Tuesday, June 19, 2012

Ops 2020: Komplot Setpol Najib, SB, BTN untuk singkirkan ProM

oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Saya pernah membongkarnya tujuh tahun lalu semasa menjadi Ketua Pengarang akhbar Siasah. Ada komplot membabitkan Pemuda Umno (dan juga sayap Puterinya) bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar 17 IPTA, yang turut dihadiri para pelajar kumpulan Aspirasi pro-Umno.

Pertemuan diatur pegawai khas Kementerian Pengajian Tinggi, yang dipinjamkan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (juga seorang pengetua kolej kediaman), serta didalangi Dr Adham Baba, bekas Setiausaha Parlimen KPT. Menteri ketika itu Dr Shafie Salleh.

Tujuannya, untuk memenangi dengan mudah pilihan raya kampus (PRK) dengan mengetepikan cabaran kumpulan pelajar Islam yang dilihat bebas dan lebih dekat dengan pembangkang (kini dikenali Pro-M).

Mereka bertemu secara tetap, mulanya dalam kekerapan mingguan, di Tingkat 38, Menara Dato' Onn, PWTC, yang menempatkan Ibu Pejabat Umno Malaysia. Bayangkan, Umno dan sekutunya dalam BN (melalui biro pendidikan masing-masing) berkomplot dengan HEP 17 IPTA seluruh negara, termasuk dari Sabah dan Sarawak, bagi memenangkan kumpulan Aspirasi dalam PRK.

Mesyuarat turut meminda dan memanipulasi peraturan PRK bagi menyukarkan percubaan seteru Aspirasi. Bayangkan, pihak berkepentingan, seperti calon yang bakal bertanding PRK, iaitu daripada kumpulan Aspirasi dapat mengatur strategi, sekali gus membentuk helah untuk mengalahkan saingannya, di Ibu Pejabat Umno, bersama sekumpulan Timbalan Naib Canselor dan pegawai HEP, yang sepatutnya bertindak bebas dan adil sebagai pengadil pertandingan.


Bukan itu saja, dalam satu pertemuan yang dipindahkan dari Ibu Pejabat Umno di PWTC (selepas didedahkan Siasah) ke Kolej Kediaman Pelajar Keris Mas, UKM, pada 13 September 2005, wang tunai RM10,000 diagih-agihkan kepada setiap wakil universiti untuk digunakan dalam kempen mahasiswa pro-Umno.

Selepas tujuh tahun, rupanya kisah tersebut belum berakhir. Situasi politik ketika itu memang menyebelahi Umno-BN, yang menang besar dalam pilihan raya 2004. Namun, ia tidak menghalang mereka "bermain kotor" bagi menghapus terus elemen propembangkang di kampus. Ironinya, yang tersisih akhirnya adalah Dr Shafie dan Dr Adham sendiri!

Kini, berdepan PRU13 yang mencemaskan, pimpinan Umno makin resah dan gelabah. Kampus juga tidak terlepas daripada tumpuan perancang politik di Pejabat Perdana Menteri. Kalau dulu, ia hanya berlegar di kalangan KPT tetapi sekarang membabitkan pegawai kanan Najib.

Melalui Ops 2020 (jangan silap faham maknanya; ia bermaksud mahu memastikan kumpulan Aspirasi berjaya memenangi semua PRK 20 IPTA), Shahlan Ismail dan Irmohizam Ibrahim, masing-masing Setiausaha Politik dan Pegawai Khas Perdana Menteri, bersama "strategis" lainnya, berpusat di bilik operasi, Rumah Meranti 1, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur, mempunyai perancangan besar.

Nama-nama lain yang terbabit sama ialah Ketua Pengarah Biro Tata Negara, Raja Arif Raja Ali; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Razali Ibrahim; Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Khairi Abd Malik; SAC Mohd Sofian Md Makinuddin, Cawangan Khas PDRM bersama tiga pegawai polis Bukit Aman; Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Presiden Majlis Belia Malaysia; serta sekumpulan pegawai KPT, BTN dan pemimpin Pemuda-Puteri Umno.

Menerusi dokumen yang didedahkan, Ops 2020 "berperanan untuk memastikan pemilihan kampus kali ini (sesi 2012/13) tidak memberi sebarang KEBANGKITAN MORAL kepada parti pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13". (Anda sendiri boleh tafsirkan apa definisi terbaik kepada "kebangkitan moral kepada parti pembangkang").

Justeru, PRK yang sepatutnya perlu dijalankan selepas minggu kedua Mac 2012 ditangguhkan ke tarikh yang belum dipastikan. (Ini bermakna, untuk kebanyakan kampus, sudah empat bulan Majlis Perwakilan Pelajar-- MPP -- tidak lagi berfungsi). Daleh penangguhan itu berbeda-beda di antara universiti. Apabila diajukan kepada KPT, jawapannya, tarikh PRK diserahkan kepada setiap kampus bagi menentukannya.

Sedangkan Sekretariat Kampus yang dipengerusikan Shahlan inilah yang akan menentukan tarikh paling sesuai PRK, seperti dinyatakan dalam objektif keempatnya, iaitu bagi "memastikan mahasiswa yang menyokong kerajaan memenangi semua pilihan raya kampus 20 IPTA di seluruh negara".

Dalam mesyuarat penyelarasan pemilihan MPP IPTA, pada 25 Januari 2012, di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, dicadangkan tarikh PRK dilewatkan ke bulan April "bagi memastikan segala persiapan ke arah kemenangan dirancang dengan rapi".

Setpol Menteri Pengajian Tinggi menekankan agar perlu diberikan tumpuan yang lebih kepada empat IPTA, yang dikatakan "sangat bermasalah", iaitu Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Pertanian dan UKM.

Saya tidak berhasrat untuk memperincikan kandungan minit mesyuarat yang sudah terbongkar itu. Prinsipnya tetap sama, seperti tujuh tahun lalu. Pihak Umno, seperti juga parti-parti politik lain, boleh saja melakukan proses perkaderan di kalangan mahasiswa, hatta untuk memberi sumbangan dan sokongan kepada mana-mana calon yang bertanding dalam PRK.

Masalah besar timbul apabila Umno memperalatkan kemudahan awam dan jentera kerajaan, seperti Cawangan Khas Polis, BTN, KPT dan lebih dahsyat lagi apabila membabitkan Sekretariat Hal Ehwal Pelajar, termasuk Timbalan Naib Canselornya, di semua 20 IPTA.

Bukankah HEP itu sendiri berperanan sebagai Suruhanjaya Pilihan Raya dalam PRK, yang sepatutnya bertindak bebas dan berkecuali? Begitu juga dengan Kementerian Pengajian Tinggi yang merupakan bapa atau penaung kepada semua mahasiswa, termasuk kumpulan-kumpulan pelajar yang menyertai PRK.

Lebih mengaibkan apabila Najib sendiri merestui penangguhan PRK semata-mata kerana Sekretariat Kampus yang dipengerusikan Setpolnya masih belum dapat menemui satu tarikh paling sesuai, agar "pemilihan kampus tidak memberi sebarang KEBANGKITAN MORAL kepada parti pembangkang sebelum PRU13".

Dengan itu, saya percaya PRK hanya akan diadakan selepas PRU13. Juak-juak Najib bimbang, jika diadakan sebelum pilihan raya umum, momentum PRK itu mungkin melonjakan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Soalnya, apakah jika tarikh PRU13 melewati hujung tahun ini, maka mahasiswa terus dinafikan hak untuk berpersatuan selama hampir setahun? Waduh! Mengapa sanggup memperjudikan kepentingan dan kebajikan pelajar dengan alasan tidak munasabah dan terlalu sarat dengan motif politik?

Sepanjang mengikuti perkembangan politik kampus sejak tahun 80-an, saya tidak pernah menjangka pemimpin Umno-BN akan bertindak sebebal ini. Jika anak-anak muda kita di kampus pun dipolitikkan semahunya, apakah anda masih mengharapkan PRU13 ini akan berjalan secara adil, bersih dan bebas?
Baca Seterusnya......

RTM, Media Prima dan Awani: Siapa yang kurang berbelit?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Kerajaan telah memberi respons terhadap tuntutan akses media yang adil dan saksama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13. Bagaimanapun tidak ramai pemimpin Pakatan Rakyat yang menyuarakan reaksi, walaupun akhbar harian milik Umno membesar-besarkannya.

Mungkin aktivis pembangkang tidak menaruh apa-apa harapan positif terhadap perkembangan yang sepatutnya dapat membantu proses pendemokrasian itu.

Minggu lalu, jemaah menteri meluluskan kertas kabinet yang dikemukakan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Rais Yatim, yang dikatakan memberi peluang sama rata setiap parti politik yang bertanding pada PRU13 untuk menjelaskan manifesto masing-masing menerusi stesen televisyen.

Saya agak kerap menyentuh tuntutan penting ini, bukan sahaja merujuk situasi selepas Parlimen dibubarkan atau semasa kempen pilihan raya, tetapi meliputi konsep kebebasan media yang menyeluruh.

Undang-undang yang menyekat, yang diwarisi sejak zaman penjajah, terutama Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, mesti dimansuhkan segera. Begitu juga dengan segala peruntukan tidak demokratik dalam peraturan yang mengongkong, misalnya Akta Rahsia Rasmi, Akta Fitnah, Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

(Saya tidak pasti apakah "hantu" ISA masih boleh mengamuk apabila kerajaan berasa perlu berbuat demikian, selepas ia dimansuhkan, tetapi melalui akta-akta lain?)

Media bukan hanya perlu dibebaskan dan bertindak adil dalam waktu yang begitu terhad -- ingat, kempen PRU tidak pernah melebihi dua minggu -- malah tidak wajar dicengkam kebebasannya dalam apa jua keadaan.

Secara logiknya, jika dalam tempoh tidak kritikal pun, iaitu di luar musim pilihan raya, media dikawal dengan begitu ketat, apakah mungkin di waktu genting -- apatah lagi yang menyaksikan pertarungan paling sengit dalam sejarah pilihan raya negara ini -- "keajaiban" bakal berlaku?

Dalam masa sama, seperti kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Umno-BN telah melakukan proses indoktrinasi sepanjang tahun, dan tentunya akan ditingkatkan menjelang pilihan raya. Ia meliputi media yang dibiayai dana awam dan juga yang dimiliki syarikat swasta.

Justeru, banyak pihak memandang sinis ura-ura kerajaan mahu memberi "peluang sama rata" itu, apatah lagi melalui siaran TV, medium yang paling terkongkong dan dikawal cukup ketat oleh elit penguasa.

Di kala oposisi diberikan permit terbatas untuk menerbitkan lidah rasmi, seperti Harakah dan Roket (Suara Keadilan masih diharamkan KDN), dengan syarat-syarat "pelik dan aneh", harapan untuk melihat pembangkang memiliki saluran TV atau radio tidak pernah terbayang pun.

Sejak kemunculan televisyen pada penghujung 1963, RTM melalui TV1 dilihat bukan sahaja berfungsi menjelaskan dasar dan rancangan kerajaan tetapi lebih bertindak sebagai alat propaganda parti pemerintah.

Pemimpin Umno-BN sememangnya tidak dapat membedakan di antara keperluan kerajaan dengan
kepentingan parti pemerintah. Jentera, sumber dan kemudahan kerajaan diperalatkan demi mencapai motif peribadi, kelompok dan parti.

Ketika TV3 dilancarkan  28 tahun lalu, melalui Sistem Televisyen Malaysia Berhad, ramai mengharapkan dasar kewartawanan sempit RTM itu tidak "dilanggannya". Monopoli kerajaan seolah-olah berakhir.

Sesekali nampak "keberanian" TV3 untuk melaporkan berita dari perspektif berbeda, sekurang-kurangnya memberi sedikit ruang kepada parti dan pemimpin pembangkang.

Seingat saya, sewaktu tercetus konroversi kematian (pembunuhan) seorang petugas kempen PAS, Allahyarham Osman Talib, dalam pilihan raya kecil Padang Terap, Kedah, di Felda Lubuk Merbau, pada Januari 1985, siaran berita TV3 ditunggu-tunggu.  

Bosan dengan laporan lapuk RTM yang berat sebelah, hanya dengan sedikit kelainan, dengan turut memuatkan beberapa patah perkataan pandangan pemimpin PAS terhadap tragedi berdarah itu, sudah cukup untuk memberi kelegaan.

Rupanya harapan untuk melihat pembaharuan dalam dasar editorial TV3 ia hanya ilusi. TV3, yang kemudiannya dikendalikan Media Prima Berhad, dengan tiga lagi saluran televisyen (NTV7, 8TV dan TV9), bertindak lebih profesional untuk menjadi perkakas terbaik dan efisyen buat Umno-BN!

Malah, kini, Media Prima lebih dipercayai oleh strategis media Perdana Menteri Najib Razak untuk melancarkan propaganda BN secara lebih berkesan. Misalnya, siri "Jelajah Janji Ditepati" yang mempromosi dan menjenamakan semula pelbagai bentuk bantuan one-off dikendalikan TV3.

Chamil Wariya, bekas Ketua Divisyen Berita dan Hal Ehwal Semasa TV3, cuba mengungkapkan apa yang sebenarnya berlaku di stesen televisyen berkenaan, terutama daru segi pendemokrasian kandungan laporan politik, dalam bukun Memapar Realitui: Prinsip-Prinsip Utama dan Asas Kewartawanan Siaran.

Baginya, kecuali di Astro Awani, program-program berita Media Prima Berhad, RTM dan Bernama TV masih mengekalkan pendirian mesra kerajaan. (Saya rasa istilah lebih tepat ialah mesra Umno-BN, kalaupun bukan mesin propaganda parti berkenaan).

"Pengaruh pemilikan tidak mengizinkan bilik-bilik berita TV untuk mengambil pendekatan dan dasar editorial yang benar-benar bebas seperti terdapat di negara-negara Barat atau malah di Indonesia," tulisan Chamil dipetik.

Beliau mengemukakan contoh stesen TV di Indonesia terutama dua saluran beritanya -- Metro TV dan TV One -- mengambil sikap yang lebih terbuka dalam memberi publisiti kepada pemimpin kerajaan dan pembangkang. Parti politik dan calon yang bertanding diberi ruang untuk berdebat secara terbuka dan bertamadun pada masa pilihan raya, baik ketika pemilihan presiden, gabenor, wali kota dan wakil ke Dewan Permesyuaratan Rakyat (DPR).

"Di Malaysia, kita masih jauh daripada itu, kecuali berlaku perubahan radikal dalam pemilikan stesen-stesen TV swasta itu sendiri. Selagi stesen TV masih digenggam oleh kalangan yang rapat dengan kerajaan, pendemokrasian kandungan editorial, tidak akan berlaku," tambah Chamil.

Seterusnya beliau memberikan beberapa contoh kes penerbit program TV yang dikenakan tindakan kerana telah melanggar dasar RTM, seperti dialami Chow Z Lam, penerbit rancangan Galeri Mandarin di TV2 menjelang pilihan raya kecil Parlimen Sibu, Sarawak, Mei 2010, mengenai Empangan Bakun, yang didakwa mempunyai "elemen yang sesnitif yang mungkin memudaratkan BN ..."

Dasar kewartawanan stesen TV Media Prima, seperti ditekankan Chamil, juga seperti RTM, yang cenderung menyiarkan berita negatif pembangkang. Meskipun ada usaha untuk merubahnya dalam era Abdullah Ahmad Badawi, seperti turut mengkritik pemimpin kerajaan dan memberi tempat kepada pembangkang, akhirnya ia mengundang teguran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Pengerusi SKMM, Dr Halim Shafie mengutus surat, bertajuk Ucapan pemimpin parti pembangkang di stesen televisyen dan radio swasta, kepada stesen-stesen TV dan  radio swasta, pada 7 Jun 2007.

Antara lain, beliau menyatakan: "Adalalah dimaklumkan bahawa pihak kerajaan mendapati bahawa beberapa stesen TV dan radio swasta telah menyiarkan ucapan dari pemimpin parti pembangkang. Sehubungan dengan itu, pihak tuan adalah diminta untuk tidak lagi menyiarkan ucapan sedemikian di masa-masa akan datang."


Chamil juga merumuskan bahawa kepemimpinan editorial TV (dan Media Prima) di zaman Najib, bermula 3 Mac 2009, yang diterajui Johan Jafar dan Ahmad A Talib, kembali kepada asal.

"Wartawan yang ingin memampilkan pembangkang atas nama pegangan mahu melaksanakan pemberitaan seimbang, saksama, objektif dan mahu memberi pandangan pihak yang satu lagi kepada dasar dan pendirian kerajaan sebagaimana yang diamalkan dalam demokrasi Barat, tidak dapat tempat dalam organisasi media itu (Media Prima)," ujarnya.


Kita dapat menyaksikan bagaimana program bual bicara ehwal semasa yang agak terbuka dan diminati ramai, misalnya Hujah di TV9, yang dikendalikan oleh pensyarah kanan Sains Politik, Dr Mohammad Agus Yusof, terpaksa berdepan pelbagai kerumitan, terutama kerana mengundang personaliti pembangkang. Begitu juga dengan Debat di RTM1.

Percubaan Astro Awani, melalui saluran 501, yang bermula pada September 2007, juga dilihat agak memberangsangkan, jika dilihat dalam konteks media Malaysia yang terkongkong.

Suara pembangkang, pemimpin NGO dan tokoh akademik yang bebas dan "mencabar versi rasmi" muncul dalam program bual bicara Awani. Para wartawan dan editornya juga saya kira berbeda daripada karyawan RTM dan Media Prima; ada kesungguhan untuk menampilkan pembaharuan dalam dunia kewartawanan televisyen.

Khususnya semasa pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak, saya sendiri menunggu ulasan berani dan bernas daripada ahli-ahli penal yang diundang. Namun begitu, saya perhatikan, rakan-rakan di Awani turut dikawal oleh pegawai-pegawai Pejabat Perdana Menteri, yang sentiasa "memberikan nasihat, tapi bukan dalam bentuk hitam-putih, dan ia mesti dipatuhi".


Berdasarkan situasi itu, saya sukar membayangkan kesediaan kerajaan untuk memberi ruang dan peluang sama rata buat parti dan calon-calon bertanding, khususnya melalui televisyen.

Kita masih menunggu perincian bagaimana slot kempen itu dijalankan nanti. Apakah sekadar menyampaikan manifesto pilihan raya, dalam waktu terbatas, dengan syarat-syarat ketat pula? Ya, bagaimana bentuk akses sama rata itu?

Kalau selama ini, hanya untuk menyiarkan iklan berbayar manifesto pilihan raya, akhbar yang dikawal Umno-BN langsung tidak memberi ruang kepada pembangkang, apakah kali ini ia benar-benar satu pembaharuan politik? Sama-sama kita tunggu.

Dalam buku Reformasi Pembiayaan Politik di Malaysia, terbitan Transparency International - Malaysia, saya tertarik dengan pernyataan di halaman terakhirnya: "Di Amerika Latin, hampir semua negara memastikan kebebasan akses kepada media semasa pilihan raya dan terdapat prosedur dalam memperuntukkan masa ke udara dan ruang dalam media cetak, justeru mewujudkan satu aras medan permainan untuk semua pihak."


Sesungguhnya Malaysia yang mengimpikan akan melonjak ke tahap negara maju pada tahun 2020 masih jauh tertinggal di belakang dalam hal akses media dan peruntukan airtime  buat pembangkang sewaktu pilihan raya. Banyak negara yang dianggap lebih mundur tetapi kemajuan demokrasinya jauh membanggakan berbanding kita.

Apa pun, saya masih mengimpikan, seperti diuar-uarkan juak-juak Najib, transformasi bakal menjelma dalam PRU13 nanti. Semoga saya tidak bermimpi di siang hari ....
Baca Seterusnya......

Gelagat Umno sebelum dipaksa turun takhta

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Regim yang hampir tumbang sepatutnya melakukan usaha pembaharuan bagi merebut kembali sokongan rakyat, dengan berusaha sebaik mungkin menjinakkan hati dan minda pengundi, supaya dapat terus bertakhta.

Malangnya, apa yang sering berlaku, kebanyakan penguasa yang dibenci massa itu, selalu bertindak di luar jangka, dengan meneruskan -- malah meningkatkan lagi -- tahap kejahatan dan kezaliman, sehingga menyebabkan kebencian dan kemarahan orang ramai bertambah.

Mereka seolah-olah gagal membaca isyarat kejengkelan rakyat yang muncul di mana-mana.

Sekadar contoh, perhatikan saja bagaimana perilaku bekas Presiden Indonesia di ambang kejatuhannya, 14 tahun lalu. Di kala rakyat mula memberontak dan menunjukkan aksi protes secara terbuka, ketika itu jugalah Suharto cuba memperkukuh kedudukannya dengan melantik suku-sakat dan anak-anaknya ke jawatan atau posisi strategik, yang menambah-parah amarah rakyat. Dua bulan sebelum berundur secara paksa, selepas 31 tahun memerintah, Suharto masih ghairah bertanding untuk penggal ketujuh.

tetap angkuh

Bagaimana pula dengan Hosni Mubarak, yang memerintah Mesir sejak 1981 dan dihukum penjara seumur hidup baru-baru ini? Masakan agensi perisikan yang berpengaruh besar di zamannya gagal mengesan mood rakyat, hinggakan menjelang perletakan jawatan pada Februari 2011, Hosni tetap angkuh mahu mewariskan Mesir buat anak-anaknya, menyebabkan kemarahan rakyat yang tertindas sejak sekian lama meledak.

Di negara kita, Najib Razak dan pemimpin-pemimpin Umno-BN kelihatan resah gelisah mencari strategi terbaik untuk memastikan kekal berkuasa. Jangkaan tarikh PRU13 -- ibu segala pilihan raya -- terus berubah-ubah, tanda sang penguasa tidak yakin bahawa  rakyat sekali lagi akan memberi mandat, walaupun pelbagai insentif one-off dicurahkan, selain dana "durian runtuh" ditabur, misalnya kepada peneroka Felda.

Malah, semasa berkempen di Kulim, dalam program Jelajah Janji Ditepati, pada 8 Jun lalu, Najib membayangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 untuk keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan akan diberikan buat pusingan kedua. Ternyata, peruntukan hampir RM3 bilion untuk giliran pertama baru-baru ini belum cukup untuk membeli sokongan rakyat.

Najib tidak senang duduk berkejar ke sana sini melaksanakan program yang diatur buatnya, semata-mata untuk meraih simpati pengundi. Ada segmen berbeda buat khalayak berlainan, bukan saja dikategorikan oleh perbedaan kaum dan agama, juga meliputi himpunan khusus buat anak-anak muda, terutama pemilih yang baru pertama kali mengundi.

Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya hujung Mei lalu, digambarkan Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Shabery Cheek, sebagai mendapat sambutan luar biasa, dengan 2.4 juga pengunjung. Hanya segelintir yang percaya angka tersebut, namun lebih ramai mengingati program itu dengan kemunculan artis Korea dalam persembahan sensasi K-Pop, yang turut dihadiri Perdana Menteri dan isteri di atas pentas. Gambar Najib bersalaman dengan penyanyi berpakaian seksi itu menjadi bualan ramai.

kumpulan K-Pop


Kontroversi timbul bukan saja berpunca daripada bentuk persembahan dan pakaian menjolok mata tiga kumpulan K-Pop itu, tetapi kos besar membawa mereka datang ke Malaysia. Ada blogger mendedahkan invois bernilai RM2.4 juta tetapi Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan jumlah itu dibuat berdasarkan perkiraan awal dan hasil perbincangan kos akhirnya adalah RM900,000 (masih terlalu tinggi, 'kan?).

Sukar untuk dipastikan apakah kos yang membazir itu boleh membawa keuntungan politik kepada Umno-BN? Terujakah generasi muda untuk menyokong BN selepas menghadirinya? Apakah formula lapuk BN, dengan menyogokkan hiburan tanpa adab itu kepada anak muda, akan memberi kelebihan  kepada mereka, bagi memastikan Putrajaya tidak terlepas? Saya yakin, jika itulah strateginya, dengan melekakan generasi muda, target tersebut pasti tersasar.


Sekonyong-konyong, debat Rafizi Ramli dan Khairy  Jamaluddin, yang disiarkan secara langsung Astro Awani, membicarakan isu yang menarik tumpuan anak-anak muda, berkaitan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Rata-rata penonton berpendapat hujah dan argumen Pengarah Strategi KeADILan itu lebih memikat dan bernas. Generasi muda terpelajar dapat diyakinkan bahawa Malaysia di bawah Pakatan, yang memerangi rasuah dan ketirisan, mampu menyediakan pendidikan percuma, apabila khazanah kekayaan negara dilindungi oleh pemerintah yang beramanah.

Dua tahun lalu, dalam jawapan di Dewan Rakyat, Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin menjelaskan, sehingga April 30 April 2010, seramai 1.5 juta pelajar mendapat pinjaman PTPTN. Tentulah jumlah peminjam sehingga kini menghampiri 2 juta orang, satu angka yang cukup besar dan dapat mempengaruhi PRU13. Pengundi seramai itu, dan mempunyai kelayakan akademik yang tinggi, tidak boleh diremehkan kecenderungan mengundi mereka.

Seterusnya, Najib dan timbalannya, Muhyiddin Yasin (juga mentornya, Dr Mahathir Mohamad) dikejutkan dengan kehadiran lebih 100,000 ahli dan penyokong PAS di Himpunan Hijau ke Putrajaya, di Stadium Darul Aman,  malam 1 Jun lalu. Siapa sangka, dengan persiapan tidak sampai dua minggu, gelombang lautan hijau mencipta sejarah baru dan menggegarkan Alor Setar?

beku pinjaman

Gugup dengan situasi yang semakin mengasak Umno-BN itu, tanpa diketahui siapa perancang dan penasihatnya, tiba-tiba, pada Selasa lalu, kita dikejutkan dengan berita pembekuan pinjaman PTPTN untuk pelajar baru Unisel dan Kuis, dua IPT di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

Tidak syak lagi, ini merupakan amalan politik dendam kesumat berniat jahat Umno-BN, bukan saja untuk merampas Selangor tetapi bertujuan memburuk-burukkan imej Pakatan Rakyat yang menjanjikan pendidikan percuma. Umpama kata pepatah, tiada tanduk, telinga dipulas. Pelajar yang tidak berdosa -- dan 80 peratus daripada mahasiswa baru Unisel itu adalah Melayu -- menjadi mangsa politik bebal Umno.

Arahan yang dibuat Menteri Pengajian Tinggi Khalid Nordin -- seperti disahkan Pengerusi PTPTN, Ismail Mohamad Said, yang juga Ahli Parlimen BN Kuala Krau -- yang direstui Muhyiddin dan pastinya disokong sepenuhnya oleh Noh Omar, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, telah mendapat reaksi yang cukup mengejutkan Najib: Tentangan dan kecaman cukup meluas dan merata!

Beberapa pemimpin Umno, misalnya Khairy dan Saifuddin Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi secara terbuka membantah langkah primitif itu.

Ya ... dalam suasana genting BN mengharapkan undi anak muda, tiba-tiba Umno mempamerkan wajah hodoh dan jelik. Tentu pelik dan aneh, 'kan? Reaksi awal MB Khalid Ibrahim bahawa Unisel akan mencairkan asetnya, hartanah seluas 500 ekar yang diperolegi hasil penyusunan semula hutang Talam, makin menambahkan gelabah Umno.

Noh, yang selalunya kelihatan berang dan garang, terkedu seribu bahasa. Sebelumnya, beliau berkata pembekuan PTPTN hanya akan ditarik balik jika kerajaan PKR (istilah ciptaannya) "mengaku salah dan mengiytiharkan tidak mampu memberikan pendidikan percuma dan tidak membuat janji kosong".

kelam kabut

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin melihat daripada perspektif yang menarik: "Nampaknya kedua-dua menteri (Khalid dan Muhyiddin) dari Johor ini tidak tetap pendirian. Mereka mula kelam kabut kerana Johor yang menjadi kubu kuat Umno selama ini sedang menjadi sasaran utama Pakatan Rakyat. Pada pilihan raya akan datang,  Pakatan Rakyat akan pastikan Johor bukan lagi deposit tetap bagi Umno BN.

"Kita percaya pembekuan ini ditarik balik kerana tidak tahan dengan desakan dalaman dan luaran atau juga Khaled  baru sedar bahawa pembekuan ini seumpama menggali kubur untuk dirinya dan Umno.  Kita berterima kasih kepada Khaled yang juga disebut-sebut bakal menggantikan MB Abdul Ghani Othman ... Selepas ini, Khaled akan dijadikan kambing hitam sebagai punca kekalahan Umno-BN, nasib yang sama dialami Dr Khir Toyo."

Mungkin suasana kelam-kabut, flip-flop dan keliru ini, membayangkan Umno sengaja menempah maut, sepertimana tindak-tanduk penguasa zalim atau diktator tua di penghujung pemerintahan mereka, misalnya kes Hosni Mubarak dan Suharto tadi.

Baca Seterusnya......

BN tak perlu pun slot khas kempen manifesto di TV, 'kan?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Banyak pihak mengalu-alukan pengumuman Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Rais Yatim, pada 6 Jun lalu, bahawa kabinet meluluskan cadangan Kementerian Penerangan mengenai akses media semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Berita Harian dalam laporan muka depan melaporkan, semua parti politik yang bertanding pada PRU13 akan diberi peluang sama rata menjelaskan manifesto masing-masing menerusi semua badan penyiaran tempatan, khususnya stesen televisyen

Dr Rais berkata, perkara itu diputuskan setelah kertas kabinet berhubung permintaan mendapatkan "akses sama rata" diluluskan jemaah menteri.


"Oleh kerana hujah kita adalah berasas kepada Perkara 10 Perlembagaan berhubung hak dan kebebasan bersuara, maka kertas kabinet yang dibentangkan itu telah diterima," tambahnya.

Butiran terperinci

Bagaimanapun, pada 7 Jun, Dr Rais berkata, had masa dan butiran terperinci mengenai peraturan dan syarat yang perlu dipatuhi setiap parti politik yang ingin berbuat demikian akan dikeluarkan selepas pembubaran Parlimen.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai bentuk garis panduan berkenaan termasuk dari segi masa bagi memberi keadilan kepada semua parti.

Sebagai aktivis media yang turut memperjuangkan isu ini sejak sekian lama, saya cuba melihat dari sisi positif pengumuman awal Dr Rais itu, sambil mengharapkan ia satu "pembaharuan politik" pentadbiran Najib Razak, selaras proses pendemokrasian yang rancak berjalan di seluruh dunia, sekali gus mewujudkan "padang sama rata" sistem pilihan raya kita.

Sebelum ini, Parlimen meluluskan pindaan ke atas Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, tanpa menyentuh isu-isu kritikal seperti konsep permit, peraturan penerbitan yang tidak masuk akal (apatah lagi membabitkan organ parti seperti Harakah), dan dasar pemilikan media.

Tentulah "perubahan kosmetik" itu dikira belum menyentuh persoalan asas yang menjadi pertikaian dalam perbincangan isu-isu utama berkaitan demokrasi dan kebebasan bersuara, namun saya tetap melihatnya sebagai langkah positif yang memerlukan pengukuhan lebih konkrit.

Umum maklum, Bersih 3.0, yang memperjuangkan proses pilihan raya yang adil dan bersih menjadikan agenda membebaskan media sebagai salah satu daripada lapan perkara yang dituntutnya.

Sejak merdeka, selepas melalui 12 pilihan raya umum, parti-parti saingan kepada Perikatan dan kemudiannya BN, bukan saja "digelapkan" berita mereka, tetapi menjadi mangsa putar belit media.

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah dianugerahkan sebagai "musuh kebebasan akhbar", selama beberapa tahun, oleh badan pemantau media antarabangsa.

Sejak beberapa bulan lalu, saya bersama Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), agak kerap menggesa agar tuntutan akses media (dan tempoh kempen minimum 21 hari) dipandang serius dan diperjuangkan bersungguh-sungguh, bersama tuntutan-tuntutan lain, yang dianggap lebih utama, seperti membersihkan senarai daftar pemilih.

Malah, KAMI telah menganjurkan Konvensyen Akses Media Dalam PRU13, di Hotel Nouvelle, pada 12 Mei, dihadiri lebih 100 orang, dengan penalis seperti bekas Ketua Pengarang New Straits Times, A Kadir Jasin; Naib Presiden KeADILan, Nurul Izzah Anwar; kolumnis Hishamuddin Rais; pensyarah media, Dr Abu Hassan Hasbullah dan Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), V Anbalagan.

Idea Anbalagan

Segera saya teringat saranan V Anbalagan dalam program sehari itu, agar media yang dibiayai dana awam, misalnya RTM dan Bernama (Kadir menambah Jabatan Penerangan), selepas Parlimen dibubarkan, tidak lagi boleh dikendalikan Kementerian Penerangan, tetapi diurus selia oleh satu badan bebas.

Pemimpin Umno-BN selalunya tidak dapat membezakan antara aset kerajaan dengan milik parti. Sebagai parti yang turut bertanding untuk merebut dan mempertahankan kuasa, pemimpinnya menjadikan segala kemudahan kerajaan, khususnya agensi strategik seperti RTM, sebagai jentera parti.

Lebih menyedihkan apabila siaran TV swasta, misalnya di bawah kumpulan Media Prima, seperti TV3, lebih bertindak sebagai perkakas propaganda BN. Berdepan PRU13, TV3 diberi kepercayaan tinggi oleh penasihat media Najib untuk menyempurnakan pelbagai kempen awal BN. Lihat saja program "Jelajah Janji Ditepati" dan usaha sama TV3 dengan kerajaan-kerajaan negeri tertentu; semuanya sarat dengan kepentingan politik Umno.

Apa pun, Dr Rais tidak perlu menunggu sehingga pembubaran Parlimen untuk mengumumkan syarat dan kondisi "akses media sama rata itu". Sepatutnya sudah ada rundingan dengan semua parti, yang dikendalikan badan lebih bebas, seperti saranan Anbalagan itu.

Ada yang mencadangkan, selain hebahan manifesto, perlu dianjurkan satu debat siaran langsung TV, membabitkan PM Najib dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Seorang pembaca Harakah mengirim SMS kepada saya: "Jika debat itu berlaku, seperti slogan lagenda tinju Muhamad Ali, "When I move, the world stop", seluruh negara akan terpukau nanti."

Tempoh sama

Ada yang bertanya, berapa lama masa yang bakal diperuntukkan buat parti-parti yang bertanding? Apakah tempoh itu berkadaran kepada jumlah calon bagi setiap parti? Adakah ia disiarkan pada waktu puncak? Apabila Rais merujuk kes di England, dengan mendakwa BBC memberi sekitar 10 ke 15 minit untuk menyiarkan manifesto parti-parti, apakah beliau cuba membayangkan tempoh sama juga bakal diberikan?

England merupakan negara yang mengamalkan kebebasan media sepenuhnya. Sedangkan di Malaysia, semua stesen TV -- termasuk Astro Awani yang kelihatan cuba lari daripada tradisi usang RTM dan TV3 -- dikuasai elit penguasa, yang boleh diarah sesuka hati oleh Pejabat Perdana Menteri, apatah lagi dalam saat kritikal PRU13.

Bagi saya, sebenarnya BN langsung tidak memerlukan slot khas itu pun. Sebaik saja Parlimen dibubarkan, semua stesen TV beroperasi seperti BILIK GERAKAN KEMPEN BN. Tetamu yang diundang untuk program bual bicara pastinya bertindak seperti jurucakap Umno-BN. Tengoklah nanti, daripada sejam siaran Buletin Utama TV3, lebih separuh akan dimonopoli propaganda kempen BN sambil menyerang tanpa batas Pakatan Rakyat, malah lebih buruk cuba memutar-belitkan fakta.

Kepada BN, jika diperuntukkan tempoh 5 minit untuk kempen menjelaskan secara rasmi manifesto itu, malah pada waktu larut malam pun, ia sudah lebih daripada cukup,' kan?

Bukankah semasa pelancaran manifesto BN sendiri, semua stesen TV akan membentangkannya dengan lengkap dan sempurna? Ya, BN tak memerlukan pun slot itu!

(Dan jangan lupa, setiap tahun, perhimpunan agung Umno akan disiarkan secara langsung, bukan saja oleh RTM, tetapi juga TV3, terutama semasa ucapan perasmian dan majlis penutup)

Sambut baik

Sepintas lalu, berdasarkan laporan media, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyambut baik keputusan kerajaan itu. Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz turut mengalu-alukan kesediaan kerajaan, tetapi mahu ia dilakukan berterusan bukan hanya musim pilihan raya semata-mata.

"Selain manifesto, PAS mencadangkan semua parti dibenarkan berkempen setengah jam sehari selepas Parlimen dibubarkan sehinggga pilihan raya," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Saya sendiri mengharapkan tuntutan akses media sama rata ini dapat diperbahaskan dengan lebih menyeluruh lagi selepas pengumuman Dr Rais itu.



Baca Seterusnya......

Saturday, June 9, 2012

Sebak terkenang Ustaz Fadzil Noor di Himpunan Hijau

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Sebenarnya saya hampir terlepas daripada mengikuti secara dekat peristiwa bersejarah Himpunan Hijau ke Putrajaya, malam 1 Jun lalu, yang mengumpulkan lebih 100,000 penyokong PAS di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Mulanya, sahabat saya, wartawan kanan Wan Nordin Wan Yaacob yang dijangka menemani sepanjang perjalanan ke utara, terpaksa membatalkan hasratnya disebabkan demam.



Meskipun dapat menghadiri program Amanat Khas Presiden, yang mencatat kehadiran lebih 3,000 aktivis parti dari seluruh pelosok negara, pada hari sama, pagi Jumaat, di Kompleks PAS Kedah, Batu 9, Kota Sarang Semut, sekali lagi saya hampir terlepas majlis kemuncak malamnya disebabkan kereta ketua pemberita Harakah Kedah, Azamin Amin, terperangkap dalam kesesakan teruk di sekitar stadium. Sepatutnya beliau menjemput saya di hotel, yang jaraknya tidak pun sampai 5 kilometer.

Ada rakan menawarkan kemudahan untuk membonceng motosikal, namun terhalang dengan keuzuran kaki kiri saya. Mujur kakitangan Hotel Regency Alor Setar ringan tulang  berjalan kaki  ke Pekan Rabu mencari teksi; pemandunya nampak agak keberatan disebabkan beliau sendiri baru saja menempuh laluan yang cukup perlahan. (Rupanya masa sama ada teman-teman lama yang 'tersangkut' dan memilih untuk berehat di hotel saja -- mereka tentu tidak menduga Stadium Darul Aman malam itu bakal melakar sejarah).

"Kalau ada pertandingan bola babitkan pertandingan penting pun jalan tak seteruk ini," kata pemandu dalam usia 60-an itu. "Cuba tengok, kenderaan terpaksa diletakkan jauh dari stadium," tambahnya, semasa kami melepasi Masjid Zahir. "Ramai sungguh kali ini, saya tak pernah alaminya di Alor Setar," ujarnya, sambil menceritakan pengalamannya lebih 40 tahun memandu teksi.

Seminggu sebelum 1 Jun, saya agak risau melihatkan promosi himpunan semacam tidak begitu rancak dan kurang diperkatakan. Saya kerap membandingkan dengan gimik prademonstrasi Bersih 3.0 -- ibarat langit dengan bumi. Sekurang-kurangnya di Kuala Lumpur, tiada acara "pemanas badan", malah baju hijau, yang sepatutnya mula dijual, hampir tiada kelihatan. Kawan-kawan yang pernah menjadi pengusaha kilat baju-T Bersih pula "buat tak kisah aja".

"Saya lebih bimbang jika gegak gempita perarakan Bersih 3.0, yang berjaya menghimpunkan lebih suku juta orang itu akan ditenggelamkan begitu saja jika himpunan hijau nanti gagal capai target," saya luahkan kerisauan kepada seorang pemimpin PAS, beberapa hari sebelum berakhir bulan Mei lalu. Beliau seperti berkongsi rasa.   

Meneliti laman-laman sosial, seperti Facebook, debaran itu agak terubat apabila menatap pelbagai gaya poster himpunan (sebahagiannya direka sendiri, dengan logo yang sama), namun langsung tidak terbayang ia satu kempen strategik untuk menghimpunkan 100,000. Ya, tidak mudah untuk 'memanggil' 100,000 ke Alor Setar dalam waktu yang cukup singkat. Harakah sendiri cukup lambat menyiarkan iklan dan hebahan, malah nama program pun bertukar-tukar.

Difahamkan persiapan hanya mengambil masa dua minggu, satu tempoh yang relatif singkat jika diukur skala program yang mahu menghimpunkan 100,000 orang. Apatah lagi ia merupakan aktiviti menggantikan muktamar tahunan parti, yang sepatutnya berlangsung pada masa sama. Maknanya, himpunan ini, dari satu segi, mencabar keupayaan PAS untuk membuktikan kemampuan jentera dan petugas partinya berdepan "ibu segala pilihan raya", PRU13.

"Himpunan ini bukannya program gabungan bersama Pakatan Rakyat kerana ia umpama muktamar parti, sekali gus menguji komitmen aktivis parti Islam untuk mengharungi bermacam-macam mehnah dan fitnah," kata seorang  tokoh akademik.  "Walaupun sama sekali tidak bertujuan mempamerkan kekuatan PAS tetapi saya percaya ia berjaya menyuntik semangat dan keyakinan buat ahli-ahli bahawa PAS tidak boleh diremehkan. Bukan hanya Kedah yang mahu dipertahankan tetapi impian untuk menguasai Putrajaya, yang banyak bergantung kepada potensi PAS, dapat dicapai jika strategi dan pendekatannya betul," tambahnya.

Semasa menapak perlahan di celah-celah ribuan hadirin, menuju pintu utama stadium, saya mendengar pidato Ustaz Azizan Abd Razak, Menteri Besar Kedah, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri. Beliau sempat menitipkan pesanan agar setiap penggerak jemaah terus istiqamah dan bersabar meniti perjuangan suci ini.

Dari bilik VIP di tingkat atas stadium, langkah saya terhenti. Saya terpukau dengan lautan hijau, yang cukup memikat. Pandangan saya terpaku seketika terutama kepada ribuan yang memenuhi padang dan balapan. Ya, saya benar-benar terkejut. Tidak pernah saya jangkakan dapat menyaksikan suasana yang syahdu, tetapi penuh bersemangat itu. Subhanallah!

Lebih mengujakan apabila melihat reaksi proaktif hadirin yang secara berterusan mengibarkan bendera parti, Jalur Gemilang dan kelihatan juga bendera negeri-negeri tertentu, tanda pertemuan yang dimulakan dengan solat berjemaah Maghrib itu dihadiri penyokong parti seluruh negara.

Beberapa kali saya terpaksa menahan air mata kegembiraan. Kebimbangan saya sebelum ini bukan saja berakhir tetapi digantikan automatik dengan rasa syukur, sebak dan terharu. Sukar digambarkan perasaan penuh nikmat itu. Bagaikan darah mengalir lancar di segenap tubuh, yang membangkitkan rasa ghairah yang luar biasa hebatnya, untuk menyambut setiap lontaran idea dan harapan pemidato utama, terutama daripada kepemimpinan parti. Di kala itu, saya juga terkenangkan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Assyahid Ustaz Ibrahim Libya, dua anak Kedah yang memahat sejarah tersendiri dalam PAS.

Dari kedudukan saya, yang betul-betul berada di bahagian atas tingkat tetamu kehormat, butiran ucapan agak sukar ditangkap. Malam itu, bagi saya, isi pidato tidak penting lagi. Saya bagaikan menonton satu persembahan yang berjaya mengusik emosi dan perasaan. Gelombang lautan manusia yang nampak berombak, ditambah sorakan dan takbir, serta lebih istimewa lagi tiupan trompet yang biasanya bergema semasa pertandingan bolasepak.

Melalui layar besar, saya lebih terpesona dengan aksi tangkas pengarah program, Mahfuz Omar, yang secara santai menguasai pentas utama. Gaya Naib Presiden PAS itu memperkenalkan beberapa 'selibriti' yang kini menjadi anggota keluarga besar parti cukup menarik.

Misalnya, penampilan bekas pengacara TV Al-Hijrah, Robby anak Tandang, seorang Iban, yang telah memeluk Islam dan kemungkinan bertanding dalam PRU13 nanti, atas tiket PAS, di kerusi Sibuti, Sarawak. Semasa saya berkunjung ke Miri dua bulan lalu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Jofri Jaraiee, banyak bercakap tentangnya. Malam itu bicara Roby @ Muhammad Zaid mempesona terutama apabila mengaitkan dengan hikmah agama. Kebetulan 1 Jun itu Hari Gawai dan beliau tidak lupa mengucap selamat buat rumpun bangsanya.

Secara peribadi saya terkesan dengan ucapan penyanyi Aishah. Tutur katanya teratur dan penekanannya jelas -- isyarat pemikiran politik dan budayanya juga begitu mantap. "Selama 25 tahun saya berada di pentas hiburan. Malam ini saya sangat terharu diberi peluang berada di pentas PAS  dan membuktikan PAS for everyone," kata Aishah. Bekas Juara Lagu itu sempat mengingatkan: "Bila PAS sampai Putrajaya, jangan lupakan artis di sini."

Begitu juga dengan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Fauzi Shaari, yang kebetulan esok paginya, 2 Jun, saya sempat berbual ringkas bila terserempak dengannya di tangga Pekan Rabu. (Pagi Sabtu itu, setiap kali melangkah di Pekan Rabu, kita pasti berselisih bahu dengan penyokong PAS dari seluruh negara -- petanda aktivis parti Islam mendominasi Alor Setar).  


Sesungguhnya Himpunan Hijau itu amat besar makna dan impaknya buat PAS, parti yang dianggap cukup kritikal dalam PRU13 nanti, terutama untuk merebut hati dan minda pengundi Melayu. Cabarannya terlalu besar dan kesempatan masa yang masih berbaki ini mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk menggembleng setiap potensi kekuatan untuk memastikan PAS dapat membantu impian Pakatan ke Putrajaya.

Justeru, saya tidak hairan apabila melihat Umnpo cukup resah dan gelisah dengan Himpunan Hijau itu. Sehinggakan Dr Mahathir Mohamad terpaksa memberi komen bahawa  jumlah besar yang membanjiri program itu  tidak akan diterjemahkan di kertas undi, sambil menegaskan peserta dibayar untuk menghadirinya.

TPM Muhyiddin Yassin juga berkata peserta Himpunan Hijau itu  mungkin dibayar supaya hadir. Katanya, peserta berkenaan mungkin dibayar supaya hadir dari seluruh negara.

Rupanya kerisauan dan kebimbangan saya sebelum 1 Jun itu telah beralih kepada pemimpin Umno, khususnya Muhyiddin dan Dr Mahathir, tentunya dalam bentuk yang lebih dahsyat! Mereka cukup gerun dengan kehilangan kuasa, sesuatu yang lazim dalam "permainan demokrasi".

Malam itu, saya terpaksa bergegas pulang cepat ke hotel, ketika Tuan Guru Presiden berucap, untuk menyiapkan muka-muka utama Harakah edisi Isnin. Malangnya, rakan-rakan jurugambar dan wartawan gagal menghantar bahan tepat pada masanya disebabkan gangguan internet walaupun selepas menunggu sehingga awal Subuh.

Dan saya turut terlupa untuk "menghijaukan" masthead Harakah daripada warna asal merah. "Kalau masthead Utusan Malaysia yang  biru itu pun boleh ditukar kepada merah untuk meraikan bersama sambutan Umno ke-66 tahun di Stadium Bukit Jalil, 11 Mei, mengapa masthead Harakah tak boleh tukar menjadi hijau," tanya seorang pembaca setia Harakah.

Tanpa hadir dan jika tidak dapat memerhati dari sudut paling strategik di stadium malam 1 Jun lalu, walaupun sempat mengikutinya melalui video atau YouTube, saya pasti terlepas saat-saat paling manis sebagai anggota parti Islam, terutama untuk menikmati  kesyahduan tersendiri Himpunan Hijau itu ...

----

Koleksi artikel Ahmad Lutfi boleh dilayari di http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=TopikML


Baca Seterusnya......

Himpunan Hijau, daleh Rais dan debat Anwar-Najib

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Secara peribadi saya mengharapkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Rais Yatim, yang bertanggungjawab ke atas media yang dibiayai dana awam, khususnya RTM dan Bernama, dapat mempertimbangkan dengan rasional cadangan debat politik di antara Perdana Menteri, Najib Razak dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Malang sekali, beliau secepat kilat menolak saranan itu dengan daleh: "Kalau kita berdebat 50 jam pun, kita tidak dapat apa-apa." Malah Rais menyifatkan debat antara Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam isu PTPTN, anjuran akhbar Sinar Harian, dan disiarkan secara langsung oleh Astro Awani, sebagai "mainan politik".




Moderator debat Rafizi-Khairy, Dr Maszlee Malik, sebelum menutup acara bersejarah itu mencadangkan program sama, tetapi membabitkan Najib dan Anwar. Saya yakin cetusan hati Maszlee itu sebenarnya dikongsi sebahagian besar rakyat Malaysia, yang mengimpikan agar amalan politik baru yang lebih terbuka, telus dan matang dapat dibudayakan.

Sebelum Rais, Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor, lebih awal lagi menolaknya.

Saya mengenali Rais selepas beliau berada di luar kerajaan, ketika menjadi Timbalan Presiden Semangat 46, dan mula mengikuti ceramah politiknya semasa kempen pilihan raya kecil Ampang Jaya, Januari 1989, membantu Allahyarham Harun Idris. Seingat saya, ucapan Rais banyak tertumpu kepada "kemungkaran politik dan ekonomi" Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin

Beliau disingkirkan oleh Dr Mahathir pada 1987, dengan jawatan kabinet terakhir sebagai Menteri Luar. Ungkapannya yang popular ketika itu adalah "membakar jambatan". Rais mencuba peluang merebut kedudukan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti April, 1987, mewakili Team B, bersama kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam tetapi kalah. Kemudiannya berganding bahu dengan Ku Li dalam parti Semangat 46, dan menyertai pilihan raya 1990 tetapi gagal mempertahankan kerusi Parlimen Jelebu.

Selepas S46 kalah teruk pada pilihan raya umum 1995, difahamkan Rais merupakan tokoh utama yang merundingkan pembubaran parti berkenaan, seterusnya kembali ke pangkuan Umno. Sebagai imbuhannya, selepas bertanding pada 1999, Rais ditawarkan jawatan menteri, tetapi bosnya, Ku Li terus dipinggirkan Mahathir, walaupun turut bersama menyertai semula Umno.

Ketika masih bersama pembangkang, agak kerap juga saya mengunjunginya di pejabat guaman Ram, Rais & Partner, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, bersebelahan gedung Globe Silk Store. Selain berbincang mengenai perkembangan politik semasa, seringkali ideanya saya manfaatkan untuk akhbar, makalah dan buku politik yang saya terbitkan. Saya hormati sudut pandangnya yang agak bebas, termasuk keberaniannya mengkritik gaya kepimpinan Ku Li mengendalikan Semangat 46.

Ada kalanya kami bertukar-tukar buku, hasil tulisan masing-masing, termasuk hasil kajian PhD beliau, Freedom Under Executive Power in Malaysia: A Study of Executive Supremacy. Saya dapat mengesan hubungan dinginnya dengan Ketua Penerangan Semangat 46, Ahmad Shabery Cheek, kini Menteri Belia dan Sukan, yang menjadi orang kepercayaan Ku Li wakutu itu.

Bagaimanapun, Shabery, yang juga pernah menerajui Kementerian Penerangan, sempat mencatat sejarah apabila bersedia berdebat dengan Anwar, pada 15 Julai 2008, hanya beberapa bulan selepas BN dikejutkan dengan prestasi buruk dalam PRU12.

Debat bertajuk "Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak" berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, dan disiarkan secara langsung, antaranya melalui TV9, Astro Awani dan BernamaTV, selain diulang siar TV3.

Saya lebih melihatnya sebagai petanda keterbukaan era pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi, di samping tidak melupakan "jasa" bekas Perdana Menteri itu mengembalikan kekerapan penerbitan Harakah, daripada dua kali sebulan kepada dua kali seminggu. Begitu juga dengan tempoh kempen lebih lama, pada 2008, iaitu 13 hari, berbanding sebelumnya, pada 2004, lapan hari dan tidak melebihi 10 hari di zaman Mahathir.

Rais -- diberi kepercayaan menerajui potfolio yang begitu besar -- tentunya menari mengikut rentak dan kehendak Najib. Beliau cuba meremehkan, malah memperlekeh, aspirasi rakyat, yang menuntut "permainan politik di atas padang yang sama rata".

Majoriti pengundi hari ini, termasuk yang bakal pertama kali mengundi, tidak mudah untuk diperbodohkan lagi; mereka sedang menilai dan menghakimi apa jua aksi yang dipamerkan aktor-aktor politik ini, baik daripada BN mahupun Pakatan Rakyat, termasuk reaksi terhadap cadangan debat.

Sekurang-kurangnya Khairy (yang tidak dipedulikan Najib untuk jawatan dalam kabinet) mempunyai keberanian untuk bersemuka dan mendengar kritikan langsung kepada diri dan partinya, hatta berkaitan itu bapa mertuanya!

Berdebat dengan Rafizi bukan kali pertama, dan dia juga pernah berdepan Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga, yang disiarkan live melalui internet mengenai pembaharuan sistem pilihan raya, 25 April lalu.

Begitu juga dengan keterbukaan Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek, yang berdebat (dan disiarkan TV secara langsung) dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Difahamkan, penganjur yang sama, Asli, melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya telah menghantar undangan kepada kedua-dua tokoh itu untuk Debat Lim-Chua 2.0.

Polemik debat ini mengingatkan saya terhadap dua tuntutan Bersih, iaitu akses media yang bebas, adil dan saksama buat semua parti yang bertanding serta tempoh kempen minimum 21 hari. Apakah sikap yang ditunjukkan Rais itu telah menggelapkan sama sekali harapan kita untuk melihat media, terutama yang dibiayai dana awam, seperti RTM, berlaku adil kepada Pakatan?

Sebenarnya ramai khuatir bahawa fungsi tradisi stesen TV, termasuk di bawah Media Prima, yang bertindak seperti "Bilik Gerakan Kempen BN" sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, bukan hanya diteruskan, malah bertindak "lebih melampau lagi".

Bukankah orang kuat Media Prima, Ahmad Farid Ridzuan, dipinjamkan ke Pejabat Perdana Menteri, sebagai Penasihat Komunikasi terutama menguruskan hal "penjenamaan" projek bantuan 'one-off' Najib, Jelajah Janji Ditepati? Bagaimanapun, TV3 yang selama ini kelihatan agak profesional menguruskan propaganda BN, kini begitu merosot kualiti persembahannya, setaraf dengan RTM!


Sesungguhnya, bagi saya, media massa, termasuk yang dimiliki pihak swasta (dalam konteks negara kita, pemilikan media utama, khususnya stesen TV, radio dan akhbar harian, semuanya dikuasai mutlak oleh syarikat berkepentingan Umno-BN) perlu bertindak sebagai penyalur maklumat yang tepat, benar dan beretika kepada masyarakat. Meskipun lidah rasmi parti, seperti Harakah, mempunyai limitasi dan keterbatasan, namun ia juga sama sekali tidak boleh terbabit dalam penyebaran fitnah dan seumpamanya.


Justeru, respons Bersih terhadap kesediaan Rais "untuk memberi akses adil kepada parti politik bagi menyiarkan manifesto dalam media kerajaan tetapi mengikut nilai beritanya", amat wajar. Langsung tidak tergambar tekad politik yang kuat bagi membawa pembaharuan seperti dituntut rakyat. Rais cuba "bermain wayang".

"Pengundi perlu mendapat akses kepada maklumat yang mencukupi untuk membuat keputusan bermaklumat ketika pilihan raya dan media memain peranan kritikal untuk memudahkannya," kenyataan Bersih dipetik.

Gabungan NGO tersebut seterusnya mencadangkan pindaan ke atas Akta Pilihan Raya dan Akta Kesalahan Pilihan Raya:
• Menetapkan hak untuk menjawab semua dakwaan yang ditimbulkan.
• Akses adil kepada media swasta untuk semua parti dan calon bertanding, dan menetapkan akses adil untuk iklan berbayar.
• Menetapkan media milik kerajaan untuk memperuntuk waktu siasaran percuma sewajarnyauntuk parti dan calon yang bertanding, termasuk untuk debat di siaran langsung TV.
• Satu garis panduan kepada media dalam membuat liputan pilihan raya.
• Pindaan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kawalan kandungan dan pemilikan serta pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972.

Pelik juga memikirkan mengapa Najib dan juak-juaknya, termasuk Rais, gerun dan cuak untuk menyahut cabaran debat ini. Sewaktu seluruh dunia menunjukkan penghormatan tinggi terhadap budaya politik baru, perkembangan di Malaysia mengundur ke belakang. Di rantau sebelah ini, negara-negara yang dikenali mempunyai pemerintahan autoritarian seperti Myanmar dan Singapura pun terpaksa melonggarkan kawalan mutlaknya ke atas media kerajaan semasa kempen pilihan raya.

Apa pun, mutakhir ini, di negara kira, gangguan melampau terhadap program Pakatan Rakyat, khususnya secara kekerasan fizikal, semacam sudah menjadi trend dan kelaziman.

Lebih aneh, terdapat penceramah Umno, daripada yang tiada berjawatan, seperti Ummi Hafilda Ali sehinggalah taraf VVIP seperti, Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam, dilaporkan sering mengadakan ceramah bersebelahan majlis Pakatan.

Tentulah ia semata-mata bertujuan untuk menganggu dan mengacau, atau sekurang-kurangnya memalingkan perhatian publik. Manakala isi ucapan mereka adalah untuk membalas secara langsung apa yang ditekankan oleh penceramah pembangkang. Bagaimanapun, bukanlah mereka bermaksud untuk melawan hujah dengan hujah, tetapi lebih kepada usaha menimbulkan gangguan, termasuk dengan menganjurkan program hiburan yang membingitkan.


Sepatutnya hujah dipatahkan dengan hujah, argumen diatasi dengan argumen. Budaya tidak sihat menganggu program Pakatan itu sebenarnya boleh "ditransformasikan" kepada majlis ilmu seperti perdebatan ataupun forum politik, yang pernah popular di kampus-kampus satu ketika dahulu.

Alangkah moleknya jika Najib dapat menunjukkan teladan yang baik, dengan memberi kesediaan untuk berdebat dengan Anwar, dalam satu majlis yang diatur rapi, dan disiarkan TV secara langsung.

Moga-moga insiden ganas dan hodoh selama ini digantikan dengan amalan lebih beradab, yang menunjukkan kematangan berpolitik dan tamadun tinggi yang boleh kita banggakan. Apa pun, saya masih mengharapkan Rais mampu berperanan dalam hal ini. Jangan pula saya dituduh bermimpi di siang hari pula!

II.

Himpunan Hijau ke Putrajaya di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam 1 Jun ini dan program Amanat Khas Presiden di sebelah paginya, di Kompleks PAS Kedah, mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri.

Selain menggantikan Muktamar Tahunan PAS, ia mungkin merupakan pertemuan terakhir yang begitu bermakna sebelum PRU13, yang menghimpunkan segenap jentera dan kekuatan parti daripada segenap lapisan.

Ketika umum masih membicarakan fenomena demonstrasi Bersih 3.0 yang dihadiri lebih suku juta orang, penganjur seperti terbeban untuk memastikan himpunan ini turut disertai audien bertaraf "ratusan ribu" juga.

Saya yakin rakyat Kedah cukup teruja dengan pemilihan negeri itu sebagai tuan rumah, sekurang-kurangnya untuk mempamerkan komitmen tinggi mereka mempertahankan Jelapang Padi itu dari direbut pemimpin Umno-BN, yang kini bertelagah siapa bakal menteri besar, jika menang nanti.

Bagaimanapun, saya seperti rakan-rakan yang lain, tentunya mengharapkan lebih lagi; bukan hanya Alor Setar "yang dihijaukan", tetapi juga meliputi seluruh pelosok tanahair, setidak-tidaknya menghijaukan laluan Lebuh Raya Utara Selatan, mengulangi Bersih 3.0 "yang berjaya menguningkan".

Himpunan Hijau ini juga harus mampu mendorong, menginspirasi dan menyuntik semangat buat aktivis parti untuk berdepan pilihan raya paling kritikal dan mencabar, terutama kepada PAS sendiri. Moga-moga Allah merahmati dan memberkati perhimpunan ini...


Baca Seterusnya......