Thursday, March 8, 2012

Usah tambah peritnya luka Kedah

Ahmad Lutfi Othman

Tidak sukar untuk saya memahami gelodak rasa Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, yang dilaporkan Harakahdaily sebagai "teresak-esak menahttp://mymalaysiainfo.com/generalinfo/malaysian-flag/kedah-flag/lambangkedah.jpgngis kegembiraan" selepas mendapat tahu dua Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh menerima keputusan parti, yang mengarahkan mereka kembali semula ke dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Rakan baiknya, AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman, kedua-duanya anak Johor, turut menulis, menggambarkan situasi ketika beliau menerima panggilan Salahuddin memaklumkan berita gembira itu, "dengan nada tersekat-sekat, menangis teresak-esak".

Mazlan yang aktif memperjuangkan kepentingan peneroka dan generasi kedua Felda seterusnya mencatatkan: "Alhamdulillah ... tidak semena-mena mengalir deras air mata saya. Kegembiraan yang tidak terhingga. Saya sujud syukur dan membaca al-Quran sambil menangis."

Sememangnya debar episod terbaru di Kedah itu merisaukan banyak pihak dalam parti. Sebagai orang yang diamanahkan untuk mencari jalan keluar ke atas pergolakan dalaman itu, Salahuddin tentunya dapat merasai nikmat yang membahagiakan apabila formula penyelesaian dapat diterima dengan baik.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan Salahuddin sebagai layak digelar "Kofi Anan dalam PAS".

"Ahli dan para pemimpin juga sangat gembira dan terharu dengan kepenatan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang bergegas balik dari Bosnia, transit di Austria, Kaherah, Bangkok dan sesampai di Kuala Lumpur bergegas ke Kedah, tak sempat menjamah makanan, terus menghadiri mesyuarat dalam keadaan demam hingga jam 3 pagi," tambah Tuan Ibrahim.

Kebetulan pada Sabtu malam, 3 Mac itu, sekitar jam 9 malam, ketika ramai wartawan berkumpul di sekitar kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon, Alor Setar -- lokasi mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat -- saya melewati plaza tol terakhir Lebuh Raya Utara Selatan di Hutan Kampung, dalam perjalanan balik kampung untuk menziarahi emak saudara yang sakit tenat.

Hujan hampir sepanjang laluan yang kami tempuh selama lima jam itu. Semakin mendekati utara titisannya tambah lebat.

Saya menghubungi Ketua Pemberita Harakah Kedah, Azamin Amin, bagi mendapatkan maklumat lanjut. Beliau segera membalas SMS saya, memaklumkan keadaan, dan memberitahu wartawan tidak dibenarkan masuk, sambil menjangkakan mesyuarat mungkin berakhir lewat pagi.

Setengah jam kemudian, saya tiba di Kampung Pulau Timbul, Jitra. Ramai adik-beradik berkumpul; emak saudara saya, dalam lingkungan usia 70-an, ternyata begitu uzur sekali dan sukar bernafas.

Suasana sedih dan pilu tidak dapat menghalang beberapa kenalan dan orang kampung berbisik bertanyakan situasi sebenar politik Kedah. Nampaknya mereka agak kebingungan dan tidak dapat menyelami bagaimana Ustaz Azizan Abd Razak boleh berdepan keadaan yang dilihat genting itu.

"Ustaz Azizan nampak okey aja, takda isu besar yang bawa masalah, malah orang Umno pun takda modal nak serang dia," kata seorang daripadanya.

"Patutnya, sayalah yang tanya orang Kedah," usik saya. Mereka kelihatan cuba membendung keresahan.

"Dekat dengan pilihan raya, macam-macam pula hal berlaku. Hilang semangat nak bekerja pilihan raya, bukan saya seorang saja, kawan-kawan lain di sini pun macam tu juga ...," respons saudara saya itu.

"PAS di Kedah bukannya kuat sangat, kita boleh kalah kalau tak selesai cepat masalah ini," pintas seorang lagi, sambil mengaku dia masih tidak faham apa sebenarnya yang berlaku.

"Lagi elok kalau tak tahu puncanya," balas saya sambil tersenyum. Ternyata mereka agak tidak gemar dengan gurauan saya itu. Seorang rakan karib mencelah: "Aku tak dapat terima mengapa krisis ini terdedah pada waktu yang kritikal seperti sekarang."

Mereka begitu bimbang kekuatan parti terjejas atau sekurang-kurangnya rakyat curiga dengan keupayaan kerajaan PAS Kedah dan dengan itu boleh menyebabkan tumbang dalam PRU13 nanti.

"Insya-Allah, kita sama-sama berdoa untuk kebaikan jemaah. Semua yang terlibat itu mahukan yang terbaik untuk parti dan kerajaan Kedah. Banyak perkara yang kita tidak tahu," kata saya.

Apabila mendengar nada SMS telefon bimbit saya, seorang saudara rapat pantas bertanya, "ada maklumat terbaru?" Saya segera menyemak dan menjawab, "tak ada lagi, masih awal kot, mesyuarat tentu panjang, silap-silap sampai subuh."

Oleh kerana masih keletihan dan kaki membengkak, saya mohon diri beredar. Kampung halaman saya, Kampung Raja, hanya kira-kira 300 meter dari rumah emak saudara.

Di rumah, sembang-sembang bersambung. Orang kampung masih berkongsi kebimbangan. Saya kira mesyuarat khas di Seri Mentaloon malam Ahad itu bukan hanya cuba diteropong aktivis PAS di kampung saya, malah mendapat perhatian seluruh negara.

Mungkin ramai pencinta jemaah memanjatkan doa dan menunaikan solat hajat di keheningan malam itu agar segalanya berjalan lancar dan berjaya merumuskan jalan keluar terbaik. Halangan yang membantutkan gerakerja persiapan PRU13 perlu dibuang segera.

Lebih penting daripada itu, keyakinan tinggi rakyat terhadap Parti Islam tidak boleh dijejaskan. Selama ini banyak pihak beranggapan PAS mempunyai mekanisme tersendiri -- tentunya Islamik dan beradab -- bagi menyelesaikan sebarang kemelut dalaman yang berbangkit.

Dan kelebihan itulah, bagi mereka, yang membedakan PAS dengan parti-parti politik yang lain.

Keletihan sepatutnya memudahkan saya melelapkan mata, tetapi fikiran tetap terfokus ke Alor Setar. Sehingga jam 3 pagi, Azamin masih melaporkan tiada perkembangan yang boleh dilaporkan.

Esoknya, pagi Ahad, banyak SMS diterima bertanyakan soalan sama. Saya segera menghubungi rakan-rakan, di antaranya, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Helmi Khalid, yang juga bekas wartawan Harakah.

Jawapan mereka hampir senada, "tak tahu ... cuba tanya AJK PAS Pusat." Helmi membalas, beliau dimaklumkan tiada sidang akhbar pagi itu. Mungkin ia adakan diadakan di Kuala Lumpur, pada pagi Isnin.

(Lebih kurang jam 10 pagi, khabar duka menyapa; satu-satunya mak saudara saya yang masih ada telah meninggal dunia. Innalillahiwainnailaihirojiun. Alfatihah)

Rakan-rakan lama di Kedah, yang sebahagiannya tidaklah begitu mengikuti perkembangan politik, turut menghubungi saya. Selain menjawab ringkas, saya lebih suka menduga tanggapan mereka sendiri.

Mereka tidak terkejut jika PAS juga dilanda masalah dalaman. "Suami isteri pun bergaduh, saudara mara ada yang tidak bertegur sapa, apatah lagi PAS yang begitu ramai ahlinya, ditambah lagi kini berkuasa di Kedah," kata seorang teman, peniaga berjaya.

"Cuma yang kami harapkan, janganlah londeh segala aib di depan orang ramai. Kalau nak bergaduh pun, ikutlah adab-adab, 'kan? Rakyat sedang perhati bagaimana PAS menyelesaikan konflik sesama sendiri. Jangan bagi mereka hilang keyakinan. Kalau kalah selepas berkuasa, payah nak menang balik," tambahnya.

Ini bertepatan sekali dengan kenyataan Ustaz Abd Hadi pada 6 Mac lalu, selepas merakamkan terima kasih kepada semua pihak terbabit yang memberikan kerjasama dan menghormati keputusan pimpinan PAS Pusat : "Perlu dingat bahawa konflik dalam sesebuah organisasi adalah perkara lumrah dan ianya perlu dihadapi dengan penuh keimanan, tenang, sabar dan berlapang dada. Ujian sebegini bukan sahaja senantiasa akan dihadapi dalam perjuangan, tetapi juga akan terus menerus dihadapi dalam semua suasana bahkan lebih mencabar lagi dalam mengisi kemenangan."

Media juga melaporkan kesediaan Ustaz Azizan untuk akur dengan keputusan pimpinan PAS Pusat: "Saya ikut sahaja apa jua keputusan dalam mesyuarat yang diputuskan PAS Pusat, termasuk arahan yang dikeluarkan ... Selepas ini, saya serah kepada Pusat untuk uruskan, lagipun isu ini sudah diambil sepenuhnya oleh Pusat dan mereka akan pantau apa yang berlaku."

Sikap terbuka Ustaz Azizan itu wajar disanjung. Tidak mudah buat seorang menteri besar berdepan satu "tribunal", yang akhirnya dimanipulasi media Umno sebagai telah mengurangkan kuasa eksekutifnya. Difahamkan, semasa mesyuarat malam itu, Ustaz Azizan kelihatan tenang walaupun diasak pelbagai persoalan.

Begitu juga dengan pendirian Ir Phahrolrazi dan Dr Ismail, yang dikira dapat membantu memudahkan parti mencari jalan keluar menamatkan kemelut daripada terus berpanjangan.

Bagi saya, tiada pemenang apatah lagi pihak yang kalah dalam isu ini. Masih terlalu banyak agenda penting -- bukan setakat memastikan kemenangan PAS dan Pakatan dalam PRU13 -- khususnya demi kepentingan rakyat yang perlu diberi tumpuan.

Justeru, jauhilah daripada membuat ulasan atau singgungan yang boleh menyakitkan hati rakan-rakan yang lain, khususnya ketika sebarang kenyataan mudah ditafsirkan dengan pelbagai maksud.

Bernama melaporkan, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, meskipun didesak pemberita mengenai kemelut pentadbiran Kedah, beliau tetap dengan pendirian untuk tidak akan campur tangan sebaliknya menyerahkan kepada PAS Pusat untuk menangani soal tersebut.

(Satu penyakit juga kalau dalam saat-saat krisis, ada pemimpin yang pantang disuakan soalan wartawan, pantas saja memberi respons meskipun natijahnya kepada jemaah buruk dan negatif. Begitu juga dengan sikap gatal tangan aktivis parti, khususnya yang mempunyai jawatan strategik, yang mencatatkan apa saja yang terlintas dalam pemikitran, termasuk hal-hal sensitif, misalnya dalam Facebook).

Secara peribadi, saya cuba mengelak daripada memandang remeh apa yang berlaku atau sekadar menuding jadi kepada musuh atau media yang dikontrol Umno. Memanglah BN dan medianya akan mengeksploitasi sejauh mungkin, terutama negara di ambang PRU13, dan ia satu kesempatan terbaik untuk menawan kembali Kedah.

Cuma saya kasihan dengan rakan-rakan media, khususnya di Utusan Malaysia dan TV3, yang begitu bebal (dan dungu) dalam laporan mereka, sehingga mahu mengaitkan semua perkembangan dalam PAS dengan faktor Anwar Ibrahim, dan terbaru ditambah elemen "parasit-parasit".

Imiginasi luar mereka asyik tertumpu kepada "krisis" kelompok "Erdogan" yang mahu menjatuhkan ulamak, sedangkan di Kedah, Dewan Ulama PAS Negeri, terutama ketuanya, dilihat bersama Phahrolrazi, termasuk dalam beberapa sidang akhbar.

Nasihat saya, menulislah berdasarkan kebenaran ... jangan rendahkah martabat sendiri hanya kerana mahu memuaskan nafsu bos politik anda!

Apa pun, buat penggerak parti, setiap masalah perlu dihadap secara serius, cermat dan bijaksana serta tidak memisahkannya dengan tradisi muafakat dan syura. Dalam keseluruhan babak yang dianggap genting ini (ada rakan menyifatkannya sebagai banyak membazirkan masa, tumpuan dan tenaga petugas parti), tentu ada yang "tercedera"; sama-samalah kita merawatnya dan bukannya menambahkan lagi luka.


Baca Seterusnya......

Potensi PAS Tanjong, Guan Eng dan Zahari Hasib

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Sewaktu BN nampak ghairah mahu menawan kembali negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang, tidak ramai penganalisis politik -- malah strategis Umno sendiri -- yang meletakkan Pulau Pinang sebagai sasaran utama untuk direbut.

Mungkin target Selangor dan Kedah dijangka lebih realistik berbanding Pulau Pinang dan juga Kelantan. Negeri termaju itu sememangnya begitu diidamkan Najib Razak, apatah lagi beliau Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, manakala pergolakan dalaman PAS di Jelapang Padi dilihat mencerahkan lagi peluang.

Bagaimanapun, di Pulau Pinang, sementalahan pula ketika umum melihat kecenderungan majoriti pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Tionghua, untuk terus menolak BN, dan mungkin dalam skala lebih besar berbanding PRU12, maka ia pastinya tambah menyukarkan BN.


Dalam masa sama, Gerakan yang menerajui kerajaan Pulau Pinang selama 40 tahun, langsung tidak menunjukkan petanda pemulihan, selain ketandusan pemimpin berpotensi-berbakat untuk menampilkan cabaran bermakna kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Presidennya, Dr Koh Tsu Koon, yang kalah teruk di kerusi Parlimen Batu Kawan kepada calon DAP, Dr P Ramasamy, bukan saja ditolak rakyat Pulau Pinang malah diperkecil-kecilkankan oleh rakan-rakan dalam parti sendiri. Malah, kemungkinan beliau sendiri tidak bertanding dalam PRU13.

Begitulah juga dengan nasib malang MCA, yang bertambah parah dan tiada petunjuk akan disokong pengundi pulau mutiara ini.

Empat tahun lalu, DAP mencatatkan kejayaan gemilang di Pulau Pinang -- satu kejutan gelombang yang turut melanda Perak, Selangor dan Negeri Sembilan apabila hampir semua calonnya menang -- dan menobatkannya sebagai peneraju kerajaan negeri. Semua calonnya, iaitu tujuh di kerusi Parlimen dan 19 Dun bukan saja berjaya, tetapi merekodkan majoriti undi yang besar.

KeADILan meraih empat kerusi Parlimen dan sembilan Dun, manakala PAS, yang bertanding dua kawasan Parlimen dan lima Dun, hanya dapat mempertahankan kerusi tunggalnya, melalui wakilnya, Allahyarham Hamdan Abd Rahman, iaitu Dun Permatang Pasir (kini disandang Ustaz Salleh Man, Pesuruhjaya PAS Negeri selepas pilihan raya kecil pada 26 Ogos 2009).

Percaturan politik Pulau Pinang tidak pernah sunyi daripada isu-isu kemunduran masyarakat Melayu. Seperti jenaka seorang tokoh PAS, "kalau semua kertas kerja yang membincangkan masalah Melayu Pulau Pinang dibuang ke laut, ia boleh membentuk sebuah pulau disebabkan begitu banyak dokumen tersebut".

Media yang diperalatkan Umno, seperti Utusan Malaysia dan TV3, memang cuba menimbulkan pelbagai isu kontroversi, terutama mengada-adakan cerita tentang apa yang didakwa diskriminasi kerajaan negeri terhadap orang Melayu, sekali gus memberi gambaran PAS tidak lebih daripada melukut di tepi gantang, malah diperkudakan DAP. (Saya masih merasakan wakil DAP dan PAS, masing-masing perlu dilantik sebagai Exco Kerajaan Kedah dan Kerajaan Pulau Pinang).

Di atas isu sama, kita pernah dipaparkan dengan siri demonstrasi hampir setiap minggu di sekitar Komtar bagi menentang kerajaan negeri, yang didakwa menindas orang Melayu. Sentimen perkauman cuba diapi-apikan. Ditonjolkan seolah-olah kerajaan yang diterajui DAP itu bersikap kasar dan keras dengan orang Melayu tetapi banyak bertolak ansur dengan golongan Cina.

Bagaimanapun, jika kita sempat turun ke Tanjong, untuk meninjau realiti politik di sana secara lebih dekat, gembar-gembur itu ternyata tidak berasas. Kepemimpinan Guan Eng ternyata disenangi ramai; agak sukar kita mendengar persepsi negatif tentang pentadbirannya. Namun, tentulah ia tidak sunyi daripada kesilapan yang perlu ditegur.

Selain sikapnya yang segera turun padang untuk menyelesaikan masalah rakyat, dengan beberapa insentif program sosial mengurangkan beban rakyat, beliau memperkenalkan juga langkah pembaharuan, di antaranya keperluan perisytiharan harta, lanjutan daripada urus tadbir cekap, akauntabiliti dan telus (CAT), prinsip asas dalam pentadbiran kewangan negeri, selain penekananan kepada sistem tender terbuka.

Kesederhanaannya menggunakan dana awam, termasuk tidak memanfaatkan keistimewaan beliau sebagai Ketua Menteri, mendapat pujian ramai. Misalnya, beliau lebih selesa menggunakan pesawat tambang murah. Saya pernah menemuramahnya di LCTT, Sepang, di celah-celah kesibukan penumpang menunggu jadual penerbangan AirAsia.

Setiausaha Politiknya, Zairil Khir Johari juga pernah membuat kenyataan akhbar bahawa apa-apa hadiah atau sumbangan semasa hari jadi Guan Eng tidak akan diterima. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, juga agak kerap merujuk pemerintahan Guan Eng jika beliau membincangkan isu integriti dan antirasuah.

Kenyataan Guan Eng yang mahu meneladani Khalifah Umar Abdul Aziz menunjukkan beliau serius dengan komitmen untuk membelanjakan wang awam secara berhemat, mengelak pembaziran, telus dan memastikan rakyat mendapat yang terbaik daripada khazanah hasil negeri.

Dalam kunjungan ke Kepala Batas, semasa menghadiri seminar kewartawanan media baru, 25 Februari lalu, saya berbicara tentang kedudukan strategik PAS di Pulau Pinang, yang mesti diperkukuhkan, terutama menjelang PRU13.


Ditemani Anuar Hashim, pegawai khas penerangan di Pejabat Ketua Menteri, saya sempat menyapa Guan Eng sewaktu beliau bergegas untuk menyampaikan bantuan ke kampung-kampung sekitar yang dilanda ribut.

Semasa jurufoto mahu merakamkan sudut menarik Guan Eng di hadapan pejabat daerah, saya perhatikan beliau berlari-lari anak, menarik Yang Dipertua PAS Kepala Batas, Rosidi Hussain, yang juga Penyelaras Kadun Penaga, untuk bergambar bersamanya.

Cerita Ketua Menteri yang mengambil berat penampilan pemimpin-pemimpin PAS, terutama dalam majlis rasmi kerajaan, sudah lama saya dengar. Ustaz Salleh juga pernah mengesahkannya. Guan Eng tidak mahu PAS dilihat terpinggir atau terasing.

Justeru, ramai mengharapkan kehadiran wakil-wakil PAS dalam setiap sektor kerajaan negeri, termasuk PBT dan Majlis Agama, memberi impak berkesan. "Wakil kita harus bekerja lebih efisyen dan berkualiti, selari dengan budaya kerja Ketua Menteri sendiri, yang nampak pantas tak terkejar," kata seorang PAS, sambil ketawa kecil.

Sebelum itu, semasa saya makan tengahari dengan Rosidi, di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas, beliau banyak menekankan perlunya PAS Pulau Pinang berusaha lebih gigih untuk menambahkan bilangan kerusi Dun dalam PRU13.

Tentulah tidak mudah berdepan Umno, yang masih berbekalkan dua kerusi Parlimen dan 11 Dun, apatah lagi disokong politik wang yang masih berleluasa.

"Saya akui kerusi Parlimen Kepala Batas, yang diwakili Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nor Mohamed Yakcob di Tasek Gelugor agak sukar direbut, tapi untuk empat kerusi Dun lagi, kita berpeluang," akui Rosidi.

Bagaimanapun, beliau tetap yakin, sekiranya PAS mengemukakan calon berwibawa dan disenangi pengundi, apatah lagi jika Abdullah mungkin tidak bertanding lagi kali ini, potensi PAS untuk dua kerusi Parlimen itu masih terbuka.

Selain Permatang Pasir yang dimenangi dengan majoriti 5,433 undi, PAS kalah di Dun Penaga (dengan majoriti undi calon BN 1,231), Permatang Berangan (1,985 undi), Sungai Dua (535), dan Bayang Lepas (399).

"Kesepakatan kerajaan Pakatan Rakyat akan nampak bertambah mantap jika PAS menang lebih banyak kerusi dan ada wakilnya dalam Exco. Serentak dengan itu, tohmahan bahawa masyarakat Melayu diabai kerajaan negeri mudah ditangkis," kata seorang bekas wartawan Bernama yang lama bertugas di Pulau Pinang.

"Saya pasti, Ketua Menteri pun lebih suka jika lebih ramai wakil PAS dalam sidang Dun nanti," tambahnya.

Saya mengakui, tanpa membuktikan terlebih dahulu keupayaan untuk menambat hati pengundi, kedudukan PAS dalam kerajaan negeri sukar diperkukuhkan. Lebih mustahak, selepas diberikan kepercayaan, amanah itu mesti digalas penuh dedikasi dan dilaksanakan dengan cemerlang.

Belum terlambat untuk menilai kembali perancangan strategik menguasai empat Dun, selain mempertahankan Permatang Pasir. Jumlah sasaran yang kecil tetapi praktikal itu sebenarnya mempunyai implikasi besar bukan saja dalam landskap politik Pulau Pinang tetapi negara keseluruhannya.

PAS mesti menunjukkan ia "rakan kongsi" yang proaktif dan boleh dipercayai, termasuk di negeri-negeri tertentu seumpama Pulau Pinang. Dalam waktu suntuk ini, saya bersetuju dengan pandangan Rosidi, iaitu faktor calon memainkan peranan yang cukup besar dan PAS mesti serius mencari tokoh-tokoh berkelayakan.

Dalam pada itu, semasa merasmikan seminar kewartawanan media baru berdepan PRU13 di Pongsu Seribu, Timbalan Pesuruhjaya, Ustaz Khalid Man membangkitkan isu menarik berkaitan Nor Yakcob yang telah dilupakan.

Beliau merujuk kepada kes penahanan bekas Setiausaha Politik Nor, Hasbie Satar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ketika itu Nor merupakan Menteri Kewangan II, yang dilihat begitu berpengaruh dan dekat dengan khazanah kekayaan negara.

Dalam usia 30-an, Hasbie mengumpulkan kekayaan luar biasa termasuk longgokan wang tunai jutaan ringgit yang ditemui di rumahnya. Beliau turut memiliki beberapa kereta mewah dan rumah agam.

"Isu ini mesti ditimbulkan semula, banyak misteri di sebaliknya yang harus dibongkar. Tentulah segalanya berkaitan rasuah," kata Khalid.

Justeru, saya berkira-kira untuk menelanjangkan kembali isu ini, bukan difaktorkan oleh cabaran Nor Mohamed Yackob kepada PAS di Tasek Gelugor, tetapi bagi merakyatkan persoalan berkaitan rasuah dan salahguna kuasa.

II.

Berita kematian penyair Zahari Hasib, 65, cukup mengejutkan. Sebaik sampai di ofis, pagi Isnin 27 Februari, saya dimaklumkan bahawa Zahari meninggal dunia pada Ahad malam.

Masih terngiang-ngiang suara serak-garaunya. Lebih kurang 10 jam sebelum rohnya berpisah daripada jasad, Zahari menghubungi saya. Seperti biasa, setiap kali puisinya disiarkan, beliau pasti menelefon saya, sekadar mengucapkan ucapan terima kasih. Dan kelaziman ini juga dilakukan kepada rakan-rakan di media lain.

Sebelumnya, Rabu, 22 Februari, rupanya Zahari singgah ke pejabat Harakah, dari Teluk Intan, menitipkan berbelas-belas paket kecil gula-gula dan beberapa plastik buah lai. Dan itu merupakan tradisinya sejak puluhan tahun bila turun ke Kuala Lumpur.

Zahari tidak memaklumkan kedatangannya lebih awal. Saya ketika itu di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, mengikuti kes perbicaraan Himpunan Mansuh ISA. Tanpa sempat saya menghubunginya, beliau terlebih dahulu menelefon: "Saudara Lutfi, sudah terima buah lai?"

Sesungguhnya saya amat meminati puisi Zahari. Mudah dan bersahaja. Senang diikuti oleh sesiapa saja. Benar, cukup puas menikmatinya. Isu-isu yang ditampilkannya menyentuh kehidupan rakyat biasa.

Saya sendiri mengendalikan sajak-sajak yang dihantarnya. Tetapi saya lebih suka kepada rangkap akhir setiap puisinya. Ada kejutan yang membahagiakan.

Saya tidak akan lupa -- setiap kali puisinya tersiar, pasti akan disusuli kad terima kasih. Masya Allah, beliau begitu menghargai orang lain.

Ucapan terakhir dalam kadnya: "Terima kasih dan terima kasih dan terima kasih Sdr Ahmad Lutfi Othman. Hidup Ahmad Lutfi, hidup Harakah!"

Untuk Harakah kali ini, kami siarkan lima puisinya. Saya pernah memintanya menulis tentang mahasiswa. Agak lambat Zahari menyiapkannya. Mungkin beliau agak tertekan dengan permintaan saya itu.

Hasilnya saya tidak menemui kejutan yang saya tunggu pada rangkap terakhir setiap karyanya.

Ya ... Sememangnya penyair tidak boleh 'dipaksa', 'kan?

Innalillahiwainnailaihirojiun. Alfatihah.

Berikut adalah puisi-puisi berkaca Almarhum Zahari itu:

Terima Kasih

Terima kasih kepada pagi
yang menantang angin lembut
segar serta nyaman


terima kasih kepada mentari
yang membawa sinar terang
lagi indah

terima kasih kepada sihat
yang tak menjadikan aku sakit
hingga boleh membaca
serta mencatat ilham
untuk menulis beberapa buah puisi

terima kasih
dan kesyukuranku pada Tuhan
kerana telah membenarkan aku
hidup sehari lagi
pada hari ini!



Catatan Dalam Bas

Sukar sekali
mahu jadi orang baik
dan bersopan

sebab kuala lumpur
seolah-olah mengajar kita
supaya bertindak bengis
kasar dan ganas

lalu di dalam bas ini
tidak ada lagi persaudaraan
atau timbang rasa

maka amat payah
untuk menemui mereka yang sudi
hendak meluangkan tempat duduk
bagi seorang buta
anak sekolah
atau ibu sarat mengandung


Cermin Muka


Cermin muka ini
tak pernah menyatakan bohong
pada tiap masa
ia menunjukkan yang benar selalu

ia menampakkan wajah
rambut
telinga
mata
serta bulu hidung

maka seperti pada tiap hari
kita bersolek dan bersikat di sini
untuk pada lahirnya akan
kelihatan cemas bersih serta
cantik

tetapi apakah
begitu juga hati yang di dalam?



Seorang Anak Muda

Seorang anak muda
yang gila dan melarat
rupanya masih ada tuah
sebab telah diterima
menjadi tamu
untuk makan bersama orang banyak
dan suatu majlis perkahwinan
di flat kami

sesudah kenyang
dia bangun beredar
lalu diarak pula
oleh ramai kanak-kanak
sambil ada yang bertepuk
dan menyanyi

maka dengan megah
dia pun berjalan di hadapan
sambil mengangkat kedua tanganya
dengan nyaring dia menjerit
undilah aku!
undilah aku!
saya ini calon pemimpin masa depan
kalau nati saya menag
nescaya
aku kuturunkan sewa rumah tuan-tuan!


Panggung Anniversary

Ketika bertanya isteriku
bagaimana panggung aniversary
pada malam itu?

aku cuma menjawab pendek:
keadaannya macam selalu
yang ramai datang orang Melayu
menggendong kekasih
anak serta cucu

nasiblah hujan lebat malam itu
kuranglah untung
si Cina cincau dan air tebu!

ZAHARI HASIB
Teluk Intan, Perak
Baca Seterusnya......

Bahaya ribut dalam cawan: Kedah tidak selamat buat PAS?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Tidak sukar untuk memahami kegelisahan ahli-ahli PAS peringkat akar umbi tentang situasi terkini politik di Kedah. Mereka risau dan bimbang perkhttp://3.bp.blogspot.com/_2v01fJNEVss/S2FxPVpCT0I/AAAAAAAAAzU/XTd8blRbeRA/s320/coffee.jpgembangan dramatik yang disensasikankan media itu boleh menyebabkan rakyat menolak Parti Islam dalam pilihan raya umum akan datang.

Hinggakan ada pembaca yang menelefon saya meluahkan rasa takut kerajaan Pakatan Rakyat Kedah boleh tumbang, sepertimana pernah berlaku di Perak genap tiga tahun lalu. "Bilangan Adun Pakatan dalam Dun Kedah, termasuk DAP, tinggal 20 orang, satu kelebihan yang cukup kecil berbanding 36 kerusi semuanya," katanya, sambil meminta Harakah memberi penjelasan lanjut senario sebenarnya.



Selepas Mohd Radhi Salleh (Lunas) dan Tan Wei Xu (Bakar Arang) mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas, KeADILan hanya mempunyai tiga Adun. Wakil PAS tetap 16, manakala DAP seorang. Kerajaan majoriti mudah terbentuk melalui 19 Adun.

"Insya-Allah, kerajaan negeri tetap stabil. Tak mungkin berlaku pengkhianatan di kalangan Adun PAS sampai BN boleh mengambil kesempatan, seperti kes Perak. Kalaupun ada perselisihan, ia hanya perbezaan pandangan bagi memantapkan lagi pentadbiran kerajaan," jawab saya.

Bagaimanapun reaksi pembaca setia Harakah itu jelas tidak berpuas hati dengan respons saya: "Yang untung hanyalah Umno, tiada pihak lain. Dan makin cerahlah peluang mereka tawan Kedah. PAS dalam posisi yang lebih sukar."

Seorang lagi menyuarakan keresahan sama: "PAS sukar digugat daripada luar. Semakin kita ditekan, tambah padu dan jitu, tetapi dengan pergolakan dalaman, kedudukan kita goncang dan mudah dikalahkan, apatah lagi dalam realiti di Kedah, kerajaan campuran baru satu penggal berkuasa."

SMS daripada rakan-rakan saya di kampung, Tunjang, Jitra dan lebih ramai lagi di Alor Setar, bertali arus. Sebahagian besarnya seperti kebingungan: "Yang paling kami tidak faham, mengapa hal ini dibangkitkan semasa semua orang bersiap sedia berdepan PRU13. Penyokong tegar mungkin tetap mengundi PAS dan Pakatan, tetapi bagaimana dengan majoriti rakyat yang kehairanan memerhati?"

"Rakyat bercakap soal laluan Pakatan ke Putrajaya. Bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin meramalkan BN hanya selamat di tiga negeri dan kejutan hampir pasti berlaku di Sabah dan Sarawak. Takkan ketika banyak pihak ghairah ingin melihat perubahan di seluruh negara, tiba-tiba Kedah yang dalam genggaman pun mungkin terlepas, bukan kerana BN kuat tetapi PAS yang lemah," usik seorang pemerhati politik.

Menyalahkan media milik Umno yang mengeksploitasi semahunya isu ini -- meskipun kebanyakan laporannya tersasar dan hilang punca -- tentulah tidak banyak menyelesaikan masalah. Dungu sangatlah Utusan Malaysia dan TV3 (serta tidak terkecuali The Star yang dikuasai MCA itu) jika tidak memanipulasikan peluang keemasan ini untuk membantu taukehnya, BN, menawan kembali Kedah dalam PRU13.

Sifat ingin tahu orang ramai, termasuk ahli dan pendokong PAS, sukar ditenteramkan hanya dengan nasihat atau peringatan mesti mendapatkan khabar daripada sumber berautoriti parti. Dalam zaman langit terbuka dan dunia tanpa sempadan ini, maklumat atau tohmahan hanya di hujung jari.


Secara peribadi, saya sukar membayangkan jika negeri kelahiran saya itu bakal direbut semula oleh Umno, hanya berpunca daripada masalah dalaman parti yang gagal diuruskan dengan baik. Umum mengetahui bahawa Umno Kedah kini bukannya dalam kedudukan terbaik untuk melakukan kejutan. Kelemahan ketara mereka daripada segi barisan kepimpinan yang lemah dan tidak menonjol.

Sejak 1969, prestasi PAS di Kedah begitu membanggakan. Meskipun penguasaan kerusi Dun ada
kalanya begitu menyedihkan, namun kekuatan asas PAS tetap bertahan.

Aktivis PAS negeri ini pasti mengalir air mata mengenangkan kesungguhan, ketekunan dan ketabahan pemimpin agungnya, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, mengharungi siri kesukaran dan penderitaan, termasuk menanggung keuzuran yang menyiksakan.

Ya, Ustaz Fadzil yang begitu dekat dan terasa cukup akrab dengan sanubari para aktivis parti ...

Penggerak PAS Kedah tentunya masih mengingati sedalamnya tribulasi yang terpaksa dihadapi mereka hanya kerana mahu mendaulatkan kebenaran yang dibawa Parti Islam. Peristiwa Memali pada 19 November 1985 memakan korban yang ramai dan menganugerahkan syuhada buat 14 pejuang PAS.

Sebelumnya, ia didahului tragedi Lubuk Merbau, yang mengorbankan aktivis PAS, Othman Talib, yang terbunuh semasa kempen pilihan raya kecil Padang Terap pada Januari 1985, selepas diserang ahli-ahli Umno.

Pada akhir 1980-an, ramai aktivis PAS dikurung ISA ekoran rampasan tanah Muassasah Darul Ulum seluas 48 relung di Pokok Sena, lebih kurang 20km dari Alor Setar. Ahli-ahli PAS seluruh negeri Kedah bergilir-gilir membuat kawalan, siang dan malam, bagi mempertahankan hak mereka.

Sesungguhnya keringat, air mata dan darah menyuburi tapak kekuatan PAS Kedah.

Sebenarnya, yang menghalang PAS daripada membentuk kerajaan negeri lebih awal hanyalah kerana sokongan pengundi bukan Melayu di Kedah yang ketika itu masih setia kepada BN. Misalnya, pada pilihan raya umum 1999, BN berpaut rapat dengan masyarakat bukan Melayu apabila sebahagian besar kerusi majoriti pengundi Melayu dikuasai PAS.


Kemenangan manis pada Mac 2008 adalah hadiah paling istimewa buat aktivis PAS Kedah yang terbukti tetap istiqamah dan komited mengungguli perjuangan meskipun diasak kiri dan kanan. Amanah rakyat ini perlu dipelihara sebaiknya; kepercayaan tinggi mereka usah dipersiakan.

Beberapa rakan mengingatkan saya: "Kini, Umno boleh menyimpan peluru miliknya kerana mereka boleh menggunakan peluru yang dihadiahkan PAS untuk menyerang PAS sendiri. Adat orang berseteru, termasuk sesama dalam sebuah parti, akan timbul sedikit sebanyak serangan peribadi yang memburukkan sesama sahabat. Lebih bimbang lagi jika ia hanya fitnah."

Seperti ahli-ahli PAS dan penyokong Pakatan yang lain, saya amat mengharapkan ada kaedah atau pendekatan terbaik menangani kemelut ini. "Ribut dalam cawan" ini tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi jika ia bukan hanya membabitkan dua tiga tokoh sahaja.

"Walaupun ribut dalam cawan, tetapi mesti pastikan air tidak tumpah ataupun terpercik keluar." Ungkapan ini pernah saya dengar belasan tahun lalu, juga semasa PAS dilanda krisis dalaman.

Apa pun, laporan Harakahdaily, Selasa lalu, memberi sinar positif.

Rombongan PAS Pusat yang bertemu pemimpin negeri, yakin isu di Kedah dapat diselesaikan dalam masa terdekat, kata Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub. Beliau berkata demikian selepas pimpinan PAS Pusat mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Razak.

Mereka juga turut menemui Exco Kanan Dato' Ir Phahrolrazi Zawawi, yang menjadi perhatian media sejak akhir-akhir ini.

Pimpinan PAS Pusat yang diketuai Timbalan Presiden, Mohamad Sabu itu turut disertai Dr Syed Azman Ahmad Nawawi, Penolong Setiausaha Agung PAS.

Mereka berkunjung ke rumah Ustaz Azizan dan Phahrolrazi. "Pertemuan hari ini banyak menghasilkan buah fikiran dan cadangan yang membina serta menunjukkan tanda positif ke arah penyelesaian. Hasil pertemuan ini akan dibawa ke mesyuarat khas AJK PAS Pusat malam Rabu," kata Salahudin.

Semasa ramai prihatin dengan perkembangan di Kedah, saya mendapat emel, antara lain merakamkan: "Semua pemimpinan Pakatan mesti menjaga perlakuan serta percakapan kerana dibimbangi ia boleh menjerat diri. Mesti berhenti daripada berasa "akan menang" atau "selangkah ke Putrajaya" takut-takut kita mudah berpuas hati dan mengurangkn gerakerja serta mengharapkn orang lain melakukan tugas yang kritikal.

"Terus terang cakap,jangan seronok sangat kononnya ramai orang sokong Pakatan. Harakah harus beri kefahaman tentang perjuangan Islam PAS kepada orang Melayu dengan sejelasnya.

"Akhir sekali tetapi penting, berhenti berangan-angan, rapatkan saf dan gempur habis-habisan. Semua perkara harus dilakukan dengan pantas dan tersusun. Kurang bercakap, banyakkan kerja, cakap hanya yang penting saja," kandungan emel itu dipetik.

Dalam pada itu, ingatan seorang pemimpin cawangan PAS di Selangor juga perlu diberi perhatian. Melalui telefon beliau mengharapkan agar pemimpin tertinggi parti meneliti impak program-program bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Ali, yang kini aktif berceramah di seluruh negara.

"Jangan hanya serahkan isu Hasan Ali kepada PAS Selangor semata-mata. Dalam situasi setiap undi begitu penting, sama ada buat Pakatan, mahupun BN, maka pilihlah jalan lebih selamat iaitu memandang serius semua isu yang berkait dengan PAS," ujarnya.

"Mungkin ada yang berkata siri ceramahnya itu, pada sesetengah tempat agak ramai hadirin, kerana ia ditaja Umno, lalu dipandang remeh. Saya tak setuju. Saya bimbang ada pengundi Melayu confuse dan keliru bila dengar ceramahnya. Kesan akhirnya, ini akan menguntungkan Umno," tekannya lagi dengan nada serius.

Pandangan rakan saya, editor kanan sebuah akhbar harian, mungkin boleh disanggah dengan mudah, tetapi saya lebih selesa untuk bersikap berhati-hati dan tidak meremehkannya. Beliau berkata, isu-isu di Kedah dan Selangor, meletakkan PAS pada kedudukan yang agak goyah di negeri-negeri berkenaan.

"Mungkin misi BN akan menjadi lebih mudah di Kedah berbanding Selangor," tambahnya.

-----------

Harakah akan menziarahi keluarga tahanan ISA di Tawau Sabah, sila hulurkan bantuan kepada akaun Maybank Harakahdaily Dot Com no. 564070000336

IKUTI PERKEMBANGAN POLITIK KEDAH DI :






Baca Seterusnya......

KAMI, Sakmongkol, ramalan Daim dan ISA

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Wacana PRU13 yang dianjurkan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), 18 Februari lalu, di Hotel http://profile.ak.fbcdn.net/hprofile-ak-snc4/50296_121089287937557_2500_n.jpgMidah, Kuala Lumpur, merakamkan keprihatinan, sekali gus kebimbangan, terhadap persiapan dan persediaan Pakatan Rakyat, khususnya PAS, berdepan pilihan raya paling signifikan dalam sejarah negara ini.

Lebih ekstrim lagi, ada yang mempersoalkan, apakah tajuk yang dipilih penganjur, "Peranan Kritikal dan Strategik PAS Menjayakan Road Map Pakatan ke Putrajaya", masih relevan memandangkan tindakan agresif Dato' Seri Najib Razak berkempen, turun padang dan menawarkan rakyat pelbagai insentif "one off".

"Mungkin lebih baik difokuskan strategi untuk mempertahankan negeri-negeri Pakatan yang ada daripada menjangkau impian yang terlalu besar. Saya bimbang road map ke Putrajaya akan menjadi harapan palsu," kata Ghazali Mayudin, bekas pensyarah sains politik yang diundang sebagai penalis bersama Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS.

Saya tidak terperanjat dengan ingatan ikhlas bekas guru saya itu. Sewajarnya elemen "syok sendiri" tidak membatasi penggerak PAS daripada terus berikhtiar dan mencari formula mengatasi kelemahan yang ada.

Malah tujuan KAMI menghimpunkan lebih 40 aktivis pelbagai latar belakang itu didorong oleh kesedaran tinggi --  masih banyak ruang untuk meningkatkan keupayaan Pakatan bagi meyakinkan rakyat bahawa mereka bukan sahaja mempunyai pilihan lain dalam PRU13, bahkan pilihan itu lebih jauh lebih baik berbanding Umno-BN.

Melalui siri wawancara eksklusif saya dengannya, dan wacana pada 3 Disember 2011, di Shah Village Hotel, Petaling Jaya, bertajuk  "PRU13: Malaysia Ke Arah Negara Berintegriti", Mat Sabu  begitu prihatin dengan kewibawaan semua komponen parti dan para pemimpin Pakatan.

Beliau memandang serius aspek integriti, ketelusan dan keterbukaan, yang perlu dipamerkan oleh aksi dan teladan kerajaan negeri Pakatan. Katanya, kerosakan Umno-BN tidak dapat dibaiki lagi dan amarah rakyat sukar dibendung. Gabungan parti yang memerintah sejak merdeka itu akan jatuh.

Soalnya, kata Mat Sabu, rakyat sedang menilai dengan cermat prestasi pemerintahan Pakatan, khususnya penampilan pemimpin dan wakil rakyatnya. Mereka mahu diyakinkan bahawa kerajaan alternatif akan membawa pengisian jauh lebih baik, bukan sahaja membasmi elemen korupsi tetapi juga  mampu mengangkat martabat rakyat.

Dalam sesi perbincangan pagi 18 Feb itu, Mat Sabu masih menekankan aspek integriti dan keadilan sosial yang ditawarkan Pakatan. Sebagai tokoh no. 2 PAS tentulah beliau lebih senang merujuk situasi dalam partinya sendiri -- dengan segala kelemahan dan kelebihan yang ada.

Beberapa peserta wacana membangkitkan soal tarikh PRU13 dan mengaitkannya dengan tempoh singkat untuk mengubah persepsi pengundi, terutama masyarakat Melayu, yang sebahagian besarnya dijangka akan mengekalkan BN sebagai pemerintah.

Seperti ditekankan berulangkali, tanpa penyertaan majoriti orang Melayu dalam gelombang perubahan, maka impian untuk melihat Malaysia yang bersih daripada rasuah, penindasan, dan salahguna kuasa sukar dicapai.

Di waktu ramai percaya bahawa  semakin tinggi peratusan masyarakat Cina akan mengundi Pakatan Rakyat -- ada meramalkan sehingga 85 peratus -- dalam masa sama, jentera pilihan raya PAS dibebankan amanah lebih besar, agar melipatgandakan lagi usaha mendedahkan dakyah palsu Umno yang masih mempengaruhi pengundi Melayu.

Di awal majlis, saya menjelaskan posisi "strategik tetapi kritikal PAS", di antaranya berpunca daripada faktor demografi kawasan yang bakal ditandingi Parti Islam, berdepan Ummno di kerusi majoriti pengundi Melayu, di kampung-kampung tradisi yang mungkin belum terdedah sepenuhnya dengan politik baru.

Namun begitu, tidak sedikit pengundi Melayu yang sudah jelak dengan kepincangan pemerintahan BN, sekali gus menyedari tingkah laku menjolok mata pemimpin Umno yang bergelumang rasuah, tetapi minda politik mereka masih terkepung dan mudah dipengaruhi dakyah perkauman sempit BTN.

"Selepas Najib menyelesaikan bantahan kakitangan awam terhadap syor awal SBPA (Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam) dan meredakan kontroversi fidlot lembu Shahrizat, Parlimen mungkin akan dibubarkan segera," kata seorang peserta wacana.

Kerisauan itu sebenarnya mudah difahami. Mereka bukannya sangsi dengan keupayaan rakyat untuk menolak kebobrokan Umno, atau merasakan Najib sudah ada lampu aladin untuk menyelamatkan BN yang kian kronik. Cepat atau lambat, era Umno  akan berakhir; penyakit yang dideritainya mustahil disembuhkan lagi.

Peserta wacana sekadar tidak mahu kesempatan terbaik untuk menukar kerajaan -- yang tidak pernah 'terhidang' sebelum ini --  terlepas hanya disebabkan masalah remeh-temeh atau titik-bengik, seperti perselisihan sesama Pakatan atau mengambil ringan persiapan taktikal dan logistik.

"Tiada istilah terlewat, kerana ruang dan peluang luas terbentang. Rakyat sudah bersedia untuk berubah, malah mereka tidak sabar-sabar lagi untuk menghukum BN. Dalam masa singkat tetapi berkesan ini, setiap potensi tidak boleh dibazirkan. Jangan hampakan impian rakyat," bisik seorang rakan.

"Keyakinan itu mesti dibajai, bukan digoyang atau diragui dengan pelbagai karenah negatif di kalangan Pakatan," tegurnya lagi. "Saya setuju pandangan you bahawa parti yang paling kurang melakukan kesilapan akan muncul sebagai pemenang," tambahnya merujuk kolum Catatan Hujung.

Mat Sabu mengakui, mana-mana parti pemerintah yang berkuasa dalam tempoh yang lama seperti Umno, hanya menunggu detik kematian.

"Kita memang sentiasa berasa seperti tidak cukup bersedia, misalnya pada 2008, siapa jangka tsunami politik melanda. Sekarang ketika berceramah, berdasarkan pengalaman lebih 30 tahun, saya dapat rasai riak perubahan yang ketara. Nampak hadirin yang pelbagai, tidak seperti dahulu," ujarnya.


Nada suara bekas Timbalan Presiden KeADILan, Abd Rahman Othman agak menyentak. Beliau mengingatkan, kedudukan PAS memang kritikal apatah lagi misinya adalah untuk memenangi 60 kerusi Parlimen berbanding 80 yang dijangka bertanding.

Sambil menegur prestasi kerajaan negeri Kedah dan Kelantan, yang baginya mampu melonjak lebih tinggi, Abd Rahman mahu PAS mengambil langkah drastik atau bertindak "di luar kotak" dalam PRU13.

"PAS mesti berubah. Dalam waktu singkat dan kritial ini saya tidak nampak  isu lebih besar daripada keberanian untuk kemukakan calon daripada muka-muka baru. Ramai tokoh PAS hari ini merupakan orang lama lebih 30 tahun lalu. Tampilkan calon berwibawa, profesional dan diyakini rakyat. Kalau perlu, fikirkan untuk perkenalkan calon-calon itu lebih awal lagi," katanya.

Saya  tertarik dengan cadangan yang dilontarkan Dr Mohamad Alinor Abd Kadir, bagi memecahkan "kebuntuan" menangani kemelut pengundi Melayu. Katanya, PAs mesti menakluki pengundi Melayu dengan tindakan awal mengubah cara mereka berfikir. Katanya, dalam masa yang singkat sebelum PRU13, PAS, DAP dan KeADILan mesti menghantar penceramah khas dalam setiap ceramah untuk mengubah cara orang Melayu berfikir.

Di majlis berbeda, dalam sesi cakap-cakap Harakah dengan Dato' Mohd Ariff Sabri  Abdul Aziz, bekas Adun Pulau Manis, Pekan (2004-2009), Khamis lalu, kami didedahkan dengan situasi politik yang lebih meyakinkan.

Ariff Sabri, yang lebih dikenali melalui blog Sakmongkol AK47, menceritakan pengalamannya bersama bekas ketuanya, Najib, terutama semasa beliau menjadi Ketua Penerangan Umno Pekan.

Gambaran yang dipaparkan dalam pertemuan sejam setengah itu cukup menarik. Meskipun memilih DAP sebagai wadah barunya, Ariff Sabri komited dengan misi perubahan yang didambakan rakyat.


Baginya, Najib bukanlah seorang tokoh pembaharu yang dapat menyelamatkan Umno, sebaliknya hanya bergantung dengan rasuah untuk membeli sokongan, termasuk untuk "menjaga pemimpin dan ahli-ahli Umno Bahagian Pekan".

"Najib ini tiada wawasan, dia ini mentadbir dan urus negara macam urus Umno Bahagian Pekan," tambahnya.

Mengakui agak rapat dengan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, terutama selepas melancarkan blognya, Ariff Sabri mendapat maklumat bahawa hanya tiga negeri yang agak selamat buat Umno, iaitu Johor, Melaka dan Pahang.

"Dan BN mungkin kalah lebih 20 kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak dalam PRU13 nanti," katanya, merujuk satu sumber kajian pemimpin Umno sendiri.

"Zaman membeli undi seperti yang dilakukan Najib, sehingga terjelma dalam pentadbiran kerajaan BN, sudah berlalu. Veteran terkemuka Umno sendiri mengakui hakikat ini. Rakyat lebih prihatin ke mana pemimpin politik nak bawa negara ini, itu yang ditanya mereka, bukannya duit dua tiga ratus yang disogok," tegas Ariff Sabri yang nampak yakin pengundi Melayu juga turut berubah sekiranya maklumat sahih disampaikan kepada mereka.

Dalam pada itu, saya yang turut ke kompleks mahkamah, Jalan Duta, Rabu lalu, terkedu mendengar hukuman yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen ke atas aktivis Himpunan Mansuh ISA, 1 Ogos 2009.

Ketika Najib berbangga dengan apa yang didakwanya sebagai tranformasi politik memansuhkan akta zalim itu pada malam Hari Malaysia tahun lalu, hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 memberi mesej berbeza.

Seorang yang selalu menghubungi saya melalui telefon, Mak Cik Kedah tidak mahu mengulas panjang hipokrasi itu, sebaliknya membaca serangkap pantun. Kebetulan saya sedang memandu ketika itu, lantas memintanya SMS sahaja: "Bujang Senang Sungai Sarawak, berenang berendam di kala senja; lidah bercabang mengalah biawak, indah khabar dari rupa."
Baca Seterusnya......

Menunggu debat televisyen Anwar-Najib

Chua Soi Lek dalam debat dengan Lim Guan Eng mendakwa DAP diperalat PAS, sedangkan selama ini pemimpin Umno menyifatkan PAS diperkudakan oleh DAP

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Saya langsung tidak berminat dengan polemik siapa pemenang dalam debat di antara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek, jam 5 petang, 18 Februari, di Hotel Berjaya, Kuala Lumpur, yang disiarkan secara langsung oleh Astro.

Akhbar harian, termasuk The Star (pedulikan paparan Utusan Malaysia dan Berita Harian yang dikontrol Umno), tidak dapat menyembunyikan keghairahannya untuk mempolitikkan event yang bersejarah itu bagi kepentingan pemiliknya, MCA. The Star turut mengada-adakan kenyataan yang tidak dilafazkan Lim.

Lim ternyata tidak mendapat liputan adil, termasuk oleh akhbar Cina terlaris, Sin Chew Daily, apabila Chua disifatkan lebih terserlah, walaupun hakikatnya Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak mahu terperangkap dengan permainan Presiden MCA yang gemar melakukan serangan peribadi.

Bagi Lim, debat seharusnya merupakan satu pertandingan yang berlandaskan idea, cita-cita dan prinsip. Bagaimanapun, kepada saya, sikap penonton yang agak emosional, terutama ketika mengemukakan soalan kepada Lim dan Chua, adalah lumrah dan dipercayai akan menjadi lebih matang jika amalan perbahasan seumpama ini dapat dilazimkan dalam budaya politik Malaysia.

Sebenarnya perdebatan sejam, yang berjalan dalam bahasa Cina, tetapi dialih bahasa secara langsung ke bahasa Melayu oleh Astro Awani, bertajuk "Kaum Cina di persimpangan: Apakah sistem dua-parti menjadi sistem dua-bangsa?" itu sendiri sudah merupakan satu kejayaan dan perlu diteruskan.

Di kala kebebasan bersuara di televisyen dikuasai mutlak Umno-BN, tradisi debat wajar diperluaskan khususnya menjelang kempen Pilihan Raya Umum Ke-13, bagi membuka ruang awam yang lebih kondusif agar rakyat dapat membuat penilaian dan pilihan dengan lebih tepat.

Apatah dalam situasi Pakatan Rakyat sentiasa dinafikan hak untuk akses kepada media; mereka hanya berpeluang menemui rakyat melalui saluran yang sememangnya sukar disekat oleh elit penguasa, iaitu media baru. (Saya teringat tuntutan asas Bersih, iaitu akses media yang bebas dan adil, juga masa kempen minimum 21 hari).

Malang sekali apabila medium tradisi yang dimanfaatkan Pakatan, khususnya program ceramah, turut disekat, bukan sahaja oleh kesukaran mendapat permit polis dan kepayahan mencari lokasi sesuai, malah Umno kembali mempromosi budaya samseng, dengan tindakan ganas untuk menakutkan masyarakat Melayu.

Insiden terkini melibatkan majlis ceramah Anwar Ibrahim di kawasan Parlimen Sembrong, Johor, yang diwakili Menteri Dalam Negeri, pada 19 Februari lalu. Kereta yang dinaiki Ketua Pembangkang itu diserang kira-kira 200 "samseng berbayar" mengakibatkan remuk cermin depan dan kemek pintu belakang di sebelah kanan.

Penulis Sayuti Omar yang menyaksikan adegan itu melaporkan, selain aktiviti ganas, "samseng upahan" Umno itu juga melemparkan maki-hamun dan kata-kata lucah terhadap Anwar dan penyokong Pakatan. Cukup memalukan. Di kawasan menteri yang menjaga polis, hal keselamatan diperjudikan.

Berbicara soal debat awam ini -- tanpa mempedulikan siapa yang dilihat kalah atau menang -- saya lebih tertarik dengan ungkapan awal Lim dalam ucapannya, selepas menegaskan bahawa debat televisyen mencipta satu bab yang baru dalam politik demokrasi di Malaysia: "Saya berpendapat bahawa, apa yang warga Malaysia benar-benar ingin saksikan, adalah debat antara Perdana Menteri Najib dengan Anwar, untuk melihat siapa yang sebenarnya lebih layak menjadi Perdana Menteri. Siapa tidak berani berdebat, jangan harap nak jadi Perdana Menteri!"

Tentunya masih segar dalam ingatan kita debat terbuka mengenai kenaikan harga minyak pada 15 Julai 2008, di antara Anwar dan Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Cheek, yang juga disiarkan secara langsung.

Shabery wajar dipuji di atas keberaniannya, meskipun ramai beranggapan beliau kalah dalam perdebatan itu. Namun, keterbukaan Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi lebih patut disanjung, lebih-lebih memandangkan prestasi BN begitu buruk dalam PRU12, beberapa bulan sahaja sebelum itu. (Saya lebih mengingati Abdullah kerana membenarkan Harakah kembali diterbitkan dua kali seminggu selepas dipancung kekerapannya pada Mac tahun 2000).

Satu ketika dahulu, forum di universiti kerap menjadi medan perdebatan di antara tokoh-tokoh besar negara, menemukan pemimpin-pemimpin utama kerajaan dan pembangkang, membincangkan isu-isu kritikal negara, misalnya Debat Agung Ekonomi Universiti Malaya. Masyarakat luar kampus juga dibenarkan hadir dan Dewan Tun Canselor sesak dengan penonton.

Kini, menara gading mati. Kebebasan akademik sudah lama ditalkinkan. Ramai tokoh yang tidak disenangi pencacai Umno (yang menjadi pentadbir kampus) dilarang menghadiri program anjuran mahasiswa. Di pihak Umno, tidak ramai pemimpinnya yang bersedia bersemuka dengan pemimpin pembangkang. Kalaupun tidak menolak undangan, mereka lebih banyak menghantar wakil.

Dalam situasi sebegini, inisiatif Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan siri wacana, yang menemukan tokoh BN dan Pakatan, merupakan langkah proaktif melebarkan partisipasi rakyat dalam sistem demokrasi.

Wacana siri ke-9 baru-baru ini mengupas isu ketelusan proses pilihan raya, membariskan penalis Exco Kerajaan Negeri, Husam Musa yang juga Naib Presiden PAS, dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Abdul Aziz dan mantan Pengerusi SPR, Abdul Rashid Abdul Rahman.

Bagi saya, Nazri juga perlu diberikan penghormatan kerana jarang menghampakan jemputan penganjur dan bersedia berdebat dengan pemimpin Pakatan, walaupun hujahnya seringkali tersasar. Pedulikan itu, yang penting kesediaan untuk saling mengemukakan hujah secara berdepan.

Bagaimanapun, perhatian kini lebih tertumpu sama ada Najib bersedia untuk menyambut cabaran debat yang paling ditunggu-tunggu itu. Sesungguhnya, lambat atau cepat, proses pendemokrasian yang lebih matang bakal mencorakkan landskap politik tanahair, dan di antara elemen pentingnya ialah perbincangan terbuka isu-isu dan dasar-dasar negara.

Mengulas gesaan Lim agar PM berdebat dengan Ketua Pembangkang, Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar dilaporkan berkata: "Najib perlu bersedia untuk berdebat secara terbuka, bukannya berceramah ke seluruh negara tanpa berhadapan dengan Anwar. Jangan hantar wakil. Rakyat mahukan debat antara Najib dan Anwar, bukannya wakil mereka seperti sebelum ini apabila Ahmad Shabery Cheek dihantar untuk berdebat dengan Anwar.”

Ketua Penerangan KeADILan, Dr Muhammad Nur Manuty menyifatkan pemimpin yang enggan bersemuka dan bertentang mata memberikan persepsi ketidakikhlasan dan ketidakjujuran. "Ia mempamerkan bahawa ada rahsia yang mahu disorokkan. Apakah sebenarnya mahu disembunyikan dari rakyat itu? Umno-BN wajib menjelaskannya," tambahnya.

Sekiranya Najib masih merujuk restu mentornya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tentulah debat yang diimpikan itu tidak menjadi. Dr Mahathirlah yang meminda Auku pada 1975 sehingga mahasiswa dibonsaikan menjadi pelajar sekolah menengah. Dia juga yang mengetatkan lagi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, selain Akta Polis, pada 1988, yang membataskan kebebasan bersuara dengan teruk sekali.

Semasa mengulas cadangan debat Najib-Anwar, Dr Mahathir berkata, "Tidak ada apa untuk berdebat dengan Anwar." Tambahnya, "debat boleh, seronok orang tengok tapi kesan tak ada."

Sementara itu, saya cukup tertarik dengan tanggapan Chua terhadap PAS dan DAP dalam debat Sabtu lalu. Beliau menyifatkan PAS sebagai parti paling beruntung sekiranya Pakatan menguasai Putrajaya, bukannya DAP mahupun KeADILan.

Sebelum ini, banyak kali juga Presiden MCA itu memuji PAS dari segi keadilan dan organisasinya yang lebih mantap. Motifnya tidak sukar ditelah. Chua hanya mahu menakutkan masyarakat Tionghua, menggertak pengundi Cina agar menjauhi Parti Islam. Agaknya Chua masih dalam mimpi apabila beranggapan orang Cina mudah diperdaya sedangkan mereka kian dekat dan rapat dengan PAS.

Ya... MCA mendakwa DAP menjadi perkakas PAS, sebaliknya pemimpin Umno pula menohmahkan PAS adalah kuda tunggangan DAP. Nampak sangat Umno dan MCA masih bermain dengan politik kuno yang sudah usang dan lapuk ditelan zaman.

Lebih menarik apabila pemimpin Umno "mengeluh" bahawa PAS sudah lari daripada perjuangan Islam, sambil mengatakan Parti Islam itu sudah tidak seperti dahulu lagi.

Tahu apa yang dikatakan Chua kepada DAP semasa debat terbuka itu? Chua mendakwa, DAP sekarang sudah tidak sama dengan DAP yang lalu!


Walhal, daripada "dahulu, kini dan selamanya", Umno dan MCA konsisten melemparkan tohmahan tidak berasas dan fitnah kepada PAS dan DAP.

Baca Seterusnya......

Blog Archive