Tuesday, May 29, 2012

Mahathir ramal Umno ganas jika kalah?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Sewaktu debat mempertemukan Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin disifatkan sebagai permulaan budaya politik baru yang sihat dan matang, kita dikejutkan dengan siri aksi brutal terhadap program Pakatan Rakyat.

Ketika rakyat masih mengingati dengan jelas perlakuan ganas polis semasa menyuraikan himpunan aman Bersih 3.0, riak kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka bakal menjadi gelanggang terburuk dalam sejarah, seperti hampir tidak dapat dielakkan lagi

Terbaru, 24 Mei, di Pantai Dalam, media melaporkan batu dan telur berterbangan semasa Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berceramah, mengakibatkan seorang warga emas cedera di kepala. Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Nurul Balqis dturut terkena lontaran batu sebesar kira-kira penumbuk tangan.

Menurut saksi, batu itu dibaling dari kawasan ceramah Umno di kuarters Dewan Bandaraya Raya Kuala Lumpur (DBKL) Pantai Dalam yang terletak bersebelahan. Personaliti yang ghairah menabur fitnah, Ummi Hafilda Ali berceramah dengan pembesar suara dihalakan kepada audien program Pakatan Rakyat, dengan menjawab secara langsung isu-isu yang dibangkitkan penceramah Pakatan berhampiran.

Hari yang sama, di Sayong Lembah, Kuala Kangsar, pada majlis ceramah membabitkan bekas Menteri Besar Perak yang digulingkan, Nizar Jamaluddin, 11 kereta disimbah cat biru. "Cat itu kebanyakannya disimbah di bahagian lampu depan," kata Nizar.

Minggu ini juga, kumpulan anti-Bersih, yang diketuai pemilik Restoran Sekinchan Ikan Bakar, Jamal Yunus, secara berterusan melakukan provokasi dan gangguan melampau di hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga selepas aksi "senaman punggung" dipamerkan pada 15 Mei.

Minggu lalu, di Melaka, batu dan telur juga berterbangan di majlis minum petang anjuran PAS, di mana Ambiga dijadual hadir. Dua Adun DAP, Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh) dan Tey Kok Kiew (BAndar Hilir) berkata, tayar kenderaan mereka dipancitkan, cermin sisi pecah dan badannya kemik teruk dihantam kumpulan pengacau yang didalangi Umno, termasuk beberapa wakil rakyatnya.

Siri gangguan ke atas program dan personaliti pembangkang dijangka berterusan, malah mungkin ditingkatkan, kerana ia sudah menjadi budaya Umno sejak zaman berzaman (ingat zaman Pemuda Tahan Lasak Umno), yang kini pimpinan parti berkenaan gelabah dan kelihatan gabra menghadapi "hukuman rakyat" dalam PRU13.

Secara peribadi, saya pelik memikirkan bagaimana Umno-BN yang meniti saat-saat sukar ini, memilih pendekatan konfrontasi, yang sebenarnya semakin menjauhkan lagi parti itu daripada sokongan pengundi.

Meskipun ia ibarat "baling batu sembunyi tangan, namun banyak bukti boleh ditunjukkan bahawa segala serangan dan provokasi jahat selama ini (ingat siri gangguan sejak keputusan PRU12, Mac 2008, khususnya di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan, dengan kemuncaknya rampasan kuasa kerajaan Perak), ditaja oleh Umno.

Sepatutnya, menjelang PRU13 yang cukup kritikal itu, semua parti-parti yang bertanding mempersembahkan pendekatan terbaik bagi memikat hati dan pemikiran pengundi, bukannya melakukan tindakan agresif -- apatah lagi berunsur samseng dan ganas -- yang hanya menyebabkan masyarakat menjadi lebih marah dan jelik.

Aneh sekali strategi Umno ini, 'kan? Ketika perayu kempen berusaha dengan segala tenaga untuk melunakkan hati pengundi, mereka memilih taktik yang boleh menikam belakang sendiri!

Tentu ramai mengingati bagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menghadapi asakan di luar adab kemanusiaan, termasuk dihadiahkan "kek tahi" yang menjijikkan sempena hari jadinya tidak lama dahulu.

"Apa nak dihairankan, tengok saja akhbar-akhbar yang dimiliki Umno, yang tidak malu-malu menyiarkan gambar lucah dan porno, hanya untuk memburuk-burukkan pemimpin Pakatan Rakyat. Blogger yang ditaja dan diupah Umno, serta mendapat layanan istimewa pemerintah, bersikap biadab dan kurang ajar ketika memaparkan posting mereka," kata seorang teman, seorang pensyarah sains politik.

Ternyata Umno tidak sabar dan tahan uji menghadapi kekalahan, apatah lagi menunggu "saat kematian". Sedangkan selama ini, sejak pilihan raya umum pertama, pembangkang khususnya PAS, tetap menolak pendekatan kekerasan atau militan meskipun sering diganasi secara fizikal dan istiqamah dengan "muwajahah silmiyyah".

Pemimpin dan aktivis PAS menghadapi ujian perit, termasuk dibunuh, dipenjarakan, dibuang daerah, dinafikan hak sebagai warga dan pelbagai bentuk pengkhianatan lain. Biarpun kalah teruk -- termasuk melalui penipuan -- dalam pilihan raya, PAS tetap menghormati proses demokrasi dan pemimpinnya berjaya meyakinkan ahli-ahlinya agar tidak memilih jalan di luar batas undang-undang.

Justeru, apabila bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad cuba melakukan satu lagi provokasi jahat, bagi saya ia satu tindakan tidak bertanggungjawab dan patut dikecam.

Dalam blognya, Dr Mahathir mendakwa jika Pakatan Rakyat tewas dalam PRU13, mereka akan menganjurkan "demonstrasi ganas" tanpa henti untuk menolak keputusan itu. Selepas itu, pembangkang akan mengusahakan pilihan raya baru yang dimanipulasi mereka diadakan.

"Tunjuk perasaan Bersih yang besar dan ganas adalah persediaan untuk menolak keputusan PRU13 jika parti lawan gagal memenanginya. Kekalahan mereka akan dituruti dengan demonstrasi ganas yang tidak berhenti-henti supaya keputusan pilihan raya ditolak dan satu kerajaan lain didirikan, yang ditunjuk oleh parti lawan," dakwanya.

Kalah dalam pilih raya bukan satu isu besar bagi pembangkang. Mereka sudah melaluinya sejak sekian lama. Sejarah menjadi saksi pembangkang dapat menerima kekalahan itu tanpa menimbulkan huru-hara. Yang panik dan gelabah apabila ditewaskan adalah Umno. Tidak dapat dengan jalan kasar, mereka memilih pendekatan membeli wakil rakyat dengan sogokan rasuah.

Namun, jika PRU13 berjalan secara tempang, penuh penipuan dan sarat dengan manipulasi, seperti tergambar melalui pelbagai komplot hari ini, saya sendiri tidak dapat menolak kemungkinan rakyat akan bangkit membantah melalui perhimpunan yang lebih ramai daripada Bersih 3.0 lagi.

Apakah Dr Mahathir sudah menduga bahawa Umno-BN sudah bersiap untuk melakukan "kejahatan dahsyat" itu dalam PRU13 nanti? Atau beliau sekadar membayangkan Umno sendiri mungkin mencetuskan huru-hara dan keganasan sekiranya kalah dan hilang kuasa di peringkat persekutuan nanti, seperti terjelma secara kecil-kecilan sehari dua ini?
Baca Seterusnya......

Monday, May 28, 2012

Harapan airtime TV untuk Pakatan semasa kempen PRU13

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Di waktu banyak pihak meramalkan Pilihan Raya Umum Ke-13 mungkin mencipta tragis sebagai "medan terburuk" bagi pertarungan menagih mandat baru rakyat, saya melihat beberapa reaksi awal pemerintah -- yang mungkin dilihat sudah terlewat tetapi tetap dianggap positif dalam proses pendemokrasian -- yang agak mengembirakan.

Semua maklum bahawa PRU13 paling kritikal, sama ada buat Pakatan Rakyat dan juga BN. Ia pertempuran hidup atau mati. Bagi sesetengah individu bertaraf VVIP, kalah bukan sekadar bererti menjadi pembangkang tetapi bakal berdepan tindakan yng cukup mengaibkankan. Maka, untuk mengharapkan pertandingan ini dijalankan secara adil, telus dan bersih, serta menurut etika yang sihat, ia seolah-olah hanya ilusi.


Semua maklum, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada awal lagi dilihat bukan sahaja memihak kepada elit penguasa, malah telah dijadikan perkakas utama BN untuk menang secara tipu-muslihat. Buktinya, senarai daftar pemilih yang kotor dan meragukan, terutama di Selangor. Bukti ini sebenarnya lebih panjang lagi.

Bagaimanapun, sebagai pengamal media yang prihatin dengan tuntutan proses pilihan raya yang adil dan bersih, saya mengharapkan reaksi awal kerajaan terhadap isu akses media dan tempoh minimum kempen perlu disambut tetapi hendaklah diperhalusi agar situasi "padang permainan sama rata" dapat dijelmakan.

Apabila saya agak kerap menimbulkan hal ini, terutama melalui program Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan kenyataan akhbarnya, ramai yang memandang sinis dan melihat usaha itu sebagai sia-sia sahaja.

Ya, masakan Umno-BN yang berada di tepi jurang curam dan dalam, masih mahu berbicara soal mewujudkan proses pilihan raya yang benar-benar demokratik dan bebas daripada sebarang penipuan dan manipulasi?

Kita tidak dapat membayangkan kegerunan pemimpin Umno-BN, terutama yang bergelumang dengan pelbagai skandal dan dosa politik, berdepan dengan hukuman rakyat nanti. Tanpa kuasa -- khususnya buat pertama kali di peringkat persekutuan -- segala imuniti dan kekebalan tertanggal seluruhnya.

Apa pun, saya kira Najib Razak tidak mempunyai banyak pilihan. Misalnya, beliau terpaksa memansuhkan ISA, tentunya bukan kerana kejujuran dan keikhlasan untuk memartabatkan keadilan, tetapi disebabkan sudah "diasak ke dinding".

Malah kerajaan sememangnya tidak lagi dapat memperalatkan ISA sesuka hati untuk memenjarakan musuh atau seteru politiknya, disebabkan kesedaran merata rakyat terhadap isu-isu hak asasi dan sebagainya. (Mungkin agak sukar kita mengingati siapa mangsa ISA terakhir daripada kalangan tokoh-tokoh politik; ia lebih membabitkan aktivis yang dikaitkan dengan keganasan dan militan ....)

Begitu juga dengan janji-janji untuk memulihkan demokrasi terpaksa dilafaz Najib semasa malam Hari Malaysia tahun lalu, pastinya bukan disebabkan keikhlasannya untuk menamatkan amalan zalim turun-temurun regim BN. (Secara peribadi saya tidak gemar dengan istilah "ikhlas dan jujur" dalam politik; ia perlu terus diasak dan ditekan secara konsisten).

Ia didorong oleh tindakan politik penguasa bagi merebut kepercayaan dan keyakinan rakyat, yang semakin terbuka dan terdedah dengan proses pendemokrasian sejagat, seperti ditandai oleh Arab Spring dan seumpamanya. Pilihan agar dilihat lebih terbuka dan demokratik hanya merupakan antara talian hayat terakhir yang masih tinggal.

Sang diktator yang mengawal ketat setiap pergerakan rakyatnya pun tidak mampu mengepung wilayah negara daripada "wabak pendemokrasian" ini, apatah lagi teknologi ICT dan fenomena langit terbuka sudah merata serta tidak mampu disekat lagi.
 
Dan saya melihat penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya adalah kemenangan moral buat Bersih 2.0. Kerajaan akhirnya terpaksa tunduk dengan aksi protes jalan raya. Manakala beberapa rumusan awal, seperti penggunaan dakwat kekal, merupakan "keputusan terpaksa" bagi melunakkan kemarahan rakyat dan pembangkang.

Hinggakan, Pengerusi SPR, Abdul Aziz Mohd Yusof terpaksa meluahkan rasa kecewanya apabila beberapa langkah pembaharuan, misalnya dakwat kekal, tidak disambut dengan lafaz terima kasih oleh pemimpin Pakatan Rakyat.

Apabila membaca kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Rais Yatim, pada 22 Mei lalu, bahawa kerajaan akan meneliti saranan SPR agar parti-parti politik di negara ini termasuk pembangkang diberikan akses siaran televisyen secara bebas dan adil, saya menarik nafas lega.

Kata Rais, kertas kabinet mengenai hal itu sudahpun disiapkan. Semestinya ia dibincangkan dengan semua parti yang bertanding serta NGO media yang prihatin dengan isu ini, khasnya Bersih.

Sekurang-kurangnya isu akses media ini terpaksa juga disambut kerajaan. Sebelum itu, Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar memberi jaminan akan mempertimbangkan tempoh kempen lebih lama dalam PRU13 nanti. (Alasan bertulis SPR sebelum ini untuk meremehkan tuntutan tempoh minimum kempen 21 hari adalah dangkal dan tidak diasaskan kepada fakta).

Saya dan KAMI kerap menekankan dua tuntutan penting Bersih itu, yang agak dipandang remeh, iaitu akses media yang adil dan saksama, serta tempoh kempen minimum 21 hari, termasuk melalui Konvensyen Akses Media Dalam PRU13 pada 12 Mei lalu, di Hotel Nouvelle, Sri Kembangan.

Rais berkata, ia bagi membolehkan parti-parti berkenaan menyampaikan manifesto mereka kepada rakyat. "Kerajaan telah menerima permohonan SPR supaya memperuntukkan masa kepada parti-parti politik berkempen di televisyen. Sebenarnya kita telah menyediakan satu kertas cadangan yang akan dibentangkan ke Kabinet tidak lama lagi," tambahnya.

Ia susulan permohonan SPR agar kerajaan memberikan masa siaran televisyen kepada semua parti politik ketika kempen PRU13.

Ya, kerajaan BN terpaksa melakukan sesuatu bagi menampakkan, sekurang-kurangnya, ia tidak berada pada tahap lebih buruk berbanding kerajaan junta Myanmar, yang bersedia memberi airtime saluran TV kerajaan kepada pejuang demokrasi Aung San Suu Kyi, dalam pilihan raya kecil negara itu baru-baru ini.

Kerajaan autoritarian Singapura juga memberikan akses kepada pembangkang untuk muncul di kaca TV yang dikawal kerajaan, khususnya untuk menjelaskan manifesto kepada pengundi. Difahamkan transkrip ucapan itu kemudiannya disiarkan dalam akhbar harian esoknya.

Saya kira SPR juga wajar mengendalikan debat politik di TV, membabitkan tokoh-tokoh utama parti-parti yang bertanding, seperti dimulakan oleh Sinar Harian, yang mempertemukan Khairy Jamaluddin dan Rafizi Ramli,  baru-baru ini. Apa pun, seperti saya tegaskan di awal tadi, isu akses media ini perlu diperdebat dan perhalusi lagi.

 

Baca Seterusnya......

Sunday, May 27, 2012

Rais buta antara aset kerajaan dan harta Umno

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Ketika PAS dimomokkan sebagai Parti Islam yang ghairah mengejar kuasa sehingga melupakan dasar perjuangan sucinya, namun dalam masa sama berbondong-bondong orang ramai memohon keahlian, termasuk tokoh-tokoh terkemuka dan selebriti terkenal.

Semasa aktivis dan penyokong Pakatan Rakyat -- tidak terkecuali PAS -- ditohmah sebagai perusuh dalam demonstrasi suku juta umat, Bersih 3.0, dengan pelbagai kempen propaganda, termasuk melalui siaran RTM pada waktu puncak, memaparkan peserta himpunan "mengganasi pihak keselamatan", kita dikejutkan dengan perisytiharan beberapa bekas pegawai kanan polis menyertai Parti Islam. 

(Semasa mengunjungi Miri, lebih sebulan lalu, memenuhi jemputan program kewartawanan media baru, saya bertemu dengan bekas Timbalan Residen Miri -- jawatan hampir sama dengan Penolong Pegawai Daerah -- Johari Bujang, yang kemudiannya baru-baru ini dilaporkan telah menyertai PAS).

Berita itu sepatutnya menenggelamkan dakyah bekas Ketua-Ketua Polis Negara -- Hanif Omar, Rahim Noor dan Musa Hassan -- yang cuba memalitkan imej "kotor dan ganas", juga "berunsurkan komunis" terhadap perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih, 28 April lalu.

Pada 20 Mei lalu, di hadapan lebih 5,000 hadirin, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Dato' Fauzi Shafie (antara segelintir kecil nama-nama pegawai kanan polis yang diingati ramai), telah menyerahkan borang keahlian PAS kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang, di Ulu Sepetang, Larut, Perak.

Menerusi YouTube, saya agak teruja mendengar muqadimah ucapan Fauzi, yang dikira mantap dan sarat dengan peringatan agama, sekali gus menggambarkan sikap dan komitmen padunya terhadap perjuangan Islam yang dibawa PAS. Beliau seperti mahu memanfaatkan baki usianya untuk mendaulatkan agama Allah.

Sebelum itu, di Perak juga, bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Slim River, Abdullah Omar turut menyertai PAS. Dalam ceramahnya di Dungun, 24 Januari lalu, Abdullah berkata beliau masuk PAS kerana PAS adalah parti yang sah di sisi undang-undang,  berdaftar dengan pendaftar pertubuhan, dan lebih penting kerana dipimpin tokoh-tokoh yang ingin membawa negara kepada pemerintahan Islam, tidak sepertimana kebanyakan pemimpin Umno yang terlibat dengan pelbagai skandal.

Abdullah seolah-olah menjawab lebih awal siri serangan yang bakal dihadapi  Fauzi. Akhbar Berita Harian, 22 Mei lalu, memilih tajuk utama halaman lapan,  "Veteran polis rasa terguris", dengan tajuk kecil, "Keputusan bekas Pengarah JSJ sertai PAS dianggap khianati kerajaan".

Ia ekoran reaksi Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri, dengan penyertaan Fauzi bersama PAS. Shafie berkata, pihaknya terkejut dan keliru dengan tindakan Fauzi itu.

"Saya pun tak tahu apa pertimbangan beliau (Fauzi) sedangkan ketika dalam PDRM, beliau memegang jawatan kanan selain mendapat gaji yang tinggi dan berpencen. Kini bila bersara, sertai pula pembangkang, agak ganjil tindakan beliau itu," kata Shafie, seperti dilaporkan Berita Harian.

Saya sendiri terkejut bagaimana Berita Harian memilih tajuk kecil "... dianggap khianati kerajaan" hanya kerana bekas pegawai tertinggi polis itu menyertai PAS. Usaha "pembodohan massa" (meminjam ungkapan Dr Siddiq Fadzil ini) dalam suasana rakyat semakin terbuka menilai amalan demokrasi dan celik politik itu cukup memalukan.

Sebelum ini, akhbar dalam kumpulan yang sama, New Straits Times (NST) telah melabelkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai "bapa kafir" dan tidak mahu memohon maaf walaupun selepas didesak berbuat demikian.

Segera saya mengirim SMS kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu minta respons awal terhadap laporan Berita Harian itu. Tanpa perlu menunggu lama, Mat Sabu yang banyak menjalin hubungan dengan tokoh-tokoh kenamaan pesara tinggi kerajaan dan juga bekas pimpinan Umno, membalas: "Inilah doktrin yang melahirkan kebangangan polis dan bekas polis ...tak kenal antara kerajaan dengan Umno."

Rakan saya, seorang pegawai polis, turut membalas SMS sama: "Apakah Shafie faham erti dan amalan demokrasi yang sebenarnya?"

Menyedihkan sekali, jika hal-hal semudah itu, seperti kebebasan untuk memilih menyertai mana-mana parti politik berdaftar -- hatta proaktif untuk menjatuhkan kerajaan melalui saluran undang-undang -- dikaitkan dengan istilah-istilah yang langsung tidak relevan, misalnya "khianati kerajaan".

Mungkin kalau zaman dahulu (zaman Hanif Omar) akan mudah dilabelkan dengan  "anasir subversif", malah tidak mustahil dicap "prokomunis", atau  dikaitkan dengan "aliran Marxisme" (satu istilah yang cukup digemari Rahim Noor).

Kepada pertanyaan wartawan Harakahdaily, Fauzi berkata: "Memang kalau ikut keselesaan, dengan wang pencen dan hasil bulanan dari perniagaan saya dan keluarga, ia sudah cukup untuk saya. Saya boleh duduk rehat sahaja.  Tapi, semacam ada rasa satu tanggungjawab untuk saya bersama PAS kini."

Semasa menjadi Ketua Polis Dang Wangi, Fauzi terkenal dengan tindakannya membanteras maksiat di pusat bandaraya Kuala Lumpur. Tindakan beliau pernah dikecam oleh seorang menteri yang menyifatkan tindakan Fauzi akan "menghalau pelancong" dari negara ini.

Dalam pada itu, seorang rakan lama, juga bekas wartawan ekonomi, meminta Harakah memberi penekanan kepada berita Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Rais Yatim memperuntukkan RM200,000 kepada semua ahli veteran Umno dan Mubarak (Majlis Bekas Wakil Rakyat BN) di setiap negeri dengan menyediakan komputer riba  dan latihan pengurusan media baru, sebagai persiapan menghadapi PRU13.

Sekali lagi ungkapan paling sesuai untuk Rais, seperti dilafazkan Mohamad Sabu: "...tak kenal antara kerajaan dan Umno." Rais yang satu ketika dahulu prihatin dan komited dengan prinsip-prinsip asas demokrasi, kini seperti tidak dapat membedakan di antara wang kerajaan yang diperolehi daripada pembayar cukai dengan dana politik Umno. 

Tindakan Rais itu membuatkan kenyataannya yang lebih penting kurang diperhatikan, iaitu "kertas kabinet berhubung permintaan mendapatkan akses sama rata terhadap media bagi parti-parti politik yang mahu membentangkan manifesto pilihan raya mereka kepada orang ramai" telah disiapkan.

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang saya terajui cukup berminat dengan isu akses media sama rata sewaktu kempen PRU13, terutama membabitkan media yang dibiayai dana awam, seperti RTM dan Bernama. Sewaktu konvensyen KAMI, 12 Mei lalu, seperti disaran V Anbalagan, Setiausaha Agung NUJ, telah dirumuskan bahawa satu badan khas yang bebas perlu ditubuhkan bagi memantau perjalanan media berkenaan.

Bagaimanapun saya curiga kemampuan Rais untuk bertindak adil dalam menyiapkan kertas kabinet, terutama untuk menyambut saranan SPR agar diberikan airtime berkempen, yang munasabah untuk semua parti bertanding dalam PRU13 nanti.

Baca Seterusnya......

Masakan PAS termakan perangkap muzakarah lagi?

Ahmad Lutfi Othman

Sekonyong-konyong, ketika semua sibuk berbicara dan bergosip tentang ibu segala pilihan raya -- PRU13 -- timbu l isu muzak[bendera+PAS]arah PAS-Umno, persoalan yang dilihat tidak pernah selesai, malah kerap dijadikan polemik politik yang tidak berkesudahan.Akhbar melaporkan kesediaan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk bermuzakarah dengan sesiapa jua, termasuk NGO dan parti politik.

Kenyataan berkenaan mungkin merujuk beberapa perkembangan mutakhir yang timbul daripada, antara lain, keputusan Majlis Fatwa terhadap demonstrasi Bersih 3.0 yang ditegur Tok Guru Nik Aziz, juga reaksi Mufti Perak yang mendakwa PAS sudah terpesong daripada perjuangan asal.

Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, yang cuba membina imej Islam (mungkin untuk mengisi 'kekosongan' yang ditinggalkan Anwar Ibrahim dalam kerajaan) dengan segera memberi respons bersetuju dengan cadangan muzakarah tersebut.

Bagaimanapun Muhyiddin sempat menyindir Tok Guru: "... kalau ikut yang lepas, Nik Aziz tak pernah setuju. Masa itu dia kata Umno tak boleh dipercayai, tapi kalau hasrat dia ikhlas, tujuan untuk kebaikan ummah, masyarakat Islam dan negara Malaysia kita tidak jadi masalah."

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari, dalam kenyataannya membetulkan salah tanggapan (atau sengaja buat tidak faham) Muhyiddin itu. "Dalam isu dialog dengan mana-mana pihak atas nama muzakarah, muqabalah mahupun mujadalah, Tuan Guru sentiasa konsisten dengan komitmen bahawa pertemuan dialog harus dilakukan sentiasa bagi mencari penyelesaian," katanya.

"Justeru, apabila Muhyiddin menyatakan Tuan Guru tidak pernah setuju untuk bermuzakarah, ia menunjukkan kekeliruan di pihak Muhyiddin yang gagal membezakan antara muzakarah dengan penyatuan antara PAS-Umno. Benar sekali Tuan Guru konsisten menentang penyatuan ini yang dilihat hanyalah helah Umno untuk menyelamatkan diri dari lemas dalam pilihan raya," tambah Ahmad Fadhli.

Mengulas isu sama, Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali berkata, muzakarah yang ditawarkan kepada semua NGO dan parti politik itu jelas untuk menerangkan pendirian PAS mengenai isu-isu  yang tidak difahami oleh sesetengah pihak.

"Jadi tidak berbangkit soal PAS hendak bermuzakarah dengan Umno atas dasar untuk penyatuan politik. Isu itu sudah lama mati," kata Mustafa.


Orang yang naif berpolitik pun mudah faham dan arif benar bagaimana pemimpin Umno, termasuk melalui Dr Mahathir Mohamad, begitu ghairah memanipulasi isu perpaduan Melayu demi survival kuasa mereka.

Setiap kali Umno kehilangan undi Melayu, seperti pada 1999, atau panik berdepan kemungkinan takhta "digulingkan" selepas Mac 2008,  pemimpinnya akan menimbulkan isu "perpecahan bangsa" dan serentak itu "salam perpaduan" dihulurkan kepada PAS.

Seolah-olah dengan wujudnya pelbagai parti di kalangan orang Melayu menunjukkan bangsa kita diancam perpecahan yang serius. Sokongan pengundi Melayu yang terbahagi tiga, iaitu kepada PAS, Umno dan KeADILan, juga disifatkan petanda orang Islam bakal hilang kuasa. Karut!

Yang ditakuti pemimpin Umno adalah kehilangan kuasa politik, yang menyebabkan segala keistimewaan, kekayaan, pengaruh dan kedudukan mereka terhakis. Bukannya soal masa depan dan survival  orang Melayu, tetapi posisi Umno yang semakin terpinggir daripada arus perdana politik negara. Tanpa kuasa, Umno akan hilang segalanya.

"Isu muzakarah ini sengaja ditimbulkan untuk menjauhkan masyarakat Tionghua daripada PAS, di samping menimbulkan keraguan orang Cina terhadap perjuangan Parti Islam dan konsistensi pemimpinnya terhadap perjuangan menegakkan keadilan tanpa mengira kaum dan agama.

"Dalam masa sama, jika PAS menolaknya, ia  cuba dijadikan daleh bagaimana pemimpin PAS bersikap keras kepala dan langsung tidak bersedia untuk bertolak ansur berbincang masa depan bangsa. Apa pun, yakinlah, kita tidak akan masuk perangkap Umno itu." kata seorang pemimpin tertinggi PAS.

Bagi saya, berpolitiklah secara matang dan tunjukkanlah maruah bangsa yang tidak mudah diusik sentimen perkauman bermusim ini. Biar rakyat dapat menilai prestasi setiap parti yang menawarkan diri. Usah bermain emosi dan perasaan, dengan mengetepikan persoalan pokok yang lebih penting.

Isu-isu kritikal dalam PRU13, seperti senarai daftar pemilih yang meragukan, amalan korupsi yang berleluasa selepas Parlimen dibubarkan (dan juga sebelumnya), media yang dimonopoli elit penguasa, dan juga tempoh minimum kempen, mesti ditangani segera.

Sampai bila bangsa Melayu akan terus dipermainkan dengan isu-isu sampingan atau "jadi-jadian" yang langsung tiada relevan, setiap kali negara di ambang pilihan raya umum?

Tepatlah seperti dijelaskan Ustaz Abdul Hadi, dalam satu sidang media, bahawa PAS sebenarnya bersedia mengadakan perbincangan dengan badan bukan kerajaan (NG)) berhubung salah faham mengenai Islam, dan bukannya bermuzakarah dengan Umno.

"Masa itu saya nyatakan perbincangan dengan NGO yang menuduh PAS menyeleweng daripada dasar dan matlamat Islam. Perkataan muzakarah mungkin disebut pada masa itu tetapi muzakarah terjemahannya perbincangan, penjelasan, tapi disalahtafsirkan PAS nak muzakarah dengan Umno. Itu tak timbul," katanya.

"Izu muzakarah sudah lama dan acapkali dibentangkan kepada Umno dan Umno jadikannya isu politik. Kalau nak bincang dengan Umno, lebih baik bincang mengenai pilihan raya yang bersih," tegas Ustaz Abdul Hadi.
 
 

Ya, kita lupakan sebentar isu-isu mainan seperti muzakarah, dan setiap pihak elok tumpukan persiapan untuk bertanding secara sihat dalam PRU13 nanti, di "padang permainan yang sama rata". Sama-sama kita elakkan daripada terjebak dalam pilihan raya yang dibimbangi "paling kotor dalam sejarah".

Baca Seterusnya......

Kembalikan isu sebenar Bersih yang dipesongkan!

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Umum sedia maklum kepentingan dan fungsi media massa dalam pilihan raya, apatah lagi bagi aktivis politik. PAS selepas beralih di bawah era kepimpinan ulamak, dan buat kali pertama menghadapi pilihan raya umum, tahun 1986, mendapat pengajaran cukup bermakna apabila difitnah dan ditohmah media dengan dahsyat sekali.

Dalam pilihan raya itu, PAS hanya memperolehi satu kerusi Parlimen di Pengkalan Chepa, Kelantan. Di muktamar tahunan parti, di Rusila, pada 1987, suasana waktu itu mendorong PAS melancarkan boikot terhadap akhbar-akhbar harian yang dikuasai Umno. Lidah rasmi, Harakah, yang baru mendapat permit turut digerakkan .

Ya, peranan media dalam  pilihan raya cukup besar, terutama bagi membolehkan pengundi membuat keputusan yang baik. Media bukan sahaja menyalurkan maklumat dan berita, tetapi juga berupaya membentuk pandangan, tanggapan dan persepsi, seterusnya mendorong audien merumuskan tindakan.

Sewaktu kempen pilihan raya, yang sering diadakan dalam tempoh singkat (selepas Parlimen dibubarkan secara tiba-tiba), pengundi perlu mendapat informasi secukupnya -- secara mudah dan murah -- agar dapat membuat penilaian atau penghakiman yang menyeluruh, tentang calon-calon atau parti-parti yang bertanding.

Rakyat juga berhak tahu tentang kelemahan dan kepincangan (juga kelebihan) parti pemerintah, selain mendapat makluman secukupnya mengenai cabaran parti-parti saingannya. Oleh itu, media tidak boleh dihalang daripada melaporkan perkembangan dan situasi sebenarnya menjelang hari mengundi kepada publik.

Teorinya, Malaysia tergolong sebagai sebuah negara yang tidak mengamalkan kebebasan akhbar, yang ditandai dengan peraturan ketat mengenai permit dan dasar pemilikan media. Meskipun Perlembagaan memberi jaminan kebebasan bersuara, Parlimen dengan mudah sekali menggubal dan meminda akta-akta yang mengikat dan mengongkong.

"Benar, media di Malaysia dikawal ketat pemerintah, tapi saya amat mengharapkan semasa kempen pilihan raya, sebelum pengundi membuat keputusan memilih mana-mana calon atau parti, berilah sedikit kelonggaran, rakyat berhak mendapat maklumat sebenar," kata seorang pensyarah undang-undang UIAM, yang berminat dengan perjalanan akhbar di negara ini.

"Tetapi, keadaan sebaliknya berlaku. Bubar saja Parlimen, hampir semua bilik berita akhbar dan stesen TV kita bertukar menjadi bilik gerakan kempen BN. Untuk BN segala paparan positif belaka, tetapi aktiviti atau manifesto parti-parti lain diberikan gambaran negatif," tambahnya. 


Apabila negara serantau, dikenali mengamalkan pendekatan keras terhadap pembangkang, seperti Singapura dan Myanmar, turut melonggarkan kongkongan ke atas media sewaktu kempen pilihan raya, termasuk stesen TV kerajaan, amat memalukan sekali, melihatkan Malaysia jelas tertinggal di belakang.

Justeru, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) mengambil inisiatif menganjurkan Konvensyen Akses Media Dalam PRU13, 12 Mei lalu, bagi menangani dua tuntutan utama Bersih mereformasikan sistem dan proses pilihan raya kita, termasuk tempoh kempen minimum 21 hari.

Demonstrasi Bersih 3.0 -- dihadiri lebih suku juta orang dan 70 peratus darinya adalah anak-anak muda -- sepatutnya meletakkan tuntutan pilihan raya bersih dan adil itu sebagai agenda utama negara. Bagaimanapun, insiden keganasan memesongkan perhatian kepada isu sampingan.

Di kalangan Bersih dan Pakatan Rakyat sendiri, fokus lebih tertumpu kepada senarai daftar pemilih yang meragukan itu. Ia terhasil melalui komplot jahat BN-JPN-SPR, yang mahu mengambil jalan pintas, khususnya untuk merebut kembali Selangor. Bayangkan, ada pengundi, misalnya, didaftarkan alamatnya di tingkat enam sebuah flat di Sri Andalas, Klang, yang hanya mempunyai ketinggian empat tingkat!

Tentulah isu berkenaan cukup urgent dan kritikal, namun tuntutan seperti akses media dan tempoh minimum kempen seperti terabai. Lalu, KAMI cuba mengembalikan  isu yang lebih real, memastikan agar PRU13 dapat berjalan dalam suasana lebih demokratik, telus dan terbuka.

Beberapa NGO yang prihatin dengan perkembangan ini, turut melahirkan kebimbangan serupa. "Media seharusnya membantu Bersih 3.0 memastikan lapan tuntutan dilaksana, bukan mengalihkan isu. Jika ada keganasan polis atau ada peserta bertindak ganas, itu jelas perlu dilakukan siasatan bebas tapi isu yang kita nak bawa iaitu lapan tuntutan, tidak boleh hilang," kata AJK Ikram, Nahar Md Noor. 

"Bersih hanya mahukan tuntutan pilihan raya adil dan bersih. Ia melangkaui parti, agama dan kaum," kata Pengarah Eksekutif Komas, Tan Jo Hann. "Tujuh tahun saya jadi jurugambar di Filipina, tidak pernah saya lihat polis menyerang media, sedangkan saya juga pernah bertugas dan berdepan dengan demonstrasi yang melibatkan kematian. Polis atau tentera jika lihat pas  media, mereka akan lindungi kami."

Sebenarnya banyak pihak melihat desakan agar media berlaku adil kepada pembangkang, terutama semasa kempen pilihan raya, sebagai tindakan sia-sia dan membazir tenaga saja. Paling lantang, Hishamuddin Rais, yang berforum sesi petang bersama Nurul Izzah Anwar, di konvensyen KAMI itu.

Beliau tidak percaya kepada kebebasan media. "Saya percaya kepada hak kepada media. Ertinya kalau Umno ada hak untuk ada televisyen saya juga ada hak untuk ada televisyen sendiri, kalau Umno ada radio saya juga ada hak untuk ada radio sendiri," tegasnya.

Saya bersetuju sepenuhnya dengan pandangan Hisham. Setiap pihak yang berminat untuk menerbitkan apa jua bentuk media -- majalah, akhbar, radio dan TV -- hanya perlu mendaftarkannya kepada pihak berkuasa, dengan garis panduan yang jelas. Yang penting, konsep permit mesti dihapuskan.

Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Wong Chun Wai turut mempersoal keperluan permit penerbitan bahan bercetak di zaman internet ini. Sebenarnya kalaupun permit tidak diperlukan lagi, tidak mudah bagi penerbit untuk mengusahakan akhbar kerana ia memerlukan modal yang cukup besar.

Tidak betul andaian bahawa sebaik sahaja permit tidak diperlakukan lagi maka berlambakanlah pasaran dengan akhbar. Tetapi, kalaupun benar situasi itu berlaku, apa salah, 'kan?

Selain itu, media bebas tentu saja sukar mendapat iklan, terutama daripada syarikat berkaitan kerajaan (atau lebih tepat syarikat berkaitan Umno!) sedangkan tanpa sokongan pengiklan hampir mustahil akhbar harian dapat beroperasi dengan lancar.

Nurul Izzah sendiri menyifatkan pindaan terbaru Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP), yang tidak lagi memerlukan pembaharuan permit setiap tahun, hanya kosmetik sahaja.

"Isu besar bukan tentang permit sedia ada, tetapi bagaimana untuk mendapatkan permit baru," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, sambil menceritakan pengalaman sukarnya  berdepan dengan pegawai KDN, ketika memohon akhbar Utusan Rakyat.

Namun begitu, saya tetap percaya bahawa lobi dan desakan agar media yang dibiayai dana awam, seperti RTM dan Bernama, berlaku adil kepada semua calon dan parti bertanding, mesti digiatkan, tanpa melupakan lidah rasmi parti  (Harakah, Suara Keadilan dan Roket) yang perlu penambahbaikan segera.

Tekanan harus digerakkan secara lebih intensif kepada dua agensi kerajaan itu, dan saya kira wajar juga jika wakil Pakatan Rakyat dapat mengadakan kunjungan kepada syarikat media, termasuk Kumpulan Media Prima, The Star, Astro Awani dan akhbar-akhbar Cina (walaupun menyedari ramai mencebik mendengar nama Utusan Malaysia dan TV3). Sekurang-kurangnya "hak untuk menjawab" diberikan perhatian serius oleh media berkenaan.

Melalui buku Prof Dr Syed Arabi Idid, seorang sarjana komunikasi yang banyak mengkaji peranan media dalam pilihan raya di Malaysia, dibentang analisis berkaitan hala tuju liputan berita semasa pilihan raya 2008.

Menurut penyelidikannya, akhbar bahasa Melayu memberikan liputan positif kepada BN sebanyak 74 peratus, manakala positif pembangkang hanya 5 peratus, liputan berkecuali 17 peratus. Akhbar Cina lebih seimbang, apabila positif BN 28 peratus dan positif pembangkang 12 peratus, manakala liputan berkecuali 45 peratus. Satu situasi yang langsung tidak melambangkan "padang permainan sama rata".

Berita pembangkang (sebenarnya semasa kempen tidak patut timbul istilah parti pembangkang ataupun kerajaan) bukan saja digelapkan, malah lebih buruk dimanipulasikan. Ada kalanya kenyataan pemimpinnya  "dikerat-kerat dan kemudiannya dicantumkan" untuk memberi gambaran buruk dan mengelirukan pengundi.

Tidak sekadar itu, hatta untuk membeli iklan menyiarkan manifesto parti pembangkang di media cetak pun dihalang.

Menurut Transparency International Malaysia, dalam tempoh kempen dari 25 Februari hinga 7 Mac 2008, semua  akhbar harian berbahasa Melayu (dan Tamil) tidak membenarkan parti DAP dan KeADILan (kajian tidak melibatkan PAS) membeli iklan, termasuk siaran manifesto, sedangkan BN membelanjakan lebih RM2.2 juta untuk tujuan itu.

Untuk harian bahasa Inggeris, BN berbelanja sebanyak RM2 juta, manakala DAP hanya sekitar RM10,000 (melalui The Sun), dan tiada ruang iklan untuk KeADILan. Akhbar Cina memberi ruang bernilai RM3 juta kepada iklan BN, RM100,000 untuk DAP dan RM28,000 buat KeADILan. 

Saripada sudut ini, DAP yang mendapat laporan lebih seimbang dalam akhbar Cina mungkin lebih beruntung daripada PAS dan KeADILan yang sentiasa disorot secara negatif oleh akhbar-akhbar harian Melayu.

Baca Seterusnya......

Wibawa perjuangan Islam PAS cuba dirobek

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Tersasar sekali lagi ramalan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13.

Daripada bulan November 2011 (sebenarnya teka-teki itu bermula lebih awal lagi) kepada Mac 2012, seterusnya beralih Jun (lebih tepat 9 Jun), dan kini Dr Mahathir Mohamad menjangkakan selepas Aidilfitri pula (1 Syawal 19 Ogos), walaupun lebih ramai yang  berhati-hati bahawa Parlimen boleh dibubarkan selepas Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, 2 Jun nanti.

Begitulah adatnya ... Perdana Menteri berkuasa mutlak mencadangkan kepada Agong tarikh yang difikirkannya paling sesuai. Dato' Seri Najib Razak sengaja membiarkan "permainan" ini berterusan, antara lain, untuk memerangkap Pakatan Rakyat, atau sekurang-kurangnya meletihkan saingan yang digeruninya itu.

Meskipun dibantu pelbagai agensi perisikan dan "badan penyelidikan", tidak semestinya PM mempunyai banyak kelebihan dengan tarikh yang bakal (atau terpaksa) dipilihnya. Realiti politik selepas tsunami politik tidak semudah dahulu untuk ditafsirkan, termasuk oleh "peramal profesional".

Semakin ramai pengundi dijangka membuat pilihan di saat-saat akhir. Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri terperangkap dengan keyakinannya sendiri ketika mengusulkan Parlimen dibubarkan pada Februari 2008. Malah, pada minggu pertama kempen, suasana agak suram, tiada petanda jelas BN bakal menghadapi kemerosotan ketara.

Najib juga tidak terkecuali daripada bakal mengulangi nasib malang Abdullah, mungkin lebih parah lagi. Apa yang "dibaca" mungkin jauh berbeda dengan keadaan sebenar akar umbi. Justeru, Najib belum "kejap hati" untuk memilih tarikh paling sesuai untuknya "turun bertarung".

Bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik sendiri sangsi BN boleh menang jika pilihan raya diadakan dalam waktu terdekat, khususnya Jun ini, kerana "banyak isu masih belum selesai".  Beliau juga tidak yakin Pakatan Rakyat dapat dikalahkan di Selangor memandangkan kebanyakan pemimpinnya tidak terlibat dengan isu gejala moral dan rasuah.

Dr Ling dilaporkan "memuji Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dan dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang bebas daripada skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa".


Biarpun pelbagai bentuk "bantuan" 1Malaysia (ada menyifatkannya rasuah politik) yang dicurahkan kelihatan diterima rakyat dengan senang hati, tidak semestinya ia menggambarkan segalanya cerah buat Umno-BN.

Walaupun komplot jahat BN-SPR-Jabatan Pendaftaran Negara sudah terlaksana, melalui senarai daftar pemilih, tetapi ia tidak cukup kuat untuk meyakinkan Najib bahawa Pakatan bakal tumbang di negeri-negeri yang kini dikuasainya, terutama Selangor.

Pada satu sisi, Najib mesti memastikan tahap terbaik persiapan BN, terutama mengelak perpecahan ekoran kekecewaan mereka yang tidak terpilih sebagai calon (agak lama kita tidak mendengar istilah winnable candidate atau calon boleh menang) selain mengharapkan Pakatan dalam situasi paling lemah.

Ketika komitmen majoriti masyarakat Cina kepada Pakatan tidak menampakkan kemungkinan dapat dilunakkan, perhatian lebih tertumpu kepada gelagat undi orang Melayu, dan juga India. Rakan yang menemani saya ketika Bersih 3.0 turut merungut: "Kawan-kawan India nampak kurang hari ini?"

Kawan lama yang bergiat aktif dalam Umno pernah mengusulkan: 'Daripada BN membazirkan wang untuk menjinakkan hati pengundi Cina lebih baik peruntukan itu dialihkan kepada masyarakat India, terutama di estet-estet atau kawasan yang terpinggir."

Selain terus memanipulasi dakwaan "skandal seks" pemimpin KeADILan, dengan menukar akhbar-akhbar terutama dari kumpulan Utusan Melayu menjadi akhbar lucah,  wibawa tokoh-tokoh PAS dan juga dasar perjuangan parti Islam itu sendiri cuba dilemahkan.

Mungkin tokoh-tokoh  seperti Dr Hasan Ali dan Mufti Harussani Zakaria dapat membantu Umno menjayakan misi itu, sekurang-kurangnya menyuntik keraguan di kalangan masyarakat Islam terhadap PAS,

Ya, sasarannya tetap pengundi Melayu, bukan saja di luar bandar seperti dimaklumi, tetapi juga masyarakat Islam kelas menengah, yang mungkin boleh dikelirukan atas propaganda "demi agama dan bangsa". Saya harap aktivis PAS tidak memandang mudah sokongan yang  diperolehinya pada 2008; ia boleh saja beralih arah jika "tidak dijaga" dengan baik.

Strategis Umno satu ketika -- entah kenapa -- nampak yakin dengan taktik untuk "memecah-belahkan dalaman PAS" dan cuba mengherat parti keluar daripada Pakatan. Tohmahan bahawa PAS sudah lari daripada pejuangan asal, seperti idea negara berkebajikan yang dilabelkan bercanggah dengan gagasan negara Islam, cuba diperbesarkan, namun jelas ia tidak berhasil.

PAS wajar melipatgandakan gerakerja penerangan, termasuk menjelaskan konsep Negara Berkebajikan (nampak agak terabai) dan merumuskan perjuangan bersama Pakatan Rakyat, seperti tertera dalam Buku Jinga -- misalnya dalam membentuk good governance dan pemerintahan antirasuah -- dalam kerangka Islam.

Saya kira idea AJK Dr Dzulkefly Ahmad tentang perkara ini, wajar diberi perhatian. Dalam perbualan telefon dengannya baru-baru ini, beliau sempat mengaitkan beberapa peringatan dalam al-Quran, termasuk penekanan tentang aqidah, misalnya dalam surah Makkiyah, Al-Mutaffifin (orang yang curang), yang boleh dikaitkan dengan konsep good governance.


Apa pun, bagi saya, pertarungan PRU13 masih berkisar antara dua seteru tradisi, PAS dan Umno -- satu usaha memenangi hati, minda, emosi dan jiwa orang Melayu yang menjadi penentu kemenangan kepada BN ataupun Pakatan Rakyat.  

Baca Seterusnya......

Ingat, parti yang banyak silap mungkin kalah!

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Keriuhan teka-teki tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 kembali bergema. Kali ini, ramai bersetuju bahawa ia hampir pasti diadakan sebelum Ramadan; lebih tepat ada yang mencadangkan tarikh 9 Jun ini, iaitu penghujung cuti sekolah. Namun, ada pihak melihat tarikh itu tidak sesuai, terutama faktor hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong, yang akan dirayakan pada 2 Jun.

Apa pun, cuti sekolah tidak semestinya menjadi ketetapan untuk mengadakan pilihan raya. Puasa dijangka bermula 21 Julai. Maka, boleh saja Parlimen dibubarkan, sebelum bulan penuh keberkatan itu, selewat-lewatnya pertengahan Jun.

Walaupun ada desakan kuat dan menyeluruh agar tempoh kempen minimum ditentukan 21 hari, tetapi seperti diketahui umum, yang dipersetujui Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) hanya 10 hari.

Dengan itu, jangka masa daripada hari Parlimen dibubarkan hingga tarikh mengundi, tidak akan melebihi sebulan. Gosip terkini: Bubar Parlimen, 14 Mei; penamaan calon, 26 Mei; dan mengundi, 9 Jun.

Jika mahu ditunda lagi melepasi Ramadan, tarikh alternatifnya sama ada sebaik saja Aidilfitri, tetapi sebelum penerbangan pertama haji (tempoh yang dilihat begitu singkat dan mengikat), ataupun selepas rombongan terakhir jemaah haji pulang ke tanahair, iaitu hujung November.

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pernah mengadakan pilihan raya semasa musim haji dan dikritik hebat. Saya kira Najib tentu mahu mengelak sebarang insiden yang boleh mencalarkan imejnya lagi, terutama pada kaca mata masyarakat Melayu.

Sesungguhnya gerak-geri Perdana Menteri Najib Razak diperhatikan secara dekat dan cermat. Diari beliau diamati terutama jadualnya ke luar negara, termasuk menghadiri konvokesyen anaknya.

Pengumuman "durian runtuh" kepada peneroka Felda -- meskipun dipertikai daripada segi amaun, yang dilihat kecil (RM15,000) berbanding sepatutnya RM38,000 seperti kata Husam Musa  -- dianggap membawa petanda pembubaran Parlimen semakin dekat.

Sebelum aroma bantuan one-off hilang serinya, Najib perlu mendapat mandat buat kali pertama daripada rakyat. Beliau cukup menyedari, dibantu informasi perisikan rasmi dan tidak rasmi, majoriti pengundi tidak sabar lagi menunggu kesempatan untuk melakukan perubahan menyeluruh.

Ramai menjangkakan, tidak mustahil Najib mencipta sejarah mengejutkan, malah mampu mengalahkan rekod Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, yang gagal melepasi penggal pertama pemerintahannya.

Najib bakal kecundang dalam pilihan raya pertama yang diterajuinya? Ya, cuba bayangkan situasi itu. Masakan Najib dan konco-konconya sekadar menunggu hukuman rakyat? Sudah pasti tidak.

Segala ikhtiar  dan perancangan (lebih tepat, komplot) diusahakan bagi menyekat kemaraan Pakatan Rakyat. Jika komplot jahat dan licik itu didedahkan, misalnya melalui konspirasi SPR-JPN dalam memanipulasi senarai daftar pemilih, mereka bersikap pekak badak saja. Persetankan!

Meskipun Umno-BN kalah di Kelantan sejak sekian lama, dan pernah tewas di Sabah dan Terengganu, manakala empat tahun lalu lebih buruk lagi dilanda tsunami politik, iaitu kecundang di Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang (selain Serambi Makkah), namun ia tetap berkuku di peringkat persekutuan, yang masih memungkinkan untuk terus menguasai sumber dan peluang ekonomi.

Kekalahan itu rupanya tidak pernah menginsafkan pemimpin, aktivis dan penggerak Umno. Mereka mungkin lebih kerap turun ke padang, menyantuni rakyat, mengambil berat keperitan orang ramai, dengan pelbagai slogan menarik, tetapi motif utamanya hanyalah untuk meraih kembali kuasa.

Lagak dan gaya kehidupan mewah pemimpin Umno di negeri-negeri yang mereka kalah ini masih tidak banyak berubah. Benar sekali, rasuah politik dan amalan koprupsi tidak dapat dicerai-tanggal daripada budaya Umno. Ubat mujarab adalah memberikan pengajaran bermakna dengan menyingkirkan Umno-BN dari Putrajaya.

Taliah hayat kini mungkin terputus satu saluran, tetapi jantung masih berdegup. Keghairahan untuk kembali merebut takhta tidak pernah pudar, malah mungkin semakin segar-bugar!


Ingat ucapan popular Najib, yang menggesa ahli-ahli Umno mempertahankan Putrajaya walaupun ke "titisan darah yang terakhir". Bagi saya, frasa itu ia bukan sekadar pembakar semangat, tetapi menyimpan motif tersirat yang menggerunkan.

"Sejak awal merdeka, khususnya di zaman Pemuda Tahan Lasak, gelagat Umno memang dikenali dengan tindakan provokasi yang melampau, terutama sewaktu kempen pilihan raya. Saya bimbang, ketika mereka di ambang kejatuhan, macam-macam perkara buruk boleh dicetuskan Umno," petikan emel yang saya terima daripada pembaca Harakah.

Beliau menambah, parti-parti dalam Pakatan Rakyat terbukti sabar dan reda ditimpa kekalahan. Tiada rusuhan dicatatkan, sebaliknya pemimpin dan ahli-ahlinya tabah melalui siri tribulasi yang memedihkan.  

Zaman sudah berubah. Rakyat kian matang dan cerdik. Proses pendemokrasian dan fenomena langit terbuka, serta kemajuan ekonomi dan pertambahan kelas menengah telah mengubah lanskap politik Malaysia.

Umno yang gelisah berdepan kebangkitan rakyat, masih memainkan sentimen dan emosi perkauman (kadang-kadang bersalut agama yang dangkal). Ia akan terperangkap dengan jeratnya sendiri. Aksi ganas menganggu aktiviti Pakatan makin memburukkan lagi imej yang sedia jelik itu.

Umno akan mencuba seribu dalih, termasuk serangan psikologi dan juga fizikal, bagi menghalang peralihan kerajaan dalam PRU13 yang kritikal ini.

Ahli dan penggerak Pakatan tidak harus terjerumus dalam "permainan kotor" Umno itu. Rakyat sedang memerhati, menilai dan menghakimi. Tetap istiqamah dengan strategi dan pendekatan yang telah dirumuskan. Sampaikan maklumat secukupnya ke seluruh pelosok tanahair.

"Parti yang paling kurang melakukan kesilapan akan meraih kemenangan dalam PRU13." Peringatan itu saya kira cukup bermanfaat dalam situasi sekarang
Baca Seterusnya......

Terlepas 1990, 1999, 2008: PRU13 kempunan lagi?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Pilihan Raya Umum Ke-13 bukan sahaja dianggap cukup kritikal dan mungkin menyaksikan kempen paling buruk dalam sejarah, tetapi lebih penting ia merupakan satu kesempatan terbaik (malah datang buat pertama kali) buat rakyat melakukan perubahan menyeluruh, atau lebih tepat menukar kerajaan persekutuan.

Kita gagal melakukannya pada 1990; ada yang memberi alasan sigah Kadazan yang dipakai Tengku Razaleigh Hamzah di malam-malam akhir kempen, telah dimanipulasi media sebagai salib Kristian, dan menjauhkan pengundi Melayu daripada Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat.

Potensi lebih baik menjelma pada 1999, berlambangkan ikon mata lebam Anwar Ibrahim. Umno diasak teruk, manakala imej Dr Mahathir Mohamad merudum dengan dahsyat sekali, terutama pada kacamata masyarakat Melayu. Malangnya, ia tidak disambut dengan baik oleh pengundi Cina, mungkin difaktorkan siri tunjuk perasaan di sekitar Kuala Lumpur, yang dikaitkan dengan reformasi di Indonesia yang menggerunkan masyarakat Tionghua.

Pusingan sepuluh (atau lebih tepat sembilan) tahun sekali kembali lagi. Mac 2008; tanpa riuh-rendah, juga tidak sempat dihidu oleh sesiapa (mungkin kecuali Daim Zainuddin), Abdullah Ahmad Badawi dan "budak-budak Tingkat 4 JPM" dimalukan.

Empat negeri tumbang (selain Kelantan) dan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dinafikan. Apa pun, kali pengundi Melayu dikira tidak cukup kuat bersama gelombang kesedaran bukan Melayu (termasuk masyarakat India yang cukup agresif) untuk "menggulingkan" kerajaan.

Daripada segi usia pemerintahan, sejak merdeka 1987 sehingga 2012, tempoh Umno menerajui takhta kuasa sudah cukup lama. Di negara lain, parti pemerintah bersilih-ganti. Hampir semua parti yang dilihat membawa kemerdekaan kepada sesebuah negara itu tidak lagi berkuasa.

Rekod buruk Umno, terutama dalam amalan rasuah, salahguna kuasa, pembolotan khazanah kekayaan negara dan penyelewengan bertimbun menggunung. Umno juga mengkhianati amanah dan kepercayaan orang Melayu.

Berbekalkan sentimen perkauman yang dimainkan media tali barutnya dan agensi kerajaan, seperti Biro Tata Negara (BTN), sebahagian orang Melayu masih dapat diperdaya. Politik suku-sakat dan kronisme, yang menguntungkan segelintir kecil elit Melayu yang rapat dengan Umno, begitu menjolok mata.

Soalnya, apakah masih ada lagi halangan untuk menyingkirkan Umno-BN, dalam PRU13 yang kritikal ini?

Selain faktor senarai daftar pemilih yang terlalu kotor, terutama di Selangor, ada pihak menyifatkan hambatan terbesar ialah saluran maklumat berkesan, medium yang mudah dicapai dan murah kosnya.

Peranan media untuk mempengaruhi pengundi semasa pilihan raya sentiasa menjadi perbahasan dan polemik menarik. Satu ketika, Umno-BN memonopoli maklumat dengan menguasai sepenuhnya media tradisi, seperti akhbar, radio dan televisyen. Melalui konsep permit dan dasar pemilikan, ruang untuk rakyat menerima informasi dikawal ketat.

Namun begitu, naluri ingin tahu manusia tidak selamanya boleh disekat. Semakin dikongkong dan ditekan, keghairahan untuk mendapat maklumat sebenar makin melonjak. Medium yang sukar dikontrol, seperti majlis ceramah, dialog bersemuka, ziarah rumah ke rumah dan penyebaran risalah dan juga kaset menghubungkan rakyat dengan parti-parti pembangkang.

Pensyarah media, Dr Abu Hassan Hasbullah merumuskan, fenomena langit terbuka, telah melemahkan dengan teruk sekali fungsi media tradisi, khususnya akhbar. Pengamal media baru ini juga berjaya meruntuhkan tembok pemisah dan membentangkan "padang permainan hampir sama rata", yang memungkinkan khalayak mendapat maklumat yang selama ini cuba ditutup rapat.


Kini setiap individu berupaya menjadi seorang wartawan, sekali gus editor dan juga penerbit. Hirarki penerbitan tradisi telah dipecahkan. Seorang blogger, misalnya, mampu menggegarkan negara jika berjaya membuat pendedahan terhadap penyelewengan atau skandal pemimpin, apatah lagi sekiranya disokong fakta bergambar melalui kemudahan Facebook dan Youtube.

Kes "rusuhan" peserta Bersih 3.0 yang digembar-gemburkan media Umno-BN berjaya disanggah dengan cepat melalui penyebaran klip video dalam Youtube yang menggambarkan pihak polis sebenarnya yang menjadi ejen provokator.

Bagaimanapun, sebagai wartawan yang "masih terikat dengan media lama" saya lebih berminat dengan media cetak, seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket, yang sepatutnya dioptimumkan aplikasi politiknya.

Kemajuan teknolgi maklumat yang ditandai dengan laman-laman web, portal berita, blog, FB dan twitter tidak seharusnya menyebabkan aktivis Pakatan Rakyat memandang sepi kepentingan akhbar, apatah lagi umum maklum bahawa sasaran pengundi yang menjadi rebutan parti-parti yang bertanding kali ini ialah masyarakat Melayu di kampung-kampung tradisi dan juga rancangan Felda.

Semasa di Tawau, Sabah, baru-baru ini, dalam majlis forum politik di sebuah hotel, seorang anak muda aktivis DAP menimbulkan persoalan Kelab Pembaca Harakah. Beliau dan bapa mertuanya merupakan pelanggan tetap Harakah, yang hanya dapat dibelinya selepas melalui 45 minit perjalanan dari rumah mereka.

Lebih menarik, mereka bukan hanya membeli senaskhah lidah rasmi PAS itu untuk dibaca di rumah. Empat lima naskhah lagi akan diletakkan di lokasi yang menjadi tumpuan awam, seperti restoran dan kedai gunting, dengan niat lebih ramai dapat berkongsi maklumat dan pandangan yang dimuatkan dalam Harakah.

"Banyak bahan-bahan menarik dan bermanfaat dalam Harakah, yang bagi saya perlu disebar-luaskan kepada masyarakat," kata aktivis muda beragama Kristian, yang fasih berbahasa Melayu itu.

Beliau mahu ditubuhkan Kelab Pembaca Harakah di Tawau. Walaupun saya sendiri tidakbegitu arif dengan cadangan kelab tersebut, saya telah memberi komitmen awal dan menjanjikan agar Harakah dapat diinstitusikan dengan lebih menyeluruh lagi, melintasi Laut Cina Selatan.

Malam itu, keletihan saya berjalan jauh segera terubat. Idea untuk menyebar-luaskan pengedaran Harakah sudah lama terbuku dalam fikiran. Saya pernah mengusul agar para dermawan PAS menaja sejumlah naskhah Harakah untuk disumbangkan kepada individu atau institusi tertentu. Mungkin menyamai apa yang dilakukan akhbar lain, misalnya New Straits Times, dalam konteks pengukuhan pembelajaran bahasa Inggeris.

Menjelang PRU13, agar kesempatan rakyat untuk melakukan perubahan menyeluruh tidak berlalu dengan sia-sia, segala usaha dan pendekatan untuk menjadikan pengundi kita bermaklumat mesti digerakkan dengan sistematik.

Bahan bercetak masih dianggap antara medium paling berpengaruh, mudah dicapai dan senang diedarkan. Sudah tentu kualiti persembahan mesti dipertingkatkan, termasuk dengan mutu grafik yang tinggi.

Ya, usah memandang enteng gerakan untuk memikat hati dan perasaan pembaca, sehingga mereka terdorong untuk bersama-sama melakukan perubahan demi menyelamatkan negara dan generasi akan datang.

Lebih penting, media bukannya mukjizat ajaib, jika tidak disertai dengan perancangan yang teliti dan bijaksana. Ketika sasaran ataupun pengundi diasak dengan limpahan maklumat atau propaganda, hanya yang terbaik dapat menjinakkan emosi. Pengguna media kini lebih bijak menilai dan membuat penghakiman.

Di Konvensyen Akses Media Dalam PRU13, Sabtu lalu, kolumnis dan aktivis budaya, A Shukur Harun mengingatkan peserta agar lebih menumpukan perhatian dan tenaga bagi meningkatkan kewibawaan akhbar alternatif seperti Harakah, daripada sibuk "pening kepala" dengan gelagat akhbar-akhbar Umno, seperti Utusan Malaysia.

"Saya pernah turun ke kawasan-kawasan Felda di Selangor. Bila ditunjukkan Harakah, peneroka Felda di situ berkata mereka tidak pernah tengok Harakah," katanya, sambil meminta aspek pengedaran dan pemasaran bersikap lebih proaktif.

Ya, sudah tiga kali kita terlepas peluang menukar kerajaan persekutuan ... apakah dalam PRU13 juga kita bakal mengulangi kealpaan dan kesilapan sama, terutama dalam konteks berdepan manipulasi media Umno-BN?

Baca Seterusnya......

Najib persetankan tuntutan Bersih!

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Saya agak terkilan kerana tidak dapat meraikan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, khususnya bersama rakan-rakan yang berhimpun pada Khamis lalu, di hadapan pejabat Malaysiakini, Bangsa, Kuala Lumpur.

Sepatutnya tengahari 3 Mei itu mempertemukan warga media yang selama ini sibuk dengan tugasan masing-masing, di samping merapatkan hubungan dan meneguhkan iltizam dalam perjuangan. Ya, ada keuzuran yang menghalang saya.

Bukan rutin lagi 

Tarikh 3 Mei tahun ini bukan lagi sekadar acara rutin seperti lazimnya tetapi mempunyai makna tersendiri kepada setiap pengamal media. Simbol pakaian hitam dan riben kuning menjadi bukti solidariti para wartawan yang bukan saja kian dihimpit profesionalisme mereka, malah diganasi pihak keselamatan (ingat demonstrasi Bersih 3.0)!

Hari itu rakan-rakan media bukan lagi, seperti lazimnya, merakamkan peristiwa bahkan mereka sendiri mengukir sejarah. Bukan lagi sekadar menjadi pencatat, pelapor dan penganalisis, bahkan tindakan mereka disorot dan diperhatikan secara dekat.

Langkah Kerajaan Pulau Pinang, melalui Ketua Menterinya, Lim Guan Eng yang turut mengadakan majlis khusus, meraikan 3 Mei penuh bermakna, di samping memakai pakaian hitam beriben kuning itu, bagi saya, cukup menginspirasikan.

Dalam masa sama, saya mengimpikan ada kesatuan dan persefahaman, sekurang-kurangnya dari segi pemikiran, di kalangan semua wartawan, termasuk dalam "media arus perdana" berbahasa Melayu, dan juga Inggeris -- bersama pengamal media bebas -- berani berdepan isu-isu kritikal yang mencengkam dunia persuratkhabaran kita.

Selama ini, cuma wartawan akhbar Cina yang dilihat lebih berani meluahkan apa yang terbuku di hati. Dalam aksi mutakhir, akhbar-akhbar utama Cina telah menghitam-putihkan muka surat depannya; satu tindakan drastik dan berani yang pasti membuatkan BN terpaksa melupakan terus harapan untuk menarik sokongan pengundi Tionghua.

KAMI dan Pak Said 

Sebenarnya, saya bersama aktivis Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) mula menyambut hari bersejarah itu, dengan majlis makan malam dan forum kebebasan media, lebih sepuluh tahun lalu, di Hotel Vistana, pada malam 2 Mei, di samping menyampaikan anugerah khas buat wartawan veteran, Said Zahari.

Saya masih ingat, KAMI mengumpulkan sejumlah wang tunai, dari kalangan wartawan bebas yang kebanyakannya "tidak berwang" untuk menghargai pengorbanan dan jasa besar Pak Said. Beliau datang bersama Allahyarham isterinya, Salamah Abd Wahab dan anak-anak mereka. Sukar dilupakan saat itu. Pak Said merakamkan pengorbanan arwah dalam memoir keduanya, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah.

Ketika itu, Dr Mahathir Mohamad masih gagah bertakhta sebagai Perdana Menteri. Selepas dimalukan oleh pengundi Melayu dalam pilihan raya umum 1999, beliau bertindak bebal mengharamkan beberapa penerbitan bahasa Melayu, termasuk yang diterajui saya sendiri, misalnya majalah-majalah Detik dan Wasilah, selain akhbar mingguan Eksklusif terbitan Karangkraf pada 1999 dan 2000. Harakah, dipancung kekerapannya, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.

Sehubungan itu, Mahathir dilabelkan NGO media antarabangsa sebagai antara "musuh utama akhbar". Namun, biarpun perdana menteri bersilih ganti kepada Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak, situasi kebebasan media di negara ini tetap serupa. Jika ada sedikit ruang bernafas, terutama dalam konteks media baru, ia bukan petanda pemerintah bersikap terbuka tetapi "keterpaksaan" menerima hakikat perubahan sejagat yang tidak dapat dibendung lagi.

Saya kerap berhujah menyanggah dakwaan bahawa kerajaan bersikap lunak dengan suara-suara kritikan yang diluahkan melalui internet. Sebenarnya pemerintah tiada pilihan berdepan fenonema langit terbuka, dan ia sama sekali bukan petanda Umno-BN berlapang dada; mereka sebenarnya terpaksa akur!

Justeru, saya melihat gangguan pemerintah terhadap pengamal media negara ini bukan hanya ditandai dengan keganasan polis dalam demonstrasi Duduk Bantah, 28 April lalu, malah mempunyai rekod buruk yang begitu panjang sebelumnya.

Tak dipedulikan 

Tunjuk perasaan raksasa yang menghimpunkan lebih suku juta umat itu sekadar meledakkan satu lagi  isu besar, berkaitan hak kebebasan bersuara, yang selama ini jarang diperhatikan atau diambil peduli.

Pengamal media yang sepatutnya dilindungi semasa menjalankan tugas, kini entah mengapa dilihat sebagai ancaman kepada elit pemerintah. Semasa bertugas 28 April lalu, ada di antara mereka diperlakukan secara biadab, diherdik, dimaki-hamun dengan label perkauman, dirampas peralatan kerja seperti kamera, malah gajet tersebut yang menyimpan aksi ganas polis dimusnahkan. Lebih memalukan apabila mereka turut dibelasah pihak polis.

Membicarakan risiko tinggi yang dihadapi wartawan hari ini bukan bermakna saya dan rakan-rakan lain tidak bersedia menjalani tugasan yang mencabar atau mahu sentiasa berada dalam zon selesa untuk mendapatkan scoop. Kerjaya ini memang menuntut cabaran besar, termasuk berdepan risiko kemalangan jiwa seperti dialami jurnalis di medan tempur.

Cuma, malang sekalilah wartawan Malaysia yang terpaksa mempertaruhkan keselamatan diri hanya untuk melaporkan satu perarakan aman menuntut proses pilihan raya adil dan bebas! Wartawan bukannya berwatak "manja", "mandom" atau  langsung tidak boleh "dicubit" ...

Terjebak dengan seribu satu kemungkinan buruk ataupun insiden di luar jangka merupakan satu hal berbeda dengan menjadi mangsa keganasan pasukan keselamatan, yang diperalatkan elit penguasa itu.

Umno berpakaian polis? 


Seorang rakan  yang turut menyertai Bersih 3.0 melontarkan persoalan berbeda: "Makin lama melihat rakaman Bersih 3.0 di YouTube, makin banyak terdedah aksi ganas polis, tapi apakah betul semua mereka itu polis ataupun ahli Umno yang diberi baju polis. Semasa saya berjalan dari Brickfield ke Masjid Negara dan seterusnya Masjid Jamik, saya nampak ramai polis bantuan. Saya rasa mereka itu ahli Umno."

Beliau menambah: "Saya ada pengalaman melihat seorang lelaki yang mengambil semua naskhah akhbar Selangor Kini di masjid pada hari Jumaat, untuk dibuangnya. Saya sempat bertanya, siapa sebenar dirinya. Dia mengaku anggota polis. Selepas diselidik dia rupa-rupanya kerani sekolah."

Saya membalas SMS sahabat saya itu: "Tidak mustahil ... bukankah ada kemusykilan ditimbulkan dalam facebook, mengapa ramai polis hari Bersih itu tidak pakai tanda nama?"

Kenalan saya, seorang pegawai polis, turut memberi reaksi: "Agaknya polis yang belasah demonstran itu, sebelum masuk polis memang ahli Umno pun. Bila dah jadi polis makin berlagaklah, lebih daripada koboi, senang-senang  pukul orang tanpa sebab, Ini  satu kesalahan besar dalam tatatertib pasukan polis, lebih-lebih lagi di tempat awam, terbuka dan beruniform penuh.

"Insiden ini memalukan pasukan polis. Ramai rakan setugas saya di tempat kerja mengeleng kepala, tidak sepatutnya polis hilang pertimbangan. Demonstran bukannya penjenayah atau  gangster."

PDRM mengambil inisiatif mengedarkan gambar-gambar "perusuh" Bersih 3.0 agar mereka menyerah diri. Sedangkan seluruh negara heboh dan menyaksikan sendiri bagaimana pihak polis terbabit dalam "rusuhan" itu, menjadi ejen provokator dan bertukar "gila membabi buta" hanya kerana mendengar khabar angin rakan mereka mati disebabkan reaksi demonstran.

Klip video keganasan polis 

Turut disiarkan dalam Facebook polis Kuala Lumpur itu ialah gambar anggota polis yang didakwa mengkasari orang awam serta wartawan, bagaimanapun malangnya polis dilihat hanya berminat dengan satu insiden di Jalan Tun Perak, sedangkan banyak lagi gambar atau klip video yang menggambarkan kekejaman polis telah dimuat-naik di internet tetapi  tidak disebut.

Masyarakat sedang menilai bagaimana pihak polis menangani isu keganasan ini secara menyeluruh dan bijaksana atau sekadar menjadi perkakas politik sahaja. Imej polis berada di tahap paling rendah, mungkin di bawah kedudukan terburuk semasa Reformasi 1998 dahulu.

Saya tertarik dengan analisis Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bahawa tiada seorang pun rakyat Malaysia yang waras dan boleh berfikir, mungkin mudah terbeli dengan dakwaan Perdana Menteri bahawa penganjur Bersih 3.0 bertanggungjawab atas keganasan 28 April, khasnya amukan keganasan dan kekejaman polis terhadap peserta perhimpunan aman dan petugas media.

"Kuasa berlebihan, tidak bertempat dan tanpa berkecuali yang digunakan oleh polis, sama ada menembak gas pemedih mata, tembakan meriam air mahupun keganasan dan kekejaman lainnya, tidak boleh dihalalkan atas alasan demonstran merempuh penghadang Dataran Merdeka," tegasnya.

Rumusan Kit Siang cukup menarik: "Pentadbiran Najib harus diingatkan semula bahawa “musuhnya” bukan lagi komunis yang mengangkat senjata dan berperang di dalam hutan belantara tetapi sebuah gerakan masyarakat yang terdiri daripada golongan pertengahan yang sudah celik politik yang turut berhubung dengan masyarakat dunia dan bergerak atas isu-isu yang sah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan seperti pilihan raya yang bebas dan adil; hak asasi untuk berhimpun dan berpersatuan; pentadbiran berintegriti, baik, bersih dan tanpa rasuah!"

Ya, polemik demonstrasi Bersih ini akan berlanjutan lebih lama dan mungkin bakal menangguhkan lagi tarikh PRU13. Ingatan Dr Abd Aziz Bari sepatutnya direnungi. Beliau  menegaskan agar isu keganasan polis tidak melarikan fokus rakyat mendesak supaya reformasi sistem pilihan raya diteruskan.

Usah lupa agenda sebenar 

Saya kira agenda rakyat itu cukup jelas. Dan insiden keganasan polis ini makin menjelaskan lagi tumpuan perjuangan mereka.

Dilihat reaksi PM Najib, yang mendakwa demonstrasi Bersih 3.0 sebagai usaha pembangkang menumbangkan kerajaan secara tidak sah, seperti berlaku di Medan Tahrir, Mesir, saya kira pemerintah memang sengaja mahu mengelak daripada menjawab tuntutan asasi lebih suku juta peserta himpunan, iaitu memastikan proses pilihan raya bebas dan adil.

Harapan tipis sekali untuk kita melihat kesediaan kerajaan Umno-BN mereformasikan sistem yang pincang dan tempang itu, terutama membersihkan senarai daftar pemilih, yang bukan hanya meragukan, tetapi kotor.

Tuntutan lain, seperti yang ditekankan KAMI, iaitu akses media yang adil dan saksama buat semua parti bertanding, pastinya akan dilupakan begitu saja. Anda percaya kumpulan Utusan Melayu dan Media Prima boleh melaporkan kebenaran? Ya, belum pun Parlimen dibubarkan, pejabat media berkenaan sudahpun menjadi bilik gerakan kempen BN!

Apa pun, KAMI menjemput anda semua menghadiri Konvensyen Akses Media Dalam PRU13, di Hotel Nouvelle, berdekatan Plaza Tol Sungai Besi, pada 12 Mei ini, bermula jam 9 pagi hingga 4 petang. Sebarang pertanyaan, hubungi Hayatul Kamil Termudi 016-2205301.

Baca Seterusnya......

BN gambarkan Bersih 3.0 kotor: Tersilaukah rakyat?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Demonstrasi Bersih 3.0 memang membawa impak besar kepada lanskap politik tanahair. Ia dilihat sebagai antara faktor utama bagi Perdana Menteri mencadangkan tarikh pembubaran Parlimen ... tapi malangnya, tanpa mengambil peduli langsung tuntutan mereformasikan sistem dan proses pilihan raya, yang begitu lantang dikumandangkan dalam himpunan petang 28 April itu.

Yang dihebohkan media hanya "tindakan ganas dan kotor perusuh", kerugian besar peniaga sekitar Dataran Merdeka (termasuk kira-kira RM280 juta oleh para pengusaha haji dan umrah jika kerajaan Arab Saudi melarang rakyat negara ini mengerjakan ibadat itu!), sedangkan agenda murni pendemokrasian tidak dihiraukan sama sekali. Elit pemerintah yang cukup takut untuk melakukan pembaharuan politik dengan tangkas cuba mengalih isu sebenar.

Selepas 10 hari,  perhimpunan bersejarah yang mengumpulkan lebih suku juta orang itu -- membabitkan pelbagai  lapisan kaum,   majoritinya anak-anak muda -- turut mendapat perhatian istimewa Majlis Fatwa Kebangsaan. Biarpun fatwa yang diputuskan nampak umum, merujuk sebarang perhimpunan atau demonstrasi, namun semua pihak melihatnya ditujukan khusus kepada Bersih 3.0.

Majlis Fatwa memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.

"Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama," kata pengerusinya, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

(Tentunya saya cuba mengelak daripada menyanggah keputusan fatwa tetapi saya bimbang jika ia diputuskan atas kehendak elit penguasa -- apatah lagi menjelang PRU13 --  atau tanpa maklumat cukup dan pertimbangan sewajarnya, kedudukan majlis tersebut akan menjadi momokan awam. Bayangkan selepas pasukan polis diasak kiri kanan, Majlis Fatwa pula menjadi perisai Umno? Perkembangan yang cukup menyedihkan).

Apakah Majlis Fatwa langsung tidak memahami tujuan sebenar himpunan Bersih 3.0 itu, bagi memastikan proses pilihan raya yang adil dan bebas? Dan, kalaupun berlaku kacau-bilau, siapa sebenarnya yang mencetuskan (malah merancang) huru-hara dan kekacauan itu? Undang-undang mana pula yang dilanggar demonstran, atau kalaupun ada peraturan yang diceroboh, apakah ia bersifat zalim, menindas dan tidak demokratik?

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat pantas mengulas: "Pernahkah Majlis Fatwa memandang dan memahami di sebalik lapan tuntutan Bersih untuk mengatasi isu pengundi hantu dan penipuan dalam pilihan raya yang implikasinya lebih besar kepada negara? Saya yakin fatwa ini hanya laporan akhbar prokerajaan sahaja tanpa mendapat penjelasan dari penganjur Bersih 3.0 sebelum membuat pertimbangan."


Dalam pada itu, semasa imej polis berada pada tahap terendah, ekoran keganasan terhadap demonstran pada petang 28 April lalu, tiga bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar, Tan Sri Rahim Noor, dan Tan Sri Musa Hassan,  turut menyokong tuduhan Dato' Seri Najib Abdul Razak bahawa perhimpunan "duduk-bantah" itu merupakan percubaan  pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.


Hanif, Rahim dan Musa mempunyai "rekod tersendiri" dalam usaha menyekat pergerakan reformasi 1998, atau lebih khususnya bertembung langsung dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim. (Rujuk kes mahkamah berkaitan taukeh judi Genting, mata lebam Anwar dan afidavit lucah). Lebih jauh lagi, Hanif menuduh ada elemen prokomunis terbabit.

Malah Rahim, dalam kenyataan terbaru dalam New Straits Times, 8 Mei, melabelkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai father of kafir (bapa kafir), ekoran penegasan Menteri Besar Kelantan itu tentang kewajipan  umat Islam menyertai Bersih 3.0. Dia juga menyifatkan Tok Guru sebagai "pelawak".

"Kasihan Rahim Noor, memang rahmat tak sampai padanya, kasihan keluarganya. Apa nak jadi polis pencen ini? Orang bukan Islam pun hormat dan sayang Tok Guru," SMS seorang pembaca Harakah kepada saya.

Apa pun, saya agak kaget dengan "keberanian" editor NST memilih tajuk selancang itu. Ia memang mengundang tindakan undang-undang daripada Tok Guru ataupun PAS sendiri (seperti disahkan kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man), tetapi bagaimana dengan pemantauan Kementerian Dalam Negeri (KDN)?

(Sebelum itu, NST juga "tersalah petik" ucapan Senator Australia, Nick Xenophon, di Parlimen negara itu pada 17 November 2009, dengan menggambarkannya sebagai anti-Islam. Utusan Malaysia akhirnya terpaksa memohon maaf dengan Xenephon. Beliau adalah salah seorang daripada  pasukan tujuh anggota pemantau antarabangsa dalam misi pencarian fakta mengenai sistem pilihan raya Malaysia, termasuk demo Bersih 3.0).


Rahmah Ghazali, wartawan NST, yang terpampang namanya pada halaman 6 itu, menafikan beliau terlibat dalam penulisan berita berkenaan. Rahmah hanya menulis dua perenggan akhir daripada keseluruhan 14 para, itu pun berita bersumberkan Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.


II.

Ketika berucap di Gua Musang, 4 Mei, Najib menegaskan: "Mereka (demonstran) ada niat untuk tawan Dataran Merdeka, bukan berhimpun untuk dua tiga jam tetapi dua tiga hari atau lebih daripada itu, nak gambarkan kerajaan tidak boleh mengawal keadaan. Mereka nak jadikan Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir di Mesir."

Tidak cukup dengan "khayalan" (atau mungkin igauan buruk) Najib itu, sepupunya, Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Hussein mendakwa Anwar dan para penyokongnya berniat mengambil alih (occupy) Dataran Merdeka daripada 14 hingga 28 April ekoran isu pinjaman pelajaran mahasiswa (PTPTN).

Bagaimanapun, dakwa Hishammuddin, kurangnya sokongan daripada orang ramai menyebabkan rancangan itu tidak diteruskan.

Rupanya PM dan Menteri Dalam Negeri mempunyai imiginasi yang cukup liar. Tanpa memerlukan sebarang bukti, mereka boleh bergebang (sebenarnya memfitnah) sewenang-wenangnya, semata-mata untuk memalitkan imej buruk kepada Pakatan Rakyat, sekali gus menjauhkan pengundi daripada memilih kerajaan persekutuan yang baru.

Najib dan Hishammuddin masih diulit mimpi lama. Mereka mengharapkan rakyat gerun dengan istilah "menggulingkan kerajaan", apatah lagi dengan insiden di Medan Tahrir.

Mungkin Umno masih mengimpikan masyarakat Tionghua khususnya takut dengan gambaran "keganasan" demonstran, sepertimana Dr Mahathir Mohamad pernah "mengutip untung" semasa era reformasi 1998-99, apabila mengaitkannya dengan rusuhan di Indonesia.

Malang sekali apabila himpunan Bersih 3.0 dibanjiri masyarakat Cina dari seluruh negara. Malah saya dapati mereka datang dengan penuh bersemangat, melaungkan slogan yang lebih jelas dan tidak malu-malu  berkempen sesama peserta demonstrasi. Hinggakan semasa  menapak di sekitar Jalan Sultan pagi 28 April itu, saya tercari-cari juga rakan-rakan sebangsa!


Jelas sekali, tiada tuntutan Bersih agar Najib meletakkan jawatan. PM hanya diminta menunaikan lapan agenda mereformasikan sistem pilihan raya, agar semua parti dan calon dapat bertanding secara adil, telus dan bersih. Tegasnya, padang permainan sama rata dapat dihamparkan.

Umum maklum bahawa kebangkitan Arab ditandai dengan beberapa faktor utama, antaranya, pemerintahan diktator kuku besi yang menekan hak rakyat, demokrasi dicabul, selain pembolotan khazanah kekayaan negara sehingga ekonomi merudum, kadar pengangguran meningkat dan keganasan pasukan keselamatan semasa berdepan siri tunjuk perasaan.

Pelik juga, mengapa Najib dan konco-konconya nampak begitu gusar dengan kebangkitan rakyat dan kerap mengaitkannya dengan Medan Tahrir dan Arab Spring, yang menjatuhkan beberapa diktator melalui aksi jalan raya. Apakah mereka merasakan ada persamaan dengan Gadaffi, Mubarak ataupun Ben Ali?

Anak Mahathir, Marina, yang turut menyertai demonstrasi Bersih 3.0, dan pada 9 Julai 2011, Bersih 2.0  menyinggung hal ini: "Memang kita bukan seperti  Mesir, tetapi mengapa reaksi kita seperti Mubarak (ketika menangani peserta demonstrasi)?"

Mahfuz juga memberi respon: "Najib takut bayang-bayang dia sendiri. Di Malaysia, kita bukan minta dia turun. Itu minta kemenangan percuma. Kita mahu menang atau kalah dalam pilihan raya bersih dan adil."

II.

Selasa lalu, saya menerima banyak SMS, tapi kandungannya sama. Ramalan terkini PRU13. Pembubaran Parlimen, 14 Mei; penamaan pencalonan, 26 Mei; dan hari mengundi 9 Jun.

Kali ini ramai mengambil berat tarikh berkenaan. "Kalaupun tersasar sekali lagi, saya rasa ia tidak mungkin melewati Ramadan. Sebabnya, jika diadakan selepas puasa, Najib terpaksa menunggu sehingga semua jemaah haji balik, iaitu paling awal November 2012. Waktu itu rakyat dah lupa segala 'durian runtuh'," komen seorang rakan.

Bagaimanapun saya lebih tertanya-tanya soal lapan tuntutan Bersih yang tidak dipedulikan itu ... terutama daftar pemilih yang mencurigakan.

-----

Artikel ini disiapkan pada 8 Mei 2012

Baca Seterusnya......

BERSIH 3.0: "Mukjizat" media baru

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Semasa program sembang santai blogger dan wartawan dengan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Ulu Yam, Selangor, petang Ahad lalu, sehari selepas himpunan BERSIH 3.0, Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man menekankan soal "keajaiban" dan sumbangan besar media baru.

Suatu waktu dahulu, ketika berdepan asakan dan serangan berterusan media yang dikawal mutlak elit pemerintah, parti-parti pembangkang yang dinafikan hak untuk "bermain di atas padang sama rata" terasa begitu perit sekali.  Tiada langsung peluang untuk menjawab segala tohmahan.

Namun, dalam suasana langit terbuka dan penemuan gajet baru yang lebih sofistikated, proses pendemokrasian semakin mudah untuk menjadi lebih matang, teruji dan menyeluruh.  Setiap pihak mempunyai ruang untuk berbicara mengemukakan hujah, menjelaskan kekeliruan, sekali gus menyanggah fitnah.

Lebih menarik apabila gambar-gambar yang dirakam, tidak terbatas oleh jurufoto profesional, malah rakyat biasa, terutama yang disiarkan melalui YouTube, tambah menyemarakkan lagi usaha menumbangkan kerajaan zalim.

Contoh ketara, kebangkitan dunia Arab membuktikan diktator rakus kecundang apabila maklumat tidak dapat lagi dimonopoli elit penguasa.  Segala tindakan di luar batas kemanusiaan, termasuk mengakibatkan kematian dan kecederaan parah ke atas penunjuk perasaan, seperti di Medan Tahrir, tersebar luas ke seluruh dunia dalam sekelip mata.

Terbaru, demonstrasi raksasa 28 April lalu, di sekitar Dataran Merdeka, yang menghimpunkan - paling kurang - suku juta rakyat prihatin, bukan saja mencatatkan sejarah baru perjuangan menuntut hak di Malaysia, malah mendedahkan ketakutan regim pemerintah terhadap pembongkaran tindakan ganas pasukan polis.

Rakyat bangkit serentak, berganding bahu, membentuk gelombang kuning yang melaut, dengan gaya santai tapi penuh bersemangat, menuntut reformasi menyeluruh ke atas sistem dan proses pilihan raya yang bersih dan adil.

Dari perspektif lain, benar sekali ungkapan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, semasa mengulas BERSIH 3.0, bahawa transformasi Perdana Menteri Najib Razak kali ini begitu berjaya sekali, "Najib berjaya menukar imej polis daripada kurang ganas kepada lebih ganas.  Ya, lebih ganas daripada aksi polis regim Israel kepada penduduk Palestin.  Lihatlah video yang merakamkan adegan ganas polis itu, yang banyak tersebar dalam internet."

Perhimpunan dan juga perarakan yang berjalan secara aman, teratur, berdisiplin dan lancar sehingga jam 2 petang, bertukar menjadi kecoh, kelam-kabut dan huru-hara.  Anggota polis yang mulanya nampak mesra bertukar watak (atau kembali kepada "fitrah" sebenar?); dalam keadaan tertentu lagak mereka seperti samseng upahan yang tidak berakal, rakus dan ganas menyambar mangsa, membelasah tanpa belas kasihan.

Tidak cukup dengan tembakan gas pemedih mata dan meriam air, yang mengasak lokasi sendat peserta demonstrasi, ditambah dengan maki hamun, sepak terajang dan aksi brutal lainnya.  Ya, lebih 250,000 orang mengisi ruang yang sempit dan kemudiannya ditembak gas dan air kimia.  Ke mana arah untuk menyelamatkan diri?

Lebih dahsyat dan keji, apabila video-video yang disiarkan dalam internet membuktikan begitu banyak sekali aksi provokasi pihak polis, yang tujuan akhirnya untuk menukar situasi aman dan terkawal itu menjadi "panas dan ganas", bagi memenuhi niat jahat taukeh-taukeh politik yang gelabah menunggu tarikh Parlimen dibubarkan.

Anggota polis, mungkin daripada cawangan khas (SB), yang berpakaian preman, termasuk wanita - malah ramai di antara mereka turut berbaju kuning dan menjeritkan slogan reformasi pilihan raya - dikenal pasti menjadi agen provokator yang kelihatan begitu proaktif.  SB ini cuba merangsang peserta demonstrasi bertindak lebih agresif di luar kawalan.

Rupa-rupanya inilah strategi elit pemerintah (mungkin dengan bantuan pakar luar negara, seperti APCO) yang dirancang lebih awal, bagi menggambarkan perjalanan BERSIH 3.0, "yang diterajui NGO dan disokong pembangkang", sebagai kotor dan tidak bertamadun, sekali gus menghitam-legamkan imej Pakatan Rakyat.

Anda lihat sendiri tajuk utama di muka depan semua akhbar harian esoknya, Ahad, 29 April.  Senada saja.  Sama ada mendapat arahan "pihak atasan" atapun sememangnya setiap ketua editor akhbar yang dikontrol ketat UMNO itu sudah "faham sangat" apa yang dikehendaki Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri.

Gambar yang dipilih juga serupa, iaitu kereta polis diterbalikkan, satu imej global tentang keganasan "para perusuh".  Tanpa menunggu lama, Buletin Utama TV3 pada malamnya juga sudah memulakan kempen memburuk-burukkan pejuang demokrasi itu, yang kemudiannya berlangsung berhari-hari.

Cerita latar sebelum kereta Waja itu diterbalikkan langsung tidak dijelaskan, malah dipadamkan.  Sekali lagi, YouTube banyak membantu mencerahkan.  Kita dapat melihat bagaimana kereta polis itu, dari arah Kompleks Pertama atau Jalan Dang Wangi, yang mulanya perlahan, tiba-tiba dipandu laju dan melencong meluru ke arah pejalan kaki di sebelah kompleks membeli-belah Sogo.

Tiga empat orang melambung dilanggar.  Salah seorang daripadanya, Su Kuang Hong, 25, seperti dilaporkan Malaysiakini, berkata beliau terpelanting ke bahagian atas kenderaan tersebut selepas dilanggar.

Proton Waja polis itu juga terus bergerak selepas melanggarnya dan beliau sekali lagi melayang dan melanggar tembok di hadapan pusat membeli belah itu apabila kenderaan itu berhenti secara tiba-tiba.

Cuba bayangkan, dalam suasana tegang sejurus selepas ditembak pemedih mata, meriam air dan sebahagiannya dipukul atau sekurang-kurangnya belum dapat menarik nafas lega dikejar, mereka menyaksikan pula kereta polis melanggar rakan-rakan yang lain.  Jika turut di situ, apa reaksi spontan anda?

Wartawan Malaysiakini, Zulaikha Zulkifli, yang berada di tempat kejadian merakamkan, "Kenderaan yang bergerak di antara kumpulan peserta berkenaan kemudian melanggar beberapa orang sehingga menyebabkan salah seorang individu berkenaan terpelanting ke atas kenderaan tersebut."

"Saya nampak kereta itu kemudiannya tersasar ke arah kanan dan seterusnya melanggar tembok di hadapan pusat membeli belah Sogo. Individu yang saya lihat berada di atas bonet kenderaan itu juga terjatuh dalam kejadian yang berlaku dengan pantas itu."

"Seramai kira-kira 30 orang peserta perhimpunan kemudiannya mengerumuni kenderaan tersebut dalam keadaan marah dan bertindak menendang dan memukul kereta tersebut.  Saya turut mendekati untuk melihat dengan lebih jelas dan mendapati salah seorang lelaki yang dilanggar itu mengalami kecederaan dan berdarah di bahagian muka."

"Saya juga mendengar jeritan daripada individu di sekitar kawasan tersebut yang cemas kerana menyangka ada orang terperangkap di bawah kenderaan itu."

Pada hemat saya, insiden itu sebenarnya mungkin dirancang dengan teliti, dan merupakan salah satu elemen provokasi yang cukup berbahaya, agar himpunan itu tidak berakhir secara mudah dan aman, apatah lagi memberikan imej baik dan positif kepada BERSIH 3.0.  Tegasnya, pihak polis sengaja mengundang kemarahan  demonstran supaya mereka bertindak "gila".

Beberapa minit sebelum itu, sebuah kenderaan polis, juga merempuh kawasan hampir sama, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, berdekatan Sogo.  Ia nyaris melanggar orang ramai ketika membuat belokan tajam ke lorong sebelah kanan, bersebelahan kompleks membeli-belah itu.  Satu lagi bukti provokasi polis yang diperalatkan regim yang sedang meniti saat-saat sakratul-maut!

Sesungguhnya pentas BERSIH 3.0 adalah medan terakhir UMNO-BN melancarkan serangan terhadap pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 yang cukup kritikal itu.  Motif Najib untuk tidak menyekat demonstrasi itu, seperti dilakukannya semasa BERSIH 2.0, juga sarat dengan kepentingan politik.

Saya dimaklumkan bahawa ketua-ketua editor telah dipanggil ke Bukit Aman, pada Jumaat, 27 April, sehari sebelum perhimpunan.  Khabarnya Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein (gambar kanan) sendiri memberikan taklimat dan arahan.  Pastinya berkaitan dengan liputan media terhadap demonstrasi BERSIH 3.0.

Menurut Naib Presiden KeADILan, N Surendran: "Kami diberitahu bahawa semasa pertemuan tersebut, ketua-ketua editor diberi arahan bagaimana melaporkan keadaan semasa perhimpunan BERSIH 3.0 dan mereka juga diminta supaya tidak melaporkan kekejaman pihak polis.  Pihak polis dengan jelas mengikut telunjuk KDN apabila pihak media yang sedang merakam aksi salah guna kuasa polis terhadap orang awam juga dikasari."

Wartawan Harakah Kedah, Izwan Abdul Halim, turut ditangkap dan dibawa ke Pulapol, Jalan Semarak.  Kamera beliau yang banyak merakam sudut menarik demonstrasi dirampas dan memori kadnya tidak dikembalikan selepas beliau dibebaskan pada awal pagi Isnin.  Satu bentuk pencabulan dan gangguan melampau terhadap kerjaya seorang pemberita.

Ramai lagi pengamal media menghadapi nasib sama, malah lebih buruk apabila ada yang diganasi polis berunifom, walaupun selepas memaklumkan mereka adalah wartawan, di samping menunjukkan kad akreditasi media, seperti dialami pembantu editor MerdekaReview edisi Mandarin, Chen Shaua Fui.  Tiada langsung rasa hormat polis terhadap wartawan.

"Selepas ini kita pun tak perlu lagi menghormati kerja polis," marah seorang editor kanan sebuah akhbar harian.

Wartawan The Sun, Mohd Radzi Abdul Razak, 27, dicederakan oleh lapan anggota polis semasa membuat liputan, sekitar jam 7 malam, berdekatan waterfall persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut.

Beberapa wartawan lain berdekatan menjerit berulang kali, "Press! Media!", namun kumpulan polis itu terus menyerang Mohd Radzi.  Beliau terpaksa dirawat dalam wad Hospital Kuala Lumput.

Begitu juga dengan nasib jurugambar Malay Mail, Arif Kartono, yang ditumbuk oleh polis dan kameranya dipecahkan.  Wartawan Malaysiakini, Koh Jun Lin, pula ditahan dan peralatan kameranya dirampas.

Turut dirampas kamera ialah P Malayandy, jurufoto akhbar Tamil, Makkal Osai, selain dicederakakan lima anggota polis.  Huang An Jian, juga jurugambar, sebuah akhbar Cina, Guang Ming Daily, ditangkap ketika merakam kejadian demonstran ditahan.
 
Malah wartawan antarabangsa, Harry Fawcett daripada Al-Jazeera pun tidak terkecuali, apabila mereka dikasari semasa mengambil gambar polis sedang memukul peserta perhimpunan.  Kameranya juga rosak dan beliau terpaksa menggunakan iPad untuk melaksanakan tugasannya.

Sehubungan itu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) menggesa supaya siasatan ke atas dakwaan serangan polis terhadap wartawan itu dijalankan jawatankuasa bebas dan bukannya pasukan polis.

Ia jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi serta bertentangan dengan hak wartawan untuk melakukan tugas dalam susana dan persekitaraan aman.  Biarlah jawatankuasa tersebut memanggil anggota polis yang terlibat dan para wartawan dan jurugambar untuk memberi keterangan supaya orang ramai akhirnya mengetahui apa yang berlaku," kata Presiden NUJ, Chin Sung Chew.

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) memandang serius pencabulan ketara terhadap tugas wartawan ini.  Semasa KAMI aktif memperjuangkan akses media yang adil dan saksama buat semua parti yang bertanding dalam PRU13 nanti, insiden 28 April itu menggambarkan Malaysia, dari sudut kebebasan akhbar, sedang berundur ke belakang.

KAMI turut memberi sokongan padu kepada insiatif NGO media yang lain, yang begitu prihatin dengan perkembangan menyedihkan itu, antaranya, Centre for Independent Journalism (CIJ) Malaysia.

Satu tragedi yang memalukan semasa dunia menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, pada 3 Mei ini!

KAMI juga sedang mengumpulkan bahan dan dokumen yang perlu bagi memulakan tindakan undang-undang terhadap pihak polis dan kerajaan Malaysia, di atas insiden keganasan membabitkan warga media itu.

Kebebasan wartawan untuk melaksanakan tugas tanpa gangguan dan ancaman perlu dipertahankan.  Ia selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara.

Saya telah merujuk hal ini kepada peguam Hanipa Maidin.  Katanya, beliau akan menimbulkan "ancillary right", iaitu hak-hak tambahan (suplemantary rights) yang timbul daripada hak-hak utama (primary rights).  Hak ini timbul daripada perkaitan yang munasabah dengan hak-hak utama.

Misalnya, kata Hanipa, hak bersuara adalah hak utama, dan daripada hak utama ini timbul hak kebebasan media dan hak wartawan menjalankan tugas tanpa gangguan dan ancaman.

Kita perlukan perisytiharan mahkamah di atas hak wartawan tersebut.

Saya juga merasakan inilah masa sesuai bagi menilai semula, secara menyeluruh, sebarang undang-undang atau peraturan mengenai media di negara ini.  Tidak cukup dengan pindaan kosmetik terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini, apabila konsep permit dan pemilikan akhbar masih tidak dirombak.

Mungkin pengalaman Amerika Syarikat, yang memperuntukkan dengan jelas, bukan saja peruntukan tentang kebebasan akhbar dalam perlembagaannya, tetapi juga melarang Kongres Amerika daripada menggubal undang-undang berkaitan dengannya.


Baca Seterusnya......

Catatan Bersih 3.0 senja 28 April

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Untuk memberi ruang buat Harakah menampilkan laporan terkini tentang perhimpunan Bersih 3.0, deadline edisi Isnin ini terpaksa dianjak, daripada sekitar jam 2-4 pagi Sabtu kepada lewat petangnya, selepas selesai demonstrasi raksasa itu. Meskipun agak sukar mengetengahkan analisis menyeluruh, dalam tempoh singkat, sekurang-kurangnya pembaca dapat menatap gambar-gambar bersejarah yang bakal membentuk Malaysia Baru, yang lebih terbuka dan demokratik


Seperti demonstrasi Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, saya ditemani seorang rakan menempah bilik hotel untuk penginapan malam Sabtu lalu. Dalam keadaan keuzuran, saya kira perlu mencari lokasi lebih selesa, juga dapat mengurangkan pergerakan fizikal, yang agak dekat dengan Dataran Merdeka, dan lebih penting dapat merasai (juga menikmati) "debar dan getar" himpunan menuntut proses pilihan raya yang adil dan bersih itu.

Tentunya tunjuk perasaan kali ketiga (pertama, November 2007 dan kedua, September 2011), yang menggesa tuntutan sama bukan perkara main-main. "Duduk Bantah" mungkin ringan pada sebutannya, santai pada tanggapan awalnya, tetapi berat dan mendalam pada bebanan maknanya.

Isu sistem demokrasi yang pincang dan tempang, dengan siri penipuan yang menjolok mata, terutama membabitkan senarai daftar pemilih yang kotor, ditambah komplot Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) -- diburukkan lagi dengan pendedahan bahawa pengerusinya, Abd Aziz Mohd Yusof dan timbalan, Wan Ahmad Wan Omar adalah masing-masing anggota Umno Ampang, Selangor dan Pasir Mas, Kelantan -- bersama agensi kerajaan lain bagi memenangkan Umno-BN, mencapai kemuncaknya.

Dan Bersih 3.0 adalah jawapan terbaik, sekurang-kurangnya untuk menyuarakan protes terbuka rakyat dan mengingatkan pemerintah bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 wajib dikendalikan secara telus, bersih dan adil. "Petaka dan padah" akan menimpa negara jika PRU13, yang cukup kritikal buat BN dan juga Pakatan Rakyat itu, berjalan penuh tipu muslihat.

Disebabkan menunggu stamina kembali pulih selepas baru balik dari lawatan kerja ke Tawau, Sabah seawal pagi Jumaat, 27 April itu, saya agak terlewat menyusup masuk ibu kota, kira-kira 15 minit sebelum jam 12 tengah malam. Berbeda setahun lalu, suasana kali ini lebih tenang, tanpa sekatan jalan raya yang menganggu, apatah lagi siri laporan polis yang memualkan. Baju rasmi Bersih, kuning, juga bebas dijual dan dipakai.

Malam itu, mulanya saya ingin berehat dan memanjakan diri di bilik penginapan Hotel Ancasa, Jalan Tun Tan Cheng Lock, berdekatan Pudu Raya dan Menara Maybank. Semasa belajar di Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Gurney (kini Jalan Semarak), 30 tahun lalu, saya kerap menapak laluan berkenaan, selepas turun bas di Kompleks Kota Raya, menuju stesen bas Pudu Raya, untuk balik kampung.

Jam sudah 2 pagi. Suasana sunyi, tapi deretan kenderaan melalui Jalan Tun Perak, menghala ke Dataran Merdeka, hampir tidak bergerak. Mulanya saya perhatikan tidak ramai pejalan kaki berbaju kuning, namun sesekali terdengar sorakan bergemuruh "Bersih! Bersih!", disambut bunyi hon yang bingit. Ramai melambaikan tangan tanda sokongan moral.

Tidak mahu terperangkap dalam kesesakan yang makin teruk, saya dan rakan kembali ke hotel. Rasanya lebih pantas bergerak dengan berjalan kaki. Semasa singgah di sebuah restoran mamak, tidak jauh dari Masjid Jamek, saya terjumpa dengan sahabat lama, bekas pelajar UTM, selain diajak bergambar oleh demonstran yang makan di situ, bersama Tian Chua Tidak terhenti setakat itu, rupanya Bersih 3.0 menemukan ramai lagi kenalan yang terpisah.

Tempoh tiga jam sebelum azan Subuh pagi Sabtu bersejarah itu cukup bermakna sekali. Laluan sepanjang 2km ke simpang Jalan Tun Perak dan Jalan Tunku Abdul Rahman bukan hanya mempereratkan hubungan dengan rakan-rakan seperjuangan, di samping menyuntik kesegaran baru berdepan cabaran dan gugatan lebih sengit, juga mengingatkan saya bahawa pembaca Harakah (yang mengenali saya sebagai Ketua Pengarangnya) turut membabitkan golongan belia dan remaja.

Lebih mengujakan apabila kemesraan di kalangan peserta Bersih 3.0 melewati sempadan kaum. Melihat reaksi masyarakat Tionghua yang begitu bersemangat, dengan jumlah kehadiran yang cukup ramai, dan nampak komitmen mereka di tahap tinggi, maka tidak pelik jika pemimpin Umno mengambil sikap berpatang arang untuk memujuk pengundi penentu itu kembali menyokong BN dalam PRU13.

Mungkin bersimpati dengan keuzuran saya yang terpaksa bertongkat dan berjalan perlahan penuh cermat, lima enam orang yang berselisih di jalan berpesan: "Jalan hati-hati, ya!" Sekitar jam 3.30 pagi, seorang lelaki Cina, dalam usia 25 tahun, tinggi lampai, menegur saya: "Jaga baik-baik abang, jalan elok-elok."

Melihat kaki saya mula membengkak dan berjalan agak tempang, beliau menunjukkan kepada pasangannya: "Dia juga bersemangat datang sini, tengok kakinya juga bengkak macam abang. Kaki dia sudah jadi macam kaki gajah tapi dia tetap berkeras mahu datang." Kami sama-sama ketawa. Lelaki Cina itu kemudian menarik tangan teman wanitanya, dan berjalan perlahan-lahan ke arah Dataran Merdeka.

Semasa balik ke hotel, jam menghampiri pukul 4 pagi. Beberapa kumpulan anak muda, dalam usia belasan tahun, berjalan pantas, menuju ke arah masjid. "Dari mana, ni?" saoa rakan saya. "Ipoh, bang," jawab seorang darinya. "Bersemangat nampak?" "Kali ini kita mesti tukar," pantas sekali responsnya.

Jawapan sama juga diberikan seorang belia Cina, dari Johor Bahru, ketika saya melintasi restoran McDonald berdekatan Jalan Sultan. Cuma dia menjawab dengan pertanyaan: "Mesti tukar, ya?" Wajahnya keanak-anakan, mungkin belum "cukup umur" untuk mengundi, tetapi bicaranya serius.

"Mesti tukar" dimaksudkan kepada pertukaran kerajaan persekutuan, daripada BN kepada Pakatan Rakyat!

II.

Mulanya, saya mahu mengulas demo Bersih 3.0 dalam bentuk santai dan bercerita mudah, tetapi malang sekali, permulaan yang baik telah diakhiri dengan pencabulan tindakan ganas polis. Apabila saya meninggalkan kawasan Menara Maybank jam 3 petang selepas tidak mampu berdiri lama, suasana nampak berjalan lancar.

Sekembali ke pejabat Harakah, macam-macam SMS diterima, hampir semuanya mendakwa aksi polis melampau dan di luar batas. Selain tembakan meriam air, ramai bertanyakan benarkah polis melanggar peserta demonstrasi sehingga parah dan membelasah beberapa tahanan bagaikan lagak seorang samseng?

Mungkin ketika akhbar ini berada di pasaran, media baru telah mendedahkan foto sensasi keganasan polis itu. Ada laporan mengatakan aktivis Cikgu Bard dihantam teruk

Media, seperti TV3 dan Utusan Malaysia, pasti bingkas menyambar dan membesar-besarkan kes orang ramai menendang kereta polis yang diterbalikkan dan dakwaan pistol polis yang dilarikan. Mungkinkah impian Umno untuk memburuk-burukkan Bersih 3.0 akan tercapai?

Memang bukannya mudah mengendalikan 500,000 peserta himpunan bersejarah ini. Ya, tidak semudah melepaskan gas pemedih mata atau bertindak bebal melepaskan geram. Ada yang mendakwa, melewati senja, amukan polis tambah dahsyat apabila orang yang memakai baju kuning pun ditahan.

Insiden seumpama itu, jika benar, amatlah menyedihkan. Siasatan rapi perlu dilakukan mengetahui akar puncanya. Apa pun, saya lebih khuatir mesej sebenar Bersih 3.0 akan tenggelam begitu sahaja, dikaburi dengan ending yang menyedihkan itu.

Apa khabar senarai daftar pemilih? Bagaimana dengan akses media yang adil dan saksama? ...

Kolum ini disiapkan pada petang 28 April 2012

Baca Seterusnya......