Monday, March 28, 2011

Jangan benarkan isu video seks lupakan kita kepada isu pokok

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN SUKAR sekali untuk saya menulis kolum kali ini. Selepas hampir dua jam terpaku di depan komputer, melayari pelbagai laman, kaki semakin lenguh menyengat dan pinggang sakit, namun idea belum juga muncul. Apa lagi yang menyiksakan bagi mana-mana penulis selain kebuntuan mencari ilham sedangkan masa bergerak pantas. Akhbar harus dicetak tepat pada masanya. Juru fisioterapi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sering mengingatkan saya agar jangan terlalu "berlama-lamaan" menaip. Harus mengadakan senaman ringan atau paling tidak, menggerak-gerakkan anggota badan setiap 15 minit. Tetapi, adatlah, apabila asyik menulis atau ligat mencari bahan mengejar dead-line, tiga empat jam berlari pantas, segala nasihat terabai. Sedar-sedar, kaki tidak dapat dibengkok dan terasa kebas.

Kalau boleh memang saya mahu menghindari topik yang hangat dibicarakan, iaitu kes video seks-lucah yang didakwa membabitkan Anwar Ibrahim. Menyebutnya pun sudah meloyakan, apatah lagi dikaitkan dengan pelacur China. Ia terpampang di dada akhbar, memenuhi muka depan, hinggakan anak bongsu saya, berusia lapan tahun bertanyakan ibunya, "seks itu apa, bu?"

Isteri sekadar menjeling tajam ke arah saya, mungkin menagih jawapan yang beradab. Kemusykilan si anak tidak dapat dirongkai. Kebetulan Harakah juga menjadikannya berita utama dan turut dibaca anak kecil. Ya, sukar juga untuk kami menyorot isu lain dalam keadaan negara hiruk-pikuk tertumpu kepada kontroversi berkenaan. Lebih penting, pembaca menuntut penjelasan dan fitnah mesti disanggah.

Saya kira ramai lagi yang mempunyai pengalaman hampir serupa. Misalnya, apa yang mahu dijelaskan kepada anak-anak yang bertanyakan soal liwat ketika keluarga menonton berita TV jam lapan malam, yang seakan-akan memperincikan perlakuan songsang terkutuk itu apabila melaporkan perbicaraan mahkamah.

Bayangkan, insiden 12 tahun lalu masih segar di ingatan, sehingga mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat. Tragedi mata lebam makin menghangatkan iklim politik. Tilam diusung ke mahkamah, bersama cebisan lendir dan bulu. Siapa sebenarnya yang dibicarakan di mahkamah ketika itu? Anwar atau maruah-kehormatan orang Melayu sendiri yang dipertaruhkan? Permainan politik yang sepatutnya beroperasi dalam kerangka akhlak dan adab menjadi cukup kotor dan hina.

Ekoran daripada itu, Anwar merengkok di penjara selama enam tahun. Tidak lama selepas pembebasannya, pilihan raya umum 2004 menyusul. Mungkin personaliti Abdullah Ahmad Badawi menyebabkan tiada isu-isu kontroversi membabitkan soal dalam kelambu dan keaiban peribadi.

Tsunami politik, Mac 2008 menyentak. PRU12 dikatakan membawa elemen politik baru yang lebih segar. Politik yang tidak lagi terkepung dengan sentimen perkauman atau bermodalkan fitnah-tohmah, sebaliknya bercirikan idealisme luhur, membahaskan isu-isu ketelusan, keadilan, tata kelola pemerintahan yang baik, serta memartabatkan hak asasi manusia.

Ekoran itu, peralihan kuasa dalam Umno dan kerajaan dipercepatkan. Malangnya, isu skandal peribadi muncul semula, juga membabitkan Anwar. Sekali lagi rakyat Malaysia terpaksa menyaksikan episod yang begitu mengaibkan. Istilah-istilah "geli-geleman" diperdengarkan kembali. Dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, pada pertengahan Ogos 2008, isu sumpah Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat heboh diperkatakan.

Tunas politik baru yang mula berputik seperti terbantut. Di Perak, politik ugut bercampur-aduk dengan tawaran rasuah bagi membeli Adun Pakatan Rakyat. Akhir Ogos 2008, kita juga mendengar kes-kes pelik seperti "habuan sedekah seks" yang dibawa ke mahkamah oleh pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR, sekarang SPRM). Tidak lama selepas itu, Februari 2009, kerajaan PAS-DAP-KeADILan yang diterajui Mohammad Nizar Jamaluddin tumbang.

Rupanya budaya politik kuno masih dominan dan akar tunjangnya masih menjalar kukuh.

Belum selesai kes liwat II, negara gempar lagi. Keaiban dipamerkan secara terbuka. Bagai mengulangi babak sebelum ini, perebutan "kuasa politik" juga menjadi paksinya. Dato' T tidak menunggu lama untuk tampil bangga membuat pengakuan. Lebih malang, menteri yang "menjaga polis dan undang-undang", Hishammuddin Hussein dan Nazri Aziz, berkokok dengan nada politik yang tebal.

Jelas mereka membela Dato' T, yang ketika itu belum dikenali. Tanpa mengetahui hujung-pangkalnya, Anwar dibelasah cukup-cukup. Sah, ia satu permainan politik tahap murahan. Ketua Pembangkang itu mahu diperosok sedalam-dalamnya -- dengan apa jua cara.

Tiada kelihatan langsung fokus Hishammuddin untuk menegakkan undang-undang. Hanya atas alasan tiada laporan polis dibuat, acara menonton video lucah di hotel mewah Carcosa Seri Negara itu seolah-olah bukan suatu kesalahan. Kecekapan, kebebasan dan tahap profesionalisme pihak polis diperjudikan. Sehinggalah Anwar sendiri membuat aduan rasmi di Balai Polis Dang Wangi baru siasatan dibuka.

Cuba kita gambarkan, sekiranya video lucah yang dipertontonkan kepada para wartawan itu menjadikan Perdana Menteri, Najib Razak atau timbalannya Muhyiddin, atau anggota kabinet yang lain sebagai sasaran, apakah pihak polis dan Hishammuddin sendiri selaku Menteri Dalam Negeri akan sabar menunggu laporan polis sebelum dapat bertindak?

Saya yakin, jika targetnya adalah Najib, seluruh kekuatan polis dan perisikan akan dikerah untuk menangkap Dato' T belumpun sempat tayangan adegan ranjang itu berakhir. Ia bukti amalan double-standard atau talam dua muka yang hanya merendahkan lagi kredibiliti pihak polis pada pandangan publik.

Mulut celupar Nazri memang sukar dikawal. Mengulas tayangan aksi seks melampau di Carcosa, Nazri bertegas bahawa tidak salah bagi penganjur di sebalik tayangan itu berbuat demikian. "Awak bagi tau apa yang salah. Semua orang kata ia melanggar undang-undang, tetapi bagi tahu saya, undang-undang mana? Sesiapa yang tahu, perlu tampil dan maklumakan kepada kami," katanya.

Menurutnya, jika tayangan yang diaturkan Dato' T dibuat untuk mencari keuntungan, maka ia satu kesalahan. "Ada pepatah menyebut, jangan bunuh pembawa berita," kata Nazri mempertahankan Dato' T daripada kesan undang-undang terutama Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Abd Rahim Tamby Chik muncul membuat pengakuan bersama ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah (sambil mendakwa Bendahari Perkasa, Shuib Lazim turut terlibat) bahawa mereka bertiga adalah Dato' T, misteri video lucah itu mula tersingkap.

Sekali lagi, yang timbul adalah persoalan "kuasa dan dendam kesumat", bukannya isu akhlak atau kebenaran yang mahu ditegakkan. Siapa tidak kenal Rahim dan sejarah hitam politiknya? Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang pernah disumbat ke penjara Kajang selama 18 bulan pada 1998 tentu masih menyimpan cerita menarik Rahim.

Saya sendiri pernah menulis dua buku politik tentang Rahim. Pertama, sebelum beliau bertanding sebagai Ketua Pemuda Umno pada 1993, dalam regu Anwar, Team Wawasan. Tajuk buku itu, Anwar Salah Pilih, jelas menggambarkan peringatan saya bahawa Anwar melakukan kesilapan besar memasukkan Rahim ke dalam pasukannya.

Buku kedua, Siapa Dalang?, diterbitkan selepas Rahim dipaksa meletakkan jawatan atas alasan kepincangan moral. Anwar dilihat berperanan penting dalam kes penyingkiran Rahim.

Saya difahamkan ramai penyokong Anwar lega apabila mengetahui Rahim menjadi dalang pengedaran video lucah itu. Malah, ahli-ahli Umno sendiri "terkejut" dengan pembabitan Rahim, yang dijangka akan membawa lebih banyak masalah kepada Najib dan BN sendiri. "Silap jalan, jika terbukti ia fitnah semata-mata, isu ini boleh menguburkan Umno dalam PRU13 nanti," kata seorang aktivis Umno. "Kalaupun Umno mahu berkonspirasi, Rahim adalah orang yang terakhir menjadi pilihan Umno," tambahnya.

Namun begitu, episod ini baru saja bermula, penamatnya masih sukar untuk ditelah. Pengakuan Rahim tidak bermakna segalanya nampak mudah. Kita belum lagi mendengar reaksi Najib. Percaturan sedang berjalan. Seorang pemerhati politik berkata: "Pihak yang tidak banyak melakukan kesalahan akan lebih selamat."

Petang tadi (Jumaat) seorang rakan sempat berpesan kepada saya, jika kita tidak dapat menerima fitnah dilemparkan kepada Anwar, maka kita juga usah terjerat dalam perangkap sama apabila secara terbuka membuat tuduhan-tuduhan berkaitan perlakuan seks kepada Rahim. Begitu juga dengan dakwaan berterusan kepada Najib, berkaitan Altantuya.

Beliau meminta saya membaca tulisan terbaru Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Bekas Mufti Perlis itu menegaskan tindakan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik dilarang agama. "Sama ada PAS, Umno dan KeADILan; ramai individu dalam parti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka," tulisannya dipetik.

Artikelnya yang bertajuk Video Lucah dan Dosa Politik itu diakhiri dengan rumusan: "Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan 'penonton bodoh' yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakonkan. Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!"

Bagaimanapun, ingatan Anwar di majlis solat hajat di kediamannya, malam 24 Mac lalu patut menjadi renungan penggerak Pakatan. Seperti dilaporkan Harakahdaily, Anwar menekankan: "Saya masih mempertahankan bahawa fokus masih program Buku Jingga. Saya memohon agar rakan-rakan terus membaca. Jangan benarkan isu (fitnah liwat, video seks) mengheret kita jauh daripada isu pokok kerana ia akan merugikan kita.

"Jangan lupa menumpukan isu pokok dalam kerangka untuk mengangkat martabat umat dengan akhlak dan ilmu. Buku Jingga adalah dasar ekonomi alternatif. Ini menunjukkan ia ada ruang untuk dikembangkan sekiranya kita menguasai Putrajaya."

Yang pasti, medan tempur di Sarawak yang nampak sedikit terabai dengan isu ini perlu diberikan perhatian serius. Fokus harus disasarkan ke sana.




Baca Seterusnya......

Sunday, March 27, 2011

Membuka laluan untuk tsunami politik ke Sarawak yang tersekat pada 2008

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN


Tempoh kempen pilihan raya Sarawak ditetapkan selama 10 hari, iaitu kurang sehari daripada pilihan raya negeri kesembilan tahun 2006. Walaupun ia lebih lama berbanding cadangan Pengerusi Pemuda BN Sarawak yang mahu dihadkan hanya kepada seminggu, namun ia masih kurang berbanding masa berkempen dalam pilihan raya umum ke-12, Mac 2008. Ketika itu, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi memanjangkan waktu berkempen kepada 13 hari.


Dalam pilihan raya umum 1999, iaitu yang terakhir yang dijalankan di bawah era Dr Mahathir Mohamad, hanya sembilan hari diperuntukkan bagi tempoh berkempen.


Semakin kecil jumlah hari berkempen, maka pihak pembangkang nampak lebih tertekan, sekali gus memberi kelebihan buat BN. Misalnya, dalam PRU13, hari-hari awal kempen menunjukkan pengundi seperti tidak berminat untuk menyertai program ceramah oposisi, tetapi apabila memasuki minggu kedua kempen, sambutannya begitu hebat, terutama di bandar-bandar besar.


Luas kawasan negeri Sarawak ialah 124,386 km persegi, iaitu hampir sama dengan keluasan Semenanjung, 131,598 km persegi. Fakta itu sudah mencukupi untuk menjustifikasikan keperluan tempoh berkempen yang lebih lama di Sarawak, berbanding masa 13 hari dalam PRU13.


Faktor demografinya menyukarkan calon-calon dan parti-parti yang bertanding bagi menemui pengundi untuk berkempen secara berkesan.


Blogger A Kadir Jasin menekankan: "BN Sarawak mempunyai kelebihan (advantage) berbanding pembangkang dalam aspek kewangan dan logistik. Kempen di Sarawak sukar kerana keluasan wilayah dan kesukaran untuk sampai ke pedalaman. Banyak tempat hanya boleh dihubungi dengan helikopter."


Bagi BN, ia langsung tidak menghadapi kesukaran. Sejak sekian lama, situasi pilihan raya di Malaysia menyaksikan BN memperalat dan memperkakaskan segala kemudahan dan sumber kerajaan. Salahguna kuasa yang menjolok mata itu tidak pula dianggap satu kesalahan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya.


Lebih malang apabila SPR -- tidak seperti badan seumpamanya di negara-negara lain, termasuk di rantau ini, yang "bertaring" dan dihormati -- bukan saja "tidak berkuku", malah dilihat sebagai salah satu daripada agen untuk memenangkan BN.


Jentera kerajaan siap dipergunakan semahunya. Para taukeh dan saudagar gergasi, yang mendapat limpahan projek melalui proses yang sarat dengan korupsi, saling membantu kempen mengaburi mata rakyat.


Usah cerita soal RTM yang akan memberikan sepenuh sokongan untuk menyiarkan apa jua propaganda, juga menyebarluaskan tohmahan terhadap saingan politik BN.


Stesen swasta, misalnya Media Prima, yang dilihat lebih kreatif dan berinovasi dalam menampilkan slot terbitannya turut berlumba-lumba menawarkan khidmat.


Jangan terkejut kalau dalam kes Sarawak sekarang, Ketua Menteri Taib Mahmud yang terdesak itu akan bermurah hati memberikan imbalan kewangan dalam jumlah yang cukup besar -- puluhan juta ringgit -- bagi melicinkan operasi stesen TV berkenaan. Tentunya untuk membuat liputan yang menyeluruh ke setiap pelosok Bumi Kenyalang itu, ia memakan kos yang tinggi.


Benar, ketika Pengerusi dan ahli-ahli SPR didakwa "berbicara dengan lidah Umno-BN serta menuruti sepenuhnya kehendak elit penguasa di peringkat persekutuan" -- dan gagal memenuhi peruntukan Perkara 14(2) Perlembagaan -- parti-parti pembangkang masih mampu menang di beberapa negeri dan menguasai jumlah kerusi Parlimen yang agak besar, tetapi ia bukan petunjuk untuk membuktikan pilihan raya kita berjalan secara bebas dan adil. Sama sekali tidak!


Sebenarnya, jika sistem demokrasi di Malaysia telus, tulen dan matang serta membenarkan persaingan politik yang cukup terbuka dan saksama, maka kemungkinan besar BN dan dahulunya Perikatan sudah lama dapat ditumbangkan.


Rakyat dapat menikmati proses pertukaran kerajaan sekiranya mereka merasakan perlu berbuat demikian tanpa perlu melalui pelbagai ugutan atau tawaran rasuah politik.


Partisipasi rakyat dalam amalan demokrasi bukan lagi hanya mengundi sekali dalam masa lima tahun, tetapi berupaya untuk membentuk atau mempengaruhi dasar-dasar awam secara berterusan, selain memastikan khazanah negara dan wang pembayar cukai diuruskan secara berhemat dan transparen. Ruang awam diperluaskan agar rakyat dapat memberikan pandangan, teguran hatta kritikan tajam.


Satu perkara yang nyata dalam kes Sarawak, dan juga pilihan raya lainnya, bahawa ramalan terhadap tarikh penamaan calon dan hari mengundi (sekali gus tempoh berkempen) selalunya tepat. Ia tidak bermakna tukang ramal mempunyai firasat yang hebat tetapi tekaan itu sebenarnya datang daripada sumber pejabat ketua menteri atau perdana menteri.


Memang pada mulanya tarikh penamaan calon dijangka 9 April, tetapi beberapa kemudian seorang rakan dari Kuching, penganalisis politik terkenal, menghantar SMS memaklumkan ia dipercepatkan pada 6 April, dengan tarikh pengundian kekal 16 April. Pada 23 Mac, Pengerusi SPR, Abdul Aziz Mohd Yusuf hanya mengulangi pengumuman tarikh-tarikh berkenaan secara rasmi sahaja.


Ternyata dalam hal ini, SPR langsung tidak berkuasa, sekadar mengaminkan apa juga strategi ketua menteri atau perdana menteri. Sewajarnya tempoh berkempen ini dikanunkan dalam Perlembagaan secara jelas, iaitu minimum 21 hari.Saya lebih berminat untuk meneropong pilihan raya Sarawak dalam konteks cabaran proses pendemokrasian di sana. Soal Pakatan Rakyat dapat menafikan majoriti dua pertiga BN, atau menyebabkan kredibiliti BN tergugat dengan teruk ekoran skandal Taib dan pelbagai isu kritikal, seperti tanah hak adat pribumi (NCR), memerlukan pemerhatian lain.


Saya cukup rimas apabila mendapat tahu Taib dengan sewenang-wenangnya menggunakan "kuasa istimewa" imigresen Sarawak untuk menghalang tokoh-tokoh tertentu pembangkang dari Semenanjung daripada memasuki negeri itu. Antara yang pernah disekat ialah Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan (Disember 2008) dan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa (kali pertama Feb 2009, dan kedua Mac 2011).


Dalam realiti politik baru, insiden seumpama itu begitu memalukan. Saya tidak pasti bagaimana dengan iklim kebebasan bersuara di Sarawak secara keseluruhannya. Cuma saya difahamkan, budaya takut masih kuat mencengkam. Ia tidak sukar difahami memandangkan regim Taib sudah berakar selama 30 tahun.


Diharapkan rakyat, terutama pengundi muda, yang lebih tinggi taraf celik politiknya agar berani bersuara, sekurang-kurangnya menyatakan protes terbuka menentang amalan primitif yang bercanggah dengan norma-norma demokrasi, di samping membuka laluan untuk tsunami politik yang tersekat pada 2008 membadai Sarawak dan Sabah dalam PRU13 nanti.


Artikel ini disiapkan pada 24 Mac 2011

Baca Seterusnya......

Friday, March 25, 2011

Video seks Anwar: Siapa perangkap siapa?

Oleh Ahmad Lutfi Othman


Ketika menerima SMS memaklumkan video lucah seorang pemimpin kanan pembangkang ditayangkan kepada beberapa editor dan wartawan kanan akhbar di Hotel Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur, 21 Mac lalu, saya berada di rumah, sedang berbincang isu-isu kebudayaan serta masalah besar Dewan Bahasa dan Pustaka, bersama-sama tiga aktivis Paksi (Seniman Paksi Rakyat), Dinsman, Kassim Muhamad dan Hasni Abas


egera saya memanjangkan SMS itu kepada kartunis Zunar, sambil bertanyakan siapa tokoh berkenaan, meskipun sudah dapat mengagak satu lagi "percaturan" politik yang memualkan bakal terhidang. "Dulu mereka dah buat benda hampir sama," jawab Zunar, selepas mengesahkan Anwar Ibrahim yang menjadi target belasahan


Sejak 1998, semata-mata demi kuasa politik, isu-isu seks yang mengaibkan telah direkayasa semahunya, dan dimuntahkan secara terbuka, dengan mengetepikan adab dan etika. Kuasa seolah-olah mewajarkan segalanya.


Begitu dahsyat dan memalukan sekali apabila ia khusus membabitkan dunia politik Melayu. Yang sedihnya, babak-babak yang mempersudutkan orang Melayu ke penjuru yang cukup kelam itu sentiasa berkembang segar bagaikan ada sutradara khas di sebalik tabir. Apakah Melayu begitu obsess dengan kuasa sehingga sanggup menelanjangkan maruah dan kehormatan bangsa di pentas umum, hanya demi mempertahankan atau merebut sekelumit kuasa?


"Bukankah Najib sudah beri amaran akan pertahankan Putrajaya hingga ke titisan darah terakhir? Saya bimbang ini salah satu gejalanya," saya meluahkan kepada Kassim. "Cukup dahsyat!" jawabnya. "Pembunuhan watak" sudah menjadi lumrah. Dominasi politik rimba menjengkelkan sekali. Soal jenayah qazaf langsung tidak diambil peduli. Seorang rakan lain menimbulkan: "Apa reaksi umat Islam dengan adegan ulang-tayang ini? Cukupkah sekadar menggeleng kepala sambil merungut? Tidak adakah langkah berkesan untuk menamatkannya?"


NONESaya cuba mencungkil kandungan video haram itu daripada wartawan Harakah yang turut diundang. Sengaja saya mengusiknya bahawa dia telah melakukan kesalahan menonton bahan terlarang di bawah Akta Penapisan Filem dan Kanun Keseksaan.


Beliau langsung tidak menduga akan menonton tayangan lucah di sebuah bilik di hotel mewah (tempahannya berharga RM1,350) dengan kawalan ketat (mungkinkah anggota polis terbabit?) sebelum dibenarkan masuk.


Petang itu, selepas "menjelajah" mencari bahan berkaitan di internet, saya rasa degup jantung agar luar biasa. Dada sesak. Apabila bangun seperti mahu tumbang. Saya tidak pasti sama ada ia kesan daripada "angkara" Dato' T atau kerisauan saya dengan sisi gelap dunia siasah kita. Agak lama juga saya mengambil masa untuk kembali normal. Malamnya, saya tidak dapat menulis kolum "komentar" dalam Harakah walaupun rangkanya sudah siap. Ingatan cepat terhimbau tragedi September 1998. Lebam mata tidak mencukupi. Semuanya mahu dilondehkan. Ia diikuti perbicaraan di mahkamah yang menyaksikan segala lendir, bulu dan tilam.


Saya, seperti majoriti rakyat Malaysia lainnya, mahu episod hitam-pekat ini dikuburkan selamanya. Cukuplah keaiban bangsa diperdagangkan. Rupanya igauan buruk itu menjelma kembali ketika isu liwat masih riuh-rendah dibahaskan. Tanpa perlu menunggu lama, beberapa kejanggalan dalam video itu dapat dikesan.


Anwar dikatakan mempunyai alibi yang kukuh terhadap masa adegan seks itu dirakam. Keraguan lain turut dibangkitkan, termasuk bentuk fizikal "Anwar". Malam itu, melalui siaran berita TV, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein dalam satu sidang media bersama Ketua Polis Negara, Ismail Omar selain menafikan penglibatan polis dengan video itu, sudah "menghukum dan mengecam" Anwar. Beberapa bekas Ahli Parlimen KeADILan yang "khianat" pula, dan yang paling jelas, Zulkfli Nordin, tanpa segan-silu mengesahkan Anwar terbabit (melanggan pelacur) seraya menyeru agar Ketua Pembangkang itu bertaubat.


Sepatutnya Hisham menangguhkan dulu kenyataan politiknya sebelum siasatan lanjut dibuat. Apakah beliau sudah menonton rakaman lucah itu sehingga berani membuat kesimpulan? Sebagai menteri yang menjaga hal ehwal polis, beliau sepatutnya melihat daripada sudut keselamatan negara dan aspek undang-undang yang telah dilanggar.


Melihat mudahnya dakyah terbaru ini disanggah, agak ramai yang mula berbicara tentang konspirasi baru di sebalik video berkenaan. Ada yang merasakan pihak dalaman Umno sendiri yang mahu mensabotaj Najib Razak.


Soalnya, jika terbukti nanti pimpinan tertinggi Umno mendalangi pembikinan video itu, maka yang bakal menerima padahnya bukan sekadar Najib, tetapi BN seluruhnya. Berita TV 22 Mac pula menyiarkan kenyataan terbaru Zulkifli dan rakan karibnya Zahrain Hashim. Sudah terbalik. Seperti KeADILan pula yang dituduh "merekayasa" video itu bagi mengalih tumpuan umum kepada isu DNA.


Dalam blognya, Dr Khir Toyo merakamkan: "Justeru, apakah kita mahu menolak kemungkinan video ini merupakan satu strategi politik Pakatan Rakyat membersihkan Anwar?" Banyak lagi yang dapat kita saksikan aksi-aksi menarik (dan pelik) dalam tempoh terdekat ini. Ketika mahu mengakhiri tulisan ini, saya menerima SMS Kassim: "...Apakah kita masih diam, bisu dan lihat semuanya berlaku di depan mata kita? Orang-orang ini mesti kita kita sanggah, tentang dan halau .... Saya rasa betapa aibnya jadi Melayu. Dah tak tahan lagi."


II. Orang Islam di Sarawak boleh terima kemungkaran Taib?


Nampaknya tumpuan umum sudah terpesong kepada isu video lucah. Bahan-bahan sensasi dan kontroversi (sebenarnya hampas dan hanyir) seumpama itu, apatah lagi membabitkan personaliti hebat, memang mudah mengundang perhatian orang ramai. Masyarakat seakan-akan lupa seketika bebanan kehidupan seharian yang semakin menghimpit, juga pergolakan berterusan di Timur Tengah terutama Libya yang menjadi sasaran serangan tentera Bersekutu, selain tragedi pilu menimpa Jepun.


Menarik ulasan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali dalam twitternya: "Apa nak jadi negara kita?


Orang lain sibuk nak bina semula negara yang musnah, kita sibuk nak musnahkan maruah dan kredibiliti pemimpin. Fitnah bawa punah pada semua." Salah satu perkembangan penting politik tanahair, pilihan raya negeri Sarawak ke-10, seperti tidak begitu diperhatikan. Walhal selama ini, ramai menunggu-nunggu tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri. Ia bukan sekadar penting buat warga Bumi Kenyalang, malah mampu mempengaruhi iklim politik nasional.


Tarikh pilihan raya umum ke-13 mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan di Kuching. Najib tentu menekuni mesej-mesej yang muncul bagi diolah untuk membentuk strategi berdepan Pakatan Rakyat.


Trend pengundian di sana juga bolah menentukan tempo gerak politik seterusnya. Bagaimanapun, tidak ramai yang berani menjangkakan BN akan tumbang, malah untuk Pakatan Rakyat menafikan majoriti dua pertiga BN pun dikira agak sukar.


Namun, realiti politik Malaysia selepas Mac 2008 dilihat payah diramal. Siapa sangka BN dapat ditumpaskan di Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor? Sarawak diasak dengan seribu satu isu-isu kritikal dan mendesak.


Pendedahan pembolotan kekayaan Ketua Menteri, Taib Mahmud dan suku-sakatnya ketika majoriti rakyatnya masih dibelit kemiskinan tentu merimaskan Najib. Begitu juga kes rampasan tanah adat seperti dilaporkan laman sarawakreport. . NONE


Pensyarah kanan komunikasi Unimas, Dr Jeniri Amir pernah mencatatkan: "Untuk melihat kedaifan dan kemiskinan sebahagian rakyat Sarawak, kunjungi sahaja sebahagian rumah orang Melayu, Melanau dan rumah panjang Iban yang dalam keadaan begitu daif - dinding, atap dan lantai yang begitu menyedihkan.


Saya pernah melihat dengan mata sendiri, masih terdapat rakyat yang papa kedana, dengan keadaan rumah yang hampir hendak menyembah bumi, dan dengan keadaan hidup kais pagi makan pagi kais petang makan petang.


Ironinya, mereka ini merupakan penyokong setia BN yang ditaburkan pelbagai janji menjelang setiap pilihan raya. "Penduduk dijanjikan air, bekalan elektrik dan jalan raya berturap.


Tetapi janji tinggal janji, dan rakyat tetap miskin dan menderita. Mereka tetap menghadapi kesukaran untuk makan makanan yang enak, pakaian yang mencukupi, dan seterusnya mengeluarkan keluarga daripada cengkaman kemiskinan."


Apa pun, usah pandang rendah kemampuan pengundi untuk melakukan perubahan. Ramuannya sudah tersedia.


Kebencian terhadap elit penguasa -- bukan sekadar Taib -- yang turut memunggah khazanah negeri untuk diri, keluarga dan kroni meluap-luap.


Masyarakat Bumiputera Islam mungkin terkeliru dengan propaganda BN yang giat memainkan sentimen perkauman dan keagamaan. Peratusan penduduk Melayu-Melanau (sekitar 29 peratus, termasuk sebilangan kecil yang beragama Kristian dan kepercayaan lama) memang rendah, khususnya berbanding kaum Dayak (sekitar 44 peratus) dan bukan Islam umumnya. Soalnya, apakah segala kesalahan dan "jenayah" Taib terpaksa ditelan begitu sahaja demi "survival" umat Islam?


Apakah elemen rasuah, kronisme, kezaliman dan salahguna kuasa regim Taib tidak dipandang serius pengundi Melayu-Melanau?


Kita tidak mahu mendapat mesej yang salah sekiranya dikatakan hanya pengundi Cina bersedia mencetuskan gelombang reformasi di 15 kerusi Dun. Pengumuman pelan persaraan Taib ketika Najib dan timbalannya, Muhyiddin Yassin berkunjung ke Sarawak menjelang Dun dibubarkan menandakan Presiden PBB itu sudah menjadi liabiliti buat BN.


Dakwaan salahlakunya yang menimbun tidak dapat disanggah lagi. Kalau dahulu mungkin Najib cuba menutup mata dan menyerahkan bulat-bulat kepada Taib tetapi situasi politik mutakhir ini tidak mengizinkannya lagi. Pengundi sedang meneliti siapa bakal pengganti Taib atau lebih tepat, siapa yang lebih disenanginya, bagi menjamin kepentingan diri dan sanak-saudaranya nanti.


Dengan tompokan aset yang luarbiasa banyaknya, Taib pasti curiga apakah SPRM tidak akan menganggunya selepas bersara. Baru-baru ini, Presiden Transparency International – Malaysia (TI-M), Paul Low menggesa SPRM segera menyiasat dakwaan rasuah terhadap Taib.


Tetapi, lebih penting, kenyataan Taib itu disambut dingin. Lebih 15 tahun lalu, pada 1996, Taib juga berjanji akan melepaskan jawatan. Kini, selepas 30 tahun berkuasa, dia dijangka akan terus berkuku. Jika BN menang besar, Taib mungkin berkuasa lagi atas alasan -- daleh biasa mana-mana penguasa yang lama mencengkam -- pengganti sesuai belum dapat ditemui. Soalnya, seperti sering dibangkitkan, apakah majoriti pengundi dapat akses dengan sumber maklumat bebas?


Saya mengharapkan telahan blogger Norizan Sharif ada kebenarannya: "Setelah berbual dengan ramai penduduk di bandar, pinggir bandar dan pedalaman (Sarawak), saya cukup yakin bahawa media sosial - sama ada blog, Facebook atau Twitter - akan memainkan peranan penting mencaturkan keputusan pilihan raya negeri. Adalah menjadi satu kesilapan yang cukup besar sekiranya ada pemimpin politik di Sarawak yang merasakan pengundi pedalaman tidak tahu apa yang disiarkan dalam internet - tak kisahlah sama ada ia benar, bohong atau separuh benar." --------- Artikel ini disiapkan pada 22 Mac 2011

Baca Seterusnya......

Menyanggah memoir Mahathir II dan masalah edaran Harakah

Oleh Ahmad Lutfi Othman


Apabila saya semak kembali ruangan indeks dalam memoir Dr Mahathir Mohamad, A Doctor in the House, bekas Perdana Menteri itu memang ada mencatatkan Peristiwa Memali pada halaman 7, bab pertama.


Sesudah saya menatap bagaimana pembaca cuba dikelirukan dengan beberapa peristiwa penting semasa 22 tahun pemerintahannya, seperti kes pengharaman Umno, cabaran Tengku Razaleigh Hamzah, kebebasan kehakiman, Operasi Lalang 1987 dan pemecatan Tun Salleh Abas bersama dua Hakim Mahkamah Agong, baru saya terkesan bahawa Dr Mahathir mahu menyamakan tragedi berdarah itu di dengan kes-kes seperti pencerobohan kuil Hindu di Kerling, Selangor pada 26 Mei 1979 dan serangan ke atas balai polis di Batu Pahat, Johor pada 16 Oktober 1980.


Memali, bagi Dr Mahathir, dilihat tidak lebih daripada satu lagi fenomena "ajaran songsang" dan ini amat dikesali. Asyahid Ibrahim Libya dan anak-anak muridnya tidak pernah melakukan serangan kepada pihak lain, malahan mereka yang berlindung di rumahnya diceroboh dengan ketumbukan bersenjata berat sehingga mengakibatkan 14 penduduk kampung terkorban. Selain itu, kritikan Dr Mahathir mengenai perjumpaannya dengan bekas Presiden Singapura, Benjamin Henry Sheares dan sambutan dingin bekas Perdana Menteri republik itu, Lee Kuan Yew dalam lawatan pertamanya, disanggah wartawan The Straits Times. Akhbar Nanyang Siang Pau, 12 Mac, yang merujuk pertemuan dengan kedua-dua negarawan Singapura itu menyifatkan ingatan Dr Mahathir "lebih teruk". "Beliau tidak dapat lagi melawan usia yang semakin tua. Kesahihan daya ingatan beliau mengenai peristiwa silam boleh dipertikaikan dan perlu dikaji selidik untuk mencari kebenarannya. Sebab itu, ungkapan 'sejarah saya' yang disebut Tun Mahathir sebenarnya hanya bertujuan menyedapkan telinga orang ramai sahaja," petikan penulis Nanyang, Huang Zi. Justeru, sukar dipastikan kesahihan beberapa kritikan Dr Mahathir terhadap perwatakan pemimpin-pemimpin lain, seperti Tun Hussein Onn, Perdana Menteri sebelumnya. Dakwaan Dr Mahathir mengenai pemecatan Tun Salleh Abas, cukup menyimpang daripada hakikat sebenar. Beliau beria-ia mahu menafikan krisis kehakiman 1988 berpunca daripada masalah yang dihadapinya bagi mengekalkan kuasa sebagai Presiden Umno, sekali gus Perdana Menteri. Dr Mahathir meletakkan bebanan itu kepada Yang di-Pertuan Agong. Walaupun menyedari Tun Salleh mengkritiknya dalam beberapa ucapan, Dr Mahathir menegaskan, beliau tidak mengambil apa-apa tindakan, jauh sekali untuk menyingkir Tun Salleh. Dia hanya bertindak apabila Agong menyatakan rasa tidak puas hati berkenaan "dua surat tersebut", iaitu berkaitan rungutan Tun Salleh mengenai bunyi bising proses baikpulih kediaman Agong (?) dan aduan berkenaan tuduhan Perdana Menteri terhadap badan kehakiman. Seperti saya jelaskan sebelum ini, adalah menyalahi Perlembagaan apabila yang memulakan tindakan untuk memecat Tun Salleh ialah Agong dan bukannya PM. Motif jahat Dr Mahathir lebih ketara jika dilihat komposisi tribunal. Dia terpaksa meletakkan orang yang paling dipercayainya, iaitu Abdul Hamid Omar, Hakim Besar Malaya, yang turut terlibat bersama 20 hakim menghantar surat yang dikatakan menimbulkan kemurkaan Agong. Dr Mahathir tentu sedar bahawa Abd Hamid bukan saja terlibat dengan surat itu, malahan beliau yang merupakan hakim kedua terkanan akan menjadi Ketua Hakim Negara yang baru jika Tun Salleh didapati bersalah oleh tribunal yang dipengerusikannya. Dilihat usia Abd Hamid yang lebih tua, beliau tidak akan menduduki kerusi no. 1 kehakiman sekiranya Tun Salleh menamatkan khidmat sehingga pencen pada umur 65 tahun. Tun Salleh berusia lima bulan lebih muda berbanding Abd Hamid. Tarikh lahir Abd Hamid ialah 25 Mac 1925, manakala Tun Salleh, 25 Ogos 1929. Kedua-duanya dilantik Hakim Besar dan Ketua Hakim Negara, masing-masing pada 3 Feb 1984. Jelas, Abd Hamid merupakan orang berkepentingan dan mendapat manfaat jika Tun Salleh dilucutkan. Abd Hamid bukan sahaja tidak layak menjadi pengerusi tribunal malah tidak layak menjadi ahli. Sepatutnya Tun Salleh diadili oleh mereka yang setaraf dengannya, misalnya dua bekas Ketua Hakim iaitu Tun Mohamad Azmi dan Tun Mohamad Suffian. Selain itu, Dr Mahathir juga memilih ahli tribunal yang dipersoalkan kewibawaannya, iaitu peguam Abd Aziz Zain (peguam pula yang mengadili hakim!) dan Speaker Dewan Rakyat, Tun Mohd Zahir Ismail (Dr Mahathir yang melantiknya sebagai Speaker). Seorang lagi anggota tribunal ialah Hakim Mahkamah Tinggi Singapura, TS Sinathurai, yang dikenali paling memihak kepada kerajaan Singapura dan disyaki dipergunakan Lee Kuan Yew untuk mencari kesalahan musuh-musuh politiknya. Beberapa perkembangan yang menakjubkan dalam proses tribunal itu, sehingga menyebabkan lima Hakim Mahkamah Agung digantung dan seterusnya dua daripadanya dipecat, menunjukkan bagaimana terdesaknya Dr Mahathir untuk melakukan apa saja untuk menyingkirkan Tun Salleh. Sukar dibayangkan apabila pendaftar-pendaftar mahkamah diarah balik awal supaya tidak ada kakitangan mahkamah untuk memetrai perintah Mahkamah Agung dalam permohonan Tun Salleh untuk mendapatkan perintah larangan sementara kepada tribunal. Dan cop mohor Mahkamah Agung turut disembunyikan! Jika Dr Mahathir hanya menurut kehendak Agong (dan ini bercanggah dengan Perlembagaan), masakan beliau bersungguh-sungguh melakukan komplot yang luar biasa dahsyatnya! Sila rujuk buku "Islam, Kehakiman dan Kediktatoran - Kes Tun Salleh Abas"; Penerbitan Pemuda 1989. Begitu juga dengan dakwaan karut Dr Mahathir bahawa Operasi Lalang, Oktober 1987 yang membabitkan penahanan borong lebih 100 aktivis, dikendalikan sepenuhnya oleh pihak polis, dan bukannya atas kehendak eksekutif. Saya masih ingat waktu itu, bulan Oktober 1987 dirasakan cukup membahang dengan isu perkauman yang sengaja dibiarkan terbakar. Ramai teman-teman wartawan hairan mengapa persoalan perkauman boleh dibahaskan secara cukup terbuka, termasuk oleh para menteri dan timbalan menteri. Lebih pelik apabila Perdana Menteri Dr Mahathir bukan saja berdiam diri, malah bertindak keluar negara pula? Ketika itu, kes rayuan Umno 11 hangat diperkatakan. 4 Oktober, 5 resolusi diluluskan di Dewan Perhimpuna Cina membantah perlantikan 14 guru besar dan penolong kanan yang tidak mahir berbahasa Mandarin. Timbalan Presiden MCA, Lee Kim Sai paling lantang bersuara. 11 Oktober, di kuil Thean Hou, Jalan Kelang Lama, perhimpunan lebih besar membabitkan tokoh-tokoh MCA, DAP dan NGO Cina, juga atas isu sama. Esoknya, di Dewan Rakyat, pertikaman lidah berlaku antara wakil Umno, MCA dan DAP. Speaker bermurah hati membenarkan perbahasan. Lebih panas, 17 Oktober, di Stadium Jalan Raja Muda, ucapan perkauman, seperti "Basah ia (keris) dengan darah Cina" berkumandang. Kedai-kedai Cina berdekatan ditutup. Ia persiapan menyambut perhimpunan setengah juta pada 1 Nov, yang diusahakan Sanusi Junid, Setiausaha Agung Umno. Pendek kata, ketegangan sengaja dicipta bagi mewajarkan penahanan ISA, sebagai laluan buat Dr Mahathir memperkukuhkan kedudukannya yang begitu goncang berdepan cabaran musuh-musuh politiknya. Dia turut meminda ISA secara gopoh-gapah, yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 13 Julai 1988, segera dibawa ke Dewan Negara esoknya untuk diluluskan dengan mudah dan diperkenankan Agong pada hari berikutnya 15 Julai. Ia semata-mata dibuat bagi memastikan penahanan Lim Kit Siang tidak dibatalkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Dzaiddin Abdullah. Bayangkan ironinya, Kit Siang membawa kesnya ke mahkamah atas ISA yang belum dipinda tetapi perbicaraan ditangguhkan bagi menunggu pindaan ISA diluluskan, dan kemudiannya Ketua Pembangkang itu dibawa semula ke hadapan hakim dengan undang-undang yang baru! Hakim Dzaiddin mengatakan, jika Kit Siang diadili menurut ISA sebelum pindaan, maka beliau akan dibebaskan daripada Kamunting. Cukuplah Dr Mahathir, biar sejarah menentukannya, usah cuba ditulis semula ... II. Masalah pengedaran Harakah perlu langkah penyelesaian segera Bukan Dinsman yang mula menyuarakan masalah pengedaran Harakah dan rungutan kesukaran mendapatkan lidah rasmi PAS itu. Suatu ketika dahulu, sehingga ada yang mengeluh: "Lebih mudah dapatkan bekalan dadah daripada mencari Harakah." Ketika itu pihak penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) "mengamuk sakan" merampas Harakah yang dijual secara terbuka. Tetapi, bukan itu yang hendak disuarakan Dinsman dalam kolumnya, Wacana Budaya, minggu lalu. Dia merungut apabila aktivis PAS sendiri menghadapi kesukaran membeli Harakah. Beliau merujuk pengalaman rakannya, aktivis PAS di Johor. Jika seorang penggerak PAS pun mengadu susah mencari akhbar parti, bagaimana dengan orang lain, ya? Menjadi tabiat saya untuk sengaja meninggalkan Harakah di tempat-tempat awam bagi berkongsi dengan khayalak yang lebih luas, termasuk ketika menunggu lama di hospital. Sahabat saya juga selalu "buat-buat lupa" tertinggal Harakah dalam pengangkutan awam, seperti LRT. Kami perhatikan sebahagian besar kelihatan seperti baru pertama kali menatap sebuah akhbar yang begitu asing kepada mereka. Saya dimaklumkan, kesukaran mendapatkan Harakah bukan saja berlaku di Johor tetapi juga di wilayah lain, hatta di sekitar Lembah Klang. Tidak dapat dipastikan apakah ia berpunca daripada kegusaran pekedai atau peruncit untuk menjual Harakah disebabkan label "hanya untuk ahli PAS" atau ahli-ahli (dan pimpinan) PAS sendiri tidak serius untuk meluaskan pengedarannya? Mungkin ada yang menuding jari kepada pihak Harakah yang dilihat tidak proaktif memasarkannya? Dinsman dalam artikelnya itu mengungkapkan: "Ada tokoh PAS yang tak balik rumah berhari-hari bermalam-malam kerana berceramah di seluruh pelosok negara bagi menyebarkan maklumat kepada rakyat, dan dalam masa sama ada AJK kawasan sendiri pun tak baca Harakah, apakah lagi nak sebarkan maklumat yang terdapat dalam Harakah kepada orang-orang di sekitarannya?" Sekurang-kurangnya untuk pilihan raya umum terdekat, saluran maklumat melalui media cetak masih merupakan wadah terpenting dan perlu diberikan perhatian serius oleh pemimpin Pakatan Rakyat. Semasa sidang editorial diasak untuk meningkatkan kualiti bahan, soal memastikan akhbar parti seperti Harakah dan Suara Keadilan sampai ke segenap pelosok tanahair harus dijadikan agenda utama. Bukan sahaja penceramah PAS wajar mengingatkan audien tentang keperluan mendapatkan Harakah, tetapi jauh lebih penting adalah memastikan rangkaian parti mempromosikannya kepada anggota masyarakat yang mungkin jarang terdedah dengan program-program tradisi penerangan parti. Kempen "Satu Keluarga Satu Harakah" yang pernah dilancarkan perlu disegarkan kembali, dengan pendekatan yang lebih praktikal. Ada beberapa rakan mencadangkan agar operasi langganan Harakah dipertingkatkan. Saya dimaklumkan jumlah langganan pos sekarang cukup kecil. Mungkin ada dermawan yang bersedia melanggan dengan kuantiti yang banyak dan seterusnya dibahagikan kepada sasaran yang sukar mendapatkan Harakah. Syor mereka agar skim langganan khas itu diiklankan besar-besaran, dengan pihak parti seeloknya menyenaraikan pihak yang patut menerima langganan Harakah tersebut. "Mungkin bagi sesetengah dermawan, lebih baik menyumbangkan Harakah daripada memberi bantuan wang tunai. Dengan itu maklumat dapat disebarluaskan, termasuk menjawab pelbagai tohmahan dan perang saraf BN," kata seorang teman. "Cuba bayangkan kalau ribuan Harakah percuma dapat diedarkan di kawasan pilihan raya kecil, misalnya di penempatan Felda, yang sukar untuk ditembusi oleh jentera kempen. Lebih molek lagi jika Harakah percuma itu dapat dibeli dengan harga kos, tetapi dengan memastikan pasaran sedia ada tidak terjejas," tambahnya. Semasa wartawan kanan, Wan Nordin Wan Yaacob melakukan tinjauan awal di Sarawak, di tengah keriuhan teka-teki tarikh pilihan raya negeri ke-10, saya bertanyakan soal pengedaran Harakah di sana. Memang tidak banyak yang teredar, hanya sekitar 2,000 naskhah. Mungkin disebabkan Harakah sendiri tidak pernah membuat laporan khas politik Sarawak atau ada sekatan yang menghalang akhbar alternatif tersebar bebas? Pelbagai dakwaan mengenai amalan korupsi, salahguna kuasa dan pembolotan kekayaan negeri oleh Ketua Menteri, Taib Mahmud dan kroninya dilaporkan oleh laman web, khususnya sarawakreport.org, namun ramai sangsi sejauh mana rakyat Sarawak dapat akses dengan pendedahan itu. Mungkin ia tidak menjadi masalah kepada masyarakat Tionghoa tetapi bagaimana dengan orang Melayu-Melanau atau Dayak (Iban) yang majoritinya tingal di luar bandar? Pengedaran bahan-bahan bercetak, seperti akhbar dan buku, agak mudah diganggu elit penguasa. Penganalisis politik Sarawak, Prof Madya Dr Shahruddin Badarudin menyifatkan kebanyakan isu seperti kekayaan Taib serta masalah tanah adat sukar untuk meninggalkan kesan di hati pengundi, terutama masyarakat Bumiputera. "Ia disebabkan halangan dari segi logistik termasuk cara penyebaran maklumat yang lebih banyak bergantung kepada internet serta kos penerangan melalui kertas yang tinggi. Ini cabaran getir buat Pakatan Rakyat melicinkan proses penerangan serta penyebaran bahan kempen kepada pengundi memandangkan kos yang terpaksa ditanggung begitu tinggi," katanya.

Baca Seterusnya......

Sunday, March 20, 2011

Sekadar isu, belum cukup kuat untuk heret Taib Mahmud, BN Sarawak jatuh?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Pada tanggapan umum, laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya mudah disekat oleh "simpanan tetap" BN di Sarawak. Dalam pilihan raya umum 2008, tsunami politik tidak berjaya melanda Laut China Selatan sehingga Sarawak (dan Sabah) terselamat daripada badai yang mengejutkan itu. Kini, sebelum PRU13 menjelma, keutuhan BN akan diuji lebih awal dalam pilihan raya negeri ke-10, yang mesti diadakan sebelum 24 Julai depan.

Meskipun isu-isu politik di Sarawak semakin panas dan heboh diperkatakan bukan setakat di sekitar Kuching, malah sudah diangkat menjadi agenda nasional -- dan turut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa -- namun di atas kertas seolah-olah kekuatan BN di bawah teraju Ketua Menteri, Taib Mahmud, yang genap memerintah 30 tahun, sukar digugat.

Sekali pandang, cabaran paling getir yang dialami Taib mungkin dalam pilihan raya negeri 1987 apabila Dun Sarawak terpaksa dibubarkan pada 13 Mac berikutan tuntutan 27 Adun (jumlah Adun ketika itu 48 orang) mendesak Taib meletakkan jawatan atau menghadapi undi tidak percaya. Bekas ketua menteri, Abdul Rahman Yaakub, yang juga bapa saudara Taib mengetuai Kumpulan Maju (terdiri dari Permas dan PBDS), yang popular dengan peristiwa Hotel Ming Court.

Kumpulan Maju berjaya merebut 20 kerusi, tetapi kebanyakannya (15 kerusi) di kawasan majoriti kaum Dayak. Rahman sendiri kalah. Belum pun berakhir tahun 1987, sembilan Adun Kumpulan Maju telah melompat parti, dan dengan itu saingan sengit buat Taib boleh dikira berakhir.

Selepas 25 tahun, Taib masih kekal berkuasa, tetapi dicemari dengan rekod buruk penyalahgunaan kuasa dan pengumpulan kekayaan yang dahsyat. Tempoh tiga dekad Taib berkuasa mengingatkan rakyat Malaysia tentang pemerintahan diktator Mesir, Hosni Mubarak, yang akhirnya berjaya ditumbangkan melalui revolusi rakyat.

Maka ramai mula membayangkan, jika Mubarak yang disokong hampir 100 peratus dalam setiap kali pilihan raya boleh diusir dengan begitu hina, apakah Taib yang nampak gagah langsung tidak terusik dalam siri pilihan raya negeri sebelum ini akan terus bertakhta, sambil menimbun kekayaan dan "merampas tanah" untuk diri, anak-anak, saudara-mara, suku-sakat dan kroninya?

Namun, timbul persoalan besar, apakah rakyat Sarawak, terutama yang tinggal di kawasan pedalaman, yang terhimpit dengan kemiskinan, kedaifan dan penindasan, mampu serta bersedia untuk berubah? Apakah mereka akses dengan maklumat dan pendedahan tentang penyelewengan Taib yang banyak disebarkan melalui media baru?

Apa lagi dalam politik Sarawak, khabarnya budaya samseng ugut-mengugut masih bermaharajela dan ini agak membimbangkan golongan prihatin yang mahu menyedarkan komuniti mereka terhadap kezaliman yang berlaku.

Perhimpunan politik terutama membabitkan penjelasan terhadap isu-isu rakyat bawahan selalu dihalang. Taib dikatakan memperalatkan pihak polis bagi kepentingan diri dan survival BN. Beberapa tokoh politik Semenanjung juga dihalang daripada memasuki negeri itu.

Sarawak menyaksikan jurang pendapatan dan kehidupan yang cukup ketara di antara golongan kaya dengan kelompok miskin. Ahli-ahli politik dan kroni Taib mengumpulkemewahan yang melampau-lampau. Negeri makmur terutama dengan hasil mahsul buminya tetapi majoriti rakyat papa kedana. Apa pun, rakyat yang dikepung kemelaratan dan sentiasa terikat dengan bantuan kerajaan, seringkali sukar melakukan reformasi.

Dun Sarawak menawarkan 71 kerusi, BN menawan 63; pesaing terdekat adalah DAP yang menguasai 6 kerusi, manakala KeADILan dan Parti Cinta Malaysia, masing-masing satu. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dikemudi Taib menang semua 35 kerusi yang ditandinginya. Hanya SUPP (Sarawak United Peoples' Party) -- parti pertama ditubuhkan di Sarawak -- yang bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina menerima tamparan hebat daripada DAP apabila ramai calon-calonnya kalah pada 2006, dan yang terakhir calonnya juga tewas dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu.

Gelombang peralihan undi masyarakat Tionghoa yang melanda Semenanjung pada 2008 -- dan momentumnya berkekalan di Sibu pada Mei 2010 -- dijangka banyak memberi kelebihan kepada DAP dalam pilihan raya umum negeri tidak lama lagi. Ramai pemerhati politik meramalkan DAP boleh menambah jumlah Adunnya menjadi 12. Sarawak mempunyai 15 kerusi yang majoritinya pengundinya Cina.

Justeru, Taib dilihat cuba memberi lebih tumpuan untuk menarik hati pengundi Cina dan memperkukuhkan kekuatan SUPP. Bagaimanapun, trend pengundian masyarakat Cina dijangka tidak berubah bukan sahaja di Sarawak, tetapi juga di Semenanjung. Beberapa "pembaharuan" yang cuba diperkenal Perdana Menteri, Najib Razak seperti slogan 1Malaysia seperti tidak berbekas di kalangan orang Cina. Namun, sekiranya SUPP tewas semua kerusi pun, majoriti dua pertiga BN masih gagal dinafikan.

Difahamkan, pengundi Melayu-Melanau agak payah untuk menolak BN. Kesedaran untuk berubah dirasakan lebih mudah di kalangan pengundi Iban. Kebetulan isu diskriminasi dan rampasan tanah adat NCR banyak membabitkan mereka (tetapi juga tidak terkecuali masyarakat Melanau, asal-usul Taib sendiri). Seperti kata Pengerusi KeADILan negeri, Baru Bian, tanah bagi majoriti penduduk Sarawak ibarat nyawa kerana kerana kehidupan mereka sejak nenek moyang sangat berkait rapat dengan tanah adat itu. Isu rampasan tanah dijangka menjadi polemik besar dalam kempen pilihan raya nanti.


Adun Padungan, Dominique Ng semasa mengulas isu rampasan tanah penempatan kaum Iban, menegaskan: "Ketamakan keluarga Taib tiada hadnya, dan telah melampaui batasan rasa malu. Mereka tetap akan mencuri, dan mencuri lagi, sepanjang masa mereka dapat lakukannya, sehinggalah mereka dilucutkan dari kekuasaan atau mati."

Terbaru, kes tuntutan harta sepencarian sebanyak RM400 juta isteri anak Taib, Shahnaz Majid terhadap suaminya, Mahmud Abu Bekir Taib cukup mengejutkan. Kekayaan Abu Bekir dijangka melebihi RM1.3 bilion. "Itu baru seorang anak, bagaimana dengan tiga lagi anaknya yang lain? Bagaimana dengan adik beradiknya pula, lelaki dan wanita, juga tidak terkecuali dengan aset ipar-duainya. Hampir semua suku-sakatnya terbabit dengan kontrak kerajaan negeri tanpa melalui tender terbuka," kata seorang penganalisis politik yang tidak mahu dikenali.

"Harta mereka banyak tersimpan di luar negara, tetapi Taib dan suku-sakatnya tidak segan silu memperagakan kemewahan yang diperolehi daripada khazanah negeri. Cuba anda rujuk laman web sarawakreport.org, banyak aksi-aksi menjengkelkan dirakam. Tuduhan keluarga Taib memonopoli projek kerajaan negeri, tanah dan balak disertakan dengan dokumen sahih," ujarnya. - lutfi_detik@yahoo.com
Baca Seterusnya......

Saturday, March 19, 2011

Menyanggah memoir Mahathir

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

BAHAGIAN PERTAMA

Sebaik mendapatkan memoir Dr Mahathir Mohamad, A Doctor in the House, sehari selepas dilancarkan secara rasmi, NONEsaya membelek-belek isi kandungannya. Saya mencari topik berkaitan isu-isu menarik dan kontroversi sepanjang era pemerintahannya selama 22 tahun itu. Sekurang-kurangnya bab yang merujuk tragedi pemecatan Anwar Ibrahim, pemilihan Umno 24 April 1987 yang membawa kepada pengharaman parti itu, krisis kehakiman dan pemecatan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas, Operasi Lalang dan juga Peristiwa Memali.

Sepintas lalu semua isu-isu tersebut, kecuali Peristiwa Memali 1985 (yang terselit dalam bab pertama, tapi Dr Mahathir mengaitkannya dengan kes-kes ekstremis lain seperti serangan ke atas kuil Hindu di Selangor, 1979 dan balai polis di Batu Pahat, 1980) yang dapat diikuti dalam buku setebal lebih 800 halaman itu. Bagaimanapun, gelora hati saya turun-naik ketika membacanya. Terasa seolah-olah Dr Mahathir cuba menulis sejarah baru dengan "memperbetulkan" hikayat hidupnya yang sedia diketahui umum.

"Sakit hati apabila membaca bab berkaitan kes Tun Salleh dan pengharaman Umno. Mahathir masih mahu terus memperbodohkan rakyat," marah seorang pensyarah undang-undang, yang juga bekas peguam. "Saya lebih senang membaca perjalanan hidupnya sebelum beliau aktif berpolitik. Masuk saja bab berkaitan Tunku Abdul Rahman sudah nampak belangnya," tambahnya.


Bagi saya, bab 43 berkaitan pembedahan pintasan jantung Dr Mahathir jauh lebih menarik (sebenarnya lebih tenang untuk ditatap) daripada babak-babak genting dalam kerjaya politiknya. Mungkin disebabkan saya cuba membandingkan pengalaman beliau pada Januari 1989 -- dan pembedahan kedua pada September 2007 -- dengan apa yang saya sendiri lalui pada Mac 2010. Rasanya seperti tiada jauh beda terutama mengenai halusinasi dan mimpi-mimpi aneh semasa di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Saya akui, kes pengharaman Umno yang bermula dengan pertandingan sengit di antara Team A (diketuai Dr Mahathir) dan Team B (diterajui Tengku Razaleigh Hamzah) dalam pemilihan parti April 1987 sering diberikan tafsiran yang salah. Walaupun sudah beberapa kali saya menyiarkan perspektif sebenar kes tersebut dalam Harakah, masih ramai yang kabur dengan cerita sebenar.

Justeru, memang mudah bagi Dr Mahathir untuk terus memanipulasi keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Harun Hashim pada 4 Februari 1988 itu. Sejak awal Dr Mahathir menyalahkan Ku Li, yang didakwanya mengamalkan rasuah politik untuk membeli undi perwakilan. Dr Mahathir berkata, Team B telah membelanjakan lebih RM20 juta untuk berkempen, dan kebanyakannya wang itu disediakan oleh Ku Li.

Mengulas tulisan Dr Mahathir itu, Ku Li dalam satu kenyataan menegaskan: "Sekali lagi saya dituduh membawa parti ke mahkamah. Saya juga dituduh terlibat dalam politik wang semasa pemilihan parti dalam tahun 1987." Bekas Menteri Kewangan yang ditewaskan hanya dengan 43 undi oleh Dr Mahathir menegaskan beliau tidak mempunyai wang untuk tujuan membeli undi ketika pemilihan paling sengit dalam sejarah Umno itu. "Saya tidak ada kroni. Sebenarnya, saya menentang politik wang. Allah Maha Mengetahui bahawa saya tidak pernah membuat segala perkara itu," tambahnya.

"Menipu secara politik datang melalui media dan ada kalanya dengan menulis buku memoir," kata Ku Li lagi.

Realitinya, Dr Mahathir -- melalui penguamnya sendiri, Sri Ram -- "mendesak" hakim bahawa hanya satu keputusan yang boleh dibuat iaitu Umno diisytihar haram bagi mengelak saingan berterusan daripada Ku Li dan Team B, yang dianggotai antara lain Musa Hitam, dan beberapa menteri seperti Abdullah Ahmad Badawi, Rais Yatim, Shahrir Abd Samad, Ajib Ahmad dan timbalan-timbalan menteri seperti Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Radzi Sheikh Ahmad, Rahmah Othman dan Zainal Abidin Zin.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, Dr Mahathir boleh menyelamatkan Umno daripada diharamkan dengan menggunakan Seksyen 70, Akta Pertubuhan. Malah, Harun Hashim dalam keputusan bertulisnya juga mencadangkan Menteri Dalam Negeri boleh membuat pengecualian terhadap mana-mana pertubuhan daripada mematuhi mana-mana peruntukan Akta Pertubuhan.

Dr Mahathir enggan menggunakan kuasanya itu semata-mata demi kepentingan politik peribadi beliau. Dengan merancang penubuhan parti baru, yang akan mewarisi segala aset, wang dan juga tanggungan parti yang diharamkan, melalui pindaan kepada Akta Pertubuhan, tetapi masih menggunakan nama Umno, Dr Mahathir berjaya menyingkirkan semua musuh politik dalaman parti.

Ahli-ahli Umno yang tidak berpuas hati (dikenali sebagai Umno 11) kemudiannya membuat rayuan ke Mahkamah Agung. Menyedari beberapa kes terdahulu yang banyak menimbulkan kritikan termasuk daripada para peguam, khususnya dalam kes UEM dan Lebuh Raya Utara-Selatan yang memihak kepada kerajaan, maka Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas memutuskan agar rayuan Umno 11 didengar semua hakim Mahkamah Agung (kecuali seorang), iaitu seramai sembilan orang.

Implikasi arahan Tun Salleh mudah difahami Dr Mahathir. Berdasarkan kes-kes rayuan yang lepas, tujuh daripada hakim-hakim Mahkamah Agung, iaitu Tun Salleh, Wan Suleiman Pawan Teh. Eusoffee Abdolcadeer, George Seah, Mohd Azmi Kamaruddin , Wan Hamzah Mohd Salleh dan Lee Hun Hoe adalah cukup bebas untuk membuat keputusan yang bertentangan dengan kehendak kerajaan sekiranya mereka dapati bahawa ia adalah satu keputusan yang adil.

Dr Mahathir sudah dapat menjangkakan bahawa sidang sembilan hakim itu hanya akan membatalkan pemilihan April 1987 tetapi akan "menghidupkan" kembali Umno. Oleh itu, Dr Mahathir harus bertembung sekali lagi dengan Ku Li. Mood ketika itu memang menyukarkan Dr Mahathir mempertahankan kemenangan tipisnya. Kalah sebagai presiden parti akan menggugurkan kelayakannya sebagai perdana menteri.

Ketika itulah timbulnya idea untuk memecat Tun Salleh, sekali gus membatalkan arahan bagi diadakan sidang sembilan hakim. Langkah pertama adalah dengan menaikkan pangkat Harun Hashim daripada hakim Mahkamah Tinggi kepada hakim Mahkamah Agung. Sekali lagi Dr Mahathir mendakwa kebebasan kehakiman masih wujud di Malaysia apabila hakim yang mengharamkan Umno pun dinaikkan pangkat, sedangkan realitinya ia bagi menggagalkan arahan Tun Salleh dan menyelamatkan karier politik Dr Mahathir.

Dalam memoirnya, Dr Mahathir mendakwa pihak yang mahu Tun Salleh dipecat adalah Yang di-Pertuan Agong, hanya berpunca daripada surat peribadi Tun Salleh kepada baginda berkaitan bunyi bising projek penambahbaikan istana yang berdekatan kediaman Ketua Hakim itu. (Alasan ini sebenarnya berubah-ubah; dahulu Dr Mahathir mendakwa ia ekoran surat aduan kepada Agong dan Raja-Raja Melayu yang ditulis oleh 20 hakim).

Jelas ia satu pembohongan. Kalaupun Agong murka dengan Tun Salleh atas alasan peribadi, Perdana Menteri bertanggungjawab menasihati baginda bahawa kes sekecil itu langsung tidak membabitkan salahlaku kehakiman sehingga memerlukan penggantungan dan penubuhan tribunal.

Peristiwa Tun Salleh dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri untuk "digertak" Dr Mahatthir seolah-olah menggambarkan kehakiman itu di bawah kuasa eksekutif. Surat penggantungan Ketua Hakim sepatutnya datang daripada Agong dan diserahkan di istana ataupun oleh wakil istana.

Jika merujuk Perkara 125(3) Perlembagaan, tindakan untuk menggantung atau memecat Ketua Hakim mesti dimulakan oleh Perdana Menteri dan bukannya Agong. Baginda, seperti diperuntukkan Perkara 40(1) tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk bertindak atas inisiatifnya sendiri melainkan mengikut nasihat Kabinet atau Perdana Menteri yang yang bertindak di bawah kuasa umum Kabinet.


Sedangkan dalam kenyataan akhbar pada 31 Mei 1988, Dr Mahathir dijelaskan: "... pada mulanya Perdana Menteri telah diminta oleh Agong supaya jawatan Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara digantikan kerana baginda tidak senang dengan surat Tun Salleh kepada baginda ...."

Saya akan jelaskan lebih lanjut proses pemecatan Tun Salleh ini dalam keluaran Harakah berikutnya bagi menyanggah dakwaan tidak berasas Dr Mahathir dalam memoirnya, yang disifatkan secara umum oleh sarjana media, Dr Abu Hassan Hasbullah sebagai "naskhah yang sakit". Semoga kekeliruan dapat dibetulkan.

II. KOMITMEN HARAKAH DEDAH SALAHGUNA KUASA TAIB MAHMUD

Harakah memang tidak mempunyai wakil di Kuching dan PAS sendiri mungkin tidak meletakkan ramai calon ramai dalam pilihan raya negeri ke-10. Namun ia tidak menghalang untuk Harakah memberikan perhatian serius kepada perkembangan politik Sarawak terutama ketika isu salahguna kuasa Ketua Menteri Taib Mahmud heboh diperkatakan.

Lebih penting, Harakah tidak mahu ketinggalan dalam menyuarakan aspirasi perubahan yang begitu diimpikan rakyat negeri itu. Dalam kunjungan ke Kuching dan Miri baru-baru, wartawan kanan Wan Nordin Wan Yaacob bersama jurugambar Wan Zahari Wan Mohd Salleh sempat merakam gelodak kehidupan di sana, sambil meninjau suasana menjelang pilihan raya.

Wan Nordin menekankan, begitu banyak isu membelit kehidupan warga Sarawak yang perlu ditonjolkan. "Jurang kehidupan kaya-miskin cukup ketara. Ramai orang di sini marah dengan Taib, anak-anak dan saudara-maranya," beritahu Wan Nordin menjawab pertanyaan saya mengenai mood penduduk Kuching yang ditemuinya.

Suara akar umbi, termasuk Bumiputera Islam, yang mengangkat Taib selama 30 tahun di teraju kuasa, sering dimanipulasi dan ditindas. "Lutfi, elok Harakah menyiarkan pendedahan bersiri penyelewengan Taib. Rujuk saja beberapa laman web, terutama sarawakreport.org, banyak bahan di sana. Lebih baik kalau saudara dapat membukukannya. Mesti melutup. Usah harap orang di sini, kebanyakan mereka takut," kata seorang pemerhati politik Sarawak, yang menetap di Kuching.

Namun begitu, minat kami bukan sekadar membongkar amalan rasuah dan kronisme Taib. Pilihan raya negeri kali ini cukup penting kepada Kuala Lumpur dan amat mempengaruhi Perdana Menteri Najib Razak untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen. Selepas teruja dengan pertambahan majoriti kemenangan BN dalam dua pilihan raya kecil mutakhir, Najib memerlukan momentum dari Kuching bagi menyekat laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Wan Nordin dan Wan Zahari hanya sempat tiga hari melakukan tinjauan. Memang tidak banyak yang dapat diselami dan dibongkar dalam tempoh sesingkat itu. Namun, ia sudah cukup untuk menggamit mereka datang lagi. Cuma saya mengharapkan kunjungan mereka berikutnya -- saya sendiri cuba untuk bersama -- tidak diganggu pihak imigresen di Lapangan Terbang Kuching seperti dialami Ahli Parlimen KeADILan Subang, R Sivarasa, 12 Mac lalu.

Baca Seterusnya......

Aziz hilang kelayakan jadi Pengerusi SPR. Kenapa?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Gesaan agar dianjurkan segera perhimpunan besar-besaran menuntut pilihan raya bersih, telus dan adil buat kali kedua tidak boleh dipandang ringan. Ia memang satu keperluan yang cukup mendesak. Persiapan rapi mesti dibuat bagi memastikan demonstrasi raksasa kali ini lebih besar dan meriah berbanding himpunan Bersih, 10 November 2007, yang menyaksikan lebih 50,000 orang berarak ke Istana Negara.

Meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bertukar pengerusi, daripada Abdul Rashid Abdul Rahman kepada Abdul Aziz Yusof (dan juga lupa setiausahanya dulu, Wan Ahmad Wan Omar, yang dikatakan licik mengatur 'komplot' bagi menyukarkan siapa jua saingan BN, kini menjadi timbalan pengerusi), proses pilihan raya di negara kita terus berjalan secara berat sebelah, jauh daripada menyediakan "padang permainan yang sama rata".

Memandangkan pilihan raya umum ke-13 nanti merupakan gelanggang pertarungan "hidup-mati", sudah pasti SPR akan terus diperkudakan dan menjadi perkakas paling efektif untuk BN meraih kemenangan.

Jika pilihan raya kampus, yang langsung tidak memberi kudis buat survival kuasa BN pun dimanipulasi dengan cukup kotor, dengan taktik licik memenangkan kumpulan mahasiswa Aspirasi Pro-Umno, apakah kita begitu daif untuk mengharapkan SPR dibenarkan menjalankan tugas dan fungsinya secara profesional, bagi mengendalikan pilihan raya dengan bebas dan adil?

Imbau sejenak apa yang dilakukan SPR selepas Umno dikejutkan dengan prestasi buruk dalam pilihan raya umum 1999. Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya, khususnya di Kedah, dijalankan menurut kehendak strategis Umno-BN. Lokasi pengundi bukan Melayu sengaja dimasukkan ke dalam beberapa kawasan Parlimen yang dikuasai PAS, seperti Kuala Kedah, Pokok Sena dan Jerai, dengan andaian mereka tidak akan menyokong calon PAS dalam PRU 2004.

Lebih buruk, empat negeri majoriti Melayu, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis langsung tidak mendapat tambahan kerusi Parlimen kerana dibimbangi ia hanya akan meningkatkan jumlah wakil rakyat PAS di Dewan Rakyat. Pada 1999, bilangannya meningkat daripada tujuh orang pada 2005 kepada 27. SPR bekerjasama erat dengan Umno yang tersepit ketika itu.

SPR juga didakwa terbabit secara sedar dan aktif dalam memanipulasi senarai daftar pemilih di Terengganu. Pengundi baru didaftarkan dengan jumlah yang luar biasa. Kadarnya langsung tidak selari dengan pertumbuhan penduduk Darul Iman. Dipercayai sejumlah besar "pengundi hantu" diwujudkan, hasil kerjasama bersepadu di antara SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), selain ramai yang mengundi lebih daripada sekali. Targetnya semata-mata untuk merampas kembali Terengganu yang dikuasai PAS pada 1999.

Situasi genting buat Umno di antara tahun 1999 dan menjelang pilihan raya 2004 tidaklah sekritikal apa yang bakal dihadapi BN dalam PRU13 nanti. Pada 1999, BN masih mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen dan hanya terlepas dua negeri, sedangkan pada 2008, BN buat pertama kali dinafikan majoriti dua pertiga dan tumbang di lima negeri (enam jika termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur). Realiti BN kini bagai telur di hujung tanduk.

Kalau sekadar bertujuan merampas Terengganu -- negeri yang kaya dengan hasil petroleum itu -- Umno-BN bertungkus-lumus memperalatkan jentera dan kemudahan kerajaan khususnya "SPR serta konco-konco", selain mengamalkan rasuah politik secara berleluasa, maka cuba kita bayangkan apa yang sanggup dilakukannya bagi mempertahankan sisa-sisa kuasa, terutama di peringkat persekutuan? Apakah BN tidak merencanakan taktik dan teknik tertentu (pastinya di luar batas undang-undang) bagi merebut kembali negeri-negeri Pakatan Rakyat?

Misalnya, Selangor, negeri termaju di Malaysia, yang selama ini menjadikan menteri besarnya (di bawah Umno) begitu berpengaruh daripada segi politik dan cukup kaya raya melalui amalan rasuah dan salahguna kuasa. Apakah anda fikir Najib Razak selaku ketua perhubungan Umno dan Noh Omar, timbalannya, hanya sibuk mengatur ceramah untuk diisi Ezam Mohd Noor, bagi menyerang kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan personaliti Anwar Ibrahim?

Beberapa insiden yang sempat dihidu, seperti dirakamkan wartawan Harakah Selangor, Saidah Hairan di pejabat JPN Shah Alam, mengenai proses pendaftaran pemilih warga Sabah untuk "diagih-agihkan" di Selangor, hanya cebisan kecil kisah konspirasi BN-SPR-JPN. Kita belum dapat membongkar grand design lebih besar, yang mungkin tidak terfikir oleh kita tentang modus operandinya, seperti pemimpin PAS tidak pernah menjangka usaha licik Umno Terengganu untuk menumbangkan kerajaan PAS pada 2004.

Beberapa hari lalu, di Paya Jaras, Sg Buloh, dikesan satu lagi komplot dalam usaha BN merampas Selangor, yang dipercayai turut membabitkan JPN. Pendatang tanpa izin, termasuk dari Kemboja dikatakan telah diberikan MyKad dan akan didaftarkan sebagai pengundi untuk kawasan terpilih.

Selain itu, difahamkan beberapa universiti tempatan turut "bersubahat" dengan BN bagi mendaftarkan pelajarnya sebagai pemilih, dengan menyasarkan kawasan tumpuan di Selangor. Jentera BN sedang mengenal pasti kawasan pilihan raya tertentu untuk ditempatkan pengundi baru dari kalangan mahasiswa itu.

Minggu lalu, beberapa pemimpin KeADILan mendedahkan peningkatan mendadak pengundi pos di beberapa kerusi Dun Perak. Angka terbesar dicatatkan di Dun, Pangkor, yang diwakili Menteri Besar. Di Kok Lanas, Kelantan, hampir 500 isteri tentera ditukar status menjadi pengundi pos walaupun mereka tidak pernah memohonnya.

Faktor undi pos sejak sekian lama menjadi penyelamat BN di kawasan tertentu. Dalam tuntutan Bersih pada 2007, dicadangkan sistem pengundian pos dimansuhkan dengan segera kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara.

Ketika wibawa SPR dipersoal secara terbuka, pengerusinya Abdul Aziz Yusof mencetuskan polemik baru. Beliau tidak menolak kemungkinan tempoh kempen pilihan raya negeri Sarawak kurang dari 12 hari seperti dilaksanakan semasa pilihan raya negeri 2006. Utusan Malaysia, 9 Mac, meletakkan tajuk, "Kempen tujuh hari pada pilihan raya di Sarawak?"

Aziz berkata, tempoh kempen terlalu lama dikhuatiri boleh mengundang amalan politik tidak sihat antaranya provokasi yang ditimbulkan oleh parti tertentu. Ujarnya, kempen pilihan raya kecil Dun Merlimau dan Kerdau selama lapan hari pun sudah cukup mencetuskan kebimbangan dan kekecohan menerusi kemunculan isu pergolakan politik dari Timur Tengah.

"Semasa kempen pilihan raya kecil Sibu, ramai penduduk tempatan melahirkan rasa terkejut dengan cara pendekatan yang dibawa oleh parti-parti pembangkang dari Semenanjung. Di Merlimau dan Kerdau begitu juga apabila sentimen kebangkitan rakyat di Mesir, Tunisia dan Libya dikaitkan dengan suasana negara ini sehingga membangkitkan provokasi dalam kempen. SPR sedang mengkaji semua ini. Kita bimbang jika penduduk Sarawak yang dikenali sebagai orang yang sabar hilang kesabaran dengan provokasi ditekankan ke atas mereka, maka ia mungkin mencetuskan kejadian tidak diingini," kata Aziz.

Mengulas kemungkinan tempoh berkempen dipendekkan di Sarawak, AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu, yang juga tokoh yang sering bercakap tentang amalan demokrasi tempang di Malaysia menegaskan: "Dengan tempoh kempen sependek itu, apa yang pembangkang boleh buat? Pembangkang sudahlah tidak diberikan ruang bersuara menerusi media kerajaan dan media arus perdana, tidak banyak wang pula. Jadi kesemua itu adalah untuk memberikan keuntungan dan kemenangan kepada Umno BN yang memerintah dengan cara yang cukup jelas dan terang-terangan."

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menganggap respon Aziz yang mendakwa tempoh kempen terlalu lama boleh mengundang amalan politik tidak sihat dengan mengaitkannya dengan pergolakan politik Timur Tengah sebagai tidak releven.

Katanya, jika diimbas kembali senario Pilihan raya Umum 2008 yang berlangsung selama dua minggu, ia berjalan dengan aman. Tambahnya, ketakutan pihak SPR sengaja diperbesarkan, malah dianggap mempersendakan peranan polis dan pasukan keselamatan yang bertugas siang malam menjaga ketenteraman awam.


Hakikatnya, ujar Ustaz Idris, tempoh kempen pilihan raya singkat sengaja dituntut berikutan rekod kekalahan teruk BN bila mana kempen pilihan raya diadakan dalam tempoh yang panjang. BN Sarawak, tambahnya, ternyata tidak yakin dengan kemampuan mereka untuk mengekalkan majoriti besar dalam Dun sekiranya kempen pilihan raya diadakan selama dua minggu atau lebih.

Bagi saya, Aziz bukan lagi berbicara sebagai Pengerusi SPR, yang bertanggungjawab memastikan proses pilihan raya adil, bebas dan telus. Beliau seolah-olah sudah menjadi kerabat rapat Taib Mahmud, yang sedang memikirkan jalan untuk mempertahankan kuasa BN di Sarawak. Dalam bahasa kasar, Aziz kini berbicara dengan lidah Umno.

Dalam SMS kepada saya, pensyarah media, Dr Abu Hasan Hasbullah memberi respons: "SPR bukan diktator baru yang menjadi pemerintah bagi negara ini. Kuasa SPR hanya sebagai suruhanjaya yang bekerja menguruskan pilihan raya adil buat rakyat, bukannya senapang Gaddafi yang boleh membuli rakyat sesuka hati. SPR telah menjadi terlalu biadab terhadap demokrasi, perlembagaan dan negara dengan mengambil alih kuasa penentu siapa pemerintah."

Lagi pun, bukankah isu kemudahan perhubungan dan faktor geografi di Sarawak sudah cukup untuk memanjangkan lagi tempoh kempen, sekurang-kurangnya 21 hari seperti dituntut Bersih?

Lebih aneh apabila Aziz cuba mengaitkan dengan corak kempen parti politik di Sibu, yang pastinya ditujukan kepada pembangkang. Dalam pilihan raya kecil Parlimen itu, DAP berjaya merampas kerusi majoriti pengundi Cina berkenaan daripada BN. Najib (yang aktif turun berkempen menabur pelbagai janji dan "ugutan" di sana) dan Taib memang terkedu dengan kemenangan gemilang Pakatan Rakyat itu. Ia dibimbangi menghasilkan gelombang positif buat pembangkang dalam pilihan raya umum negeri Sarawak yang dijadualkan tidak lama lagi. Rakyat menyaksikan kempen di sana berjalan baik dan aman. Lalu, mengapa Aziz mahu mempermainkan sentimen pengundi Sarawak terhadap "orang Semenanjung"? Bukankah ada taktik BN yang tersembunyi dalam kenyataan Aziz itu?

Mengenai sentimen kebangkitan Timur Tengah, Aziz sepatutnya menyedari bahaya pilihan raya ala Hosni Mubarak yang nampaknya mula menular di sini. Rakyat Mesir dan Tunisia turun ke jalan-jalan raya, berdada dengan pasukan keselamatan dan mempertaruhkan nyawa mereka kerana sudah bosan, muak dan marah dengan proses pilihan raya korup sejak puluhan tahun. Rakyat di Malaysia juga mungkin bangkit "memberontak" jika sistem demokrasi di negara ini turut korup. Bagaimanapun, pemimpin Pakatan Rakyat sering menegaskan bahawa mereka tetap memilih untuk melakukan perubahan dengan menukar kerajaan melalui peti undi, dalam pilihan raya yang adil dan bebas.

Saya mengingatkan, sepatutnya Aziz menyedari peruntukan Perkara 114(2) Perlembagaan: "Pada melantik ahli-ahli SPR, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat kepercayaan awam."

Adakah orang seperti Aziz telah mendapat kepercayaan awam? Sekurang-kurangnya bagi saya, beliau belum menepati kriteria yang dijelaskan oleh peruntukan Perlembagaan itu.

Baca Seterusnya......

Nota buat Pakatan: Untuk mengubah mesti terlebih dahulu berubah

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Tarikh 8 Mac lalu sepatutnya dirayakan penuh kegembiraan aktivis Pakatan Rakyat. Genap tiga tahun lalu, tsunami politik menggegarkan negara. Lima negeri (enam jika termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dikuasai Pakatan (yang sebenarnya belum pun terbentuk ketika itu). Buat pertama kali, majoriti dua pertiga BN dinafikan.

Namun, situasi kini sedikit berbeza. Dua hari sebelum itu, kedua-dua calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat tewas dalam pilihan raya kecil Merlimau dan Kerdau, dengan peningkatan majoriti BN. Benar, posisi kerusi tidak berubah. Ia berlangsung di kawasan kubu kuat BN

Rekod pula menunjukkan sepanjang 16 pilihan raya kecil selepas 8 Mac 2008, kedudukan seri 8:8. Jika BN dapat merebut kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor dan Dun Galas, Pakatan Rakyat pula berjaya menguasai kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan Sibu. Cuma majoriti BN untuk tiga pilihan raya kecil mutakhir, termasuk di Tenang, semakin meningkat.

Senarai punca kekalahan memang panjang. Sebahagian besar -- malah mungkin semuanya -- sudah dapat dijangka. Cuma Merlimau dan Kerdau terpaksa menyaksikan salahlaku BN yang lebih dahsyat. Ini juga tidak memeranjatkan. Tetapi segalanya tidak dapat disekat oleh undang-undang. Kecewa dengan "permainan kotor BN", ada pemimpin PAS yang menyarankan agar diboikot sahaja pilihan raya.

Sejak PRU 2004, saya di antara segelintir kecil yang menyokong gesaan agar parti-parti pembangkang memboikot pilihan raya sehinggalah ia dapat berjalan dengan adil dan bebas. Tahun itu, ramai terkejut dengan keputusan pilihan raya, yang berpunca daripada taktik licik BN bersama agensi kerajaan, seperti SPR dan JPN. Boikot adalah usaha terancang dan tersusun untuk meningkatkan tekanan, sehingga ke peringkat antarabangsa, agar pengendalian pilihan raya kita dapat "dibersihkan".

Ramai mengharapkan agar proses melobi pilihan raya bersih dan adil dipertingkatkan dalam kadar segera, termasuk melalui demonstrasi raksasa. Bukan hanya merungut selepas kalah pilihan raya. Dalam masa sama, pengedaran akhbar-akhbar alternatif, seperti Harakah dan Suara Keadilan (yang terpaksa berubah-ubah namanya), mesti dipandang serius. Kini, rangkaiannya cukup terbatas dan tidak dapat menembusi wilayah yang menjadi kubu kuat BN.

Saya turut mengharapkan aktivis dan pimpinan PAS dapat menilai pandangan terbuka pensyarah media, Dr Abu Hassan Hasbullah. Ada nada kritikan yang agak pedas yang menyarankan agar PAS dan Pakatan Rakyat melakukan pembaharuan, bagi mengelak terus terjunam dalam situasi yang semakin melemah. "Tidak boleh hanya bergantung pada dongeng bahawa golongan muda, profesional menyokong mereka. Hendaklah diubah sikap, strategi, komunikasi, peranan dan pengaruh serta sistem ke arah lebih dinamik," tegasnya.

"Kekalahan ini adalah sebenarnya kekalahan taktikal, dan strategi serta gagalnya Pakatan Rakyat untuk bersekutu dalam semua proses baik bentuk, kandungan dan sistem politik. PAS harus menggunakan perubahan sikap dan strategi khususnya dengan menempatkan tokoh-tokoh muda yang lebih dinamik dan moden sebagai strategi baru dalam politik," ujar Dr Abu Hassan dalam interbiu eksklusif dengan Harakah keluaran ini.

Melalui SMS kepada saya, beliau menambah: "Pengundi Melayu juga melihat beban mendiam PAS ke atas isu-isu Melayu sedangkan PAS pernah menjadi tunjang pembelaan sikap ini. Di mana suara PAS menjawab pandangan Dr Mahathir bahawa Melayu mesti bersedia membuang tongkat? Masalah utama PAS ialah pemimpin yang tidak cekap, sistem yang lemah dan taktikal yang daif, yang perlukan gerakan dan gaya baru, strategi komunikasi yang baik, agar tidak terperangkap dengan isu-isu seperti Hari Valentin dan judi di Kelantan."


II.

Nurul Izzah Anwar, 4 Mac lalu, mengemukakan permohonan rasmi kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), di Putrajaya, untuk mendapatkan permit bagi menerbitkan akhbar Utusan Rakyat. Mingguan yang akan menumpukan kepada pelbagai isu semasa, termasuk isu politik, bukannya lidah rasmi KeADILan tetapi akan bersifat saksama dalam laporannya.

Organ parti, Suara Keadilan telah diharamkan penerbitannya ekoran tajuk muka depan, Felda Bankrap, dan sehingga kini tiada tanda-tanda ia bakal diberikan kebenaran untuk menerbitkannya semula. Menurut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, menteri berhak mengharamkan mana-mana permit penerbitan, tanpa perlu memberikan apa-apa alasan dan keputusan mutlak itu tidak boleh dicabar di mahkamah.

Meskipun Nurul Izzah tidak menyatakan siapa pemilik Utusan Rakyat, dipercayai Naib Presiden KeADILan, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, turut terbabit bagi menjayakan penerbitan akhbar berkenaan. Agak menarik apabila ia mempunyai ahli lembaga penasihat pengarang yang diketuai Ambiga Sreenevasan yang mewakili NGO, Nurul Izzah beliau sendiri sebagai wakil Pakatan Rakyat, manakala Tengku Razaleigh Hamzah dijemput bagi mewakili Barisan Nasional.

Dalam sidang media selepas menyerahkan permohonan tersebut, Nurul Izzah berkata beliau dimaklumkan bahawa menurut piagam KDN, ia akan mengambil masa kira-kira dua bulan sebelum membuat keputusan berhubung permohonan tersebut. Katanya, satu panel 10 orang yang akan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Keselamatan, Abdul Rahim Radzi akan membincangkan permohonan tersebut, sebelum dimajukan kepada Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein untuk kelulusan.

Nurul Izzah juga mengumumkan wartawan kanan Utusan Malaysia, Hatta Wahari, yang juga Presiden NUJ, sebagai Ketua Pengarang akhbar berkenaan.

Menerusi satu laporan berita TV, Hishammuddin mempersoalkan apakah Nurul Izzah mahu diberi layanan istimewa dalam permohonannya itu. Bagi saya, mesej Hishammuddin itu mudah difahami dan ia seolah-olah dapat membayangkan nasib Utusan Rakyat, seperti juga kes-kes permohonan permit akhbar bebas yang lain.

Kelaziman di KDN, hanya menteri boleh memberikan "nafas" kepada akhbar-akhbar baru. Untuk permohonan menerbitkan majalah, timbalan menteri atau cukup dengan pegawai kanan KDN boleh meluluskannya.

Saya pernah menghantar puluhan permohonan menerbitkan tabloid politik hampir sepuluh tahun lalu. Saya tidak pasti sama ada KDN telah memproses permohonan itu memandangkan tiada jawapan yang saya perolehi. Bagi permohonan majalah, semuanya ditolak tanpa saya dipanggil untuk ditemuduga.

Seingat saya, permohonan pertama saya menerbitkan majalah dibuat pada 1989. Kebetulan seminggu selepas itu saya ditahan ISA. Penangkapan itu memudahkan KDN memberikan jawapan pasti dengan segera: Ditolak! Bagaimanapun, saya difahamkan ramai juga pemohon permit yang langsung tiada pengalaman kewartawanan dan juga dalam dunia penerbitan mendapat kelulusan mudah. Ada di kalangan mereka yang kemudiannya menyewakan permit itu kepada pihak lain.

Hishammuddin tidak perlu teragak-agak atau takut untuk memberikan permit kepada Utusan Rakyat. Dalam era kepesatan teknologi maklumat, masa dua bulan untuk memproses permohonan menerbitkan sebuah akhbar mingguan sudah cukup lama. Namun, yang lebih saya bimbang, permohonan Nurul Izzah itu hanya dipandang sebelah mata. Keputusan sudahpun dibuat sebelum permohonan diproses!

Malah, Hishammuddin sepatutnya lebih awal membenarkan Suara Keadilan diterbitkan semula. Menafikan hak sebuah parti politik -- yang mendapat sokongan besar dalam pilihan raua umum 2008 -- untuk menerbitkan lidah rasmi adalah sikap angkuh yang membelakangkan prinsip kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan.

Apa pun, kita akan memerhatikan dari dekat dan dengan penuh minat, keseriusan Hishammuddin mengendalikan permohonan Utusan Rakyat ini. Nurul Izzah tentunya tidak menagih layanan istimewa; yang ditunggu rakyat adalah layanan adil dan saksama KDN, tanpa sebarang prejudis, sekurang-kurangnya memberikan pilihan kepada pembaca untuk mendapatkan akhbar (mingguan, bukan harian pun) yang lebih kredibel.


III.

Mengikuti kempen pilihan raya kecil di Kerdau dan Merlimau tentunya tidak puas jika sekadar melayari internet atau membaca akhbar. Untuk mendapatkan gambaran sebenar, khususnya menyaksikan salahlaku jentera kempen BN oleh para menteri, memang seeloknya kita dapat turun ke lapangan. Namun, tidak semua mempunyai kesempatan seperti itu. Cara mudah adalah dengan menonton siaran berita TV.

RTM, yang dibiayai wang rakyat, secara tradisi menjadi alat propaganda BN. Sejak turun-temurun, Angkasapuri, menjadi markas atau bilik gerakan Umno pada setiap kali pilihan raya umum ataupun pilihan raya kecil. Tiada lain pertimbangan menterinya, iaitu semata-mata bagi memenangkan Umno-BN dan memburuk-burukkan siapa jua saingannya. Persetankan segala etika dan adab kewartawanan. Perkiraan akhirnya semata-mata mengekalkan kuasa BN atau merampas kembali kuasa di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Mengalih siaran ke TV3, rupanya liputan lebih buruk dan menjengkelkan. "Apa bezanya TV3 dan RTM? Satu bekerja untuk Umno dan satu lagi untuk kerajaan BN," kata seorang teman, reaksi kepada rungutan saya terhadap laporan TV3 yang nampak semakin teruk mutakhir ini.

Menjelang hari-hari akhir kempen, saya perhatikan hampir 40 minit pertama siaran berita TV3 dipenuhi propaganda dakyah murahan BN, dan ditangani secara cukup primitif. (Sepatutnya strategis BN belajar menghasilkan propaganda yang baik dengan Allahyarham Yasmin Ahmad, yang terbukti cemerlang dalam pembikinan iklan komersil seperti Petronas). Tiada langsung berita nuetral, apatah lagi yang bersifat positif, untuk calon-calon PAS, malah gambar mereka langsung tidak kelihatan.

Tertanya-tanya juga penonton yang "betul-bendul", siapa sebenarnya yang bertanding dalam dua pilihan raya kecil berkenaan? Apakah BN telah menang percuma? Soalnya, kalau tiada pertandingan, kenapa pula perlu bersusah payah berkempen? Ini kerana hanya tertera di kaca TV gambar calon BN, seolah-olah tiada pencabarnya. PAS hanya menjadi punching bag dan tempat belasahan!

Sering saya ulangi, semasa dunia berubah pantas bersama proses pendemokrasian, Malaysia bukan saja tertinggal di belakang, malah kualiti kebebasan bersuara di bawah regim Najib Razak semakin merosot. Pengamal media berasa lebih tertekan di zaman Najib berbanding era Abdullah Ahmad Badawi. Self-censorship makin mencengkam.

Misalnya, program bual bicara TV9 yang popular dengan pengacara Dr Mohammad Agus Yusoff, Hujah, yang menemukan penalis daripada pelbagai latar belakang kini hilang serinya. Tetamu yang diundang sudah boleh ditelah pandangan mereka, sementalahan pula ia tidak lagi dipengerusikan Ketua Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Memang ada percubaan Astro Awani, untuk menampilkan pembaharuan dan kelainan dalam pemberitaannya. Ia cuba menyiarkan bahan daripada pelbagai sumber, termasuk parti-parti pembangkang. Beberapa slot khas, selain berita, seperti Analisis Awani, Agenda Awani dan Sudut Pandang, boleh dipuji.

Bagaimanapun, Awani juga tidak terlepas daripada gangguan Jabatan Perdana Menteri. Penalis yang kerap dijemput ke studio, terutama untuk menganalisis keputusan pilihan raya kecil, Dr Abu Hassan Hasbullah, kini sudah "disenarai-hitamkan" atau "kena gam" oleh Awani.

Semasa menunggu keputusan langsung dari Merlimau, seorang wartawan kanan Awani (wanita) melaporkan, antara lain, yang lebih kurang maksudnya, "... kita ada berita gembira, calon BN bukan saja menang tetapi berjaya menambahkan majoriti ...." Saya kira lafaz spontan itu tidak dirancang tetapi ia boleh memberikan gambaran buruk kepada Awani sendiri. Ya, apa kena mengena "berita gembira" dengan kekalahan atau kemenangan bagi mana-mana calon yang bertanding?

Ramai kecewa dan marah dengan corak pemberitaan media penyiaran kita. Seperti kata seorang kawan rapat saya, rasanya mengulangi luahan rasa seorang penceramah PAS: "Kalau TV itu murah harganya, entah berapa kali aku tendang terajangnya!"

Sengaja saya ingatkan balik tuntutan Bersih, NGO bagi pilihan raya adil dan bersih mengenai media, iaitu: Merombak undang-undang yang sedia ada yang telah membolehkan media cetak dan penyiaran dimonopoli oleh para proksi BN; peruntukan undang-undang bagi membolehkan semua parti politik mendapat akses atau capaian percuma kepada TV dan radio awam serta akses secara adil (percuma atau berbayar) kepada media swasta; peruntukan undang-undang bagi menjamin hak semua parti politik dan calon untuk menjawab segala bentuk tuduhan dan kritikan ke atas mereka menerusi media.

Selama mana kita harus diperbodohkan dan menelan saja sampah-sarap yang dihidangkan TV kita?

Baca Seterusnya......

Mengingati demo Bersih 1: Wajib adakan tunjuk perasaan lebih besar!

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Demonstrasi 10 November 2007, bagi saya, cukup istimewa dan tidak mungkin dapat dilupakan. Sekurang-kurangnya ia bekalan paling manis bagi mendepani pilihan raya umum ke-12, yang boleh diadakan bila-bila masa, meskipun ramai beranggapan bulan Februari 2008. “Hari ini saya rasa lebih gembira daripada menyambut 1 Syawal baru-baru ini,” kata seorang wartawan yang membuat laporan perarakan dari Masjid Negara ke Istana Negara.

Siapa bilang orang muda sudah sejuk amarahnya terhadap penyelewengan dan amalan rasuah sang penguasa? Mereka kelihatan cukup bersemangat, dan anda silap kalau menjangkakan mereka gentar dengan gertakan Ketua Polis Negara. Fenomena ini, pada hemat saya, perlu diperhatikan, kerana ia mampu menjana satu kebangkitan baru, yang silap-silap gaya, boleh mengejutkan Putrajaya.

Ya, segala mehnah – seperti ugutan Abdullah Ahmad Badawi (malunya kita apabila Perdana Menteri bersikap keanak-anakan meniru lagak menantunya, Khairy Jamaluddin), sekatan polis, rampasan baju-T kuning, ancaman untuk ditangkap dan dipenjarakan – dihadapi penuh berani dan yakin diri.

Sengaja mahu menyekat kehadiran

Saya ketawa kecil menatap gambar dalam The Sunday Star 11 Nov yang memaparkan kesesakan teruk jalan raya, di Sprint Expressway, Petaling Jaya. Nampak jelas lebuh raya empat lorong mengecut menjadi hanya satu lorong sedangkan dua anggota polis yang bertugas hanya memerhatikan sahaja, tanpa membuat apa-apa pemeriksaan, malah tidak pun memandang ke arah kenderaan yang melalui sekatan.

Seingat saya ada kenyataan pihak polis Kuala Lumpur bahawa antara tujuan mereka mengadakan roadblock itu adalah untuk mengesan pihak luar yang mungkin membawa senjata, termasuk mortar! Sedangkan ramai kawan-kawan yang terperangkap memaklumkan bahawa sekatan polis di segenap penjuru untuk masuk ibu kota hanya untuk melambatkan pergerakan. Akibatnya, mungkin 25 peratus yang sudah keluar rumah menuju Dataran Merdeka terpaksa gigit jari kerana tidak dapat menikmati keunikan petang 10 November, yang mungkin hanya berulang 10 tahun lagi!

Menarik sekali, ya, bayangkan saja, kebanyakan peserta demonstrasi datang dalam keadaan santai, malah seolah-olah berpesta, sambil membawa keluarga dan anak-anak kecil, yang kemudiannya masih boleh bergelak-ketawa biar pun semasa dikejar polis, ditembak meriam air kimia, dan disembur gas pemedih mata. Hampir tiada ketegangan (diukur dalam standard demo era reformasi dahulu) meskipun ada yang ditahan dan dibelasah polis.

Manakala cucu penceramah terkenal Pak Yazid Jaafar, iaitu Aleyasak Hamid mengalami kecederaan serius di kaki sehingga pecah tempurung lututnya akibat dipijak dengan kuat oleh lima pegawai polis sewaktu keadaan tidak terkawal di persekitaran stesen LRT Masjid Jamek. (Ini mengingatkan saya seorang penduduk Kg Memali yang lumpuh, dan seterusnya meninggal dunia, selepas dipijak di pinggangnya ketika diseret polis dalam tragedi berdarah 22 tahun lalu).

Menemukan kawan-kawan lama


Lokasi sekitar Dataran Merdeka, Kompleks Sogo, Masjid Jamek, Pasar Seni, Masjid Negara dan Istana Negara juga menemukan ramai kawan-kawan lama yang terpisah, selain bersua muka dengan tokoh-tokoh yang jarang dapat ketemu dalam suasana unik itu. Ramai yang tertanya-tanya siapa pimpinan yang tidak sempat hadir, bukannya tercari-cari siapa pula yang memeriahkan pesta demokrasi itu. (Ia bagai menyediakan wadah untuk warga prihatin dari pelbagai ceruk rantau bertemu wajah, bertanya khabar, dan ini membantu memperkukuhkan komitmen dalam perjuangan).

Gelombang kuning itu besar maknanya. Kesediaan Agong, melalui wakil baginda, untuk menerima rombongan Bersih akan ditafsir dalam pengertian yang begitu luas. Tidak hairanlah tersebar khabar angin tentang hubungan tegang tentera-polis, mengulangi kisah lama era reformasi dulu, apabila ada anggota tentera sendiri tertanya-tanya kemungkinan pihak tentera masuk campur jika perarakan menuju istana dihalang polis. Saya kurang berminat dengan cerita-cerita seumpama itu tetapi masih sedia menadah telinga untuk merisik apa sebenarnya yang menjadi bualan dan tanggapan ramai.

Apa pun tafsiran yang dibuat, yang pastinya, persefahaman dan persepakatan yang terjalin di antara pelbagai sektor dan lapis masyarakat 10 Nov itu adalah merentasi kepentingan politik mana-mana kelompok. Ada objektif lebih besar mahu digapai dan rakyat nampak teruja untuk menggerakkan perubahan demi kesejahteraan bersama. Cuma, ada yang berpesan agar pimpinan politik oposisi dapat “membaca” dan “menangkap” segala gerak dan riak; usah mengambil mudah membuat rumusan untuk “syok sendiri”.

Merujuk perarakan raksasa itu, saya kira masyarakat semakin berubah tanggapan terhadap demonstrasi yang dulunya sering disalahfaham sebagai rusuhan. Ungkapan “demonstrasi” juga tidak wajar digandingkan dengan “aman”, seolah-olah tanpa disusuli dengan istilah “aman”, ia dianggap perhimpunan untuk mencetuskan “huru-hara” dan ini mengesahkan “kebebalan” Zam, si Menteri Penerangan itu, yang mahu meracuni penonton RTM bahawa demonstrasi mesti berakhir dengan keganasan. Sejarah panjang Umno-Perikatan- BN sendiri menunjukkan demonstrasi juga menjadi kaedah perjuangan politik mereka.

Semasa melintasi Jalan Raja Laut berdekatan simpang Dataran Merdeka, saya terlihat dua anak muda mengambil kanister gas pemedih mata yang bersepah-sepah di atas jalan. “Aku nak tunjukkan pada anak cucu nanti, kita menjadi saksi pada 10 November 2007, pihak polis bertindak kasar menyuraikan perhimpunan orang awam yang hanya menuntut pilihan raya bersih,” seorang daripadanya bersuara agak keras, sambil berlari anak mencari tempat teduh dari hujan. Saya membisikkan kepada sahabat di sebelah, “tengok, belum berkahwin pun sudah bercakap soal anak cucu!”

Biar pun media cuba menggelapkan detik bersejarah itu daripada dikongsi oleh khalayak yang lebih luas, malah memberikan gambaran palsu, terutama tentang jumlah kehadiran, fenomena dunia siber dan kecanggihan teknologi komunikasi mudah menolak propaganda murahan itu. Wibawa pihak makin polis merudum apabila lagak dan kenyataan Tan Sri Musa Hassan tidak ubah seperti menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin.

Media alternatif menjadi tumpuan


Pengunjung Harakahdaily misalnya meningkat berkali ganda, bermula tengahari Sabtu, memuncak sebelah petang dan malamnya, berlanjutan dua tiga hari selepas itu. Kami yang sejak awal menjangka demo itu menjadi tumpuan negara, mengerahkan hampir semua wartawan KL, dibantu beberapa wakil negeri yang turut hadir berdemonstrasi, untuk membuat liputan “secara langsung”. Laman-laman web alternatif lain turut mendapat hits yang cukup tinggi, malah ada yang tidak mampu menampung jumlah pengunjung yang meningkat mendadak.

Pemerintah boleh saja terus membohongi pembaca, pendengar dan penonton media tradisi, namun kebenaran makin sukar untuk disembunyikan. Isu-isu sensasi (tetapi palsu) seperti “sigah Kristian” dalam kempen pilihan raya 1990 yang menyebabkan impian Tengku Razaleigh Hamzah berkubur mungkin sukar untuk mempengaruhi pengundi lagi. Seolah-olah nampak senario baru ini memihak pembangkang; seolah-olah!

Selalunya dalam kempen sesingkat tujuh setengah hari, BN masih mampu “menyihirkan” pengundi dan rakyat hanya tersedar selepas kerajaan dapat dibentuk.Menggerakk an satu program besar seperti himpunan 10 Nov menuntut pengorbanan tinggi, kerja kuat dan perancangan sistematik.

PAS penggerak utama


Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, tidak jauh dari lokasi utama perhimpinan, umpama bilik operasi, dan kombinasi semua aktivis terbabit, dalam jumlah yang besar, pasti membawa banyak manfaat bagi mempersiapkan pembangkang berdepan pilihan raya. Rasanya siapa saja berada dalam kelompok besar demonstran 10 Nov itu pasti akan mengakui sumbangan besar PAS bagi menjayakannya, terutama kejayaan menggembleng kekuatan akar umbi di negeri-negeri.

Sesungguhnya kali ini tiada kedengaran lagi suara sumbang mempersoalkan kewajaran demonstrasi perlu diangkat sebagai satu pendekatan strategik. Terbukti tidak berasas kebimbangan di peringkat awal bahawa ada aktivis memandang sepi ajakan menghadiri perhimpunan “yang tidak diasaskan pada isu-isu agama”. Apakah hal sepenting pilihan raya adil dan bebas tidak dapat dikaitkan dengan tuntutan suci agama?

Sebenarnya, jika ada kesungguhan untuk mempengaruhi rakyat atas isu-isu yang kita lihat penting dan mendesak, umpama tuntutan pilihan raya bersih ini, akhirnya mereka akan terpanggil juga. Apa lagi dengan tekanan hidup seharian yang boleh mendorong rakyat untuk menjadi lebih kritikal terhadap persekitaran.

“Momentum 10 Nov harus dikekalkan,” kata seorang pemerhati. “Jangan tanya saya bagaimana caranya, tapi ia amat penting untuk menarik perhatian rakyat kepada isu-isu pokok yang selama ini membantut kemenangan pembangkang. Semangat hebat pendokong parti harus dikobarkan lagi.” Dan saya hanya dapat mengangguk, mengiakan.

Polemik bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh, dan harus, campur tangan dalam politik dapat membawa perdebatan sihat yang memungkinkan rakyat kian terdedah dengan Perlembagaan, sistem imbangan kuasa dan sesekali mencuri pandang apa yang berlaku dalam kancah siasah luar negara.

Sekurang-kurangnya ia mendorong saya membuka kitab Perlembagaan, misalnya Perkara 114 (1) dan (2): “SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja … Pada melantik ahli-ahli SPR, Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat kepercayaan awam.”

Tanpa keyakinan ramai, Pengerusi SPR boleh dipecat

Begitu tinggi martabat ahli-ahli SPR, sehingga mereka perlu sentiasa mendapat kepercayaan awam, sesuatu yang Perlembagaan tidak tekankan kepada jawatan lain yang tidak kurang pentingnya, termasuk perlantikan hakim-hakim. Himpunan 10 Nov jelas menunjukkan Pengerusi dan Setiausaha SPR tidak (pernah) mendapat keyakinan awam majoriti rakyat. Perdana Menteri sebagai ketua gabungan parti yang ber tanding dalam pilihan raya sudah tentu tidak dapat bersikap neutral ketika merumuskan apa-apa peraturan atau perjalanan pilihan raya. Mana mungkin seorang pemain bola misalnya, dilantik menjadi pengadil dalam permainan antara pasukannya dengan pihak lain?

Apakah barisan pembangkang dapat lakukan selepas ini jika kerajaan terus mengambil sikap “pekak-badak” dengan segala tuntutan Bersih itu? Apakah kita akan turun sekali lagi ke jalan-jalan bagi memastikan, kalaupun tidak semua tuntutan dipenuhi, hal-hal paling asas seperti empat tuntutan terpenting mesti dipenuhi? Soalnya, mampukah kita “bermain tarik-tali” dengan penguasa BN pada hal Parlimen boleh dibubarkan bila-bila masa dari sekarang?

Sewaktu “seterika masih panas”, eloklah dipergiatkan usaha mendesak “dibersihkan” proses pilihan raya yang banyak cacat-celanya ini. Wajar dimanfaatkan keghairahan masyarakat yang didorong rasa ingin tahu terhadap kandungan tuntutan Bersih kepada Yang di-Pertuan Agong itu, sekurang-kurangnya dapat meningkatkan tekanan lebih menyeluruh kepada Abdullah dan kerajaan pimpinannya.

Pertembungan Zam dengan agensi media antarabangsa berpengaruh, Al-Jazeera, berhubung laporan peristiwa 10 Nov boleh meletakkan kerajaan Abdullah dalam posisi mempertahankan diri, yang seterusnya menambahkan lagi “bebanan sakit kepala” Perdana Menteri selepas “terlepas kata” dalam majlis penutup persidangan Umno yang lalu.

-------

Artikel ini pertama kali disiarkan pada 15 Nov 2007

Baca Seterusnya......