Tuesday, February 21, 2012

Nilai tulus persahabatan ...

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Tarikh pilihan raya umum sudah hampir boleh diteka dengan tepat. Ia tidak mungkin melewati bulan Ramadan; mungkin Parlimen dibubarkan, paling lewat, sehttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhF9fpXGLepAM8gPI8AXbCUKOsbQh99nXwUfMlE7NSmL7RiGKR5_KO985wsmKz4NFxmuuP9_kx2pi-tjFTHgXlAznmBk_YLD_XAnehV5X6r8GhfCd1YOLMRgJLoM96VM8x18mjdMLUk40I/s1600/jpg.jpgkitar awal Jun. Aroma pelbagai insentif one-off yang riuh diagihkan sekarang akan hilang jika PRU13 ditunda lagi.

Najib Razak hanya menunggu isu-isu sensitif seperti lembu fidlot dan skim baru perkhidmatan awam dapat diredakan, kalaupun tidak dilangsaikan. Saya kira, buat Pakatan Rakyat jangka masa sehingga pertengahan tahun ini memadai untuk memperkukuh persiapan. 

"Yang pasti, satu isu  besar, dan nampaknya mustahil dapat diselesaikan Najib ialah karenah isterinya, Rosmah Mansor," kata seorang veteran Umno. "Ramai kenalan rapatnya sendiri turut bangkitkan hal 'wanita pertama' itu tetapi mereka sendiri tahu, Najib tidak boleh buat apa-apa," tambahnya.

Dalam nota pendek ini saya tidak berhasrat mengulas isu-isu semasa yang panas membahang. Biarlah cuti sekejap bercakap hal-hal politik, 'kan?

Bagaimanapun, reaksi A Kadir Jasin tentang potensi PAS di Johor, khususnya selepas Naib Presiden, Salahuddin Ayub dikatakan bakal bertanding di kampung halamannya, agak menarik.

"Kalau PAS benar-benar mahu menjadi parti Melayu/Islam kebangsaan dan alternatif kepada Umno, haruslah mengembangkan sayapnya ke semua negeri, apatah lagi Johor yang berupa negeri Melayu dan kubu Umno. Sekiranya PAS berjaya menembusi hatta sedikit sahaja kubu terakhir Umno itu, ia sudah boleh dianggap sebagai kemenangan moral yang besar," tulisannya dipetik.

Oops... politik juga jadinya!

Saya cuma teringatkan seorang rakan baik, pernah tinggal serumah di Keramat Wangsa, selepas kami belajar di UTM, Jalan Semarak, pertengahan tahun 80-an.

Jika saya pelajar kejuruteraan awam, beliau lepasan kejuruteraan elektrik. Namun, dia memilih untuk membantu saya mengusahakan penerbitan politik secara kecil-kecilan, dengan mengedarkan makalah tidak berkala itu di sekitar Kuala Lumpur, berbekalkan sebuah motosikal buruk.

Risiko agak tinggi terutama terdedah kepada rampasan polis disebabkan tidak mendapat keizinan penguasa. Permohonan permit majalah ditolak mentah-mentah KDN. Kebetulan sejurus saya menyerahkan borang majalah Kini, saya dikurung ISA, ekoran demonstrasi mahasiswa Universiti Malaya.

Apa pun, menulis tetap menulis, berkarya tetap berkarya. Bahan yang kami terbitkan, di antaranya tentang Operasi Lalang 1987, Peristiwa Memali dan pemecatan Tun Salleh Abas; tajuk-tajuk yang dikira cukup sensitif dan membakar amarah elit pemerintah.

Ia sekadar dapat membayar sewa apartmen dan mengalas perut. Perit tetapi seronok. Pedih namun puas. Rupanya bukan saja halangan KDN yang terpaksa dilalui, tetapi juga sikap pekedai buku dan para pengedar di seluruh negara yang cukup liat membayar.

Terlintas dalam fikiran, bisnes bukan dunia kami. Tapi tiada penerbit mahu menyanggupi usaha penuh bahaya itu. Asalkan mesej dapat disalurkan biarpun terpaksa berhutang dengan rakan-rakan yang memahami. Keperluan seharian tidaklah banyak. Ya... kami masih bujang.


Sahabat saya itu kemudiannya memilih kerjaya perguruan. Saya tetap degil dengan alam penerbitan. Jatuh dan bangun. Sihat dan uzur.

Masa berlalu pantas. Pertengahan 2010, sebaik mengetahui saya menjalani pembedahan pintasan jantung, dari Lumut, dia dan isteri segera berkunjung ke rumah. Saya masih sukar berbicara, lemah pergerakan, namun cukup menghargai ziarahnya.

Matanya tetap memancarkan keprihatinan  dan  ketulusan. Lebih penting, saya dapat menikmati erti persahabatan yang tidak pernah surut. Agak gelisah dia melihat situasi saya yang uzur. Sebelum pulang, ada titipan ditinggalkan. Dia amat memahami.

Selepas dua minggu, dia datang semula dengan seorang yang diperkenalkan sebagai pengamal perubatan. Dia mahu membantu saya pulih segera. Banyak juga ubatan dibawa bersama, berkotak-kotak. Saya cuba menjelaskan, pemulihan saya akan memakan sedikit masa dan tak memerlukan rawatan alternatif.

"Jangan risau soal bayarannya, anta dah banyak bantu ana," katanya, ketawa, mungkin dapat menyelami kebimbangan saya. Kemudiannya saya mendapat tahu kos mencecah RM10,000. Beliau hanya seorang guru dan nilai sebanyak itu tentulah besar maknanya. Difahamkan dia terpaksa meminjam demi saya. Saya terkedu dan terharu...

Seingat saya, semasa kami sama-sama mengusahakan penerbitan, dia tidak pernah mendapat gaji yang sepatutnya. Maknanya, bukan saya membantunya, tapi dia yang meringankan bebanan saya. Motor buruknya berjasa besar memasarkan buku di sekitar Lembah Kelang. Banyak juga buku-buku yang dihantar melalui pos tidak mendapat pulangan bayaran.


Ketika saya bertemunya di Setiawan baru-baru ini, dan kami bercerita panjang kisah lampau, dia minta disampaikan tiga sampul surat kepada dua rakan, selain saya sendiri.

Dalam kereta, ternyata surat tadi terselit beberapa keping not RM50. Dia mahu dihalalkan apa yang telah saya sumbangkan 25 tahun lalu. Dua rakan lain itu juga mendapat surat sama, dan wang tunai. Mereka sendiri sudah lupa tentang urusan membabitkan duit dengan sahabat baik saya itu.

"Rasanya dia tak berhutang apa-apa, mungkin ada majalah yang saya terbitkan, yang diedarkannya. Teliti dan cermat sungguh kawan kita itu," kata rakan saya, kini wartawan kanan sebuah akhbar harian, dahulunya sama-sama meneroka dunia kewartawanan baru di Harakah.

Saya turut terlintas, bakti dan tulus seorang pimpinan kanan PAS yang membiayai tiga operasi angioplasti, bernilai hampir RM55,000, sebelum saya dikehendaki melalui pengalaman bypass surgery, pertengahan tahun 2010.

Semasa ingatan saya masih belum lupa dengan karenah kawan-kawan, termasuk  yang baru dikenali, yang cuba mengambil kesempatan di atas keuzuran kita, rupanya tetap berdiri sahabat sejati, yang begitu mengambil berat, mendorong semangat dan kerap menadah tangan, berdoa buat kesejahteraan dunia dan akhirat.
Baca Seterusnya......

Peniaga akhbar lama dan pemandu teksi Cina

Oleh Ahmad Lutfi Othman


Tengahari Isnin lalu, pintu pagar kediaman saya digoncang kuat. Seorang peniaga akhbar lama tercegat menanti. "Harga sehttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjpKOG-tcMSVVDIZPoKxMbzd3WFBqq8P3L1pBlfgxho8Vqr6SNQcibTN55fMNdlHfLbXT91AHKQlyL5PQn_x5pCWkGGCPQSdgEjfKnfAz44Pc6ijlWSN2O11EWqXDgtxQ6g_X6GkdgZR3hX/s1600/newspaper.jpgkarang turun sikit, tapi untuk taukeh kita kira harga lama," katanya, merujuk timbunan suratkhabar lama setinggi enam kaki di halaman rumah.

"Okey, ambiklah," balas saya selepas mengecam lelaki Tionghua dalam usia 30-an itu. Dia bagai pembeli tetap akhbar dan majalah lama saya.

"Harakah? Ini PAS punya, ya?" tanyanya menunjukkan minat, sambil membelek naskhah terbaru di buaian besi, berdekatan pintu rumah.  "You baca Harakah?" tanya saya. "Saya orang roket," jawabnya pantas, tanpa selindung.

Sambil beliau menyusun akhbar lama secara tertib, kami bersembang santai isu-isu politik. Ternyata dia mempunyai minat yang tinggi tentang perkembangan semasa.

"Ada minta bantuan RM500?" saya menduganya. "Tak mahulah, lagi pun belum tentu dapat, ramai juga kawan-kawan saya yang susah mohon, tapi tak berjaya,  yang senang, ada bas, dapat pula, " katanya.

"You sudah kaya, kot?" usik saya. "Tak adalah ... boleh cukup makan aja, tapi biarlah orang lebih susah dari saya yang dapat," jawabnya, jujur. Saya agak terkedu mendengarnya.

"Kerajaan bukannya ada duit, saya dengar Najib guna EPF untuk beli undi, nanti rosak teruk ekonomi kita," tambahnya lagi.

Mungkin menyedari saya mempunyai minat politik yang sama, lelaki yang kaya dengan senyuman dan berwajah ceria itu ghairah bercerita: "Saya kenal rapat dengan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai." Dia merapati saya, bangga menunjukkan telefon bimbitnya, "tengok ini nombor Tan Kok Wai, dia selalu jawab call saya kalau dia tak sibuk".


Seterusnya dia nampak seronok berbicara tentang  kesederhanaan hidup Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. "Kawan-kawan saya di Penang suka dengan kerajaan negeri. Rakyat yang susah ditolong, wakil rakyat tak cari untung sendiri," katanya. "Saya ingat, kalau menang Putrajaya lagi senang kita cari makan ... tapi lagi lama BN perintah, negara boleh bankrap," tambahnya.

"Kali ini, kita mesti ajak semua kawan-kawan, adik-beradik, sama-sama undi roket, undi bulan," katanya, sambil memegang tangan saya dan menunjukkan lengannya. "Jangan kira apa warna kulit atau agama, kita kena tukar kerajaan. Ini bukan soal bangsa, kita mesti ubah Putrajaya,"    

Bukannya dia tidak tahu saya Ketua Pengarang Harakah, lidah rasmi Parti Islam, namun kesungguhannya berkempen membuatkan saya agak tersentak. Tentulah sama sekali dia tidak meragui siapa yang akan saya undi dalam PRU13, tetapi ia tidak menghalang untuknya meyakinkan saya bahawa era BN mesti ditamatkan.

Ini bukan kali pertama saya bertemu lelaki Cina yang begitu obsesif dengan perlunya perubahan besar dalam pilihan raya akan datang. Ketika saya kerap berulang-alik ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Bandar Tun Razak, Cheras, hampir semua pemandu teksi Tionghua yang saya temui menzahirkan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat.

Malah, seperti peniaga akhbar lama tadi, sekiranya diajak berbual tentang politik, mereka seperti mahu berkempen menolak BN. Kecondongan undi mereka bukan lagi perkembangan luar biasa tetapi hujah yang diberikan ada kalanya menakjubkan, jika diambil kira latar belakang kerjaya sebagai pemandu teksi.

Pernah pada suatu pagi Ahad, semasa menunggu isteri dan anak-anak melawat Taman Rama-Rama di Taman Tasik Perdana, saya mendengar celoteh seorang pemandu bas pelancong, juga seorang lelaki Cina, awal usia 30-an  dengan kerani tiket di kaunter.

Dia seperti bersyarah ringkas tentang rasuah kepada dua wanita, seorang Melayu  dan seorang lagi India, sambil mengelek sebuah buku. Tidak pasti  apa tajuk buku tersebut. Sesekali dia menyebut rasuah dalam bahasa Arab, rasywah; mungkin merujuk kepada kandungan buku yang sesekali ditatapnya.

Semasa saya mengiringi Adun Lembah Jaya, Khasim Abd Aziz, pertengahan Januari lalu, untuk menyampaikan sumbangan Harakah sempena Tahun Baru Cina di kawasan sekitar, sambutan masyarakat Tionghua begitu menggalakkan. Saya perhatikan jiran-jiran penerima sumbangan melambai tangan penuh keriangan  ketika kereta kami melintasi rumah mereka.

Isteri saya menegur, mengapa kami tidak memberhentikan kereta sekadar menghulur limau mandarin, tanda membalas respons positif mereka. "Ramai orang Cina sekarang nampak hormat kepada wanita bertudung labuh," kata isteri saya, "dan mereka faham budaya kita seperti tidak bersalam dengan lelaki."

Sebenarnya fenomena (ada yang menyifatkannya sebagai keghairahan) pengundi Cina menolak BN sudah dijangka, malah mungkin dalam skala lebih berbesar, berbanding PRU12 yang mencetuskan tsunami politik ketika itu.

Banyak pihak meramalkan, termasuk badan-badan penyelidikan, bahawa  beberapa kerusi campuran milik BN, misalnya Pandan dan Raub,  yang mana pengundi Cina menjadi penentu, akan dikuasai Pakatan dalam PRU13.

Jika dalam Pilihan Raya Umum 1999, pengundi Cina dikira menjadi penyelamat kepada kerajaan BN (dan hakikat ini diakui sendiri Dr Mahathir Mohamd) yang dicabar hebat Barisan Alternatif, ekoran pemecatan Anwar Ibrahim, maka pada "ibu segala pilihan raya" nanti, tumpuan diberikan kepada pengundi Melayu.

Apakah kecenderungan mengundi mereka, terutama di kampung tradisi dan penempatan Felda, tidak akan banyak berubah seperti 2008 dan dengan itu menjadi sandaran bukan sahaja kepada pemimpin Umno, malah parti komponen BN yang lain? 

Tidak hairanlah apabila Pengerusi KeADILan Johor, Chua Jui Ming menjangkakann rakan lamanya, Dr Chua Soi Lek, akan bertanding di kersui majoriti Melayu pada PRU13, sambil mendakwa Presiden MCA itu tidak mampu mendapatkan sokongan pengundi Cina.

Sementara itu, seorang rakan karib, wartawan kanan akhbar harian popular mengingatkan saya tentang keperluan PAS dan Harakah melipatgandakan lagi usaha penerangan bagi mengubah persepsi sebahagian pengundi Melayu yang dilihat agak sukar untuk berubah.

Beliau mendakwa, menurut sumber Umno, kerajaan Pakatan Selangor mungkin goncang disebabkan beberapa faktor. Selain manipulasi senarai daftar pemilih yang begitu menjolok mata, yang menyaksikan penambahan ketara pengundi sehingga 35 peratus, isu Dr Hasan Ali juga tidak boleh diremehkan.

"Kalau semua orang kenal siapa Hasan Ali memang mudahlah kerja PAS, tetapi isu yang dibangkitkannya, seperti dakwaan penguasaan DAP dan PAS yang dicucuk hidung, boleh meracuni pemikiran pengundi Melayu yang masih terkepung dengan sentimen perkauman.

"Saya yakin hujah basi Hasan Ali itu dari segi jangka panjang, ia langsung tidak relevan, tetapi untuk PRU13, yang bakal berlangsung bila-bila masa, peralihan undi yang kecil mampu merubah sebuah kerajaan. Kekhuatiran tidak berasas tentang kuasa politik Melayu yang kononnya terancam bukan hanya mempengaruhi orang kampung tetapi juga sebahagian kelas menengah," tambahnya lagi.

Saya secara peribadi bersetuju dengan ingatan bahawa PAS mesti memberikan perhatian khusus untuk menangani "kebimbangan tidak berasas" itu. Dalam politik, persepsi ada kalanya mengatasi fakta, apatah lagi jika  ia tidak disanggah dengan berkesan.

"Semasa masyarakat Cina dilihat berbondong-bondong, malah tidak sabar lagi, untuk memberikan sokongan kepada Pakatan dalam PRU13, dan ini tentunya memberi kelebihan kepada DAP, dan juga KeADILan di kawasan tertentu, maka amat malang kepada PAS jika konstituensi tradisinya yang berakar kepada sokongan orang Melayu  tidak turut serta dalam gelombang besar itu," hujah panjang rakan saya itu.

Beliau seterusnya merujuk ramalan penganalisis politik, Ong Kian Ming bahawa PRU13 tidak akan menyaksikan tsunami seperti yang diharapkan oleh Pakatan Rakyat bagi membawa mereka ke Putrajaya.  "Saya rasa unjuran Ong itu lebih realistik," kata rakan saya

Ong berkata, bagaimanapun, keputusan berkenaan akan menyediakan pentas bagi Pakatan mengambil alih kerajaan pada PRU14. Tambah Ong, dalam PRU13 nanti BN tidak akan mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen, mereka juga akan kehilangan kerusi di Johor, Sabah dan Sarawak, selain tidak mampu merampas kembali Selangor.

Kelihatan rakan saya itu tertarik dengan kesimpulan Ong: "PRU13 adalah permulaan bagi BN kehilangan kuasanya."

Bagaimanapun, saya kira aktivis Pakatan, terutama penggerak PAS, pastinya tidak mudah mengalah "sebelum berjuang". Ramai tidak sanggup untuk menunggu lebih lama menyaksikan Putrajaya beralih terajunya. PRU14 dianggap terlalu lama dan "macam-macam boleh berlaku" dalam tempoh itu.

PRU13 masih dilihat sebagai medan paling berpotensi buat Pakatan mencipta sejarah Malaysia Baru, yang bebas daripada penguasaan Umno-BN dan cengkaman zaman gelap-gelita korupsi, salahguna kuasa dan ketamakan kroni suku-sakat membaham khazanah kekayaan negara.

Jika benar sejumlah pengundi Melayu, yang tidak kecil jumlahnya itu, terus dapat diperdaya dakyah pemimpin Umno, ia harus dilihat sebagai cabaran terbesar untuk "dilangsaikan". Jarum-jarum halus perkauman yang dikira mampu "membingungkan" mesti ditangani secara bijaksana.

Dalam masa sama, aktivis PAS akar umbi, yang berada di segenap pelosok tanahair wajar memainkan peranan sepertimana peniaga akhbar lama dan pemandu teksi yang saya temui itu. Mereka mungkin bukan ahli parti pun tetapi mempunyai kesungguhan semulajadi untuk menjadi agen perubah dan tidak rela melihat BN memerintah lebih lama lagi.  

 ------

NOTA: Harakah akan menziarahi 12 keluarga tahanan ISA di Tawau; sebarang sumbangan boleh disalurkan terus kepada akaun Maybank HARAKAHDAILY DOT COM 564070000336

Baca Seterusnya......

Umno di ambang sakratulmaut: Najib ada kuasa misteri?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Walaupun saya lebih cenderung dengan pendapat bahawa tarikh pilihan raya umum ke-13 tidak akan berlaku dalam waktu terdekat, namun ia bukan bermhttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEifacAta_7jn78xof1YTqEtnSQZtRST7CZG7qRTj2CrclU1TZzB0gkuE_5N2TXwKFn4wwqgpJHXygOs5dvs_Leb4Da3ha6rUxaqK0YAl5Cc6WgUAlAkbHlTinu2DMM8NJbEfeHZNixKmqk/s400/keranda+UMNO.jpgakna segala persediaan intensif jentera Pakatan Rakyat selama ini boleh dikendurkan.

Ia harus dilihat sebagai suatu peluang terakhir untuk memperkemas persiapan berdepan "pertarungan paling sengit yang sukar dijangkakan". Rata-rata pemerhati berpendapat PRU13 adalah kesempatan terbaik buat rakyat Malaysia menukar kerajaan persekutuan -- potensi yang tidak pernah dinikmati generasi sebelum ini.

Selaku orang paling berkuasa untuk menamatkan teka-teki yang berlanjutan sebegitu lama, Perdana Menteri Najib Razak pastinya begitu teliti dan cerewet memilih tarikh keramat itu. Berbanding presiden Umno dan pengerusi BN sebelum ini, beliau berada dalam posisi paling sukar. Survival Umno-BN berada di tangannya.

Malaysian Insider mendedahkan, sumber BN berkata pentadbiran Najib percaya terlalu berisiko untuk mengadakan pilihan raya umum sekarang disebabkan isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan soal kenaikan gaji untuk 1.4 juta kakitangan perkhidmatan awam (SBPA). Tarikh yang difikirkan sesuai adalah seawal separuh kedua tahun ini.

(Ketua Umno Cheras, Dato' Syed Ali Alhabshee berkata kontroversi NFC perlu diselesaikan sebelum PRU13: "Jangan salahkan rakyat jika mereka beralih sokongan disebabkan kegagalan kerajaan menangani isu berkaitan kepentingan umum termasuk NFC.")

Sesungguhnya suara dan kehendak rakyat selepas tsunami 8 Mac 2008 tidak mudah ditelah lagi. Selepas empat tahun menang besar pada 21 Mac 2004, Abdullah Ahmad Badawi ternyata gagal membaca mesej dan isyarat akar umbi. Belum sempat mengubati duka ekoran tamparan hebat keputusan PRU12, beliau dipaksa turun oleh rakan-rakan rapatnya dalam Umno.

Meskipun seorang perdana menteri dibantu pelbagai kemudahan strategik (tidak terkecuali agensi perisik) dan sokongan kewangan yang melimpah, juga dengan bantuan penasihat sekeliling pinggang, ia belum menjamin kelangsungan hayat gabungan parti yang diterajuinya.

(Ironinya, seringkali berlaku, bagi mana-mana regim yang meniti sakratul maut, seperti yang menimpa Suharto dan ramai diktator di Timur Tengah, perhitungan di waktu kritikal kerap tersasar. Keputusan yang dipilih sebenarnya makin mempercepatkan lagi kuasa rakyat meratah kerakusan mereka).

Jika Abdullah boleh tertipu dengan petunjuk di sekitarnya, sehingga gagal memahami realiti dan menangkap maksud simbol-simbol di hadapannya, apakah hebatnya Najib untuk tidak mungkin mengulanginya lagi?

Memang situasi yang dihadapi Abdullah dan Najib itu berbeda.

Abdullah dan sekutunya (termasuk anak menantu dan perancang kempen di Tingkat 4 Jabatan Perdana Menteri) terleka dan dibuai kemenangan gemilang 2004, serta langsung tidak menduga rakyat Malaysia bijak menggunakan kesempatan dalam kotak undi. Malah pembangkang sendiri tidak membayangkan akan memperolehi sokongan luar biasa itu. Semuanya terkedu.

Najib sekarang amat menyedari bahawa Putrajaya bakal terlepas tangan jika tiada langkah berkesan diambil. Justeru, bermacam-macam program politik dilancarkan. Jentera BN mungkin memposisikan dirinya dalam kedudukan atau senario paling buruk, iaitu hilang kuasa di peringkat persekutuan -- situasi paling ngeri yang tidak pernah dialaminya.

Bukankah Najib pernah melafazkan ikrarnya di hadapan perwakilan Umno, yang ditonton rakyat Malaysia secara langsung, untuk mempertahankan Putrajaya sehingga "titisan darah terakhir"? Jika kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 langsung tidak dapat dihidu, apakah tidak mustahil strategi Najib kini juga belum dapat dijejak?

Bagi parti pemerintah yang tidak pernah kalah sejak merdeka 55 tahun lalu, ikrar seumpama itu besar sekali implikasinya. Ya, masakan Najib hanya menunggu takdir menelannya? Pastinya segala yang boleh diperkakaskan untuk mempertahankan kuasa demi menjaga kepentingan yang begitu banyak, akan dilibatkan, biar setinggi mana sekali pun nilai kosnya.

Najib tentu tidak mahu -- walaupun sekadar untuk membayangkan -- memimpin Umno tanpa merangkul erat kuasa politik. Sebenarnya, kalaupun BN belum ditakdirkan tumbang, tetapi dengan mengulangi prestasi buruk Abdullah pada 2008, ia sudah cukup untuk memaksa Najib berundur lebih awal. Dan saya tidak dapat bayangkan situasi Rosmah Mansor ketika itu!

Timbalannya, Muhyiddin Yasin, sudah berpengalaman melakukannya dengan berkesan sekalai terhadap Abdullah dahulu dan pasti tidak melepaskan peluang untuk mendesak Najib mengaku kalah. Dr Mahathir Mohamad tentu boleh membantu Muhyiddin ....

Jatuhnya Kedah, Selangor dan Pulau Pinang (serta Perak, sebelum tiga Adun Pakatan disogok Najib) pada 2008 cukup memeritkan. Dr Mahathir berkali-kali mengingatkan ahli-ahli Umno, bagi mengelak pertembungan merebut jawatan dalam parti, apa ertinya menang dan terpilih sebagai pemimpin Umno sekiranya parti itu kalah dalam pilihan raya. Umno tanpa kuasa akan hilang seri, bisa dan segalanya.

Rakan saya, Zulkifli Yahaya memberi satu analogi menarik: "Umno ibarat mitos orang tua yang membela hantu raya. Pemilik hantu raya kelihatan gagah dan bergaya adalah kerana hantu raya yang menumpang dalam dirinya atau dia yang menumpang hantu raya. Sama-sama menumpang, macam BN yang bertenggek pada kekuatan kerajaan pusat. Kekuatan Umno ialah kerajaan. Tanpa kerajaan Umno sudah reput dan berkubur."


Kelebihan Najib berbanding Abdullah adalah daripada segi kewaspadaannya yang tinggi. Setiap rentak dan langkah, malah diam dan bicaranya pun diperhitungkan terlebih dahulu natijah politiknya. Abdullah masih berbekalkan mood bulan madu 2004 bila berdepan PRU12. Langsung tidak terbayang majoriti dua pertiga BN di Parlimen akan dinafikan, apatah lagi lima negeri turut tumbang.

Pelbagai janji, tawaran dan komitmen pembaharuan Abdullah hanya manis di bibir. Beliau tidak menyangka majoriti rakyat hanya menunggu masa untuk menghukumnya.

Kini, Najib melihat beliau masih ada peluang untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat. Jika wang perlu ditabur lebih banyak, seperti diamalkan melalui bermacam-macam insentif 'one-off' sekarang, maka segalanya akan dihambur.

Peduli apa jika negara bankrap kerananya nanti, asalkan kuasa masih di tangan, khazanah kekayaan menjadi harta sendiri. Bukankah selama ini pemborosan dan pembaziran menjadi kelaziman untuk habuan kroni dan suku-sakat? Justeru, apalah yang mahu difikirkan sangat untuk sesekali "bersedekah" buat rakyat bagi meraih kembali sokongan yang mula menghilang itu? Najib faham benar keberkesanan politik wang.

(Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan amalan korupsi dan kapitalis kroni oleh BN yang akan menjadikan negara ini muflis dan bukannya konsep negara berkebajikan yang dibawa Pakatan Rakyat).

Cuma, mampukah Najib mengekang budaya ceh keting di kalangan pemimpin Umno selepas mengetahui nama mereka digugurkan sebagai calon PRU13 nanti, satu fenomena biasa dalam setiap kali pilihan raya? Difahamkan Najib ada taktik tertentu (mengulangi kaedah Mahathir) untuk memastikan kesetiaan itu berkekalan. Fail-fail rahsia pemimpin Umno yang berada di atas meja Perdana Menteri akan dijadikan bahan tarik tali atau umpam menjinakkan kemarahan tidak terpilih sebagai calon.

Apa pun saya kurang yakin ia berkesan mengubati derita Umno. Parti itu akan terus bergolak apabila tiba "bab kuasa". Tiada ubat mampu menyembuhkan penyakit kronik itu. Justeru, strategis Pakatan harus pintar menambah-parahkan lagi luka tersebut. Zulkifli Yahaya menyuntik idea: "(Untuk) menjana perpecahan dalam Umno, maka projek ala Trojan Horse mesti digerakkan secara berperancangan serta bersungguh-sungguh di semua peringkat jentera pilihan raya parti. Jangan biar perpecahan dalam Umno hanya berlaku secara kebetulan. Maksudnya perlu sediakan tenaga dan bajet untuk 'melicinkan' lagi perpecahan itu."

Dalam satu majlis makan malam mengutip dana PRU13 untuk PAS Pokok Sena, ketua Mahfuz Omar, yang juga Naib Presiden PAS, membayangkan bahawa berbeda pilihan raya sebelum ini, PRU13 ditunggu-tunggu rakyat. Ramai sudah memutuskan siapa yang akan diundi.

Berbeda pandangan seorang pensyarah sains politik, pengundi kali ini lebih cermat dan menghargai hak mereka. "Rakyat mengundi bukan lagi dengan sentimen, mereka menilai banyak sudut, terutama keuntungan yang bakal mereka perolehi. Mungkin orang yang kita nampak seperti penyokong kuat BN tetapi semasa mengundi akan menyokong Pakatan, begitu juga sebaliknya," katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan aktivis Pakatan Rakyat bahawa "ibu segala pilihan raya" ini terlalu getir dan bakal memakan korban besar. Ingatannya itu dituturkan oleh banyak pihak lain, namun saya tertarik dengan penekanannya, iaitu apa yang selalu saya ulangi: "Umno-BN dan Najib tidak leka lagi. Mereka sudah bersedia dengan serangan hendap dan penembak tepat. Najib tidak akan ulangi kelalaian Pak Lah."

Namun, di atas segalanya adalah kehendak dan nurani rakyat. Apakah mereka, khususnya pengundi Melayu, mudah digula-gulakan lagi semasa kempen nanti, atau tekad mengimpikan perubahan tetap menyala biar Najib bersedia mempertaruhkan segalanya untuk survival kerjaya politik dirinya dan BN?

Saya tetap berdegil untuk mengingatkan diri sendiri bahawa Pakatan, khususnya PAS, perlu lebih bekerja kuat berkali lipat, dengan strategi dan pendekatan berkesan, bagi mengubah persepsi masyarakat Melayu-Islam. Saya masih risau dengan kecenderungan pengundi Melayu di kampung-kampung tradisi dan penempatan Felda misalnya, tetapi tetap yakin bahawa ruang dan peluang tetap terbuka luas untuk dimanfaatkan.

Baca Seterusnya......

Kini bola di kaki Ustaz Azizan ...

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Ketika saya tiba di rumah Ustaz Azizan Abd Razak, di Sungai Limau, Yan, seawal jam 9 pagi Tahun Baru Cina, 23 Januari lalu, sudah ada tiga aktivhttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhxDta54kKjxtnqTA-VndWaZAJjr1x2bzDD-eOsNKdeAN2wUgkXbBzzYggfCjwYiTsEIkjUb7S22j7RcXlXhXl8lCJWfrZrr0yY3ui9ZkpAchTSsBKHp9Oo80esCp9yFIN7Kl2FHF3VsfSx/s320/azizanabubakar.jpgis PAS tempatan bersembang santai dengan Menteri Besar Kedah itu. Suasana ceria. Sekali imbas umpama murid dengan tok guru, juga bagai rakan dengan sahabat lama.


Sesekali perbualan mereka, yang banyak menyentuh cerita-cerita lama, disulami gelak-ketawa yang menyenangkan. Saya tumpang seronok mencuri dengar kisah lama Ustaz Azizan. Wajahnya jelas terpancar kelegaan meskipun banyak isu-isu panas Kedah diperdebatkan di peringkat nasional. 

Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid membisikkan, "beginilah keadaan Ustaz jika bercuti di rumahnya". Sambil mempelawa saya duduk di ruang tamu yang agak sempit, hanya dihiasi rak-rak buku dan sofa lusuh, Ustaz Azizan yang berkain pelikat berbaju pagoda putih, terus menjemput kami menjamah sarapan.

Saya bersama Helmi dan Azamin Amin, wartawan Harakah Kedah, sebenarnya telah mengalas perut di pekan kecil tidak jauh dari rumah Ustaz Azizan, di tepi Jalan Alor Setar - Sungai Petani itu. "Ustaz macam terkilan kerana tidak dapat lagi bersama rakyat di pasar dan kedai makan seperti ini kerana kekangan masa," kata Helmi, semasa kami menikmati nasi berlaukkan ikan keli sambil menunggu roti canai serta kari kepala ikan dibungkus untuk 'bosnya'.

"Lutfi, ini pertama kali datang rumah ana?" tanya Ustaz Azizan, ramah dan mesra. Saya perhatikan, rupanya tetamu terdahulu juga menitip makanan. Isterinya sendiri yang keluar membawa minuman.

"Ya, ana tak pernah datang lagi, dulu buat interbiu dengan Ustaz di Alor Setar," balas saya perlahan, sambil menjeling suasana rumah yang cukup sederhana. Ada rakan-rakan yang pernah mengaitkannya dengan kediaman Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan Tok Guru Abd Hadi Awang: "Rumah Ustaz Azizan lagi simple, 'kan?"

Selang beberapa ketika, salam diberi dan pintu dikuak. Kunjungan tetamu lagi, rasanya tiada temujanji dibuat, juga orang tempatan. Daripada reaksinya, Ustaz Azizan kenal rapat dengan mereka. Turut dibawa bungkusan kecil nasi lemak dan dadih. "Masin sikit dadih ini," tegur Ustaz Azizan.

Tidak terasa kami bersembang panjang melampaui dua jam. Dalam kelucuan, banyak juga perkara serius dan penting yang disentuh Ustaz Azizan. Beliau nampak cukup prihatin dengan bebanan amanah kepemimpinan yang dipikulnya, termasuk hal-hal berkaitan rasuah dan pengurusan kewangan negeri. 

Isu-isu membabitkan penggantungan lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dan kontroversi Madrasah Salihiah turut disinggungnya.

Penjelasan mengenai surau, yang dimanipulasi Umno dan Perkasa Kedah -- sebenarnya lebih merupakan pejabat syarikat insuran dengan ruang solat -- di Kanchut, Alor Setar itu memang cukup meyakinkan. Tinjauan saya ke Madrasah Salihiah dan kawasan sekitarnya melenyapkan sama sekali pelbagai keraguan tentang kemungkinan isu itu boleh "menikam" PAS Kedah.

Isu madrasah bukan hanya mendedahkan kegagalan kerajaan BN terdahulu menyelesaikan projek Kompleks Tunku Yaakob yang terbengkalai selama lebih 30 tahun, malah menunjukkan keupayaan kerajaan Pakatan Rakyat menjana ekonomi melalui projek Aman Central bernilai RM500 juta, dengan pembinaan surau gantian di dalam pusat membeli- belah yang mampu menampung 400 jemaah.

Ramai beranggapan tapak itu "berhantu" disebabkan terlalu lama terbiar, selain  mencacatkan pemandangan dari Menara Alor Setar, lokasi yang sepatutnya boleh menarik pelancong.

"Ada taukeh Cina bertanya saya, 'Dato' Seri ada baca apa-apa ke, sehingga projek ini boleh dipulihkan?' Saya kata, 'baca banyak takdalah, tetapi adalah sikit-sikit baca'," gurau Ustaz Azizan disambut ketawa.

Tidak kurang yang mengaitkan kegagalan usaha menangani projek usang itu dengan elemen rasuah dalam pentadbiran lama, sesuatu yang kini diperangi kerajaan Pakatan. "Bayangkan, melalui projek setengah bilion ini, kalau rasuah lima peratus saja, sudah RM25 juta, tapi sah saya masuk neraka kalau terima sogokan," tegas Ustaz Azizan.

Bagaimanapun, hukuman  ke atas lima pelajar KUIN (tempoh penggantungan empat daripadanya sudah berakhir kecuali seorang yang digantung pengajian dua semester, Mohd Faiz  Mohd Arshad), yang pada mulanya dikaitkan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), tetap hangat diperkatakan.

Ustaz Azizan memberitahu kami, Anwar Ibrahim sendiri menghubunginya pada sebelah malam demonstrasi pelajar di hadapan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, dan beliau telah menjelaskan situasi sebenar kepada Ketua Pembangkang itu. Pastinya beliau juga memaklumkan hal itu kepada Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, seseorang yang paling dihormatinya.

Dalam pertemuan eksklusif dengan Jabatan Pengarang Harakah, di sebuah resort Sungai Tua, Ulu Yam minggu lalu, Ustaz Hadi turut ditanya isu KUIN. Beliau mengulangi pendirian Ustaz Azizan yang tidak mahu campur tangan hal elwal pengurusan institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri itu. Agak mengejutkan apabila Ustaz Hadi mengaku belum melihat memorandum pelajar.
 
Daripada tutur bicara Ustaz Azizan, kolej universiti itu memang dekat dengan beliau, yang juga Pengerusi KUIN. Helmi turut memaklumkan, semasa Ustaz Azizan menjadi wakil rakyat pembangkang lagi, beliau kerap menimbulkan persoalan Insaniah ini dalam setiap kali persidangan Dun.

Tetamu yang lebih awal sampai daripada kami juga menimbulkan perkara sama. Dia masih ingat ucapan Ustaz Azizan dalam satu majlis yang menggambarkan keakraban Menteri Besar Kedah itu dengan pengembangan KUIN. 

"Helmi, nanti bawa Lutfi tengok kampus baru KUIN di Kuala Ketil," kata Ustaz Azizan semasa saya minta izin berundur. Difahamkan beliau agak kerap melakukan tinjauan di tapak projek, kadang-kadang secara mengejut.

Sebelum bergegas ke hotel penginapan untuk check-out, sempat saya memerhati keadaan sekeliling rumahnya -- tenang dan sunyi. Terbayang gaya kehidupan kampung Ustaz Azizan yang cukup mudah.

Namun, harapan rakyat dan pendokong parti tidak semudah itu. Di bahu Ustaz Azizan tergalas impian yang cukup besar. Tidak cukup sekadar untuk membuktikan pemerintahan PAS berjalan lancar tanpa gangguan besar. Dakwaan bahawa tanpa Umno, kerajaan negeri akan kucar-kucir hanya mitos, dan rakyat amat memahaminya kini. Mereka menuntut lebih daripada itu.

Selama lebih 20 tahun, Kelantan dan perwatakan Tok Guru Nik Aziz diperhatikan penuh minat dan cemburu, bukan saja oleh masyarakat setempat tetapi menarik tumpuan rakyat seluruhnya, tidak kira orang Melayu atau bukan Islam. Perubahan yang dilaksanakan Kelantan menjadi buah mulut -- dipuji dan dikritik -- namun ia langsung tidak membantut  pembaharuan yang dibuat.

Apabila PAS menerajui Pakatan Rakyat memerintah Kedah, fokus sedikit sebanyak beralih, sekurang-kurangnya untuk mengenali personaliti Ustaz Azizan. Ya, sekali lagi, tidak memadai dengan kehidupan sederhananya yang cukup mengkagumkan itu ...

Latar belakang akademiknya, yang pernah menuntut di Mesir dan England, sudah cukup menggamit perhatian. Begitu juga dengan komposisi anggota Exco Kerajaan Negeri (daripada kalangan PAS), yang nampak seimbang dan harmonis, iaitu dua jurutera profesional, dua doktor perubatan, dua peguam, dan seorang ustazah.

Selaras dengan gelombang politik baru dan proses pendemokrasian yang menjalar ke seluruh planet bumi hari ini, apa yang berlaku di Kedah turut membentuk imej dan penampilan PAS, sama ada positif mahupun sedikit tercalar.

Dalam masyarakat yang serius membicarakan soal keadilan, demokrasi, ketelusan, dunia tanpa sempadan, langit terbuka, good governance, antirasuah, integriti, akuantabiliti dan seumpamanya, isu-isu seperti pengisytiharan harta kepada publik dan kongkongan peraturan seumpama Auku (walaupun atas nama berbeda seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta) boleh menimbulkan persepsi baru kepada gabungan parti-parti dalam Pakatan.

Isu KUIN memang satu cabaran kepada kepemimpinan Ustaz Azizan menjelang PRU13. Ia boleh sahaja menjadi masalah lebih besar ataupun dapat ditangani secara berhemah, bergantung kepada pendekatan Menteri Besar sendiri. Meskipun Ustaz Azizan beberapa kali menegaskan untuk tidak campur tangan dalam pengurusan KUIN, tetapi saya kira isu ini tidak semudah itu untuk "didiamkan".

Semasa bersembang panjang dengan aktivis mahasiswa UPSI, Adam Adli Abd Halim, yang turut digantung pengajian selama tiga semester, di rumah saya, Selasa lalu, jelas sekali komitmen mereka untuk mengungguli idealisme perjuangan mahasiswa.

Adam mewakili suara prihatin mahasiswa yang nampak tulus dan tidak diperalatkan oleh pihak berkepentingan, jauh sekalilah Umno! Usah rentap keyakinan mereka terhadap Pakatan Rakyat dengan dakwaan yang menyakitkan hati. Masih terbuka luas jalan keluar, tetapi pilihan itu bergantung sepenuhnya kepada Ustaz Azizan. Ya, bola di kakinya sekarang ...

Selama ini Ustaz Azizan dikenali sebagai tokoh yang tajam pengamatan politiknya, sekali gus mempunyai kebolehan luar biasa untuk meredakan kemarahan dan protes kepadanya. Harapan tinggi disandang ke bahunya.  Masakan isu KUIN harus dibiar menggerhanakan imejnya itu.

(Persoalan dibangkitkan Dr Mujahid Yusof Rawa dalam artikelnya  agak menganggu saya: "Apakah Azizan terlalu personal dengan cita-citanya dengan KUIN sehingga isu Auku dianggap terlalu kecil atau Azizan terlalu marah kerana beberapa pelajar telah menyentak impiannya dan mencabarnya? ... Ataukah Azizan mempunyai egonya sendiri sehingga gagal melihat kepentingan Pakatan Rakyat yang lebih besar?")

 


Umno sendiri terkedu dengan keupayaan diplomasi Ustaz Azizan. Tak percaya tanyalah dengan Abd Aziz Sheikh Fadzir, Pengerusi Biro Pendidikan Umno Kedah yang pernah berkunjung ke pejabat Menteri Besar itu, ekoran isu  rayuan rebat cukai tanah Universiti Utara Malaysia (UUM), pada bulan Mei 2011!

Reaksi protes yang dijangka panas hilang begitu sahaja selepas rombongan Aziz diberi penjelasan sedetailnya oleh Ustaz Azizan dan mereka makan tengahari bersama.

Baca Seterusnya......

Menunggu gerakerja luar biasa untuk kutip hasil luar jangka

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Teka-teki tarikh pilihan raya umum ke-13 terus menjadi bualan umum. Kali ini ia diganjak ke hadapan. Tapi, tetap dalam tahun 2012, tak mungkin terlajak http://3.bp.blogspot.com/-yvKJyVyzhrk/TnLy30-y4zI/AAAAAAAAhHI/fLcyFlJ-sKc/s1600/pilihanraya.jpgmelewati Disember. Sebelumnya, ramai beranggapan ia bakal diadakan pada suku pertama tahun ini, sekitar Mac.

Saya bertanya, kenapa terlalu cepat? Bukankah masih banyak janji dan jaminan Perdana Menteri belum tertunai? Misalnya pemansuhan akta rimba, ISA. Kelak banyak lagi label negatif terpalit di batang tubuh Najib  Razak seperti "lidah bercabang" ....

Jawab yang membawa khabar itu, BN yang "patah hati" dengan masyarakat Tionghua dijangka lebih suka Parlimen dibubarkan selepas Tahun Baru Cina. Alasannya, pengundi Cina yang baru sahaja "balik kampung" tidak sanggup lagi untuk berbelanja lebih untuk turun ke hometown menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

Andaiannya, semakin ramai pengundi Cina tidak mengundi, makin mudahlah BN mengekalkan penguasaan di Putrajaya dan merampas beberapa kerusi  majoriti bukan Melayu. Saya susah hendak bersetuju dengan pandangan tersebut.

Saya kira Najib Razak tidak sebebal itu. Bukankah banyak usaha telah dilakukannya untuk memenangi kembali sokongan pengundi Cina, misalnya gagasan 1Malaysia? Amat buruk impak politik kepada BN jika Najib dilihat menyampaikan mesej salah menjelang tarikh penentu hidup-mati gabungan parti yang berkuasa sejak 54 tahun lalu itu.

PRU13 cukup kritikal buat semua parti. Silap mengatur strategi pasti membawa padah. Sebaris kenyataan pemimpin (khususnya Pakatan Rakyat) yang tersasar juga boleh menjerumuskan.  Malah saya bersetuju dengan pendapat bahawa parti yang paling sedikit melakukan kesilapan dijangka memenangi pertarungan ini.

Apa pun, kini lebih ramai meramalkan ia berlangsung sekitar Jun, atau sebelum Ramadan ... ya, bukannya lama lagi pun! Mungkin waktu itu beberapa pembaharuan politik seperti pemansuhan ISA, pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti,  penambahbaikan proses pilihan raya dapat diselesaikan.

Juga penting, kontroversi Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) berupaya diredakan ketika itu selepas jawatankuasa khas menemui formula penyelesaian.

Dalam situasi hari ini, perubahan undi yung kecil pun boleh menyebabkan kejutan besar terhasil. Justeru, tidak wajar sama sekali untuk meremehkan apa jua isu yang mungkin mempengaruhi kecenderungan mengundi.

Anggapan tarikh PRU13 dalam lingkungan 100 hari lagi tidak bermakna persiapan dikendurkan. Ia mesti dipergiatkan. Umpama dalam pertandingan larian maraton, sekarang adalah zon pecutan terakhir.

Tempoh sekitar empat bulan ini juga singkat, apatah lagi jika persoalan-persoalan besar, seperti pola pengundian masyarakat Melayu masih menjadi perdebatan dalam PAS. "Sesuatu yang luar biasa mesti dilakukan untuk meyakinkan majoriti pengundi Melayu kepada PAS. Mereka yang telah menyelamatkan BN pada 2008. Barulah kita dapat mengimpikan hasil yang juga luar biasa," kata seorang pengamat sosial.

Tidak sedikit yang masih ragu keberkesanan jentera PAS memfokuskan gerakerja, misalnya  di kawasan perkampungan tradisi dan masyarakat Felda. 

"Tapi PAS jangan pula terlalu yakin dengan sokongan pengundi bandar atau kelas menengah Melayu. Dalam PRU13, lebih ramai akan membuat keputusan di saat-saat akhir selepas segala pertimbangan diambil kira," ingatan seorang pensyarah sains politik kepada saya sambil meminta Harakah mengemaskan lagi persembahan dan laporannya.

Meskipun akses kepada internet kian meluas, mudah dan pantas, namun media tradisi (dan juga bahan bercetak) seperti Harakah masih dipandang penting malah begitu diperlukan terutama untuk menyampaikan maklumat, menyanggah dakwaan, membekalkan analisis, sekali gus diharap dapat membentuk persepsi pengundi, khususnya di kalangan masyarakat Melayu luar bandar, konstituensi terpenting PAS.

Justeru, pertemuan santai wartawan Harakah bersama pimpinan tertinggi parti, terutama Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Hulu Yam, Selangor, pagi Ahad lalu, sebagai persiapan berdepan pilihan raya paling sukar ini begitu mengujakan. Bukan saja obor semangat dinyalakan, malah dipandu sebaiknya.

Nasihat, pedoman dan teguran yang dititip kepada kami amat bermakna sekali. Lebih penting, persiapan rohani turut dititik-beratkan sebagai bekalan paling ampuh.

"Dalam apa jua keadaan, jaga segala adab dan akhlak Islam. Pastikan sumber berita adalah sahih. Jangan sesuka hati mensensasikan laporan," Ustaz Abdul Hadi, yang juga penulis prolifik, menyampaikan amanat.

Malam sebelumnya, Pengarah Urusan, Dato' Kamarudin Jaffar mencadangkan agar Harakah menampilkan persembahan lebih menarik, selari dengan bahang pilihan raya yang makin panas ini.

Semasa saya menghadiri program berkaitan media baru di Sungai Gau, Temerloh, pagi Sabtu lalu, aktivis PAS akar umbi turut menzahirkan harapan tinggi buat Harakah mendepani PRU13. Mereka mahu rakyat negeri itu khususnya pengundi Melayu di kawasan kampung tradisi dan penempatan Felda dibekalkan maklumat yang cukup, sehingga persepsi usang terhadap Umno-BN dapat dirobah.

 

Baca Seterusnya......

Almarhum Shafri: Moga pahala berkekalan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Rasanya tidaklah terlalu lama saya tidak bertemu rakan sekerja, Mohamad Shafri Shamsudin, tetapi pagi itu, Jumaat, 13 Januari lalu, https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgPX5Jq6WE-3E-4tv4E6E7JAAxxwSCl6yGw2w1IJqkRzIrb_uRpPZWBl90RBTzYzZtgL8_KQuU43JLmXsYX7Tz75fhlG09x88qM1-ClmLy1JbU3pzXhPSf5PRvZ8QC326FkBqxJFncE_s4/s1600/Shafri.jpgketika kami mahu menziarahi jenazah petugas Pejabat Agung PAS, Allahyarham Syed Mohamad Syed Hasan, di Taman Melewar, saya perasan kelainan di wajahnya.

Perbedaan batang tubuhnya, seolah-olah kami tidak pernah berjumpa dalam tempoh yang lama. Meskipun saya kerap uzur dan jarang hadir ke pejabat kecuali untuk mesyuarat mingguan jabatan pengarang dan temujanji penting lain, saya kira kalaupun tidak berselisih dengan Shafri, ia hanya sekitar maksimum dalam masa sepuluh hari.

Nampak uzur sangat, cengkung dan pucat, bagai menanggung penyakit kritikal. Berat badannya kelihatan susut. Saya benar-benar terkejut. Tidak pernah pula dimaklumkan bahawa Shafri keuzuran. Tetapi dia masih seperti biasa, tetap ceria dan sering tersenyum.

"Awat ni, Shafri, nampak teruk sangat?" tanya saya, sambil kami bergegas ke kereta bersama pembantu khas ketua pengarang, Khairul Hartimi Mohd Tajudin dan jurufoto Wan Zahari Wan Salleh.

Senyumannya masih tidak lekang -- dan itulah satu keistimewaan Shafri -- tanpa saya sedari dia cuba menutup rahsia. "Takda apalah bang," pintasnya.

"Dah periksa pakar?" saya tetap degil mahu mendapatkan kepastian. Memang selepas menjalani pembedahan pintasan jantung lebih setahun lalu saya mudah tersentuh dengan hal-hal berkaitan kesihatan dan penyakit.

Sebenarnya sensitiviti itu bermula lebih awal ... hampir tujuh tahun lalu, sejurus anak kedua saya, Nurul Shafiqah, 11, meninggal dunia secara mengejut pada pagi 1 Ramadan.

"Ceritalah pada cik Lutfi," Khairul mencelah. "Sakit batu karang, kot," Shafri  menjelaskan, ringkas.

"Saya pernah kena batu karang, 25 tahun lalu, memang sakit, tak tentu rasa, tapi taklah teruk macam ni, sampai berubah muka," kata saya, "jangan lupa, cepat dapatkan rawatan pakar."

"Tak selera makan," jawab Shafri. "Kalaupun tak lalu makan, tapi takkan sampai jadi macam anta ini, nampak uzur dan letih sangat," balas saya.

Dalam perjalanan balik ke pejabat Harakah, di Jalan Pahang, Shafri tidak banyak berbual walaupun saya mengumpannya dengan pelbagai persoalan politik yang agak panas. Selalunya, dia cepat respons dan terbuka memberi pandangan.

Meskipun Shafri lebih lama berkecimpung dalam bidang grafik, dan baru sahaja terjun ke dalam dunia kewartawanan selepas akhbar Siasah tidak lagi diterbitkan di bawah bumbung Harakah, beliau cepat belajar.

Dalam usia 40 tahun, ketika saya cadangkan dia dipindahkan ke Bilik Berita Harakah, mungkin ramai beranggapan ia sudah terlalu lewat untuk menjadi seorang pemberita. Beberapa pimpinan PAS yang mengenalinya agak terkejut apabila dia hadir di sidang-sidang akhbar sebagai wartawan.

"Bukankah dia yang buat lay-out Siasah dulu? Bolehkah jadi wartawan?" tanya seorang pemimpin kanan PAS. Mulanya memang agak "bertarabur", sukar mencari "intro", tetapi dia tidak segan bertanya, prasyarat awal untuk maju dalam penulisan.

Saya mengenalinya ketika sama-sama bertugas di Harakah pada awal 1990-an. Waktu itu dia di bahagian rekabentuk. Lama tidak mendengar khabar beritanya, walaupun sesekali bertembung ketika saya juga berada di luar Harakah, Shafri tetap mesra. Ternyata dia begitu menghormati ketua dan bekas bosnya.

Siasah yang saya pernah terajui menemukan kami kembali. Bila terserempak sewaktu minum di restoran, Shafri bercerita bagai seorang wartawan. Isu-isu sensitif dalam parti kerap disinggungnya secara terbuka. Apa pun saya yakin dia ikhlas, mahu melihat PAS tetap di hati rakyat dan menjadi sekutu penting dalam Pakatan Rakyat.

Sekurang-kurangnya saya pernah bersamanya di dua lokasi luar Kuala Lumpur, semasa pilihan raya kecil di Kerdau, Pahang dan membuat liputan fokus PRU13 Negeri Sembilan di Seremban. Turut sama, Wan Zahari dan wartawan kanan, Wan Nordin Wan Yaakob; mereka bertiga kelihatan akrab dan serasi.

Semasa wartawan Harakah dari seluruh negara berkampung di Sungai Tua, Ulu Yam, Sabtu dan Ahad lalu, sebagai persiapan terakhir menghadapi pilihan raya umum ke-13, saya terasa ketiadaannya.

Wan Zahari semasa sesi dialog, menarik perhatian rakan-rakan tentang keadaan Shafri yang ditempatkan di wad 26, Hospital Kuala Lumpur. Walaupun masih belum dipastikan jenis penyakitnya, ada kemungkinan dia ditimpa masalah berkaitan hati, lebih teruk lagi kanser. Wan Zahari menimbulkan isu kebajikan kakitangan Harakah, terutama berkaitan kemudahan mendapatkan rawatan perubatan terbaik.

Di akhir pertemuan, saya turut memberi reaksi, mengharapkan soal kesihatan diberi pertimbangan utama. Sambil menyedari Harakah cukup banyak memberikan bantuan dan sokongan kepada saya sepanjang menjalani rawatan di hospital awam dan juga swasta, saya amat mengharapkan kemudahan itu dapat dikongsi oleh semua kakitangan yang memerlukan.

Tengahari Isnin, 30 Januari, selepas mendapat rawatan rutin, saya cuba singgah di HKL, untuk menziarahi Shafri. Kawasan letak kereta hospital penuh sesak, tambahan pula tiada bayaran parkir dikenakan. Keuzuran anggota kiri saya tidak memungkinkan untuk menapak jauh.

Saya menelefon Khairul, minta turun ke bawah, membantu mencari parkir. Semasa berjalan ke lift hospital, Nazri Abdullah, Pengarang Berita Harakahdaily memaklumkan keadaan Shafri semakin kritikal. Kanser hati. Sukar sekali untuk dipulihkan. Jelas riak kerisauan di wajahnya.
 
Wad 26, tingkat 5 HKL memang sesak. Kawan-kawan sepejabat mengelilingi Shafri. Saya duduk di sebelahnya. Saya percaya dia menahan keperitan semasa bercerita keadaannya, tetapi masih ceria. Senyuman tetap menguntum. Tidak banyak derma kilat yang dapat kami hulurkan; Shafri keberatan menerima: "Susah-susah aja ...." (Gambar itu disiarkan di halaman F13).

Semasa melintas di depan isterinya, Sharifah Norhayati Syed Omar, saya sekadar mampu memohon diri lebih awal. Pastinya beliau dan keluarga sedang meniti detik-detik paling sukar. Saya terbayang wajah anak-anaknya. Sebak. Terharu.

Pagi Selasa, semasa sarapan, saya menerima SMS daripada wartawan Harakah, Nyza Ayob memaklumkan Safri koma dan nazak. "Masya Allah, cepatnya ...." saya berbisik sendiri. Sekali lagi keuzuran menghalang saya untuk berkejar ke HKL. Rakan-rakan sekerja sudah berkumpul di sana.

Semasa berbual dengan aktivis pelajar, Adam Adli Abd Halim yang berkunjung ke rumah saya, tengahari itu, fikiran saya agak gelisah mengenangkan SMS Nyza. Tidak lama selepas Adam pulang, Nyza menelefon: "Shafri dah tak ada ...." Nada suaranya sarat dengan kepiluan. "Inna lillahi wa ina ilahi rajiun," hanya itu yang mampu saya titipkan.

Sepatutnya tengahari itu, kami menziarahi anak-anak Shafri di Gombak. Isteri saya sudah siap masak nasi beriani ayam kuzi untuk dibawa bersama. Akhirnya, juadah itu saya kirimkan kepada rakan-rakan di Harakah.

Semoga Allah menerima  segala amal soleh dan mengampuni dosa-dosanya. Dan diberikan keteguhan hati buat Sharifah Norhayati dan anak-anaknya.

Teringat saya akan maksud Hadis Nabi s.a.w. yang disampaikan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika retreat Harakah, sebagai azimat dan kata-kata perangsang buat kami. Maksudnya lebih kurang, sesiapa yang menunjuk jalan kepada kebaikan dan kebaikan itu diikuti atau diamalkan oleh orang lain, maka ia mendapat pahala sepertimana orang yang mengamalkannya.

Ustaz Abdul Hadi mengaitkan makna sabda Nabi itu dengan kerjaya seorang wartawan, yang menulis ke arah kebaikan, mencegah kemungkaran, mendorong perubahan. Semoga sahabat kami, Allahyarham Shafri dilimpahi pahala yang berterusan itu ... juga buat kita yang bakal menyusuli. Janji Allah pasti datang.

 

Baca Seterusnya......

Sunday, February 12, 2012

Politik Kedah dan kontroversi Ustaz Azizan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

BAHAGIAN PERTAMA

Berbanding negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat, Kedah dilihat tidak begitu diserang media Umno-BN. Tentulah ia bukan disebabkan kerajaan negeri yang diterajui PAS itu akan diberi laluan mudah untuk melanjutkan tempoh penggal pertama pemerintahannya. Seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, BN tetap mengidam untuk menawan semula negeri Jelapang Padi itu


Sewaktu Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor diserang bertubi-tubi dan Lim Guan Eng di Pulau Pinang dilanyak habis-habisan, khususnya oleh Utusan Malaysia dan TV3, Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak di Kedah agak selesa menarik nafas lega. Namun ia tidak bermakna Umno membiarkan negeri yang pernah menyumbangkan dua perdana menteri itu terlepas begitu sahaja.

Ketika kerajaan negeri Perak ditumbangkan melalui pakatan jahat yang dirancang Najib Razak -- tidak sampai setahun selepas memegang amanah rakyat -- Kedah turut dilihat goyah. Usaha membeli wakil rakyat tertentu rancak dijalankan.

Pakatan Rakyat memiliki 22 kerusi, dengan PAS menguasai 16, BN (14), DAP (1) dan KeADILan lima wakil (termasuk seorang Adun Bebas yang kemudiannya menyertai parti itu).

Kiraan mudahnya, jika lima Adun Pakatan dapat "dibeli", sepertimana berlaku kepada tiga Adun di Perak, kerajaan negeri pimpinan Ustaz Azizan akan tumbang. Alhamdulillah, situasi genting itu berjaya dilalui dengan baik sekali.

Meskipun KeADILan terlepas dua Adunnya (dan dua ahli Parlimennya mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas), hasrat BN untuk merebut Kedah dapat dipatahkan. Kini semua Adun KeADILan merupakan anggota Exco kerajaan negeri!

Sebenarnya asas kekuatan pengaruh PAS di Kedah -- terutama selepas pilihan raya umum 1969 yang menyaksikan ramai tokoh utama Umno negeri itu kalah mengejutkan, seperti Dr Mahathir Mohamad dan Senu Abd Rahman -- hampir seimbang dengan Umno. Meskipun ada ketikanya PAS hanya mempunyai seorang wakil dalam sidang Dun dan langsung tidak mempunyai ahli Parlimen dalam tempoh yang agak lama, namun secara puratanya sokongan pengundi Melayu tidak merosot.

Faktor kemenangan BN lebih ditentukan oleh sokongan pengundi Cina dan India, yang mewakili hampir 30 peratus penduduk Kedah. Semasa era reformasi, yang dizahirkan secara terbuka dalam pilihan raya umum November 1999, lonjakan pengundi Melayu menyokong PAS begitu terasa di Kedah. Hasilnya, Parti Islam itu menang 12 kerusi Dun dan lapan Parlimen; semuanya di kawasan majoriti Melayu. Hanya di Kubang Pasu dan Langkawi, pengundi Melayu masih dilihat terikat dengan Umno, mungkin disebabkan faktor Mahathir.


Melalui proses persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2002, sebagai persiapan Umno untuk mengalahkan PAS dalam PRU11, kaedah gerrymandering diguna pakai secara menjolok mata di Kedah. Formula mudahnya, tambahkan jumlah pengundi bukan Melayu di kawasan Parlimen yang dimenangi PAS. Pengundi Cina, India dan juga Siam dianggap penyelamat BN pada 1999, serta diandaikan akan terus menyokong parti berkenaan dalam pilihan raya berikutnya.

Kerusi Parlimen Pokok Sena (yang diwakili Mahfuz Omar), Baling (Ustaz Taib Azamuddin), Kuala Kedah (Mohamad Sabu) dan Yan (Ustaz Nasharuddin Mat Isa) menjadi tumpuan perancangan licik Umno, yang menguasai sepenuhnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kerusi Dun yang menawarkan jumlah pengundi bukan Melayu agak ramai dimasukkan dalam kawasan Parlimen terbabit, misalnya Gurun di Yan (bertukar nama kepada Jerai) dan Kuala Ketil di Baling.

Terbukti perancangan Umno-SPR itu mencapai target apabila pada 2004, keempat-empat kerusi Parlimen itu berjaya direbut kembali BN.

Bagaimanapun, tanpa perlu menunggu lama, pada 2008, strategi itu memakan diri. Kerusi Dun di sebelah selatan Kedah, yang agak ramai pengundi bukan Melayunya itu, diisytiharkan lebih awal, tumbang satu demi satu.

Mungkin menyedari hakikat kemenangan PAS dan Pakatan di Kedah "agak rapuh" atau beliau sendiri suka memilih pendekatan "low profile", Ustaz Azizan mempunyai kaedah tersendiri dalam mengemudi bahtera kerajaan negeri. Beliau lebih gemar menjauhi pertembungan dan konflik terutama apabila berdepan kerajaan pusat.

Malah hubungan baiknya dengan bekas pemimpin tertinggi Umno, Dr Mahathir (termasuk memberi anugerah), mengundang pelbagai tafsiran, terutama di kalangan aktivis PAS. Di kala bekas Perdana Menteri itu tersisih dalam partinya sendiri, termasuk di negeri kelahirannya, Kedah, bagi pemerhati politik, Ustaz Azizan bijak memanfaatkan ruang dan peluang.

Susulan itu, agak sukar untuk media mendapatkan komentar Dr Mahathir yang agak negatif kepada pentadbiran Ustaz Azizan di Kedah. Bukan itu sahaja, Ustaz Azizan juga dikatakan tidak menjadikan zaman pemerintahan BN sebelum itu sebagai sasaran kritikannya. Bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mahdzir Khalid, kini Ketua Pembangkang di Dun, juga "terselamat" walaupun banyak isu boleh dikaitkan dengannya.

"Umno menunggu tindakan provokatif Ustaz Azizan sebaik menjadi menteri besar, tetapi impian itu tidak kesampaian," kata seorang penganalisis politik semasa, yang dahulunya pernah aktif dalam Pemuda Umno.

"Dia pandai mengatur rentak dan membaca situasi di bawah. Umno gagal mengeksploitasi tindakan pembaharuan yang digerakkan kerajaan PAS di Kedah. Ternyata Ustaz Azizan cukup berhati-hati," tambahnya, sambil menyifatkan kemungkinan ahli PAS sendiri yang tidak berpuas hati dengan Ustaz Azizan.

"Mengapa pula?" tanya saya.

"Yalah ... kalau orang PAS mengharapkan pembaharuan Islamik di Kedah sama seperti perubahan awal di Kelantan dan Terengganu semasa PAS mula memerintah dahulu, tentu mereka akan kecewa. Ustaz Azizan mungkin popular di kalangan rakyat tetapi akan ditafsirkan daripada pelbagai perspektif oleh rakan-rakannya sendiri," ujar rakan saya itu, yang juga seorang blogger.

"Percayalah cakap saya, Umno Kedah tidak akan berjumpa satu isu besar dan kontroversi, yang boleh menggugat dengan mudah kedudukan PAS di Kedah. Lihat saja, dulu dimainkan isu balak, kemudian hilang begitu saja. Sekarang, isu perobohan Madrasah Salihiah, di Kanchut ... lagi mudah dipatahkan dan akhirnya akan menikam Umno balik," tambahnya.

"Hang balik tengok sendirilah, Lutfi. Pelik juga bila Catatan Hujung jarang sentuh perkembangan di Kedah," katanya.

Beliau, yang juga anak Kedah seperti saya, menjangkakan isu personaliti calon dan kualiti servis wakil rakyat akan menjadi penentu dalam PRU13.


Saya akui, memang kolum saya tidak pernah menyinggung isu-isu Kedah dari dekat. Semasa malam kemenangan, 8 Mac 2008, saya turut meraikannya di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. Bagaimanapun, saya hanya sempat sekali mengadakan wawancara khas dengan Ustaz Azizan, hampir empat tahun lalu, pada malam 17 Mei 2008, di rumahnya, di Jalan Sultanah, Alor Setar.

Dalam pertemuan itu, saya cuba menimbulkan beberapa persoalan yang berlegar dalam pemikiran ahli-ahli PAS termasuk berkaitan soal perubahan yang nampak begitu perlahan berjalan di Kedah.

Mengenali wataknya semasa menjadi Pengarah Urusan Harakah dahulu, saya jangkakan Ustaz Azizan akan bingkas menyanggah, tetapi dengan tenang, beliau memberi respons: "Saya lihat begini, ia berkaitan budaya orang Kedah. Budaya yang cukup terbuka, suka bergurau, suka berkawan. Malah ini juga yang berkembang dalam Dun, di antara wakil Umno dan PAS.

"Masa kita jadi pembangkang pun kita baik dengan Umno, Umno juga baik dengan kita. Sekarang kita jadi kerajaan pun kita baik dengan mereka. Saya tak suka kita buat sesuatu yang mengejutkan, biar rakyat menerima realiti ini sebagai satu proses demokrasi. Dalam Islam pun ada, misalnya saya baca buku tentang Fiqh Aulawiyat.

"Saya juga tekankan soal akhlak Islam. Kita tidak ada balas dendam dan akhirnya nescaya kita akan dapat simpati dan sokongan masyarakat. Umno yang lama berkuasa tentu sedih, tapi janganlah dalam kesedihan mereka itu kita tambahkan lagi pedihnya. Kalau perlu kita juga bekerjasama dengan mereka. Saya tahu mereka juga ada yang berpendidikan tinggi dan bersikap terbuka.

"Dulu mereka rasa PAS tak boleh memerintah, sekarang okey, boleh memerintah dengan baik, malah semua pihak lebih senang bekerja. Saya sendiri beri kebebasan kepada pegawai ... Perlembagaan menjamin hak bersuara, hak berpolitik, hak berfikiran."

Keuzuran membataskan saya untuk turun meninjau situasi akar umbi di Kedah. Namun, apabila seorang teman lama, sarjana sains politik terkemuka, membuat penyelidikan tentang perkembangan siasah di sebuah daerah di Kedah, dan melahirkan keyakinannya tentang kemampuan PAS mempertahankan kemenangan, saya teruja untuk melihat sendiri rencah peristiwa menarik di sana.

"PAS perlu cermat memilih calon. Ada wakil rakyat PAS yang tidak peduli masalah masyarakat bawahan. Rakyat marah, kalau calon itu juga bertanding, saya boleh bagi kepastian, PAS akan hilang kerusi," katanya melalui telefon.

Semasa minum limau panas berdekatan Pekan Rabu, Alor Setar, jam 2 pagi, 22 Januari lalu, seorang rakan yang pernah belajar bersama saya 30 tahun lalu di Sekolah Teknik Alor Setar, turut mengemukakan isu sama: "Jangan pandang remeh isu-isu longkang tersumbat, jalan tak berturap, sampah bersepah hatta tempoh pendek lampu isyarat hijau. Semuanya boleh beri kesan kepada persepsi pengundi."

Beliau mahukan pentadbiran kerajaan PAS dilihat cekap dan pantas bertindak menangani isu-isu rakyat. "Biar bandar-bandar di negeri-negeri Pakatan lebih bersih dan teratur berbanding negeri BN. Sikap antirasuah pemimpin PAS saya sanjung tinggi, tapi kadang-kadang rakyat awam tidak nampak atau tidak merasai kesannya dalam jangka pendek. Mereka mahu Adun atau Ahli Parlimen yang mesra rakyat, ambil berat masalah orang ramai dan tidak sombong," katanya.

Rakan saya itu turut membawa seorang kawannya, yang banyak bercerita tentang Madrasah Salihiah. Kebetulan dia pernah tinggal berdekatan surau yang kini menjadi pejabat syarikat insuran.

"Dulu saya selalu main dekat kawasan tapak Kompleks Tunku Yaakob, yang terbengkalai lebih 30 tahun lalu itu. Sekarang dah tak ada orang Islam di kawasan itu, ramai yang berpindah. Surau yang ada pun hanyalah bilik solat di pejabat insuran. Satu waktu dulu orang yang gunakan stesen bas di Kanchut ada juga solat di situ, bila bas pindah ke Shahab Perdana, tak ada jemaah lagi. Lagipun, Masjid Zahir pun dekat," ceritanya lancar.

Esoknya, saya "menziarahi" surau kontroversi itu, tidak jauh dari hotel penginapan. Segera saya faham mengapa isu ini tidak akan dapat dimanfaatkan -- walaupun sedikit -- oleh Umno Kedah. "Patutlah orang PAS Kedah dan Ustaz Azizan macam tak risau aja dengan isu surau ini," saya berkata kepada Azamin Amin, wartawan Harakah Kedah. "Sesiapa yang lihat sendiri madrasah ini dan kawasan sekitarnya akan segera faham manipulasi Umno Kedah," tambah saya.

"Selepas waktu pejabat, surau atau yang sebenarnya pejabat insuran ini akan berkunci, takda siapa boleh solat di dalamnya," pintas Azamin.

"Siap ... kita pergi rumah Ustaz, pukul 8 pagi," panggilan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Helmi Khalid mengejutkan saya di awal pagi Isnin, 23 Januari. Beliau merujuk rumah Ustaz Azizan di Markas PAS Jerai
Baca Seterusnya......