Friday, December 14, 2012

Anwar: Usah remehkan minda politik orang kampung!

oleh Ahmad Lutfi Othman

Agak lama saya tidak menghadiri program politik di sebelah malam, terutama selepas serangan angin ahmar kedua, seminggu sebelum  Ramadan lalu. Bagaimanapun, Syarahan Baling, malam Jumaat lalu, 10 Disember, di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya berjaya menarik saya ke sana. Saya terasa ada elemen nostalgik yang mengheret.

 
Demonstrasi Baling, 3 Disember 1974, mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri, terutama dalam konteks perjuangan golongan bawahan tertindas, masyarakat petani di luar bandar, yang miskin dan hilang hak untuk sama-sama menikmati kehidupan berkualiti (sebenarnya sekadar untuk cukup makan-pakai-tempattinggal).

Baling juga simbol komitmen tinggi gerakan pelajar -- menjelang pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 -- menjuarai isu-isu rakyat, menyelami penderitaan dan ratap tangis kelompok terpinggir apabila inflasi melambung, harga getah menjunam dan elit penguasa bersikap tidak peduli.

Ia gabungan padu yang terjalin di antara mahasiswa, tenaga akademik dan juga penduduk kampung, bukan hanya di Baling tetapi juga kawasan sekitar, seperti Sik dan Kulim.

Malah tiga bulan sebelum itu, di Tasik Utara, Johor, mahasiswa turun membela golongan miskin yang diperintah keluar dari  rumah yang mereka dirikan di Kampung Barisan Nasional atas janji pemimpin Umno sebelum PRU 1974. Kediaman dirobohkan dan tapak ganti tidak diberikan. Bersama penduduk yang teraniaya mahasiswa berkampung di hadapan pejabat Menteri Besar.

Dalam kedua-dua episod itu, lebih seribu mahasiswa ditahan polis. Di Baling, pada 1 Disember 1974,  hampir 30,000 berdemonstrasi, manakala lebih 5,000 pelajar menunjuk perasaan di Kuala Lumpur (Saifuddin Abdullah; Kalau Saya Mahasiswa). Masjid Negara yang menjadi tempat perlindungan demonstran dicabuli anggota FRU. Kampus UM digempur polis melalui Operasi Mayang; autonomi universiti berkecai.


Mohd Saifullah Mohd Zulkifli, aktivis AMK merakamkan kembali catatan dalam majalah Ar-Risalah, terbitan ABIM 1975 mengenai peristiwa itu: "Perhimpunan pelajar-pelajar tersebut telah disuraikan oleh FRU dengan tembakan gas pemedih mata. Pelajar-pelajar melarikan diri ke Masjid Negara tetapi FRU terus mengejar mereka. FRU  mengepung 8,000 pelajar yang sedang berlindung di masjid serta melepaskan tembakann gas pemedih mata kearahnya. Ketika berada di dalam masjid pelajar-pelajar tersebut telah melaung-laungkan kalimat "ALLAHU AKBAR" dan beberapa kali mereka setelah mengalunkan azan. Sementara menunggu ketibaan waktu Zuhur mereka berzikir beramai-ramai selama kira-kira 20 minit. Setelah masuk waktu mereka telah menunaikan fardu Zuhur secara berjamaah .

 

"Pihak FRU terus berusaha untuk memberkas pelajar-pelajar dan dalam operasi tersebut beberapa orang pelajar telah cedera. Akhirnya pihak FRU menangkap seramai 1,128 orang pelajar, termasuk 80 pelajar wanita dan membawa mereka ke balai-balai polis Sentul, Brickfield dan Jalan Bandar. Pada sebelah malamnya mereka ditempatkan di Polis Depot Jalan Gurney. Pelajar-pelajar yang ditahan hanya diberi makan selepas 11.00 malam.

"Polis  memasuki kampus Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia pada pada 2.00 pagi hari Ahad 8hb Disember 1974. Polis  menggeledah bilik-bilik asrama, pejabat-pejabat dan lain-lain bangunan Universiti untuk mencari dan menangkap mahasiswa di bawah ISA.”


Tanpa sedar, rupanya dalam diri saya masih meruap semangat sebagai bekas pemimpin pelajar pertengahan 1980-an, yang dikira era malap selepas 10 tahun kampus diserkup Auku dan pelbagai peraturan karut-marut HEP (Hal Ehwal Pelajar) -- meletakkan mahasiswa tidak lebih daripada pelajar sekolah.

Majlis anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, 10 Disember, diserikan tokoh-tokoh yang terlibat secara langsung dalam kebangkitan rakyat yang mencipta sejarah itu. Syarahan utama disampaikan Anwar Ibrahim, sebelumnya Dr Syed Husin Ali dan forum melibatkan Prof Gurdial Singh, Kamarazaman Yaakob dan Syed Hamid Ali.

Susulan tunjuk perasaan yang menggegarkan tanahair itu, kelima-limanya menjadi mangsa kezaliman ISA, dan yang paling lama merengkok di Kamunting ialah Dr Syed Husin, hampir enam tahun, diikuti Anwar dua tahun. Sebenarnya tarikh 10 Disember merupakan Hari Hak Asasi Manusia yang disambut setiap tahun di seluruh dunia.

Dalam bicaranya, Syed Hamid, bekas Setiausaha Agung PSRM, kini aktivis KeADILan di Batu Pahat, membawa misalan menarik.

"Dalam perjuangan ini, saya tidak lebih daripada sebatang lidi sahaja. Tetapi janganlah kita lupa banyak lagi lidi-lidi yang lain, yang bertebaran di sana sini.

Mari kita kumpulkan lidi-lidi itu dan mengikatnya menjadi penyapu yang dapat membersihkan segela penyelewengan dan kezaliman," ujarnya bersemangat, disambut tepukan bergemuruh lebih 1,000 hadirin.

"Demonstrasi Baling membuktikan, di mana ada kezaliman dan penindasan, pasti di situ ada penentangan dan perlawanan. Ia bukan hanya hukum sosial atau hukum sejarah saja, tetapi juga hukum fizik. Semakin kuat sesuatu itu dibaling, maka akan lebih kuatlah pantulannya," kata adik kepada Dr Syed Husin itu.

Dr Syed Husin pula menjelaskan, selepas hampir 40 tahun demonstrasi Baling, keadaan negara kita, terutama dari segi keadilan sosial,  tidak banyak berubah. "Sebab kerajaan pun tidak pernah berubah," tegasnya.

"Baling menunjukkan perlu persefahaman, kesatuan, penggabungan tenaga dan jalinan erat semua pihak bagi menjayakan gerakan perubahan. Tidak harus dibiarkan segelintir kecil orang, tapi besar kuasanya, melakukan kezaliman.

"Saya tidak percaya satu orang boleh membuat perubahan. Anwar, yang teruk dizalimi dan difitnah sejak 14 tahun lalu, hanya lambang kepada perubahan itu, dan kita mesti bersatu melakukannya," kata Dr Syed Husin semasa memperkenalkan Anwar sebagai pemidato utama Syarahan Baling.

Malam itu Anwar bercakap agak serius, menekankan aspek-aspek penting perubahan dan konsep pembangunan yang ditawarkan. Beliau banyak mengutip kata-kata sarjana terkemuka, di antaranya Malek Ben Nabi dan Alexis de Tocqueville.

Saya lebih tertarik apabila Anwar menekankan sesuatu yang bermakna buat mereka yang mahu sama-sama mencetuskan perubahan dalam PRU13: "Demonstrasi Baling mengingatkan kita agar jangan mudah mengandaikan kelompok miskin di daerah terpencil, yang kurang mendapat maklumat, rendah pendidikan formalnya, masih dihimpit kemiskinan dan kekurangan asas, tidak mampu bangkit untuk menentang pemimpin zalim dan sistem bobrok."

Anwar menyanggah tanggapan yang mendakwa penduduk kampung ketika itu berani bangun melawan disebabkan hasutan mahasiswa atau  orang luar yang lebih terpelajar. Katanya, setiap manusia mempunyai potensi dan nurani untuk melakukan perubahan, apatah lagi selepas ditindas dan ditekan.

Beliau mungkin mahu menepis andaian bahawa masyarakat di pelosok desa, yang tidak mendapat akses maklumat seperti orang bandar, tidak tergolong dalam kelas menengah, sukar menyokong Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang.

Tsunami politik lebih empat tahun lalu dikira banyak disumbangkan oleh kelompok berpendidikan tinggi di kota dan pinggir bandar, yang dianggap lebih celik politik berbanding masyarakat di pedalaman, selain protes terbuka masyarakat bukan Melayu.

Agak ramai juga penganalisis politik, termasuk pemimpin oposisi sendiri, yang tidak meletakkan harapan tinggi kepada pengundi luar bandar, terutama yang mendiami kampung Melayu tradisi dan penempatan Felda, untuk memudahkan misi Pakatan ke Putrajaya.

"Saya tidak bersetuju dengan andaian itu. Lihat saja di Kelantan, yang diperintah PAS sejak lebih 22 tahun lalu," tambah Anwar sambil menolak nasihat kepadanya agar usah buang masa membentangkan data dan statistik tentang ekonomi negara, termasuk fakta tentang defisit, apabila berceramah jauh di kampung-kampung. "Saya diminta membawa isu-isu mudah seperti kenaikan harga barangan asas dan seumpamanya," ujarnya.

"Tak semestinya golongan terpelajar di bandar lebih berilmu dan memahami isu. Misalnya semasa di Chuping, Perlis, sebuah rancangan Feldam saya bertanya kepada seorang penduduk kampung, apakah negara kita pernah dijajah, beliau mengakuinya. Sedangkan ada profesor sendiri tidak tahu perkara ini," Anwar berseloroh, disambut gelak ketawa penonton.

Bagi saya, teguran Ketua Pembangkang itu harus diberi perhatian serius oleh penggiat parti, terutama PAS dan KeADILan, yang bertembung langsung dengan cabaran masyarakat desa dan peneroka Felda, di luar kubu tradisi pembangkang. Proses pendemokrasian harus merentasi segenap ruang.

Ada kalanya kita meremehkan keupayaan berfikir dan menganalisis oleh segmen pengundi terpenting itu, yang masih dianggap penyokong kuat BN. Meskipun mengakui mereka sasaran terpenting yang perlu didekati, namun tidak banyak usaha terancang dibuat bagi meningkatkan kesediaan untuk melakukan perubahan. Sebaran maklumat masih tersekat. Persepsi songsang sukar diperbetul.

Saya sendiri bertemu rakan-rakan yang masih setia menyokong BN bukan disebabkan habuan atau imbuhan yang mereka terima. Kelihatan mereka ikhlas dan mempercayai hanya Umno mampu mempertahankan "ketuanan" dan kepentingan Melayu. Mereka seolah-olah yakin kedudukan orang Melayu akan tergugat apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa, dengan DAP menjadi teraju utamanya.

Malah di Terengganu, yang mana lebih 96 peratus penduduknya orang Islam, Umno tetap memainkan isu PAS dikuasai, atau menjadi kuda tunggangan, oleh DAP, walhal tiada satu kerusi pun ditandinginya.

Boleh saja anda rumuskan  bahawa mereka ini naif berpolitik tetapi ia bukan hanya membabitkan masyarakat di kampung atau golongan berpendidikan rendah. "Kerisauan masa depan politik Melayu" itu turut dikongsi oleh kelompok kelas menengah, memegang jawatan tinggi-strategik dan terdedah kepada limpahan informasi.

Di sebelah tengahari, sebelum Syarahan Baling pada malamnya, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, semasa majlis diskusi ringkas bersama Jabatan Pengarang Harakah, menekankan bahawa dalam PRU13, jentera kempen Umno-BN akan mengeksploitasi semaksimum mungkin isu-isu sensitif berkaitan agama dan perkauman.

"Untuk BN pertahan kuasa, kali ini mereka mainkan isu sentimen, bukan fakta lagi.  Untuk pertahankan undi kerana hilang harapan kepada Cina, kini Umno terpaksa menggunakan isu sentimen perkauman untuk mendapatkan undi Melayu dan bumiputera Islam," ujarnya.

Mat Sabu seterus menceritakan pengalamannya bersembang dengan seorang pensyarah universiti semasa menunggu pesawat di lapangan terbang, di Johor. "Dia beria-ia minta PAS bertanding bersendirian, jangan berpakat dengan parti lain, terutama DAP. Katanya, jika PAS konsisten solo memperjuangkan nasib bangsa dan agama, akhirnya ia akan diterima rakyat juga," katanya.

Beliau cuba menjelaskan kepada pensyarah itu situasi yang PAS alami setelah sekian lama bertanding bersendirian, termasuk hilang pertaruhan di Johor. "Selepas bersembang lama barulah saya sedar, pensyarah tadi sebenarnya dipengaruhi oleh kursus indoktrinasi BTN (Biro Tata Negara) yang baru dihadirinya," tambah Mohamad Sabu.

Selanjutnya orang no 2 PAS itu mengingatkan: "Saya tidak memandang rendah keupayaan Umno-BN untuk memanipulasi sentimen itu. Biarpun isu-isu yang dimainkan itu bukan berjejak di bumi nyata, tetapi Umno yang berpengalaman lama memerintah negara tahu ia cukup berkesan kepada sebahagian besar pengundi Melayu."

Apabila saya posting peringatan Mohamad Sabu itu dalam Facebook, seorang rakan, wartawan politik membalas melalui SMS: "...tapi saya masih pelik kenapa dalam isu raih undi Melayu, Pakatan macam buat kesilapan yang tidak sepatutnya, macam beri bola tanggung kepada Umno-BN."

Tanpa menjelaskan lebih terperinci maksudnya, kawan baik saya itu berpesan: "Andai dalam PRU13, Pakatan atau PAS terutamanya masih gagal menguasai kerajaan persekutuan, yang pertama harus dipersalahkan ialah diri sendiri."

Anwar dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Alor Setar, 7 Disember lalu, juga mengingatkan hal yang sama. Penilaian awal harus dibuat terhadap prestasi gerakerja pilihan raya dan juga mengamati kemungkinan terdapat kesilapan yang dilakukan oleh jentera Pakatan sendiri.

Menjelang pecutan terakhir berkempen PRU13, saya kira penegasan Anwar, pengakuan Mohamad Sabu dan pesanan sahabat saya itu elok dijadikan renungan bersama. Walaupun nampak seolah-olah ada sedikit pertentangan di antara ketiga-tiganya, namun masa masih berbaki untuk membuat "post mortem" terlebih dahulu, agar isu-isu "yang terlepas pandang" dapat diberi perhatian.

Keghairahan melakukan perubahan di tengah-tengah sambutan hebat massa terhadap Pakatan, misalnya seperti ditunjukkan dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat tidak harus melupakan kita tentang aspek-aspek terselindung yang masih perlu diteliti.

 



Anwar mengingatkan dalam Syarahan Baling, 10 Disember lalu, agar tidak hanya menumpukan kepada golongan kelas menengah untuk membawa perubahan, sebaliknya masyarakat kampung terpinggir yang tidak begitu terdedah dengan maklumat juga berupaya mencipta sejarah, seperti dibuktikan dalam demonstrasi Baling, 3 Disember 1974. Turut kelihatan, Dr Syed Husin Ali.

Baca Seterusnya......

Monday, December 10, 2012

Habibie, samseng politik dan ekonomi Melayu

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Semasa Bacharuddin Jusuf Habibie dilantik menjadi Presiden Indonesia ketiga menggantikan Soeharto pada 21 Mei 1998, seperti ramai rakan-rakan yang lain, saya tidak meletakkan harapan tinggi buat anak Bugis kelahiran Sulawesi Selatan ini untuk melakukan reformasi agar pemerintahannya benar-benar berbeda daripada kebobrokan Orde Baru.

Tanggapan itu mungkin disebabkan beliau dilihat "anak didik" Presiden Soeharto dan bukannya "putera reformasi" yang bangun menuntut perubahan bersama rakyat tertindas. Habibie yang memperolehi ijazah doktor falsafah kejuruteraan pada 1965 di Jerman dan bekerja dalam industri penerbangan di Hamburg kembali ke Indonesia pada 1973 atas permintaan Soeharto. Lima tahun kemudian, beliau menyertai kabinet sebagai Menteri Teknologi.

Tidak kurang yang memandang sinis -- termasuk saya di peringkat awalnya -- keupayaan BJ Habibie memulakan pembaharuan di sebuah republik yang mewarisi kacau-bilau, rusuhan dan demonstrasi, dengan imej Soeharto yang cukup kelam, terutama daripada segi rekod hak asasi manusia, demokrasi dan keadilan.

Saya masih ingat ada rombongan kecil penyokongnya datang ke pejabat Harakah, ketika Habibie dilantik baru Naib Presiden. Mereka seperti mahu menjelaskan bahawa Habibie sememangnya berbeda daripada Soeharto, dan bersedia untuk melakukan perubahan, di samping mempunyai semangat keislaman yang tinggi. Posisinya dalam Ikatan Cendekiawan Muslim Indonesia (ICMI) dtonjolkan dalam diskusi kami itu.

Semua pihak mengakui kehebatan ilmu dan kepakaran teknologi Habibie, yang  sememangnya cemerlang dalam industri kejuruteraan pesawat sehingga pada tahun 1994 mendapat anugerah tertinggi Edward Wanner Award, sempena ulang tahun ke-50 International Civil Aviation Organization (ICAO), namun rekodnya dalam bidang politik dipersoalkan.

Berbanding Soeharto yang memerintah selama 32 tahun (1966-98), tempoh penggal Habibie sebagai presiden cukup singkat, hanya setahun lima bulan; sebagai Naib Presiden sekadar dua bulan tujuh hari.

Saya sendiri yang  tidak memerhati dari dekat jasa dan bakti Habibie turut tidak memberi perhatian kepada sosok istimewa ini. Namun, begitu, saya menyedari tugas sulit yang terpaksa ditanganinya, terutama bagi melepaskan Indonesia daripada bebanan sejarah masa silam di bawah Soeharto.

Sehinggalah apabila saya terbaca komentar menarik seorang rakan, Azam Shairi, wartawan Astro Awani tentang buku "Habibie dan Ainun". Ia sebuah memoir Habibie bersama isterinya, antara lain mengisahkan saat-saat kematian Hasri Ainun (bermaksud "mata yang indah"), yang meninggal dunia di Munich, Jerman, pada 22 Mei 2010. Luar biasa detik-detik akhir pasangan yang berkasih sayang selama 48 tahun ini.

Namun, selepas mengikuti pidato Habibie (dan pengenalan ringkas oleh rakan karibnya, Anwar Ibrahim) di Unisel, Shah Alam, 6 Disember lalu, saya seperti tersipu malu dengan salah tanggapan terhadap rekod kerjanya selama ini.

habibie-anwar-mb-dinner-01

Bayangkan, Habibie membebaskan semua tahanan politik pada hari pertama menjadi presiden. Sungguh menakjubkan. Beliau tidak peduli dengan protokol atau peraturan lazim. Tanpa menunggu lama, media turut dibebaskan esoknya; begitu juga dengan pilihan raya bersih, sesuatu yang tidak pernah diimpikan di zaman Soeharto.

"Ini soal dhamir, dan tanggungjawab langsung dengan Allah," kata Anwar mengungkapkan tekad politik Habibie yang cukup kuat dan kepeduliannya terhadap nasib rakyat tanpa mengira kemungkinan kesan buruk di sebalik tindakan drastiknya itu.

Ternyata, Habibie seorang demokrat sejati. Beliau benar-benar pemimpin reformasi yang boleh dibanggakan ratusan juta rakyat Indonesia. "Seseorang itu tidak boleh ditahan, apatah lagi dipenjarakan, hanya kerana berbeda pandangan dengan pemerintah, kerana yang sebenarnya berkuasa adalah rakyat," tegasnya di hadapan hampir seribu hadiran, kebanyakannya mahasiswa.

Cukup sukar mencari personaliti hebat seperti Habibie, yang sedia mempertaruhkan jawatan, demi mempertahankan prinsip dan keyakinannya. "Pak Habibie datang sebagai sebagai penyelamat Indonesia dan sebaik menyempurnakan misinya beliau berundur secara terhormat dalam masa yang singkat," kata Anwar.

Ramai idealis yang berjaya menumbangkan diktator atau regim zalim, namun akhirnya tidak mampu melakar perubahan seutuhnya disebabkan terlalu banyak mengira risiko dan menghitung kemungkinan. Lebih malang apabila hanyut dipeluk kemewahan dan lupa diri dibalut kuasa yang mempesona.

Habibie, seorang pemberani dan pengukir zaman. Melalui langkah pertamanya Indonesia berada di atas landasan yang betul dan boleh menjadi teladan dari segi proses pendemokrasian. Sememangnya beliau berada dalam kelas tersendiri sebagai negarawan ulung.

Habibie juga mengingatkan saya kepada seorang lagi personaliti unggul dalam sejarah pembinaan bangsa Indonesia, Mohammad Natsir, Perdana Menteri pada awal 1950-an, yang meletakkan jawatan dalam tempoh singkat apabila berbeda fahaman dalam beberapa isu dasar dengan Presiden Soekarno.

II. Antara kerbau dan kucing dalam Umno

Presiden Umno, Najib Razak tidak perlu menunggu lama bagi melihat ucapannya yang  berdegar-degar "mengisytihar perang" semasa PAU 2012 mendapat respons segera daripada "anak-anak buahnya".


"Najib sepatutnya berbangga kerana ahli-ahli Umno, bermula di Gombak, bingkas bangun bertindak untuk mempertahankan Putrajaya, dengan cara yang difikirkan sesuai oleh mereka," sindir seorang pengamat politik.

Malam 4 Disember, di Batu 8 1/2, Gombak, sekumpulan lebih 200 Pemuda Umno, difahamkan sebahagian besarnya pesilat, menunjukkan keangkuhan dan mempamerkan budaya samseng, dengan melakukan provokasi dan gangguan melampau, terhadap program Ceramah Merdeka Rakyat, antara lain membariskan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.


Ketua Pemuda Umno Gombak, Megat Zulkarnain Omar Din, pernah dikaitkan dengan tindakan tidak beradab ke atas pemimpin DAP di Parlimen, pada awal 2009. Ada yang tercedera, termasuk aktivis PAS, dibaling batu dan ditikam objek tajam.

Insiden seumpama ini bukannya tragedi baru. Kes ceramah Pakatan diganggu, termasuk dengan mengadakan program Umno di lokasi berdekatan, dilakukan secara sistematik. Ia sengaja diatur, termasuk oleh pimpinan tertinggi Umno negeri, sebelah menyebelah, bagi menjejaskan tumpuan audien di majlis oposisi.


Anwar dalam ucapannya pada malam itu, yang sering diganggu pengacau Umno dengan kata-kata kesat tetapi langsung tidak menjejaskan tempo pidatonya, bertanya kepada hadirin: "Jika Najib datang ke Gombak dan kalau ada 30, 40 ahli PAS atau KeADILan datang kacau, apakah saudara ingat polis boleh benarkan?"

Beliau menyifatkan aksi samseng Umno itu sebagai "arrogance of power", amalan "bodoh, samseng dan takbur". Anwar menekankan, "rakyat akan ajar dalam PRU13, kita akan tendang mereka dari kuasa."

Ketua Umum KeADILan itu turut menyifatkan pihak yang terlolong memekik menganggu ceramah Pakatan sebagai pencacai kepada perasuah dan penzalim, yang dengan sewenangnya merampas khazanah kekayaan negara, tetapi masih berselindung di sebalik slogan "Hidup Melayu".

"Buat ceramah pun boleh cedera ... bukankah ini kurang ajar namanya? Ini tanda Umno resah gelisah dengan kebangkitan rakyat. Saya nak tahu, polis siasat atau tidak? Kita mahu negara dipimpin mengikut hukum.

"Saya mahu siasatan terperinci. Setiap anak muda yang luka, setiap orang yang dicederakan, saya mahu orang yang terlibat itu bertanggungjawab. Saya tak mahu negara ini jadi hak pengkhianat, samseng,  atau pencacai kepada penzalim," tegas Anwar disambut tepukan bergemuruh  hadirin.

Seperti kata AJK PAS Pusat, yang juga peguam terkemuka, Hanipa Maidin, politik samseng tercetus apabila idea berbeda tidak dapat diterima oleh pesaing, sehingga hujah tidak dapat dipatahkan dengan argumen, maka elemen kekerasan mengambil tempat.

Lebih menyerlah apabila sesuatu regim tidak sanggup berdepan dengan pembongkaran pelbagai skandal, dan terbayang akan kehilangan sokongan daripada rakyat, sebagai responsnya, kebangkitan itu mahu ditumpaskan dengan tindakan fizikal yang tidak bertamadun.

Kegelisahan makin tidak keruan apabila pelaku jenayah menjangkakan mereka akan dihadapkan ke muka pengadilan jika kerajaan baru di Putrajaya terbentuk.

Sayang sekali menyaksikan badut-badut Umno yang beraksi ganas itu sebenarnya hanyalah ahli atau penyokong akar umbi, sebahagian mereka mungkin diupah dengan sedikit bayaran. 

Kadang-kadang kelompok di bawah ini "ikhlas dalam perjuangan" tetapi begitu terdorong oleh pidato berapi-api pemimpin. Semangat perkauman, yang diselindung melalui ungkapan sayang-kasih kepada bangsa dan agama, dinyalakan dengan marak.

Penggerak Umno di kampung-kampung ini juga tidak menyedari kecurangan dan kerakusan elit pemimpin mereka "merampok" hasil mahsul negara, sebahagiannya melalui undang-undang dan tidak akan dikesan oleh penguatkuasa.

Ada di antara mereka yang begitu bersungguh-sungguh dan komited untuk memenangkan Umno walaupun  tidak mendapat imbuhan setimpal daripada ketua-ketua yang sibuk dengan projek demi projek.

Saya teringat "kisah kerbau dan kucing" yang sering diutarakan Cikgu Abd Wahab Abd Rahman, bekas AJK PAS Pusat dan kini masih aktif di Jerlun, bagi membandingkan nasib ahli-ahli biasa Umno dengan anak-anak pemimpin mereka.

Kerbau diperah keringat. Ke sawah membajak, dipalu belakangnya, diberi makan ala kadar, malah sehingga mati pun, kulitnya dijadikan gendang dan dipukul terus! Tetapi kucing di rumah, dipelihara baik-baik, menjadi kesayangan tuan, diberi susu dan ikan walaupun tiada kerja bermanfaat dapat dibuat.

Siapa kerbau dan siapa kucing dalam konteks Umno?

III. Pembangunan yang meruntuhkan masyarakat Melayu

Walaupun wartawan Harakah Pulau Pinang, Sabri Said sudah mewawancara tokoh korporat, Dato' Seri Abdul Rahman Maidin, yang baru menyertai PAS, namun saya tetap merasakan masih perlu berkenalan dengan pengusaha yang terlibat dengan pelbagai bidang perniagan selama 32 tahun itu.

Ternyata Abdul Rahman mudah dihubungi dan bersedia pula ke pejabat Harakah, petang 5 Disember lalu. Saya mengingatinya sebagai orang yang pernah menerajui MRCB dan menguasai kumpulan media NSTP dan TV3. Ketika itu, kira-kira akhir 1990-an, wajahnya sering muncul di kaca TV.

Baru-baru ini saya terkesan dengan pembabitan aktifnya dalam isu pengambilan tanah di Pengerang Johor. Tertanya-tanya juga bagaimana beliau sering berada di sana, bersama pemimpin popular PAS, Mazlan Aliman dan Salahuddin Ayub.

Malah, apabila beliau memilih untuk menyerahkan borang keahlian PAS kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Batu Pahat, dan bukan di negeri kelahirannya di Pulau Pinang, ramai juga yang hairan, termasuk Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Rupanya kini Abdul Rahman terlibat  dengan kerja-kerja kemasyarakatan, dalam Institut Peduli Rakyat (IMR), yang memperjuangkan isu-isu sosio-ekonomi rakyat, selain membabitkan kesihatan dan alam sekitar.

Dalam sembang santai lebih sejam bersamanya, saya tertarik dengan konsep pembangunan yang ditekannya. Abdul Rahman mengkritik cara dan pendekatan kerajaan Umno-BN untuk membangun orang Melayu.

"Mengambil tanah orang Melayu dan menghancurkan perkampungan mereka, kemudiannya memindahkan ke tempat lain memang mudah tetapi  tindakan itu langsung tidak dapat membantu kehidupan orang Melayu," tegasnya.

"Zahirnya memang nampak orang Melayu agak maju, tetapi cubalah tinjau keadaan sebenar dalam rumah mereka. Benar, rumah agak tersusun di kawasan kediaman, tetapi saya yakin lapan daripada sepuluh keluarga  dibebani  pelbagai masalah, seperti hutang keliling pinggang dan konflik rumahtangga akibat problem sosio-ekonomi," tambahnya sambil menceritakan pengalaman melihat sendiri keadaan menyedihkan keluarga yang dipindahkan di Kuala Terengganu.  

rahman maidin2


Beliau yang teruja dengan perjuangan Negara Berkebajikan PAS mahu memanfaatkan pengalamannya lebih tiga dekad dalam pelbagai bidang bisnes dan komuniti perniagaan bersama Parti Islam.

Tentunya Abdul Rahman dapat membuat penilaian sebaiknya terhadap kegagalan kerajaan membantu masyarakat Bumiputera selama ini serta mampu mencari jalan keluar. Disebabkan petang itu saya agak uzur, banyak persoalan tidak sempat dibangkitkan.

Diajukan laporan The Star, mengenai dakwaan Ketua Pemuda MCA, Wee Ka Siong bahawa beliau merupakan "orang yang paling rasis" pernah ditemui Timbalan Menteri Pelajaran itu, Abdul Rahman sekadar tersenyum dan enggan melayan tohmahan itu.

"Biarkanlah, lebih baik kita tak usah jawab, kalau jawab seolah-olah dia penting bagi kita," kata Abdul Rahman, yang merasakan ada perancangan tertentu bagi menyerangnya apabila beliau menyertai PAS.

"Saya yakin orang seperti Abdul Rahman dapat meningkatkan imej PAS terutama di kalangan orang Melayu. Beliau patut diberi peranan penting terutama berkaitan kemahirannya," kata seorang rakan.
 

Baca Seterusnya......

Saturday, December 8, 2012

Musa Hassan dan aksi Bollywood

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Semakin dekat dengan PRU13, bermacam-macam kejutan berlaku. Pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan dan pembongkaran ahli perniagaan, Deepak Jaikishan, yang rapat dengan Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor antara kejutan yang menarik perhatian umum.


Bagaimanpun, ramai beranggapan, "jalan ceritanya" masih panjang ...  malah kemungkinan ada kejutan lebih sensasi sebelum kisah kontroversi itu berakhir.

Tidak mustahil akan terakam tragedi lebih besar apabila kita melintas tahun baru 2013 nanti. Ketika menulis kolum ini, jam 11.30 malam, 4 Disember, khabarnya ada darah yang tumpah gara-gara samseng Umno menganggu Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak. Mungkin ia merupakan manifestasi semangat berkobar-kobar ekoran pidato berapi-rapi Najib Razak yang mengisytiharkan perang kepada Pakatan semasa menutup Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2012!

Dalam masa sama, Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung di seluruh negara, bermula di Seremban sebulan lalu, mendapat sambutan cukup memberangsangkan. Selain mencatatkan kehadiran luar biasa, ia juga menyaksikan sederetan nama-nama besar, termasuk bekas pegawai kanan kerajaan dan swasta, serta tokoh korporat menyertai PAS.

Terbaru di Batu Pahat, Johor, bekas Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu dan Dewan Perniagaan Kebangsaan, Abdul Rahman Maidin menyerahkan borang keahlian PAS kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sekali gus membuktikan "kubu kuat" Umno di negeri asalnya itu sudah pecah dan roboh. (Ramai pembaca meminta Harakah menyenaraikan kembali tokoh-tokoh atau personaliti besar yang telah bersama PAS berserta profil masing-masing).


Tidak hairanlah jika  ada pihak seperti terpinga-pinga melihat apa yang berlaku. Menonton televisyen atau menatap akhbar harian milik Umno berbeda sama sekali dengan realiti yang dipaparkan media  baru.

Ya, dalam politik tempoh seminggu sudah terlalu lama, dan pelbagai kejutan bisa tercetus dalam waktu singkat. Tanpa diduga, Umno-BN menerima tamparan dahsyat daripada mereka yang selama ini menyokongnya.

Lebih kalut jika ia membabitkan individu yang dilihat boleh membocorkan rahsia atau konspirasi besar pemimpin utama Umno. Inilah risiko segalanya jika diatur melalui komplot jahat; sampai masanya terdedah jua.

Daripada pelbagai senario yang menggamit perhatian itu, saya lebih tertarik dengan kenyataan Musa Hassan. Dalam sidang media Badan Bertindak Pemerhati Jenayah Malaysia (MyWatch) di Petaling Jaya, baru-baru ini, Musa mendakwa pasukan polis yang diterajuinya sering berdepan campur tangan dan gangguan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein. Katanya, Hishamuddin pernah mengeluarkan arahan terus kepada pegawai bawahannya dan juga ketua polis daerah tanpa pengetahuannya.

"Saya pernah membangkitkan kepadanya mengenai Seksyen 4 Akta Polis 1967 yang mengatakan bahawa arahan dan kawalan terhadap pasukan polis dibuat oleh KPN, bukan menteri. Sudah tentulah saya tidak boleh bertindak kurang ajar dengannya sebab dia menteri. Saya beritahu dia cara baik tetapi dia tidak boleh terima," kata Musa.

Arahan terus kepada pegawai polis, dengan mendahului KPN, kata Musa, bukan sahaja membabitkan Hishamuddin tetapi juga menteri-menteri lain. Selain itu, ujarnya, terdapat ahli-ahli politik dan "orang atas" cuba campur tangan dalam kes penangkapan penjenayah tertentu.

"Saya boleh bagi contoh. Apabila saya menangkap orang jahat yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti haram, pasti akan ada panggilan telefon meminta mereka dibebaskan dan ia datang dari orang atas," katanya dengan menyambung bahawa perkara sebegitu kerap berlaku.

Musa turut "menyerang" penggantinya, Ismail Omar, yang dilihat banyak pihak sebagai "orang baik" tetapi dipersoalkan kualiti kepimpinannya . Ismail dianggap boneka yang cukup mudah diperalatkan dan tidak berupaya berdepan tekanan elit politik.

"Saya bercakap ini bukan sebab saya nak hentam orang..., tidak... tetapi untuk betulkan keadaan. Keadaan sekarang makin teruk, makin teruk dan saya tidak mahu orang tidak percaya kepada polis," kata Musa.

Manurutnya, sejak akhir-akhir ini campur tangan menteri semakin dalam pasukan polis semakin parah berbanding dahulu. "Dulu tak kerap berlaku begini. Dulu tak ada saya rasa. Masa Menteri Dalam Negeri yang lama-lama kita tak pernah dengar jadi begini. Tapi yang baru-baru nilah," tegasnya.


Sebenarnya pendedahan Musa bukanlah sesuatu yang menggemparkan. Sejak lama -- mungkin kemuncaknya semasa pemecatan Anwar Ibrahim dan era reformasi -- masyarakat memandang serong pasukan polis, yang dianggap institusi kritikal tetap paling kerap dan mudah dimanipulasi elit penguasa sehingga tugas asasi, seperti menangani jenayah terabai.

Pengendalian polis terhadap isu-isu politik, yang disamarkan sebagai isu keselamatan negara, cukup menjolok mata. Lihat saja siri demonstrasi Bersih, protes sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman tahun 1998-99 dan perhimpunan aman lainnya. Orang ramai disepak  terajang, dibalun, ditembak gas dan ditangkap tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

Kebenaran untuk mengadakan ceramah politik juga begitu sukar. Pemberian (dan juga pembatalan) permit sering dibuat berdasarkan faktor kepentingan politik Umno-BN, dan bukannya keselamatan negara.

Ya, integriti dan wibawa PDRM sudah terkambus. Ia perlu dipulihkan segera, melalui proses reformasi menyeluruh, bersama institusi strategik lainnya seperti Jabatan Peguam Negara, media, badan kehakiman, SPR dan SPRM. Sukar untuk membayangkan natijah buruk buat rakyat dan negara ini jika pihak polis, AG dan para hakim pun boleh dibeli, yang menyebabkan keadilan sukar untuk dilaksanakan.


"Polis disibukkan dengan kerahan menjaga keselamatan dan survival Umno-BN, bukannya tugasan menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan rakyatnya," begitulah kira-kira luahan sebahagian besar rakyat.

"Saya pernah mendengar gosip terbuka bahawa pengedar dadah, yang mungkin dihukum gantung jika sabit kesalahan, boleh terselamat selepas menyogok pihak tertentu, termasuk polis. Lebih dahsyat kononnya ada ketua kongsi gelap yang mempunyai hubungan istimewa dengan polis dan orang politik yang menjaga polis," ujar seorang pemimpin kanan oposisi

Cuma, apabila bekas KPN menyuarakan keresahan yang sama, ia tidak lagi boleh dipandang ringan, malah ada pihak mencadangkan penubuhan suruhanjaya diraja menyiasat dakwaan serius Musa itu.

Ya, masakan polis dapat membongkar salahlaku menterinya sendiri. Dan Musa diharapkan konsisten untuk menyelongkar sisi-sisi serba hitam dan hodoh tersebut, walaupun masih ada yang curiga dengannya, mengapa sekarang pekung itu mahu didedah.

Misalnya, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ramli Yusuf bukan sahaja mempertahankan KPN sekarang, Ismail Omar, malah menyifatkan persepsi buruk orang ramai terhadap polis bermula dari zaman Musa. "Pada saya, tidak adil lah jika Musa berterusan menyerang IGP  sekarang. Ismail sedang berusaha memperbaiki imej tersebut," katanya.

"Dia (Musa) mula menjadi vokal dan mengkritik kerajaan semasa Menteri Dalam Negeri Hishammuddin mengumumkan dia tidak dilanjutkan perkhidmatannya,” kata Ramli yang mengganggap ia sebagai punca rasa tidak puas hati Musa.

 

Kini, selepas bersuara lantang, Musa mendakwa diekori polis Cawangan Khas (SB), seolah-olah beliau telah mengancam keselamatan negara. "Suka saya nasihatkan mereka, tak perlulah ikut saya, saya tidak akan memusnahkan negara dan lebih baik menjejaki penjenayah yang mengacau ketenteraman awam," kata Musa, sambil menyifatkan tindakan mengekorinya itu hanya membazirkan wang rakyat.

Fungsi, peranan dan operasi Cawangan Khas juga perlu dibedah siasat. Musa sendiri seolah-olah mengakui SB melakukan tugas  bukan untuk perisikan keselamatan dan ketenteraman awam tetapi terikat dengan arahan pihak atasan demi motif tertentu.

Apa yang didedahkan Musa sebenarnya melangkaui dimensi politik kepartaian. Ia tidak sewajarnya dilihat dengan pandangan siasah yang juling. Kita tidak mahu adegan yang sering ditonton dalam filem Bollywood -- tentang komplot di antara penjenayah dengan polis dan elit politik -- menjadi realiti yang menggerunkan.

Kalaupun Musa juga melakukan kesalahan sama, termasuk menyalahgunakan kuasanya semasa memegang jawatan KPN, seperti kata Ramli, membabitkan afidavit seorang penjenayah Goh Cheng Poh @ Tengku Poh, ia tidak sepatutnya memesongkan kita daripada memandang serius campur tangan politik terhadap pasukan keselamatan.

 

Baca Seterusnya......

Persediaan PRU13 Umno menakutkan: Apa maksud Prof Agus?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2012 memang berwarna-warni. Bukan hanya nampak garang dengan warna merah menyala pakaian perwakilan dan pemerhati, tetapi juga lagak-aksi pemimpin serta pembahas.

Ada tangisan, gelak ketawa, sorakan dan yang juga paling sukar dilupakan apabila Presidennya, Najib Razak kelihatan suka sangat menjerit, menengking, menjerkah dan "meneran".

Saya kira, berakhirnya PAU 2012, corong televisyen tidak bingit lagi dengan gema suara tinggi  Najib melaung dan mengherdik. Saya salah. Pengerusi BN itu rupanya masih gian menguji suaranya, mungkin mahu menyaingi lantunan bicara Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS.

Malam Isnin, 2 Disember lalu, sekitar jam 8 malam, sewaktu saya mula mengedit buku (yang tertangguh lebih empat tahun) mengenai kematian puteri saya, Nurul Syafiqah, dari ruang depan, suara bising Buletin Utama TV3 cukup mengejutkan.

Segera saya meluru bergegas mencari kepastian. Siapa pula mengacau ketenangan hari minggu ini? Nampak urat leher Najib yang tegang. Presiden Umno itu "meneran" lagi. Butir perkataannya tidak begitu jelas. Cuma saya dapat menangkap dia mempertegaskan dirinya sebagai perdana menteri yang prihatin dengan kebajikan dan kepentingan rakyat.

Biasalah ayat-ayat klise, terutama untuk mendapatkan mandat dalam PRU13 ... tetapi kenapa perlu menjerkah dan menjerit, dengan nada yang menjengkelkan, yang tidak selayaknya dilafazkan oleh seorang negarawan. Saya tidak pasti apakah Najib -- di depan M Keyveas dan ahli-ahli PPP yang semuanya merangkap pemimpin -- mengulangi perisytiharan perangnya lagi. Ya, memerangi rakyat yang ghairah menuntut perubahan dan pertukaran kuasa di Putrajaya!

Rupanya Najib masih berdiri di PWTC, tempat berlangsungnya PAU 2012 yang melabuhkan tirainya sehari sebelum itu (maghrib Sabtu), tetapi kini berucap merasmikan mesyuarat agung ke-59 Parti Progresif Penduduk.

Lensa TV menyorot wajah mentornya, Dr Mahathir Mohamad. Dalam hati terdetik, "hebat orang tua ini." Sebelum itu berhari-hari dia berkampung bersama ahli-ahli Umno sehingga Najib merakamkan penghargaan tinggi buat bekas Perdana Menteri itu semasa ucapan penangguhannya. Dr Mahathir  bagaikan penceramah Umno paling aktif sekarang.

Saya menahan diri daripada memandang rendah, apatah lagi memperleceh, keupayaan Umno dan gabungannya dalam BN, untuk mempertahankan sisa-sisa kuasa. Masing-masing parti sudah sewajarnya cuba mempamerkan kekuatan dan berlagak penuh yakin merekalah bakal pemenang dalam PRU13 nanti.

Namun, sesiapa sahaja yang mengikuti PAU Ke-66, walaupun sekadar menonton TV dan membaca akhbar, akan terkesan bahawa Najib serta sekutunya nampak gelabah dan tidak dapat menyembunyikan kegelisahan mereka.

Jeritan dan pekikan, serta sesekali ketawa besar dengan jenaka tanpa isi itu, sebenarnya cuba menyembunyikan gelodak rasa takut amat sangat akan kehilangan kuasa. Umno tanpa kuasa -- seperti sering diulang Najib dan Dr Mahathir -- tidak lebih daripada sampah.

Bukan saja Najib, yang pastinya bersungguh-sungguh dengan apa jua cara memastikan bahtera yang dinakhodainya tidak bocor dan tenggelam, malah Dr Mahathir juga bagaikan cacing kepanasan dan tidak betah duduk diam.

Masakan tidak, bagi pemimpin Umno, hilang Putrajaya bukan hanya bermakna peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat, tetapi mimpi ngeri buat para pemimpin dan kroni suku-sakat yang korup, merompak wang rakyat, menyeleweng dan hidup penuh kecurangan.


Petang 1 Disember lalu, di depan lebih 2,700 perwakilan, Najib memaklumkan bahawa Dr Mahathir secara sukarela bertemu dengan pemimpin akar umbi Umno untuk meraih sokongan untuk parti itu menjelang PRU13, walaupun tanpa diminta untuk berbuat demikian.

Anwar Ibrahim, yang cukup masak dengan perangai bekas bos yang telah memecat dan mengaibnya itu, dalam sidang media 3 Disember, segera menyanggah: "Kita tahu hakikatnya bahawa Dr Mahathir secara sendiri telah memanggil pemimpin Umno dan pemimpin negeri. Najib memaparkan keberanian yang sangat sedikit sebagai seorang pemimpin. Dia tidak mampu menangani Shahrizat (dalam skandal NFC), jadi saya tidak boleh bayangkan bagaimana dia mampu berurusan dengan Dr Mahathir."

Anwar turut memperlekehkan Umno yang dikatakan memperoleh keyakinan semula pengundi dengan menyifatkan pemimpinnya tidak mampu mendapat sokongan akar umbi dengan hanya "menginap di hotel 5 bintang, menghabiskan masa di lobi dan menghisap curut mahal ... Hal ini jelas terpisah antara kaya, pemimpin jutawan Umno dan rakyat di bawah."

Meskipun cuba mempertegaskan Umno sebagai organisasi massa yang berakar bersama rakyat, namun sebahagian besar pemimpinnya "tetap elit dan eksklusif". Desakan perubahan selepas kalah lima negeri dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen  langsung tidak membekas kepada gaya kehidupan mereka.

Rasuah yang membarah langsung tidak diberi penekanan oleh Najib, dan pendedahan sensasi Deepak  (termasuk berkaitan pembunuhan Altantuya Shariibuu) juga tidak cuba dijawab. Naib Presiden parti dan Menteri Pertahanan Zahid Hamidi yang rapat dengan Najib sejak zaman Pemuda, gagal menunaikan janjinya kepada media, untuk menjawab serangan terhadap keluarga bosnya itu semasa ucapan penggulungan, sebaliknya "melambung" Presiden Umno setinggi langit.

Penganalisis politik terkemuka, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff dalam Facebook sempat membidas: "Saya tidak mengikuti PAU dari dekat tahun ini. Tapi dari berita yang saya baca, dari video Youtube yang saya tonton dan dengar, saya dapati gaya perdebatan perwakilan gagal untuk meletakkan agenda Umno ke depan. Ucapan banyak diisi dengan jenaka, puji memuji pemimpin, semangat kepartian yang tidak ada substance dan retorik basi. Ucapan penggulungan pemimpin juga lemah dan tidak meyakinkan. Jika ini mahu diambil sebagai gambaran tahap persediaan Umno untuk menghadapi PRU13, ini menakutkan!"


Saya tidak pasti apa maksud "menakutkan" bagi Dr Agus. Tidak mungkin  beliau "takut" Umno akan hilang kuasa. Atau ia membayangkan bagaimana seorang sarjana dan pemikir seperti Dr Agus sudah merasakan babak Umno-BN menguasai pemerintahan akan berakhir tidak lama lagi.

Baca Seterusnya......

Ucapan "meneran" Najib, Deepak, Musa dan royalti Kelantan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

SELEPAS mengikuti Muktamar Tahunan PAS Ke-58 di Kota Bharu baru-baru ini, dan melihat dari dekat semangat serta komitmen perwakilan Parti Islam itu, khususnya untuk berdepan PRU13, saya harap dapat menyaksikan sepenuhnya Ucapan  Dasar Presiden Umno (tentunya disiarkan secara langsung oleh semua stesen televisyen utama), pagi Khamis, 29 November lalu.


Sebagai pengamal media, walaupun menerajui organ parti, saya teruja untuk melihat sendiri situasi para aktivis dua organisasi politik terbesar, PAS dan Umno, di ambang pilihan raya paling sengit ini. Sekurang-kurangnya dapat juga membuat penilaian dan perbandingan lebih seimbang. Boleh sahaja membaca ucapan perasmian dan penutup Presiden Umno dalam akhbar esoknya, namun saya lebih gemar mendengar intonasi dan melihat lenggok badan secara terus.

Semasa sihat bugar dahulu, terutama semasa era pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, saya akan cuba mempastikan hadir di PWTC, terutama pada sesi penggulungan, pada hari terakhir persidangan Umno. Tentunya pidato Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Umno waktu itu, turut menjadi tumpuan. Anwar diakui mempunyai keistimewaan tersendiri, termasuk berupaya menyindir bosnya, Mahathir. Apa pun, saya kira ucapan Sanusi Junid selepas kalah pemilihan Naib Presiden pada 1993, mengenai gejala politik wang dalam Umno dengan mengaitkan lambang-lambang dalam setiap wang kertas,  terakam kukuh dalam ingatan.

Ketika zaman Abdullah Ahmad Badawi, satu pembaharuan dibuat, iaitu siaran langsung sesi perbahasan persidangan oleh Astro. Ia langkah berani, mungkin bertujuan untuk mempromosikan lagi Umno kepada khayalak lebih luas, tetapi malangnya menerima padah dan kesan negatif kepada Abdullah. Banyak persoalan sensitif yang dilemparkan perwakilan telah menyinggung perasaan masyarakat bukan Melayu dan mungkin kemudiannya menjadi faktor mereka menolak BN dalam PRU12.


Namun, apa yang tidak dapat dilupakan, semasa mengikuti ucapan Abdullah menerusi TV, saya lebih banyak tersengguk dan terlelap walaupun sudah tersedia pen di tangan untuk mencatat butiran penting leterannya!

Menyedari perhimpunan agung Umno (PAU) 2012 mempunyai banyak keunikan (seorang rakan beranggapan, ia pertemuan terakhir ahli-ahli dan pemimpin parti itu berada di pihak kerajaan), saya menggagahi diri  mengikuti ucapan Najib walaupun terpaksa membatalkan temujanji rawatan rutin.  (Seorang penalis di TV, semasa menunggu lintas langsung, menegur singkatan PAU, yang dilihatnya memberi konotasi negatif). 

Nada Najib cukup tinggi, penekanan suara begitu bersemangat, tetapi ia dibuat agak keterlaluan, dan seringkali menganggu tempo, serta tidak sesuai dan canggung dengan lantunan suara semulajadi Najib. Ada kalanya seperti mahu "meneran", meniru gaya Anwar. Retoriknya kadang-kadang tersasar dan tidak menjadi. Tetapi ...biasalah, ia disambut tepukan bergemuruh.

Masih dalam mood mukadimah, di awal ucapannya, Najib terus bersuara lantang: "Kini, semboyan sedang berkumandang, genderang makin bergema. Masanya sampai, menyusun langkah, tempohnya matang, memperkemas pasukan, detiknya tiba, mempasak kuda-kuda." (Terdengar juga ketawa perwakilan selepas Najib menyebut "kuda-kuda").

Tanpa sembunyi, Presiden Umno itu mengisytiharkan perang bagi mempertahankan Putrajaya, satu manifestasi Umno-BN berada dalam kedudukan defensif sehingga terpaksa menjawab satu demi satu serangan Pakatan Rakyat. (Apakah Najib bersedia berperang dengan rakyat yang tidak sabar-sabar lagi untuk bereksperimen -- melakukan perubahan menukar kerajaan?)

Sepatutnya, mendengar ucapan penuh bersemangat itu, dengan sorakan perwakilan yang bergema, saya tidak akan tertidur seperti ketika memasang telinga Abdullah menyusun hujah enam dahulu. Realitinya, beberapa kali isteri menegur, "tengok TV ke, TV tengok dia ni", apabila menyedari saya terlelap lama. Jadi, saya terpaksa menyemak semula teks ucapan Najib itu dalam akhbar esoknya.

Saya kira lebih ramai penonton dapat menyaksikan apa yang tersirat daripada yang dihidangkan oleh paparan kaca TV. Najib cuba menyembunyikan kegelisahan dan keresahan. Majoriti rakyat sudah bersedia untuk melakukan perubahan. Rekod lebih lima dekad Umno sukar untuk dipertahankan lagi. Kebocoran tidak mampu ditampung; ketirisan menjadi-jadi akibat kecurangan dan salahguna kuasa berterusan pemimpin Umno-BN.

Ucapan Najib tidak lebih daripada ceramah politik berdegar-degar, yang hanya bertujuan membakar semangat ahli-ahli Umno dan langsung tidak menekankan isu-isu dasar-besar yang sepatutnya ditangani sebuah parti pemerintah, yang berkuasa selama lebih 55 tahun. Beliau hanya mengulangi mantera lama -- negara huru-hara, bankrap dan hancur berkecai jika rakyat memilih Pakatan. Daleh yang sukar diterima generasi yang terdedah dengan simpang-siur maklumat dan lebih bersedia berpartisipasi secara proaktif dalam politik.

Kalau dalam muktamar PAS, akan diadakan slot ceramah umum pada malamnya, dengan mengetengahkan tokoh-tokoh pemidato dan pemimpin kanan, dan bukannya dihamburkan dalam ucapan dasar seperti dilakukan Najib. Lucu juga menyaksikan lagak Najib bagaikan panglima perang mahu mengerahkan bala tenteranya turun bertempur. Dan ia dilakukan bukan kali pertama, malah berulang kali, tetapi masih belum berani mencadangkan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong!

Sedangkan yang diperlukan dalam pilihan raya adalah lebih halus dan seni daripada itu (bukan seronok bertempik hinga hilang suara), yakni bagaimana mahu menambat hati, emosi dan pemikiran pengundi, serta usaha mempengaruhi "golongan yang boleh dipengaruhi" agar memberikan kepercayaan dan mandat untuk bersama-sama membangunkan negara tercinta ini.


Bagai dijangka, Dr Mahathir (ada pihak menggelarkannya ketua penerangan Umno tidak rasmi) menyifatkan ucapan Najib itu sebagai terbaik. "Ia satu ucapan yang fantastik," tegas Dr Mahathir, "beliau telah menjawab segala tomahan, tuduhan dan fitnah yang selama ini dilontarkan oleh parti-parti pembangkang terhadap Umno."  Riak Mahathir, yang kelihatan sentiasa memberi sokongan penuh kepada Najib, juga membayangkan kekhuatiaran Presiden Umno ke-5 berdepan perhitungan rakyat dalam PRU13.

Najib juga tidak dapat menyembunyi perasaan harap-cemasnya apabila meminta perwakilan Umno sama-sama berdoa  agar "apabila kita bertemu pada tahun hadapan di Dewan Merdeka ini, insya Allah kita akan berhimpun semula dengan sokongan kukuh sebagai parti pemerintah ..." Seolah-olah menjadi igauan dan mimpi ngeri bahawa PAU 2013 akan berlangsung muram dan suram ... ya, mesyuarat agung Umno buat pertama kali atas kapasiti sebagaai parti pembangkang!


II. Waspada dan cermati trend pengundi baru

Saya kira, banyak pihak dapat mengesan kebimbangan dan kegelisahan Umno terhadap pengundi muda atau yang baru pertama kali mengundi, selain  kebijaksanaan majoriti rakyat untuk membuat pilihan tepat.

Dalam ucapannya di hadapan lebih 2,700 perwakilan Umno, Najib membentangkan hakikat demografik Malaysia yang telah berubah secara radikal. Hampir 70 peratus daripada 29 juta penduduk tinggal di bandar, 80 peratus berumur kurang 45 tahun manakala separuh rakyat berusia bawah 25 tahun. Sejak Mac 2008, terdapat 2.9 juta pengundi baru telah mendaftar sebagai pemilih. Maknanya, setiap seorang daripada lima pengundi dalam PRU13  ialah pengundi baru atau yang pertama kali mengundi.
  
Pengundi baru dan generasi di bawah 45 tahun ini tidak lagi mudah dipengaruhi dogengan  usang Umno. Mereka juga tidak terikat dengan nostalgia yang sengaja dipasak, khususnya mengenai sumbangan Umno sebagai satu-satunya parti yang memperjuangkan kemerdekaan. Kelompok ini lebih independen, sukar dikontrol dan tidak takut untuk melakukan "eksperimen" ataupun percubaan.

Dan ingat, anak-anak muda ini juga dikatakan tidak suka dikaitkan dengan mana-mana parti politik; hari ini menyokong parti A, esok mungkin berpindah parti B, atau boleh mengundi parti A di peringkat Dun, dan selektif untuk sokong parti B untuk kerusi Parlimen.

Kepada regim yang memerintah secara terus-menerus di peringkat persekutuan, seperti Umno, istilah "ubah", "tukar", atau "berani mencuba" cukup mengerikan.  Pemimpin Umno, apatah lagi Najib, amat faham benar, sekali gabungan parti yang diterajuinya hilang kuasa di Putrajaya, seperti nukilan Najib sendiri: "Kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri!"

(Agak kerap saya mengulas bagaimana Umno begitu takut dan ngeri jika ditakdirkan berada di posisi pembangkang, sehingga tercetus ungkapan "terbangsat dan merempat", sedangkan dalam negara demokrasi, bukannya sesuatu yang mengaibkan bagi mana-mana parti untuk bersilih ganti menerajui negara, seperti ditunjukkan dalam sistem dua parti di negara-negara maju, misalnya Amerika Syarikat).

Justeru, Najib, Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir sendiri, kerap memberi amaran agar tidak menjadikan PRU13 sebagai medan untuk mencuba atau bereksperimen menukar kerajaan. Walhal sistem demokrasi memberikan ruang seluasnya untuk rakyat membuat pilihan -- tanpa gentar dengan sebarang ugutan dan ancaman -- termasuk untuk memilih pemerintah yang baru. Dan inilah, dalam PRU13, buat pertama kali, rakyat Malaysia membuat kesempatan terbaik itu, yang tidak pernah muncul sepanjang 12 kali pilihan raya umum lalu.

"Pilihan raya bukan satu uji kaji," tegas Najib Khamis lalu, "lima tahun ialah jangka masa yang lama dalam pentadbiran sesebuah kerajaan ... pelbagai kerosakan boleh berlaku."

Pada Himpunan Barisan 1Malaysia, juga di PWTC, pertengahan November lalu, di hadapan aktivis NGO yang menyokong BN, Najib dilaporkan berkata: "Kenapa nak baiki jika tidak ada yang rosak? Ia tidak rosak, malah jauh daripada rosak. Negara kita dicemburui oleh banyak negara lain." Kenyataan itu untuk menyanggah momentum rakyat yang mahu melakukan perubahan ataupun penambahbaikan kepada pelbagai kerosakan yang dilakukan pemimpin Umno-BN selama ini.


Ya, beberapa kali, dalam kolum ini,  saya  merakamkan perihal keghairahan rakyat biasa yang saya temui, misalnya pemandu teksi dan kenalan lama yang sebelum ini tidak begitu berminat dengan politik.

"Apa salahnya kita mencuba kerajaan baru. Kalau mereka juga menyeleweng daripada janji-janji, rasuah, pilih kasih, utamakan kroni, seperti dilakukan BN, lima tahun nanti, kita tukar pula, lagipun rekod empat tahun Pakatan perintah Selangor boleh tahan juga, tak ada yang pelik-pelik dan merugikan rakyat," ujar seorang pemandu teksi, dalam perjalanan menghantar saya ke Hospital UKM, Cheras.

"Ubahlah ... dan jangan bagi peluang kepada mana-mana kerajaan untuk terlalu lama memerintah. Regim yang begitu lama berkuasa amat mudah melakukan korupsi kerana cukup berpengalaman dan arif dengan lubang serta peluang berbuat jahat. Mereka juga cenderung bersikap kuku besi. Tukar ajalah, lima tahun bukannya lama sangat, selamatkanlah negara kita," kata jiran saya, seorang Cina-Katolik, yang sebelum 2008 sentiasa menyokong BN, kini giat berkempen kepada rakan-rakannya agar mengundi Pakatan.
  
Namun begitu, Pakatan tidak seharusnya mengambil mudah kompleksiti ragam pengundi baru ini. Segalanya tidak mudah dalam PRU13. Jentera BN pastinya menggandakan usaha mendekati mereka, dengan pelbagai pendekatan memikat. Gerakerja Pakatan juga harus lebih ke hadapan, dan anak muda sentiasa memerhati dan menghakiminya.

III. Isu bonus buat Pakatan Rakyat; cabaran buat Harakah

Seorang rakan lama, bekas wartawan ekonomi, seperti lazimnya, mengirim SMS cadangan kepada Harakah setiap kali mendapat inspirasi baru. Petang 30 November lalu, dia memaklumkan: "Pengakuan Deepak, pendedahan Musa Hassan dan pengesahan Petronas tentang tindakan kerajaan persekutuan 'mengsonglap' royalti minyak Kelantan mesti dimanfaatkan secara besar-besaran dan berterusan oleh Harakah, dalam tempoh 15 bulan ini sebelum PRU13. Bola tanggung untuk kuburkan Umno-BN."


Banyak pihak suka mengaitkan siri wawancara Deepak Jaikishan dengan laman-laman bebas, dengan tragedi pembunuhan Altantuya Shaariibuu, termasuk menghubungkannya dengan Najib dan Rosmah Mansor. "Saya rasa kes ini tidak akan senyap sehingga kes Altantuya selesai dengan adil," kata Deepak kepada Harakahdaily.

Sidang akhbar bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan yang mendedahkan Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein campur tangan dalam pasukan polis memang tidaklah menggemparkan. Namun ramai percaya, ia bukan terhenti setakat itu.

Dipercayai Musa mempunyai rahsia lebih besar, kemungkinan membabitkan kes-kes rasuah yang mempertaruhkan keselamatan negara dan hubungan baik di antara tokoh politik dan orang atasan tertentu dengan penjenayah yang ditangkap polis. Musa memberitahu media, terdapat pihak atasan yang menelefon pegawai kanan polis minta dilepaskan penjenayah tertentu

Mengenai isu royalti Petronas kepada kerajaan Kelantan, rakan saya itu meminta saya membaca tajuk muka 19, Utusan Malaysia, 30 November: "Petronas sudah luluskan royalti".

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Shamsul Azhar Abbas menjelaskan: "Petronas sedia maklum bahawa syarikat ini tidak pernah berhutang dan telah melunaskan pembayaran royalti kepada semua negeri dan kerajaan persekutuan mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 kepada kerajaan persekutuan. Terpulanglah kepada kerajaan persekutuan untuk membuat agihan itu sama da dalam bentuk royalti atau wang ihsan."

Ya, saya kira Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Husam Musa ada hujah menarik mengulas kenyataan Shamsul Azhar itu dan pastinya merimaskan Mustapa Mohamed, serta membantutkan terus angan-angan BN Kelantan!

Dan tepat sekali, Husam sehari selepas itu menyifatkan tindakan Petronas membayar 5 peratus bahagian Kelantan kepada kerajaan persekutuan adalah satu jenayah pecah amanah: "Kerajaan persekutuan tidak menyampaikan pembayaran itu kepada kerajaan negeri Kelantan, tidak juga memasukkan ke dalam Akaun Wang Yang diSatukan Kerajaan Persekutuan seperti kehendak Akta Tatacara Kewangan 1957 serta membelanjakan wang itu tanpa sebarang kelulusan Parlimen seperti kehendak akta yang sama."

Husam mengingatkan bahawa Kelantan hanya mengikat perjanjian petroleum pada tahun 1975 dengan Petronas dan tidak ada sebarang perjanjian antara Kelantan dan Kerajaan Malaysia. Menurut perjanjian itu, katanya, Petronas, bukan Kerajaan Malaysia, berjanji membayar secara langsung kepada Negeri Kelantan 5 peratus bayaran tunai dua kali setiap tahun bilamana pengeluaran bermula.

"Semua pihak yang bersubahat menggunakan wang ini secara salah, termasuk jawatankuasa Wang Ihsan yang dipengerusikan oleh Dato' Dr Awang Adek juga melakukan jenayah pecah amanah yang sama," tegas Husam.

 

 

Baca Seterusnya......

Umno mahu menyerang, PAS pula di posisi defensif?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Perhimpunan Agung Umno 2012 merupakan medan terakhir buat Najib Razak memperagakan "penampilan bergaya" parti itu bagi meraih sebanyak mungkin sokongan pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

 Ketika kelompok bukan Melayu, khususnya orang Tionghua, kelihatan berpatah arang untuk kembali mengundi BN, hanya masyarakat Islam menjadi sandaran utama Umno mempertahankan Putrajaya.

 Justeru, "solekan agama" lebih diperlukan supaya orang Melayu terus terkeliru atau sekurang-kurangnya berada dalam keadaan serba-salah untuk mengundi Pakatan Rakyat.

Dijangka dalam perhimpunan terbesar itu, Umno akan mengambil pendekatan menyerang dan cuba menganjak daripada posisi bertahan, termasuk membelasah saingan terdekatnya, PAS, dengan hujah-hujah agama, bagi mempamerkan ia lebih Islamik, sekali gus membawa retorik lama, iaitu menjaga dan mempertahan kepentingan  Melayu.

"Hari ini kami pakai baju merah... ini petanda kami nak pergi berperang," kata Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan kepada Bernama, di PWTC, 27 Nov lalu, semasa mengatur persiapan terakhir perhimpunan.

Sambil berusaha mengoyak imej PAS dengan terus mendakwa telah lari daripada landasan perjuangan asalnya -- dibantu secara tidak langsung oleh beberapa bekas pemimpin kanan PAS -- Umno sebenarnya tiada jalan keluar selain mempromosi dirinya sebagai pembela agama, termasuk dengan mengeksploitasi isu-isu antarabangsa umat Islam seperti Palestin (hubungan dengan Hamas) dan Selatan Filipina (MILF).

"Najib juga dijangka menekankan kepentingan mendekati generasi muda, terutama pemilih yang baru kali pertama mengundi. Begitu juga dengan berusaha mengekalkan sokongan pengundi wanita," ujar seorang pemimpin gerakan pelajar.

"Mahasiswa akan diperalatkan dalam kempen PRU13, lihat saja program TPM Muhyiddin Yassin baru-baru ini dengan pemimpin pelajar, bendera Umno dikibar tanpa segan silu, sedangkan ia program rasmi kerajaan," tegasnya.

Para perwakilan daripada 191 bahagian Umno seluruh negara telah diperingatkan awal-awal lagi agar tidak menimbulkan isu-isu yang boleh masalah kepada parti dan juga rakan-rakan komponen dalam BN semasa perbahasan, selain memastikan perjalanan perhimpunan dapat menyuntik semangat dan komitmen tinggi berdepan pilihan raya paling mencabar sejak merdeka.

"Tentunya Umno tidak mahu perhimpunan ini membawa mesej salah kepada pengundi, sepertimana berlaku sedikit kekecohan dalam muktamar PAS baru-baru ini," kata seorang pemerhati politik yang mengikuti dari dekat perkembangan PAS.

"Umno lebih bernasib baik kerana ia mengawal media, tetapi harus diingat, dengan teknologi maklumat terkini, sebarang kesilapan kecil semasa perbahasan boleh mengundang padah," tambahnya.

"Masa berbaki yang cukup singkat ini, paling lama 15 minggu, tetapi saya jangka Parlimen dibubar lebih awal itu sekitar selepas Tahun Baru Cina, mesti digunakan Umno untuk menyerang, bukannya bertahan atau terpaksa menjawab serangan Pakatan. Saat-saat akhir adalah tempoh paling kritikal dan cukup penting," katanya lagi. 

Seperti diramal, PAS yang bakal mencabar Umno di kebanyakan kerusi yang ditandinginya, menjadi sasaran utama kecaman Muhyidin, semasa serentak merasmikan perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno, pada malam Rabu lalu.

Logiknya mudah ditelah; peluang Umno untuk terus menerajui kuasa hanya cerah apabila PAS ditolak pengundi Melayu. Musuh ketat Umno yang mesti ditumpaskan -- melebihi DAP dan KeADILan -- adalah PAS! Oleh itu, wibawa dan integriti Parti Islam itu mesti diruntuhkan, walaupun terpaksa membuat seribu satu pembohongan dan pendustaan.

Justeru, ketika Dr Mahathir Mohamad berkata Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sangat layak menjadi Perdana Menteri, berbanding Anwar Ibrahim, saya kira ahli-ahli PAS tidaklah begitu naif untuk membaca muslihat bekas PM itu. Ia hanyalah untuk memecah-belahkan persefahaman oposisi, suatu ilusi yang begitu didambakan pemimpin Umno.

Dalam pada itu, kehadiran PAS dalam Pakatan diibaratkan "lebai malang dan melukut di tepi gantang". Muhyidin berkata: "PAS tidak berkongsi kuasa dengan DAP dan KeADILan. Sebaliknya, kuasa yang sepatutnya diberikan kepada PAS dirampas oleh DAP dan KeADILan. ... PAS hanyalah kuda tunggangan, tukang sorak dan tukang takbir untuk mereka merebut kuasa."

Sempat saya menonton sekilas liputan langsung ucapan Muhyiddin itu. Nampak sangat penekanan dan intonasinya serba tidak menjadi. Jika ia bertujuan untuk menghidupkan kembali semangat Pemuda, Wanita dan Puteri, yang berada di tahap rendah berdepan PRU13, saya yakin objektif itu gagal dicapai.


Sambil mengakui masih ada segelintir masyarakat Melayu yang mungkin terpedaya dengan tohmahan yang sering dikitar semula itu, terutama yang tidak terdedah dengan ledakan muklumat, namun saya yakin, bilangannya semakin kecil dan ia mudah dipatahkan jika jentera penerangan PAS bertindak lebih efisyen dan sistematik.


"Dan pemimpin PAS pula jangan terlalu defensif menjawab serangan Umno itu sehingga melupakan isu-isu rakyat yang jauh lebih besar dan menekan kehidupan seharian warga," seorang profesor sains sosial mengingatkan saya.

"Maaf, saya kira banyak juga perbahasan dalam muktamar PAS yang lalu, hanya menjawab persoalan dibangkitkan bekas pemimpinnya, yang sebenarnya sudahpun ditolak ahli-ahli dan ini amat membazirkan masa, sedangkan perhimpunan tahunan terbesar itu menjelang PRU13 amat kritikal untuk membuat persiapan dan pecutan terakhir yang meyakinkan," tambahnya.

Ia mengingatkan saya pertemuan dengan  Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim, di rumahnya, di Kuala Terengganu, petang Jumaat, 23 Nov lalu. Beliau yang pernah aktif dalam Semangat 46, bekas Adun Tanggol (1990-95) dan baru saja menyertai PAS, mahu "Harakah lebih proaktif menangani masalah rakyat, termasuk mendedahkan secara terperinci salahguna dan korupsi pemimpin Umno, termasuk Menteri Besar Ahmad Said".

"PAS mesti lebih agresif menyerang, banyak isu-isu perlu dibongkar untuk pengetahuan orang ramai, selain lebih kerap mendekati rakyat, menyantuni masalah seharian mereka. Dan pemimpin PAS juga harus bersikap lebih terbuka," ujarnya sambil menunjukkan beberapa risalah memaparkan graf kenaikan kos hidup dan hipokrasi Dr Mahathir Mohamad (serta Najib) dalam isu George Soros.

----

Artikel ini ditulis pada 27 Nov 2012  

Baca Seterusnya......

'Usah tumbuk rempah dulu'

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Dalam pertemuan sidang editorial Harakah dengan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, membincangkan isu-isu kritikal Selangor, baru-baru ini, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu seperti mengulangi penekanan yang kerap saya catatkan dalam kolum ini: "Pihak yang bakal menang dalam PRU13 nanti adalah mereka yang paling sedikit melakukan kesilapan, dan bukannya parti yang mengemukakan banyak gagasan atau idea yang hebat."

Ingatan dalam nada serupa juga ditekankan oleh ramai pemerhati politik, dengan mengambil kira kesalahan yang kelihatan kecil boleh menyumbang impak yang agak besar dalam pilihan raya umum nanti. Lagipun, dijangkakan tiada perbedaan undi yang menyerlah di antara pemenang dengan pihak yang tewas.

Ya, bayangkan, jika dilihat mampu dieksploit demi kepentingan politik, misalnya hanya berbekal telefon bimbit model lama, rakaman boleh dibuat terhadap kenyataan atau aksi pemimpin Pakatan Rakyat, walaupun berkaitan program dalaman parti, dan kemudiannya secepat kilat disiarkan melalui siaran televisyen ke seluruh negara.

Esoknya akan disambut tanpa tangguh lagi oleh akhbar-akhbar harian, untuk meneruskan propaganda murahan secara bercetak, bagi membentuk persepsi tertentu, dengan satu tujuan: Melanjutkan kuasa BN dan mempertahankan Putrajaya.

Kesilapan kecil oposisi akan diperbesarkan, hatta ucapan bernada seloroh atau jenaka turut boleh dipaparkan sebagai komitmen serius, jika impaknya dirasakan dapat memburukkan penampilan Pakatan. Apatah lagi sekiranya, tanpa sedar, disogok peluang terbentang luas kepada strategis media Umno-BN untuk menghalakan serangan bertubi-tubi, membelasah seteru politiknya.

Saya tidak pula sampai menyimpulkan segala kontroversi terkini, misalnya berkaitan ucapan Nurul Izzah Anwar tentang kebebasan beragama, doa kehancuran Umno di Kota Bharu dan cadangan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri jika Pakatan menang PRU13 sebagai kesilapan yang membawa padah.

Cuma sekadar mahu menunjukkan bahawa, selepas program Jelajah Janji Ditepati Najib Razak tidak dipedulikan rakyat, tawaran Bajet 2013 kurang membekas, pelbagai insentif one-off mudah dilupakan, kini Umno-BN bertarung seperti parti pembangkang, dengan cuba menyelongkar apa juga yang dilihat sebagai "keburukan atau sisi negatif", termasuk menyiarkan kembali ucapan Anwar Ibrahim, semasa dalam kerajaan dahulu, yang mengecam PAS dan DAP.

Semasa menunggu pesawat di LCCT, Sepang, tengahari 14 November lalu, untuk sama-sama ke Kota Bharu mengikuti Muktamar Tahunan PAS Ke-58, saya cuba berkongsi rasa dengan Mahfuz Omar, tentang laporan meluas media mengenai kenyataan Nurul Izzah dan usaha terancang menimbulkan keraguan pengundi terhadap kewibawaan Pakatan sebagai parti yang dapat mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam.

Naib Presiden PAS itu tenang saja dan menganggapnya ia siri serangan media bagi menjauhkan orang Melayu daripada Pakatan. "Ini bukan kali pertama, mereka telah mencubanya banyak kali sebelum ini, dan terbukti ia tidak berkesan," tambahnya. "Apa pun," pintas saya, "kita tidak boleh memandang remeh gerak kerja mereka."

Selepas dua tahun berturut-turut tidak menghadiri muktamar, saya -- seperti juga para pemerhati dari seluruh pelosok tanahair -- mengharapkan, daripada perhimpunan terbesar yang sepatutnya diadakan Jun lalu, PAS dapat membuat lonjakan besar, terutama untuk meraih sokongan dan kepercayaan pengundi Melayu.

Keyakinan awal terserlah melalui pesanan Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali, disiarkan Harakah, yang dipasarkan sehari sebelum perasmian muktamar. Tokoh berpengalaman itu mahu muktamirin bukan saja tidak terpengaruh dengan usikan nakal media, yang mahu memesongkan tumpuan, malah memanfaatkan perbahasan untuk "mengisi kemenangan" membebaskan Putrajaya.

Meskipun agak penat untuk mendengar Ucapan Dasar Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, namun saya terasa puas, lega dan beruntung. Teks setebal 27 halaman, 107 perenggan itu, begitu kejap, menyeluruh dan menyentuh hampir semua isu-persoalan penting dan kritikal. Saya kira ia pidato rasmi terbaik yang pernah dihasilkannya sejak 10 tahun lalu. Ia cukup bertenaga, memberikan pengarahan yang jelas dan mampu mempengaruhi.

Difahamkan, Setiausaha Agung KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail, yang turut mendengar ucapan berkenaan, menyifatkan banyak penekanan Ustaz Abdul Hadi seperti ditujukan kepada semua parti dalam Pakatan Rakyat sendiri.

Huraian yang memperincikan konsep Negara Berkebajikan cukup jelas dan menarik. Begitu juga singgungannya terhadap persoalan ekonomi, sistem pendidikan dan komitmen PAs untuk kesejahteraan rakyat, yang merangkumi pelbagai golongan termasuk petani, wanita, peneroka bandar, bekas tentera, selain bersikap serius menangani kes FGV, AES, Pengerang dan projek mega yang lain.

Saya lebih teruja dengan penekanan terhadap kesediaan rakyat untuk berubah. "Kepada rakyat seluruhnya, jangan takut untuk berubah kepada yang lebih baik (dalam PRU13). Maka sekiranya kita gagal melaksanakan amanah itu, rakyat boleh menghukum kami dalam pilihan raya seterusnya," tegas Presiden PAS itu, sambil memberi jaminan pegawai kerajaan di setiap peringkat tidak akan dizalimi atau dibalas dendam.

Keuzuran menghalang saya daripada menekuni setiap isi perbahasan para perwakilan. Sepanjang di dalam dewan Putik, secara umumnya saya dapati setiap mereka yang berucap menunjukkan kesungguhan. Bagaimanapun ada pemerhati yang membisik kepada saya: "Sayang sekali, Ucapan Dasar Presiden yang cukup bermutu dan selari dengan mood menjelang PRU13, tidak disusuli dengan perbahasan bernas yang mengungkapkan isu-isu kritikal yang digariskan Tok Guru Haji Hadi."

Beliau merujuk kepada lima bentuk tindakan yang ditekankan Presiden bagi menghadapi PRU13, iaitu persediaan menjaga benteng masing-masing (Parlimen atau Dun), menangani kompleksiti pengundi Melayu khususnya anak muda, cabaran memenangi sebanyak mungkin kerusi, meningkatkan jentera penerangan, termasuk Harakah dan Harakahdaily serta merancakkan persiapan menjuarai perang siber.

"Macam ada kempen tersirat menjelang pemilihan parti tahun depan, aja?" ujar seorang pemerhati, dari Kedah, yang duduk di sebelah saya, berdekatan ruang media. Beliau kemudiannya ketawa kecil tanda hanya bergurau dengan usikannya itu.

Apabila ada perwakilan menimbulkan cadangan Presiden PAS patut dicalonkan sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan menang dalam PRU13 nanti, saya sudah menjangkakan ia akan disensasikan oleh media, terutama TV3 dan Utusan Malaysia.

Sememangnya jentera kempen tidak rasmi Umno-BN itu sentiasa menunggu kesempatan untuk memecah-belahkan persefahaman di kalangan pemimpin dan penyokong Pakatan. Umum mengetahui sebaik saja keputusan PRU12 diketahui, Mac 2008, perang saraf adu-domba untuk memisahkan PAS dengan DAP sudah bermula, tidak terkecuali juga usaha menyuntik kecurigaan di antara PAS dan KeADILan.

"Kalau Najib yakin parti-parti Pakatan berselisih faham hingga memungkinkan mereka bertanding sesama sendiri, pasti Parlimen akan dicadang dibubarkan serta-merta," kata seorang pensyarah politik. "BN sudah tidak ada kekuatan sendiri lagi, mereka begitu harapkan persefahaman Pakatan pecah dan terburai," tambahnya.

Tidak sedikit rakan-rakan yang menelefon dan menghantar SMS, melahirkan kebimbangan isu cadangan ustaz Hadi ke jawatan PM akan menyebabkan BN mendapat keuntungan. "Paling tidak pun, kita akan membuang masa yang cukup berharga ini, bagi melayan karenah dan menjawab persoalan yang bukan pun satu isu buat Pakatan," kata seorang daripadanya.

"Biarkanlah ... setiap perwakilan berhak menyuarakan pandangan dan pendapat. Muktamar adalah medan untuk meluahkannya, inikan demokrasi, dan tanda PAS terbuka untuk ahlinya bercakap," saya menjawab mudah. Saya pasti rakan saya itu tidak berpuas hati apabila dia mencelah: "Jangan sampai masyarakat luar, orang awam yang memerhati muktamar dengan penuh minat, merasakan sesama Pakatan pun tidak sepakat, masing-masing ghairah merebut jawatan besar."

Awal pagi Ahad, pada hari terakhir muktamar, kenalan saya, seorang profesor turut menegur, melalui SMS: "Kajian kami menunjukkan pengundi amat prihatin dengan percanggahan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Polemik tentang siapa Perdana Menteri tidak menguntungkan, termasuk kepada PAS. Sebagai parti yeng melewati 60 tahun usianya, PAS harus sedar di mana kekuatan dan kelemahan parti."

Saya kira rakan saya itu memberi reaksi mungkin selepas membaca muka depan The Sunday Star, yang melaporkan perbahasan di muktamar PAS, dengan tajuk "Ulama for Hadi". Hiasan foto Presiden PAS begitu menonjol.

Akhbar yang dimiliki MCA itu sememangnya dikenali menjalankan usaha terancang untuk menakutkan pengundi Cina terhadap Pakatan, dengan mendakwa PAS akan menjadi parti paling dominan jika BN dapat ditumbangkan.

Beberapa kali, Presidennya, Dr Chua Soi Lek bersungguh-sungguh memberikan gambaran bahawa sekiranya Pakatan menguasai Putrajaya, PAS akan menerajui kerajaan baru nanti. Sebagai ahli Parti Islam, saya tentulah gembira dengan pujian itu. Ya, tiada keindahan melebihi kesyukuran melihat Islam didaulatkan dalam sistem pemerintahan negara. Namun, kita tidaklah terlalu naif untuk membaca perangkap musuh.

Kepada audien Melayu, yang membaca Utusan Malaysia dan menonton TV3, PAS digambarkan parti paling corot dalam Pakatan, hanya mengikut telunjuk KeADILan dan diperkudakan DAP. PAS juga ditohmah sudah menyimpang daripada landasan asal perjuangan.

Manakala berdepan masyarakat bukan Melayu, khususnya Cina, seperti sering dilaporkan dalam The Star, PAS tiba-tiba disuntik dengan seribu satu kekuatan. Tujuannya agar pengundi Tionghua teragak-agak untuk menyokong Pakatan; sedangkan realitinya PAS kini didekati komuniti pelbagai kaum dan agama. Dalam muktamar lalu, beberapa aktivis Dewan Himpunan Penyokong (DHPP) berucap mempertahankan prinsip-prinsip Islam yang diperjuangkan PAS.

Selama ini saya beranggapan The Star, walaupun turut menjadi mesin propaganda BN, tetapi masih menjaga profesionalisme pemberitaannya, tidak seperti Utusan Malaysia. Saya terkejut melihat tajuk depan edisi Isnin, 19 November, "Hadi ready to be PM", dengan gambar menarik Ustaz Hadi mengenggam tangannya ke atas. The Star juga sudah hilang kewarasan!

"Dua hari berturut-turut muka depan The Star mengalahkan Harakah, dengan hiasan gambar Presiden PAS yang memikat," saya bercanda dengan rakan-rakan grafik di pejabat. "Tapi, beritanya tidak betul, dah sama macam Utusan."

Walhal sebenarnya, cukup dengan menonton YouTube, anda segera mengesan bahawa apabila Ustaz Hadi mengatakan "syok juga sepintas lalu (dengan cadangan nak lantik jadi PM)", nadanya berseloroh dan wajah ceria tersenyum.

Apatah lagi selepas beliau menyambung: "Tetapi saya kata di sini, saya minta Tuhan jadikan cita-cita saya ini biar menangkan Islam, kemudian kalau nak mati, matilah."

Ustaz Hadi seterusnya memberi satu perumpamaan yang cukup menarik untuk difikirkan: "Saya tak mahu macam cerita saya dengan Ustaz Azizan. Ustaz Azizan tahu saya minat memancing. Saya pergi Kedah, dia ajak saya memancing di laut Yan.

"Sebelum pergi, dia berpaling ke anak buah dia, dia kata, tumbuk rempah siap-siap. Nak masak ikan tenggiri, ikan jenahak. Saya pun pergilah, dia pun pergi juga ke laut. Bila balik, boleh ikan belukang sebesar kelinking je. Saya tak mahu jadi macam itu. Belum apa-apa dah tumbuk rempah."

Baca Seterusnya......

Kekalkan momentum, usah tersilap langkah

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Semua maklum, Muktamar Tahunan PAS Ke-58, di Kota Bharu, bermula 16 November ini adalah yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13. Apa pun usah lupa, kita juga diperingatkan lebih setahun lalu, 3-5 Jun 2011, di Kuala Lumpur, bahawa perhimpunan terbesar aktivis parti Islam pada tahun itu juga merupakan muktamar terakhir sebelum bertarung di gelanggang siasah paling sengit pernah disaksikan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, Parlimen akan dibubarkan secara automatik pada 24 April 2013 dan tiada teka-teki lagi selepas itu. Saya membangkitkan hal ini sekadar  menunjukkan persiapan rapi menghadapi PRU13, sudah cukup lama, sambil mengharap stamina dan komitmen petugas parti tidak mudah luntur meskipun sudah berkali-kali berada dalam "gear lima pada pecutan terakhir".

Sememangnya mood rakyat di seluruh negara untuk melakukan perubahan -- memastikan Putrajaya dibebaskan sepenuhnya daripada cengkaman Umno-BN -- berada pada tahap terbaik. Dan tiada lagi wilayah atau negeri yang boleh dianggap "deposit tetap", meletakkan Najib Razak dalam keadaan gelisah dan gelabah.

 

Saya difahamkan, untuk senario terkini, pemimpin dan strategis BN sendiri mengakui, jumlah kerusi Parlimen yang "selesa untuk dipertahankan" tidak melebihi 95, satu kedudukan yang cukup kritikal, dibandingkan penguasaan 137 kerusi dalam pilihan raya 2008. Jumlah 95 kerusi itu juga kurang 17 kerusi daripada majoriti mudah bagi membentuk kerajaan persekutuan.

Semua petunjuk, sama ada "kiraan di atas kertas" dan juga situasi di lapangan, memberi isyarat jelas bahawa hayat Umno-BN sebagai penguasa sejak merdeka -- satu rekod yang sukar digugat parti-parti pemerintah lain sezaman dengannya -- akan berakhir dengan pembubaran Parlimen penggal ke-12. "Sebab itu, Najib kerap menangguhkan pembubaran Parlimen, bagi memanjangkan sisa-sisa usia regim pemerintahannya," bisik bekas editor sebuah mingguan politik kepada saya.

Sekurang-kurangnya itulah reaksi yang saya terima daripada ramai pemerhati politik termasuk penganalisi bebas. Seperti lazimnya, saya mengingatkan diri sendiri dan rakan-rakan agar jangan terlalu yakin. Usah pandang remeh kemampuan (dan kesanggupan melakukan apa sahaja) elit penguasa untuk mempertahankan takhta.

Pengundi Melayu yang menjadi sandaran utama Umno-BN, dengan serangan bertubi-tubi media dan perang saraf yang cukup hebat, bagi menimbulkan kecelaruan dan keraguan terhadap keupayaan Pakatan menjaga kepentingan bangsa, masih dianggap kelompok penentu dalam PRU13.

Kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu, menjadi tumpuan dan perhatian istimewa. Kebetulan PAS, secara tradisi diberi kepercayaan oleh Pakatan Rakyat dan juga sekutunya, seperti Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif, sebelum ini, untuk menyaingi calon-calon Umno di kawasan tersebut. Perkampungan tradisi dan penempatan Felda bakal menyaksikan apakah slogan "PAS Ganti Umno" diterima majoriti orang Melayu.

"Fasa akhir persediaan pilihan raya BN, isu-isu agama akan jadi senjata utama Umno, termasuk bantuan besar-besaran kepada sekolah pondok. Tengok saja kenyataan Nurul Izzah dimainkan. Ketika mana Umno jadi konservatif, PAS pula yang menjadi progresif," ujar seorang rakan, pensyarah media.

Secara keseluruhannya, biarpun prestasi 2008, dari segi jumlah kerusi Parlimen, telah meletakkan PAS pada kedudukan ketiga berbanding KeADILan dan DAP, ia  tetap menjadi sandaran terpenting bagi merealisasikan impian rakyat Malaysia yang cukup mendambakan perubahan.


Saya tertarik dengan pandangan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang,  andaikata Pakatan Rakyat memenangi semua kerusi Parlimen yang mempunyai lebih 30 peratus pengundi Cina, ia hanya akan membentuk 40 peratus daripada keseluruhan kerusi, iaitu tidak cukup untuk mencapai bilangan majoriti.

Daripada 222 kerusi, hanya 34 mempunyai komposisi pengundi Cina sebagai majoriti. Sejumlah 55 kerusi lagi masyarakat Tionghua membentuk 30-50 peratus bilangan pengundi, dan bagi Kit Siang, walaupun Pakatan mampu memperolehi 80 peratus undi Cina di kerusi berkenaan, untuk menang, ia masih memerlukan di antara 35-40 peratus sokongan komuniti lain.  Umumnya, 89 kerusi (40 peratus) mempunyai pengundi Cina di atas 30 peratus.

Ia juga sebagai nota atau peringatan penting kepada mereka yang begitu obses dengan trend mengundi masyarakat Cina dan meletakkan harapan terlalu tinggi kepada kerusi-kerusi yang mana jumlah pengundi Tionghua melebihi 30 peratus.

Lagipun, parti yang tidak mendapat sokongan menyeluruh semua kaum, bukan sahaja sukar menang, malah kalaupun berjaya (dengan kelebihan kerusi yang kecil), ia mungkin mudah "diganggu kestabilannya".    

Nah, jelas sekali, fungsi dan peranan PAS yang begitu penting tetapi kritikal itu, dengan segala kompleksiti cabarannya, harus diperincikan oleh perwakilan dalam muktamar nanti. Dalam masa sama, isu-isu sampingan dan picisan, yang cuba dipancing oleh propagandis Umno, tidak sepatutnya menghanguskan masa berharga pembahas. Provokasi media talibarut Umno, yang secara tiba-tiba dilihat sarat dengan nada simpati dengan perjuangan Islam, tidak perlu dilayan.   

Tanpa meminggirkan kepentingan mengolah dan menggarap "isu-isu sensitif Melayu" dengan penuh hikmah dan bijaksana, serta memandang serius dakyah-fitnah Umno, yang bertujuan membakar sentimen perkauman, saya yakin PAS sudah cukup dewasa dan matang berdepan perangkap seteru politiknya itu. Masakan dalam kesempatan di muktamar yang penuh bermakna dan strategik itu, perwakilan dapat dipengaruhi jarum-jarum halus sehingga  "bersilat lidah sesama sendiri".  

Berdasarkan pengalaman sebelum ini, hatta ketika parti berdepan "sedikit kocakan dalaman", saya perhatikan muktamar tetap berjalan secara teratur dan penuh adab. Ada kalanya timbul perdebatan agak panas, namun apabila kepemimpinan parti, terutama Presiden, membuat ucapan penggulungan dan memberikan respons terhadap persoalan yang dibangkitkan, ia diterima baik para perwakilan dan ahli-ahli PAS seluruhnya.


"Fokus perbincangan mesti ditumpu kepada strategi PAS untuk menang dalam PRU13 dan persiapan parti bersama Pakatan  untuk mengisi kemenangan," tegas Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali. Katanya, perbincangan secara serius bagi mengisi kemenangan, bukanlah terlalu awal bagi PAS dan Pakatan  kerana kepada BN, PRU13 merupakan pilihan raya yang akan menentukan hidup mati parti itu sendiri. Ini bermakna muktamar kali ini bukan lagi sekadar membincangkan strategi untuk mencapai kemenangan.   

Dalam nada sedikit berbeda, tetapi dengan penekanan sama kepada perwakilan muktamar, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dalam interbiu khas bersama Harakah, 13 Nov lalu, mengingatkan: "Kita tidak boleh menganggap mudah untuk ke Putrajaya kerana untuk ke Putrajaya bukan sahaja dengan slogan atau semangat yang berkobar-kobar pada zahirnya. Tetapi, mestilah dengan kegigihan jihad, pengorbanan dan keikhlasan kita dalam menjalankan kerja yang baik dan strategi yang baik. Ini sangat penting, sebab itu saya tidak mahu ahli-ahli PAS ini berdegar sahaja, bercakap sahaja atau berslogan sahaja."


II. Malang berganda  keluarga Cikgu Bakar, Ustaz Nazri


Agak lama tidak mendengar khabar lebih sepuluh keluarga tahanan ISA di Tawau selepas mengunjungi mereka 25 April lalu, sehinggalah SMS Syukri Razab, Penyelaras Suaram, yang juga aktivis Gerakan Mansuh ISA (GMI), mengejutkan saya.

Dalam tempoh sebulan ini, saya lebih tertumpu untuk mencari dana bagi membantu keluarga besar  bekas tahanan ISA di Sandakan. Selepas suaminya dibebaskan dari Kamunting empat tahun lalu, Norhatta dan tujuh anaknya masih perlu perhatian, apatah lagi mereka kembali terpisah apabila Jamal dipenjarakan di Filipina.

Alhamdulilah, sumbangan Harakah dapat membawa mereka menemui orang tersayang di Manila. Isteri dan anak-anak Jamal dijangka pulang ke Sandakan hujung November ini.

Sebenarnya Syukri ingin memaklumkan kepada saya, tahanan ISA, Bakar Baba,  masih dikurung di Kemta, telah ditamatkan perkhidmatannya sebagai guru di Sekolah Menengan Kebangsaan Umas-Umas, Tawau, berkuatkuasa 2 Mei lalu.

Ekoran itu, keluarga Cikgu Bakar hilang sumber pendapatan. Lebih parah apabila pinjaman rumah yang didiami keluarga berkenaan sudah tertunggak memasuki bulan kelima, dengan bayaran bulanan RM598. Seramai lima anaknya masih bersekolah. Isterinya, Zoharna Abd Razak tidak bekerja.

Saya segera menghubungi Yang Dipertua PAS Tawau, Muhamad Husain. Sebulan lalu, ketika mengunjungi Pejabat Harakah sebulan lalu, bersama Mohd Aminuddin Aling, Pesuruhjaya PAS Sabah dan Setiausaha Perhubungan, Ustaz Awang Laiman Ikin, beliau sempat memberitahu saya, dua tahanan ISA dibuang kerja.

Mungkin disebabkan perbincangan kami lebih tertumpu isu lain -- sekitar perkembangan terbaru politik Sabah selepas penyertaan beberapa ahli Parlimen dan pemimpin kanan BN Negeri bersama Pakatan Rakyat -- saya teralpa untuk bertanyakan lebih lanjut hal ISA.

Muhamad Husain kemudiannya  berjanji cuba menghantar salinan  surat tindakan tatatertib itu melalui faksimili. Bagaimanapun, pagi 13 Nov lalu, dalam perjalanan dari Nilai ke Kedah, dan seterusnya ke Kelantan bagi mengikuti muktamar PAS, beliau menelefon saya, untuk bertemu di Harakah, bagi menyerahkan surat berkenaan.

Sepintas lalu, melalui surat Dato' Dr Rosli Mohamed, Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan, saya tertarik dengan halaman kedua, yang memutuskan bahawa  Cikgu Bakar, 36 tahun, yang ditahan ISA, sejak 14 November 2011 "telah melanggar Peraturan 4(1) Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di mana seseorang pegawai hendaklah pada setiap masa memberi taat setianya kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan".

Cikgu Bakar didapati bersalah dan dikenakan hukuman buang kerja berkuatkuasa serta-merta pada 2 Mei 2012.

Rupanya, seorang lagi mangsa ISA, Ustaz Mohd Nazri Dollah, 37, yang ditahan kali kedua pada 6 Januari 2012 turut dikenakan tindakan tatatertib. Guru agama Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan, Tawau ini, melalui mesyuarat Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran pada 12 Jun 2012, telah dikenakan perintah gantung kerja berkuatkuasa mulai tarikh ditangkap "tanpa dibayar sebarang emolumen dalam tempoh penggantungan kerja itu".

Saya terus menghubungi isteri Ustaz Nazri, Normahal @ Zainab. Beliau yang juga mempunyai lima anak memberitahu, tiada makluman rasmi penggantungan kerja suaminya sehinggalah didapati gaji Ustaz  Nazri tidak dibayar  seperti biasa pada bulan Julai melalui akaun bank.

Pengetua sekolah hanya menyerahkan surat gantung kerja itu selepas Zainab berjumpanya untuk mendapat jawapan. Sudah pasti Ustaz Nazri sendiri, yang dikurung di Taiping, tidak menerima surat ditandatangani Tan Sri Dr Zulkurnain Awang, bertarikh 25 Jun itu.

Semasa di Tawau lebih enam bulan lalu, saya dan isteri sempat bertanya khabar keluarga Cikgu Bakar dan Ustaz Nazri. Kami juga singgah seketika di rumah Zainab yang cukup sederhana. Penderitaan mereka kini bertindan-tindih.

Ya, kezaliman di atas kezaliman. ISA yang tidak pernah membuktikan kesalahan seseorang masih belum dikuburkan. Kalau dahulu, jarang sekali tahanan ISA digantung kerja, apatah lagi dibuang kerja, kini, azab mereka lebih pedih dan keluarga tidak berdosa terpaksa menanggungnya.


Itu belum dikira prosedur penggantungan atau pembuangan kerja tahanan ISA, yang langsung tidak memberi ruang pembelaan diri. Bayangkan, isteri masing-masing langsung tidak dimaklumkan tentang tindakan disiplin itu, apatah lagi suami terseksa, yang  jauh melangkaui Laut Cina Selatan.

Baca Seterusnya......

Umno yang berdosa, mengapa Pakatan pula yang dicurigai?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Himpunan Kebangkitan Rakyat, 3 November, di Seremban Jaya membawa mesej jelas; momentum tsunami perubahan kini berada di jajaran yang cukup melegakan. Hujan lebat langsung tidak menjejaskan penyertaan proaktif penduduk Negeri Sembilan dan masyarakat sekitar, seterusnya menunjukkan sokongan padu kepada kempen "Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia"

Hampir 30,000 menjadi saksi kesepaduan tiga parti -- PAS, KeADILan dan DAP -- untuk menggembleng hasrat dan aspirasi rakyat, bagi melakukan perubahan besar dan cukup bererti dalam PRU13 nanti. Keserasian yang dibina secara formal sejak 1998, walaupun pada satu ketika ada pasang surutnya, ternyata kini sukar untuk dirobek. Dan himpunan itu seperti mahu menzahirkan, bahawa apa pun rintangan menghalang, ia tidak seharusnya membantut usaha lebih murni, bagi menyelamatkan  tanahair tercinta daripada mangsa kerakusan pemimpin BN.

Ketua Pemuda DAP, yang juga Ketua Pembangkang di Dun Negeri Sembilan, Anthony Loke, dalam pidatonya pada majlis berkenaan, yang disorak tepukan bergemuruh, mengungkapkan: "Jika agama Buddha dihina, saya yakin pemimpin PAS akan mempertahankannya. Kalau agama Hindu dan Kristian dihina, saya yakin KeADILan akan mempertahankan. Kalau agama Islam dihina, DAP akan mempertahankannya."


Saya kira angan-angan pemimpin Umno untuk mengadu-domba pemimpin PAS dan DAP, seterusnya menimbulkan rasa curiga, apatah lagi menyemai bibit sengketa, di kalangan penyokong kedua-dua parti, semakin berderai dengan komitmen bersama yang ditunjukkan pada malam Ahad itu. Bukan sahaja terjalin persefahaman yang baik di kalangan pemimpin atasan, malahan kerjasama padu di peringkat akar umbi.

Di kala majoriti masyarakat bertambah yakin dengan keupayaan Pakatan untuk mengambil alih kerajaan persekutuan, masih timbul kecelaruan pemikiran dan usaha terancang memomokkan bahawa kepentingan Melayu akan terabai di bawah kerajaan baru nanti, manakala kebejatan pemerintah akan disalin-ganti oleh penguasa yang baru. Dakwa kelompok ini, apa guna kerajaan bertukar jika reformasi menyeluruh gagal dilaksanakan.

Strategis Umno masih menggunakan pendekatan lapuk, yang diwariskan Biro Tata Negara dan jentera kempen turun-temurunnya, iaitu untuk merenggangkan (atau sekurang-kurangnya meragukan) orang Melayu dengan Pakatan. Pelbagai fantasi dan falasi direka, semata-mata untuk menimbulkan kegelisahan tidak berasas. Sesungguhnya tiada lagi aset kekuatan BN untuk melobi sokongan rakyat, selain melancarkan dakyah dan perang saraf bagi memburukkan oposisi.

Sudah pasti kaedah itu tidak lagi berkesan seperti dahulu, namun saya bimbang masih ada -- termasuk mereka yang berpendidikan tinggi dan menempati kelas menengah -- yang terus terpedaya, sehingga ragu-ragu untuk melakukan perubahan walaupun menyedari elit politik Umno-BN berlaku curang, mengkhianati amanah rakyat dan memperdagangkan sokongan awam.

Saya tertarik dengan tulisan Nurul Izzah Anwar bahawa tiang teras kenegaraan seperti Perlembagaan teras demokrasi, institusi Raja-Raja Melayu, Islam Agama Persekutuan, Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputara tetap akan terpelihara dan terjamin walaupun berlaku perubahan di Putrajaya.

Namun masih ada juga yang curiga, mampukah Pakatan yang berkuasa nanti dapat membanteras rasuah dan segala penyelewengan, selain memulihkan demokrasi, membela kebajikan rakyat, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memastikan pengagihan khazanah negara lebih adil?

Tiada siapa dapat memberi jaminan seratus peratus bahawa, misalnya korupsi yang sudah membarah dan mengakar dalam setiap sektor  kehidupan, sejak dibudayakan elit Umno lima dekad lalu, dapat dihapuskan segera sebaik pemerintahan bertukar tangan. Begitu juga dengan pelbagai skandal, kecurangan dan ketirisan yang lain? Dalam tempoh singkat, ia amat menuntut dan menagih keazaman politik yang begitu tinggi, serta terpaksa menempuh cabaran dalaman dan luaran yang cukup sengit.

Dr Siddiq Fadzil mengungkapkan fenomena itu dengan baik sekali: "Untuk mengamankan dirinya daripada gugatan, seorang pemimpin korup biasanya akan berusaha agar orang lain juga jadi korup. Apabila semuanya sama-sama korup, maka tidak siapa pun yang akan berani menuding orang lain sebagai korup. Dalam kaitan ini, Ajib Rosidi menyebut bahawa dosa Soeharto sebenarnya tidak hanya melaksanakan korupsi tetapi lebih daripada itu beliau telah membudayakan korupsi dengan membuka ruang agar mereka yang di kelilingnya juga melakukan perbuatan sama. Dengan demikian lahirlah budaya "korupsi secara berjemaah".

Saya sendiri menaruh sedikit syak tentang kemampuan Pakatan merealisasikan janji-janjinya menyelamatkan negara daripada seribu satu penyakit kronik itu. Soalnya, apakah dengan kecurigaan itu membuatkan kita perlu membeku di takuk lama dan membiarkan kemungkaran BN berleluasa?

Tentulah tidak! Kerajaan BN yang memerintah hampir 60 tahun itu, sehingga telah "sempurna" segala kebobrokan dan kejahatannya, wajib ditukar. Hal itu tiada kompromi lagi. Peluang mesti diberikan agar Pakatan -- bersama-sama gerakan rakyat -- menerajui perubahan dan melakukan proses reformasi ke akar umbi.

20120814-034910

Lebih jauh lagi, saya turut mengesan persoalan berbangkit seterusnya, apakah Pakatan perlu menanggung beban dosa pemimpin Umno-BN selama ini, apabila kita turut menghukum lebih awal, dengan andaian (dan sangkaan buruk) pemimpinnya yang bakal berkuasa nanti juga pasti mengulangi kesalahan sama? Tentulah tidak adil sama sekali, 'kan?

Saya dapat memahami, sebahagian kita, yang sudah muak dan jelak dengan jenayah BN mengkhinati amanah kepimpinan ini, mudah pesimis dan seakan-akan menyerah kalah. Pada mereka, sesiapa saja yang menang dalam pilihan raya dan kemudiannya berkuasa, akan melupakan segala janji manis serta kembali kepada tabiat buruk penguasa rakus, seperti rasuah, curang, boros, membazir, pentingkan kroni dan suku-sakat, ego-takbur .... 

Ya, setiap manusia terdedah kepada kelemahan dan kesilapan, terutama mereka yang berada di singgahsana kuasa, termasuk saf kepemimpinan PAS, DAP dan KeADILan. Prinsip perjuangan yang suci tidak semestinya dapat menahan kerakusan dan membentengi ketamakan. Tidak mengapa jika anda rasa perlu terus mencurigai penguasa baru nanti.

Namun, jalan penyelesaiannya mesti ada dan ini telahpun ditawarkan oleh Pakatan. Justeru, siapa pun yang bertakhta, kuasa mesti disekat dan dipisah-pisahkan. Pemerintah tiada lagi kuasa mutlak, dan harus ada faktor semak dan imbang, serta pemantauan langsung rakyat, di samping pemantapan institusi strategik seperti Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Audit Negara, badan kehakiman dan jaminan media yang independen.

Lord Acton pernah mengingatkan: "Power tends to corrupts and absolute power corrupts absolutely." Montesquiue turut merumuskan: "Apabila seseorang memiliki kuasa yang kuat, maka kecenderungan untuk menyalahgunakan kuasa adalah tinggi. Dengan itu, kuasa mesti dipisah-pisahkan."

Secara umumnya, mana-mana kerajaan yang baru dipilih, bukan sahaja cuba sedaya mungkin mengotakan janjinya, setidaknya bagi menunjukkan kelainan daripada regim terdahulu, malah sukar untuk sewenangnya menyalahgunakan kuasa. Umno yang berkuasa sejak 55 tahun merdeka, begitu arif dengan kelemahan sistem dan ketempangan penguatkuasaan, sehingga dapat (mahir dan cekap) berkomplot  untuk "merampok" kekayaan negara dan melakukan siri pengkhianatan.

Rakyat selama ini hanya dirujuk dan diusung bagaikan raja pada hari mengundi; selepas itu ditinggalkan dan diremehkan. Pakatan menjanjikan tiada lagi gejala elit politik menguasai dan menentukan segalanya buat rakyat. Negara harus dibangunkan dan dikendalikan bersama. Masyarakat sivil akan berkembang. Partisipasi politik bertambah rancak, melibatkan segenap lapisan masyarakat.

Kuasa akan dikawal dari dua arah. Pertama, dari atas, ketundukan dan pengabdian kepada Allah. Kedua, dari bawah, pemantauan berterusan rakyat. Proses pembodohan massa akan dihentikan, sebaliknya berlaku pemerdayaan umat. Rakyat akan dimerdekakan dan seterusnya berlaku proses pencerahan. Cengkaman berbentuk akta drakonian dibatalkan, budaya takut dipecahkan. Aliran maklumat bebas untuk dikongsi. Ilmu dan ilmuwan akan dimartabatkan.

Selagi kedaulatan rakyat diiktiraf, suara ramai didengar, rintihan golongan minoriti dipandang berat, institusi syura diimplementasikan,  ilmu dan kebenaran dihormati, saya percaya sebagai permulaannya ia sudah memadai.

 Satu lagi aspek yang saya lihat cukup istimewa ialah sikap penyokong Pakatan. Mereka sukar untuk digula-gulakan atau dijadikan seperti "lembu kenyang". Latihan perkaderan dan pendedahan selama ini meletakkan mereka begitu sensitif dengan tunas-tunas penyelewengan, salahguna kuasa dan korupsi yang mungkin dilakukan pemimpin Pakatan. Selain berdirinya institusi penguatkuasa yang kompeten, cekap dan berintegriti, rakyat juga akan bertindak untuk menolak penguasa curang.

Lazimnya, mana-mana penguasa tidak akan bersedia secara sukarela untuk dibatasi kuasa dan pengaruh mereka. Rakyat mesti bangun menuntut dan memperjuangkan hak mereka, serta berperanan proaktif untuk merombak sistem dan struktur pemerintahan. Oleh itu, proses reformasi tidak boleh ditangguh sebaik Pakatan berkuasa. Dan ia mesti digerakkan bersama; jangan memberi cek kosong kepada orang politik, apatah lagi kelompok teratas.

Saya cukup yakin, berdasarkan pengalaman tokoh-tokoh utama Pakatan, jiwa besar pemimpinnya, prinsip perjuangan yang teguh, kebijaksanaan membaca realiti, kewarasan berdepan provokasi, insya-Allah negara ini akan melangkah ke era yang lebih baik selepas berlaku perubahan besar dalam PRU13 nanti.

 Ia Rakyat yang berdaulat akan terus memastikan tiada lagi pengkhianatan terhadap mandat majoriti, dan mereka nescaya segera bangkit memperbetulkan  kepincangan sebelum tradisi hodoh BN yang dikuburkan itu tidak mampu bangkit lagi!

Baca Seterusnya......