Sunday, February 27, 2011

Lebih baik Rosmah saja jadi PM

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Kolumnis terkemuka, A Kadir Jasin mengulas beberapa respons dalam blognya, mengenai pembabitan aktif isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor, terutama dalam lawatan terbaru ke Asia Barat (kunjungan empat hari ke Oman). Rosmah ke sana bukannya kerana mengiringi Najib Razak. Ini bukan kali pertama Rosmah bertindak atas kapasitinya sebagai "First Lady", yang sebenarnya jawatan itu tidak diperuntukkan dalam sistem pemerintahan di negara kita.

Melalui blognya, kadirjasin.blogspot.com, terdapat pembahas yang mencadangkan agar Rosmah masuk politik dan bertanding pilihan raya umum akan datang. Menurut Kadir, seorang bekas menteri kanan yang diketahui cukup akrab dengan Najib dan Rosmah berkata isteri Perdana Menteri itu berpengaruh dan berpotensi memanfaatkan kedudukan istimewanya untuk satu peranan yang lebih besar.

"Rosmah sudahpun mempunyai profil yang cukup tinggi dan mempunyai kedudukan de facto dalam sistem pemerintahan negara melalui projek Permata Negara yang mendapat peruntukan langsung dari Perbendaharaan sebanyak RM111 juta dalam Belanjawan 2011. Beliau juga memperoleh dan menikmati liputan berita yang cukup rapi dan meluas daripada media," tulis Kadir.

Selepas memperincikan kemunculan begitu ramai isteri sebagai pengganti suami dalam lanskap politik dunia, Kadir sempat mengusik: "Saya rasa pembangkang pun akan pening kepala kalau Rosmah bertanding. Hubungan beliau yang akrab dengan bintang-bintang Bollywood, boleh digunakan untuk menarik puluhan ribu hadirin ke ceramah-ceramah pilihan rayanya.

"Yang perlu hanya membawa bintang-bintang filem Bollywood dalam kempen beliau. Selain itu, beliau juga seorang penyanyi yang bagus yang tentunya boleh memikat hati pengundi Melayu yang rata-rata gilakan Bollywood dan sukakan hiburan."

Saya turut bersetuju andaikata Rosmah berhasrat untuk terlibat aktif dalam politik, termasuk bertanding dalam pilihan raya umum dan bersedia menggantikan Najib nanti.

Situasi menjadi lebih keliru jika benar beliau sekarang bertindak di sebalik tabir dalam proses pembuatan dasar dan juga penganugerahan projek-projek. Keadaan hampir menyamai era Abdullah Ahmad Badawi apabila menantunya, Khairy Jamaluddin dikatakan menentukan keputusan-keputusan penting negara.

Biar rakyat membuat penilaian, sama ada seorang wanita bersedia dipilih rakyat sebagai Perdana Menteri, daripada membiarkannya menjadi dalang yang tidak boleh dipertanggungjawabkan, 'kan? Apatah lagi lawatan glamournya itu menghanguskan wang rakyat yang begitu banyak. Bayangkan saja kos penginapannya di sebuah hotel di Dubai didakwa mencecah RM140,000 semalam!

Lebih daripada itu, Rosmah cukup licik mempergunakan kedudukannya sebagai isteri Perdana Menteri, sehingga banyak pihak rimas dengan "kuasanya" yang melampaui batas. Segalanya mahu disentuh Rosmah, kadang-kadang mengalahkan menteri yang mengetuai potfolio tertentu.

II.

Selepas Dr Mahathir Mohamad dimalukan bekas anggota kabinetnya sendiri, Shahrir Abd Samad, di Johor Bahru pada 1988, tiada lagi kelibat Perdana Menteri, termasuk Abdullah dan Najib kemudiannya, dalam kempen pilihan raya kecil. Mereka lebih suka menyerahkan tugas mengetuai jentera BN kepada timbalan masing-masing. Namun di Sibu Najib terpaksa turun ke jalan raya dan pasar untuk meraih simpati masyarakat Cina di sana. Akhirnya BN tewas juga.

Di Tenang, Najib bertindak lebih awal berkempen menemui pengundi, dengan menggunakan kemudahan kerajaan sepenuhnya, sebelum tarikh penamaan calon lagi, malah sebelum nama wakil BN diumumkan pun. Beliau mengadakan lawatan sehari suntuk ke Labis, pada 18 Januari lalu. Ketibaan Najib dengan helikopter khas kira-kira 9.30 pagi itu semata-mata untuk berkempen memenangkan BN dan menolak calon PAS.

Tumpuan Najib adalah para peneroka Felda, dengan program di Pusat Komuniti Felda Chempelak Barat dan jamuan makan di Padang Awam Felda Tenang, diikuti majlis ramah mesra bersama masyarakat India di Dewan Serba Guna Majlis Daerah Labis dan merasmikan bangunan tambahan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Labis, seterusnya menghadiri majlis ramah mesra bersama masyarakat Cina.

Dengan memakai topi berlogo BN, Najib dilihat bersalaman dengan orang ramai. Jelas dalam Buletin Utama TV3, Perdana Menteri melemparkan dakyah politik. Selain mempromosikan "jasa-jasa BN" terhadap masyarakat Felda, Najib menggesa pengundi tidak membaca apa jua risalah yang mempunyai lambang PAS, KeADILan dan DAP. Nampak sangat Pengerusi BN ini begitu takutkan penyebaran maklumat dan informasi yang bakal mendedahkan tipu-helah mereka selama ini.

Dalam majlis sama, Najib sekali lagi mencari helah untuk tidak bersemuka dengan Anwar Ibrahim di pentas debat terbuka. Ketua Pembangkang pada tarikh sama, 18 Januari, melalui suratnya kepada Perdana Menteri, mempelawa Najib berdebat mengenai "isu berkaitan ekonomi negara dan fakta-fakta yang terkandung dalam Buku Jingga".

Bagi Anwar, isu-isu tersebut kian mendesak memandangkan kos sara hidup melonjak tinggi, harga barang semakin meningkat dan membebankan rakyat, manakala hutang negara melonjak lebih 50 peratus.

Anwar yakin debat itu mampu memberi manfaat kepada usaha memperkukuh amalan demokrasi, penyebaran maklumat tanpa sekatan dan memulihkan kembali ekonomi negara.

Bagi saya, lebih penting daripada mencongak siapa bakal pemenang di Tenang adalah memastikan proses pilihan raya yang bersih, adil, bebas dan telus. Biar "padang permainan sama rata" buat semua calon yang bertanding. Proses pendemokrasian di Malaysia harus melambangkan kematangan dan kedewasaan kita setanding negara-negara maju. Banyak negara yang lewat mengamalkan demokrasi daripada kita tetapi berjaya melaksanakannya secara bertanggungjawab dan penuh integriti.

Sayang sekali, Najib tidak menunjukkan teladan yang baik untuk dirakam sejarah. Beliau -- seperti juga pemimpin utama BN sebelum ini -- sanggup memperalatkan apa jua institusi kerajaan dan mengamalkan rasuah politik, demi memastikan maruah BN di Johor tidak tercalar lebih teruk.

Saya kira buku Reforming Political Finacing in Malaysia, terbitan Trasparency International - Malaysia elok ditelaah bagi mendapatkan gambaran lanjut tentang isu-isu berkaitan politik wang di negara ini.

III.

Pagi Selasa lalu, saya tidak sempat menunggu isteri yang menjalani rawatan rutin di Institut Perubatan Respiratori Hospital Kuala Lumpur, berhampiran pejabat Harakah.

Saya terpaksa berkejar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bertemu pakar bedah saraf. Tiga hari sebelum itu, selama tiga hari saya berehat di wad HUKM sambil mengikuti beberapa ujian pemeriksaan kesihatan.

Setiba di rumah, isteri nampak seronok bercerita tentang gelagat pemandu teksi yang membawanya balik ke Bukit Ampang. Menurut isteri saya, lelaki Cina itu, kelihatan lebih berusia daripada umurnya, 59 tahun, tetapi tidak henti-henti bersembang sepanjang perjalanan. Saya cuba rumuskan bicara pemandu teksi yang peramah itu, seperti diceritakan semula oleh isteri saya:

"Ramai orang susah sekarang. Macam saya, bawa teksi, hanya cukup untuk makan dan sewa rumah. Harga barang-barang naik melambung. Tapi lagi sakit hati saya apabila pemimpin kerajaan bandingkan harga dengan negara luar. Betullah, harga di sana lebih murah, tapi gaji mereka jauh lebih tinggi, berkali-kali ganda. Janganlah ingat kita ini bodoh.

"Malaysia ini cukup kaya. Jauh lebih kaya, dua tiga kali ganda daripada Singapura. Tapi you tengoklah sendiri, siapa yang senang? Duit tak sampai kepada rakyat. Orang berkuasa yang sapu. Siapa yang kaut semua? Sekarang, gaji di Singapura jauh lebih tinggi daripada kita walaupun negara kita sebenarnya lebih kaya.

"Kita bukannya tamak nak kaya, nak rumah mewah. Senang sikit cukuplah, bagi lega sikit hidup. Tak perlu teruk-teruk bekerja tapi hasilnya sikit, macam saya ini. Sudah macam-macam sakit sebab susah hati, tension.

"Macam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, kita dapat air percuma, cukuplah. Kalau ada lebih nanti, mungkin banyak lagi yang kita akan dapat, okeylah tu sikit-sikit dulu ...

"Saya nak bagitau you, jangan takut tukar kerajaan. Lima tahun saja. Kalau tak puas hati, tukarlah balik. Lima tahun bukan lama, sekejap saja. Kalau boleh tunggu 50 tahun BN perintah, kenapa takut nak cuba kerajaan baru ... untuk lima tahun saja.

"Nak undi apa pun tak apa. Tak kira PAS, KeADILan atau DAP, asal jangan Umno sudahlah.

"Memang kerajaan tak suka orang lawan dia. Mereka guna ISA untuk tutup mulut rakyat. Tapi orang sekarang sudah tak takut lagi. Saya tak ada komputer tapi saya tahu orang lain tekan saya komputer, dapat tahu macam-macam rahsia kerajaan."


Apabila pemandu teksi itu menyebut ISA, isteri saya menyambut pantas: "Suami saya pun pernah ditahan ISA." Beliau juga berulangkali menyatakan kekaguman tidak terhingga kepada "orang tua di Kelantan" yang baginya terlalu hebat. "PAS tak akan kalah selagi ada orang tua itu di Kelantan," ujarnya bersungguh-sungguh.

Isteri saya terpaksa menyebut nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkali-kali apabila nampak beliau seperti susah sangat hendak mengingati Menteri Besar Kelantan.


IV.

Teruja saya membaca laluan perit yang dilalui Presiden, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari yang terpaksa membuka 'pejabat' sendiri di depan ibu pejabat Utusan Melayu sebagai tanda bantahan terhadap majikannya yang menggantung kerjanya. Hata dituduh menyindir pengurusan Utusan serta memburukkan imej syarikat berikutan komennya dalam pelbagai media.

Menurut laporan Malaysiakini, pejabatnya itu hanyalah sebuah meja plastik kecil warna biru dan sebuah kerusi kecil. Di atasnya terdapat sebuah laptop, kamera kecil dan papan tanda bertulis "Wartawan Sedang Bertugas". Dan kakitangannya cuma beliau seorang.

Meskipun baru menerajui NUJ, Hata lantang mempromosikan prinsip kebebasan akhbar. Daripada segi ini, perjuangannya berkait rapat dengan apa yang Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) mulakan lebih 10 tahun lalu. Sebagai wartawan kanan Utusan Malaysia, akhbar yang terkenal dengan sifatnya sebagai "lidah rasmi" Umno, agenda yang ditekankan Hata dan NUJ begitu menarik untuk disorot secara lebih terperinci.

Apa pun, tabik Hata! Isu kebebasan media harus dirakyatkan.


Baca Seterusnya......

"Usah ghairah bermimpi tawan Putrajaya"

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Pertemuan eksklusif Perdana Menteri dengan ahli-ahli Parlimen BN beberapa minggu lalu -- yang disifatkan Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sebagai muhasabah perdana -- menghangatkan lagi teka-teki tarikh pilihan raya umum ke-13. Usia penggal Parlimen masih terlalu muda, belum pun mencecah tiga tahun, namun ia tidak menghalang rakyat berbicara soal pilihan raya segera. Apa pun, saya belum dapat melihat keperluan Najib Razak mencadangkan pembubaran Parlimen.

Saya pernah menghujahkan bahawa Umno-BN begitu memerlukan dana politik yang begitu besar bagi "membeli" undi, dan melicinkan jentera kempennya, sebelum menentukan tarikh PRU13.

Usaha mengumpulkan wang berbilion ringgit itu, terutama melalui projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, baru sahaja bermula. Sekurang-kurangnya ia memerlukan masa enam bulan lagi. Lagi pun, seperti ditunjukkan mentornya, Dr Mahathir Mohamad, rasanya Najib tidak mahu bacaan politiknya terlalu mudah dibaca.

Dalam masa sama, Najib juga tidak dapat menyembunyikan kekhuatirannya terhadap pengaruh Buku Jingga, yang memperincikan janji-janji Pakatan Rakyat dalam masa 100 hari memerintah, sekiranya dapat menguasai Putrajaya nanti.

Sekali lagi, ia suatu promosi percuma yang baik. Sama ada rakyat sangsi dengan tawaran itu, disebabkan terpengaruh dengan sanggahan Najib bukan isu besar. Yang penting, Najib dan BN dalam situasi terpaksa mempertahankan diri, bukan lagi di posisi penyerang, satu kedudukan yang agak lemah bagi sebuah parti pemerintah.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna Pakatan Rakyat harus berada dalam kedudukan selesa. Malah, saya agak bimbang, dengan beberapa "pergolakan dalaman" dan masalah antara-parti dalam Pakatan. Seharusnya diberikan prioriti bagi mencari jalan keluar.

Sering ditekankan, PRU13 adalah kesempatan memilih kerajaan, bukan sekadar meneguhkan peranan pembangkang sebagai "semak dan imbang". Apa jua keraguan -- biarpun kecil -- terhadap keupayaan dan kemampuan Pakatan mesti dipandang serius dan diperbaiki.

Dalam masa sama, usahlah ghairah berkhayal dengan impian indah ke Putrajaya. Saya dimaklumkan, ramai yang kurang senang dengan pemaparan sepanduk, poster dan kain pemidang, yang seolah-olah menonjolkan "kerakusan" petugas Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya.

Ada orang awam yang melahirkan rasa tidak selesa dengan petanda "ketamakan mengejar kuasa" itu.

"Itu 'kan perangai Umno. Bukankah Pakatan ada negeri yang perlu dijaga dengan baik dan ditunjukkan kemampuan berbakti kepada rakyat?" komen seorang pembaca Harakah melalui emel kepada saya.

"Memang rakyat resah dengan kenaikan harga barang. Mereka diasak pelbagai masalah harian. Tetapi, soal kita nak tawan Putrajaya tak perlulah heboh-heboh, tak perlulah misalnya dikaitkan ucapan selamat tahun baru pun dengan matlamat politik kita. Nanti orang meluat," tambahnya.

Keputusan PRU12 menunjukkan rakyat tidak dapat menerima sikap angkuh-sombong pemimpin politik. Mereka akan menolak wakil rakyat yang dilihat mementingkan diri.

Dalam politik, seringkali persepsi adalah segala-galanya. Justeru, jangan sesekali memberi mesej atau isyarat yang mungkin ditafsirkan rakyat daripada sudut negatif. Sudah ada kritikan terhadap gaya hidup wakil-wakil rakyat Pakatan, yang meninggalkan kesederhanaan dan mula berjinak-jinak dengan kemewahan.

"Di peringkat akar umbi, di kampung-kampung, yang amat memerlukan sokongan orang Melayu bagi mencetuskan perubahan di peringkat pusat, saya tidak nampak kesungguhan petugas PAS untuk mendaftarkan anak-anak muda sebagai pengundi. Ia berbeza dengan gerakerja DAP yang lebih proaktif. Kalau hal paling asas itu pun terabai, usah mimpilah nak tawan Putrajaya," tegur seorang bekas pemimpin pelajar, yang kini menetap di desa kelahirannya, di selatan tanahair.

Saya cuba melihat segala pandangan dan teguran itu daripada sudut positif. Masih ada ruang untuk penambahbaikan baik kepada kerajaan-kerajaan negeri Pakatan mahupun wakil-wakil rakyat yang sentiasa diperhatikan.

Persiapan menghadapi PRU13 tidak sepatutnya menonjolkan keghairahan Pakatan terhadap kuasa yang dikejar, tetapi sewajarnya mendekatkan diri dengan rakyat, sehingga denyut nadi kesempitan hidup golongan bawahan dapat dirasai dengan ikhlas.

--------

Tulisan di atas, yang disiarkan pertama kali oleh akhbar Harakah, dengan tajuk sama, telah menimbulkan rasa tidak puas pembaca tertentu. Ada yang menyifatkan ia boleh mengelirukan, sekali gus melemahkan semangat untuk orang yang menyertai dan menyokong PAS.

Terdapat kritikan yang mengaitkan mood saya menulis dengan keadaan kesihatan saya yang terganggu sejak setahun lalu.

Saya terbuka dengan pandangan berbeda terhadap apa jua tulisan saya, termasuk teguran keras, hatta kecaman sekali pun. Dalam banyak keadaan, perdebatan dan perbahasan menimbulkan hasil yang positif dan memberangsangkan. Kita boleh bertukar-tukar idea, membetulkan sudut pandangan, dan juga mengukuhkan argumen.

Sejak lama, saya membiasakan diri dengan tulisan yang "tidak syok" sendiri. Kalau perlu, saya akan kutip sanggahan atau kritikan daripada pembaca yang sering menghubungi melalui SMS dan juga emel. Tidak semestinya pandangan mereka saya bersetuju sepenuhnya. Dalam politik, persepsi itu begitu penting biarpun ia bukanlah disokong oleh fakta yang mantap. Bagaimana pihak luar atau orang lain melihat kita, khususnya parti politik, cukup mustahak.

Proses pembetulan dan penambahbaikkan boleh dilakukan apabila kita menekuni kritikan atau luahan rasa tidak puas hati itu. Mengakui kelemahan dan kealpaan bukannya satu keaiban yang perlu dielakkan. Memang masyarakat perlu diyakinkan bahawa kita mampu membawa perubahan dan bersedia untuk melakukan transformasi menyeluruh selepas Umno-BN ternyata gagal memikul amanah rakyat. Korupsi dan salahguna kuasa sudah membarah dengan dahsyat dalam parti lawan. Malaysia perlu diselamatkan segera.

Soalnya, apakah apabila saya mengingatkan pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat agar jangan terlalu overconfident, maka ia menyebabkan rakyat yang mula menaruh keyakinan kepada kita akan beralih angin dan kembali menyokong BN? Semasa mengutip teguran pembaca yang memberikan ingatan itu, saya membayangkan Pakatan masih mempunyai ruang secukupnya untuk meneliti setiap sudut yang dilihat lemah dan ia tidaklah sampai ke peringkat boleh membawa fitnah atau berupaya menikam belakang sendiri.

Rakyat kini bukannya mudah untuk dikelirukan. Mereka lebih prihatin, berhati-hati dan sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan maklumat. Hanya dengan beberapa pandangan dalaman yang bersifat kritikal tidak akan mampu menggoyah sokongan mereka. Sikap fanatik terhadap mana-mana parti politik semakin berkurangan. Penyokong tegar kian berkurangan. Rakyat semakin kritis dan bersikap terbuka.

Dalam masa sama, aktivis Pakatan terutama di peringkat akar umbi perlu disedarkan tentang tugas dan peranan besar mereka. Ada ruang dalam bidang tugas masing-masing yang perlu diperkukuhkan.

Justeru, saya rasa bertanggungjawab untuk mengangkat suara-suara yang memperingatkan tentang sisi-sisi negatif keghairahan melampau untuk menawan Putrajaya. Mereka menggesa agar persiapan asas pilihan raya, seperti proses pendaftaran pemilih, diberikan tumpuan. Malah ada yang menyebut, dalam aspek ini, gerakerja PAS jauh tertinggal berbanding DAP.

Saya memang lebih cenderung untuk melihat sesuatu isu itu dengan membayangkan situasi paling buruk yang bakal menimpa agar langkah pencegahan dapat difikirkan daripada awal.

Apabila PAS menang besar pada 1999, dibantu isu pemecatan Anwar Ibrahim dan protes terbuka terhadap Dr Mahathir Mohamad, ramai menjangkakan Umno yang terpukul hebat dengan keputusan pilihan raya umum ke-10 itu pasti tidak akan duduk diam.

Dengan kuasa masih di tangan, Umno boleh merencanakan pelbagai tipu-muslihat dan konspirasi besar bagi mengembalikan sokongan pengundi Melayu.

Tentulah naif sekali untuk kita mengharapkan Umno -- yang diumpamakan bagai lembu nazak ketika itu -- hanya menunggu takdir untuk ditelan sejarah. Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya merupakan antara senjata utamanya. Melalui kaedah gerrymandering, terutama di negeri Kedah, kawasan Parlimen dilakar sesuka hati Umno, sebagai jalan pintas menawan semula kerusi-kerusi yang dimiliki PAS, seperti Pokok Sena dan Kuala Kedah.

Tidak cukup sekadar itu, "pengundi hantu" turut dipersiapkan, khususnya untuk merebut kembali Terenganu. Ramai nama-nama tidak dikenali muncul dalam senarai daftar pemilih di banyak kawasan. Malang sekali apabila taktik yang sepatutnya sudah dapat diduga itu seperti langsung tidak terhidu.

Ada kenalan yang rapat dengan Umno Terengganu sudahpun memberi peringatan, sehingga ada berani meramalkan: "Keputusan pilihan raya kali ini terbalik. Kalau pada 1999, Barisan Alternatif menang semua Parlimen dan 28 kerusi Dun, kali ini akan bertukar, BN pula akan menang seperti itu."

Semasa saya balik kampung di Kubang Pasu menjelang PRU 2004, ramai penggerak PAS bersungut tentang senarai pengundi yang begitu meragukan. Bukannya tanda menyerah kalah, tetapi ada di antara mereka yang cukup bimbang jika situasi itu tidak dapat dibetulkan, maka kemungkinan besar PAS boleh kalah banyak kerusi, Dun dan Parlimen.

Sebelum dibubarkan, jumlah Adun pembangkang di Kedah cukup untuk menafikan majoriti dua pertiga BN.

Apabila saya menyinggung hal berkenaan dalam Harakah, saya dikritik hebat. Ada yang marah-marah, ya, bagaimana editor Harakah boleh menulis hal seumpama itu. Niat saya adalah untuk membunyikan loceng amaran terakhir. Saya kira ruang dan peluang masih terbuka, walaupun agak terbatas, untuk melakukan perubahan dan pembetulan. Tetapi, tidak ramai yang menyedarinya dan tidak kurang pula yang langsung tidak menghiraukan loceng amaran itu.

Oleh itu, seperti yang saya bayangkan dalam mukadimah tulisan asal ini, bahawa tarikh PRU13 mungkin masih relatif jauh. Maka, berusahalah untuk mendekati rakyat sejujurnya, dalamilah penderitaan dan kepayahan hidup mereka, tampilkan kesederhanaan walaupun sudah memerintah kerajaan negeri, betulkan apa-apa yang masih boleh dibetulkan, perketatkan apa-apa yang longgar ...


Baca Seterusnya......

Tangan kotor Najib cuba cabuli Istana Selangor?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Umno Selangor yang diterajui khusus oleh Najib Razak nampak gelojoh sangat. Memanglah negeri termaju itu perlu direbut - dengan apa jua cara - oleh BN dalam pilihan raya umum akan datang, tetapi janganlah begitu tertonjol kerakusannya. Biarlah kelihatan pencak silatnya matang dan sedikit terhormat agar segala strategi dan taktik tidak dicemuh.

Memang dalam politik, kuasa itu seolah-olah segalanya, namun cubalah bersiasah secara beradab dan beretika. Yang mahu dipujuk dan ditawan adalah hati nurani rakyat. Sokongan mereka ditagih semasa kempen nanti. Sedangkan rakyat sudah bijak menilai dan menghakimi. Dengan ketamakan yang menyerlah, apatah lagi sanggup memperalatkan apa sahaja, bukankah langkah Umno Selangor di bawah Najib itu tidak manis dan tohor akhlaknya?

Najib merupakan Perdana Menteri Malaysia, yang kaya dengan pelbagai slogan "pembaharuan". Sebahagiannya belum pun difahami rakyat dan juga pegawai kerajaan. Beliau tentulah mahu dilihat berbeda dengan Noh Omar, timbalannya di Selangor, yang diketahui gaya politiknya ataupun Dr Khir Toyo, bekas menteri besar yang pernah memalukan pegawai awam dengan "anugerah penyapu" itu.

Justeru, silakan apa jua gerak politik Najib yang beria-ia mahu merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat, namun pastikan ia tidak menjolok mata dan merendahkan martabat beliau sebagai tokoh no. 1 negara. Usah hanya manis bicara di depan umum tetapi di balik tabir menjadi pencetus "huru-hara", hanya demi takhta.

Cukuplah dengan rakaman gelap-gelita tragis rampasan kuasa di Perak dua tahun lalu. Ia sejarah hitam sejarah demokrasi negara ini. Najib juga dipercayai menjadi dalang utamanya bagi mempastikan BN kembali bertakhta di negeri itu. Suara majoriti rakyat dihumban. Tidak sabar menunggu pilihan raya seterusnya, selepas kalah mengejut tanpa diduga pada Mac 2008, Najib melaksanakan strategi jahat.

Kini, giliran Selangor pula menjadi sasaran. Menyedari kerajaan negeri pimpinan Abd Khalid Ibrahim semakin popular di hati rakyat dengan gerakerja memaknakan perubahan, Najib seperti gelabah tidak keruan. Orang politik selalunya tidak bersedia jika hanya sekadar menunggu untuk dihukum tanpa melakukan usaha menyerang balas. PRU13 adalah detik penentuan hidup-mati Najib dan Umno-BN.

Dari satu segi Najib mungkin teruja dengan beberapa adegan "ribut dalam cawan" dalam KeADILan, sehingga menjangkakan inilah kesempatan terbaik untuk "bikin onar". KeADILan menerajui Selangor bersama PAS dan DAP. Tiada tanda-tanda BN dapat menamatkan penguasaan Pakatan jika mood rakyat Selangor "tidak dirosakkan". Sesuatu mesti dicari atau "diada-adakan" bagi memudahkan langkah BN menawan kembali Selangor.

Peluang tiba melalui kontroversi pemilihan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri yang baru, Khusrin Munawi. Perdebatan kesahihan perlantikan itu hangat diperkatakan. Masing-masing mengasaskan hujah dengan merujuk peraturan dan perlembagaan. Apa pun, sudut politiknya jelas sekali. Khusrin ternyata mahu dijadikan perkakas politik oleh Najib, bagi membantunya "menculik Selangor", sesuatu yang amat bercanggah dengan kedudukan seorang penjawat awam.


Mungkinkah, seperti juga dalam kes Nizar Jamaluddin di Perak, Umno Selangor turut mengharapkan pihak istana akan menyebelahinya? Pakar-pakar perlembagaan dan politik, dari awal menjangkakan bekas Menteri Besar Perak itu dapat bertahan dan memenangi kes di mahkamah, namun akhirnya Umno tetap berjaya dalam rampasan kuasa itu. Konsep raja berperlembagaan ditafsirkan secara sewenang-wenangnya. Kedudukan Speaker Dun Perak langsung tidak dihormati.

Khusrin, bekas pembantu khas Menteri Besar Selangor, Muhammmad Muhd Taib, dilihat Umno sebagai orang paling sesuai untuk memudahkan gerakan menjatuhkan Pakatan Rakyat. Memang Khusrin terikat dengan sumpah rahsianya tetapi bukankah politik itu seni yang memungkinkan segala-galanya? Beliau terdedah dengan segala fail, maklumat dan perancangan kerajaan negeri.

Dalam situasi Umno-BN yang cukup kritikal ini, apakah erti etika seorang penjawat awam kepada Najib? Kalau undang-undang bertulis pun dilanggarnya, apatah lagi jika sekadar soal adab atau etika, yang boleh ditafsirkan daripada pelbagai sudut. Sekiranya raja-raja Melayu pun boleh "diperalatkan" demi survival kuasa, apalah yang Umno pedulikan dengan integriti perkhidmatan awam? Bukankah selama ini juga jentera kerajaan, termasuk pegawai kanannya yang sepatutnya "apolitical" diheret sama bagi mencapai tujuan politik Umno-BN?

Sejarah pengkhianatan Umno terhadap institusi raja-raja Melayu, khususnya melalui episod pindaan Perlembagaan 1993 cukup pedih buat golongan istana. Kedaulatan raja Melayu sebenarnya sudahpun dimusnahkan dengan pindaan itu. Hanya bersandarkan peristiwa di Bukit Serene, Johor dan beberapa kes kelemahan peribadi beberapa orang sultan, martabat keseluruhan institusi yang begitu penting buat orang Melayu direndah-rendahkan dengan cara yang mengaibkan.


Ramai melihat undi penentu dalam PRU13 adalah orang Melayu. Jika majoriti mereka beralih memilih Pakatan, nescaya kedudukan BN di Putrajaya tergugat dengan teruk. Risikonya, BN bakal hilang kuasa. Momentum pengundi Cina pula tidak banyak berubah, malah mungkin lebih memihak Pakatan, jika isu-isu seperti Khusrin ini berlanjutan. Rampasan kuasa di Perak sudah cukup merosakkan imej BN di kalangan masyarakat Tionghua.

Isu Khusrin ini turut membabitkan emosi dan sentimen orang Melayu. Bagi saya, Umno memang mahu Pakatan bertembung, malah bermusuh, dengan kakitangan kerajaan, yang majoritinya adalah orang Melayu. Bagaimanapun niat itu tidak kesampaian. Kes Khusrin langsung tidak melambangkan penolakan Pakatan terhadap kakitangan awam. Yang dipersoalkan adalah prosedur dan kelaziman yang perlu dipatuhi. Masakan pendapat kerajaan negeri yang memerintah langsung tidak dirujuk dalam pemilihan pegawai tertingginya?

Bukankah dalam tempoh tiga tahun ini, pelantikan SUK di negeri-negeri yang turut diperintah Pakatan, dan sebelumnya lama PAS memerintah Kelantan, kontroversi ini tidak pernah timbul? Lagi pun, nama-nama yang dicadang kerajaan negeri Selangor bagi mengisi kekosongan kerusi SUK juga adalah pegawai-pegawai kanan yang berpengalaman.

Umno juga beria-ia mahu melaga-lagakan kerajaan Pakatan dengan istana Selangor, dan mengimpikan hubungan dengan Raja-Raja Melayu terjejas, seperti yang pernah digambarkan berlaku di Perak. Mungkin ia didorong pengalaman silam tokoh-tokoh Umno, terutama yang berjawatan menteri besar, yang terpaksa berundur jika berkonfrontasi dengan istana.

"Menteri Besar bukan bermusuhan dengan Khusrin bila menolak beliau sebagai SUK. Yang dipertikaikan adalah cara Ketua Setiausah Negara membuat perlantikan tanpa berbincang dengan Menteri Besar. SUK adalah pegawai tinggi kerajaan yang paling utama dan bertanggungjawab melaksanakan polisi MB dan Exco-Exco. Jadi tidak logik perlantikan tidak dibincang dengan mereka," kata Iskandar Abdul Samad, anggota Exco Kerajaan Negeri.


Baca Seterusnya......

Tuesday, February 22, 2011

PAS sedia ganti Umno ... termasuk perangai buruknya?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Seorang penerbit berita TV menyarankan kepada saya agar Harakah memberikan tumpuan kepada dua isu besar yang timbul dalam Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat, 19 Disember lalu.Pertama, kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang dilihat berlembut dan positif terhadap perjuangan Negara Islam PAS. Kedua, 10 program Pakatan Rakyat untuk melaksanakan reformasi menyeluruh dalam masa 100 hari sekiranya diberikan mandat dalam pilihan raya umum akan datang.

"Bagi saya, politik tahun 2010 ditutup dengan dua isu besar itu. Harakah harus membuat penjelasan yang sepatutnya. Pemimpin dan media BN pasti akan menyanggah keupayaan Pakatan untuk melaksanakan 10 tawaran Pakatan Rakyat dengan alasan yang sudah boleh dijangka," tambahnya.

Sementara saya dan rakan-rakan di Harakah cuba memberikan perincian terhadap tawaran realistik dalam Buku Jingga itu, saya masih tertarik dengan pujian terbuka Karpal, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu. Beliau menyifatkan "PAS sebagai parti yang paling berdisiplin dalam Pakatan Rakyat kerana wakil rakyatnya sangat setia dan tidak pernah bertindak keluar parti".

Memang saya telah menyinggungnya dalam tulisan terdahulu tetapi saya tetap merasakan ia perlu dilanjutkan sedikit. Bukan untuk berbangga dengan komitmen tinggi wakil-wakil rakyat PAS (lebih-lebih lagi ahli-ahli biasa Parti Islam yang tetap istiqamah dan tidak berubah kehidupan mereka selepas menang) seperti disanjung Karpal, tetapi saya ingin mengaitkannya dengan ideologi perjuangan Islam itu sendiri.

Ia juga selaras dengan kesediaan Karpal mendengar pandangan dan penjelasan dua tok guru PAS (Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abdul Nik Aziz Nik Mat dan Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang) mengenai agenda Negara Islam. Bagi saya, polemik Negara Islam -- dan apa jua isu sensitif lain pun -- sekiranya dibahaskan dalam suasana tradisi keilmuan yang sihat, tanpa sebarang prejudis, pasti mendatang manfaat bersama.

Penegasan Karpal yang menerima peruntukan dalam Perlembagaan bahawa Islam sebagai agama rasmi (lebih tepat lagi "agama bagi Persekutuan", seperti dirakamkan Perkara 3 Perlembagaan) juga wajar dilihat daripada sudut lebih luas.

Pentafsiran pakar perlembagaan seperti Almarhum Prof Ahmad Ibrahim dan Prof Dr Abd Aziz Bari mengenai kedudukan dan implikasi "Islam sebagai agama Persekutuan" wajar disorot secara mendalam.

Bukan tidak ada pimpinan PAS yang melompat parti. Yang Dipertua Agungnya (jawatan sekarang, presiden) turut tergelincir, malah ada calon PAS yang sanggup "menjual kerusi" sebelum pilihan raya berlangsung. Namun keseluruhannya, komitmen ahli-ahli PAS berbanding parti pembangkang yang lain boleh dianggap tinggi dan teruji.

Di Kelantan, semasa penggal 2004-2008, Umno-BN hanya perlu "membeli" seorang Adun PAS bagi mengambil alih kerajaan negeri. Dipercayai Umno cuba menggunakan kesempatan itu sebagai jalan pintas untuk kembali berkuasa selepas kalah semua kerusi Dun dan Parlimen dalam pilihan raya umum 1990. Namun, segalanya terbukti gagal.

Ramai melihat "keistimewaan" ini daripada sudut pegangan ahli-ahli parti terhadap ideologi perjuangan PAS. Bagi sebahagian besar aktivis, PAS sebenarnya bukan satu pilihan, tetapi kemestian. Kewajiban memilih dan mempertahankan PAS adalah disebabkan dorongan agama.

Justeru, apa jua tawaran untuk meninggalkan PAS -- tentunya tidak dapat diyakinkan dengan hujah-hujah agama, pasti ditolak mentah-mentah. Mungkin ada wakil rakyat yang terpesona dengan pujukan, tetapi mereka harus memikirkan puluhan kali tentang natijah "pengkhianatan" itu, terutama apabila membayangkan reaksi ahli-ahli parti nanti.

Islam sebagai sistem hidup menyeluruh, seperti diungguli PAS, mampu memupuk amalan integriti dan akauntabiliti yang tinggi. Prinsip ehsan yang diutamakan dalam Islam,secara semulajadi dapat mengawal seseorang pemimpin untuk bersikap jujur, amanah dan ikhlas walaupun tiada siapa yang memantaunya. Dengan itu, perbuatan rasuah dan sikap mementingkan diri-kerabat dapat dihindari.

Tok Guru Nik Aziz kerap mengingatkan ahli-ahli PAS tentang proses kehidupan selepas mati, azab kubur, syurga neraka. Ia cukup berkesan bagi membentengi diri daripada terjebak dengan "penyakit orang berkuasa".

Kesederhanaan hidup beliau, walaupun selepas 20 tahun menjadi MB Kelantan, cukup dikagumi, terutama oleh masyarakat bukan Islam. Sepatutnya pimpinan PAS lain (yang turut menerima tempias "nikmat kuasa") turut mewarisi gaya hidup sama.

Amat malang jika "wabak Umno" sudah menjangkiti PAS, misalnya hidup mewah dan korupsi.

"Apabila diadakan seminar 'PAS Sedia Ganti Umno', saya cukup bimbang jika segala perangai buruk Umno akan diamalkan PAS bila berkuasa nanti," kata seorang pemimpin kanan PAS.

"Bukankah elok jika kerajaan negeri PAS mendahului amalan baik dalam pemerintahan seperti hisbah dan tender terbuka? Juga, kekallah hidup sederhana tanpa perlu sibuk mengejar peluang kuasa, daripada peringkat atas hinggalah yang kecil-kecil di kampung," tambahnya.

DAP juga boleh dilihat sebagai sebuah parti ideologi. Ada yang mengaitkannya dengan perjuangan sosial demokrat. Prinsip-prinsip keadilan sosial, demokrasi, ketelusan, integriti dan hak asasi dipandang tinggi.

Jika terbukti wakil rakyat PAS bukan saja mempunyai ketahanan diri daripada melompat parti, malah anggotanya dalam kerajaan negeri Pakatan menunjukkan teladan unggul dalam semua dimensi, Islam akan dipandang tinggi dan mulia oleh seluruh rakyat Malaysia.

Maka, yang disanjung kerana hidup sederhana bukan sahaja Tok Guru Nik Aziz dan segelintir pemimpin PAS termasuk Tuan Guru Abd Hadi Awang khususnya semasa menerajui kerajaan Terengganu, tetapi semua yang dipilih di atas tiket parti Islam itu.


Baca Seterusnya......

Kenapa Najib bertahan di Sngor dan implikasi Tenang

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Inikah bentuk transformasi politik Najib Razak? Apa ertinya jika sekadar menggantikan tiga pengerusi perhubungan Umno negeri dengan timbalan mereka? Ekoran itu, apa sebenarnya perubahan yang bakal dinikmati rakyat? Apa kena-mengena pergolakan dalaman Umno dengan impian warga Malaysia yang mahukan kehidupan lebih makmur, adil dan Islami?

Tuntutan agar sistem politik yang lebih berintegriti, bertanggungjawab, terbuka, telus, demokratik, menggalakkan partisipasi rakyat, tidak meminggirkan suara minoriti, perubahan menyeluruh proses pilihan raya, kebebasan bersuara, dan seterusnya senarai panjang yang perlukan reformasi segera, langsung tidak disentuh Najib. Pengumuman Tengku Adnan Tengku Mansor itu hanya merupakan sebahagian persiapan Umno mempertahankan sisa-sisa kuasa, dan tiada hubungan dengan transformasi politik negara.

Di kala semua negeri-negeri lain diketuai anak tempatan, bagaimana pula dengan tindakan mengekalkan Najib di Selangor dan pelantikan Isa Abd Samad sebagai Pengerusi Felda? Awal-awal lagi Isa menjelaskan misi utamanya sarat dan tebal dengan motif politik, bagi mengekang pengaruh pembangkang. Tunggulah karenah bekas menteri yang pernah disabitkan dengan amalan rasuah politik dalam pemilihan Umno itu, yang kini mendapat kepercayaan Najib bagi mempertahan kubu terakhir Umno di kawasan Felda.

Ketiga-tiga naib presiden Umno diminta melepaskan jawatan penting di Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu, namun Najib sebagai pengerusi Umno di Selangor masih mempertahankan kedudukannya. Apakah ia bermaksud negeri termaju itu merupakan sasaran utama Umno-BN, yang tidak dapat tidak mesti ditawan semula dalam PRU13, walau dengan apa cara sekali pun? Ataupun timbalan pengerusi, Noh Omar belum cukup bersedia memikul tanggungjawab besar, selain dibimbangi tindak-balas pengikut Dr Khir Toyo jika Najib menyerahkan posisi strategik kepada Menteri Pertanian itu?

Apa pun, keputusan mempertahankan Najib di Selangor menunjukkan dengan jelas keseriusan Umno untuk menebus semula kekalahan BN yang memalukan pada Mac 2008. Selangor adalah lubuk emas yang tidak boleh dibiarkan lama berada di bawah seteru politik BN. Laluan ke Putrajaya tambah meyakinkan jika negeri-negeri maju dan kaya seperti Selangor kekal dikuasai Pakatan Rakyat. Justeru, usah terkejut dengan "permainan paling kotor" yang bakal dipersembahkan Najib di Lembah Klang.

Kontroversi perlantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang baru, Mohd Khusrin Munawi, membayangkan "komplot" terancang BN itu. Pandangan Menteri Besar, Abd Khalid Ibrahim langsung tidak dipedulikan, malah tidak dimaklumkan pun.

Rombakan kepemimpinan Umno di Perlis lebih melucukan, sekali gus menonjolkan pertelingkahan serius. Bekas menteri besar, Shahidan Kassim yang dilantik timbalan Dr Md Isa Sabu awal-awal lagi menegaskan: "Jika tanya pasal gandingan, bagi saya itu suatu yang mustahil terutama untuk bekerjasama dengan individu yang saya lihat sebagai 'menyamun' jawatan saya sebelum ini."

Meskipun Ahmad Bashah Md Hanipah diberi kepercayaan mengetuai misi merebut Kedah daripada Pakatan Rakyat, yang jelas pengaruh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dalam pentadbiran Najib nampak menyerlah apabila Mukhriz Mahathir menjadi orang no. 2 di sana. Mukhriz tidak mempunyai apa-apa jawatan penting di peringkat Umno bahagian, tetapi dijangka akan ditonjolkan sebagai pesaing Menteri Besar, Ustaz Azizan Abd Razak. Serentak dengan itu, dipercayai beberapa pemimpin Umno negeri yang dikaitkan dengan Abdullah Ahmad Badawi bakal melalui laluan sukar.

Ahmad Said di Terengganu mungkin lega seketika namun pengikut Idris Jusoh dipercayai tidak semudah itu untuk menyerah kalah. Terengganu merupakan negeri yang sentiasa menyaksikan pertarungan sengit PAS-Umno sejak merdeka. Konflik dalaman mana-mana parti berkenaan boleh menjadi faktor besar dalam menentukan siapa menerajui kerajaan negeri.

II.

Sesi permukiman Harakah berjalan lancar Sabtu dan Ahad lalu. Penalis yang diundang bersikap terbuka dan terus-terang. Tanpa selindung, mereka melontarkan pandangan kritis dan teguran keras menusuk. Sememangnya harapan buat Harakah cukup tinggi terutama apabila menyedari akhbar di negara ini sentiasa dikongkong oleh akta yang menekan dan kepentingan politik elit penguasa.

Cabaran PRU13 menuntut bukan saja kesungguhan luar biasa petugas Harakah, tetapi juga kesediaan mereka untuk berubah dan memperbaiki kesilapan. Perkembangan pantas dunia maklumat akan meninggalkan mereka yang lembab, jauh di belakang. Kesempatan terbaik tidak selalu datang, dan sekiranya ia gagal dimanfaatkan dengan cepat dan cekap, Harakah akan dihukum sejarah.

Akhbar tanpa wibawa, dan yang dipertikai kredibilitinya, tentu gagal berperanan dengan berkesan, meskipun angka jualannya tinggi. Perang media kini semakin sengit dan kompleks. Usaha mempengaruhi pembaca, terutama kecenderungan mengundi, merupakan tugas cukup sukar. Sudut pandangan kita tidak mudah ditelan lagi, walaupun oleh ahli parti dan pembaca setia, sebaliknya terpaksa melalui proses saringan ketat.

Kesalahan yang dilakukan berulang-kali, termasuk dalam hal-hal yang dianggap kecil, seperti kesilapan ejaan dan susunan ayat berterabur, mempunyai pengaruh besar dalam melunturkan keghairahan pembaca. Kami amat menyedari hakikat persaingan dunia siber dan kematangan pembaca untuk memilih hanya yang terbaik.

Saya turut menerima pandangan pembaca melalui emel. Ternyata ramai yang mahukan Harakah bingkas menerajui gerakerja reformasi. Banyak kekeliruan yang gagal dijelaskan dengan baik. Isu-isu penting sering berlalu dan hilang begitu sahaja. "Kami mahukan liputan Harakah yang mudah untuk menangkis fitnah media BN, dengan dibantu fakta dan hiasan menarik," kata seorang peminat.

"Buat jadual bagi memudahkan pemahaman pembaca. Utamakan isu rakyat, jangan sendatkan dengan aktiviti Pakatan sahaja. Gambar biar jelas dan ada hubungan dengan berita, jangan tangkap muat. Banyak tajuk Harakah lembik tak bermaya, belajar daripada media Indonesia. Akhbar perlukan perancangan teliti, usah ambik mudah," seorang pembaca lain berkomentar panjang.

III.

Buku 'Islam dalam Perlembagaan Malaysia', tulisan Prof Dr Abdul Aziz Bari, cukup lama tersimpan di rak tanpa sentuhan. Karya terbitan Intel Multimedia and Publication (2005) itu seperti tidak dipedulikan sehinggalah saya mengulas tentang ucapan Karpal Singh di Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat tempoh hari. Apabila Pengerusi DAP itu menyentuh hal Negara Islam, saya segera teringatkan idea Aziz bahawa Islam masih boleh dilaksanakan di negara ini melalui kerangka Perlembagaan. Satu idea yang cukup menarik dalam konteks realiti politik Malaysia.

Buku setebal 160 halaman ini mempunyai kekuatan tersendiri untuk memaku pembacaan saya. Huraiannya terhadap beberapa peruntukan Perlembagaan mengenai Islam, seperti Perkara 3, berbeda dengan pandangan yang biasa kita dengar. Beliau turut tidak bersetuju Malaysia dilabelkan sebuah negara sekular biarpun ia belum memenuhi ciri Negara Islam.

Ungkapan "Islam ialah agama bagi Persekutuan ..." seolah-olah mengisyaratkan negara ini mempunyai agama atau anutan tertentu seperti seorang manusia. Aziz turut mencatatkan: "Perlembagaan tidak menyebut bahawa undang-undang syariah tidak boleh dilaksanakan." Ditegaskan bahawa Perlembagaan yang ada tidak perlu dibuang hanya untuk melaksankan Islam. Ini kerana perlembagaan mempunyai mekanisme penyesuaian.

Pihak berkuasa negeri, katanya, boleh melaksanakan undang-undang jenayah Islam tetapi ia memerlukan pindaan Perlembagaan bagi (a) meminda Perlembagaan dan mengecualikan jenayah di bawah undang-undang Islam daripada bidang kuasa Persekutuan dan (b) menaikkan atau mengubahsuai undang-undang yang membataskan bidang kuasa mahkamah syariah tadi. Huraian beliau seterusnya segar dan tersusun.

Di antara tajuk-tajuk dalam buku ini ialah Islam di dalam Kerangka Perlembagaan Malaysia; Peranan Islam Melalui Kerangka Perlembagaan dan Perundangan Malaysia: Potensidan Masalahnya; Halangan Pelaksanaan Hukum Jenayah Islam di dalam Perlembagaan; Murtad dalam Konteks Kebebasan Beragama di Malaysia.

Aziz juga menjelaskan bahawa hujah-hujah yang mendakwa sifat sekular Perlembagaan itu sebenarnya tidak muktamad. Banyak undang-undang yang telah diluluskan bagi pelaksanaan Islam termasuk Akta Bank Islam 1983. Perhatikan analoginya: "Kalau Perlembagaan -- sebagaimana yang disebut Suruhanjaya Reid -- yang hendak mendaulatkan demokrasi boleh menerima undang-undang yang antidemokrasi, mengapa Perlembagaan tidak boleh menerima Islam tidak boleh menerima Islam, yang tidak ditentangnya secara jelas?"

Buku berharga RM20 ini memang memerlukan penelitian agak serius, namun penjelasannya mudah diikuti. Ia mungkin dapat menjawab beberapa persoalan yang sering dibangkitkan dalam polemik kaedah pelaksanaan Negara Islam di Malaysia. Sama ada memang benar Perlembagaan itu menjadi halangan utama atau ia sedia diubahsuai sekiranya ada keazaman politik yang tinggi?

Seperti diakui Aziz: "Meskipun ruang yang ada agak terhad kepada pelaksanaan undang-undang Islam, ia masih belum dimanfaatkan sepenuhnya." Tulisan pakar perlembagaan ini elok untuk dibahaskan dengan lebih lanjut.

IV.

Pilihan raya kecil Tenang mempunyai keunikan tersendiri. Ia diadakan di negeri yang dahulunya dikenali sebagai kubu terkuat Umno. Kini PAS sudah ada dua wakil dalam Dun Johor. Konstituensi campuran di kawasan desa ini bakal menyaksikan, apakah kemenangan BN di Hulu Selangor, Batu Sapi dan Galas adalah trend yang menakutkan Pakatan Rakyat atau akan terhenti di Labis?

(Peratusan komposisi pengundi di Tenang itu, jika diaplikasikan kepada situasi di Lembah Klang ataupun suasana di Perak atau Kedah, ia pasti memihak Pakatan Rakyat).

Melalui siri PRK, PAS mempertahankan Bukit Gantang, merampas Kuala Terengganu, melepaskan Galas dan kekal kalah di Bagan Pinang. Di kala setiap parti giat melakukan persiapan, Tenang bakal membawa implikasi menarik menjelang PRU13. PAS memikul amanah dan panji-panji Pakatan. Misi ke Putrajaya terbuka kepada tafsiran yang begitu luas selepas 30 Januari nanti.

Di Semenanjung, hanya Johor tetap dianggap negeri selamat buat BN. Walaupun Melaka belum mempunyai Adun pembangkang Melayu, namun sekiranya Negeri Sembilan dapat "dilanggar" Pakatan (selepas majoriti dua pertiga BN dinafikan dalam sidang Dunnya dalam PRU12), Ali Rustam mungkin terpaksa mengangkat bendera putih, apatah lagi pengaruh DAP di kalangan masyarakat Tionghua Melaka begitu kental.

Tenang juga mempunyai hubungan sentimental yang cukup signifikan dengan MCA. Bekas presidennya, Ling Liong Sik selama empat penggal menjadi Ahli Parlimen Labis. Kini Presiden MCA, Chua Soi Lek, yang terpaksa menyerahkan kerusi itu kepada anaknya pada 2008, berdepan cabaran getir. MCA yang tewas teruk dalam PRU12 sama sekali tidak boleh mengizinkan Tenang mencalarkan lagi imejnya, apatah lagi di tangan PAS.

Soi Lek pasti sudah siap dengan perencanaan rapinya dalam pertarungan paling kritikal ini. Walaupun calon BN adalah daripada Umno, tetapi yang paling terkesan dengan keputusan nanti adalah MCA.

Pengundi Melayu yang berpusat di kawasan Felda turut diuji. Percubaan pertama Isa Samad dinantikan. Beliau pasti mahu menunjukkan kejaguhannya kepada Najib. Namun, siapa menduga peneroka Felda Melayu di Johor akan membuat kejutan di Tenang? Ya, cukup banyak sudut menarik yang boleh diulas nanti. Jumlah pengundinya tidak ramai, sekitar 15,000 tetapi undian mereka boleh merubah lanskap politik negara, atau ... ia sekadar rutin biasa sahaja?

Ruangan Iklan

Baca Seterusnya......

Harakah 2011, parkir HUKM dan projek wahyu dari langit

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Hanya beberapa hari lagi tirai 2010 akan berlabuh. Tahun penuh warna-warni ini bakal ditinggalkan. Pastinya, ramai yang berminda positif cuba melakukan muhasabah, meneropong kelemahan diri dan organisasi. Aspek kejayaan tidak seharusnya melekakan kita. Proses berterusan memaknakan kehidupan ini tentu juga berdepan dengan kekecewaan. Lebih malang jika kegagalan itu berpunca daripada faktor kealpaan dan kelemahan peribadi.

Jatuh-bangun perkara biasa dan tidak seharusnya dibiarkan menghalang kita untuk melalui takah-takah yang lebih tinggi dengan semangat jitu.


Begitu juga dengan kami di Harakah. Sebagai pembaca, anda lebih layak untuk menghakimi prestasi kami dalam tempoh setahun ini. (Kebetulan, sejak diserang penyakit jantung akhir November 2009, sudah lebih setahun sentuhan saya cukup terbatas). Harakah yang diasaskan lebih 23 tahun lalu tidak sunyi daripada kelemahan. Usianya sudah menginjak dewasa, namun pencapaiannya mungkin boleh dipersoalkan.

Dunia maklumat bergerak pantas. Ya, terlalu cepat sekali sehingga kita selalu tertinggal. Teknologinya begitu mengkagumkan sekali. Kemajuan datang bersama cabaran. Tanpa keupayaan daya saing yang tinggi, kita mungkin menjadi makhluk asing yang terpinga-pinga dengan arus perubahan.

Mudah melafazkan istilah perubahan, namun usaha mengisinya jarang kesampaian. Ramai yang menjerit slogan perubahan tetapi tidak sempat menghadam makna di sebaliknya.Ia menuntut tekad dan azam luar biasa, selain perincian dan perancangan sistematik. Segalanya mesti dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Serius. Cepat belajar.

Tahun 2011 dijangka tahun pilihan raya. Dan ia bukan seperti pilihan raya umum sebelum ini. PRU13 cukup istimewa. Sebagai organ parti, di kala permit Suara Keadilan masih terbenam, harapan buat Harakah menjulang. Akhbar dua kali seminggu ini perlu memenuhi aspirasi pendukung perubahan dan kehendak rakyat seluruhnya, yangmengimpikan sebuah Malaysia yang lebih makmur dan adil.

Meskipun kuasa siber diakui faktor yang semakin dominan untuk mempengaruhi kecenderungan mengundi, namun media tradisional seperti akhbar, terutama buat sasarankhalayak Melayu masih penting dan berbisa. Perang maklumat dan usaha membentuk pandangan awam melalui akhbar tetap merupakan satu agenda yang tidak bolehdikesampingkan.

Edaran akhbar-akhbar harian yang dikontrol Umno-BN memang menurun. Jualan Utusan Malaysia dan Berita Harian di bawah paras 200,000 naskhah. Bagi penganalisis media,trend penurunan ini tidak mungkin dapat disekat, cuma boleh diperlahankan kemerosotannya. Seolah-olah tiada pembaca baru daripada generasi muda. Kehilangan penggemar akhbar-akhbar berkenaan sukar dicari ganti.

"Kita tidak perlu menunggu lama untuk menunggu kepupusan sepenuhnya akhbar bercetak, seperti yang sudah berlaku di beberapa negara maju," ramal seorang wartawan kananakhbar harian berbahasa Melayu. Mungkin jangkaannya itu boleh ditolak tetapi sekurang-kurangnya ia amaran awal buat semua syarikat akhbar di negara ini, termasuk Harakah. Realitinya, banyak majalah berita antarabangsa sudah ditutup, seperti Asiaweek, atau terpaksa dirombak kandungannya secara drastik, seperti Newsweek.

Menurut laporan terkini dikeluarkan firma penyelidikan Audit Bureau Circulation (ABC), akhbar yang mengambil pendekatan santai seperti Harian Metro dan Kosmo mengambil alih pasaran. Media seumpama ini jarang memuatkan bahan-bahan serius seperti perkembangan politik. Kalau ada pun, ia sekadar berita kaki atau bahan sendal.

Apakah fenomena ini menunjukkan masyarakat kita semakin kurang "berahi" dengan berita-berita semasa yang dahulunya dilihat penting ataupun mereka mula beralih sepenuhnya kepada sumber internet?

Saya tidak mudah untuk memborong pandangan bahawa pembaca sudah muak dengan "berita putar-belit". Trend kejatuhan jualan akhbar tidak sesenang itu untuk dibuat kesimpulan. Harakah turut terkena tempiasnya jika tiada usaha bersungguh-sungguh menepisnya.

Memang cabaran kuasa siber cukup gagah dan sukar ditandingi. Rasanya hampir semua akhbar cetak mempunyai versi "dalam talian". Ini bermakna, yang menjadi sainganadalah produk daripada syarikat yang sama. Daripada sudut perniagaan, banyak kos yang terpaksa "dihanguskan" untuk akhbar on-line, sedangkan pulangannya hanya tersudutkepada jualan iklan semata-mata.

Masyarakat sekarang pula lebih terbuka pemikiran dan bersikap kritikal dengan maklumat yang dihidangkan. "Pengikut fanatik" terhadap mana-mana parti semakinberkurangan. "Golongan atas pagar" lebih ramai. Mereka tidak mahu terkongkong dengan satu-satu aliran politik. Bagi aktivis Pakatan Rakyat, ia mungkin satu perkembangan positif apabila kecenderungan mengundi terbuka untuk dipengaruhi.

Apa pun, pengamal media cetak -- termasuk Harakah -- mesti serius menangani gugatan genting berkenaan. Diharapkan sesi permukiman kami pada 25 dan 26 Disember inimampu menawarkan jalan keluar ke atas kemelut sejagat itu. Anda, pembaca, turut dipelawa menyalurkan pandangan. Salurkan kepada lutfi_detik@yahoo.com.


II.

Sejak Mei 2010, saya kerap berulang-alik ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), di Cheras. Memang warganya cukup ramah dan mesra, apatah lagi doktor-doktorpakar dan para jururawat yang terbabit dalam operasi pembedahan pintasan jantung saya, serta susulan rawatan selepasnya. Mereka menyumbang khidmat penuh dedikasi. Jutaan terima kasih dirakam.

Sebaik dikesan diserang stroke kecil melalui CT scan, dua bulan lalu, jadual mingguan saya tertumpu pula kepada pemulihan fisioterapi. Terpaksa meredah kesesakan jalanraya di pagi hari. Jarak di antara Bukit Ampang dan Bandar Tun Razak bukanlah jauh sangat. Tetapi, umum mengetahui Kuala Lumpur tidak pernah reda daripada masalahlalu-lintas terutama di waktu puncak.

Jalan dan lorong asyik ditebuk dan digali. Itu belum ditambah-buruk dengan perencanaan "separuh masak". Rungutan pengguna jarang mendapat perhatian. Akhirnya iamenjadi mangli dan diterima sebagai sebahagian kehidupan kosmopolitan.

Janji-janji menawarkan perkhidmatan awam yang cekap sekadar slogan basi yang tidak jemu diulang. Benar, rakyat Malaysia -- bukan terbatas di Lembah Klang sahaja -- mempunyai kesabaran tinggi menanggung keperitan di jalan raya dan bersedia untuk "ditipu" pemerintah tanpa henti.

Sebaik tiba di HUKM. problem lebih besar menunggu. Ruang parkir cukup terhad. Jam 8 pagi sebenarnya sudah cukup lewat. Jika bernasib baik, mungkin anda dapat mencaripetak kosong di seberang jalan. Namun, harus beringat, silap meletakkan kereta, notis saman terselit di cermin depan.

Dalam keadaan bertaraf "separa OKU", dengan kaki kiri terpaksa dibantu tongkat, lanskap HUKM agak memenatkan juga untuk didaki. Daripada sisi positif, untuk orang yangmalas bersenam seperti saya, bagus juga dipaksa melakukan aktiviti yang baik untuk kesihatan, iaitu berjalan kaki. Yang penting, jangan panas hati. Nanti menyirap pula darah. Berlatihlah untuk reda dan berlapang dada, 'kan?

HUKM wajar memandang serius keperluan mendesak untuk membina parkir bertingkat di ruang lapang sedia ada. Kos memang sentiasa menjadi hambatan. Tetapi terdapat jugabangunan yang rancak dalam proses pembinaan. "Itu projek wahyu dari langit," kata seorang petugas HUKM, sambil ketawa kecil.

Saya agak kurang arif maksud "projek wahyu" itu tetapi beberapa tahun lalu ramai juga mengadu kepada Harakah tentang bajet HUKM yang didakwa lebih terarah kepadaindividu yang rapat dengan Naib Canselor UKM. "Hal-hal kosmetik diutamakan, sedangkan perkara membabitkan hidup-mati pesakit HUKM terabai," lebih kurang begitulah rumusan rungutan yang saya terima waktu itu.

III.

Tulisan saya tentang gelagat politik anak muda menimbulkan reaksi positif pembaca, termasuk daripada pemimpin mahasiswa sendiri. "Patut lebih banyak artikel menyentuhgolongan muda di Harakah, khususnya gerakan pelajar," emel seorang aktivis kampus dipetik.

"Kami tidak mahu sekadar retorik murahan untuk menarik perhatian mahasiswa, sedangkan tiada tindakan bermakna yang diambil untuk mengembalikan kebebasan mahasiswa danautonomi universiti, termasuk oleh Pakatan Rakyat. Jangan mengambil mudah kritikan kami terhadap BN, lalu disamakan dengan sokongan kepada Pakatan. Ia hal berbeza,"tambahnya.

Ingatan anak muda itu mungkin dipandang remeh, namun bagi saya, ia boleh mengundang implikasi negatif buat Pakatan seandainya isu-isu kemahasiswaan tidak digarapdengan jujur dan berkesan. Selain menunggu perbahasan bernas di Parlimen dan respons serius setiap kali timbul polemik dunia kampus, kerajaan-kerajaan negeri Pakatanperlu mempraktikkan idealisme yang dijulang sekian lama.

Bukankah terdapat beberapa institusi pengajian tinggi yang dikelolakan pihak kerajaan negeri di bawah Pakatan, yang boleh menjadi model bagaimana sepatutnya persekitaran lebih kondusif dapat diwujudkan untuk warga menara gading? Interaksi sihat dalam tradisi keilmuan dan persekitaran intelektual harus disuburkan.

Personaliti unggul akademia bukan hanya dikerah untuk memenuhi kehendak pasaran kerja, yang kemudiannya tumpul nilai manusiawi dan tandus kesejagatannya.

Kongkongan -- yang bertulis mahupun yang sedia dimengerti -- perlu diceraikan rantaiannya. Kini, budaya mengampu dan politiking merebut jawatan eksekutif dalam pentadbiran universiti cukup memalukan.

Lebih penting lagi, idealisme dan citra mahasiswanya harus dihormati, serta mereka dibebaskan daripada 'degree-centric'. Saya, seperti rakan-rakan pelajar yang menulis emel dan SMS ketika mengulas tulisan saya tempoh hari, masih menunggu tindakan proaktif pemimpin Pakatan bagi mengangkat martabat kehidupan dunia ilmu seutuhnya.


Baca Seterusnya......

Monday, February 21, 2011

Apabila Karpal puji PAS parti paling berdisiplin

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Konvensyen Pakatan Rakyat 19 Disember lalu pasti meninggalkan kenangan manis - dan lebih penting pendorong semangat, sekali gus menyuntik kelegaan - buat petugas ketiga-tiga parti komponen. Selain merumuskan beberapa tindakan perlu dan pengumuman program 100 hari sebagai permulaan reformasi menyeluruh sekiranya mendapat rakyat, perhimpunan itu dilihat dapat memantapkan lagi persefahaman dan persepakatan ketika suhu politik negara makin menggelegak.

Ramai pemerhati merasakan tempoh persidangan terlalu singkat dan perlu dilanjutkan sekurang-kurangnya dua atau tiga hari, sepertimana muktamar tahunan PAS dan kongres KeADILan. Pakatan tidak harus terikut-ikut dengan Konvensyen BN yang juga dilangsungkan dalam masa sehari, malah lebih teruk, hanya 15 tahun sekali!

Banyak persoalan yang perlu diperincikan dan dibahaskan oleh lebih ramai perwakilan. Dengan itu, ucapan ketua-ketua parti misalnya, dapat diteliti dan diambil manfaat secara lebih menyeluruh. Suara pimpinan di pelbagai peringkat perlu didengar kerana merekalah yang bakal berdepan masalah dan kesulitan jika rumusan yang diambil tidak menepati kehendak rakyat. Bukankah selepas pilihan raya umum ke-12 suara rakyat menjadi begitu dominan berbanding kenyataan pemimpin atasan.

Lebih penting lagi, konvensyen tersebut bukan saja menjadi medan perbincangan untuk meluluskan ketetapan yang sudahpun diputuskan lebih awal, namun apa yang berlaku di luar jadual rasmi -- bukannya di pentas pidato -- yang membolehkan interaksi lebih intim di antara aktivis parti, dapat memantapkan lagi jentera di peringkat akar umbi.

Bukanlah sesuatu yang mengaibkan untuk kita mengakui bahawa masih ada salahfaham yang mungkin menyelinap di kalangan pendukung parti yang berbeza. Tidak mudah meresapkan elemen kemesraan dan saling fahami-memahami jika mereka masih dipetak-petakkan. ("Saya tidak begitu bimbang dengan hubungan akar umbi. Mereka nampak lebih ikhlas mahu memacu perubahan bagi menyelamatkan Malaysia. Yang saya runsing, kalau masih terbuku rasa tak puas hati dan tidak percaya antara satu sama lain di peringkat pimpinan lebih tinggi," keluhan seorang perwakilan yang mahukan sebarang kecurigaan di antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan wajib ditangani secara ikhlas dan terbuka).

Dan ia memerlukan ruang lebih selesa, mungkin secara santai dan tidak formal, untuk merongkai segala kecelaruan dan "salahsangka". Ada juga yang mengingatkan bahawa jika disebut "salahfaham", usah mengaitkannya hanya kepada hubungan PAS dan DAP - yang dahulunya dilihat umpama "dua kutub berbeda yang begitu sukar disatukan" - tetapi juga meliputi semua parti dalam Pakatan.

Malah, di ambang kejayaan sebagai "kerajaan menanti" ini, jangan diremehkan sekiranya timbulnya "pertembungan" di antara KeADILan dan DAP, disebabkan kedua-duanya mungkin tertumpu kepada konstituensi yang bertindan. Bukankah politik itu, antara lain bermakna, pengagihan nilai yang terhad sedangkan permintaan dan tuntutannya begitu tinggi?

Pilihan raya umum ke-13, walaupun dijangka begitu getir dan paling sengit untuk BN dan Pakatan beradu kekuatan, ia turut berupaya menyumbang kepada ketegangan dalaman parti, berpunca daya tarikan yang begitu memikat. Pemilihan calon mungkin bukan isu besar dalam PRU12 kerana tiada yang berani menduga BN akan berdepan pukulan yang begitu hebat. Masing-masing parti juga lebih bersedia bertolak-ansur menyerahkan kerusi kepada "rakan-rakan komponen" (yang belum pun terbentuk ketika itu). Suasana itu dijangka berbeda dalam pilihan raya akan datang.

Saya tetap bersikap kritis dengan sebarang kemelut dalaman Pakatan, biarpun nampak kecil dan terpinggir. Pengundi kali ini bukan lagi berhasrat untuk memilih barisan pembangkang yang kuat bagi memecahkan hegemoni BN; justeru apa jua yang menganggu kosentrasi mereka semasa pengundian mesti diambil berat. Paparan media, yang dikawal mutlak BN, bagi menonjolkan jurang dan pertelingkahan di antara ketiga-tiga parti, selain hal-hal yang kelihatan remeh-temeh, jangan dipandang mudah, tetapi tidaklah sampai ke tahap merencatkan agenda utama yang telah disusun.


Selain itu, pengiktirafan terbuka Karpal Singh, Pengerusi DAP, bahawa "PAS sebagai parti yang paling berdisiplin dalam Pakatan Rakyat kerana wakil rakyatnya sangat setia dan tidak pernah bertindak keluar parti" turut mendapat perhatian ramai dalam pertemuan bersejarah di Kepala Batas itu.

"Saya lihat hanya dua isu besar dalam konvensyen," ujar seorang penerbit berita TV, "iaitu sikap berubah Karpal terhadap isu Negara Islam yang diperjuangkan PAS dan tawaran Buku Jingga yang menggariskan Program 100 Hari Pakatan Rakyat jika memerintah." Beliau mencadangkan kepada saya agar Harakah memberikan tumpuan kepada dua isu berkenaan dengan memberikan perincian dan penjelasan lebih lanjut.

Apa pun, saya lebih tersentuh dengan pujian Karpal, yang menyifatkan PAS parti sebagai parti yang paling berdisiplin. Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang terkenal dengan kelantangannya itu turut mengakui kelemahan partinya sendiri.

"DAP pernah ada seorang di Perak, KeADILan pun ada ramai (keluar parti)," tambahnya di hadapan ribuan peserta konvensyen.

"Dalam pilihan raya akan datang letaklah calon-calon yang boleh dipercayai serta beritegriti. Jangan ulangi kesilapan lalu lagi kerana ia akan merugikan kita," tegas Karpal sambil mengaitkannya dengan kejatuhan kerajaan Pakatan di Perak. Pengerusi DAP itu juga menegur Anwar Ibrahim. Walaupun sebagai pemimpin utama dalam Pakatan, tapi kadangkala Anwar juga silap dalam membuat keputusan.

Teguran dan saling mengingatkan ini wajar dijadikan tradisi dalam Pakatan. Amalan menyapu sampah ke bawah karpet hanya memarakkan lagi "api dalam sekam".

Ucapan Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut mendapat pujian apabila sedia melakukan koreksi: "Marilah sama-sama kita bermuhasabah akan pencapaian kita, setelah diberi tanggungjawab melaksanakan amanah pemerintahan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, menilai dengan penuh kejujuran akan kelemahan dasar dan pelaksanaan, kita mencelikkan mata-telinga kita seluas-luasnya dan berlapang dada dengan kritikan rakyat, seterusnya melakukan rombakan pentadbiran dan perubahan menyeluruh apabila difikirkan perlu."

Manakala kesediaan Anwar memohon maaf di atas "kesilapannya" tambah memaniskan lagi majlis penutup konvensyen yang penuh bermakna itu.

Baca Seterusnya......

Muhyiddin (bakal dicabar Zahid), Anwar dan Wikileaks

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Hampir semua parti politik yang dijangka mengadakan pemilihan kepemimpinan pusat pada 2011 menangguhkan agenda penting itu. Tumpuan tentulah mahu difokuskan sepenuhnya kepada pilihan raya umum ke-13. Pertandingan dalam parti seringkali mengundang perpecahan, atau sekurang-kurangnya melemahkan kesatuan. Walaupun tempoh penggal Parlimen sekarang hanya akan berakhir pada 2013 tetapi semua pihak berkepentingan pastinya tidak mahu mengambil risiko.

Umno yang memulakan tradisi penangguhan ini. Selepas 1999, pemilihan MKT Umno tidak lagi dijalankan tiga tahun sekali, tetapi hampir lima tahun, iaitu menyamai usia sesebuah kerajaan. Malah tempoh kerajaan di Malaysia lebih pendek daripada penggal barisan kepemimpinan Umno berkuasa.

Selepas Dr Mahathir Mohamad memecat Anwar Ibrahim pada September 1998, sebagai langkah mempertahankan kuasanya yang dilihat goyang, kita jarang didedahkan dengan spekulasi kerusi no. 1 dan no. 2 dalam Umno akan dicabar. Era singkat Abdullah Ahmad Badawi juga nampak damai di permukaan. Beliau terpaksa melantik Najib Razak sebagai timbalannya, setelah ditunjuk Mahathir.

Muhyiddin memang regu Najib dalam Team Wawasan 1993, iaitu pasukan yang dibentuk Anwar (bersama Muhammad Muhd Taib dan Rahim Tamby Chik) ketika menawarkan perubahan bagi menghadapi Ghafar Baba (bersama Abdulah dan Sanusi Junid). Meskipun pada awalnya dilihat lebih dekat dengan Abdullah, namun Muhyiddin jugalah merupakan tokoh paling lantang mendesak Perdana Menteri kelima itu meletakkan jawatan lebih cepat daripada jadual awal, selepas prestasi buruk BN dalam PRU12.

Maknanya, Muhyiddin secara berani membawa suara hati Mahathir, yang meletakkan kekalahan BN itu sepenuhnya ke atas bahu Abdullah. Sejak itu, Muhyiddin dilihat rapat dengan Mahathir. Berbanding Abdullah, tentulah Mahathir lebih menyenangi Najib. Namun ia tidak menghalang beliau - secara tertutup - untuk melanjutkan kritikannya, termasuk kepada pemerintahan Najib.

Secara luaran, sokongan terhadap Najib nampak padu. Tiada tanda-tanda beliau akan dicabar daripada dalam. Walaupun usia Muhyiddin lebih tua berbanding Najib, dan dijangka tidak akan menggantikan ketuanya itu, kesetiaannya mungkin boleh dipersoal. Semasa Anwar disingkirkan, Muhyiddin dianggap rapat dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Selain itu, Muhyiddin juga dianggap lebih pintar, percaya kepada keupayaan diri dan mempunyai kekuatan intelektual tersendiri berbanding Najib. (Malah, ada pemerhati politik melihat isterinya, Rosmah Mansor, lebih ke hadapan dalam isu atau keadaan tertentu). Sementara Najib pula lebih mudah dipengaruhi dan tidak tetap dalam pendirian. Dalam hal ini, Mahathir tentunya lebih cenderung dengan perwatakan Muhyiddin.

Di peringkat barisan Naib Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein memang cukup rapat dengan Najib. Seorang mempunyai hubungan kekeluargaan dan seorang lagi pengikut setia. Naib Presiden seorang lagi, Shafie Apdal, dijangka bermasalah untuk mengekalkan kedudukannya. Rasanya Najib tiada sebarang masalah dengan Zahid, apatah lagi Hisham.

Di waktu "aman", Muhyiddin mungkin tidak menimbulkan kesukaran kepada Najib dan boleh menjadi regunya yang baik. Bagaimanapun, politik selalu mengundang krisis dan ia mungkin muncul secara tiba-tiba. Jika Najib mengharapkan timbalannya yang setia membuta-tuli - sepertimana Mahathir menginginkan Anwar mengikut apa jua kehendaknya - Muhyiddin bukanlah orangnya.

Bagi mengelak Umno ditohmah parti bangsawan baru, Najib lebih selesa dengan Zahid berbanding Hisham, sementalahan pula sepupunya itu gagal menunjukkan prestasi yang baik. Kementerian yang diterajui Hisham kerap menimbulkan masalah walaupun beliau ditempatkan di kementerian-kementerian strategik, seperti Pelajaran dan Dalam Negeri.

Nasib Umno-BN dalam PRU13 seumpama telur di hujung tanduk. Walaupun begitu, ia tetap tidak mampu mengendurkan keghairahan para pemimpinnya untuk mempersiapkan kelengkapan awal bagi pemilihan kepemimpinan parti untuk sessi akan datang.

II. Usah ghairah kuasai Putrajaya

Selamat bersidang perwakilan Konvensyen Pakatan Rakyat kali kedua, Ahad ini. Sementara banyak pihak mengharapkan perbahasan lebih tertumpu untuk memperkemaskan strategi menguasai Putrajaya dan mengambil alih kerajaan, elok juga beberapa peringatan agar pengukuhan ke atas pemerintahan tiga negeri sedia ada dimantapkan, diberi perhatian serius.

"Saya tidak bimbang Kelantan," kata seorang veteran politik. "Tapi, kita tidak boleh pandang mudah-rendah usaha BN untuk tawan Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Usaha pembaharuan di negeri-negeri ini belum nampak merata. Masa berbaki menjelang pilihan raya perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan perubahan ke atas kehidupan rakyat. Biar mereka terkesan dengan gaya Pakatan Rakyat memerintah. Potensi besar kita di Perak harus diimbangi dengan sokongan lebih meluas pengundi Melayu. Biar kerajaan negeri nanti mewakili semua kaum."

"Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran. Mungkin ramai yang marah sebab saya seperti antiklimaks. Tak mengapalah ...," tambahnya lagi sambil meminta saya agar mencatatkan, "tolong ingatkan pemimpin dan wakil rakyat Pakatan, penyakit yang menimpa Umno-BN kini sudah menjalar kepada kita, iaitu wabak jangkitan KUASA." (Beliau menekankan supaya saya menulis kalimah "kuasa" dalam huruf besar).

"Pencapaian kerajaan negeri kita belum boleh dianggap cemerlang. Apatah lagi sebaran media kita tidak mencukupi dan kurang berkesan," rungutnya lagi.

Saya juga tertarik dengan kenyataan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, yang juga dikenali sebagai strategis DAP: "Sebenarnya jika kekuatan kita benar-benar tinggi, kita hasratkan untuk menawan Putrajaya, tetapi agenda mengekalkan apa yang telah kita menang itu sangat penting."

Pensyarah media, Dr Abu Hassan Hasbullah pula tidak mahu krisis dalaman KeADILan dipandang ringan pimpinan Pakatan. Beliau membandingkan masalah dalaman yang turut melanda PAS, tetapi katanya, pemimpin parti Islam itu "berjaya menyelesaikan dengan cukup cermat dan bijaksana". Tambahnya, ia barangkali akibat daripada KeADILan yang masih belum dapat menguasai dan membentuk satu organisasi yang benar-benar kukuh dari aspek pentadbiran dan pengurusan.


III. Najib dan Altantuya di Wikileaks

Kalau pendedahan Wikileaks hanya menyentuh komen bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dan agensi perisikan negara tersebut berkenaan kes sodomi yang didakwa terhadap Anwar semata-mata, tentulah media dan pemimpin Umno-BN riuh-rendah "7 hari 7 malam" menjajanya bagi meraih kepentingan politik. (Secara kebetulan ataupun terancang, Utusan Malaysia rancak menyerang personaliti Ketua Pembangkang itu dengan menemubual kembali Ummi Hafilda Ali, aktor penting di sebalik fitnah besar terhadap Anwar 12 tahun lalu).

Bukankah sejak awal lagi kes liwat itu "direkacipta" Dr Mahathir semata-mata demi survival kuasanya, dan ia tiada kena mengena langsung dengan soal moral ataupun perundangan? Imej Anwar, yang dilihat seteru paling ketat BN dalam PRU13 nanti, cuba direndahkan sehina-hinanya, terutama pada kaca mata orang Melayu, iaitu khalayak yang masih dipercayai mungkin memberi sokongan kepada Umno.

Malangnya, keghairahan itu tertunda disebabkan Wikileaks turut memuatkan "maklumat" tentang Najib, yang pastinya begitu "menggerunkan" Perdana Menteri. Laporan hasil pandangan peribadi pegawai diplomatik Singapura itu menyebut tentang "masalah utama Malaysia adalah tiadanya pemimpin yang berwibawa dan Najib Razak perlu menang dalam pertarungan politik untuk mengelakkan didakwa". Ia secara jelas mengaitkan Najib dengan skandal pembunuhan model wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, dengan menekankan "Najib Razak terancam disebabkan kes pembunuhan itu".

Sebenarnya pendedahan laman kontroversi itu sekadar bersumberkan komen peribadi orang-orang tertentu dalam kabel sulit yang dipintas, tetapi belum dapat dipastikan kesahihan faktanya. Media yang dikawal mutlak Umno pula hanya menyiarkan apa yang dirasakan menguntungkan pemiliknya, dan meninggalkan kandungan yang mampu merosakkan imej taukehnya itu. Ibarat orang kelemasan, apa jua yang dianggap mampu menyelamatkannya akan dipergunakan seoptimum mungkin.

Saya tidak menjangkakan komen-komen dalam Wikileaks itu akan membawa masalah besar buat Anwar. Beliau sudah melalui tribulasi yang jauh lebih dahsyat-kejam dan dapat melepasinya. Bagaimanapun, rasa ingin tahu rakyat terhadap isu yang disensasikan itu wajar dimanfaatkan untuk menggemblengkan satu momentum baru, yang tidak terbatas kepada persoalan batang tubuh Anwar. Masyarakat yang dahagakan ketepatan maklumat lebih terdorong untuk mengikuti penjelasan Anwar, dan ini boleh membantut misi jelajah Najib ke seluruh negara yang dijangka bermula awal tahun depan.

"Saya tidur masih nyenyak. Makan makanan enak. Isteri masih cantik dan setia. Alhamdulillah. Mereka mahu melemahkan kita, lagi banyak kita diserang, Alhamdulillah lagi banyak rakyat datang kepada kita," kata Anwar ketika menyampaikan ceramah di tapak pasar malam Taman Melati di Wangsa Maju, 14 Disember lalu, mengulas serangan media berikutan pendedahan Wikileaks.

IV. Lebih baik hidu bau sampah

Selepas menjalani pembedahan pintasan jantung, saya mudah sesak nafas apabila tersedut asap rokok. Ramai pula kawan-kawan perokok tegar sehingga saya selalu semput dan sukar bernafas. Alhamdulillah ramai perokok yang mula faham tentang bahaya menimpa ke atas orang yang tidak merokok tetapi terpaksa menghidu asap ketagihan mereka.

Malam minggu yang lalu, saya mengajak anak-anak dan isteri minum di restoran mamak. Teringin sekali menikmati capati. Kebetulan ada siaran langsung bolasepak Inggeris. Kerusi hampir penuh. Ada meja kosong di tengah-tengah. Belum pun pesanan tiba, asap rokok berkepul-kepul di kiri-kanan kami. Terpaksa saya menarik keluarga keluar. Mujur ada lima kerusi menanti di tepi longkang.

Lari daripada asap rokok, kami dikelilingi bau tengik sampah. Apa nak buat ...

Baca Seterusnya......

Friday, February 18, 2011

Pakatan Rakyat mantap di bawah, rapuh di atas?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Konvensyen Pakatan Rakyat hujung minggu ini mempunyai banyak keistimewaan. Selain anggapan bahawa ia mungkin persidangan terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13, pertemuan barisan kepimpinanan daripada peringkat tertinggi hingga penyokong akar umbi ketiga-tiga parti komponen itu diharap bukan sahaja berupaya menyuntik semangat menyala aktivis Pakatan, namun lebih penting lagi merumuskan pelan tindakan strategik terbaik berdepan cabaran lebih getir dan menyelesaikan beberapa masalah berbangkit.

Persiapan menghadapi PRU13 begitu berbeda berbanding semua pilihan raya umum sebelum ini. Ini kali pertama BN menyedari ia akan digugat sehebat-hebatnya dan kemungkinan terlepas daripada takhta kuasa terbuka luas. Di pihak Pakatan Rakyat juga, ini julung kali keyakinan untuk mengambil alih kerajaan dikongsi semua parti di dalamnya, termasuk DAP yang dahulunya lebih bertekad untuk menjadi pembangkang yang kuat dan berwibawa.

Laluan membentuk sistem dua parti di negara ini terbentang luas selepas fenomena tsunami politik, Mac 2008 dan kini terpulang kepada keseriusan para pemimpin PAS, KeADILan dan DAP untuk menjadikan impian sejak lama itu sebagai kenyataan. Malaysia perlu diselamatkan daripada terus "ditawan" satu gabungan parti sejak merdeka, sehingga mengetepikan proses "semak dan imbang" dan membuatkan parti pemerintah sombong-ego-angkuh. Waktu itu, dikatakan kalau letak "songkok" pun BN boleh menang!

Realiti politik Malaysia memang tidak memungkinkan hanya sebuah parti tunggal menerajui kerajaan. Demokrasi konsosiasional yang diamalkan di kebanyakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk, termasuk Malaysia, menawarkan penyelesaian untuk berkongsi kuasa. Hubungan kerjasama dan toleransi, terutama di peringkat elit politik, mesti dipupuk bagi mewujudkan konsensus agar kestabilan tercapai, politiking dikurangkan dan kepentingan atau tuntutan daripada kaum yang berbeda dapat disesuaikan.

Bagaimanapun, pengkaji demokrasi permuafakatan seperti Cham dan Kieve, seperti dirumuskan Nidzam Sulaiman, menyatakan bahawa di beberapa negara tertentu, termasuk Malaysia, yang terbentuk hanyalah kerjasama rapuh antara pemimpin politik dari pelbagai kelompok.

"Ia tidak memberi gambaran sebenar akan kerjasama yang wujud secara menyeluruh antara kelompok yang berbeza itu. Di peringkat menengah atau bawahan kelompok masih bersaing dan enggan bekerjasama dan konflik masih berlaku. Kerjasama rapuh ini boleh menemui kegagalan apabila muncul masalah dalaman yang tidak dikesan oleh golongan elit. ... Konsosiasionalisme yang meliputi hubungan kaum sebenarnya tidak ubah berupa litupan gula icing kek yang rapuh dan di dalamnya terdapat bermacam-macam campuran yang tidak padu campurannya," tulisan Nidzam dipetik.

BN ternyata gabungan longgar elit pemimpinnya semata-mata. Golongan massa di bawah, termasuk penyokong parti masing-masing, terus hidup dalam prasangka, terbahagi dan gagal disatukan walaupun mendokong satu gabungan parti yang bertanding mewakili satu simbol dalam setiap kali pilihan raya sejak merdeka. Sentimen perkauman sentiasa dimanipulasi kepemimpinan tertingginya. Yang kaya dan beruntung hanya elit penguasa yang sering bertindak sebagai "pemeras yang bertopengkan kepentingan kaum". Majoriti pengikut - daripada semua kaum - masih ditindas, miskin dan serba mundur.

Pakatan Rakyat yang hanya terbentuk selepas PRU12 mengadakan konvensyen pertama di Auditorium MBSA, Shah Alam, pada 19 Disember 2009. Genap setahun kemudian, di Dewan Millenium, Pulau Pinang, pada 19 Disember 2010, konvensyen kedua menyusul, dengan tema "Berubah Sekarang". Cuba bandingkan dengan konvensyen BN pula. Ia pertama kali diadakan pada 1995. BN memerlukan tempoh 15 tahun untuk menganjurkan konvensyen keduanya, bertemakan "Satu Warga, Satu Negara, Satu Wawasan" pada 4 Disember lalu!

Cuba anda tinjau pengendalian kempen pilihan raya BN. Kita pasti sukar sekali untuk berjumpa seorang pemimpin MCA berceramah di kawasan majoriti Melayu. Sedangkan, pemimpin DAP, seperti Lim Guan Eng mahupun Lim Kit Siang begitu mudah diajak untuk berkempen di perkampungan Melayu. Masih segar dalam ingatan saya, ketika berpanas terik bersama ribuan yang lain menyambut pembebasan Guan Eng daripada Penjara Kajang, 12 tahun lalu. Terharu saya melihat seorang makcik bertudung labuh membonceng motorsikal bersama suaminya megah menjulang bendera DAP, manakala seorang tua Cina berlari-lari anak mengibarkan panji-panji PAS.

Justeru, jika terdapat sebarang keraguan atau kemungkinan salahfaham di antara barisan kepemimpinan tiga parti dalam Pakatan, mereka harus mengimbau persefahaman erat yang terjalin di peringkat akar umbi, bukan bermula Mac 2008 tetapi sejak lama dahulu. Rakyat di bawah, dari pelbagai latar belakang kaum dan agama, tidak pernah memikirkan kepentingan sempit mereka ketika mengundi Pakatan. Mereka begitu mendambakan pembaharuan dan perubahan. Tidak terlintas untuk membolot kontrak, mengejar pangkat dan kedudukan, juga memperkayakan diri.

Sering saya tekankan, berdepan PRU13, rakyat tidak mudah lagi memberi sokongan kepada satu parti kerana membenci parti saingannya. Pakatan akan disokong disebabkan kekuatannya, bukan disandarkan kelemahan BN lagi. Oleh itu, sebarang pertelagahan terbuka mesti dielakkan. Usah cemarkan imej Pakatan sebagai parti yang berwibawa dan layak diberikan kepercayaan untuk memimpin. Hal titik-bengik pun boleh mempengaruhi pengundi jika ia didedahkan kepada umum.

Saya tertarik dengan ungkapan Teresa Kok, pemimpin kanan DAP ketika ditemui kolumnis Karim Raslan, pada September 2008: "Rakyat telah memberikan kami mandat, Islam dan bukan Islam telah mengundi untuk satu sama lain. Ia adalah ketentuan Tuhan supaya kita kita perlu bersatu. Kita perlu sensitif dalam soal menguruskan elemen penyatuan dan ciri-ciri persamaan yang boleh menguatkan pakatan. Mana-mana golongan atau parti yang cuba memusnahkan persepakatan atau mengakibatkan perpecahan Pakatan Rakyat pasti dipersalahkan dan rakyat Malaysia tidak akan memaafkan perbuatan masing-masing."

Menjadi harapan ramai, jika BN bukan saja rapuh di peringkat bawah tetapi juga longgar ikatan elit politiknya, manakala di pihak Pakatan, para penyokong nampak berpadu dengan baik, maka usah biarkan persefahaman di peringkat atasan cuba dirongkai pula.

"Saya tidak bimbang pengundi bukan Melayu akan terus sokong DAP nanti, yang merisaukan mampukah PAS memenangi hati majoriti masyarakat Melayu, golongan yang menyelamatkan BN hampir tiga tahun lalu?" tiba-tiba saja seorang teman, wartawan veteran menimbulkan persoalan. "Ini kuncinya, pengundi Melayu!" tambahnya sambil menekankan bahawa formulanya mesti datang dari ketiga-tiga parti, bukan hanya PAS.

Baca Seterusnya......

Kemunafikan Umno dan isu ketuanan Melayu

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Tsunami politik, Mac 2008, mengundang pelbagai tafsiran. Ada menyifatkan kecenderungan mengundi rakyat Malaysia sudah tidak lagi terkepung dan terkurung dengan sentimen perkauman. Isu-isu sepanjang kempen pilihan raya ke-12 itu menjangkau persoalan sejagat sehingga istilah "politik baru", yang popular semasa pilihan raya umum 1999, kembali diperkatakan. Pengundi semakin terbuka untuk membincangkan isu-isu penting dan kritikal, sekali gus memecahkan kepompong yang sengaja diwujudkan selama ini.

Umno-BN ternyata mudah panik dan menggelabah. Memang siapa pun tidak menyangka Pakatan Rakyat (yang dibentuk secara rasmi selepas pilihan raya itu) mampu mempamerkan prestasi sebegitu cemerlang.

Paling ketara, pengundi bukan Melayu (serentak Cina dan India) menolak total BN (khususnya MCA dan Gerakan). Parti yang paling beruntung dan mendapat laba besar adalah DAP. Hampir semua calonnya menang.

Tanpa menunggu lama, api perkauman cuba dimarakkan kembali. Ternyata Umno ketandusan idea segar dalam usaha merebut negeri-negeri yang kecundang. Selama ini DAP memang ditohmah sebagai parti 'chauvinist Cina'. Formula lapuk Umno seperti yang termaktub dalam kurikulum BTN - membangkitkan emosi kaum demi survival BN.

Melalui media yang dikontrolnya, terutama Utusan Malaysia dan siaran berita TV, "lagu lama" yang mendakwa kepentingan Melayu terancam di bawah kerajaan negeri Pakatan, didendangkan berulang kali.

Terbaru, melihat "keterlanjuran" Dr Wan Azizah Wan Ismail mengupas konsep ketuanan Melayu, semasa membentangkan Ucapan Dasar Presiden KeADILan dalam kongres nasional tahunan ke-7, Umno terus mengekspolitasi keadaan itu semaksimum mungkin.

(Dalam teks asal dinyatakan, konsep "ketuanan Melayu" ini wajib dibakulsampahkan. Ramai merasakan ia boleh menimbulkan salah tafsir jika tiada penerangan terperindi dilampirkan).

Berhari-hari serangan dilakukan secara bertubi-tubi, selain mengkritik proses pemilihan kepemimpinan KeADILan, yang dilihat ada kepincangan dan menimbulkan rasa tidak puas hati ahli-ahlinya dan calon-calon yang bertanding.

Dr Wan Azizah dalam ucapannya itu menyenaraikan kepincangan Umno, dan seterusnya merumuskan: "Para pemimpin Umno bukan berjuang untuk membela orang Melayu. Parti itu hanya berminat untuk menjaga kepentingan taukeh-taukeh tertentu. ...Isu survival Melayu dan agama Islam di Malaysia ini tidak akan dapat diselesaikan jika kita masih melihatnya melalui teropong Umno dan para konconya. Ia perlu dikaji dari perspektif baru dalam fenomena baru realiti politik berasaskan demokrasi di Malaysia. Jika Umno benar-benar ikhlas, hentikan segala kezaliman, penindasan dan kemungkaran yang diamalkan selama ini."

Dalam pada itu, tentulah tidak sukar untuk memalitkan wajah hodoh perkauman kepada DAP, dan langkah sasaran seterusnya adalah kepada KeADILan. Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim yang menjadi pencabar terhebat kepada hegemoni Umno-BN, menjadi target khusus.

Imej Ketua Pembangkang itu mahu direndahkan ke peringkat "pengkhianat Melayu" yang sanggup "menjual" segalanya demi menggapai impian menjadi perdana menteri. Anwar sering dituduh bertindak seumpama sesumpah, yang akan bertukar rupa mengikut tempat, keadaan dan keperluan atau kepentingan! ...

Ya, apa lagi istilah "jelik dan jijik" dan "sumpah-saranah" yang belum dihadapkan kepada Anwar?


BN memang diselamatkan oleh pengundi Melayu pada 2008. Sebahagian besar masyarakat bukan Melayu melakukan menggunakan sepenuhnya peti undi demi "mengajar BN". Perancang kempen BN mungkin menjangkakan, walaupun pelbagai "pembaharuan" cuba dilakukan Najib Razak untuk menarik kembali sokongan pengundi bukan Melayu, namun keberhasilannya cukup-cukup diragui. Jadi, BN tidak mahu terlepas daripada terus mendakap undi orang Melayu, dengan formula mudah, iaitu dengan terus menonjolkan imej sebagai "juara Melayu".

Jalan singkat adalah dengan mempamerkan situasi seolah-olah kepentingan orang Melayu begitu terancam dan tergugat. Melayu yang masih ketinggalan jauh (walaupun selepas diperintah BN lebih 50 tahun) digambarkan dalam kedudukan kritikal di negara sendiri.

Sudahlah lemah, parti-parti politik di luar BN, khususnya DAP dan KeADILan, didakwa tidak pernah menjunjung hasrat untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat Melayu. Malah, parti-parti berkenaan ditohmah tidak mendokong peruntukan Perlembagaan mengenai hak istimewa orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu dan seumpamanya. PAS pula dilabelkan sebagai parti pak turut yang begitu lemah sehingga boleh diperkotak-katikkan oleh KeADILan dan DAP.

Ditinjau kempen Umno-BN selama ini, apa yang berlaku itu sudah dapat diduga. Tengku Razaleigh Hamzah, semasa mengetuai Team B menentang Dr Mahathir Mohamad dalam pemilihan Umno, April 1987 dan ketika bersama PAS (membentuk Angkatan Perpaduan Ummah) dalam pilihan raya umum 1990, juga tidak terlepas daripada dilabelkan tuduhan hampir sama. Umno menyedari bahawa majoriti orang Melayu - yang masih ketinggalan dalam banyak bidang kehidupan di bawah pemerintahannya sejak merdeka - mudah dicuit emosi hanya dengan "menggilap" kembali pertuduhan palsu berkaitan isu perkauman.

Istilah ketuanan Melayu cuba dikaitkan dengan beberapa peruntukan yang terjamin dalam Perlembagaan seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Sebarang kritikan terhadap "konsep yang begitu dipolitikkan itu" akan dianggap sebagai suatu gerakan terancang untuk mengkhianati orang Melayu.

Keadaan serupa juga timbul apabila perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikritik. Walhal yang dipertikai adalah tipu-helah elit Umno untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya atas nama Melayu, sedangkan majoriti bangsa sendiri terus dihimpit kemiskinan dan kemelaratan.

Apa kena mengena DEB dengan penganugerahan projek kerajaan yang begitu tinggi bidaannya kepada taukeh Melayu berbanding nilai lebih rendah yang ditawarkan pengusaha Cina misalnya? Mengapa khazanah negara mesti dibazirkan hanya untuk memuaskan nafsu serakah kontraktor Melayu kroni penguasa, yang kemudiannya sekadar menyumbangkan sedikit dana politik untuk kempen BN?

Tembelang pemimpin Umno terdedah semasa kempen mereka untuk meminda Perkara 181 Perlembagaan berkaitan imuniti Raja-Raja Melayu. Habis ditelanjang dan diganyangnya "perilaku negatif" sultan tertentu. Timbul pendedahan secara meluas di dada-dada akhbar tentang istana besar, kawasan balak dan gaya hidup mewah mereka.

Benar, raja-raja juga tidak terlepas daripada kelemahan dan kesilapan, dan sesiapa pun tidak perlu mempertahankan gaya hidup orang istana yang melampaui batas. Soalnya, apakah kaedah yang dipilih Dr Mahathir Mohamad ketika itu merupakan pendekatan terbaik untuk menyelesaikan konflik?

Ku Li, dalam ucapannya sebagai Presiden Semangat 46, di Kota Bharu, pada 3 Januari 1993 mengulas hal ini: "Istana, kawasan balak dan kontrak diberikan oleh pemimpin Umno. ... Raja-Raja disuap dengan kemewahan supaya mereka lemah dan boleh diheret ke mana-mana. Raja yang lemah boleh diperas ugut bagi menyokong tindakan mereka pula.

"... kita ingin tanya, sultan diberi 40 ribu hektar kawasan balak keran ia sultan, tetapi bagaimana pula kisah seorang Cina diberikan 1.5 juta hektar kawasan balak? Bagaimana pula dengan pulau, seperti Pulau Redang, Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Layang-Layang, atau pun bukit, seperti Bukit Bendera, Bukit Kiara dan Bukit Jalil yang diberikan kepada orang tertentu yang tiada kena mengena dengan sultan? Tanyalah kepada pemimpin Umno sendiri, siapakah yang memonopoli hartanah di Selangor dan Wilayah Persekutuan? Pulau-pulau, bukit-bukit dan hartanah ini jauh lebih besar dan bernilai daripada istana-istana Sultan."

Ironinya, apabila Umno terdesak dan hampir kelemasan, terutama selepas menyedari rakyat mula menolaknya, maka antara yang mahu dipautnya adalah Raja-Raja Melayu. Pakatan Rakyat digambarkan seolah-olah bertindak tanpa adab mengetepikan prinsip-prinsip asas dalam Perlembagaan, termasuk merendah-rendahkan institusi Raja-Raja Melayu.

Imiginasi pemimpin Umno dan media di bawah kongkongannya sungguh dahsyat sekali! Benda yang tidak wujud sengaja diada-adakan semata-mata untuk menghasut rakyat, terutama orang Melayu, untuk menolak Pakatan.

Apa pun, saya masih teringat penegasan Najib Razak dalam perhimpunan agung Umno 2010: "Hak orang Melayu dilindungi sepenuhnya serta 'terkunci kemas' dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat ... seandainya mempunyai dua pertiga dalam Parlimen pun, ia tidak akan mampu mengubah setitik apa pun jua, tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja yang dianggotai oleh sembilan Raja-Raja Melayu."

Jadi, apa yang perlu pemimpin Umno dan Utusan Malaysia sibuk-sibuk sangat mengeksploitasi isu ketuanan Melayu ini, 'kan?

Baca Seterusnya......

Mengingati sahabat sejati: Samsuri yang cukup menyenangkan

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Sepatutnya saya bertemu dan bersembang panjang dengannya ketika majlis jamuan menjelang Ramadan lalu di hadapan pejabat editorial Harakah, Jalan Pahang Barat. Sudah agak lama kami tidak berjumpa. Selepas menjalani pembedahan pintasan jantung akhir April lalu, ada-ada saja rintangan yang menghalang.

Hari itu, saya tidak dapat lama melayani teman-teman yang datang. Pertama, masih uzur dan mudah penat kalau banyak bergerak. Kedua, disebabkan empat wartawan negeri turut hadir, saya memanfaatkannya untuk bermesyuarat ringkas. Tidak mudah untuk bersembang dengan mereka. Segera saya naik ke tingkat dua.

DIAJAK BERCERITA

Ketika kami berbincang santai, tertera panggilan dari Samsuri. Belum sempat menjawab, terputus. Saya mengharapkan Samsuri Roslan akan menunggu di bawah. Tentu ramai lagi kawan-kawan di Harakah yang boleh diajak bercerita.

Mesyuarat selalunya tidak memakan masa lama. Tapi, saya yang masih bercuti, leka berbual. Azan Asar mengejutkan saya bahawa ada rakan akrab yang menanti lama.

"Ana dah balik," jawab Samsuri, tetap dengan nada ceria apabila saya menelefonnya. Pastinya tiada siapa menduga bahawa saya baru saja terlepas peluang terakhir mendengar celoteh dan jenakanya.

Hinggalah pagi Rabu, 6 Syawal, saya mengusiknya lewat SMS: "Tak habis raya lagi ka?" Aidilfitri kali ini saya tahu Samsuri ke kampung isterinya, di Gerik, Perak.

Jawapan yang saya terima cukup mengejutkan: "Abah tidak sihat, kena stroke, sekarang di ICU Hospital Ipoh." Terpukul saya menerima khabar duka itu.

Tanpa membuang masa saya mencari seseorang yang boleh membawa saya segera ke Ipoh. Anak saudara, Rozani Morad, yang juga kenalan Samsuri, menyanggupi.

DESTINASI PALING JAUH

Ipoh hanya memerlukan dua jam untuk sampai, namun sepanjang empat bulan berehat panjang selepas "by-pass", destinasi paling jauh yang saya gagahi adalah rumah mentua di Kota Warisan, Sepang. Itu pun kaki agak bengkak di subuh raya pertama.

"Niat dan usaha yang baik tidak boleh ditangguhkan," kata pendorong isteri saya, memutuskan segala keraguan untuk menziarahi Samsuri. Saya risau keadaan tubuh yang uzur menghalangi.

Namun resah menampar lebih kuat jika saya hanya mendengar berita dari jauh tanpa bersemuka dengannya.


Unit Rawatan Rapi (ICU) kerap menyuntik kesedaran dan keinsafan. Wajah-wajah keluarga yang menunggu di luar wad tidak dapat menyembunyikan kegelisahan dan harapan yang cukup tinggi. Apatah lagi saudara dan teman rapat yang tidak putus-putus berdoa.

Seorang rakan pernah berkata: "Aku rasa masjid atau surau yang paling khusyuk adalah raung solat di hospital. Pergantungan kepada Allah cukup rapat dan dekat." Saya sempat menunaikan solat Asar di masjid baru berdekatan Hospital Ipoh.

MENEROPONG KEKERDILAN DIRI

Menatap Samsuri yang terlantar, masih tidak sedarkan diri di katil, seperti meneropong kekerkedilan diri. ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, terasa syahdu.

Lebih kurang 13 tahun lalu, saya berkejar dari Kuala Lumpur ke Ipoh, juga bersama Rozani yang baru berkahwin, selepas mendengar berita ayahnya, Morad Ismail meninggal dunia semasa memandu kereta untuk masuk ke sebuah masjid. Almarhum Morad ialah ayah Rozani, iaitu abang ipar yang juga sepupu saya.

Selama 135 hari lalu, selama tiga hari saya turut meniti detik-detik getir di ICU, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Isteri Samsuri, Siti Faizah Abu ternyata tabah dan cekal. Empat anak mereka, semuanya perempuan, memberi kekuatan buat Faizah. Dua daripadanya menuntut di utara semenanjung - Arau dan Sungai Petani. Yang tinggal bersama mereka di Taman Seri Puteri, Meru, anak paling kecil, 10 tahun dan seorang lagi pelajar tingkatan dua.

Faizah menjelaskan Samsuri "sihat-sihat aja" menyambut 1 Syawal di rumah keluarganya di Gerik, sehinggalah pada tengah malam raya ketiga. Beliau muntah-muntah sebelum diserang angin ahmar dan dikejarkan terus ke Hospital Gerik. Tanpa menunggu lama Samsuri dipindahkan ke Ipoh.

AYAT-AYAT SUCI

Samsuri tidak bergerak. Langsung tiada apa-apa reaksi apabila saya mengenggam erat tangan kanannya. Saya bisikkan ke telinganya kalimah Tauhid, ayat-syat suci dan kata-kata perangsang. Matanya dilihat berkedip, mungkin sebagai respons awal.

Saya beralih ke sebelah anggota kirinya. Genggaman saya seperti bersambut. Rozani memberitahu, air mata Samsuri menitik. Bacaan doa saya tersekat-sekat. Saya yakin rakan baik saya itu mendengarnya.

Hampir setiap hari selepas itu saya bertanya khabar melalui SMS ke telefon bimbit Samsuri. Meskipun jawapan anak-anaknya ringkas namun ia sarat dengan sejuta pengharapan. Mereka memaklumkan ada petanda kecil perubahan positif pada Samsuri.

Namun, Zulkifli Sulong, Ketua Pengarang Harakahdaily yang menziarahinya lima hari selepas saya, memaklumkan Samsuri masih koma. Tentunya saya dapat memahami impian tinggi anak-anak Samsuri agar abah mereka segera pulih.

"Saya yakin Samsuri cukup kuat semangatnya, apatah lagi keluarganya bagi hadapi saat-saat genting ini," SMS saya kepada anggota keluarganya.

Saya mula mengenali Samsuri ketika belajar di tahun akhir Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Gurney (kini Jalan Semarak), Kuala Lumpur, 1985-86.

Gelodak perjuangan mahasiswa, terutama ketika saya menerajui Persatuan Mahasiswa (PMUTM) menentang tindakan keras universiti memecat sembilan pelajar wanita berpurdah menemukan kami; saya sebagai aktivis pelajar dan Samsuri wartawan akhbar politik, Watan. (Sebenarnya rakan sejawatnya, "seorang lagi Samsuri", iaitu Samsuri Mamat yang lebih banyak melaporkan "kegiatan nakal" saya).

TABIR DALAMAN

Beliau banyak membantu saya mengasah bakat penulisan dan mendedahkan kisah belakang tabir pergolakan dalaman Umno. Penulis muda seperti saya amat perlukan dorongan.

Sokongan moral paling kuat apabila tulisan kita yang penuh kelemahan tersiar. Samsuri dan beberapa rakan lain di Watan ketika itu, antaranya Daud Ibrahim, menyediakan ruang untuk saya bereksperimen.

Semasa di kampus, selain Watan, saya lebih kerap menyumbang artikel kepada tabloid Mingguan Bumi, yang diasas dan dikelola oleh Almarhum Pak Hussein Yaakob. Pak Hussein, atas nama pena Ibnu Muslim, kemudiannya menjadi kolumnis Harakah yang diminati ramai, termasuk ketika saya menerajui lidah rasmi PAS itu.

Tarikh 27 Oktober 1987 bukan saja merampas kebebasan lebih 100 aktivis masyarakat di bawah Operasi Lalang ISA. Sehari selepas itu, ia mencatat detik hitam buat wartawan Watan (yang diterbitkan dua kali seminggu), dan dua harian berpengaruh, The Star dan Sin Chew Jit Poh digantung penerbitan.

Yang pasti Watan dan The Star yang muncul selepas itu sudah tidak sama lagi, terbatas dengan pelbagai sekatan.

BUKU POLITIK POPULAR

Saya memilih untuk membuka syarikat penerbitan sendiri, dengan menumpang pejabat abang saya, Dinsman di Plaza Pekeliling, Jalan Tun Razak. Majalah tanpa permit, antaranya "Demokrasi Zaman Mahathir" dan "Selepas 3 Tahun Memali", tidak mudah menembusi pasaran. Ramai pengedar dan pekedai tidak bersedia berdepan risiko dirampas KDN. Saya kemudiannya memilih pendekatan buku-buku politik popular.

Secara tidak rasmi, Samsuri adalah pembekal maklumat dan pentafsir gerak politik yang kadang-kadang sukar ditelah. Darinya saya memperolehi scoop dan berani membuat ramalan - elemen yang amat diperlukan dalam penulisan buku politik.

Di antara buku awal ialah Anwar Lawan Ghafar?, yang saya mulakan penulisannya setahun sebelum bekas Menteri Kewangan itu secara rasmi mencabar Ghafar Baba dalam pertandingan Timbalan Presiden Umno.

Samsuri menemani saya mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri Anwar di Bukit Damansara. Saya pergi semata-mata untuk menyerahkan naskhah awal buku itu kepada Anwar sendiri (akhirnya disampaikan kepada Khalid Jaafar di majlis berkenaan), yang saya kenali dengan lebih dekat semasa beliau menjadi Menteri Pendidikan.

Pada awal 1986, surat tahniah saya sebagai Setiausaha Agung PMUTM atas perlantikannya menggantikan Abdullah Ahmad Badawi, sekali gus berbau "ugutan" kepada Anwar, dijadikan tajuk depan Watan, dan kandungan warkah itu disiarkan sepenuhnya di muka dalam.

Surat itu sebenarnya dihantar ketika saya bersama pimpinan pelajar dari seluruh negara mengadakan pertemuan pertama dengan Anwar.

DIPECAT UTM

Seminggu selepas itu, sekali lagi saya dijadikan berita utama Watan apabila dipecat daripada UTM! Tidak hairanlah jika ramai yang mengandaikan saya dipecat ekoran kritikan terbuka kepada Anwar, walhal realitinya tiada berkaitan pun. Saya sebenarnya keuziran dan tidak dapat memasuki dewan peperiksaan akhir (tahun kelima kursus sarjana muda kejuruteraan awam).

Satu demonstrasi besar selepas solat Jumaat membantah pemecatan saya membabitkan ramai pemimpin pelajar sekitar Lembah Klang. Antara pemimpin pelajar yang hadir ialah Saifuddin Ismail Nasution, ketika itu Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Pertanian Malaysia (PMUPM).

Saya masih ingat, ia diadakan sehari selepas tarikh penamaan calon pilihan raya umum 1986. Kampus UTM hanya beberapa langkah daripada pusat FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan), yang siap bertindak untuk mematahkan apa juga demonstrasi yang dianjurkan.

Teriakan reformasi yang bergema pada awal September 1998 tambah mengeratkan lagi hubungan saya dengan Samsuri. Saya melepaskan jawatan di majalah Tamadun (yang memecah rekod kerana diulang cetak sebanyak tiga kali dalam edisi khas pemecatan Anwar sehingga mencecah 140,000 naskhah) dan bersama Samsuri menerbitkan semula majalah Detik yang dimilikinya. Permit Detik atas nama Samsuri.

FENOMENA DETIK

Samsuri menyerahkan sepenuhnya majalah itu kepada saya, dari segi editorial dan urusan bisnes. Meskipun berdepan kemungkinan tindakan represif KDN, Samsuri langsung tidak membayangkan "syarat-syarat tidak bertulis" kepada saya. Walhal beliau lebih dianggap dekat dengan Umno walaupun semasa bertugas di Watan, Samsuri banyak melaporkan aktiviti pembangkang.

Hampir setiap hari kami berlabun panjang di pejabat saya, Penerbitan Pemuda, Medan Idaman, Gombak. Kalau turun kedai mamak, Hameed atau Restoran Nasi Kandar Deen, tidak cukup dengan tiga gelas teh tarik. Juadah paling digemarinya adalah nasi kandar kambing, ditambah telur ikan. Dalam serius, terselit lucunya. Guraunya cukup menyenangkan.

Apabila berbual bersamanya, saya tanpa segan boleh berkongsi apa saja, baik impian, idea, harapan, cita-cita, angan-angan ... ya, segalanya. Ceritalah, dan dia akan sanggup mendengar walaupun sebahagiannya hanya impian yang mustahil untuk digapai.

Ketika gelisah, dia menenangkan. Ketika bimbang, dia menenteramkan. Ketika bosan, dia menceriakan. Ketika sedih, terutama masa kematian anak kedua saya, Nurul Syafiqah, 11 tahun, Samsuri yang paling awal menyabarkan.

Malah, dia telah menyiapkan satu bab panjang kenang-kenangan bersama Syafiqah, yang saya rancang untuk terbitkan dalam bentuk buku. Malangnya, buku itu berbengkalai dan tulisan Samsuri yang begitu menyentuh itu hilang bersama PC saya yang rosak.

Hampir setiap bulan, apabila saya menziarahi emak mentua di Bandar Baru Klang, kami pasti bersembang lama di kedai mamak berdekatan. Rumah Samsuri hanya 15 minit perjalanan dari situ.

NAFAS PENDEK

Majalah Detik hanya sempat setahun genap bernafas di bawah kelolaan saya. Keputusan pilihan raya umum ke-10, 29 November 1999, yang mengejutkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah menamatkan riwayat majalah yang dilihat mendokong kuat gerakan reformasi itu.

Samsuri sudahpun membayar RM500 kepada KDN untuk pembaharuan permit Detik tetapi arahan politik boleh membatalkan apa jua keputusan pegawai kerajaan. Kontroversi Detik, yang dianggap majalah berat sebelah menyokong pembangkang, telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. Memang benar kami banyak mengedarkan majalah itu secara percuma semasa tempoh berkempen pilihan raya umum ke-10.

Samsuri nampak tenang saja sedangkan saya gelisah diamuk amarah. Pengharaman Detik menggerakkan penubuhan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan lobi memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP). Bersama rakan-rakan kami menyiapkan "keranda" untuk menguburkan Detik.

Saya "menghasut" Samsuri supaya bangkit menentang namun dia tetap tersenyum: "Anta lawanlah dengan cara anta."

Pagi Ahad lalu, 3 Oktober, SMS saya bertanyakan perkembangan Samsuri lambat dijawab. Sebelah petangnya SMS itu mendapat respons dengan panggilan telefon.

Hairan juga saya. Belum sempat salam dilafaz, suara terputus. Ingat saya, anaknya mungkin tersalah tekan nombor.

Deringan ketiga membawa berita sedih. "Pakcik Lutfi ya? Abah baru meninggal sebentar tadi."

KEHILANGAN AMAT TERASA

Secepat itu saya kehilangan sahabat yang paling istimewa, anak kelahiran Kampung Raja Musa, Kuala Selangor, 48 tahun, anak kepada pasangan Roslan Sulaiman dan Suliah Siam.

Ibunya juga meninggal dunia selepas diserang angin ahmar. Samsuri sempat membawa saya menziarahi ibunya di Jengka, Pahang. Mereka berhijrah ke tanah rancangan Felda pada 1974.

Semasa mengucup dahinya buat kali terakhir selepas solat jenazah, air mata saya tumpah, tidak dapat ditahan lagi. Sebak. Pilu. Tetapi lebih sayu dan menghiris bila terpandang anak bongsunya yang masih menunggu kedua-dua kakaknya yang belum tiba dari utara.

Sahabat sebaik dan sehebat Samsuri sukar dicari ganti. Sungguh, ia ibarat satu dalam seribu. Samsuri cukup menyenangkan dan amat memahami.

PERBUALAN TERAKHIR

Dalam perbualan terakhir kami, saya banyak bercakap tentang kematian. Tapi saat itu saya membayangkan, saya yang selalu sakit akan pergi dahulu. Ajal maut tiada siapa dapat menduga.

Moga segala kesalahannya diampuni Ilahi dan keluarganya tabah menghadapi dugaan sukar ini. Mudah-mudahan amal baiknya diterima Allah. Usia memang terbatas namun kenangan bersahabat akan terpahat selamanya.

Ketika mahu menutup catatan ini, muncul mesej dalam facebook saya, dari Presiden Pena, Mohamad Saleeh Rahamad: "Saya juga terkenang Samsuri, yang sangat baik masa kerja di Watan dulu ... kenangan hebat dengan arwah, tapi lama betul tak jumpa. Sedih."

Saleeh teman sejawat Samsuri semasa Watan diketuai Mohd Khairune Ali. Ramai nama-nama besar wartawan politik bersama akhbar politik terkemuka itu.

Baca Seterusnya......