Thursday, May 26, 2011

Teori domino dan mengapa Umno suka kekalkan kemunduran kampung?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Semasa mengunjungi Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar di Seremban baru-baru ini, sambil menikmati keenakan daging rusa masak lemak semasa makan tengahari, saya tertarik dengan fenomena penurunan jumlah pengundi di beberapa kawasan Dun di negeri itu. Ia lebih tertumpu di kawasan pedalaman atau kampung-kampung tradisi.

Zul membangkitkan soal pembangunan yang tidak seimbang di antara desa dan kota, yang menyebabkan penghijrahan ke bandar. Biarpun Menteri Besar, Mohamad Hassan mempunyai latar belakang dunia korporat, namun keupayaannya untuk memastikan Negeri Sembilan mendapat limpahan pembangunan pesat Lembah Klang boleh disifatkan gagal. Mohamad juga dikatakan berdepan dengan masalah dalaman Umno yang serius.

BN Negeri Sembilan lebih diingati kerana dapat menghalang penguasaan Pakatan Rakyat ke negeri-negeri di selatan tanahair. Namun begitu, buat pertama kali, BN gagal meraih majoriti dua pertiga dalam sidang Dun. Ini merupakan satu rekod. Sebelum ini, wilayah selatan boleh diumpamakan sebagai "simpanan tetap" buat Umno.

Dalam pilihan raya umum ke-12, DAP menang semua kerusi Dun ditandinginya, kecuali satu. Kerusi berkenaan adalah Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Lukut, Repah dan Senawang. Calonnya hanya tewas di Chennah. Manakala KeADILan, yang diperuntukkan 12 kerusi, mencipta kejutan di Sikamat, Ampangan, Chuah dan Port Dickson.

PAS melakar sejarah di Paroi, meskipun diberi kepercayaan bertanding kerusi Dun paling banyak iaitu 13 kerusi. Congak atas kertas agak menarik. Pakatan hanya memerlukan empat kerusi lagi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah di Negeri Sembilan. Bagaimanapun, berdasarkan trend pengundian masyarakat Melayu, khususnya di kampung dan penempatan Felda, impian itu berdepan cabaran yang cukup sengit.

Kecenderungan ini merata sifatnya, bukan sekadar di Negeri Sembilan, malah di negeri-negeri lain juga. Strategi Umno memang mahu mengekalkan majoriti masyarakat Melayu di kampung-kampung dalam keadaan daif, dihimpit masalah ekonomi, bergantung dengan kerajaan, tidak terdedah dengan maklumat, manakala golongan yang berpendidikan tinggi akan meninggalkan kampung.

Sesungguhnya proses perbandaran dan pembesaran kelas menengah, yang seringkali dikaitkan dengan gelombang pendemokrasian, begitu menggerunkan Umno-BN. Perhatikan saja dalam kes Negeri Sembilan, hampir semua kerusi bandar dan pinggir bandar dikuasai Pakatan.

Begitu juga di Selangor. Umno hanya boleh bertahan di kawasan luar bandar (itu pun dengan majoriti cukup kecil, misalnya di Sungai Air Tawar dan Sabak) dan MCA tinggal satu kerusi di Sungai Pelek, Sepang.

Mungkin dengan strategi memperlambatkan proses pembangunan di kampung-kampung membuatkan Umno terus berjaya "menjajah" minda pengundi, selain memaksa anak-anak muda yang semakin celik politik berhijrah ke pekan.

Namun begitu, taktik ini tidak mampu bertahan lama. Lambat-laun kesedaran tentang hak dan kewajipan itu akan merata dan menerobos ke seluruh pelosok negeri, sekali gus menyanggah mitos lama tentang kepalsuan "keramatnya" Umno.

Generasi yang berpendidikan dan memiliki tahap ekonomi lebih baik, meskipun tidak lagi tinggal bersama ibu bapa di kampung, akan mempengaruhi keluarga dan memudahkan perubahan berlaku.

Soalnya, apakah peranan aktivis parti khususnya pendokong PAS, bagi mempercepatkan proses peralihan kerajaan itu? Masakan kita hanya menunggu untuk meraih laba, dengan mengharapkan kitaran itu berlaku secara semulajadi?

Dan harus diingat, strategis dan aktivis Umno tidak akan duduk diam menunggu takdir. Di samping taktik kotor jangka pendek seperti memanipulasi senarai daftar pemilih, maka sentimen, psikologi dan emosi pengundi khususnya masyarakat Melayu akan "dipermainkan", selain tradisi politik wang yang menjadi nadi kempen Umno-BN.

Jika Umno mahu orang Melayu terus terkurung dengan "kejahilan" dan "ketergantungan", seharusnya PAS mempunyai misi dan visi jelas tentang "pencerahan" atau "politik baru".

"Parti Islam tidak harus membeku pada takuk lama, sebaliknya harus berada di tengah gelanggang, arif tentang budaya setempat, apatah di Negeri Sembilan yang mempunyai keunikan tersendiri, menjadi penggerak di medan dan penyelesai konflik. Biar nampak sosok yang matang dan penampilan yang dihormati," ujar seorang pemerhati politik.
"Dakwah memang tunjang pendekatan politik PAS tetapi jangan berlegar dalam isu-isu titik-bengik dan dan membazirkan masa dengan problem dalaman sehingga meminggirkan gelodak jiwa rakyat yang perlu disantuni dan didekati," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, saya perhatikan seolah-olah ada persamaan menarik di antara PAS Negeri Sembilan dan PAS Perak (yang juga saya kunjungi tidak lama dulu). Berdasarkan perbualan dengan Zulkefley dan sebelumnya, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Dr Khairudin Abd Malik, hubungan PAS dengan parti-parti komponen Pakatan di kedua-dua negeri itu cukup erat.

Persefahaman yang terbentuk bukan sahaja di peringkat parti tetapi melibatkan personaliti utama kepemimpinan tertinggi. Mungkin jalinan baik itu dibantu oleh penglibatan lebih awal dalam isu-isu kemasyarakatan, khususnya membabitkan pemimpin PAS dan DAP negeri semasa mereka bergerak dalam NGO.




II.

Apakah benar bahawa masalah politik orang Melayu lebih kepada kesukaran untuk mempengaruhi persepsi mereka, yang dipegang atau diwarisi sejak lama, dan bukannya berkisar kepada halangan untuk mendapatkan maklumat ataupun informasi terkini?

Benarkah pengundi Melayu sudah cukup dibekalkan dengan segala fakta dan data tentang realiti politik Malaysia yang rencam ini? Ada pendapat yang mengatakan, bukannya mereka jahil sangat tentang seribu satu penyelewengan, salahguna kuasa dan korupsi pemimpin Umno. Malah mereka juga arif tentang kebobrokan akhlak dan gaya hidup pemimpin yang menyimpang daripada tuntutan Islam.


Tanpa mengetepikan hakikat bahawa masih ada sekelompok orang Melayu yang terus "ditawan" oleh akhbar Utusan Malaysia dan siaran propaganda RTM dan TV3 -- dan ini juga memerlukan penekunan tersendiri untuk memecahkan kepompong itu -- tetapi apa yang lebih urgent adalah memastikan persepsi atau tanggapan mereka tentang real politik dipandu oleh kesedaran mendalam dan maklumat yang kemaskini.

Timbunan informasi kadangkala membingungkan juga, atau ia sekadar memaparkan fakta dan statistik tanpa berupaya membentuk "gelombang" atau membangkitkan "sentimen". Misalnya, pengundi Melayu-Melanau dalam pilihan raya negeri Sarawak yang lalu tentunya turut menyedari gumpalan skandal kewangan dan aksi kezaliman regim Taib Mahmud, sepertimana dirasai pengundi Tionghua, tetapi reaksi mereka begitu berbeza, 'kan?

Begitu juga, misalnya, ketika Melaka pernah heboh dengan dakwaan skandal seks Ketua Menterinya yang dikaitkan dengan gadis bawah umur, selain senarai panjang penyelewengan yang didedahkan Lim Guan Eng (sehingga akhirnya pemimpin DAP itu dipenjarakan), apakah rakyat negeri berkenaan, terutama orang Melayu seolah-olah berada dalam kubu yang tidak ditembusi sebarang maklumat mengenainya?


Pendekatan tentang kelakuan mengundi di Malaysia pernah dibincangkan oleh Ghazali Mayudin (2006), bekas Ketua Jabatan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau mengutarakan tiga pendekatan, iaitu sosiologikal, identifikasi parti dan pilihan rasional.

Pendekatan sosiologikal menekankan bahawa status sosioekonomi (pendidikan, pendapatan dan kelas), agama, etnik dan tempat tinggal (bandar dan luar bandar) mempunyai kaitan yang rapat dengan pilihan pengundi.

Identifikasi parti pula merujuk kepada ikatan dan kesetiaan kepada sesuatu parti dan atas dasar inilah maka sesuatu parti itu dipilih dalam pilihan raya. Kesetiaan itu pula melalui proses sosialisasi politik iaitu proses yang menurunkan dan menanamkan nilai dan norma daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Oleh kerana adanya penurunan nilai itu, maka terdapat kecenderungan parti yang disokong oleh anak adalah sama dengan parti ibu bapa mereka.

Pendekatan ketiga ialah pendekatan pilihan rasional yang mengandaikan pengundi bertindak secara rasional semasa membuat keputusan untuk keluar mengundi dan semasa membuat pilihan ketika mengundi. Pengundi akan bertindak secara rasional dengan memilih calon atau parti yang sesuai dengan kehendaknya dan dijangka akan memberi faedah atau kepentingan kepadanya.

Saya percaya, pengundi di Malaysia semakin matang untuk membuat pilihan secara rasional. Masalahnya, kadang-kadang sentimen dan emosi dapat mengalahkan pilihan rasional, meskipun profil pengundi kian sofistikated dan berilmu. Ya, dalam politik, kebenaran bisa sahaja "ditewaskan" oleh persepsi. Percaturannya tidak semudah "1+1=2".

Apa pun, kebenaran dan hujah rasional jika dibentangkan secara bijaksana, berhemah serta dapat menawan imiginasi, akhirnya akan membentuk satu persepsi yang lebih mantap dan "bertahan lama".

III.


Agak lama saya tidak mendengar khabar sasterawan terkenal, Azizi Hj Abdullah. Selepas saya menjalani pembedahan pintasan jantung, agak kerap juga kami bertukar pandangan tentang kesihatan. Rupanya Azizi turut mengalami masalah jantung, tetapi nampaknya beliau lebih cenderung dengan rawatan tradisional.

Beliau pernah mengirimkan saya bawang putih yang dibakar khas. Katanya, ia sesuai untuk menurunkan kolestrol. Dalam umurnya 69 tahun, memang agak berisiko melakukan "bypass", apatah lagi jika ada masalah kronik yang lain, seperti buah pinggang, diabetis mahupun darah tinggi.

Sehinggalah dua minggu lepas, saya dimaklumkan oleh aktivis Paksi, Kasim Muhammad dan Hasni Abas, bahawa Azizi sudahpun dibedah di Pulau Pinang. Cikgu Azmi Abd Hamid (Teras) turut mengesahkan sambil menambah, Azizi turut mengalami kegagalan buah pinggang dan ini menyukarkan proses pemulihan.

Sepatah kata Kasim, yang sempat meminjamkan buku Azizi -- Kuras-Kuras Kreatif -- tentang proses pengkaryaan kreatifnya: "Susah nak cari penulis besar yang sebegitu merendah diri."

Pagi Jumaat lalu, laporan Berita Harian memaklumkan Azizi masih di ICU "dalam keadaan tidak sedarkan diri sehingga tengkuknya terpaksa ditebuk bagi membolehkannya bernafas". Bersama-samalah kita mendoakan kemudahan buat Ustaz Azizi dan segera sembuh.

Kebetulan saya sedang mengulangi dua bukunya, Jiwa Hamba dan Luka Rakyat, buku yang cukup menarik dan lengkap, antara lain memperihalkan gelodak rasa masyarakat bawahan. Namun, saya lebih mengingati cerpen-cerpennya yang "menyentuh dan menikam", terutama mengisahkan tentang bapanya dan cinta monyet anak-anak kecil.

Saya turut menerima SMS daripada anggota keluarga Azizi, pada petang 21 Mei lalu: "Keadaan ustaz agak lemah dan kurang stabil. Buat masa sekarang, masih di ICU. Doktor minta dikurangkan pelawat kerana masalah kebangitan kuman. Diminta sahabat-sahabat dapat mendoakan kesihatan yang baik."
Baca Seterusnya......

Said Zahari dan pengkhianatan Utusan Melayu

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Sudah lebih setahun saya tidak mendengar khabar berita dan perkembangan Pak Said Zahari, bekas Ketua Pengarang Utusan yang pernah dikurung tanpa bicara selama 17 tahun. Sehinggalah apabila beberapa wartawan di bilik berita Harakah bertanyakan bila akan mengunjungi wartawan veteran yang seringkali dikaitkan dengan peristiwa pemogokan Utusan Melayu 1961, barulah saya tersedar memang agak lama kami tidak bersua muka.

"Cik Lutfi, Pak Said tanya bila nak datang rumah, boleh sembang-sembang?" kata Nyza Ayob. Rakannya, Intan Abdullah menggesa saya mengosongkan aktiviti pada suatu petang: "Dah janji dengan Pak Said ni, Cik Lutfi jangan tak pergi sekali pula."

Pak Said sentiasa menjadi rujukan kami terutama jika timbul isu-isu berkaitan kebebasan media. Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang saya terajui pada awal tahun 2000 -- berikutan tindakan kerajaan mengharamkan beberapa penerbitan berbahasa Melayu selepas pilihan raya umum 1999 -- pernah menganugerahkannya Tokoh Kebebasan Akhbar 2001 sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, 3 Mei.

Menurut rakan-rakan yang selalu menghubungi Pak Said, daripada tutur katanya di hujung talian, ternyata obor semangat beliau tetap membakar; mengalahkan para wartawan muda. Dalam usia 83 tahun, keuzuran memang menganggunya, namun Pak Said tidak pernah menghampakan kami. Komen dan ulasannya walaupun kadangkalanya pendek, tetapi padat, lancar dan begitu "menginspirasikan".

Berbanding beberapa tahun lalu, saya lihat keadaan Pak Said agak lemah. Tetapi ia hanya dari segi kekuatan fizikal dan ini sebenarnya tidaklah jauh beza dengan keadaan saya sendiri. Saya pun masih bertongkat ketika menaiki tangga ke tingkat atas bilik Pak Said di rumahnya, di Subang Jaya itu.

"Saya, Dr Mahathir Mohamad dan Lee Kuan Yew hampir sebaya, cuma mereka masing-masing lebih tua, dua dan empat tahun daripada saya," jelasnya ketika saya membandingkan kesihatan beliau dengan dua tokoh besar itu. Saya pun terasa tua apabila selalu berbicara tentang kesihatan dan penyakit mutakhir ini. Agak ramai teman-teman yang menjadikan saya rujukan sekiranya dilanda penyakit tiga serangkai -- diabetis, kolestrol tinggi, darah tinggi -- yang mempunyai risiko tinggi ke atas jantung dans serangan angin ahmar.

"Mungkin jasad nampak uzur tetapi saya lihat Pak Said, Dr Mahathir dan Kuan Yew masih hebat dari segi pemikiran dan hujah. Tentu ada rahsianya, 'kan?" saya mengusiknya. Saya agak berhati-hati apabila menyinggung nama bekas Perdana Menteri Singapura itu kerana ia akan mengimbas kembali Operation Cold Store pada dinihari 2 Februari 1963, yang memisahkan Pak Said secara kejam dengan anak isterinya, selama lebih 6,000 hari.

Pak Said cuma mengakui beliau mudah penat dan cepat kenyang bila makan. "Bila saya tanyakan doktor tentang masalah kesihatan, dia kata okey saja, tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan .... apa pun doktor sambil senyum mengingatkan saya tentang usia," ceritanya dengan wajah ceria.

"Saya tak memilih makan. Makan seadanya sahaja, mungkin lanjutan tabiat di penjara dulu. Ya ... dalam penjara, apalah sangat hidanganya," kata Pak Said menjawab soalan Intan mengenai rahsia penjagaan kesihatannya.

"Saya pula berbeza, Pak Said," saya memintasnya. "Selepas bypass operation, memang selera makan tak ada, berat jatuh 15kg, tapi lapan bulan kemudian, pantang jumpa ... terasa selera sekali dan sekarang badan naik balik 20kg," saya berterus-terang tentang kelemahan diri.

Masih teringat-ingat nasihat seorang wanita tua Indonesia, dari Surabaya, ketika saya menjalani operasi angioplasti di sebuah pusat perubatan swasta, dekat KLCC, Mac 2010. Beliau menemani anak lelaki sulungnya yang turut mendapat rawatan sama. "Mulut ini jahat betul ... jahat betul kalau tak dikawal. Jaga makan tahu," katanya lembut sambil mohon beredar, "jumpa lagi, ya ... tapi jangan di hospital seperti ini."

Pakar bedah jantung saya kerap berpesan (sebenarnya memberi amaran, tetapi nada suaranya mendatar saja dan ini membuatkan saya seperti "mengambil mudah"), selepas pembedahan kadar bacaan kolestrol mesti turun di bawah empat. Angka kencing manis pula mesti "cantik", jika tidak kerosakan pada buah pinggang lebih cepat merebak.

Pak Said kini membataskan banyak kegiatan hariannya. "Dalam usia sebegini, saya terpaksa lebih memilih untuk hadir mana-mana program yang diundang," ujarnya. Apabila saya bertanyakan lebih terperinci, Pak Said mengaku selain banyak membaca beliau mahu menulis dan mencatat dengan lebih tekun, sekurang-kurangnya sebagai khazanah peninggalannya nanti.

(Terkedu saya. Impian untuk menulis "banyak-banyak", paling kurang tentang pengalaman dalam dunia kewartawanan dan penulisan, belum kesampaian. Buku terbaru yang saya kunyah, Tuesdays with Morrie, kisah hari-hari akhir seorang profesor tua, diharap dapat menyuntik tenaga untuk memulakannya).

Memoir pertamanya, Meniti Lautan Gelora, cukup memikat. Saya membaca dan menghayatinya berulang kali. Ada dorongan luar biasa dalam karya besarnya itu. Memoir keduanya, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah, juga berterus-terang. Allahyarham Prof Nik Anuar Nik Mahmud, pakar sejarah mengulas buku tersebut: "Pembaca akan kagum dengan derita penderitaan keluarga Said Zahari semasa beliau terpenjara. Kita dapat melihat Said Zahari yang berpendirian tegas dan tak tahu erti takut kerana memperjuangkan keadilan dan kebenaran itu, rupa-rupanya masih berperasaan dan beremosi seperti manusia biasa juga ..."

Saya dimaklumkan deraf awal memoir ketiganya "dicuri" orang semasa beliau dan keluarga bercuti di Port Dickson. Yang peliknya, pencuri yang menggeledah rumahnya hanya melarikan laptop yang menyimpan deraf itu. Setiap penulis dapat memahami bagaimana peritnya jika hasil tulisan kita "hilang" begitu sahaja. Untuk mengulangi proses penulisan semula cukup memeritkan dan memerlukan masa untuk "luka di hati" sembuh.


Bersembang dengan Pak Said terasa tidak lengkap jika gagal menyentuh suasana persuratkhabaran di negara ini. "Sekarang saya perhatikan orang sudah tidak bercakap soal kebebasan akhbar, termasuk oleh wartawan sendiri. Kalau dulu, wartawan itu sendiri seorang pejuang, sekurang-kurangnya aktivis. Mereka menulis dengan semangat perjuangan yang kental," tambahnya.

Sekali lagi saya terkedu. Ingatan Pak Said itu seperti menyentuh batang hidung sendiri. KAMI yang diasaskan bagi memansuhkan segala undang-undang yang mengongkong kebebasan berkarya, terutama peraturan "karut-marut" Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP), bagaikan hidup segan mati tak mahu. Ternyata nafas dan stamina KAMI pendek.

Jika mahu mencari daleh, saya meletakkan punca utama kepada "laihnya" komitmen wartawan sendiri untuk membebaskan belenggu itu. Mungkin Pak Said, yang menghabiskan masa muda bertenaganya di dalam tahanan persendirian (solitary confinement) kecewa dengan sikap saya yang mudah mengalah. Beliau ternyata mengidamkan iklim yang kondusif untuk wartawan beroperasi.

"Tapi, ia mesti diperjuangkan, bukannya hanya menunggu dan mengharapkan ...," tegasnya.

Kebetulan semasa kunjungan kami itu, isu Utusan Malaysia memainkan sentimen perkauman dan agama sempit heboh diperkatakan. Sebagai orang lama Utusan, Pak Said mudah diajak berbicara mengenainya. Utusan yang lahir pada 29 Mei 1939, bermula dengan modal yang dikumpulkan dari 542 orang Melayu di Singapura dan Johor, sudah jauh menyimpang.

Utusan kini menjadi alat dan perkakas buat Umno mempertahankan sisa-sisa kuasanya. Itu pun bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi mana-mana akhbar untuk mendokong parti politik tertentu, tetapi berpadalah. Masakan kerana "kekebalan" yang dianugerahkan elit penguasa, Utusan boleh menyiarkan apa jua bahan, tanpa mengira fitnah atau pendustaan, apatah lagi boleh mencetuskan sengketa kaum yang tajam dan pedih. Malah, fungsi Utusan itu sendiri tidak lebih daripada lidah rasmi Umno, cuma ia tidak disekat dengan pelbagai pantang-larang seperti dikenakan KDN kepada organ parti lainnya, contohnya Harakah.

Pak Said merupakan aktor penting semasa peristiwa mogok Utusan, yang bermula pada 20 Julai 1961, selama 93 hari. Umno berhasrat mengambil alih Utusan bukan untuk tujuan perniagaan, tetapi bagi memastikan akhbar itu memihak kepadanya seratus peratus. "Cetakan akhbar Utusan waktu itu tidaklah tinggi tetapi ia cukup berpengaruh kepada orang Melayu. Satu naskhah Utusan mungkin dibaca lebih 100 orang," kata Pak Said.

Dalam buku Akhbar dan Kuasa, Dr Mohd Safar Hasim merakamkan kembali pandangan Pak Said: Sebagai parti kerajaan, Umno tidak mementingkan soal perniagaan tetapi pengaruh Utusan Melayu di kalangan orang Melayu, kerana pembaca Utusan ketika itu 80 peratus daripadanya masyarakat luar bandar. Orang-orang inilah yang menentukan kemenangan besar Perikatan dalam pilihan raya. Sedangkan kepada Utusan Melayu, ia memperjuangkan kepentingan orang Melayu seluruhnya. Umno hanyalah satu kumpulan Melayu, terdapat kumpulan Melayu yang lain dalam PAS, Parti Rakyat dan sebagainya. Bagi Umno, peranan Utusan Melayu sebagai akhbar berpengaruh tidak boleh dibiarkan terus dipimpin oleh orang-orang yang mempunyai tujuan mempertahankan kebebasan akhbar itu.

Kata kunci kepada kekuatan akhbar ialah keupayaannya untuk mempengaruhi, dan ini terletak kepada kewibawaannya. Soalnya, sejauh mana Utusan masih boleh meneruskan misinya sebagai alat propaganda Umno jika tahap kredibilitinya jatuh teruk? Ataupun, daripada sudut berbeza, apakah persepsi kebanyakan masyarakat Melayu kampung misalnya, masih terikat dengan kepompong lama yang dibentuk Utusan?

Cikgu Azmi Abd Hamid, Pengerusi Teras semasa majlis melancarkan KEMBANG (Kempen Membaca Bersama Anggota Masyarakat) menekankan bahawa orang Melayu tidaklah begitu jahil dengan isu-isu yang berlaku, termasuk fakta tentang penyelewengan dan salahlaku pemimpin BN. Masalahnya, kata Cikgu Azmi, adalah pada persepsi orang Melayu. Persepsi lama masih belum dapat dipecahkan.

Perbincangan tentang persepsi ini dan bagaimana sebahagian orang Melayu melihat realiti politik mungkin memerlukan perbahasan lebih mendalam. Kita tangguh dulu, ya?
Baca Seterusnya......

Sunday, May 22, 2011

PRU13 tanpa Anwar di barisan depan?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Tidak sukar untuk meneka apa nasib yang bakal menimpa Anwar Ibrahim apabila Ketua Pembangkang itu dikehendaki oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lalu untuk membela diri. Masa depan beliau dijangka lebih kelam jika kita meneliti hujah-hujah Hakim Zabidin Mohamad Diah.

Ketika membacakan penghakimannya selama dua jam, Hakim Zabidin berkata, selain terdapat kes prima facie ke atas Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan -- yang mendakwa beliau diliwat oleh bekas majikannya -- telah disifatkan beliau sebagai "saksi yang benar dan berwibawa".

Proses pembelaan yang bakal berlangsung dari 6 hingga 30 Jun nanti mungkin mendedahkan pelbagai "keanehan dan kepelikan", namun ramai beranggapan "hukuman sudahpun ditentukan". Apa sahaja kes berkaitan Anwar "tidak berupaya" diputuskan semata-mata oleh mahkamah; pasti ada tangan-tangan ghaib di atas "singgahsana" yang mesti dirujuk terlebih dahulu.

Begitu juga dengan episod video seks terbaru; sekiranya membabitkan Anwar ia bukan lagi berkaitan hal personal Dato' T atau siapa saja, ia semestinya mendapat restu pemimpin no. 1.

Ya, siapa berani memberikan jaminan jika Dr Mahathir Mohamad -- bukannya Abdullah Ahmad Badawi -- masih menjadi Perdana Menteri pada 2004, bersediakah Mahkamah Persekutuan mengugurkan sabitan kesalahan liwatnya? Saya pasti, jika Abdullah bukan PM waktu itu, Anwar terpaksa menghabiskan keseluruhan sisa-sisa hukuman penjaranya.
Sejak pilihan raya umum 1999, Anwar merupakan aktor paling penting dan begitu menonjol, yang mendominasi hampir semua isu-isu politik sepanjang 12 tahun lalu. Dalam PRU12, Anwar berpeluang menjelajah ke seluruh negara berkempen dan bersama-sama menyusun strategi buat parti-parti pembangkang, juga membangkitkan isu-isu yang menarik perhatian rakyat.

Disebabkan Anwar masih dihalang bertanding sebagai calon pilihan raya ketika itu, Mac 2008, beliau lebih bebas dan selesa untuk membantu calon-calon lain. Hasilnya, satu kejutan dan tsunami politik terakam dalam sejarah moden tanahair.

PRU13 memang cukup kritikal buat BN dan juga Pakatan. Siri pilihan raya kecil sepanjang 2008-2011 menunjukkan trend mengundi tidak banyak berubah. Momentum 2008 masih bertenaga. Ditambah pula dengan keputusan pilihan raya negeri Sarawak. Sekurang-kurangnya satu mesej jelas daripada Bumi Kenyalang: Amarah pengundi Cina kepada BN langsung tidak berjaya untuk dilunakkan, malah mereka seperti bersedia untuk "menghukum" dengan lebih keras lagi.

"Saya percaya, mana-mana parti yang melakukan lebih banyak kesilapan, atau mudah terleka dan alpa, akan menerima padah dalam PRU13," kata seorang penganalisis politik bagi menggambarkan bagaimana keadaan agak sukar untuk diramal. Masing-masing, BN dan Pakatan, mempunyai kelemahan dan kekuatan tersendiri.

Persiapan pula harus melengkapi pelbagai sektor dan penjuru, termasuk menjangka (dan lebih penting, mengenal pasti langkah menyerang balas) "taktik kotor" BN yang mungkin tidak terduga. BN ternyata disokong segala kemudahan, peluang dan sumber untuk memanipulasi proses PRU13. Pendedahan senarai daftar pemilih yang meragukan di Selangor adalah cebisan kecil daripadanya.

Mahathir memang selamanya menggeruni kehebatan Anwar, sejak bekas Presiden ABIM itu belum melibatkan diri dalam politik lagi. Justeru, Anwar "diperangkap" jerat Mahathir sejak 1982 lagi. Bagi sesetengah orang, Abdullah mungkin agak naif membaca kekuatan Anwar, tetapi saya lebih suka melihat Abdullah lebih jujur bermain politik. Masih ada batas dan sempadan yang dijaganya.

Berbeda dengan Najib Razak. Rekod jahatnya "merampas kuasa" di Perak sudah memadai. Malah, segala "kelicikan dan kehodohan" di Selangor sekarang berpunca daripada Najib selaku Pengerusi Perhubungan Umno Negeri. Pengalaman Umno menawan Terengganu pada 2004 daripada PAS, juga melalui senarai daftar pemilih, akan dikongsi Selangor.

Kini, tarikh PRU13 banyak bergantung dengan kes Anwar. Sasaran rebutan pengaruh pula tertumpu di kalangan pengundi Melayu (dan juga masyarakat India yang mungkin mengalami peralihan undi). Apakah keputusan kes liwat II ini mampu menarik sokongan orang Melayu kepada Umno-BN, atau isu videa seks menyebabkan sekurang-kurangnya mereka keliru dan curiga dengan Anwar dan Pakatan Rakyat (khususnya PAS)?

Kes video seks rasanya lebih dijadikan modal politik daripada membawanya ke mahkamah. Bagi Umno, jika dapat dikekalkan status-quo sokongan Melayu pun sudah memadai. Peningkatan taraf pendidikan dan tahap ekonomi, kematangan berpolitik, dominasi kuasa siber dan berkembangnya kelas menengah di kalangan orang Melayu menjadi ancaman kepada survival Umno. Justeru, kemaraan itu mesti disekat.

Pakatan dikira terlalu bergantung kepada Anwar. Seolah-olah tanpa Anwar, ia akan bercempera, hilang fokus dan tumpul bisanya, selain memungkinkan perpecahan dalaman, terutama di antara PAS dan DAP. Dengan memastikan Anwar kembali merengkok di penjara dan memadamkan imiginasi rakyat terhadap kemunculan "Perdana Menteri alternatif", strategis Umno percaya misi mereka bertambah mudah.

Bagi saya, Pakatan mesti buktikan itu semua hanya angan-angan Umno. Kesepaduan Pakatan, apatah lagi persefahaman di antara dua parti yang teguh memegang prinsip -- PAS dan DAP -- tidak akan goyah walaupun tanpa Anwar di barisan depan. Isu-isu dan jaminan dalam Buku Jingga sudah cukup untuk menggambarkan keseriusan Pakatan menawarkan jalan keluar ke atas seribu satu masalah yang melanda negara.

Saya masih ingat, ketika menemubual Tengku Razaleigh Hamzah ekoran isu royalti petroleum Kelantan pada 18 Februari 2010, beliau membayangkan simpati rakyat, khususnya orang Melayu kepada Pakatan akan meningkat jika Anwar bakal dipenjarakan sekali lagi.

Mungkin tiada lagi demonstrasi jalanan besar-besaran seperti era reformasi 1998-99 dahulu. Tidak perlu bimbang; pengundi semakin bijak menyalurkan luahan hati mereka semasa pilihan raya. Lagi pun, sumber terhad yang ada perlu digembleng secara bersepadu untuk aktiviti politik lebih berkesan. Yang penting, usah melatah dirasuk emosi. Jangan menari mengikut gendang yang dipalu Umno.
Baca Seterusnya......

Thursday, May 19, 2011

Jangan guna ISA, AMCP kepada Utusan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Utusan Malaysia memang kebal. Ya... apalah nak dihairankan, bukankah Utusan dan Umno sukar dicerai tanggal, berpisah tiada? Ketua Pengarang Kumpulannya, Aziz Ishak hanya mendapat surat teguran daripada Kementerian Dalam Negeri walaupun paparan berita utamanya pada 7 Mei lalu dilihat telah menimbulkan keributan dan kegemparan.

Seksyen 7, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP) cukup tidak gemar dengan hasil penerbitan "yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai" tetapi apabila ia membabitkan Utusan, segalanya okey, 'kan?

Seksyen 8 dan 73, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) memberi kuasa kepada menteri dan polis untuk menahan mana-mana orang yang "telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak dengan apa-apa cara yang mendatangkan mudarat kepada keselamatan negara", tetapi ia hanya digunakan kepada seteru politik Umno-BN sahaja, 'kan?

Seksyen 3, Akta Hasutan 1948, antara lain mentafsirkan "kecenderungan menghasut" ialah "kecenderungan bagi mengembangkan perasaan jahat dan permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk Malaysia", tetapi pentafsiran akta ini bergantung rapat dengan kehendak politik penguasa, 'kan?

Saya tidaklah faham sangat dengan undang-undang, terutama yang berkaitan dengan amalan kewartawanan di negara ini, termasuk Akta Fitnah 1957 dan juga Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. apatah lagi sepanjang terbabit dengan dunia penulisan hampir 30 tahun lalu, saya berpegang dengan nasihat agar "jangan merujuk kepada peraturan atau akta sebelum mula berkarya, nanti tiada apa yang boleh ditulis".

Lebih istimewa lagi, sehari selepas "hanya ditegur" KDN -- satu bentuk 'hukuman' yang paling ringan -- Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein berkata 'ada asas' dalam laporan Utusan berhubung konspirasi bagi menjadikan Kristian agama rasmi di negara ini dan melantik seorang perdana menteri di kalangan penganut agama berkenaan.
(Imuniti Utusan lebih terjamin berbanding The Star dan Sunday Star, milik MCA, yang pernah digantung pada Oktober 1987 ekoran Operasi Lalang).

Beliau merujuk kepada laporan polis terbaru yang dibuat di Pulau Pinang, pada 13 Mei, yang khabarnya dapat mengukuhkan lagi berita muka depan Utusan 7 Mei. Ini bukan kali pertama sikap memihak Hishammuddin terserlah. Ketika video seks yang didakwa membabitkan Anwar Ibrahim mula ditayangkan, awal-awal lagi beliau menyalahkah Ketua Pembangkang itu.

Pihak polis pula seperti melupakan orang yang membuat tuduhan palsu (blogger) dan pihak yang menghebahkannya (Utusan). Amat memalukan apabila Utusan, seperti kata pensyarah media, Dr Abu Hassan Hasbullah, hanya bersandarkan rujukan yang sangat daif dan lemah, iaitu blog peribadi yang diragui wibawanya. Dakwaan itu tidak diperkuatkan dengan sumber yang kukuh dan jelas, sebaliknya lebih bersifat tohmahan, tuduhan, prasangka dan prejudis.


"Tentulah perbuatan ini bukan sahaja bertentangan dengan etika dan disiplin kewartawanan, malah tidak pernah digunakan dalam mana-mana amalan media profesional dan intelektual lainnya, yakni dengan menumpang sejenis tulisan prasangka sebagai sumber utama," ujarnya, sambil menambah ia "kemalangan besar buat maruah sebuah akhbar perdana."


Banyak pihak tidak berpuas hati dengan tindakan KDN terhadap Utusan, termasuk daripada kalangan komponen BN sendiri. Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek mahu pemberita dan editor Utusan Malaysia digantung tugas jika laporannya mengenai isu Kristian dan agama Islam adalah tidak benar. Baginya, teguran KDN ke atas akhbar milik Umno itu tidak mencukupi.

Presiden Gerakan, Dr Koh Tsu Koon mahu pihak polis menyiasat kebenaran laporan Utusan itu. Baginya, adalah tidak benar bagi sesebuah akhbar melaporkan sesuatu berita hanya berdasarkan khabar angin. Tambahnya, tindakan melaporkan sesuatu secara berlebih-lenih boleh mengakibatkan ketegangan antara agama, mengganggung keharmonian dan menggugat perpaduan rakyat.

Tidak kurang juga desakan agar editor Utusan ditangkap ISA, selain akhbar itu digantung atau diharamkan. Kerajaan negeri Pulau Pinang memfailkan satu aduan rasmi mendesak KDNM mengambil tindakan terhadap Utusan. Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata keputusan itu dibuat selepas sidang Dun sebulat suara menyokong usul itu termasuk dua wakil rakyat Umno yang tidak mempercayai laporan tersebut.

Keengganan mengambil tindakan terhadap cetusan berbahaya Utusan menunjukkan Umno terlibat secara langsung dengan laporan itu, kata Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar. "Bila Suara Keadilan siarkan berita Felda mungkin bankrap, begitu pantas KDN menggantung permit akhbar itu. Tetapi bila Utusan siarkan berita tanpa bukti kononnya Kristian hendak dijadikan agama rasmi yang jelas boleh mencetuskan rusuhan antara agama dan kaum, Menteri Dalam Negeri bukan sahaja tidak mengambil tindakan, malah memberi respon yang dilihat menyokong perbuatan Utusan itu," tambahnya.

Sebelum itu, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari, ketika bercakap kepada Free Malaysia Today, mendakwa agenda mingguan Utusan Malaysia ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipengerusikan Najib Razak. Wartawan kanan Utusan yang dipecat itu berkata, agenda dalam mesyuarat itu akan disampaikan kepada Ketua Pengarang Utusan melalui pejabat Perdana Menteri.

Secara peribadi, saya membantah apa jua saranan agar ISA digunakan kepada wartawan, selain tidak bersetuju AMCP diperalatkan untuk mengharamkan atau menggantung akhbar, termasuk kepada Utusan. Malah saya sejak sekian lama berusaha melobi agar akta-akta drakonian itu dimansuhkan sama sekali. Kedua-dua akta itu memberikan kuasa mutlak kepada menteri untuk mengambil apa-apa tindakan perlu, dengan mengetepikan fungsi mahkamah dan menafikan hak membela diri.

Saya yakin banyak lagi undang-undang lain yang boleh dirujuk bagi mengadili Utusan, misalnya kanun kesiksaan, asalkan bukan ISA dan AMCP. "Permainan" Utusan memang merbahaya, sekali gus mengundang sengketa dan permusuhan di atas imiginasi jahat. Saya lebih suka "hukuman" ke atas Utusan dibuat oleh pasaran atau pembaca, bukannya melalui penguatkuasaan undang-undang zalim.

Apa pun, kemunafikan KDN jelas sekali. Jika membabitkan media bebas atau propembangkang, hukuman paling berat dijatuhkan tanpa sebarang belas kasihan. Keangkuhan Seksyen 13B AMCP terus menjerut, iaitu peruntukan "tiada seorang pun boleh diberi peluang untuk didengar berkenaan dengan permohonannya untuk mendapatkan lesen atau permit atau berhubungan dengan pembatalan atau penggantungan lesen atau permit".

Kepada media talibarut BN, segalanya dibolehkan, dan kalaupun ada desakan daripada publik, tindakan sekadar "teguran". Janganlah bermimpi untuk melihat Utusan digantung, apatah lagi diharamkan, hatta untuk mendengar wartawan atau ketua pengarangnya digantung tugas pun mustahil berlaku.

Hipokrasi ini akan terus berlanjutan. Ini baru babak-babak awal, plotnya akan berkembang menjadi lebih mendebarkan. Harapnya anda jangan terkejut. Putar-belit, penipuan, pendustaan sudah menjadi kelaziman Najib dan Umno-BN. Ingat, PRU13 penentu hayat politiknya.
Baca Seterusnya......

Monday, May 16, 2011

Utusan Malaysia yang kebal dan bebal ...

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Memang kebal sungguh Utusan Malaysia. Akhbar yang dianggap lidah rasmi Umno itu -- tetapi tidak tertakluk dengan syarat-syarat ketat Kementerian Dalam Negeri sepertimana sekatan kepada semua organ parti, termasuk Harakah -- boleh berbuat apa sahaja. Ya, apa sahaja yang terfikir dalam lintasan fikiran dan benak editornya, tanpa perlu risau kemungkinan direntap permitnya atau dipenjarakan wartawannya.

Mungkin segala peraturan yang membelenggu dan menganggu tidur para editor lain, seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak terpakai untuk Utusan. Ya, betullah! Utusan itu akhbar keramat untuk Umno, mempunyai imuniti tersendiri, tidak dapat disentuh oleh undang-undang.

Oops ... sebenarnya, sebagai seorang pengamal media, apatah lagi diamanahkan menjadi ketua pengarang sebuah akhbar, saya sentiasa cuba mengelak daripada menyinggung media lain. Menerajui akhbar memang terdedah kepada pelbagai risiko, terutama kesilapan yang tidak disengajakan. Ia memerlukan keputusan segera dan bijaksana dalam waktu singkat. Harakah juga pernah silap lapor.

Bagaimanapun, merujuk laporan Utusan, terutama yang dipaparkan di muka depannya, pada Sabtu 7 Mei lalu, ternyata ia bukan lagi "kesilapan" biasa. Malah, pemilihan tajuk atau tema besarnya dirancang teliti, secara berniat jahat. Soal kestabilan politik, keharmonian kaum dan ketenteraman awam yang selama ini menjadi mentera palsu Umno dipertaruhkan dengan sewenang-wenang.

Justeru, saya dengan berat hati terpaksa menegur Utusan, yang semakin keterlaluan "bermain api", dengan motif untuk "membakar" seteru politik Umno, sedangkan yang bakal binasa adalah negara keseluruhannya. Slogan 1Malaysia pun tidak perlu menunggu masa lama untuk hangus. Kalau berita itu benar sekalipun, adalah amat tidak wajar diperbesarkan, apatah lagi ia hanya imiginasi kotor editornya.

Rasukan Utusan bukan bermula dengan "Kristian agama rasmi". Tentunya ramai pembaca (maafkan saya jika anda sudah lama tidak membelek Utusan, sekadar terbaca jika dijadikan kertas membungkus nasi lemak) masih ingat bagaimana Utusan mula meracau selepas keputusan pilihan raya umum 2008. BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan kalah lima negeri, termasuk negeri-negeri termaju seperti Selangor dan Pulau Pinang, selain Perak, Kedah dan Kelantan.

Ingat lagi kes ternakan babi di Selangor? Isu doa untuk Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat di Pulau Pinang? Dan rentetan polemik tidak menjadi yang cuba diketengahkan Utusan, atas satu mauduk besar, iaitu kepentingan Melayu tergugat teruk selepas PRU12. Melayu Tanjong seolah-olah baru teraniaya selepas BN kehilangan kuasa. Di Perak, persepakatan luar biasa Pakatan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada Adun PAS untuk menjadi menteri besar dipersepsikan dengan wajah yang cukup hodoh, juga atas sentimen perkauman.

Sejarah persuratkhabaran negara kita, yang bermula dengan akhbar Jawi Peranakan (1876), sebenarnya sudah menempuh tempoh masa yang cukup lama dan matang, iaitu selama 135 tahun. Begitu juga dengan latar belakang Utusan, yang dilahirkan pada 29 Mei 1939. Utusan diasaskan dengan modal RM12,290 yang dikumpulkan daripada lebih 500 orang Melayu Singapura dan Tanah Melayu, yang terdiri daripada golongan guru, petani, peniaga dan keluarga diraja.

Perjuangan Utusan, yang memang pada mulanya mewakili aspirasi orang Melayu, telah dikhianati pemimpin Umno demi kuasa. Dan kini, bagi merebut kembali kuasa yang hampir terlepas daripada Umno (bukan daripada orang Melayu), Utusan meracau lagi. Lebih teruk, ia merencanakan siri pembohongan. Semata-mata berbohong dan berdusta tentulah tidak sedahsyat merancang pertelagahan agama dan persengketaan kaum seperti tertonjol pada 7 Mei itu, tetapi ia tetap satu jenayah serius.

Tanpa segan-silu Utusan cuba mempamerkan ia juga merujuk sumber berita. Tetapi, aduh ... berdasarkan blog yang popular dengan berita palsu dan adu-domba! Dalam etika kewartawanan, kaedah Utusan itu hampas dan langsung tidak bertanggungjawab. Kata Presiden PAS, "sangat tidak beramanah".

Tanpa menunggu kesahihan berita Utusan itu, pihak polis terus melompat memberi amaran, dan disiarkan Mingguan Malaysia di muka depan, lagi. Menteri yang sepatutnya menjaga ketenteraman awam, Hishammuddin Hussein bingkas menyerang "penganjur" persidangan paderi-paderi itu, sambil melahirkan rasa sedih "kerana ada pihak pembangkang yang mempolitikkan agama". Alahai.

Selepas pemimpin Kristian yang dituduh itu menyanggah dakwaan Utusan, penjelasan mereka hanya disiarkan di muka dalam, tersorok kecil. Dan blogger yang melaporkan berita palsu itu tidak pula diambil tindakan. Rasanya polis pun belum memanggil mereka; mengulangi kes penayangan video lucah oleh trio Dato' T. Dan menjadi beban pula kepada yang mangsa yang dituduh untuk membersihkan diri, bukannya tanggungjawab orang yang menuduh untuk membuktikan dakwaannya.

Teringat saya nasib malang Suara Keadilan yang diharamkan KDN hanya kerana mendakwa Felda mungkin bankrap, dan hingga kini belum dipulihkan permit penerbitannya. Begitu juga dua majalah yang pernah saya kendalikan, Detik dan Wasilah, turut dikuburkan tanpa diketahui sebab "kematiannya".

Biarlah Utusan terus kebal dalam penjagaan Umno walaupun sarat dengan pembohongan dan manipulasi. Rakyat, termasuk orang Melayu, tidak sebodoh itu untuk terus terperangkap dalam jerat Utusan. Begitulah ... mana-mana regim yang melalui tahap akhir hayatnya selalu tersilap membaca realiti dan lebih kerap mengulangi kesalahan.
Baca Seterusnya......

Kita kerap terlewat membalas jasa ibu

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Semalam, Hari Ibu, saya mulanya cuba gagahi untuk melakarkan sedikit catatan kenangan bersama mak, yang telah kembali ke Rahmatullah, 12 tahun lalu. Malangnya, keuzuran menghalang untuk saya menaip. Saya sekadar dapat menziarahi mak mentua, di Sepang (itupun agak lama tidak ke sana) dan tidak terdaya mencurahkan "rindu-dendam" buat Almarhumah mak. Maaf kerana terpaksa menyiarkan kisah perjalanan terakhir mak, berulang kali, di sini.

APABILA isteri, Siti Hawa Samsam, mengejutkan saya jam 5.20 pagi, Sabtu, 1 Mei 1999, saya rasa ia hanya untuk mengingatkan waktu Subuh telah dekat. Tetapi melihatkan raut mukanya yang pucat, matanya yang berair, bibirnya terketar-ketar, jantung saya berdegup kencang. Saya hanya menunggu, seperti seorang pesalah menanti hukuman.

"Mak …," katanya terputus-putus. "Liza telefon tadi … mak dah tak ada, bang."

Sepi. Pilu. Sebak. Bagaikan segala pergerakan terhenti. Saya hanya mampu menarik nafas, cuba mententeramkan diri. Tidak perlu lagi saya bertanya, apa sakit mak, bila mak meninggal, di mana mak menghembuskan nafas terakhir. Segala persoalan bertukar menjadi jawapan. Yang penting, mak sudah tak ada.

Kosong sekeliling

Saya terpaku di katil hampir lima minit, memandang kosong sekeliling. Terbayang wajah kudus mak, bicara manja mak, nasihat bermakna mak, kelembutan tangan mak, syahdu suara mak mengaji al-Quran, tekunnya mak menjagaku hampir sebulan ketika sakit, gelisahnya mak bila diberitahu SB (polis cawangan khas) selalu menganggu kehidupanku, dan sepinya dunia yang terasa menghimpit dan menggigit.


Terdengar isteri sibuk mengejutkan anak-anak. Yang kecil, Umar Mukhtar merengek. Selepas menyusun kembali tarikan nafas, saya turut membangunkan anak-anak lain. Anak sulung, Ahmad Luqman Hakim kebingungan bila diminta cepat bersiap balik kampung: "Buat apa balik kampung. Abang nak periksa besok."


Adiknya, Nurul Syafiqah dan Ikmal Syafiq, mengeliat kiri dan kanan, maklumlah, malam tadi mereka tidur selepas 12 tengah malam.

Tanpa menunggu anak-anak bangun, saya ke bilik air. Di samping wajah ibu memenuhi ruang rumah, sekilas ingatan buat bapa, yang meninggal dunia hampir 20 tahun lalu, menyentuh kalbu. Pandangan tertumpu kerusi di anjung rumah, tempat mak selalu berehat dan berbual mesra denganku bila datang KL.

Kesedihan rupanya cukup menyakitkan.


Lemas dan sesak

Pancuran air panas tidak dapat menghilangkan kedinginan Subuh. Siramannya hanya dari dada ke bawah. Jika bermula dari kepala, terasa lemas dan sesak. Semasa membentang sejadah, sebak di dada memuncak.

Pipiku panas menahan larian air mata. Di bilik sembahyang itulah mak selalu mengurut badanku sambil bercerita pahit manis kisah silam dan gelagat cucu-cucunya di kampung, memicit kepalaku sambil mengingatkan pantang larang sakit yang kutanggung.


Selalunya bila mak datang, mak akan ‘melaporkan’ segala perkembangan di kampung, siapa yang akan naik haji, siapa yang berkahwin, siapa yang meninggal, apa khabar saudara di kampung, sihatkah Teh, Tok Su, Tok Jam, Wa, Pak Su.


Sambil berteleku memohon doa, kurasakan perjalanan hidup ini terlalu singkat. Baru beberapa minggu lalu, mak ceria bersama cucu-cucunya, bergembira bersama menantunya, langsung tidak menampakkan sebarang penyakit serius yang ditanggungnya.

Usah terlewat membalas jasa ibu bapa


Sejak Umar lahir enam bulan lalu, sudah empat kali mak ke KL, menguruskan isteriku, menemaniku di hospital, dan kali terakhir "nak tengok rumah baru Mad (panggilan untuk diriku)".


Selepas pak meninggal, saya selalu menghayati kata-kata nasihat yang cukup bermakna: "Selalunya, apabila kita teringat untuk membalas jasa ibu dan ayah, kita sudah terlewat."


Saya genggam sungguh-sungguh tuntutan di sebaliknya. Janganlah ada apa-apa tindakan dan kata-kata yang boleh menumpahkan air mata mak. Berbaktilah semasa mereka masih segar bugar, jangan ditunggu lagi.

Menunggu bermakna kita pasti terlewat, percayalah.


Mak mungkin tak tahu banyak tentang pergolakan semasa, tetapi maklah yang menjadi pendorong dan sumber inspirasi selama ini. Bermula selepas dipecat pengajian daripada UTM, ditangkap ISA, disusahkan kerjaku sebagai penulis, mak amat memahami perasaan dan kehendak anak kelimanya ini.

Kedegilanku untuk terus mencabar, sejak zaman kampus, mungkin menggusarkannya tetapi sedikitpun tidak pernah dihalangnya, dan saya langsung tidak merasakan mak tidak selesa dengan apa yang saya lakukan.


Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kampung Raja, Kubang Pasu, cukup lama dan panjang sekali.


Sebelum bertolak, isteri sempat membisikkan, "inilah saatnya yang paling takut ditempuh, pulang ke kampung, tanpa mak yang menunggu … akhirnya detik itu datang juga."

Wajah mak di mana-mana


Melalui lebuh raya Utara-Selatan, pandangan dilemparkan di kejauhan mencari makna sisa-sisa hidup di sebalik wajah mak yang melintas di mana-mana.


Abang sulungku, Dinsman, rupanya masih belum tiba, ketika kami sampai. Dia dalam perjalanan dari Kota Bharu. Kak Ton, Kak Na, Bang Ludin, Adik Ishak menyimpan kesedihan. Alhamdulillah, mereka (semuanya tinggal di kampung, bersebelahan) di sisi mak ketika mak nazak, kesempatan paling bermakna buat seorang anak.


Sambil menahan air mata, wajah syahdu mak kukucup: "Semoga Allah mengasihinya, sebagaimana mak mengasihiku di masa aku kecil hinggalah ke detik ini."

Buat pembaca, mohon maaf kerana catatan ini terlalu bersifat peribadi.

Al-Fatihah buat Aishah Megat Hamzah.

-----
Tulisan ini disiarkan pertama kalinya oleh majalah Detik keluaran 15 Mei 1999 (majalah dua kali sebulan itu kemudiannya diharamkan KDN pada Disember 1999). Beberapa nama yang disebutkan dalam artikel ini seperti puteriku, Nurul Syafiqah; nenek, Tok Jam; nenek saudara, Tok Su; ayah saudara, Pak Su Megat Abu Bakar dan mak-mak saudara, Wa dan Teh, juga telah meninggal dunia. Al-Fatihah.
Baca Seterusnya......

Sekadar menanti Umno terjerat perangkap sendiri?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Agak ramai bersetuju dengan rumusan awal saya bahawa PAS merupakan parti paling kritikal dalam pilihan raya umum akan datang. Kecenderungan pengundi Melayu menjadi perbahasan menarik, manakala mood masyarakat Tionghua yang berterusan menolak BN seperti sukar hendak dilentur lagi. Rata-rata membayangkan pengundi India, walaupun masih tidak dapat menerima MIC, tetapi mungkin "ada yang berpatah balik".

"Bukan saja DAP yang untung besar dengan mengekalkan prestasi Mac 2008, malah mungkin dapat melonjak lagi," seorang pembaca dari Ipoh memberi respons kepada tulisan saya. "Dan jika tiada usaha luar biasa dilakukan untuk mengubah persepsi masyarakat Melayu di luar bandar, terutama di kawasan bukan kubu tradisi PAS, saya juga percaya Umno boleh mempertahankan undi dan kuasa mereka," tambahnya.

Namun, seperti kata Perdana Menteri, Najib Razak, "selagi semboyan belum dibunyikan, persiapan (menghadapi pilihan raya) boleh ditingkatkan." Ya, biar segenting mana sekalipun kedudukan PAS, berdepan dengan pelbagai tipu helah dan gugatan mencabar, khususnya berkaitan senarai pendaftaran pemilih yang mudah dimanipulasi, segalanya masih boleh dipengaruhi dan diperbetulkan.

Namun, untuk menggagalkan usaha terancang BN itu, ia memerlukan kerja kuat, berkemahiran dan mempunyai dana mencukupi. Proses pendaftaran pemilih dalam sistem First-Past-The-Post (FPTP) memang terdedah kepada "kerja jahat" elit penguasa. Oleh itu, masih ada desakan agar reformasi pilihan raya dapat dilaksanakan segera, antara lain memperkenalkan elemen sistem pengundian Proportional Representation (PR).

Mungkin proses persempadanan semula kawasan pilihan raya, ala gerrymandering, tidak dapat dipraktikkan lagi disebabkan BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen, namun masih banyak ruang boleh diekspolitasi. Kadang-kadang ia sukar dihidu dan hanya dapat dikesan selepas pilihan raya, mengakibatkan pembangkang sekadar gigit jari.

Harakah telah mendedahkan komplot di antara Umno-BN, Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya dirancang rapi bagi memindahkan pengundi ke kawasan strategik, menurut kepentingan parti itu, terutama di Selangor. Ini belum dikira taktik jahat memberikan kad pengenalan kepada warga asing, membolehkan mereka mengundi BN dalam PRU13.

Keghairahan (sebenarnya keserakahan) Najib, yang juga Pengerusi Umno Selangor, untuk merampas kuasa di negeri termaju itu tidak boleh disembunyikan lagi. Tidak salah untuknya menawan kembali Selangor dan juga negeri-negeri lain yang dikuasai Pakatan Rakyat tetapi biarlah "bertarung secara anak jantan".

Ia mengingatkan kita tentang taktik kotor Najib menumbangkan kerajaan pilihan rakyat di Perak (waktu itu Pengerusi Umno Negeri) pada 2009. Rekod menunjukkan, hampir semua negeri yang pernah jatuh ke tangan pembangkang, diambil alih BN (sebelumnya Perikatan) secara "keji" misalnya dalam kes Kelantan (1978), Terengganu (1961, 2004) dan Sabah (1994). Target berikutnya adalah Selangor. Operasinya berbeza di antara sebuah negeri dengan negeri yang lain.


Melihat "permainan" Umno-BN terkini, mereka seolah-olah tidak mahu membuang masa lagi untuk meraih kepercayaan pengundi Cina yang dirasakan semakin menjarak, sebaliknya tertumpu untuk mengaut sebanyak mungkin sokongan masyarakat Melayu. Pengundi Melayu perlu dipindahkan ke kawasan yang mana BN kalah dengan majoriti kecil (lebih membabitkan kerusi PAS dan KeADILan) dengan membiarkan kawasan di sebelahnya yang mungkin sedia dimenangi DAP mendapat majoriti lebih besar.

Pokoknya, dalam sistem FPTP, menang dengan majoriti satu undi atau 10,000 undi tidak membawa apa-apa perbezaan. Oleh itu, Umno merancang untuk menyerakkan undi Melayu ke kawasan yang begitu diperlukannya, dengan andaian orang Melayu adalah asset buat mereka. Dalam proses gerrymandering selepas PRU1999, andaian Dr Mahathir Mohamad, pengundi Cina akan memberikan kelebihan kepada BN.

Akhirnya, strategi menyerakkan pengundi Cina itu, walaupun berjaya pada 2004, sehingga membentuk banyak kerusi campuran, telah "membunuh" BN pada 2008.

Pelawaan Najib agar PAS bekerjasama dengan Umno, dan meninggalkan Pakatan Rakyat (terutama DAP) juga dilihat mahu mengikat simpati umat Islam. Umno cuba mempamerkan watak "merendah diri", sekali gus mempersepsikan PAS sebagai parti "penuh kesombongan" yang menolak tawaran perpaduan. Meskipun dari segi jumlah penguasaan kerusi Parlimen, PAS berada di tangga terendah berbanding DAP dan KeADILan, namun ia tetap berada pada posisi paling penting dalam percaturan politik Melayu.

Strategis Umno cukup sedar hal ini. Justeru, perancangan secara halus difokuskan untuk melemahkan potensi PAS yang cukup membahayakan kedudukan Umno itu. Sekali pandang, seolah-olah Umno menghalakan sasarannya kepada KeADILan, tetapi bagi saya, yang lebih digeruninya adalah PAS.

Dalam pilihan raya umum 1999, PAS pernah mencipta kejutan apabila majoriti pengundi Melayu memihak kepadanya, terutama di negeri-negeri Malay belt, pengaruh PAS cukup dominan. Dan sekiranya pimpinan PAS berupaya menampilkan sosok parti itu yang meyakinkan orang Melayu, selain membetulkan persepsi salah mereka, dan dalam masa sama mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu, tidak mustahil penguasaan BN di Putrajaya dapat ditamatkan.

Mengandaikan undi Melayu adalah "simpanan tetap" BN hanya mengundah padah buat Najib, apatah lagi dalam suasana kematangan berpolitik semua kaum makin meningkat. Bagaimanapun ia lebih banyak bergantung kepada ketekunan PAS untuk melakukan usaha luar biasa menawan hati dan membetulkan persepsi masyarakat Melayu dalam tempoh sesingkat ini.
Baca Seterusnya......

Saturday, May 7, 2011

PAS parti paling kritikal dalam Pakatan Rakyat?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Menjelang pilihan raya umum ke-13, tiada lagi pilihan raya kecil yang boleh dijadikan petunjuk terhadap kemungkinan pola pengundian nanti. Ramalan dan jangkaan politik, selain merujuk siri pilihan raya kecil sebelum ini -- yang kelihatan agak seimbang buat BN mahupun Pakatan Rakyat -- juga tertumpu kepada keputusan pilihan raya negeri Sarawak. Rata-rata beranggapan ada momentum menarik dari Bumi Kenyalang.

Memang kecenderungan mengundi dalam pilihan raya umum mungkin berbeza sama sekali dengan trend yang ditunjukkan dalam pilihan raya kecil sebelumnya, seperti dibuktikan dalam PRU12, namun sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan kayu pengukur kepada semua parti untuk melakukan penilaian kritis, bedah-siasat atau muhasabah. Seterusnya mengatur strategi penambahbaikan dan ada kalanya menuntut keberanian untuk merombak "hal-hal besar".

Mesej yang disampaikan pengundi kadang-kadang sukar untuk diterima tetapi itulah realiti perit yang menagih sikap terbuka pemimpin dan kebijaksanaan menanganinya. Persepsi pengundi tidak semestinya benar tetapi ia tetap faktor terpenting menentukan kalah-menang dalam pilihan raya. Selain berusaha menampilkan hakikat kebenaran dan menjelaskan kekaburan yang boleh mengelirukan, tanggapan masyarakat seringkali payah untuk dipulihkan jika tiada gerakerja serius dan sistematik.

Selain berterusan dan gigih menuntut proses pilihan raya yang bebas dan adil, tentu masih banyak perubahan dalaman yang harus disegerakan. Boleh sahaja kita menuding kesalahan kepada seteru politik yang memperkakaskan segalanya untuk survival kuasa mereka. Bukankah PRU13 menentukan hidup-mati BN dan merupakan pilihan raya pertama dimana pengundi benar-benar mempunyai pilihan?

Rakyat khususnya di negeri-negeri yang diperintah Pakatan begitu arif tentang kecacatan sistem federalisme Malaysia, sekali gus keperluan menubuhkan kerajaan persekutuan tidak dapat ditangguh lagi. Laluan ke Putrajaya yang mencabar itu menagih perancangan rapi dan kesediaan untuk melakukan "penyegaran" bagi menampilkan citra parti yang lebih memikat.

Seperti yang ditegaskan dalam kolum ini minggu lalu, saya lebih suka meletakkan PAS dalam kedudukan paling kritikal berbanding dua parti sekutunya dalam Pakatan. Pertama, saya sendiri merupakan ahli PAS dan petugas sepenuh masa parti. Kedua, trend pengundian pasca PRU13 masih menunjukkan bahawa majoriti masyarakat Melayu -- terutama di luar bandar, di kampung-kampung tradisi dan tanah rancangan Felda -- belum bersedia beralih sepenuhnya untuk menyokong Pakatan. Ketiga, di kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu, kebanyakan calon yang dipilih Pakatan adalah mewakili PAS.

Di luar Kelantan, hatta di negeri-negeri yang dianggap kubu tradisi PAS, seperti Kedah dan Terengganu, PAS masih berdepan cabaran sengit Umno. Ramai melihat prestasi PAS di dua negeri tersebut pada 1999 jauh lebih baik berbanding 2008, sekiranya ditinjau dalam konteks sokongan pengundi Melayu.

Bagaimanapun saya difahamkan, selepas berkuasa, sokongan masyarakat Melayu terhadap PAS di Kedah makin kukuh. Yang menjadi tandatanya adalah usaha mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu. Manakala di Terengganu, pelbagai masalah kronik di pihak Umno-BN belum memadai untuk menjamin PAS mengulangi rekod gemilang 1999. Tidak dipastikan apakah bentuk tawaran atau penampilan berbeza yang bakal dikemukakan PAS Terengganu dalam kempen PRU13 nanti.

Melihat trend pengundian masyarakat Tionghuo di Sarawak baru-baru ini, lebih-lebih lagi dengan respons pemimpin Umno dan sikap akhbar harian yang dikuasainya, tidaklah sukar untuk menjangkakan bahawa kawasan-kawasan majoriti pengundi Cina, yang kebanyakannya ditandingi calon DAP mahupun KeADILan, tetap memihak Pakatan. Malah parti-parti komponen BN sudah saling menyalahkan di antara satu sama lain.

Justeru, saya menyimpulkan bahawa keupayaan Pakatan untuk merealisasikan impian menawan Putrajaya dalam PRU13 lebih bergantung kepada sokongan masyarakat Melayu kepada PAS. Pastinya sokongan itu tidak datang secara mudah terutama bagi memecahkan beberapa halangan psikologi politik Melayu. Segala potensi dan sumber kekuatan mesti digembleng dari sekarang, bukan sahaja melibatkan PAS tetapi juga penggemblengan bersama semua parti dalam Pakatan.

Kita harus mencegah pemisahan politik berdasarkan kaum di negara tercinta ini. Sebarang dakyah untuk membakar sentimen kaum mesti dibanteras. Pengundi Cina yang secara konsisten mutakhir ini menyokong Pakatan tidak bermakna mereka bersikap perkauman, malah ternyata begitu mengambil berat soal integriti, ketelusan, sekali gus menentang korupsi dan monopoli kekayaan oleh segelintir elit penguasa.

PAS yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangan mempunyai kemampuan besar bagi menarik sokongan majoriti pengundi Melayu -- agar bersama rakan-rakan bukan Melayu -- untuk menolak pemimpin BN yang terbukti mengamalkan rasuah, salahguna kuasa, "merompak" khazanah negara untuk suku-sakat dan kroni masing-masing.

Namun begitu, untuk meraih simpati pengundi Melayu bukan terletak kepada "kehodohan" wajah Umno-BN semata-mata. Penampilan citra baru PAS-Pakatan yang lebih segar dan meyakinkan adalah lebih mendesak lagi. Sesungguhnya Pakatan hanya dapat berkuasa di peringkat pusat jika slogan "PAS Ganti Umno" benar-benar menjadi kenyataan, dan bukannya membiarkan parti Islam itu berada pada tempat ketiga dari segi penguasaan kerusi Parlimen berbanding sekutunya, KeADILan dan DAP.
Baca Seterusnya......

Akhirnya Judin pergi juga ...

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Meskipun mendapat bantahan, Ketua Pengarah Kerja Raya, Prof Ir Dr Judin Abd Karim tetap ditukar, mulai 1 Mei depan ke jawatan barunya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan), iaitu satu jawatan yang lebih rendah, yang meletakkannya seolah-olah diturun pangkat. Kes Judin ini cukup mengejutkan kerana inilah kali pertama dalam sejarah Jabatan Kerja Raya, ketua pengarahnya, yang dikenali ramai sebagai berintegriti tinggi, ditukarkan ke agensi lain.Ramai warga JKR kecewa dengan langkah drastik itu.

Rata-rata mereka beranggapan ia satu tindakan bermotif politik bagi memencilkan seorang pegawai awam berpersonaliti mulia, yang dilihat sepanjang kerjaya terakhirnya di JKR boleh menyusahkan pihak yang "tamak dan rakus". Namun begitu, Judin pasrah. Mulai minggu lalu, beliau telah mengadakan lawatan perpisahan ke semua cawangan JKR di seluruh negara.

Desas-desus menyebut pertukaran Judin dikaitkan dengan projek kontroversi, pembinaan Istana Negara yang baru, selain ketegasan Judin berdepan karenah kontraktor kroni yang hanya mahu mengaut keuntungan sebanyak mungkin daripada dana awam. Projek ini diberikan secara runding terus (reka dan bina) kepada Maya Maju (M) Sdn Bhd, dengan cadangan kos oleh kontraktor kepada kerajaan sebanyak RM1.1 bilion.

Hanya selepas kos berkenaan didedahkan Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar di Dewan Rakyat dan turut dibangkitkan Harakah, baharulah perkara ini disemak dan dirunding semula dengan kontraktor. Akhirnya, projek ini telah dianugerahkan dengan kos RM650 juta. Cadangan pembinaan di peringkat awal di bawah kos RM400 juta. Bagaimanapun, kos projek Istana Negara kini telah meningkat hampir RM900 juta dengan pelbagai kerja tambahan (VO) dan skop tambahan yang dikatakan tiada dalam skop asal atau telah dikeluarkan semasa di peringkat awal.

Semua maklum dan bukanlah menjadi rahsia mengenai stail Maya Maju (dikatakan ala-samseng) apabila berkomunikasi dengan pegawai-pegawai kanan JKR yang terlibat dengan projek Istana Negara. Kontraktor berkenaan dikaitkan dengan "orang kuat" Umno Kedah. Ketika diberikan tender projek istana pada Oktober 2007, syarikat tersebut disenaraikan sebagai tidak aktif oleh Suruhanjaya Syarikat.

Menurut sumber, bukanlah mudah untuk Judin memastikan projek Istana Negara disiapkan mengikut jadual. Beliau dikatakan telah mengadakan mesyuarat koordinasi projek hampir setiap minggu di tapak istana dengan mewajibkan semua pengarah kanan hadir. Usaha beliau membuahkan hasil. Istana dijangka disiapkan pada pertengahan tahun ini. Inilah pendekatan yang pertama kali dibuat seorang Ketua Pengarah Kerja Raya dalam melaksanakan projek berprofil tinggi seperti ini.

Kontraktor dikatakan tidak menghormati JKR dan cuba melibatkan raja (Raja Perlis sebagai wakil Majlis Raja-Raja Melayu) dalam membuat keputusan meletakkan Judin dalam keadaan yang sukar. Bagaimanapun beliau menghadapinya dengan tenang demi memastikan projek berjalan lancar. Memang sensitif menangani isu berkaitan pihak istana, apatah lagi apabila ada pihak tertentu yang memperalatkan nama raja untuk kepentingan mereka. Misalnya, apabila Lim Kit Siang mula membangkitkan hal berkaitan projek ini, timbul dakwaan bahawa beliau telah "menderhaka" kepada istana.

Malah, saya dapat menjangkakan, selepas Harakah dilihat mempertahankan Judin, tentunya beliau akan dilabelkan sebagai propembangkang atau penyokong Pakatan Rakyat. Ia hanya bagi mengalihkan isu sebenar daripada dibincangkan. Tuduhan liar terhadapnya sudahpun tersebar dalam blog-blog Umno. Walhal isunya jelas: Umno akan bermusuh dengan pegawai awam yang baik dan berwibawa sekiranya tidak dapat memenuhi kehendak politik dan nafsu serakah mereka bagi membolot kekayaan berlipat ganda dengan cara mudah.

Umno selama ini memang bergantung dengan dana awam melalui komisyen (terutama melalui projek rundingan terus apabila nilai kos dapat dinaikkan dengan mudah) bagi memenuhi tabung politik mereka, seterusnya "membeli undi" semasa pilihan raya. Judin bukan pegawai kerajaan pertama dan terakhir yang menjadi mangsa.

Mungkin ramai lagi yang bersedia mengikuti telunjuk elit penguasa dan meraikan apa jua kehendak orang-orang politik di sekeliling, namun Judin akan dikenang sebagai kakitangan awam yang berusaha mempertahankan integriti sehingga terpelanting jawatan strategiknya.


II.

Saya diundang sebagai ahli panel Bicara Media, anjuran pelajar Sarjana Sains Komunikasi Kewartawanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) lebih kurang 15 jam sebelum program bermula pada jam 2.30 petang 21 April lalu. Memang masih agak uzur dan sukar berjalan jauh, tetapi apabila mengetahui Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah turut memeriahkan forum bertajuk Menyingkap Peranan Media dalam Menghadapi Arus Globalisasi, saya berusaha hadir. Terasa penat apabila terpaksa menapak ke tingkat tiga. Separuh idea awal hilang ...

Seorang lagi penalis ialah Ibrahim Yahaya, bekas Ketua Pengarah Penyiaran, manakala pengacaranya, Sayed Munawar Syed Mustar. Forum itu dirakamkan di Studio Penyiaran Video, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM.

Ternyata Saifuddin beridealisme tinggi apabila membicarakan isu-isu berkaitan kebebasan media, seperti juga apabila beliau melontarkan idea tentang autonomi universiti dan keperluan mahasiswa untuk bergerak aktif dalam politik. Saya tidak nampak hujahannya bercanggah dengan pendapat saya, malah beliau berjaya mengungkapnya dengan lebih mantap.

Saya tidak lari daripada terus menekankan bahawa media di Malaysia masih terkongkong dan dikawal ketat walaupun dalam era globalisasi. Menurut sarjana media, misalnya Fred S Siebert, teori media bebas tidak selari dengan suasana di negara ini apabila sebarang penerbitan memerlukan permit dan melalui proses penapisan. Saya turut merakamkan pengalaman beberapa penerbitan saya, seperti majalah Detik, yang diharamkan KDN, tanpa alasan yang jelas. Begitu juga dengan syarat-syarat penerbitan dan pengedaran Harakah yang menekan.

Ibrahim melihat daripada sisi agak berbeda. Kebebasan dalam online dan juga akhbar-akhbar berbahasa Cina menjadi sandaran. Sedangkan bagi saya, dalam dua situasi itu, sebenarnya kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekatnya dan bukan disebabkan penguasa berjiwa besar membenarkan media berkembang secara bebas di Malaysia. Ini turut dipersetujui Saifuddin. Bagi saya, peraturan karut seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan mesti dimansuhkan tanpa daleh lagi.

Saifuddin mengakui keperluan Malaysia seharusnya mempunyai kebebasan akhbar yang lebih luas berbanding dahulu. Beliau turut membangkitkan langkah-langkah pendemokrasian yang lebih segar, seperti mencadangkan umur layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun, di samping menegur perlantikan jawatan-jawatan penting di universiti, yang ada kalanya melibatkan "tukang ampu" berbanding ilmuan yang lebih layak.

Dua minggu sebelum itu, saya bersama Dinsman dan Pengarang Harakah, Taufek Yahya menghadiri majlis bedah buku Catatan Hujung di Kompleks PKNS, Bangi. Agak janggal juga untuk saya membicarakan proses penulisan di sebuah kompleks membeli-belah yang agak sibuk itu.

Dalam majlis itu saya turut diaju dengan cadangan (sebenarnya dicabar) untuk menghasilkan buku khas bagi menyanggah memoir Dr Mahathir Mohamad. Seorang daripada hadirin, Dr Tajul Arifin Noordin, Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi mahu saya mengemukakan sanggahan terhadap pelbagai "pembohongan" dan "manipulasi" Dr Mahathir.

Sememangnya minat peribadi saya lebih tertarik kepada penerbitan buku, berbanding menjadi editor akhbar sekarang mahupun sebelum ini majalah. Dalam konteks kebebasan berkarya di Malaysia, menulis buku mungkin lebih selesa dan tidak terikat dengan peraturan "karut-marut" KDN. Banyak isu memerlukan penjelasan lebih terperinci dan mendalam.

Namun, seperti disokong Dinsman, yang juga pengulas buku Catatan Hujung, cabaran terbesar saya adalah faktor kesihatan. Menulis buku khususnya mengupas isu-isu politik -- berdepan saingan media baru -- memerlukan stamina luar biasa. Ada juga permintaan agar saya membuat "ramalan politik" seperti buku-buku yang dihasilkan dalam tahun-tahun 1990-an berkaitan Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir.

III.

Sehingga kini saya belum sempat menganalisis pilihan raya Sarawak. Semua maklum tentang gelombang perubahan yang dicetuskan oleh pengundi Cina di bandar-bandar. Namun, saya lebih terkesan dengan kebimbangan terhadap keupayaan pengundi Melayu untuk sama-sama berubah dalam PRU13. Dr Jeneri Amir menjangkakan, jika trend mengundi di Sarawak berterusan, sekurang-kurangnya Pakatan Rakyat dapat menguasai tujuh kerusi Parlimen di negeri itu nanti.

Slogan PAS Ganti Umno tidak hanya memerlukan seminar dan diskusi. Pengundi Melayu harus diyakinkan bahawa mereka mesti bersama Pakatan Rakyat, terutama dengan menyokong PAS, bagi membentuk sebuah kerajaan yang adil, baik peringkat negeri mahupun persekutuan. Peralihan lapan peratus undi di Sarawak jika diterjemahkan di peringkat nasional mungkin boleh membawa Pakatan ke Putrajaya, tetapi jika masyarakat Melayu tidak bersedia berubah, situasi politik mungkin "tidak seimbang".

Berbanding rakan-rakannya dalam Pakatan, cabaran terbesar lebih menimpa PAS. Berusaha mempengaruhi majoriti pengundi Melayu supaya menolak Umno dalam sentimen perkauman yang makin marak ini bukan tugas mudah. Ketrampilan kepemimpinan Parti Islam khususnya untuk memenangi hati orang Melayu -- dan mengekalkan sokongan masyarakat Cina dan India -- cukup teruji.

Kepada PAS, masa cukup singkat sebelum Najib Razak membubarkan Parlimen. Saya tidak mengharapkan keajaiban, namun ramai tidak berpuas hati dengan usaha yang telah dibuat ...
Baca Seterusnya......

Pakatan gagal manfaatkan Youtube, Facebook; terus berangan tentang media baru?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Walaupun saya belajar kejuruteraan selama lima tahun di Universiti Teknologi Malaysia (1981-86), namun saya boleh dianggap sebagai orang yang cukup "lembab" untuk menguasai teknologi baru. Semasa menyertai Harakah pada 1987, hatta untuk menggunakan perisian komputer yang paling mudah, iaitu sekadar untuk menulis bagi menggantikan mesin taip, saya "merangkak-rangkak". Dari segi aplikasi, seorang rakan sepejabat, lulusan sekolah Arab, lebih cepat memahami.

Dunia ICT berkembang pesat dan cukup menakjubkan -- umpama sebuah revolusi. Sebagai wartawan dan kemudiannya editor, saya memang sering "ketinggalan keretapi". Ketika teriakan reformasi 1998 mengejutkan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan seterusnya merebak ke seluruh negara, saya lebih banyak tertumpu di Harakah, majalah Tamadun dan kemudiannya menerbitkan sendiri, Detik. Bagaimanapun, saya tetap menjadi pencandu laman-laman web popular seperti Mahazalim, Mahafiraun dan Minda Rakyat.

Sehinggalah apabila majalah Detik, yang saya sewa permitnya daripada seorang teman, diharamkan KDN, pada pertengahan tahun 2000, barulah ada idea untuk menerbitkan Detik versi online. Apa pun, saya akui saya tidak cukup stamina untuk mengendalikan sebuah laman berita, yang terpaksa memenuhi ketagihan luar biasa pembaca. Pelayar internet mahukan proses kemaskini dari minit ke minit.

Mengenali beberapa webmaster, saya begitu mengkagumi dedikasi hebat mereka. Tenaga, masa dan wang dihabiskan tanpa memikirkan imbalan. Malah sebahagiannya langsung tidak dikenali walaupun oleh tokoh-tokoh yang mereka sanjung, mungkin antara lain, disebabkan mereka sendiri jarang menulis.

Kuasa siber mengoncang keyakinan lama terhadap media tradisi. Pembolotan elit penguasa terhadap maklumat dipecahkan. Jika laman-laman web atau portal berita menjadi popular menjelang pilihan raya umum 1999, fenomena blog pula mempengaruhi suasana politik 2008. Tiba-tiba sahaja seorang blogger menjadi insan paling berkuasa; boleh menerbitkan apa saja idea tanpa suntingan dan tapisan.

Namun bagi saya, isu utama masih kepada kandungan yang disiarkan, bukan sekadar pelebaran proses pendemokrasian. Jaringan internet membentuk komuniti tersendiri, yang tidak terikat lagi dengan undang-undang represif seperti Akta Mesin cetak dan Penerbitan. Ya, sesiapa saja boleh mencipta blog dan menulis tanpa sekatan, tetapi bagaimana dengan kualiti dan kesahihan kandungannya, serta kemampuan untuk mempengaruhi audien?

Tanpa meremehkan ratusan ribu blog di Malaysia, yang menyiarkan pelbagai info dan cerita, soalnya, sejauh mana ia berupaya menjadi pengimbang kepada media yang dikuasai sepenuhnya pemerintah? Ada yang bertanya saya, mengapa keputusan pilihan raya 2004 begitu memihak BN, sehingga menguasai lebih 90 peratus kerusi Parlimen sedangkan lebih ramai rakyat Malaysia dapat akses internet waktu itu berbanding pilihan raya 1999?

Tidak mudah untuk saya meremehkan pengaruh media tradisi, seperti akhbar dan televisyen, yang kekal dikontrol Umno-BN, sekurang-kurangnya untuk PRU13 nanti. Saya turut ternanti-nanti kajian sistematik pengaruh media sosial seperti Facebook dan Twitter, yang menjadi kegilaan semasa, terhadap realiti politik, misalnya dalam pilihan raya Sarawak. Maaf, jika pemerhatian rambang saya tidak melihat jumlah pengguna FB yang melebihi 10 juta itu sebagai kuasa yang cukup menakutkan BN sekiranya mesej yang dikongsi di dalamnya kekal seperti sekarang .

Malah, harus diingat, "senjata" yang sama juga boleh menikam Pakatan Rakyat jika strategi dan pendekatan politiknya masih tumpul atau tidak disokong oleh "keresahan rakyat". Revolusi Tahrir di Mesir atau Revolusi Jasmin di Tunisia bukan semata-mata dijayakan oleh media sosial tetapi digembleng bersama oleh kreativiti aktivisnya mengungkapkan kebobrokan dan kebejatan politik secara berkesan melalui FB dan YouTube.

Media, baik baru mahupun lama, hanya "kenderaan" yang banyak bergantung kepada pemandu dan pemiliknya, bukan "mukjizat" yang dapat memastikan kemenangan memihak mereka yang dilihat lebih mendominasikannya. Kemenangan sesebuah parti bergantung kepada pelbagai elemen yang saling berkait.

Banyak isu rakyat melengkari kehidupan seharian kita, yang sepatutnya dipersembahkan dengan begitu "menakjubkan" melalui media. Pengalaman saya mengetuai beberapa akhbar dan majalah menjadi bukti kesukaran mencari penyumbang berkualiti (juga mendidik wartawan berketrampilan terutama untuk melakukan laporan penyiasatan). Kita turut ketandusan penulis blog (terutama dalam bahasa Melayu) yang baik untuk dikongsi ideanya menerusi FB atau pembikin dokumentari pendek yang kreatif bagi dimuatkan dalam YouTube, seterusnya disebarkan melalui media sosial.

Potensi YouTube memang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Bagi saya, ini satu kegagalan yang mesti ditangani segera. Ia tidak seharusnya diserahkan kepada usaha individu malah patut digerakkan secara bersepadu, dan menagih sumber yang besar. Propaganda TV hanya dapat disanggah dengan berkesan oleh slot YouTube yang dirancang rapi. Bagi saya, zaman TV masih belum berakhir, khususnya dalam era televisyen satelit ini.

Kadang-kadang sudah terhidang pendedahan eksklusif seperti dalam laman Sarawak Report (sebelum diserang) tentang seribu satu kisah penyelewengan regim Taib Mahmud tetapi sukar untuk mencari berita mengenainya yang diolah semula agar lebih mesra-pembaca. Saya membayangkan alangkah baiknya jika ada sekumpulan editor berpengalaman, dengan bahasa mudah, ringkas dan tepat, menghidangkan semula koleksi pendedahan itu. Aneh sekali, apabila laman berkenaan digodam menjelang hari mengundi, koleksi artikel yang cukup bernilai tentang "kebusukan" regim 30 tahun Taib seolah-olah terkubur bersama.

Ya, siapa yang begitu rajin untuk menelaah bahan-bahan yang bertaburan dalam blog, ibarat mencari "permata dalam lumpur", menyunting dan "membersihkannya" dan kemudian menyebar-luaskannya? Atau mungkin saya masih terikat dengan pengalaman lama seorang wartawan, yang sukar memahami mesej daripada arus deras ICT yang melanda ini!

-------

Artikel ini disiapkan pada 14 April 2011.
Baca Seterusnya......

Integriti, Ustaz Azizan dan Prof Judin

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Ramai pejuang yang bersedia diasak penderitaan, mampu ditekan kezaliman dan bersabar dikurung elit penguasa. Namun, apabila digoda pangkat dan kedudukan, dihampar khazanah dunia, ditawar kemasyhuran dan prestij, tidak sedikit yang kecundang lemas. Rasuah, salahguna kuasa dan penyakit beriringan, seperti kronisme, mudah merebak bersama arus deras "KUASA".

Integriti, maruah dan kehormatan diri sekadar basahan bibir tetapi sukar dipertahankan, apatah lagi jika ia tercabar semasa diri keseorangan dan tiada mata yang memandang. Malah ada individu yang menduduki singgahsana kuasa, mulanya berpegang dengan prinsip luhur dan etika mulia, tetapi secara perlahan-lahan meleburkan idealisme, dengan seribu satu justifikasi.


Selepas pilihan raya umum 2008, ramai aktivis dan pimpinan Pakatan Rakyat, yang dahulunya berdepan tekanan dan tribulasi daripada pemerintah, kini dikelilingi dugaan lebih mencabar. Sememangnya, akta-akta zalim seperti ISA masih menganga luas dan tetap mengintai mangsanya, tetapi "cubaan" yang datang bersama kuasa memerintah -- walaupun baru di peringkat negeri dan kerajaan tempatan -- cukup menakutkan.

Kuasa menawarkan kedudukan, imbuhan ekonomi dan penghormatan masyarakat. Peluang, dalam bermacam-macam aspek, untuk disambar begitu luas terbuka. Kesempatan itu begitu mengiurkan. Jika seseorang itu mahu bersama-sama berebut sumber, baik daripada segi politik mahupun ekonomi, maka pelbagai alasan boleh diberikan, termasuk yang dikaitkan dengan "kepentingan umum", termasuk parti politik yang diwakilinya.

Sebahagian tindakan itu mungkin tidak tergolong dalam kategori rasuah, yang boleh diserkup SPRM. Ia lebih bergantung kepada integriti dalaman. Seorang pemimpin kerajaan atau ketua jabatan, yang memegang posisi strategik, semasa membuat keputusan penting khususnya berkaitan kewangan, boleh sahaja memihak kepada mana-mana orang atau syarikat, tanpa melanggar mana-mana peruntukan undang-undang. Bagaimanapun nalurinya lebih mengetahui apakah ia bercanggah atau menepati prinsip integriti.

Ada yang menakrifkan integriti individu itu adalah keselarasan di antara apa yang dikatakan oleh individu dengan apa yang dikotakannya; keselarasan di antara tindakannya dengan prinsip moral (akhlak), etika dan undang-undang; serta keselarasan di antara kepentingan individu dengan kepentingan umum. Dan apa yang dilakukan itu pula cepat, tepat dan bermutu. Tindakannya pula konsisten.

Integriti ibarat konsep ihsan dalam Islam: "Ihsan adalah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia sedang melihat kamu." Maknanya, baik semasa bersendirian dan tiada yang menyaksikan, atau ketika di hadapan publik, menjadi tontonan awam atau diperhatikan CCTV, seseorang itu tetap berkeperibadian unggul.

Bercakap soal integiti, saya tertarik dengan khabar bahawa Ketua Pengarah Kerja Raya, Prof Ir Judin Abd Karim, secara tiba-tiba ditukarkan ke CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan), iaitu satu jawatan yang lebih rendah, yang meletakkannya seolah-olah diturun pangkat. Pertukaran ini memeranjatkan banyak pihak khususnya warga Jabatan Kerja Raya kerana Judin dikenali dengan ketegasannya berdepan kontraktor kroni dan politikus Umno, yang begitu tamakkan projek-projek di JKR.

Menurut seorang pegawai kanan JKR, Judin mungkin menjadi mangsa keadaan disebabkan menteri dan kontraktor tidak menggemari cara kerjanya yang tidak mudah berkompromi dengan perkara yang tidak mengikut peraturan. Difahamkan, menjelang pilihan raya, projek JKR merupakan di antara sumber utama dana Umno bagi membiayai kempennya nanti.

"Malang sekali apabila JKR kehilangan seorang ketua pengarah yang dikenali dengan sifat warak, solat dhuha dan puasa sunatnya, selain komited dengan amalan profesionalime yang tinggi," tambah pegawai kanan itu. Karier Judin, yang berkelulusan PhD dalam bidang Kejuruteraan Sivil dari University of Southern California, Amerika Syarikat, lebih tertumpu dalam bidang rekabentuk.

Sikap Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abd Razak lebih mengujakan. Beliau cukup berhemat dalam membelanjakan wang negeri. Posisinya dalam parti dan kerajaan sentiasa dibezakan. Hinggakan ada ahli PAS yang merungut disebabkan parti tidak mendapat apa-apa kelebihan walaupun selepas memerintah. Kedudukan kerusi Pakatan di Kedah mungkin tidak sekukuh Kelantan, Pulau Pinang mahupun Selangor, namun Ustaz Azizan tetap berpegang dengan prinsipnya untuk tidak menyalahgunakan kuasa demi survival parti.

Dalam satu program PAS di Baling baru-baru ini, beliau menegaskan, walaupun sudah mentadbir kerajaan selaku MB, namun beliau tidak membenarkan sama sekali wang kerajaan digunakan untuk parti apatah lagi untuk kepentingan diri sendiri. "PAS sentiasa berdikari dan bergerak atas duit dan sumbangan ahlinya, tidak pernah menggunakan duit kerajaan. Bukan macam parti sebelah sana, yang bergantung kepada harta dan jentera kerajaan untuk apa juga program yang dilakukan," tegasnya.

Justeru, gaya pentadbirannya turut dipuji mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin. Sikap sederhana beliau terlihat jelas dalam kehidupan sehariannya, dan menjadi buah mulut rakyat Kedah, termasuk penyokong dan ahli Umno. Kepada pegawai kerajaan negeri, beliau memberi kebebasan sepenuhnya untuk menyokong mana-mana parti politik.

Ketika berucap kepada anak-anak Kedah yang belajar di Mesir (dan ibu bapa mereka), yang menerima bantuan kerajaan negeri untuk kembali selepas revolusi Medan Tahrir, Ustaz Azizan menitipkan kata-kata hikmatnya: Jangan terima kasih kepada Kerajaan Negeri. Ini duit rakyat. Duit cukai."
Baca Seterusnya......

Taib bakal sempurnakan igauan buruk Najib

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Mulanya, tidak ramai yang meletakkan harapan bahawa perubahan besar bakal berlaku dalam pilihan raya negeri Sarawak. Tumpuan hanya difokuskan kepada beberapa kerusi majoriti pengundi Cina. Masyarakat Melayu-Melanau dan Dayak dianggap sukar untuk mencetuskan reformasi, apatah lagi tsunami politik.

Bumi Kenyalang ini masih dianggap "simpanan tetap" yang selamat buat BN mempertahankan Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Isu lebih terpusat kepada personaliti Ketua Menteri, Taib Mahmud, yang sudah 30 tahun bertakhta, dengan kisah menarik tentang kekayaan luar biasa kaum keluarga dan suku-sakatnya.

Turut dibicarakan adalah penindasan berlarutan dalam isu tanah hak adat Bumiputera (NCR), selain persoalan khazanah negeri yang kaya-raya tetapi tidak mampu menyelesaikan tuntutan mendesak mengenai kemudahan asas dan kemiskinan yang membelit majoriti rakyat Sarawak. Elit penguasa sesuka hati membolot hasil buminya, manakala rakyat, khususnya Orang Asal terus merempat. Pembalakan memusnahkan kampung halaman mereka. Cukup menyedihkan.

Itu suasana sebelum hari penamaan calon, ketika kempen secara rasmi tidak dibenarkan lagi. Bukan sahaja BN dijangka menang mudah, malah tidak sukar untuk mempertahankan majoriti dua pertiga dan meneruskan "kerja zalim" mereka. Untuk memperolehi 24 kerusi pun, bagi menafikan kemenangan selesa BN, Pakatan Rakyat tidak diberikan harapan tinggi.

Selepas lima hari berkempen, tiba-tiba realiti di Sarawak seperti memberikan harapan baru yang lebih segar. Arus perubahan bukan sekitar masyarakat Tionghua. Perdana Menteri, Najib Razak dilaporkan terpaksa bekejar ke Kuching, menyelamatkan BN yang kian goyah, dengan berkempen di sana sehingga hari mengundi. Selalunya hanya Timbalan Perdana Menteri yang berkampung dan mengetuai kempen.

Najib sebenarnya sudah melanggar tradisi apabila turut berkempen dalam pilihan raya kecil Sibu, Mei 2010. Hasilnya, DAP mencipta kejutan. BN terduduk kalah. Sejak pilihan raya negeri 2006, protes pengundi Cina tidak dapat disembunyikan lagi. Ia kemudiannya berjangkit ke Semenanjung dalam PRU12, Mac 2008. Tidak dipastikan apakah Najib mampu mempertahankan kedudukan BN atau menambah-parahkan lagi keadaan.

Antara tugas penting Najib menjelang hari mengundi adalah untuk meyakinkan pengundi Sarawak bahawa Taib memang akan benar-benar berhenti selepas pilihan raya ini. Jaminan itu bagaimanapun disambut dingin, apatah semasa dilafazkan Taib tidak kelihatan pun di sebelah Taib. Pada November 1995, Taib mengumumkan akan berundur dalam masa lima tahun, tetapi sehingga 2011, iaitu 16 tahun selepas itu, beliau masih berkuku, ceria dan gagah di samping isteri mudanya.

(Dalam tulisannya, pensyarah kanan Unimas, Dr Awang Azman Awang Pawi menukilkan: "Pada suatu majlis rasmi parti, beliau (Taib) memakai baju batik yang lengan bajunya disingsing ke siku, bingkas bangun dan bergerak laju ke rostrum dengan penuh semangat. Dari tempat duduk di barisan bawah menuju ke pentas, beliau seakan-akan melompat. Khalayak dari luar Sarawak khususnya dari media Semenanjung Malaysia agak terkejut dengan kelincahannya.").

Menerusi gambar yang disiarkan Utusan Malaysia, Isnin lalu, semasa Najib berkempen di Stadium MBKS, Kuching, sambutan nampak cukup tidak menggalakkan. Banyak kerusi kosong. Pesertanya pula kelihatan memakai t-shirt yang sama, menandakan mereka bukannya "rakyat jelata" tetapi "penganjur bersama".

Esoknya, dalam program konsert 1Malaysia, di Padang Merdeka, Taib menegaskan hanya akan berundur dalam masa "beberapa tahun lagi". Menarik juga jika mahu dianalisis berapa lama sebenarnya tempoh "beberapa tahun lagi" itu, dalam kiraan Taib? Apatah lagi tahap kesihatan dan kecergasannya, terutama selepas beristeri muda, begitu menakjubkan!

Fokus utama Najib bukan sekadar Sarawak tetapi jauh menjangkaui impak buruk buat BN jika Pakatan sekali lagi mencipta kejutan. Kalaupun tsunami belum mampu membadai pantai Sarawak pada 16 April nanti, namun apa jua momentum yang dihasilkan Pakatan nanti dijangka berupaya membangkitkan semangat baru rakyat Malaysia untuk mempercayai bahawa mereka boleh melakukan perubahan besar dalam PRU13.

Najib pastinya sudah bertungkus-lumus untuk mematahkan keyakinan rakyat yang cukup berbahaya itu. Segalanya telah diperkakaskan untuk menimbus segala momentum PRU12; soalnya, apakah Najib akan melihat begitu saja Taib bakal menjadikan beliau sebagai perdana menteri terakhir daripada BN?
Baca Seterusnya......

Usah tersilau ramainya kehadiran ceramah isu video seks

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Hampir semua pemimpin kanan Pakatan Rakyat hadir. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam keadaan agak uzur, tetap bersama kemeriahan malam Selasa lalu, walaupun sekadar membacakan doa dan bertakbir. Puluhan ribu memenuhi Stadium Melawati, Shah Alam. Program solat hajat dan ceramah perdana.

Kontroversi ekoran tohmahan bahawa Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim terbabit dalam video lucah yang ditayangkan Dato' T kepada wartawan terpilih di hotel mewah Carcosa Seri Negara 21 Mac ternyata mengundang padah buat Umno-BN.

Apatah lagi selepas terdedah (dan diakui sendiri) bahawa dalang utamanya adalah Abd Rahim Tamby Chik. Ya, siapakah yang bersedia untuk membersihkan imej bekas Ketua Pemuda Umno itu daripada terpalit teruk dengan isu moral?

Dua tiga orang rakan-rakan yang hadir pada malam itu membuat kesimpulan awal yang hampir sama kepada saya: Suasananya bagaikan mahu mengulangi fenomena Reformasi 1998. Penulis Mohd Sayuti Omar merakamkan: "Bagi penyokong reformasi dan Pakatan Rakyat rugi besar malam ini (28 Mac) kerana tidak ke stadium .... Apa yang berlaku malam ini tak ubah himpunan di sekitar tahun 1998 di era reformasi dahulu."

Daripada awal saya menjangkakan, jika ia semata-mata rekaan, isu ini bakal memerangkap bukan saja Najib Razak, malah BN secara keseluruhannya. Pilihan raya umum ke-13 nanti berupaya menjadi penamat kepada penguasaan BN terhadap Putrajaya. Pengundi Melayu yang pernah mencetuskan undi protes pada 1999, dan seperti "sedikit tertangguh" pada 2008, akan memberikan pengajaran cukup pedih kepada Umno kali ini.

Orang Melayu sukar menerima individu diaibkan sebegitu rupa. Kalau pun bersalah (apatah lagi hanya setakat lemparan fitnah), memang wajar dihukum dan didera tetapi jangan sama sekali mengaibkannya di khalayak umum. Justeru, saya tidak begitu yakin dengan pandangan yang mendakwa bahawa konspirasi ini digerakkan seteru Najib dalam Umno, memandangkan ia bukan saja mampu menjerumuskan Presiden Umno itu ke jurang paling dalam, malah mengheret jatuh dominasinya selama 55 tahun itu.

"Saya perhatikan ramai anak muda membanjiri stadium pada malam itu. Ini juga satu mesej cukup positif buat Pakatan Rakyat. Mereka cukup marah dan pada masa sama begitu ghairah mahu melihat perubahan kepada lanskap politik negara," kata seorang wartawan yang membuat liputan. "Saya yakin mereka sedar dengan tanggungjawab untuk menyingkirkan pemimpin korup yang mengetepikan kebajikan rakyat," tambahnya.

"Ramai berkupiah putih malam tadi, saya rasa majoritinya mungkin penyokong PAS. Anak-anak muda makin percaya kepada PAS, mereka mahu politik yang berakhlak," pandangan seorang rakan lain.

Namun begitu, seperti berdepan situasi lain juga, saya sentiasa meletakkan "keraguan" ataupun membayangkan "suasana paling buruk" yang bakal kita hadapi, berdepan elit penguasa yang mampu memperkakaskan apa saja untuk terus bertakhta. Mood rakyat yang muak dan mual dengan budaya fitnah boleh sahaja dikalahkan dengan taktik lain yang lebih licik dan "berkesan", misalnya melalui manipulasi pendaftaran pemilih membabitkan Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Umno sendiri.

Ketika Pakatan Rakyat sibuk mengatur kempen menyanggah propaganda jahat, agen-agen Umno sentiasa memerhati ruang dan peluang untuk memintas -- melalui sokongan dan bantuan jentera kerajaan -- sekali gus berhasrat menawan kembali negeri-negeri yang terlepas pada 2008, khususnya Selangor. Harakah mungkin berjaya mendedahkan satu dua kes di sekitar Lembah Klang, tetapi mungkin puluhan lagi belum berjaya terbongkar, malah untuk dihidu pun sukar.

Sehari selepas Stadium Melawati diserbu khalayak yang dahagakan maklumat sahih berkaitan isu Anwar, Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin "merayau-rayau" ke beberapa buah sekolah di Ampang dan Kuala Langat, bagi memancing undi. Melalui skrin TV, dalam berita jam 8 malam, saya perhatikan dengan jelas lambang dacing BN begitu menonjol.

Bayangkan, dalam dewan sekolah, sambil mengumumkan bantuan, Muhyiddin melalui acara rasmi kerajaan, giat berkempen memancing undi. Beliau secara terbuka menyelar kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan mengkritik Buku Jingga. Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar lebih jelas lagi dalam ucapannya menegaskan: "Kita perlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi dalam Dun Selangor untuk mengambil alih kerajaan negeri ..."

Dalam gambar yang disiarkan Malaysiakini, saya perhatikan Ketua Umno Ampang, Ismail Kijo berada di atas pentas, di sebelah Noh. Dalam pilihan raya 2008, Ismail kalah kepada calon PAS, Khasim Abdul Aziz, di kerusi Dun Lembah Jaya. Mungkin disebabkan lokasi dewan sekolah itu berada dalam kawasan Dun berkenaan, Noh dalam ucapannya bertanya: "Apakah kita boleh menang Lembah Jaya?"

Jelas sekali, jelajah Muhyiddin (dan juga Najib Razak) ke seluruh negara untuk berkempen memburuk-burukkan Pakatan Rakyat menggunakan sepenuhnya kemudahan kerajaan. Dan Muhyiddin mengakui ia adalah perkara "biasa". "Ia tidak salah. Ia bukan masa kempen pilihan raya," tambahnya.

Ketika saya menulis kolum ini, seorang pembaca menelefon: "Harakah harus lebih agresif dedahkan taktik jahat Umno untuk tawan negeri-negeri Pakatan. Dan ingatkan wakil-wakil rakyat kita supaya lebih dekat dan intim dengan segenap masyarakat. Turun ke bawah, jangan rasa selesa di atas bahawa kita akan menang Putrajaya sedangkan rakyat mungkin marah dengan kita yang tak ambil peduli hal mereka."

Artikel ini disiapkan pada 29 Mac 2011
Baca Seterusnya......