Thursday, June 2, 2011

Pemilihan PAS: Ribut dalam cawan, tapi jangan air tertumpah!

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Pemilihan kepemimpinan PAS kali ini, terutama di peringkat timbalan dan naib-naib presiden, mendapat perhatian agak luar biasa apabila ramai tokoh-tokoh besar bertanding. Bukan sahaja ahli parti dan penyokong Pakatan Rakyat memberi tumpuan dengan penuh minat, malah pihak luar juga lebih tertarik untuk mendekati parti Islam itu. Profil kepemimpinan PAS diteropong, manakala pelbagai analisis dan ramalan dilontarkan.

Perkembangan ini sudah dijangka memandangkan peranan dan kedudukan PAS dalam lanskap politik negara semakin penting, tambahan pula pilihan raya paling kritikal dalam sejarah, bakal diadakan bila-bila masa sahaja.

Apa juga "perubahan" dalam mana-mana komponen Pakatan sudah tentu memberi kesan dan impak kepada barisan oposisi keseluruhannya dalam persiapan berdepan PRU13. Lebih-lebih lagi sokongan pengundi Melayu menjadi rebutan sengit Pakatan dan BN, yang mana PAS dilihat paling banyak bertanding di kerusi majoriti Melayu. Trend pengundian orang Melayu akan diperhatikan secara cermat kerana ia bakal menentukan siapa yang menguasai Putrajaya nanti.

Suasana tambah dramatik apabila di saat-saat akhir menjelang muktamar, semakin ramai tokoh yang bersedia menerima pencalonan. Beberapa calon popular yang sebelum ini mengumumkan tidak akan bertanding, namun berdasarkan situasi mutakhir, termasuk faktor jumlah pencalonan dan pergolakan semasa politik tanahair, telah menimbangkan semula pendirian mereka.

Dalam tempoh singkat, iaitu lebih kurang seminggu sebelum hari pengundian, mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana bentuk "kempen" yang dijalankan di kalangan perwakilan. Sebenarnya, tanpa perlu menguatkuasakan "pantang-larang" atau etika "berkempen", proses pertandingan dalam PAS dianggap tidak lebih daripada "ribut dalam cawan". "Kempen" dan "lobi" merupakan satu istilah yang kerap dipandang secara negatif dalam PAS.

"Cuma, jangan sampai air dalam cawan tertumpah keluar," kata seorang rakan.

"Apakah perwakilan dari seluruh negara dapat mengenali sepenuhnya misi dan visi calon-calon yang menawarkan khidmat?" tanya seorang pemerhati kepada saya. "Sepatutnya Harakah perlu memberi ruang seadanya buat semua calon timbalan dan naib-naib presiden, agar dapat membantu perwakilan membuat pilihan," cadang seorang pembaca. "Jangan terlalu takut atau memandang hanya sudut negatif pada kempen," tambahnya.

Mungkin terdapat ulasan yang tersasar atau agak keras nadanya terhadap kepemimpinan parti, khususnya dalam media baru. Pastinya bermacam-macam cerita (yang sebahagiannya sukar dipastikan kebenarannya) akan didendangkan sekarang. Namun bagi saya, ia tidak sepatutnya merunsingkan ahli-ahli dan juga pemimpin PAS.

Dari sudut positif, selain perlu bersikap terbuka dan berlapang dada, segala kritikan itu terselit harapan besar dan ini juga secocok dengan kempen seluruh negara, "PAS Ganti Umno". Sebagai parti yang kian berkembang, dan didokong aspirasi pelbagai lapisan rakyat, maka pandangan dan teguran itu harus diolah dengan bijaksana. PAS dan juga Pakatan Rakyat sudah menjadi pentakrif penting fenomena politik Malaysia.

Saya akui kita ketandusan penganalisis politik yang dapat memberikan komentar secara adil terhadap realiti PAS masa kini, baik daripada para wartawan mahupun pensyarah di universiti. Malah, selepas era kepemimpinan ulamak 1982, saya sendiri sukar untuk menamakan seorang tokoh akademik yang benar-benar berupaya mendalami perkembangan PAS.

Hinggakan rakan-rakan wartawan agak buntu untuk mencari "pakar tentang PAS", bagi mengulas dengan baik dan seimbang "pergolakan" yang berlaku menjelang muktamar awal Jun nanti.

Muktamar ini juga tidak seharusnya memesongkan fokus utama aktivis parti daripada mengangkat agenda besar dalam sidang perbahasan. Dalam keadaan ramai yang beranggapan ia muktamar terakhir sebelum PRU13, peluang harus dimanfaatkan sebaik-baiknya terutama ketika masyarakat memberikan tumpuan istimewa terhadap potensi dan kekuatan PAS.


"Elok jika ucapan dasar Presiden PAS dapat memandu perwakilan membincangkan, antara lain, isu-isu mengenai keupayaan PAS untuk menggantikan Umno sebagai teras kerajaan alternatif nanti. Orang Melayu sudah muak dan jelak dengan Umno, tetapi dalam masa sama sebahagian mereka masih ragu-ragu dengan kemampuan PAS untuk mempertahankan kepentingan Melayu," kata seorang pensyarah politik.

"Jangan pandang remeh pengaruh alat propaganda Umno, termasuk Utusan Malaysia dan Biro Tata Negara, yang menabur fitnah dan tohmah terhadap PAS. PAS mesti berani dan lantang membicarakan isu-isu Melayu tetapi bukan dengan wajah perkauman. Memang ia nampak sulit untuk diaplikasi tetapi harus diusahakan dengan cermat atas dasar keadilan Islam. Psikologi Melayu yang mudah merasa terancam mesti ditangani dengan bijaksana. Terus-terang saya katakan, sehingga kini, walaupun selepas pemimpinnya lebih kerap bercakap soal keperluan menarik undi orang Melayu, tetapi imej PAS tidak banyak berubah," tambahnya.

"Bagi saya, masyarakat Melayu mungkin lebih sensitif memerhatikan kedudukan dan pengaruh PAS dalam kerajaan Pakatan Selangor dan Pulau Pinang, berbanding penguasaan PAS di Kedah dan Kelantan sendiri," ujar beliau sambil bersetuju dengan pandangan awal saya bahawa PAS merupakan parti paling kritikal tetapi cukup penting untuk diberi perhatian dalam PRU13.
Baca Seterusnya......

PRU13: Slogan tawan Putrajaya merimaskan?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Teka-teki tarikh pilihan raya umum ke-13 timbul lagi. Memang begitulah. Melepasi tempoh tiga tahun penggal Parlimen, selalunya ramalan dan jangkaan tarikh pilihan raya hangat dibincangkan. Bualan mengenainya heboh diperkatakan terutama selepas memerhati gelagat Perdana Menteri yang mempunyai kuasa mutlak untuk mencadangkan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.

Terbaru, ramai menyebut Julai ini, hanya sekitar dua bulan lagi. Nampak macam begitu tergesa-gesa. Saya sendiri agak payah mencari rasionalnya. Tidak mudah BN menghadapi pilihan raya dalam suasana sekarang. PRU13 adalah hidup-mati buat Najib dan BN.

Juga sama penting kepada Pakatan Rakyat. Pertarungan ini perlu persiapan rapi dari segi taktik, strategi dan logistik. Di samping faktor kekuatan, kecenderungan mengundi juga dipengaruhi oleh "siapa yang paling sedikit melakukan kesilapan"?

Apakah Najib Razak, yang pertama kali bakal memimpin BN dalam pilihan raya paling sengit pernah disaksikan di negara ini, yakin bahawa momentum Mac 2008 sudah dimatikan? Mampukah dia mengembalikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan menebus maruah di negeri-negeri Pakatan? Sukar dipastikan apakah petunjuk yang dipegang Najib? Selain itu, dan ini di antara yang terpenting buat jentera BN, bagaimana dengan kantung dana politiknya, yang akan digunakan untuk membeli undi nanti?

Umno juga sering dihantui perpecahan dalaman apabila calon-calon pilihan rayanya dipilih. Begitu juga dengan prestasi merudum komponen BN, yang belum dapat dipulihkan lagi, khususnya parti-parti berasaskan kaum Cina. Pakatan wajar meneliti apakah benar amarah pengundi India terhadap BN sudah diubati?

Selain itu, "peperangan" merebut hati pengundi Melayu tidak seharusnya dibebankan kepada PAS semata-mata. Imej Pakatan di kalangan Melayu -- jika terdapat "gangguan" -- mesti dijernihkan secara bersepadu. Persepsi pengundi jangan diremehkan. Banyak perkara yang bersarang dalam kepala pengundi (sebahagiannya nampak seperti mudah ditepis) harus ditangani dan diperbetulkan.


Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, selain membayangkan kemungkinan tarikh PRU13 berlegar di antara hujung Ogos sehingga Oktober, turut menekankan soal "pertarungan sebenar adalah di kerusi-kerusi yang majoriti pengundinya adalah Melayu".

"Ya, itu satu cabaran dan kita mungkin masih belum melakukannya dengan mencukupi (memberi tumpuan kawasan Melayu). Tetapi kami akan ke akar umbi dan Umno menyedari ini," kata Anwar apabila diwawancara Malaysiakini.

Melaka dan Johor, secara tradisionalnya dianggap kubu BN dan diperkukuhkan baru-baru ini dengan 'mengharamkan' Anwar daripada berceramah di negeri-negeri berkenaan.
"Saya gagal mendapatkan satu permit (polis) pun sekarang untuk berceramah di Johor, kecuali jika ia jamuan makan dengan orang Cina -- ini tidak boleh diterima. Jadi dalam kes ini, Melayu didiskriminasi tetapi Cina tidak," kata Anwar.

Lebih merimaskan adalah manipulasi BN terhadap senarai daftar pemilih. Melalui kerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan juga pihak polis, komplot terancang menjatuhkan Pakatan terlaksana lebih awal sebelum hari mengundi. Berulang kali Harakah membongkar taktik kotor ini, terutama di Selangor dan dipercayai ia juga mensasarkan Kedah. Kelantan turut dimasukkan dalam agenda.

Soalnya, apakah dengan siri pendedahan itu membuatkan konspirasi ini terbantut, ataupun mereka "hanya memekakkan telinga dan buat bodoh sahaja" serta meneruskan tipu-muslihat tanpa segan-silu? Cukupkah satu dua bantahan dibuat kepada SPR, apatah lagi kos hangus yang terpaksa ditanggung cukup besar?

Atau, apa yang kita harapkan dengan perhimpunan raksasa Bersih, 9 Julai depan? Sejauh mana empat tuntutan asas pilihan raya bersih dan adil itu, yang ditambah dua lagi, akan dipenuhi sebelum Parlimen dibubarkan?

Sebagai warga media, saya lebih terdorong untuk memikir dan merencanakan persiapan terbaik Harakah berdepan kempen PRU13 ini. Selain membekalkan maklumat semasa, menjelaskan kekeliruan, mempamerkan perubahan kerajaan negeri Pakatan atau mendedahkan kebobrokan elit penguasa BN, bagi pembaca tertentu, Harakah harus lebih "beremosi" dan mampu "menginspirasikan" transformasi.

Begitu juga dengan tugas sukar membetulkan persepsi, terutama bagi masyarakat Melayu di kampung-kampung, yang berada di luar wilayah tradisi PAS. Harakah dituntut untuk membongkar komplot jahat BN, memerangi penyakit korupsi yang bertambah kompleks dan sukar dikesan undang-undang, tanpa melupai tawaran formula penyelesaian, mengubati krisis sosial, merawati keluh-kesah kenaikan kos sara hidup dan menguruskan secara berhemah khazanah negara; tentunya tidak sekadar membutirkan kembali dokumen Buku Jingga.

Berbanding PRU Mac 2008, kekerapan Harakah hanya dua kali sebulan. Apabila Parlimen dibubarkan, kami terpaksa menerbitkan akhbar tidak berkala, Kempen dan menambahkan halaman Harakah bagi menampung bahan-bahan yang melimpah, termasuk manifesto dan senarai calon. Peningkatan muka surat bermakna penambahan kos cetak.

Agak beruntung waktu itu, tempoh berkempen agak lama, lebih kurang dua minggu. Kuasa siber juga cukup dominan, terutama YouTube, blog dan laman-laman web, menjadikan pengundi selesa mendapatkan informasi daripada dalam bilik tidur sahaja!

Kini, cabaran terbesar Harakah -- selain mempertingkatkan kandungan dan persembahannya bagi menambat hati pembaca -- jumlah edarannya juga mesti dilipatgandakan sebelum tarikh pilihan raya ditentukan. Alhamdulillah, kekerapannya telah dikembalikan kepada dua kali seminggu. Mungkin target 350,000 naskhah seperti dicatatkan menjelang pilihan raya umum 1999 cukup tinggi untuk digapai, tetapi sekurang-kurangnya setiap pelosok dan ceruk rantau harus ditembusi Harakah.

Berdasarkan respons pembaca dan tinjauan rambang, edaran Harakah masih terbatas. Malah terdapat rungutan bahawa pimpinan dan aktivis PAS sendiri seperti tidak memberi sokongan sepenuhnya kepada Harakah. Lidah rasmi parti itu hanya berkembang atas kehendak pasaran, tidak didokong oleh pelan pemasaran yang lebih agresif. Harus diingat sekatan KDN tetap membelenggunya.

Justeru, ada pihak mencadangkan agar kempen meningkatkan pengedaran Harakah disegerakan. Beberapa syor untuk "memasyarakatkan" Harakah telah dikemukakan, termasuk dalam kolum Wacana Budaya Dinsman, dengan mencari dermawan bagi mengagihkannya secara percuma, selain sokongan terbuka pimpinan tertinggi PAS sendiri. Jika Utusan Malaysia (yang kerap menyiarkan "bahan lucah") itu pun diedarkan secara meluas ke sekolah-sekolah melalui penajaan khas, mengapa Harakah harus bersikap apolegetik.

Sebagai permulaan saya menggagahkan diri mengunjungi pimpinan PAS di peringkat negeri, sekurang-kurangnya mendengar sendiri harapan dan mungkin kekecewaan mereka terhadap Harakah. Berbanding KeADILan dan DAP, tumpuan PAS mungkin lebih difokuskan di peringkat Dun. Berdasarkan pengagihan kerusi dalam pilihan raya Mac 2008, hampir di semua negeri, PAS diberi kepercayaaan untuk bertanding paling kerusi negeri.

Di samping mengharapkan ada inisiatif segera mempergiatkan rangkaian jualan Harakah, seterusnya memastikan setiap pengundi mendapat maklumat dan penjelasan, sama ada melalui akhbar bercetak atau versi online, kami di bahagian editorial bertekad untuk memastikan satu lagi sejarah baru politik Malaysia bakal terbentuk dalam PRU13, insya-Allah.

Namun begitu, ingatan seorang pembaca Harakah melalui emel kepada saya elok untuk direnung: "Saya kira, Pakatan Rakyat jangan ghairah sangat sebut hendak tawan Putrajaya atau lantang bercakap menambah bilangan negeri untuk dikuasainya, atau terlalu asyik membincangkan hal pilihan raya. Bukan semua rakyat suka dengan teka-teki tarikh PRU13 ini. Mereka lebih prihatin dengan masalah seharian yang bertindan-tindih, dan mahu segera diselesaikan, termasuk di negeri-negeri Pakatan."
Baca Seterusnya......

Bedah Buku MPH dan kisah tanah runtuh ....

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Petang Sabtu, 21 Mei, hujan lebat sekitar Kuala Lumpur. Semasa tragedi tanah runtuh yang menyayat hati di Hulu Langat, saya berada di kedai buku terkemuka, MPH Midvalley, membicarakan buku Catatan Hujung, yang merupakan koleksi kolum saya di Harakah.

Jarang sekali saya berkunjung ke sana tetapi saya dapat rasakan kedai buku ini begitu damai dan selesa. Ruang pamerannya besar. Kita dapat membelek buku dengan santai.Lebih menarik, senarai buku-buku bahasa Melayunya panjang dan meliputi pelbagai topik. Di antaranya, terselit judul yang sukar diperolehi di toko buku lain.

Dan, pastinya yang istimewa di MPH Midvalley adalah majlis bedah buku. Hari itu, Kemilau Publika diberikan ruang sekitar jam 2-4 petang, mengulas dua buku terbitannya. Selain Catatan Hujung, turut dibedah, buku best seller, Allah is Calling, karya rakan sepejabat, Ustaz Zainuddin Hashim.

Sebelum ini, buku kami juga dibicarakan secara terbuka di Kompleks PKNS, Bangi. Mulanya saya memang agak kekok bercakap soal proses penulisan buku di ruang legar pusat membeli-belah, apa lagi apabila lebih ramai audiennya mendengar daripada jauh sambil melihat-lihat jualan buku. Di Midvalley, kedudukan penontonnya lebih dekat dan mereka agak ghairah menimbulkan persoalan kepada penulis, sehingga program berlanjutan ke jam 5.

Tradisi ilmu seharusnya disuburkan melalui pelbagai kaedah dan pendekatan. Selain memberi dorongan atau menyediakan prasarana intelektual yang kondusif bagi melahirkan karya-karya bermutu tinggi, memecahkan kejumudan-kegelapan dan menggugah pemikiran konvensional, maka budaya membaca juga mesti dipupuk dan dibajai.

Meneliti rak-rak buku di ruangan Mutiara Minda (khusus untuk judul bahasa Melayu) MPH Midvalley itu, saya terkesan bahawa topik yang diketengahkan semakin pelbagai. Paling kurang, design muka depannya begitu mengujakan, selain ada percubaan berani penerbit tertentu untuk lari daripada tajuk-tajuk popular yang sedia digemari pembaca.

Memanfaatkan peluang yang tidak selalu datang di tempat seumpama itu, saya menekankan beberapa isu yang sering mewarnai tulisan saya seperti kebebasan media, pergolakan dunia kampus, dan proses pendemokrasian, di samping perkembangan politik semasa, yang tentunya tidak dapat lari daripada menyentuh pilihan raya umum ke-13.

Beberapa pengunjung bukan Melayu dilihat tertarik (berdasarkan riak wajah dan anggukan kepala berulang kali) apabila dikemukakan hujah tentang keadilan sosial, pengagihan kekayaan secara merata, akauntabiliti dan integriti, juga isu-isu korupsi yang semakin menjadi-jadi.

Ustaz Zain sebagai pengacara, selepas "berceramah" pendek tentang bukunya, bijak menimbulkan bab-bab tertentu dalam buku saya, misalnya isu pembinaan Istana Negara yang baru dan penipuan dalam proses pilihan raya.

Projek Istana Negara bukan sahaja kecoh di peringkat awal, dari segi pemilihan kontraktor (yang tidak berpengalaman) secara rundingan (bukan tender terbuka), termasuk kos awal lebih RM1.1 bilion, malah ia juga dikatakan menjadi punca Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato' Sri Judin Abd Karim -- yang dikenali sebagai pegawai awam berintegriti tinggi dan bersih daripada rasuah -- cuba diaibkan melalui perpindahannya ke posisi lebih rendah di CIDB.

Apa pun, rasa puas hati saya selepas majlis bedah buku itu terpancung selepas mendapat SMS insiden tanah runtuh di Sungai Semungkis, Batu 14, Hulu Langat itu. Cerita suka duka insan bersilih ganti dan kerap menerpa tanpa isyarat awal. Mungkin saya perlu membukukan catatan sisi-sisi kehidupan yang lebih membekas di hati dan emosi pula.

Dua hari sebelum itu, saya turut terganggu dengan makluman mengenai nasib dan masa depan tidak menentu portal berita Merdeka Review. Kebetulan saya mengenali editor bahasa Melayunya, Lim Hong Siang. Meskipun edisi bahasa Melayunya hanya menyiarkan dua tiga laporan setiap hari, namun bagi saya, ia suatu laman yang cukup istimewa.

Analisis (kebanyakannya diterjemahkan daripada edisi bahasa Cina) dan wawancara eksklusifnya begitu menarik dan memang mempunyai kelainan. Justeru, tidur saya pada malam 20 Mei itu terusik kerana terbayangkan masalah berat yang dihadapi mereka; kekurangan dana yang memungkinkan ia ditutup, jika tiada dermawan yang bersimpati.
Baca Seterusnya......

Blog Archive