihak mengharapkan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mengambil perhatian serius dan segera isu ini. Jika di negara maju lain, misalnya Britain, isu berkaitan sekatan penerbitan akhbar boleh menyebabkan kerajaannya tumbang, tetapi setakat ini di Malaysia keadaan seperti "tidak berlaku apa-apa". Ramai menunggu apa langkah terbaik daripada pimpinan dua parti terbesar dalam negara ini, PAS dan KeADILan, apabila hayat organ parti masing-masing terancam ....
Baca Seterusnya......

Tamatkan segera hayat keangkuhan akta penerbitan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Kebebasan media adalah antara ciri utama sistem demokrasi selain elemen lain seperti kebebasan berucap, proses pilihan raya bebas dan adil, kebebasan berorganisasi, pemerintahan berasaskan suara majoriti, hak minoriti dihormati, kewujudan pembangkang yang berkesan, kehadiran NGO dan kumpulan pendesak yang berautonomi, dan kebebasan badan kehakiman. Media yang bebas dan berintegriti boleh menjadi "The Fifth Estate" yang berupaya mencorakkan pandangan umum dan bertindak sebagai "semak dan imbang" terutama dalam pemerintahan yang dikuasai oleh suatu parti yang dominan.


Namun, elit politik yang seringkali menyalahgunakan kuasa, korup dan mengkhianati amanah rakyat cukup bimbang dengan peranan media bebas. Mereka gentar jika pelbagai penyelewengan dapat dibongkar, sekali gus menimbulkan kesedaran sivil yang meluas, serta boleh menggugat survival regim yang memerintah. Justeru, pelbagai akta drakonian dikuatkuasakan, bertujuan menekan media dan menghalang rakyat daripada mendapat maklumat yang benar. Fenomena globalisasi dan langit terbuka yang menyaksikan kepantasan pengaliran maklumat merentasi apa jua sempadan fizikal rupanya tidak berjaya memaksa pemerintah semi-autoritarian itu untuk melonggarkan - apatah lagi membatalkan - peraturan yang bukan sahaja tidak demokratik, kuno malah "karut-marut".

Ketika gelombang pendemokrasian dilihat mendapat reaksi positif di negara jiran, Indonesia, selepas kejatuhan Suharto lebih 10 tahun lalu, Malaysia yang juga pernah menghadapi gegaran hampir sama (tuntutan reformasi 1998) langsung tidak menunjukkan perubahan membanggakan. Meskipun kadar urbanisasi dan pertumbuhan kelas menengah (satu petunjuk jelas yang sepatutnya membuka lebih luas ruang sivil dan perdebatan awam) lebih pantas di sini, namun pemerintah Umno-BN tetap bersikap bebal, mengamalkan budaya lapuk menutup telinga daripada mendengar suara kritikan atau teguran. Pandangan berbeda daripada masyarakat sivil dihadapi dengan penuh prejudis, ditanggapi dengan bermacam-macam label negatif dan jahat. Hujah dan rasional langsung tidak dihormati. Pemerintah lebih selesa memilih pendekatan keras menolak perbincangan.

Ketika Indonesia, bermula di bawah era Habibie dan Gus Dur, melakukan perubahan drastik memulihkan demokrasi seperti pemansuhan dwifungsi Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) dan undang-undang yang menekan kebebasan, selepas 12 tahun Malaysia tidak menyentuh pun sebarang akta rimba. Baru-baru ini kerajaan memaklumkan akan membentangkan beberapa pindaan terhadap tujuh akta berkenaan, antaranya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Seksyen 27 Akta Polis 1960 berkaitan perhimpunan awam yang tidak memerlukan permit, namun ia belum menjamin ruang untuk rakyat berpatisipasi dalam hal-hal politik diperluaskan. Gesaan agar ISA dihapuskan pernah disuarakan dalam satu perhimpunan raksasa di Kuala Lumpur tidak lama dulu.

Apabila timbul isu permit penerbitan Suara Keadilan tidak disambung (diharamkan) ekoran dakwaannya bahawa "Felda bankrap", saya merasakan sudah sampai masanya peraturan mengenai kebebasan media, iaitu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 diberikan perhatian istimewa.

Tentunya usaha ini tidak mudah dan memerlukan penggemblengan dan dokongan luar biasa. Kempen pemansuhan akta, yang mengandungi pelbagai syarat-syarat permit yang "karut-marut, tidak masuk akal dan tidak cerdik" itu semakin relevan dan kena pada masanya apabila hayat penerbitan Harakah juga turut terancam di bawah peraturan sama. Selama ini operasi penerbitan dan pengedaran terhad akhbar-akhbar milik parti bukan-BN itu hanya dibenarkan atas ehsan Menteri Dalam Negeri, yang sering dijawat oleh menteri kanan.

Jika beberapa tuntutan massa seperti proses pilihan raya yang bersih-bebas-adil, dan pemansuhan ISA serta PPSMI dapat menggegarkan Kuala Lumpur, saya kira lobi menguburkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan harus dimulakan dengan pembentukan gabungan NGO yang prihatin dengan kebebasan bersuara dan hak asasi. Sebelum ditamatkan perkhidmatan melalui satu rombakan kabinet oleh Dato' Seri Najib Razak, Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar pada Ogos 2009 berkata kementeriannya bercadang memansuhkan akta tersebut kerana ia sudah tidak relevan dengan perkembangan teknologi dan juga tidak disenangi ramai. "Rakyat tidak suka akta itu, syarikat-syarikat media pun tidak suka akta itu," kata Syed Hamid. Sayangnya cadangan beliau hilang lenyap begitu sahaja dan tidak sempat pun mencetuskan perbincangan mengenainya.

Beberapa tokoh media, misalnya Dato' A Samad Said, Pak Said Zahari dan Haji Subky Abdul Latiff dilihat boleh menjadi sumber inspirasi buat gerakan pemansuhan akta berkenaan. Rakyat harus didedahkan dengan kewujudan peraturan "karut-marut yang membodohkan" itu, yang bercanggah sama sekali dengan perkembangan canggih dunia maklumat. Segala-galanya terletak di bawah budi bicara mutlak menteri, sama ada mahu meluluskan, menggantung atau membatalkan sesuatu permit (seksyen 6), tanpa perlu memberikan sebarang alasan. Akta yang dipinda pada 1998 itu dengan bangganya, melalui seksyen 13A dan 13B, mengisytiharkan bahawa keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah, malah "tiada seorang pun boleh diberi peluang untuk didengar berkenaan dengan permohonannya untuk mendapatkan permit atau berhubungan dengan pembatalan atau penggantungan permit"

Itu belum dibahas lagi syarat-syarat permit organ parti yang tidak munasabah langsung, misalnya larangan menjual kepada bukan ahli parti, hanya boleh dijual di premis parti dan tidak boleh dijual di tempat awam. Seolah-olah PAS dan KeADILAN itu suatu organisasi bawah tanah, atau menteri merasakan ahli-ahli parti berkenaan hanya boleh dibilang dengan jari dan tinggal di gua terpencil!

Pilihan Raya Umum Ke-13 memang kritikal bukan saja buat Umno-BN, malah kepada Pakatan Rakyat. Najib, yang dilihat dekat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, mungkin mengambil pendekatan sama seperti mentornya itu kepada seteru politik. Meskipun kini ada pilihan lain seperti munculnya kuasa siber, namun Pakatan Rakyat tidak boleh memandang mudah sekatan kepada penyebaran maklumat secara tradisional ini. Selain menuntut kreativiti dan inovasi hebat mencari peluang baru dan memanfaatkan potensi di ruang maya, kempen memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan tidak boleh dilengahkan.
Baca Seterusnya......

Pengalaman awal pembedahan pintasan jantung

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Tulisan ini mahu bermula dari mana, ya? Tentang rawatan dari pembedahan pintasan jantung yang kian pulih? Itu mungkin terlalu personal dan tidak ada elemen kepentingan umum. (Bagaimanapun saya kira banyak juga pengalaman, terutama menjelang subuh Isnin, 26 April, sebelum katil ditolak ke bilik bedah HUKM boleh dikongsi bersama nanti).


Mengenai politik yang tidak pernah reda suhu kepanasannya? Tentunya sudah banyak diulas oleh karyawan lain, lagipun saya sendiri jarang mengikuti dari dekat pergolakan semasa. Umpama tertinggal keretapi.

(Namun, isu berkaitan permit Suara Keadilan dan kuasa tanpa batasan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang mengetepikan sama sekali fungsi mahkamah, wajib disinggung. Harakah juga harus bingkas mempersiapkan diri sebagai media PRU13 yang paling ampuh).

Sudah cukup lama saya meninggalkan kolum ini, Catatan Hujung, nama ruangan tetap yang dimulakan di majalah Dunia Islam pada awal 1990-an, kemudian berpindah ke majalah Tamadun, seterusnya Detik (hanya sempat setahun usianya sebelum majalah yang diterbitkan ketika gema reformasi memuncak itu diharamkan Kementerian Dalam Negeri), beralih menghiasi lembaran akhir akhbar Siasah. Kini menumpang di Harakah. Harapnya ia kekal lebih lama, dan konsisten.

Agak ramai kenalan merungut tentang 'kemalasan' saya menghidupkan kolum tersebut. Apabila sesekali keluar Kuala Lumpur, bertemu secara tidak sengaja pembaca Harakah, mereka kerap mengingatkan tentang Catatan Hujung. Sering kali saya berdaleh dengan kekangan kesihatan.

"Tak perlu tulis yang berat-berat. Apa saja saudara tulis, okey, terutama yang menyentuh jiwa," jawab pantas seorang yang mengaku 'peminat' ketika saya singgah minum di Dungun, empat bulan lalu. (Saya pun kurang mengerti apa maksud 'menyentuh jiwa' itu namun yang pasti ia membuatkan saya lebih terasa sukar untuk memulakannya).

Rasanya sejak menjalani operasi angioplasti, ekoran tiga salur darah jatung tersumbat, bermula Disember 2009, kolum ini tidak diisi. Sebenarnya ia satu kegagalan besar.

Bagi seorang kolumnis, apa pun hambatan menerpa, kolum mesti disiapkan, dengan apa jua cara. Pengalaman kolumnis besar, seperti Subky Abdul Latiff, cukup sukar untuk saya teladani.

Bagi Pak Subky, tiada alasan untuk mengetepikan deadline. Ketika beliau keluar negara, hatta semasa mengerjakan fardu haji (dan teknologi ICT belum cukup canggih lagi waktu itu), kolumnya untuk dua bulan disiapkan terlebih dahulu. Saya menjadi kerdil jika mahu dibandingkan dengan pengasas Harakah itu, juga kolumnis lain, misalnya A Shukur Harun dan Dinsman.

Keperitan menanggung penyakit kronik dan meniti episod 'hidup-mati' memang misteri yang 'cukup indah'.

Anda belajar mengenali diri setulusnya, menyerah sebulatnya kepada Yang Maha Pengasih, menyedari keterbatasan memaknakan kehidupan, dan mengkagumi bagaimana cantiknya ukhuwwah sesama Muslim. Mulanya memang sukar untuk menerima hakikat namun selepas 'dipelajari' (harus ada keinsafan dan kesungguhan untuk menekuninya), insya-Allah akan terbuka hijab dan lapis-lapis yang mendindingi selama ini.

Sebagai mukadimah, catatan ini terasa cacatnya jika tidak mengalungkan penghargaan buat seluruh team pembedahan saya tempoh hari, yang diketuai Dr Mohd Zamrin Dimon, Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman (kedua-duanya pakar perunding bedah jantung), pakar bius Dr Joanna, Dr Hairulfaizi Haron, Dr Ishamuddin Ismail dan dua perfusionist, Yusof Hambali dan Zulkifli Zain. Juga buat para jururawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta Wad Sutera, HUKM.

Saya sama sekali tidak dapat melupakan kunjungan, doa, bantuan dan sokongan begitu ramai pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat, khususnya Presiden Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menghantar SMS pada malam pembedahan.

Begitu juga dengan majlis solat hajat yang diatur tanpa pengetahuan saya. Termasuk yang menawarkan bantuan rawatan secara percuma (termasuk Ustaz Ahmad Awang dan isteri yang hampir setiap minggu membawakan ubat homeopathy Dr Azmi Zainonabidin dari Kamunting, Perak).

Bantuan kewangan Dato' Husam Musa dan pihak Harakah (melalui perhatian serius Dato' Mustafa Ali dan Dato' Kamarudin Jaffar) cukup banyak membantu. Kenalan lama tiba-tiba menziarahi sekali gus menghulurkan bantuan yang tidak pernah terlintas. Maha Suci Allah ...
Baca Seterusnya......

Blog Archive