Wednesday, March 27, 2013

Lahad Datu lupakan rakyat Sabah dengan isu lebih kritikal?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Tragedi pencerobohan Lahad Datu sudah melangkau menjadi isu politik daripada persoalan keselamatan semata-mata. Sememangnya politik dan keselamatan mempunyai kaitan yang rapat. terutama di negara-negara membangun.

 Peristiwa pengeboman Menara Berkembar Amerika Syarikat pada 11 September 2011 mempunyai implikasi besar bukan saja kepada lanskap politik dunia, malah kepada bentuk laporan media menentang terorisme. Apatah lagi dalam konteks Malaysia hari ini, semua perhatian tertumpu kepada PRU13, pilihan raya paling sengit dalam sejarah dan rakyat dilihat bersedia untuk melakukan perubahan di peringkat kerajaan persekutuan.

Dato' Seri Najib Razak berada dalam posisi cukup sukar. Selain risau untuk melengkapkan teori pusingan nama-nama Perdana Menteri Malaysia, R.A.H.M.A.N, kedudukannya juga terancam jika gagal mengembalikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen, apatah lagi jika gabungan parti itu tewas kepada Pakatan Rakyat.

Berdasarkan laporan media dan juga siri kenyataan Najib (di merata tempat) serta pemimpin utama BN lainnya, isu Lahad Datu yang mengorbankan sepuluh perwira negara itu telah dimanipulasi sepenuhnya demi kepentingan politik dan survival kuasa.

"Atas nama keselamatan negara, kedaulatan tanahair dan ketenteraman awam, seluruh rakyat bersatu ... ya, sebenarnya Najib mahu rakyat berpadu untuk melangsungkan kerakusan dan ketamakan kuasa BN!" seorang rakan saya di Peringkat, Kelantan, menghantar SMS.

Penganalisis politik Sabah, Musli Oli, yang juga aktivis KeADILan, pada 13 Mac lalu, turut mengingatkan saya: "Insiden Lahad Datu hampir menutup mata rakyat Sabah terhadap isu-isu yang sekian lama menghantui mereka. Soal hak dan masa depan, isu Perjanjian Malaysia, Perkara 20, kemiskinan, pengangguran, kes RM40 juta dan USD90 juta, polisi kabotaj, kenaikan harga barang keperluan, kemudahan asas yang teruk.

"BN berjaya jadikan tragedi berdarag dan airmata untuk raih simpati rakyat sehingga rakyat Sabah lupa isu-isu asas. Korban nyawa menjadikan rakyat sedih dan takut untuk lakukan perubahan. Itulah matlamat BN dan mereka telah berjaya."

Selain konflik berdarah ini menunjukkan petaka besar "Projek IC", saya lebih cenderung untuk melihatnya, sepertimana penegasan Bekas Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Dato' Ghafir Abdul Hamid yang mengungkitkan soal keupayaan ketenteraan kita, antaranya proses  kerajaan membeli senjata mahal secara tender rundingan terus dan bergantung kepada satu penender semata-mata, sehingga mewujudkan perbezaan harga yang ketara berbanding pembelian negara lain.

"Banyak kos-kos tersembunyi. Kita boleh tanya apa dia kos tersembunyi? Termasuklah komisyen. Kalau orang kaya dipanggil komisyen, kalau mata-mata di tepi jalan dipanggil rasuah," katanya.
 

"Apabila beli senjata sentiasa kita balik kepada pembekal untuk dapatkan alat ganti. Apabila senjata itu rosak kena hantar ke London, Perancis atau sebagainya. Ia makan duit yang banyak. Sektor penting juga tidak dibangunkan. Umpamanya kalau kita tengok berek. Berek tentera Kem Rasah, kalau tengok dari luar memang cantik. Masuk dalam, tengok dia punya jamban!" tegasnya dalam majlis ceramah di Seremban, 17 Mac lalu.

-----
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) memerlukan sumbangan orang ramai bagi membiayai projek penerbitan bahan bercetak untuk kempen PRU13, antaranya untuk kos percetakan sisipan BANGKIT bagi edaran percuma. Salurkan sumbangan ada kepada akaun Maybank KAMI MEDIA 514075606399. Tulisan Ahmad Lutfi ini dipetik dari kolum SIMPUL MATI dalam BANGKIT terbaru.
 

Baca Seterusnya......

Operasi cerdaskan minda pengundi PRU13

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Kemenangan Pakatan Rakyat mahupun BN dalam PRU13 dilihat banyak ditentukan oleh pengundi Melayu. Walaupun trend mengundi masyarakat Tionghua tidak sukar diramal dan Umno-BN bakal berputih mata dengan sikap mereka, namun kompleksiti orang Melayu untuk membuat pilihan rancak dibincangkan.

 Sejak awal, selepas tsunami politik lima tahun lalu, pemimpin Umno seperti sudah berkerat rotan, dalam usaha meraih kembali sokongan pengundi Cina yang telah menyelamatkan BN dalam Pilihan Raya Umum 1999, menyaksikan protes terbuka orang Melayu kepada Dr Mahathir Mohamad dan BN.

Justeru, masyarakat Melayu pasca PRU 2008 menjadi sasaran utama momokan propaganda jahat dan sentimen kebencian Umno. Media yang dimiliki suku-sakat kerabat Umno-BN dan dikawal ketat penguasa tidak segan silu menabur fitnah, mendorong politik jahat, mengulangsiar tohmahan dan menyemarakkan lagi api perkauman.

Bukan saja DAP, salah satu komponen Pakatan,  dilabel sebagai "penindas Islam" (seperti ucapan Perdana Menteri di Kuala Terengganu baru-baru ini), malah PAS ditohmah sebagai parti yang rela menggadaikan prinsip perjuangan  demi meraih sokongan ke Putrajaya. Tiba-tiba saja Umno mendakwa sebagai wira Islam sekali gus cuba merendahkan kredibiliti seteru utamanya, PAS.

  Jelas sekali, sementara politik baru -- yang lebih beroreintasikan isu dan kepentingan umum dan kurang berasaskan kaum dan kelas -- semakin mendapat tempat, namun elit pemerintah Umno-BN yang terancam dengan kesedaran massa, terus mahu berpaut dengan sentimen perkauman dan keagamaan yang sempit. 


Hanya atas slogan "Hidup Melayu", pemimpin Umno cuba menutup sosok sebenar mereka. Sedangkan pengalaman hampir enam dekad memerintah menyerlahkan siri pengkhianatan Umno terhadap amanah bangsa. Demi mempertahankan saki-baki kekuasaan, segalanya dikerah bagi menjamin pengundi Melayu tidak beralih arah.
 
Sisipan "Bangkit" (dalam akhbar Harakah) kali ini berusaha menawarkan informasi lebih menyeluruh, untuk menyanggah serangan berterusan media Umno yang bertujuan menjauhkan orang Melayu dengan Pakatan.

Diharap naskhah lapan halaman "Bangkit" ini  dapat mencerdaskan lagi pemikiran dan mematangkan pertimbangan pengundi agar dapat membuat pilihan tepat, berdasarkan informasi mencukupi dan bukannya dibakar emosi melulu.

Berbicara soal kepentingan media dalam PRU13, saya tertarik dengan ungkapan Presiden Wadah, Dr Siddiq Fadzil: "Media selalu melakukan pencitraan palsu sehingga yang tampak  bukan citra hakiki sebuah parti, dan bukan wajah asli seseorang calon.

"Pemalsuan citra yang begitu berleluasa, pasti akan mencederai demokrasi, kerana ia bererti menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat yang benar, lengkap dan seimbang tentang calon dan parti yang bertanding."

Sebenarnya kami tidak berhasrat untuk terjun ke lubuk polemik berkaitan siapa wira dan siapa pula pengkhianatan di kalangan orang Melayu, satu perdebaran yang sebenarnya tidak perlu pun.

Sesuatu dasar, polisi atau rancangan kerajaan  tidak wajar dinilai dari perspektif kaum tertentu. Apa pun, sanggahan tepat mesti dibuat langsung ke atas mesin propaganda dan pembohongan Umno yang berterusan menggunakan dana awam itu.

Malaysia terlalu kaya dan makmur untuk dikongsi secara adil oleh lebih 28 juta warganya. Namun,  ketamakan dua tiga kerat elit politik dan kroni mereka sudah cukup untuk membankrapkan (dan memusnahkan) negara tercinta.

Di bawah pendekatan politik kuno Umno-BN, rakyat negara ini terpecah-pecah, saling sangsi dan curiga di antara satu sama lain. Sesiapa yang pernah mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) akan faham bagaimana indoktrinasi berbahaya itu terus diwarisi zaman berzaman.

Harakah dan sisipan Bangkit tentu memerlukan kekuatan luar biasa melakukan "pencerahan" di waktu kritikal ini, di samping memurnikan tanggapan pembaca yang dikelirukan oleh pencitraan palsu, seperti dinukil Ustaz Siddiq itu.

Semasa kami berusaha mempertingkatkan mutu laporan dan kualiti persembahan, tentu sekali aktivis PAS dan Pakatan sedia bersikap proaktif memastikan pengedarannya lebih meluas, terutama di lokasi yang belum terdedah dengan media baru.

Sebenarnya naskhah Bangkit ini boleh dicetak secara berasingan dan pihak yang berminat boleh membuat tempahan terus kepada pihak pencetak, dengan bayaran berpatutan. Masih ramai pengundi yang belum dibekalkan maklumat bermanfaat bagi mencerdaskan minda.

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang saya terajui juga sedang menjalankan kempen mengutip dana bagi membiayai projek penerbitan khusus untuk PRU13. Sumbangan boleh disalurkan terus dalam akaun KAMI MEDIA Maybank 514075606399.

------

Tulisan ini dipetik dari kolum SIMPUL MATI dalam sisipan Bangkit, akhbar Harakah 

 

 

Baca Seterusnya......

Iktibar Lahad Datu: Apa jadi kalau negara diserang kuasa luar?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Saya kerap diperingatkan agar lebih cermat dan berhati-hati apabila mengulas isu Lahad Datu. Beberapa artikel yang disumbangkan oleh rakan-rakan, menyentuh tragedi berdarah di Sabah itu, terpaksa ditolak.

 Saya sendiri mengedit berkali-kali catatan di kolum ini sehingga banyak perenggan dipotong dan mungkin kehilangan makna asal.

"Elakkan bahan-bahan sensitif dan boleh mengundang salah tanggapan. Ia membawa natijah buruk kepada parti, jika Harakah dilihat merendah-rendahkan pasukan keselamatan," begitulah salah satu peringatan yang saya terima.

Saya cuba mematuhi nasihat itu, selain memegang amanat Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, agar "berpantang" di waktu kritikal menjelang PRU13, iaitu jangan mendedahkan diri dan parti dengan kesilapan -- walaupun kecil --  yang boleh membawa padah.

Semasa kita berusaha mengelak daripada terjerumus dalam polemik yang berisiko ini, pihak Umno-BN semakin ghairah mempolitikkannya. Tiba-tiba saja isu ini menjadi senjata utama untuk menggagalkan usaha Pakatan Rakyat ke Putrajaya. Sudahlah cadangan mengadakan sidang khas Parlimen membincangkan kes Lahad Datu ini ditolak, tiada usaha mengumpulkan setiap potensi kekuatan yang ada, bagi menanganinya dengan tuntas.

Justeru, tidak pelik jika bidasan Dr Abd Aziz Bari, bekas profesor undang-undang UIAM,  terhadap pengendalian kes di Lahad Datu, dalam Harakah keluaran Jumaat lalu, ditanggapi sebagai usaha memperlekeh pihak tentera dan polis.

Sedangkan pakar perlembagaan itu mempunyai hujah kuat: "Prestasi angkatan tentera dan pasukan polis boleh dinilai dan kalau tidak memuaskan boleh dikritik. Kalau badan kehakiman sendiri pun boleh dikritik, apa alasan yang menjadikan kedua-dua organisasi yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatan awam Persekutuan itu kebal daripada kritikan?"

Saya perhatikan kebanyakan teguran itu, seperti banyak diluahkan dalam media sosial, adalah berdasarkan kepentingan awam dan semangat cintakan tanahair, serta lebih ditujukan kepada "keputusan politik".

Mereka tidak mahu lebih ramai perajurit terkorban hanya disebabkan kesilapan atau kealpaan pihak atasan. Lebih penting, maruah dan kedaulatan negara tidak boleh dipertaruhkan dengan pelbagai strategi dan langkah taktikal yang "nampak mengelirukan". Malang sekali, luahan tidak puas hati itu mudah dilabelkan sebagai "pengkhianat negara".

Kritikan sebenarnya lebih ditujukan kepada kelemahan agensi perisikan negara dan bagaimana kes pencerobohan itu ditangani "secara salah" bermula sejak hari pertama lagi. Rakyat menuntut tahap profesionalisme yang tinggi tanpa campur tangan politik.


Bekas Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Dato' Ghafir Abdul Hamid menyifatkan faktor risikan tentera yang lemah dan diguna untuk matlamat politik menyebabkan musuh menceroboh perairan dan membolos masuk.

Beliau mendakwa, mulai tahun 2000, aset dan keupayaan Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Angkatan Tentera Malaysia cenderung digunakan untuk operasi politik. "Selama 13 tahun mereka hilang kepakaran dan aset untuk melaksanakan tugas utama untuk merisik," tambahnya.

BSSP dilihat sibuk memantau aktiviti Pakatan Rakyat dan mengekori pemimpinnya, malah perisikan tentera dikatakan mempunyai kemahiran (dan ketepatan) jauh lebih tinggi daripada Polis Cawangan Khas dalam "kajian politik" mereka.

Ia bukan saja diperalat untuk berdepan oposisi dalam pilihan raya umum tetapi juga dipergunakan pemimpin Umno untuk bersaing sesama sendiri, terutama menjelang perhimpunan agung parti itu. Dato' Seri Najib Razak yang pernah menjadi Menteri Pertahanan dalam tempoh yang lama amat arif hakikat ini.


Sebelum itu, Brigadier Jeneral (B) Dato' Abdul Hadi Abdul Khatab turut mengkritik kelewatan membuat keputusan, termasuk menyerahkan operasi awal kepada pihak polis. Keputusan menentukan menyerang musuh juga mengambil masa lama. Lebih buruk, perisikan juga  gagal mengenal pasti identiti dan keupayaan persenjataan musuh.

Berbicara soal integriti pasukan keselamatan kita, ia turut mengingatkan  tentang pendedahan rasuah dan gosip meluas membabitkan kelengkapan persenjataan -- lubuk korupsi melibatkan dana awam yang cukup besar. Rujukan klasiknya sudah pasti kes pembunuhan kejam warga Mongolia, Altantuya Shaariibu, yang dikaitkan dengan Najib dan isterinya.

Ramai pembaca menggesa agar Harakah membongkar korupsi berkaitan perbelanjaan Kementerian Pertahanan. Atas nama keselamatan negara, dana awam banyak dihanguskan melalui transaksi yang tidak telus, tanpa tender terbuka.

"Saya bukan mahu menyalahkan pegawai-pegawai atasan tentera kita, namun ada segelintir daripadanya, saya lihat hanya ghairah melihat peluang bisnes atas angin selepas pencen," kata salah seorang pembaca tersebut.

Ghafir juga berkata  tentera Malaysia berpotensi untuk menjadi pasukan keselamatan terbaik di di Asia Tenggara jika setiap peruntukan digunakan dengan telus. "Saya dah cakap berulang kali mengenai peruntukan yang banyak hilang di tengah jalan," katanya.


Semua maklum, isu melibatkan soal keselamatan dan kedaulatan negara, apatah lagi dikaitkan dengan pencerobohan luar, sering dimanipulasi demi kepentingan politik pemerintah, menggunakan  sentimen patriotisme atau demam nasionalisme.

Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar mengulas dengan baik  hal ini: "Semangat patriotisme dalam krisis sebegini (Lahad Datu) sering akan menguntungkan parti kerajaan. Patriotisme ini dipacu oleh rasa ingin bersatu bersama pasukan keselamatan dalam memenangi krisis ini, sekali gus bersama kuasa politik yang menggerakkan jentera pasukan itu.

"Pasukan keselamatan dan kuasa politik (baca: pemerintah) dianggap setaraf dengan "negara" dan "tanah air" yang wajar dicurahkan sepenuh kesetiaan (tanpa kritik) dan pengorbanan (tanpa batas)."


Sudah pasti insiden yang mengorbankan sepuluh anggota keselamatan itu tidak dapat dipisahkan daripada iklim politik yang menggelegak sekarang. Ia bukan sesuatu yang sukar difahami memandangkan Parlimen sepatutnya sudahpun dibubarkan. Cuma, yang merisaukan, soal keselamatan negara diperjudikan demi kepentingan politik sempit Umno-BN.

Lihat saja bagaimana Naib Presiden KeADILan, Tian Chua digambarkan seolah-olah musuh utama negara, melebihi penceroboh Sulu sendiri. Penjelasan beliau langsung tidak dipedulikan. Begitu juga dengan serangan melulu terhadap Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim hanya disebabkan ada hubungan dengan pemimpin MNLF, Nur Misuari, sehingga timbul ura-ura beliau mungkin ditangkap.

Jumaat lalu, beberapa NGO mesra-Umno, seperti Jati, JMM dan Perkasa, memulakan siri Jelajah "Anwar Dalang Lahad Datu", berdepan Masjid Negara. Peliknya, tiada pula reaksi segera pihak polis, walaupun secara jelas, melalui banner di atas pentas lori (mungkin mahu meniru treler atau bas Pakatan) dan ceramah berapi-rapi Dr Hasan Ali misalnya, Anwar bukan saja menjadi mangsa fitnah, tetapi isu keselamatan telah dipersendakan secara terbuka.


Apa pun, secara peribadi, saya agak resah dengan kritikan terbuka terhadap prestasi dan keupayaan pasukan keselamatan kita.

Meneliti perkembangan dari hari ke hari, serta mengikuti sidang akhbar Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera, timbul pertanyaan: Apakah kita terlalu daif atau pihak musuh (penceroboh Sulu) begitu hebat, sehingga sukar sekali kumpulan kecil itu ditumpaskan? Mungkinkah kes ini bakal berpanjangan menjadi "perang saudara", didorong dendam kesumat tidak berkesudahan?

Mengapa jumlah kematian yang diuar-uarkan jauh lebih besar daripada penemuan mayat musuh? Di peringkat awal, saya menggambarkan, daripada corak serangan ofensif dan agresif, termasuk pengeboman dari udara, dan  membabitkan 7 batalion tentera -- selepas lapan polis terbunuh, kebanyakannya dalam keadaan ngeri -- kemungkinan tiada seorang pun penceroboh terselamat.

Realitinya, berdasarkan lagak Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri, dalam sidang akhbar kemudiannya, mereka seperti masih tercari-cari tentera musuh yang mati. Orang ramai keliru dengan kesan serangan balas pasukan keselamatan kita.

Lebih mengejutkan, dan saya menerima puluhan SMS yang mempersoalkan kawalan perairan kita, apabila dilaporkan tentera laut Filipina berjaya menahan 35 warganya berhampiran Pulau Tawi-Tawi. Ketua Pemerintah Tentera di Mindanao Barat, Lt Jen Rey Ardo dipetik sebagai berkata mereka yang ditangkap itu dipercayai saki-baki penceroboh Sulu yang memasuki Lahad Datu.

Malam Sabtu lalu, seorang rakan, meminta pandangan saya terhadap laporan berita yang memetik kenyatan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Jeneral Zulkifeli Mohd Zin bahawa ketua penceroboh, Azzimudie Kiram dipercayai telah meloloskan diri daripada Malaysia dan kembali ke tempat asalnya di selatan Filipina.

Sekali lagi dipersoalkan kemampuan kita mengawal sempadan negara walaupun ketika segala kekuatan dikerahkan ke sana. Tertanya-tanya juga bagaimana seorang yang digambarkan sudah uzur, berusia 72 tahun, boleh melepasi tiga lapisan kawalan sempadan perairan kita?

"Aku tak dapat bayangkan, misalnya jika serangan  datang dari negara luar, dan tidak tertumpu hanya kepada satu lokasi, apatah lagi berpengkalan di seberang Tambak Johor ...." Begitulah sedutan emel yang saya terima. Kandungan penuhnya sensitif untuk disiarkan, selain bersifat provokatif.  

 

Kolumnis Tan Sri Abdullah Ahmad turut menimbulkan persoalan menarik: "Sedih dan memalukan kerajaan terpaksa tergesa-gesa menghantar segera 5 batalion tentera dan PDRM tambahan dari Kelantan – Pengkalan Chepa/Kok Lanas – selain bantuan tambahan anggota pasukan keselamatan dari Sarawak dan tempat lain.

"Ini baru satu pencerobohan oleh "Rag Army" atau "Dad’s Army" di satu lokasi sahaja! Adakah kita mempunyai kemampuan andainya pencerobohan berlaku serentak di beberapa lokasi di seluruh negara?"

Meskipun berdepan perang psikologi media yang dikawal ketat penguasa, saya masih menaruh keyakinan majoriti rakyat tidak mudah diperbodohkan, termasuk oleh "semangat patriotisme".


Namun begitu,  saya tetap risau dengan rumusan rakan saya, Fathi Aris Omar: "Jika angin patriotisme ini bertiup kencang ke seluruh negara tanpa dapat dihadang-hadang lagi, pembangkang akan tersudut dalam fantasi Putrajayanya sendiri.

"Apatah lagi patriotisme Lahad Datu ini disusuli pula dengan kempen anti-Anwar yang digambarkan sebagai dalang pencerobohan atau anti-Tian Chua  sebagai simbol penghinaan pasukan keselamatan."

Ya, pertarungan merebut hati dan minda pengundi semakin rancak ....

 

II.

Bagi pihak Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan setingginya kepada pembaca Harakah yang menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Maybank, KAMI MEDIA  5140 7560 6399 bagi membiayai proses penerbitan bahan bercetak untuk kegunaan kempen PRU13.

Insya-Allah, dana tersebut akan dimanfaatkan sebaiknya, terutama untuk membekalkan maklumat mencukupi kepada pengundi agar dapat membuat pilihan rasional dan bijaksana. Saya merayu agar bantuan tersebut dapat disalurkan terus.

Sementara itu, khusus buat mereka yang berminat untuk mencetak sisipan Bangkit secara berasingan, tempahan boleh dibuat terus kepada pihak pencetak, dengan harga berpatutan. Maklumat lanjut sila hubungi Angkatan Edaran (03-55237985, 55196373),  Husin (013-3400229) atau Maria (012-3747794).

Baca Seterusnya......

Mencari kambing hitam di Lahad Datu: Anwar bakal ditahan?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Tarikh PRU13 hampir tidak teranjak lagi. Episod hitam di Lahad Datu dan Semporna juga sukar menjarakkannya. Najib Razak memang tiada pilihan, tersepit dalam dilema, petanda kurang yakin dan gelabah untuk mendapatkan semula mandat rakyat.

 Beliau merupakan Perdana Menteri paling lama bertakhta melalui sokongan ramai kepada pendahulunya (Abdullah Ahmad Badawi). Sebelum ini setiap perdana menteri baru berusaha seawal mungkin mengadakan pilihan raya seawal bagi mengesahkan kedudukannya.

Sepatutnya Najib memanggil sidang khas Parlimen, menunjukkan setiakawan seluruh rakyat menyokong penuh pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan negara, mengutuk pencerobohan, sekali gus memberikan perhargaan kepada perwira yang terkorban, serta membantu keluarga yang ditinggalkan, terutama memastikan anak-anak malang itu mendapat pendidikan sehingga ke universiti.

Dan bukannya terus menunjukkan kerendahan budi memainkan politik kebencian dengan mengekspolitasi kenyataan Ahli Parlimen Batu, Tian Chia secara cukup melampau. Walhal Naib Presiden KeADILan itu sudahpun membuat penjelasan di atas kenyataan awalnya yang menimbulkan kontroversi itu.

Reaksi Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Husein di rumah salah seorang balu perajurit yang terkorban jelas menyerlahkan dendam dan amarah tidak terkawal.

Begitu juga dengan respons melulu Timbalan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar terhadap siasaran ke atas Tian Chua, dengan menegaskan pihak polis tidak akan melepaskannya dengan mudah. “Mana boleh lepas?” katanya.
 
Melihat gelagatnya dalam berita TV, saya terasa cukup kurang selesa  dan "menjengkelkan". Dan ini bukan kali pertama Khalid bertindak sebegitu rupa, berbeda sama sekali dengan perwatakan ketuanya, Ismail Omar. (Saya kira panglima angkatan tentera, Zulkifeli Mohd Zin juga dilihat terjebak dalam polemik "sandiwara) yang sengaja diperbesarkan media).
 
Sebenarnya, bagi saya, kritikan atau teguran kepada pasukan keselamatan, hatta membabitkan operasi kritikal seperti Ops Daulat di Lahad Datu, tidak boleh dianggap sebagai "memperlekeh, memperkecil apatah lagi menghina"

Dalam hal ini, saya tertarik dengan ulasan bekas profesor UIAM, Dr Abd Aziz Bari:
"Rakyat adalah pemilik sebenar angkatan tentera dan pasukan polis, bukan Umno-BN. Sebagai pembayar cukai rakyat berhak menilai prestasi kedua-dua angkatan tentera dan polis."

Tambahnya, keselamatan dan kedaulatan negara juga milik rakyat dan mereka berhak menyuarakan pandangan sekiranya mereka berpendapat Kerajaan Umno-BN yang memerintah dikira gagal mengendalikan isu berkenaan dengan baik.

"Prestasi angkatan tentera dan pasukan polis boleh dinilai dan kalau tidak memuaskan boleh dikritik. Kalau badan kehakiman sendiri pun boleh dikritik, apa alasan yang menjadikan kedua-dua organisasi yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatan awam Persekutuan itu kebal daripada kritikan?" soal Dr Aziz.

Justeru, ramai bimbang jika pemimpin Pakatan Rakyat bakal  "dikambing-hitamkan". Serangan berterusan terhadap Anwar Ibrahim dan percubaan mengaitkannya sebagai pengkhianat atau dalang penceroboh, termasuk memanipulasi lagu "Tanya Sama Najib" tidak boleh dipandang ringan, walaupun ia nampak seperti skrip "Maharaja Lawak".


"Mungkin insiden pencerobohan itu akan digunakan oleh anasir tertentu dalam Umno untuk memastikan Anwar sendiri ditahan, disiasat dan seterusnya didakwa di bawah undang-undang keselamatan," kata Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli.

Sedangkan banyak pihak  melihat insiden berdarah itu ada kaitan dengan "Projek IC", inisiatif pemimpin Umno sendiri. Pendedahan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Zaini Othman dalam wacana anjuran Institut Kajian Etnik (KITA) di UKM, 4 Mac lalu sepatutnya mencerdaskan minda.

"Ada di kalangan penceroboh bersenjata itu sudah pun mendapat kerakyatan Malaysia melalui MyKad biru atau status pemastautin tetap di Lahad Datu dan Semporna. Apabila mereka mendarat di daerah Tawau dan memasuki perkampungan di Lahad Datu, mereka sebenarnya bertemu sanak saudara atau pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Seorang rakan menelefon, sehingga Selasa lalu, jumlah kematian penceroboh dicatat 57, tetapi hanya 23 mayat ditemui. "Pelik, 'kan?" katanya.

Selain itu, demonstrasi tiga NGO mesra-Umno di hadapan ibu pejabat KeADILan, 11 Mac lalu hanya membuktikan peluang kebebasan bersuara gagal dimanfaatkan dengan baik. Secara peribadi, saya percaya aksi tunjuk perasaan adalah sebahagian daripada hak asasi yang perlu dipertahankan. Tapi usahlah merusuh sehingga sanggup membaling batu, telur dan kayu pula.

Ketika Pakatan dan masyarakat sivil lainnya dapat menganjurkan siri himpunan, termasuk demonstrasi, dengan aman dan tertib, penyokong Umno-BN bertindak sebaliknya. Majlis ceramah Pakatan diganggu secara tidak bertamadun sama sekali.

Padanlah ketua-ketuanya takut berdebat, juak-juak pula bertindak bacul mengamalkan politik rimba. Dan profesionalisme pasukan polis terus dipersoal kerana ada bukti berlaku "pilih kasih".


Sepatutnya ketika negara menginjak ke era "sistem dua parti", rakyat dapat menyaksikan setiap gabungan berlumba-lumba menawarkan khidmat, polisi dan prestasi terbaik, bukan terkepung dalam budaya politik kuno.

Dr Siddiq Fadzil menjelaskan situasi yang dihasratkan itu: "Kehadiran dua kekuatan politik yang seimbang adalah penting untuk memacu persaingan memberikan khidmat yang lebih baik untuk rakyat. Tanpa saingan dan tandingan yang bererti, parti yang berkuasa akan berasa terlalu selesa dan seterusnya akan mengalami penurunan komitmen dalam memberikan khidmat yang lebih baik."

Zaman  BN mengambil sikap "taken for granted" disebabkan rakyat tiada alternatif memilih kerajaan baru sudah berlaku. Namun perangai hodoh parti yang berkuasa sejak merdeka itu tidak dapat diubah lagi.

Justeru, pengundi perlu proaktif merehatkannya dan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat pula.

Dalam pada itu, SMS seorang rakan, profesor di sebuah universiti, agak mengejutkan saya: "Benarkah ada ura-ura Anwar Ibrahim akan ditahan kerana kes Lahad Datu?" 

Rupanya ramai juga yang risau dengan kenyataan pihak berkuasa, seperti mahu mengaitkan "pihak ketiga" dalam negara sebagai dalang pencerobohan itu.

II.

Menekuni majalah Dian (Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd), yang sarat dengan paparan isu menarik dan titipan ilmu bermanfaat begitu mengujakan saya, apatah lagi menyedari ia diterajui rakan baik saya, Mohd Nasir Awang, dengan sokongan kolumnis yang berkaliber dalam kepakaran masing-masing.

Segera saya terkenang majalah Dian dalam tulisan jawi, koleksi kekanda Dinsman, yang menghiasi rak lama di kampung. Saya membesar dengan tradisi ilmu Dian yang cukup mantap. SUkar dibayangkan, sekitar tahun 70-an ada majalah dapat bertahan dengan tulisan semi-akademik.

Dan kini warisan itu berada di pasaran; sayang sekali, promosi agak kurang dan kehadirannya tidak dirasai. Rumusan saya, anda rugi jika tidak memiliki majalah Dian!

 

Baca Seterusnya......

Dah mengarut ... Anwar nak nyanyi pun tak boleh?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Pagi 8 Mac 2008, saya dan keluarga baru tiba di Kampung Raja, Tunjang, dalam daerah Kubang Pasu, Kedah. Penat memandu dan keletihan menahan mengantuk, ditambah hujan sepanjang perjalanan  dari Kuala Lumpur ke desa kelahiran, membuatkan saya tertidur hingga tengahari.

 Biasa saja hari itu. Langit cerah. Jiran-jiran dan saudara-mara lebih awal turun membuang undi di Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, sekitar 2km dari rumah. Saya sendiri terasa malas untuk menunaikan tanggungjawab lima tahun sekali itu.

Dan, akhirnya, selepas makan tengahari dan solat Zuhur, tanpa dirancang, saya terdorong untuk mengoyak kertas undi, tanda protes terhadap kepincangan sistem dan proses pilihan raya di Malaysia.

Tiada apa yang pelik berlaku selepas itu sehinggalah menjelang maghrib. Sebenarnya, sepanjang hampir dua minggu berkempen -- tempoh yang agak panjang berbanding pilihan raya di zaman Dr Mahathir Mohamad -- saya tidak melihat pun petunjuk bahawa Malaysia rupa-rupanya berada di babak baru sejarah yang sedang dilakar.

Banyak panggilan telefon dan SMS dari rakan-rakan seluruh negara memaklumkan bukan saja satu demi satu kerusi, Dun dan Parlimen, kebanyakannya di kawasan yang tidak pernah diduga, telah dimenangi oleh PAS, DAP dan KeADILan, malah BN tumbang mengejut di beberapa negeri.

Apabila anak saya memberitahu kawannya di Ampang menghantar pesanan ringkas tentang kemenangan Khasim Abd Aziz di Lembah Jaya, Selangor, secara spontan dapat terkesan ia bukan keputusan yang terpencil.

Sebelum menzahirkan kegembiraan, saya minta anak lelaki itu mengesahkan dahulu. Kesyukuran berganda apabila dimaklumkan dua lagi kerusi, iaitu  Dun Bukit Antarabangsa dan Parlimen Ampang, turut dimenangi KeADILan.

Saya menetap di Ampang sejak 1998 tetapi masih setia balik kampung setiap kali pilihan raya. Terlintas bahawa dua undi untuk PAS dari saya dan isteri hanya sia-sia saja di Selangor. Sekurang-kurangnya di Kedah, walaupun daerah Kubang Pasu dianggap kawasan kelabu buat pembangkang, saya masih dapat berangan-angan  untuk melihat perubahan.


Begitulah politik. Ia bukan saja cukup dinamik tetapi sering mengejutkan. Mudah terdedah kepada perubahan luar jangka. Bukan saja Kedah menjadi milik PAS dan KeADILan, negeri termaju Selangor turut menyaksikan BN dan Dr Khir Toyo "menggigit jari".

Jika pada 1999, pengundi Cina dilihat menjadi penyelamat BN sehingga Dr Mahathir memperbanyakkan kerusi-kerusi Parlimen pengundi campuran dan tidak menambah kerusi di Kelantan, Kedah dan Terengganu, tetapi pada 2008, sebahagian besar masyarakat Tionghua dan India bertindak nekad menghukum BN.


Malam 8 Mac itu begitu hening dan syahdu. Menyelinap satu perasaan luar biasa aneh dan lazatnya. Ketika rakan saya, pemberita Harakah Perak, Johari Jaafar menelefon, jantung hampir berhenti berdegup.

Pertama, BN Perak kalah dan ia sudah cukup memeranjatkan. Kedua dan ini lebih tidak terduga, walaupun mempunyai wakil paling kecil bilangannya, kemungkinan besar calon PAS akan dilantik menteri besar. Satu lagi iktibar dapat dikutip.

Mulanya saya ketawa kecil, menganggap khabar itu tidak lebih spekulasi, tetapi selepas Johari atau lebih popular dipanggil JJ menjelaskan, saya terdiam mencari ruang untuk menarik nafas dalam-dalam. Subhanallah.

Saya pasti anda sendiri sukar mendefinisikan perasaan yang berbaur ketika menghadap televisyen ketika itu. (Apatah lagi jika bersama-sama berada di pusat penjumlahan undi). Tentu masih terbayang wajah pengacara dan pengulas TV yang kaget dan kehilangan bicara selepas mereka mendapat tahu BN tumbang satu demi satu negeri.

Bersama abang yang menetap lama di kampung, saya bergegas ke Kompleks PAS Kedah, di Kota Sarang Semut untuk merayakan kemenangan. Beberapa hari sebelum itu, di lokasi sama, saya bertemu Ustaz Azizan Abd Razak, Pesuruhjaya PAS Negeri untuk menyiapkan tugasan buat keluaran terakhir Harakah sebelum hari mengundi.

Sampai hari ini, sebaik selesai sidang akhbar Ustaz Azizan, saya tidak dapat melupakan perasaan sebak dan terharu amat sangat apabila melintasi kawasan berdekatan kediaman Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, bekas Presiden PAS yang cukup disayangi ahli-ahli parti.


Malam itu Alor Setar cukup damai, tenang dan indah. Kali kedua saya menitis air mata mengingati Ustaz Fadzil, ketika berada di tingkat atas Stadium Darulaman, malam 1 JUn 2012, menyaksikan puluhan  ribu hadirin memeriahkan Himpunan Hijau ke Putrajaya.


Selepas genap lima tahun, nikmat perubahan itu wajar dikongsi oleh lebih ramai warga. Najib Razak masih belum menemui tarikh sesuai untuk cadangan pembubaran Parlimen. Jelas, dia diselaputi keluh-kesah menanti hukuman rakyat.


Ya, benar sekali, 308 (8 Mac) hanya satu permulaan.

Malaysia tidak akan berpatah surut ke belakang lagi. Acara sambutan tahun kelima kemenangan Pakatan Rakyat mungkin tidak begitu meriah. Rakyat lebih menantikan tarikh gemilang untuk menyambut  pembebasan Putrajaya.

Sepatah rumusan Anwar Ibrahim: "Hari ini 8 Mac, genaplah tempoh maksima pemerintahan Datuk Najib Razak sebagai Perdana Menteri, walaupun beliau sendiri tidak pun mendapat mandat sebagai Perdana Menteri pada 2008 kerana ketika itu dipimpin oleh Tun Abdullah Badawi.

"Sekarang sudah sampai ketika di mana rakyat bangkit mempertahankan hak kuasa. Jangan dihina maruah mereka, hak mereka, harta mereka, khazanah negara jangan dirampas. Kebangkitan rakyat ini harus diteruskan dan saya yakin, InsyaAllah kita dapat merampas Putrajaya."


Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!


II. Nyanyian Anwar pun digeruni

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim terus dilanyak dan dilutu. Media di bawah kawalan dan pemilikan Umno-BN tidak pernah membiarkannya selesa. Segala yang dilihat membawa masalah besar kepada negara (sebenarnya bermasalah kepada elit penguasa) akan cuba dipamerkan sebagai berpunca daripada karenah Anwar.

Terbaru, kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang mengakibatkan konflik bersenjata dan tragedi berdarah. Ketika rakyat dituntut bersatu menghadapi ancaman yang menggugat kedaulatan negara, sebaik berlaku pembunuhan anggota keselamatan, Anwar terus diangkat sebagai dalang atau pengkhianat.

Maka dicari dan dicipta daleh untuk mengukuhkan dakwaan. Pelik juga pendekataan yang diambil strategis kempen BN-Najib, dengan jumlah individu dan biayaan dana awam  
yang besar itu.

Saya seakan-akan tidak percaya apabila media cetak dan siaran berita televisyen (apa lagi kalau bukan Utusan Malaysia dan TV3) seolah-olah mendapat peluru ajaib untuk mengaitkan Anwar, hanya melalui lagu yang sering dinyanyikan Ketua Umum KeADILan itu di pentas-pentas ceramah, di seluruh pelosok negara.


Selama ini saya jarang menonton YouTube tetapi publisiti percuma media talibarut Umno itu mendorong saya mengikuti klip video nyanyian spontan Anwar.

Boleh tahan juga mendengar lenggok suara Anwar, siap dengan lunak dan merdu secukup rasa.
Saya yakin anda akan tersenyum puas menikmatinya. Sekurang-kurangnya dapat juga melepaskan tension dan stress!

Melalui carian mudah di internet, baru saya perasan, ada beberapa lagu yang menjadi kegemaran Anwar, dan menjadi siulan penonton apabila dinyanyi rangkap tertentu yang telah diubah suai itu.

Malah, dalam banyak majlis ceramahnya, hadirin sendiri meminta Anwar nyanyikan lagu-lagu tersebut, misalnya "Tanya sama Najib" dan "Madu di tangan kananmu, Pakatan; Racun di tangan kirimu, BN!"

Menariknya, sebelum menyanyi, Anwar, bagai lagak seorang guru, seperti mengajar hadirin lirik lagu tersebut. Ya, santai dan menghiburkan.


Melalui lagi "Tanya sama Najib", Utusan dan TV3, melalui pencacai mereka -- bekas pemimpin KeADILan yang keluar parti -- cuba mengaitkan Anwar dengan pencerobohan di Kampung Tanduo. Lalu dihubungkan dengan laporan Reuters  yang memetik dakwaan pegawai tinggi Filipina bahawa insiden itu berlaku atas jemputan pemimpin pembangkang Malaysia.

Waduh, mudah sekali (baca: bengong) sifirnya! Cuba teliti lirik yang dipinda Anwar itu:

Tanya sama Najib
Apa sebab goyang
Nanti jawab Najib
Sabah nak hilang
!

Lirik asalnya ialah:

Tanya pada pokok
Aapa sebab goyang
Nanti jawab pokok
Angin yang goncang

Sebenarnya Anwar menyanyi lagu tersebut lama sebelum berlaku pertumpahan darah di Lahad Datu. Lagu itu hanya dinyanyikan selepas beliau menjelaskan senario terkini politik Sabah, menunjukkan negeri yang dianggap kubu kuat Umno itu mulai goncang.

Sambil berceramah, Anwar juga kerap menunjukkan foto sambutan hebat orang Sabah dalam setiap ceramahnya. Secara jelas Ketua Pembangkang itu merujuk gambar orang ramai yang bersesak di lokasi berbeda, di antaranya Papar, Tawau, Pensiangan dan Keningau.

Melalui YouTube, saya menonton satu program politiknya dan Anwar berkata: "Dan perkembangan mengejutkan di Lahad Datu, yakni kubu terkuat umno di Sabah, lihat sendiri bagaimana ramai orang hadir. Mana ada kubu Umno lagi sekarang ini?"


Pandir sekali untuk mengaitkan lagu "Tanya sama Najib" itu dengan pencerobohan di Lahad Datu. Lucu, pelik dan tak masuk akal.

Masakan jenaka melalui lagu pun sukar diterima Najib dan konco-konconya. Ataupun mereka tidak tahan mendengar bait yang akhir, yang dicipta Anwar sendiri:

Bila Sabah hilang
Umno melayang!

III. Sisipan "BANGKIT! Sekarang" dan poster Pakatan Rakyat

Sisipan khas menjelang PRU13, "BANGKIT! Sekarang" atau "Bangkit" telah menemui pembaca setia Harakah minggu lalu. Sudah dua keluaran diterbitkan. Selepas ini ia akan dikembarkan bersama  setiap Harakah edisi Jumaat. Dan sebaik saja Parlimen dibubarkan, kekerapannya sama seperti Harakah, iaitu untuk edisi Jumaat dan juga Isnin.

Sebenarnya untuk tujuan kempen yang lebih menyeluruh, pihak yang berminat boleh membuat tempahan untuk mencetak "Bangkit" secara berasingan, dengan kos minimum. Untuk mendapat maklumat lanjut boleh hubungi saya atau pihak pencetak sendiri.

Saya menerima cadangan agar "Bangkit" diedarkan secara percuma, khususnya kepada audien yang belum mengenali Harakah. Bagi mereka, kandungannya cukup sesuai untuk menolak dakyah UMno-BN, selain mempromosikan produk Pakatan, terutama yang terkandung dalam Manifesto Rakyat.


Poster yang kami siarkan, dengan tema "Pakatan Harapan Rakyat" juga mendapat respons positif.

Sementara itu, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) juga membuat rayuan sumbangan orang ramai bagi membiayai proses penerbitan bahan-bahan bercetak khusus untuk PRU13. Sama-samalah kita memberi sokongan. Salurkan bantuan anda ke dalam akaun KAMI MEDIA Maybank 514075606399.

Bahan bercetak -- contohnya, sisipan "Bangkit" -- amat diperlukan dalam situasi kritikal menjelang PRU13. Ia diharapkan dapat sampai ke setiap rumah pengundi. Tajaan pihak yang berminat dan bermurah hati amat diperlukan, selain dapat membantu merancakkan lagi kempen melalui pelbagai bentuk bahan-bahan bercetak.

Baca Seterusnya......

Kes Lahad Datu: Najib rendahkan martabat PM

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Ketua Polis Negara,  Ismail Omar pada petang 5 Mac lalu, mengakui misi menentang puak bersenjata Sulu yang menawan Kampung Tanduo, Lahad Datu, masih belum berakhir meskipun pasukan keselamatan, membabitkan angkatan tentera dan pihak polis, telah melancarkan serangan udara, bermula jam 7 pagi, Selasa lalu, menggunakan jet pejuang F-18 dan Hawks.

 
Sambil memberikan sokongan sepenuhnya ke atas sebarang langkah mempertahankan kedaulatan negara, terdetik kebimbangan di hati saya, apakah tindakan ofensif melibatkan tujuh batalion tentera itu mampu menyelesaikan kes yang sememangnya tidak ditangani secara profesional dan berkesan di peringkat mulanya?

Ataupun tragedi berdarah itu baru di peringkat permulaan, dan Sabah bakal menyaksikan lebih banyak adegan tragis  berpanjangan? Namun begitu, lebih penting daripada segalanya adalah mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

Walaupun Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada bukti bahawa Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) -- yang dikatakan  masih mempunyai simpanan senjata yang banyak di Sabah -- akan menyertai tuntutan Kesultanan Sulu, namun kegusaran itu telah merebak.

Ketika maklumat cuba "diselaraskan" pihak berkuasa, masyarakat yang dahagakan informasi terkini lebih memilih media baru yang menyalurkan perkembangan langsung dari Filipina. Selama ini terbukti banyak berita yang heboh diperkatakan di internet dan dinafikan pihak berkuasa, hanya beberapa hari selepas itu terpaksa diakui benar dan sahih.

Rupanya kerisauan saya itu dikongsi oleh lebih ramai rakan-rakan, terutama apabila menyedari punca masalah ini bukan hanya berakar di seberang sempadan, malah turut difaktorkan oleh isu-isu tempatan, dan antara lain "Projek IC" yang ditimbulkan dalam suruhanjaya siasatan diraja (RCI) juga dibangkitkan.

"Apakah mungkin ada di antara penceroboh itu yang sudah menjadi warga Malaysia, atau sekurang-kurangnya terdapat ramai anggota keluarga atau kerabat mereka yang sudah menetap lama di Sabah? Saya kira isu ini tidak mudah ditamatkan begitu saja, banyak implikasi yang terpaksa kita tanggung," kata seorang rakan yang pernah bekerja di Kota Kinabalu.

Seorang wartawan veteran pula menyimpulkan: "Saya tidak suka menyalahkan pasukan keselamatan walaupun nampak ada masalah besar dalam perisikan kita. Kes ini jelas membuktikan kegagalan pimpinan politik untuk bertindak pantas, khususnya Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri."

Saya terpaksa akur dengan rumusan sahabat baik saya itu walaupun menyedari isu keselamatan -- apatah lagi melibatkan kehilangan nyawa agak besar di pihak polis -- tidak wajar dilihat dalam konteks politik  yang sempit. Dalam saat-saat sukar ini seluruh negara harus bersatu serta memberi dokongan, manakala sentimen kepartian perlu dielakkan.

Namun begitu, bahang panas PRU13 tidak dapat menghalang orang ramai mengulas kes di Lahad Datu, Kunak dan Semporna itu menurut persepsi masing-masing, apatah lagi yang dilihat memulakan "polemik politik" ini  ialah Najib Razak dan media Umno sendiri. 

Ironinya, dalam suasana berkabung susulan kehilangan lapan wira negara, Perdana Menteri masih meneruskan Jelajah Janji Ditepati, di Perlis, pada 3 Mac. Ia sebenarnya merupakan kempen politik Umno-BN yang terancang dan menggunakan dana awam, dengan mood "pesta-pestaan"dan sarat dengan acara hiburan.

Lebih buruk apabila Najib, yang sepatutnya meletakkan dirinya pada kedudukan seorang negarawan, telah menggunakan pentas meraih populariti itu untuk menyerang pembangkang dengan mengekspolitasi kes di Sabah.

Saya bersetuju dengan pandangan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Perlis, Anuar Tahir: "PM sepatutnya menangguhkan segera program beliau dan turun sendiri meninjau keadaan di Sabah. Kalau di negara lain, pemimpin tertinggi negara akan memberikan tumpuan kepada isu keselamatan terlebih dahulu dan membatalkan program lain, sedangkan  Najib lebih menumpukan program politik."

Tidak cukup dengan itu, di majlis perhimpunan perdana ulama-umara bersama Asnaf, pada 5 Mac, sekali lagi Najib turut mengulangi "kebebalannya", termasuk mengecam usaha pihak tertentu mahu "menukar regim" seumpama Arab Spring.

Beliau ternyata mahu bermain emosi apabila menghubungkan dakwaan sandiwara dengan situasi sedih-pilu balu dan anak-anak anggota keselamatan yang terkorban. Cuma, saya tidak pasti apakah istilah "tidak ada isi perut" yang diulang Najib di Arau dan Stadium Putra Bukit Jalil bermaksud "tidak ada hati perut"! 

Apa pun, liputan TV3, bagi saya, cukup buruk dan sarat dengan motof jahat politik. Bayangkan, masih di tanah perkuburan, selesai upacara pemakaman, seorang anak pegawai polis yang terkorban telah ditanya perasaannya terhadap dakwaan sandiwara.

Melampau sekali kaedah pemberitaan seumpama itu. Di kala anggota keluarga masih terkejut dirundung kepedihan amat sangat, mereka diajukan persoalan yang boleh membangkitkan kemarahaniaitu mengaitkan kematian orang tersayang dengan "sandiwara", sedangkan maksud Naib Presiden KeADILan, Tian Chua  tiada kaitan langsung dengan pembunuhan perajurit negara itu. .

Sejak awal banyak pihak mengesan siri kepelikan dan keanehan yang berlaku. Bagaimana pihak penceroboh, dengan jumlah yang ramai, lebih 200 orang, lengkap bersenjata, boleh dengan mudah membolosi perairan negara tanpa dapat dikesan. 

Mulanya, media menggambarkan kumpulan penceroboh begitu daif, hampir kebuluran, bertelingkah sesama sendiri dan terpaksa makan umbut kelapa. Akhirnya ia bertukar menjadi ancaman yang begitu besar, yang perlu dimusnahkan melalui ketumbukan 7 batalion tentera!

Kita pula dilihat terlalu bertolak ansur, namun sukar dipastikan apakah tuntutan sebenar kumpulan penceroboh sehingga bermacam-macam cerita tersebar, termasuk mengaitkan janji-janji Najib.

Misteri kes Lahad Datu ini belum tersingkap sepenuhnya. Dalam sehari dua ini saya kira banyak lagi kisah memeranjatkan mungkin terbongkar. Ia bagai menyimpan bom peledak. Semoga tiada lagi korban ditagih.

Dalam pada itu, saya cadangkan buku Almarhum Dr Nik Anuar Nik Mahmud, Tuntutan Filipina Ke Atas Borneo Utara (Penerbit UKM, 2009) elok dijadikan rujukan kerana karya ilmiah penuh berfakta oleh bekas profesor sejarah ini memaparkan dengan jelas tuntutan kesultanan Sulu terhadap Sabah.

Takziah buat keluarga anggota keselamatan yang terkorban.  Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un.

----
Artikel ini disiapkan pada Selasa, 5 Mac

Baca Seterusnya......

Wawancara Lutfi dengan Haron Din: "Tidak terlintas untuk berundur"

TIMBALAN  Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menjadi perhatian apabila Majlis Syura Ulamak menjelaskan pendirian mengenai kalimah Allah. Untuk menunjukkan berlaku pertelingkahan pendapat yang ketara, bukan saja dalam Pakatan Rakyat, khususnya dengan DAP, malah dalam PAS sendiri, media sering mengutip pandangan beliau, ada kalanya di luar konteks.

Melalui internet, Dr Haron Din juga dihebohkan telah keluar PAS. Wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, SAIDAH HAIRAN dan jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH berkunjung ke rumahnya di Bandar Baru Bangi, pada 18 Februari lalu, bagi mendapatkan penjelasan lanjut. Hampir dua jam beliau berkongsi cerita. Berikut adalah petikan daripada wawancara tersebut

 

HARAKAH: Macam-macam khabar angin disebarkan, antara lain disebarkan dalam internet, kononnya, Ustaz berhasrat meninggalkan PAS.

 DR HARON DIN: Memang banyak khabar angin tersebar. Ketika isu kalimah Allah muncul, dikatakan dua Haron akan tinggalkan PAS. Dato’ Haron Taib dan saya  tidak bercakap apa-apa pun. Malah hari ini, adik ipar dari Perlis telefon isteri saya, nak pastikan benarkah Haron Din meninggal dunia?

Orang sengaja buat berita sensasi di waktu kita masih ada. Saya tidak ada niat menjelaskan kepada akhbar kerana saya percata ia tidak akan menyelesaikan masalah, dan  kadang-kadang boleh menjadi lebih buruk lagi. Sebelum ini dua tiga kenyataan saya diterbalikkan  dan ini cukup memalukan.

Bagaimana muka depan Utusan Malaysia hari ini, Ustaz lawan Karpal Singh?

Selepas solat Subuh di surau, ada orang tanya, bila ustaz buat kenyataan lawan Karpal Singh. Bila pula ... itu diambil ketika saya berceramah di Taiping. Memang saya sebut  akan pertahankan kalimah Allah kerana Allah tidak boleh dikufurkan kerana Allah itu Ahad. Itu keluar dalam Youtube.

Tentang keluar PAS, tidak terlintas dalam benak saya, bahawa saya akan keluar PAS dalam menghadapi isu  ini. Melawak tidak pernah, bercakap pun tidak pernah. Selepas bersama dalam perjuangan, tidak terfikir  hendak keluar PAS.

Selalu disebut beberapa penulis bahawa Haron Din nampak lembut tapi apabaila buat keputusan dia amat tegas. Ketegasan saya itu dilihat sebagai permulaan untuk saya akan berkeras dengan pihak pimpinan PAS. Mungkin faktor itu menyebabkan saya ditafsirkan akan keluar meninggalkan perjuangan. 

Dalam menghadapi isu kalimah Allah ini atau apa sahaja isu, saya tidak pernah, malah tidak pernah terfikir untuk meninggalkan perjuangan bersama PAS. Kalau ada orang tidak senang dengan sikap dan pendirian saya, itu cerita lain.

Dimainkan media, tentang kalimah Allah, seolah-olah pendirian Tuan Guru Presiden PAS yang dibacakan selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan,  bercanggah dengan  Majlis Syura Ulamak?

Sekarang ada pihak melagakan seolah-olah Presiden PAS mengambil langkah yang silap dalammenyokong dan membuat deklarasi Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada orang yang bukan Islam.

Saya hendak betulkan, saya tengok sendiri kenyataan bertulis Tuan Guru Abdul Hadi. Dia sebut pada saya, mana-mana orang termasuk orang kafir boleh menggunakan kalimah Allah dengan syarat tidak menyalahgunakan perkataan itu.

Pemberita sengaja mengambil ayat pertama dan meninggalkan ayat kedua. Dengan lain perkataan, apabila ambil yang pertama saja, iaitu mana-mana orang termasuk orang kafir boleh menggunakan perkataan Allah, memang itu menjadi masalah.

Syarat tidak menyalahgunakan perkataan itu tidak pula disebut. Syarat itu bermakna  pendirian Presiden sama dengan pendirian Majlis Syura.

Saya mengolah dan mengatakan bahawa, betul saya juga berpandangan dengan beliau, cuma ayat saya menggunakan ayat negatif dahulu, "tidak boleh dibenarkan ...." Presiden menggunakan ayat positif; "Boleh menggunakannya, tapi dengan syarat tidak menyalahgunakan."

Isu asalnya, pihak Kristian meminta pihak berkuasa agama di Malaysia ini membenarkan mereka menterjemahkan  perkataan-perkataan God dalam Bible itu dengan Allah. Itu itu asalnya, kita jangan lari.

Saya sebut banyak kali, Allah menurut kefahaman, amalan dan pegangan kita, bahawa Allah itu selama-lamanya Tunggal, Esa, Ahad.


Selain surah al-Ikhlas, menjadi amalan kita dalam wirid selepas memberi salam solat, maksudnya, "Tidak ada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Dia, Allah yang Esa ... tanpa ada syirik dengan-Nya." Wirid ini kita ulang selepas solat 10 kali.

Apabila sebut Allah sahaja mestilah Allah itu Esa, tidak boleh di tempat God, ia bukan yang satu, bukan yang Esa. Jadi, Presiden sudah tegaskan dari awal, tidak boleh salahguna.
Sebab itu tidak sepatutnya menjadi pertelingkahan sesama kita kerana ia adalah benda yang senang difahamoi

Adakah isu kalimah Allah ini akan menyebabkan terjejasnya sokongan kepada Pakatan apabila rakyat menyaksikan pertelingkah pendapat sesama sendiri?


Saya lebih melihat  isu ini sengaja dibesar-besarkan untuk menunjukkan pimpinan Pakatan tidak bersatu, lebih-lebih lagi PRU13 sudah di ambang pintu.


Memang agenda lawan untuk melaga-lagakan kita. Kekuatan Pakatan semakin meningkat dan  boleh menggugat kerajaan BN yang ada.  Jadi bagaimana hendak mengalahkan Pakatan  supaya tidak boleh kuat sampai boleh menumbangkan BN dengan mudah? Satu sahaja caranya, iaitu pecah-belahkan Pakatan. Jika Pakatan bersatu, ia  memang ancaman besar yang boleh menyebabkan Umno-BN  tersungkur. 


Mencari jalan supaya Pakatan  berpecah memang agenda utama media. Dari dulu hingga sekarang, jika ada saja peluang untuk dilagakan sesama rakan kongsi dalam pembangkang, Umno-BN akan lakukan. Kebetulan timbul, antaranya isu kalimah Allah sekarang. Memang isu ini menyentuh perasaan dan hati nadi umat Islam.

Kita berpegang kepada tahaluf siyasi, iaitu kita berkongsi dan bermuafakat menghadapi musuh politik yang sama. Hendak mengalahkan mereka memang agak sukar tapi dengan bersatu kita boleh. Di sinilah kita berpakat dan tidak berlawan sesama kita dalam pilihan raya.


Yang kedua, ada kena mengena dengan dasar bagi setiap parti komponen Pakatan. Mungkin dalam DAP ada pegangan dia dan ada perkara yang mereka tidak boleh bertolak ansur.  Dalam Pakatan Rakyat pun sama. Sama juga dalam PAS, kita ada al-Quran ada as-Sunnah. Sesuatu yang melanggar al-Quran, kita tidak boleh bertolak ansur. 


Matlamat terdekat Umno-BN, untuk menghadapi pilihan raya yang sengit ini, maka Pakatan akan digambarkan  tiada persepakatan dan bertelagah sesama sendiri. Macam mana mereka hendak memerintah Malaysia jika bercakaran sesama parti komponen dalam Pakatan?


Itulah  gambaran media. Sedangkan  pertelagahan lebih teruk berlaku sesama Umno. Begitu juga Umno dengan MCA, Umno dengan Gerakan tetapi tidak diuar-uarkankan media, yang dikawal ketat parti pemerintah.

Sepatutnya rakyat Malaysia telah lama faham, ini bukan kali pertama kita menghadapi mainan media. Malah dari dulu lagi, setiap kali pilihan raya, maka  akhbar atau media arus perdana, termasuk pilihan raya kecil apatah lagi pilihan raya umum, misalnya akan disiarkan hari ini 50 orang PAS masuk Umno.

Selang sehari 100 orang PAS masuk Umno. Kalau kita kumpulkan berita orang PAS masuk Umno, mungkin dah tak ada orang dalam PAS. Tapi bila pilihan raya kita menang juga, atau kalau kalah, hanya kita kalah sedikit.


Maknanya, berita seupama itu tidak ubah sebagai perang psikologi. Nak menggambarkan betapa lemahnya parti pembangkang, tapi sebenarnya tidaklah begitu. Saya mengharapkan rakyat, khususnya ahli dan penyokong PAS boleh faham situasi sebenar dan tidak terpengaruh dengan apa yang digambarkan sebagai pertelagahan dalam PAS, begitu juga khabar angin saya atau orang lain akan tinggalkan PAS.

 


Bagaimana Ustaz melihat kesediaan  pimpinan Pakatan Rakyat menangani perbezaan pandangan yang timbul, dengan kesedaran media sememangnya menunggu masa untuk mengeksploitasinya?

 

Perbezaan pandangan dan pendapat dalam suatu organisasi besar, terutama apabila tiga parti membentuk satu gabungan, tidak mungkin selama-lamanya mereka bersatu pendapat.

Hatta dalam rumahtangga, kita dengan isteri misalnya, sepatutnya tidak berlaku pergeseran kerana kita berkongsi hidup, berkongsi rumah, berkongsi anak, tapi kita berselisih pendapat juga.

 

Yang penting, jika timbul perselisihan pendapat, kita boleh duduk bincang dan selesaikan. Macam kita selesaikan masalah pembahagian kerusi.

 

Begitu juga dalam isu kalimah Allah. Kita ada landasan agama yang cukup jelas. Alasan yang kita pegang memang tidak boleh diubah. Sebab itu kita kena terima hakikat bahawa  mereka juga yang ada benda, yang akan kita jumpa nanti, yang tidak boleh diubah.


Saya lihat, ada perkara yang sepatutnya kita lebih awal duduk berbincang dan bermuafakatdalam semua masalah.  Katakanlah, kita senaraikan apa yang menjadi halangan untuk kitaterus bersatu, bukan sahaja isu kalimah Allah, malah  isu-isu lain juga.


Sebelum  keluar dalam akhbar dan akan menjadi bahan mainan media, ada eloknya kita berjumpa atau ketua-ketua parti berbincang lebih awal dan bawa balik kepada parti masing-masing terlebih dahulu supaya dapat kita buat langkah berjaga-jaga. Elok jangan dihebahkan kepada media sebelum persetujuan dapat dicapai.


Kena kerap ada perjumpaan dan perbincangan dalaman dan jika perlu dirujuk kepada Majlis Syura, rujuk dulu. Dalam politik kadang-kadang hal yang remeh pun sengaja dijadikan isu.


Sebenarnya ketetapan Majlis  Syura banyak melegakan pihak dalaman kita. Kita kata perkataan Allah tidak boleh diterjemah. Jika ia diterjemah dengan perkataan apa pun, maka ia akan rosak. Bukan rosak makna sahaja tetapi ia akan merosakkan akidah.


Dalam al-Quran ada lebih 3,000 perkataan Allah. Dalam Bible satu kalimah Allah pun tidak ada. Mereka ada God sahaja. Kenapa pulak hendak dirosakkan hubungan baik antara kedua-duanya sejak sekian lama.

 


Dalam organisasi kita, ada adab-adab berjemaah. Kalau dibuat keputusan oleh Majlis Syura,iaitu badan tertinggi, sepatutnya mengikut adab berjemaah, semua ahli kena sokong.  Jikayang tidak sokong kerana ada pendirian peribadi, maka sepatutnya dia diam sahaja.

Kalau timbul perpecahan dan sebagainya, takkan kita hendak ambil tindakan? Adab berjemaah itu mengkehendaki supaya kita akur apabila kita sudah ada keputusan.  


Media dan Umno sendiri memang meletakkan PAS sebagai sasaran utama, bagi memalitkan imej buruk terutama pada kaca mata umat Islam. Mereka mahu gambarkan PAS sentiasa berundur ke belakang apabila timbul bantahan berkaitan Islam. 
 
Memang menjadi mainan media hendak menggambarkan PAS dalam Pakatan Rakyat ini sentiasa berada dalam keadaan defensif. Apabila diserang kita digambarkan berundur ... sebenarnyatidak begitu. Macam kalimah Allah, kita mara ke hadapan dan tidak ke belakang. Kita pertahankan.

 


Sewaktu heboh dikatakan Ustaz keluar PAS, difahamkan sebenarnya Ustaz sudahpun diptuskan bertanding dalam PRU13 di Perlis. Ustaz terima tawaran itu?

 

Saya pernah menawarkan kepada kepimpinan PAS Perlis agar tidak disenaraikan untuk bertanding dalam PRU13 kerana tidak cukup sihat fizikal. Semua  orang tahu. Tidak ada orang di Malaysia jantung dibedah lima kali, saya seorang saja (ketawa), 

Umur sudah lanjut memang saya terasa banyak kekurangan. Lagi pula sibuk dengan kerja dakwah Darussyifa yang mempunyai banyak cawangan di seluruh Malaysia.


Perhubungan PAS Perlis memanggil saya bersemuka. Saya diputuskan kena bertanding Dun dan Parlimen.  Malah Ustaz Hashim Jasim dan  Rus'sele Eizan menawarkan Dun yang dimenangi mereka. Saya juga ditawarkan Parlimen Arau. Pada 2008 saya kalah 300 undi sahaja.  Saya tolak tawaran itu.


Mesyuarat tidak terima pandangan saya, mereka kata akan bantu dan tampung kelemahan saya. Akhirnya saya terima satu sahaja, iaitu Parlimen Arau.
 

Kalau saya berhasrat menarik diri daripada perjuangan, tentulah saya tidak bersedia bertanding. Lagi pun tiada alasan saya hendak meninggalkan perjuangan. Saya sendiri telah mendukungnya sejak  1975, iaitu apabila dicalonkan bertanding Jawatankuasa Agong PAS. Saya dapat undi terbanyak. Ketika itu umur saya 35 tahun.

 


Saya pegang jawatan sampailah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dilaksanakan.  Auku mulanya tidak keras, masih boleh pegang jawatan. Sampailah saya  dapat surat, jika hendak bergiat politik, silakan, tapi kena bayar balik biasiswa PhD, nilainya 10 kali ganda.

Apabila  cukup umur 55 tahun pencen, saya tidak mohon bekerja  ‘part time’ seperti lazimnya. Saya aktif semula, dengan jawatan awal Ketua Penerangan PAS Pusat. Kemudiannya dilantik Timbalan Mursyidul Am, sampailah hari ini.

Ia menggambarkan saya tetap bersama dengan kepimpinan dan saya akan bagi sumbang bakti sampai Allah menentukan apa kesudahannya.

 

Nasihat Ustaz kepada masyarakat Islam yang masih sangsi dengan perjuangan Islam PAS?

Tidak dinafikan PAS sebagai parti Islam tidak mendapat dukungan sepenuhnya umat Islam. Keahlian PAS sendiri walaupun sudah berumur lebih setengah abad sekitar sejuta lebih.


Ini kerana masyarakat Islam di Malaysia lebih banyak termakan asakan media dan tawaran penghidupan  berasaskan nilai  kebendaan, yang meremehkan nilai kerohanian dan tidak menggambarkan Islam itu sebagai wadah yang wajib diimani dan dilaksanakan dalam kehidupan.

Mesej ikrar kita dalam solat, bahawa setiap Muslim tidak boleh terpisah dengan Allah SWT dalam semua gerak kerjanya, tidak dihayati. Isu lama, agama suku politik suku sebenarnya antara yang menjadi punca besar masalah ini.


Maka PAS sebagai sebuah parti Islam, wadah perjuangan kebenaran,  tidak sampai kepada orang ramai melainkan yang dirosakkan oleh media tentang PAS memperalatkan agama untuk kepentingan diri dan sebagainya.

Kemampuan kita untuk menyampaikan mesej parti terhalang. Apapun kita tetap bersyukur, keahlian PAS makin bertambah. Bukan ahli kita sahaja bertambah, sokongan pengundi juga bertambah.

Mutakhir ini dengan adanya media baru, seperti laman web, blog, Facebook dan Youtube, ia telah mengubah persepsi masyarakat kepada perjuangan kita. Penggerak parti turut menunjukkan komitmen tinggi melaksanakan dakwah dan kerja-kerja penerangan di seluruh pelosok negara.

 

Masyarakat juga semakin jelas dengan propaganda murahan  Umno yang mendakwa memperjuangkan nasib dan kepentingan orang Melayu. Selama lebih 55 tahun mereka berkuasa, ternyata agama kita rugi, ekonomi kita rugi, masalah sosial bertambah parah. Kita masih terkebelakang berbanding orang lain.

Kesedaran itu kini menghambat Umno. Sekarang mereka berhempas pulas hendak mempertahankan kuasa dengan apa jua cara, tetapi rakyat semakin sedar.  Rakyat tidak mudah ditipu atau diperbodohkan lagi.

Atas asas itulah kita tidak boleh berhenti berjuang, media kita kena terus giat memberi penjelasan. Aktivis kita harus lebih proaktif bergerak. Salah faham selama ini mesti diperbetulkan. Kita akan memimpin umat Islam untuk mereka hidup bahagia dunia sampai akhirat.

Jangan lupa kita akan bangun di Padang Mashyar dan akhirnya kita akan masuk syurga. Jadi kalau kita tinggalkan penghayatan hidup beragama dan hanya pentingkan dunia sahaja, macam Umno mengajak orang kepada dunia sahaja, maka masyarakat akan rugi.

Nampaknya seperti ada pendekatan baru Umno menyerang PAS sehingga mereka berani mendakwa bahawa haram menyokong PAS. Juga dikatakan ada barisan ulama muda dalam Umno bagi berdepan dengan PAS dalam isu-isu agama.  

 


Adanya ulama muda dan tua tidak menjadi benda yang ganjil. Sebab manusia selama-lamanya akan terpengaruh dengan kepentingan peribadi.

Orang yang mendakwa mengundi PAS itu haram dan mengundi Umno itu wajib, kita nak tengok juga alasan mereka terlebih dahulu. Mereka  menggunakan alasan PAS bersekongkol dengan DAP yang jelas menentang hudud, maka dengan itu dikatakan undi PAS adalah haram.


Jika  PAS dikatakan bersekongkol dengan orang yang menentang hudud, dan dengan itu haram sokong PAS, maka bagaimana pula Umno sendiri yang menentang hudud.  Yang dikatakan wajib menyokong Umno ... sedangkan Umno itu sendiri menentang hudud, iaitu lebih teruk daripada DAP menentang hudud.

 

Saya masih ingat surat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada 1993, ketika Kanun Jenayah  II Kelantan hendak dilaksanakan.

Surat itu memberi amaran keras jika  kerajaan Kelantan melaksanakan hudud, kerajaan Pusat tidak teragak-agak mengambil tindakan keras.

Surat itu tidak ditarik balik sampai ke hari ini. Maknanya, bukan sahaja pemimpin agungUmno yang menentang hudud, malahan orang-orang Umno juga mempermain-mainkan hudud.

Kita juga pernah dengar, misalnya ucapan siapa nak sup tangan, pergilah ke Kelantan. Jelas mereka menentang hudud.  Umno yang memegang kuasa selama 57 tahun ini, pernahkah mereka mengatakan hendak laksanakan hudud. Dengan sendirinya mereka termasuk dalam kelompok orang yang menentang hudud.


Ya, jika PAS yang masih tetap mempertahankan Islam, cuma berkawan dan bertahaluf dengan pihak yang menentang hudud, maka dikatakan haram menyokong PAS, maka  Umno yang menjadi ketua kepada BN,  dia sendiri menentang hudud, bagaimana pula? Sepatutnya kalaulah alasan itu dipakai, maka undi PAS pun haram dan undi Umno pun haram juga.
 
Ini yang kita bincang, dalam istilah politiknya tahaluf siyasi. Bila tahaluf siyasi, maka kita bertahaluf dengan bukan Islam.

Boleh atau tidak kita bertahaluf dengan bukan Islam? Nabi jawab boleh. Sebab Nabi bertahaluf dengan Bani Quraizah. Apabila Bani Quraizah melanggar tahaluf, baru  Nabi berperang dengan mereka.


Tahaluf itu kerjasama. Boleh atau tidak orang Islam bekerjasama dengan orang kafir? Orangkafir ini selamanya tidak akan terima Islam. Jawapannya, boleh. Nabi semasa hendak berpindah ke Madinah bekerjasama dengan orang kafir.

Kenapa Nabi bekerjasama dengan orang kafir untuk tunjuk jalan ke Madinah? Apakah Jibril tidak boleh tolong tunjuk jalan kepada Nabi? Apakah Nabi tidak boleh dapat wahyu tunjuk jalan ke Madinah. Mengapa ambil orang kafir untuk tunjuk jalan? 

Nabi juga bekerjasama dengan orang kafir dalam muamalat. Nabi gadai baju besi kepada Yahudi. Sampai Nabi wafat, baju besi itu ada pada orang Yahudi itu. Adakah tidak ada orang Islam  yang boleh tolong Nabi sehingga  kena gadai baju? Tidakkah menantunya Uthman Affan kaya, bapa mentuanya, Umar Al-Khattab kaya.

Tapi ia bukan soal kaya miskin. Nabi nak beritahu umat Islam boleh bekerjasama dengan orang kafir. Jadi, dari mana datangnya haram bertahaluf dengan bukan Islam itu?
 

Sedangkan haram hukumnya jika kita mengharamkan benda yang tidak haram atau mengharamkan barang yang dihalalkan Allah. Tahaluf itu tetap halal disebabkan Nabi buat.  Apabila Nabi buat,  maka halallah apa yang kita buat ini kerana ia menurut tindakan Nabi.  Jika kita haramkan barang yang Allah halalkan, itu  dosa yang amat besar.


Maka sebab itu undi PAS dibolehkan, diharuskan, malah disyariatkan, dan ada masanya wajib hukumnya.

Baca Seterusnya......

Menjelang PRU13: Wawancara Lutfi dengan Prof Madya Dr Nidzam Sulaiman

UMUM maklum PRU13 memiliki keistimewaan dan keunikan tersendiri. Pemimpin politik, sama ada BN mahupun Pakatan Rakyat, ghairah memberi komentar dan sudut pandang. Masing-masing cuba menyuntik keyakinan bahawa mereka mampu menampilkan prestasi terbaik.

Wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN menemubual DR NIDZAM SULAIMAN, Prof Madya di Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, bagi mendapatkan analisis lebih kritis dan seimbang terhadap senario politik mutakhir. Bidang kepakarannya ialah pembangunan politik. Antara buku yang dihasilkannya ialah Pakatan Politik Sarawak (2006), Kamus Sains Politik: Politik Perbandingan (2007) dan Pilihan Raya dan Pembangunan Politik Sarawak (2009)

 

 

HARAKAH: Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac 2008, lebih diingati dengan istilah "tsunami politik". Sebagai seorang sarjana politik, mungkin Dr mempunyai rumusan lebih menyeluruh terhadap situasi politik negara kita sepanjang lima tahun ini. Mungkin ada perbedaan ketara berbanding keadaan sebelum itu?
 
NIDZAM: Perkara yang paling penting dalam keputusan PRU2008 ialah kejayaan pembangkang menafikan majoriti dua pertiga BN. Kejayaan ini hanya pernah dicapai dalam PRU1969. Beberapa kerajaan negeri juga jatuh ke tangan pembangkang, sekali gus menaikkan moral mereka, betapa perjuangan mereka dirasakan membuahkan hasil dan bukan impian semata-mata.

Apabila merujuk kepada undi popular (jumlah semua undi yang pembangkang perolehi tanpa mengira kerusi itu dimenangi atau tidak) pembangkang memperoleh lebih 49% dan BN lebih 50%. Undi elektoral (perbedaan kerusi) kelihatan majoriti BN jauh lebih banyak.

Ini juga menunjukkan betapa mereka merasa sudah semakin bertapak kuat, dan faktor kurang kerusi semata-mata kerana persempadanan yang sedia ada. Selepas PRU2008 itu lanskap politik Malaysia mula berubah. Persaingan menjadi lebih sengit, kebetulan pula banyak sekali PRK berlangsung.

Suara massa begitu lantang, ditambah dengan kemudahan media sosial dan kecanggihan teknologi maklumat yang mudah diperalat. Kuasa state atau pemerintah kelihatan amat tercabar dan mendesak mereka terpaksa mengubah pendekatan.

Zaman "listen listen listen" sudah berlalu dan ia mengejutkan publik apabila masih ada yang alpa ia sudah obsolete. BN juga kelihatan menyedari kedudukan ini dan berusaha memperbaiki ‘dacingnya’.

Namun ditakdirkan Tuhan pula banyak pula insiden menambah luka BN seperti PKFZ, Altantuya, Teoh Beng Hock -- SPRM dan lain-lain lagi, semua menyulitkan keadaan.

Publik pula bersama NGO meraikan keputusan PRU lepas dengan memperbanyak pertemuan, perarakan dan tuntutan. Pokoknya politik Malaysia memang melalui satu proses transformasi yang pantas.

 

Meskipun "politik baru", yang mementingkan perbahasan tentang isu-isu sejagat seperti ketelusan, good governance, keadilan, antirasuah, hak asasi manusia dan seumpamanya dikatakan  semakin mendapat tempat, terutama bermula selepas Pilihan Raya Umum 1999, namun  persoalan berkaitan isu perkauman dan keagamaan sempit juga dilihat masih dominan. Bagaimana Dr melihat "pertentangan" ini?

Keruntuhan tembok Berlin 1988 telah merobah tumpuan politik  dunia. Ia diikuti  rapat dengan keruntuhan USSR 1991 apabila satu persatu negeri di dalamnya mengisytihar kemerdekaan. Blok timur di Eropah juga tidak takut lagi dengan Rusia dan melepaskan ikatan.

Komunis tidak menjadi isu lagi di alam ini dan kerana itulah ada yang tertawa apabila ada yang mengaitkan elemen komunis dalam politik negara kita. Amerika Syarikat mendabik dada seolah-olah dia pemenang dalam Perang Dingin dan bermulalah zaman unilateralisme dengan perluasan pengaruh dan ideologinya.

Rata-rata semua pelosok dunia bercakap tentang isu sivil seperti partisipasi, hak asasi, transparensi, akauntabiliti, good governance, equality, gender empowerment  dan sebagainya lagi. Diktator dunia juga kelihatan jatuh satu persatu, termasuk yang turun dengan aman seperti di Asia Tenggara ini.

Di benua Arab kelihatan perubahan lebih mendadak dan lebih merosak bangsa walaupun muncul jauh lebih kemudian. Negara yang selama ini kelihatan aman kini berhadapan dengan persaingan sengit Sunni vs Syiah.

Kosnya kelihatan menakutkan. Bahang ini tidak dapat disekat dari menyerap ke dalam Malaysia, maksudnya tuntutan mahukan perubahan dan elemen politik baru tadi.

Cuma di Malaysia  kita tidak ada sejarah kejayaan radikalisme. Kemerdekaan negara diperoleh dari rundingan dan bukan melalui bambu runcing seperti Indonesia. Dan kerana itulah kedamaian kita masih dapat dipelihara.

Namun Malaysia menerima hakikat bahawa masyarakatnya masih majmuk dan pembinaan bangsa masih belum berjaya. Dengan itu semangat perjuangan berasaskan sentimen primordial seperti kaum, agama, bahasa dan kedaerahan masih terjelma.

Dalam masyarakat yang majmuk serta tahap pemikiran dan pendidikan yang berbeza maka pengeksploitasian sentimen kaum ini ternyata masih berhasil. Sebahagian besar masyarakat masih sukar beranjak kepada paradigma baru dan merasa gayat jika nasib anak bangsanya tidak dijamin dalam dekad mendatang. Itu makanya masih ramai yang menerima dokongan cauvinis kaum ini.

Kepada kumpulan sivil ini dilihat sebagai cauvinis, tetapi kepada mereka yang bimbang, ini persoalan hidup mati anak bangsa. Konflik ini yang sedang berlanjutan kini dan dipercayai akan tetap berterusan. Semangat kaum dan bangsa sebaiknya menjadi matlamat namun ramai yang tidak sedar ia sering menjadi alat.


PRU2008 juga dikatakan telah merintis jalan ke arah pembentukan "sistem dua parti". Apakah benar  kita menuju ke arah itu dan sejauh mana kelebihan "sistem dua parti" kepada rakyat dan negara?

Saya kira Malaysia masih berada dalam tahap "trial and error" walaupun sudah agak terlambat berbanding dengan negara lain. Namun tidak mengapa kerana biar lambat asal selamat.

Selama ini sistem parti kita lebih bersifat satu parti dominan atau lebih tepat lagi satu gabungan parti dominan. Selagi BN tidak pernah tewas, selagi itulah sistem parti itu bersifat demikian walaupun majoriti dua pertiganya sudah boleh dicabar.

Dengan perkembangan yang berlaku kini memang kelihatan persaingan mendorong kepada penjelmaan sistem dua parti atau dua gabungan parti, tetapi di dalam politik ia masih menjadi tidak pasti.

Dengan andaian keadaan tidak berubah, perkembangan ini akan menjadikan politik Malaysia bersifat dua parti.

Namun dalam politik pelbagai perkara boleh berlaku. Politik merupakan seni serba mungkin, rakan hari ini boleh menjadi seteru paling berhantu keesokannya dan demikian juga musuh ketat politik secara tiba-tiba boleh menjadi partner muafakat dalam sekelip mata.

Tiada rakan dan musuh yang kekal dalam politik, yang kekal ialah kepentingan.

Dalam konteks ini daya tahan setiakawan Pakatan Rakyat menjadi penentu sama ada politik Malaysia akan menuju kepada sistem dua parti atau tidak. Jika mereka ampuh bertahan maka persaingan akan menjadi sihat silih berganti antara BN dan Pakatan.

Namun dalam suasana tanpa menentu, dengan pemimpin yang silih berganti dan mungkin kelak ada yang boleh dijual beli, maka gabungan boleh berubah. Ia boleh berlaku dalam mana-mana antara dua gabungan ini namun rekod setiakawan kelihatannya lebih ampuh dalam BN. Pakatan perlu meniti menimba kematangan ini.

Dalam gerakan atau proses pendemokrasian,  masyarakat sivil memainkan peranan penting. Bagaimana Dr melihat perkembangan ini  di Malaysia? Namun begitu, banyak pihak merasakan rakyat Malayia terlalu terikat dengan "politik kepartian" dan NGO yang terbabit dengan isu-isu politik juga agak jelas memihak kepada parti tertentu.

Ruang partisipasi di Malaysia agak terbuka meskipun dalam bahagian tertentu masih ada batasan. Penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) baru-baru ini merupakan langkah positif kerajaan dalam memulihkan masyarakat sivil Malaysia.

NGO yang bergerak pula banyak bentuknya dan kelihatan yang bersifat politik seperti NGO yang bergerak untuk kaum, hak asasi, kebebasan dan demokrasi kelihatannya terdorong menyokong parti tertentu. Sebab utamanya ialah isu yang diperjuangkan selari dengan isu yang diutarakan parti politik.

Namun sebenarnya jauh lebih banyak NGO dalam negara ini yang bebas daripada politik malah bersifat apolitikal. NGO perniagaan, sukan, seni, pencinta alam, minoriti dan sebagainya begitu banyak yang diam dalam isu politik.

Pendaftar Pertubuhan memiliki senarai sepenuhnya mereka ini. NGO sebaiknya bebas dari parti politik untuk kekal bergerak sebagai masyarakat sivil. Masyarakat sivil harus bersifat sivil dan bukan politikal. Apabila ia sudah memainkan isu politik sebaiknya ia berubah sahaja menjadi parti dan tidak bertopengkan NGO lagi.


PRU13 dilihat peluang terbaik untuk rakyat Malaysia memilih kerajaan persekutuan yang baru. Buat pertama kalinya juga BN dilihat tergugat dengan teruk sekali. Pada pandangan Dr, apa sebenarnya yang menjadi pertimbangan utama kepada para pengundi kali ini? 

Melalui perhimpunan Bersih dan lain-lainnya kelihatan seperti ramai yang mahukan perubahan. Suara di dalam media sosial serta komen-komen dalam akhbar online serta blog juga semacam memperlihatkan BN amat terhimpit.

Seperti yang dibincang tadi, pengundi mahukan perubahan dan mula mendesak kepada hak sivil dan integriti universal yang dibincang di atas. Namun kita tidak harus memperkecil golongan yang senyap, yang tidak turun berarak, yang menjadi suri rumah dan yang tegar dengan status quo serta terlalu bimbang dengan masa depan nasib anak bangsa mereka.

Saya kira persaingan tetap panas dan hebat dan bukannya knock out yang mudah. Cuma kita harapkan persaingan dan pengisytiharan keputusan berjalan dengan baik dan diterima dengan baik.

Kematangan ini menjadi lambang tahap tamadun bangsa. Sekiranya 'kecoh' selepas PRU maka Malaysia masih belum cukup matang. Kedua-dua pihak harus gentlemen menerima keputusan.

Berbicara soal PRU13 tidak dapat lari daripada membuat jangkaan atau ramalan terhadap keputusannya nanti. Pelbagai tinjauan pendapat dan kaji selidik dilakukan, termasuk di universiti, malah Majlis Profesor Negara sendiri. Boleh Dr singgung sedikit hal ini?

Dapatan survei tergantung kuat kepada metodologi dan tidak keterlaluan juga kalau dikatakan terdapat dapatan yang tergantung juga kepada penajanya. Sudah tentu kepada publik mereka mengharapkan dapatan yang telus dan bebas dari sebarang pengaruh.

Masalahnya yang menjalankan survei juga adalah manusia biasa. Dapatan yang berbeza dari kumpulan survei yang bebeza memperlihatkan kecenderungan ini. Kajian seperti ini biasa dilakukan bagi membantu pihak yang bersaing memperbaiki kelemahan apabila mengetahui bahagian mana yang perlu diperkukuhkan.

Namun kelihatannya kini ia lebih diminati untuk menjadi ramalan kepada keputusan PRU. Apa yang ramai pengkaji tidak sedar ialah survei hanya dibuat kepada orang ramai yang sah menjadi pengundi.

Akhir-akhir ini sudah terdedah pelbagai cerita ‘warga segera’ seperti yang terdapat di dalam media tempatan. Pemimpin yang didakwa juga tidak menafikan. Jika benar dakwaan ini apakah mereka tidak upaya mempengaruhi undi dan keputusan?

Banyak kajian hanya dapat melihat bahagian atas bongkah ais di permukaan laut tetapi sukar menyelami sebahagian besar bongkah ais itu yang berada di dalam laut tersebut. Selalunya bahagian ais yang tidak nampak itu lebih besar.

Selama ini, Sabah dan Sarawak dianggap "simpanan tetap" buat BN. Namun kali ini, terutama untuk peringkat kerusi Parlimen, kedua-dua negeri itu dijangka menjadi penentu siapa yang menguasai Putrajaya dan BN tidak lagi selesa dengannya.  Dr pula melihat bagaimana?

Sejarah mempelihatkan Sarawak lebih tepat menjadi simpanan tetap BN. Sejarah Sabah agak berbeza.

Berbanding dengan Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang ternyata rekod Sabah lebih banyak bergolak. Siapa yang tidak ingat dengan dekad 1980an dan awal 1990-an dahulu.
Suasana lebih selamat lebih ketara di empat negeri semenanjung itu.

Politik Sabah memiliki cirinya tersendiri. Memang beberapa dekad akhir ini kelihatan ia cenderung kepada BN. Namun pengundi di sini boleh berubah sekelip mata, berbeza dengan pengundi negeri lain. Inilah keistimewaan budaya politik Sabah. Faktor kepimpinan agak ketara.

Sejak dari dahulu, Tun Fuad, Datu Mustapha dan Tan Sri Pairin begitu kuat mewarnai politik negeri ini dan mereka mampu memobilisasi sokongan. Cuma dalam suasana politik Sabah kini apakah sudah terdapat pemimpin yang sedemikian. Walaupun Tan Sri Pairin masih ada, apakah beliau sama dengan Pairin dan PBS dekad 1980-an  dahulu.

Saya percaya ramai yang boleh menilainya dengan mudah. Atau apakah sudah muncul pemimpin lain yang setara? Pun begitu Sabah sudah tidak dapat dianggap simpanan tetap. Seperti Sarawak beberapa kerusi negeri sudah pun lupus daripada  cengkaman.

Dalam PRU13 bukan sahaja prestasi BN dihakimi, malah rekod kerja Pakatan di negeri-negeri yang dimenanginya juga akan dinilai pengundi. Ketika Dato' Seri Najib Razak mengemukakan pelan transformasinya, Pakatan juga melaksanakan pembaharuannya. Tentu Dr ada tanggapan tersendiri terhadap situasi menarik ini.

BN memiliki pengalaman dan kerjasama antara parti yang mantap. Pakatan masih baru memimpin  negeri namun dalam rekod yang baru sepenggal, ternyata terdapat pencapaian yang positif.

Lihat sahaja perkembangan di Pulau Pinang dan Selangor, apa lagi dengan rekod analisis ekonomi dan Laporan Ketua Audit Negara yang baik terhadap mereka.

Sepatutnya ini yang menjadi faktor pengundian dan golongan peniaga atau pelabur melihat ini secara dekat. Namun dalam politik negara ini orang ramai tidak sensitif dengan KPI atau pencapaian ini. Pelbagai faktor kepartian, kepimpinan dan isu lain yang menarik sokongan mereka.

Lanskap politik Malaysia, terutama sejak 1998, tidak dapat dipisahkan daripada sosok Anwar Ibrahim. Bagaimana Dr melihat pengaruh dan impak peribadi Ketua Pembangkang ini dalam PRU13 nanti
 
Pengaruh tokoh ini jelas kelihatan apabila politik negara berubah setelah beliau dibebaskan dari penjara. Walaupun kepimpinan itu penting namun terlalu bergantung kepada seorang pemimpin boleh membahayakan parti dalam jangka masa panjang.

Satu perkara yang jarang mereka fikirkan, bagaimana Pakatan setelah beliau tiada, dan dalam umur sedemikian, berapa lama lagi beliau boleh aktif.

Dasar dan matlamat perjuangan harus menjadi keutamaan dan bukan ketokohan. Pemimpin datang dan pergi. Namun parti tetap ada. Bagaimana hubungan PAS dan DAP selepas Anwar jika selama ini dilihat ketokohan beliau menjadi penyatu.

Pengkaderan seharusnya berjalan terus bagi memastikan kepimpinan berganti baik. Keadaan yang sama juga berlaku kepada BN. Ternyata goyah selepas Tun Mahathir bersara. Demikian keadaannya jika penyokong terlalu bergantung kepada tokoh.

 


Apa isu-isu besar yang Dr jangka akan  menjadi perdebatan semasa kempen nanti? Bagaimana dengan dakwaan kemungkinan ia akan menjadi kempen "terkotor" sepanjang sejarah pilihan raya negara kita? 
 
Isu-isu ini sudah pun muncul sekarang seperti yang banyak tersebar dalam media online. Semakin banyak pendedahan dibuat dan semakin banyak akan muncul lagi. Saya lebih memikirkan perjalanan pilihan raya itu sama ada bersih atau tidak, bukan kempennya.

Akhir sekali, kalau tidak keberatan, boleh jelaskan impian Dr terhadap masa depan budaya politik di Malaysia ...

Persaingan yang sihat di samping menghormati peruntukan Perlembagaan yang sudah termaktub. Perubahan perlu seperti mana kita meniti perubahan ekonomi, sosial dan sebagainya. Namun sudah tentu kita mahukan perubahan dalam kedamaian.

Baca Seterusnya......

Manifesto Rakyat, kesukaran PAS dan polemik Haron Din

Oleh Ahmad Lutfi Othman

MANIFESTO Pakatan Rakyat bakal dibentangkan Isnin depan, sekali gus memulakan kempen rasmi berdepan PRU13 yang paling sengit dan mendebarkan itu. Berbeda dengan siri pilihan raya sebelumnya, yang menyaksikan tawaran oposisi jarang diberi perhatian istimewa, kali ini ia benar-benar dinanti dan akan dihalusi.

 Sebelum ini, Buku Jingga, yang dilancarkan lebih dua tahun lalu, mendapat reaksi yang luar biasa hebatnya. Tawaran yang dikemukakan begitu memikat imiginasi masyarakat umum, terutama melalui perincian 100 hari pertama pemerintahan Pakatan selepas memperolehi mandat rakyat.

Tentu sekali pemimpin BN dan media talibarutnya secara intensif melemparkan kecaman dan serangan berterusan bagi memburukkan dokumen tersebut, namun ia menyumbang promosi lebih menyeluruh terhadap tawaran Pakatan.

 

Kesan positifnya, Buku Jingga menjadi sebutan dan perbincangan di mana-mana. Pihak kerajaan, termasuk Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, mengambil jalan mudah -- tanpa sanggahan berfakta -- mendakwa negara akan bankrap jika janji-janji Pakatan dilaksanakan.

Di kala Pakatan mengemukakan hujah dan rasional, memberi fokus kepada isu-isu rakyat dan polisi penting, BN masih bermain sentimen dan emosi.


Saya percaya tumpuan umum pelbagai lapisan masyarakat akan terpusat kepada pelancaran Manifesto Rakyat, 25 Februari, di Pusat Konvensyen Shah Alam itu. Seluruh negara bukan saja mahu mendengar pakej tawaran baru tetapi juga perincian dan justifikasi bagaimana ia boleh dilaksanakan dengan berkesan, termasuk fasa-fasa masa yang diperlukan.

Mengetahui orang seperti Rafizi Ramli dan teman-teman baiknya dalam Pakatan, termasuk Dr Dzulkefly Ahmad, yang bertanggungjawab merumuskankan draf akhir manifesto, saya jangkakan strategis kempen BN  pasti tidak senang duduk!

Berdasarkan kajian terbaru  Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UMCEDEL, tawaran-tawaran yang lebih spesifik, seperti janji menurunkan harga minyak, janji pemansuhan PTPTN dan menyediakan pendidikan secara percuma, dan janji penurunan harga kereta, dilihat boleh meningkatkan  sokongan kepada Pakatan.

Secara timbal baliknya, isu-isu berkaitan integriti dan penyalahgunaan kuasa pemimpin BN atau secara khusus membabitkan kes-kes NFC, kegagalan mengawal kenaikan harga barang. serta kelemahan dalam menguruskan ekonomi sehingga berlaku peningkatan hutang negara, telah menarik perhatian responden sebagai isu-isu yang boleh menjejaskan sokongan kepada BN.

Ini bermakna, pengundi akan menilai dengan cermat dan teliti, sejauh mana BN dan Pakatan, berusaha menangani isu-isu yang menyentuh langsung kehidupan seharian rakyat. Dan antara kayu ukur awal ialah manifesto yang bakal dikemukakan kedua-dua gabungan parti itu.


Kesan tawaran Pakatan, misalnya berkaitan penurunan harga kereta, membuatkan ramai menangguhkan hasrat mereka untuk membeli kenderaan baru. Apa pun, rakyat lebih mengharapkan satu pelan menyeluruh ditampilkan, berkaitan pelbagai segmen khusus, seperti rawatan kesihatan, agenda wanita, peningkatan pendapatan isi rumah dan lain-lain.


Diharapkan perdebatan tentang isu-isu yang real ini, daripada pembentangan manifesto masing-masing nanti, dapat menenggelamkan (kalaupun tidak menamatkan) polemik berterusan yang ditimbulkan Umno-BN, yang berlegar sekitar sentimen perkauman, politik jahat, permainan emosi dan seumpamanya.

Sebagai pengamal media yang sering membangkitkan isu kebebasan, saya tertarik dengan jaminan Pakatan untuk "menghapuskan semua undang-undang, yang menyekat kebebasan media dan mewujudkan suasana media yang berat sebelah, termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta prosedur perlesenan media."

Sebagai rakyat prihatin yang sentiasa mempersoalkan undang-undang rimba, seperti ISA, saya teruja dengan janji-janji Pakatan untuk memansuhkan semua undang-undang anti-rakyat, dengan langkah-langkah berikut:

"Semakan menyeluruh ke atas semua undang-undang yang bertentangan dengan prinsip keadilan dan kebebasan rakyat atau bersifat anti-rakyat. Memansuhkan semua undang-undang dan peraturan ini dalam tempoh tahun pertama pentadbiran Pakatan. Menguatkuasakan Akta Pemulihan Demokrasi untuk mengukuhkan lagi hak rakyat. Kerajaan Persekutuan membebaskan dan memohon maaf kepada semua tahanan ISa dari dulu hingga sekarang."

Semasa Rafizi mengisi slot khas dalam retreat Jabatan Pengarang Harakah bulan lalu, Pengarah Strategi KeADILan itu menimbulkan satu persoalan menarik, iaitu bagaimana Pakatan menangani masalah rasuah dan korupsi yang berleluasa sekarang, melalui satu pelan menyeluruh dan holistik.

Saya, seperti majoriti rakyat lainnya, yang sudah muak dan jelak dengan amalan salahguna kuasa, menarik nafas lega dengan cadangan Pakatan memperkenalkan Dasar Banteras Rasuah Negara (DEBARAN), yang dijangka, antara lain, merombak amalan dan proses SPRM agar tumpuan diberikan sepenuhnya kepada siasatan dan pendakwaan terhadap kes-kes rasuah besar, melibatkan kepentingan awam sekali gus membuang persepsi bahawa SPRM hanya menumpukan kes kecil sedangkan rasuah pembesar negara dipadamkan.

II.

Secara jujur, saya melihat kegusaran mengenai kecenderungan pengundi Melayu masih belum berjaya diatasi sepenuhnya. Ada pihak mendakwa, sepanjang lima tahun terakhir ini, sokongan mereka kepada Pakatan, khususnya PAS, tidak mencatatkan banyak peningkatan.

Saya tidak pasti apakah ada sandaran kukuh terhadap kerisauan itu ketika semakin ramai tokoh-tokoh masyarakat menyertai PAS dan banyak kawasan yang sebelum ini dikenali sebagai kubu  Umno telah ditembusi. Sekurang-kurangnya mesej PAS dapat disampaikan kepada khalayak yang lebih meluas.

Memang sikap over confident bahawa Pakatan mampu menerajui  Putrajaya dalam PRU13 mempunyai keburukan tertentu, sehingga membuatkan  aktivisnya memandang mudah dan alpa, tetapi kebimbangan dan ketakutan tanpa asas kemungkinan orang Melayu tidak bersedia berubah, juga perlu dielakkan.

"Dalam sejarah lebih 60 tahun penubuhannya, PAS kini berada pada tahap paling kukuh," kata seorang penganalisis politik. "Walaupun kerusi Parlimen yang dimenanginya kurang sedikit daripada 1999, tetapi sokongannya tambah merata termasuk di Johor. Malah ramai personaliti terkemuka lebih berminat mendekati PAS, terpulang kebijaksanaan pemimpin utama untuk mengolahnya, " tambahnya.

Cuma, PAS kini terpaksa bertembung langsung dengan Umno, parti utama dalam BN, yang menguasai seribu satu sumber kekuatan. Namun begitu, Umno juga dalam proses pereputan, natijah pelbagai jenayah besar sejak merdeka.

Proses urbanisasi, fenomena langit terbuka, peningkatan tahap pendidikan dan pembesaran kelas menengah dikatakan faktor memperkukuhkan pengaruh Pakatan, termasuk PAS. Semakin rakyat bermaklumat dan berilmu, mereka kian menjarakkan diri dengan Umno-BN.

Saya akui kerap mengingatkan penggerak Pakatan, khususnya PAS, agar usah meremehkan pengaruh propaganda bagi mengekalkan kuasa BN yang disebarkan melalui media tradisi seperti Utusan Malaysia dan TV3.


Ia bertujuan untuk mencabar dan menyemarakkan lagi usaha penerangan dan penjelasan ke seluruh pelosok, seperti kampung tradisi dan penempatan Felda. Minda Melayu yang terjajah dan terkepung itu harus dibebaskan.

Sebenarnya dakyah Utusan dan TV3 tidaklah terlalu sukar untuk dipatahkan. Edaran akhbar itu pula semakin merosot dengan ketara, manakala siaran Buletin Utama TV3 sering dipersendakan, seperti kes "Himpunan Shamsidar", apatah kredibiliti sumber beritanya cukup rendah.

Oleh itu, bukan hanya media baru perlu ditingkatkan wilayah pengaruhnya ke segenap ceruk rantau, malah akhbar alternatif, seperti Harakah dan Suara Keadilan, perlu sampai ke setiap rumah pengundi Melayu. Biar mereka dapat membuat penilaian dan penghakiman sebaiknya. Malang sekali, sehingga kini, jaringan pengedaran itu tetap terbatas.

Tidak dinafikan PAS berdepan tugas paling sukar dan kritikal berbanding DAP dan KeADILan, namun "semakin pekat malam, maka semakin dekatlah fajar menyinsing". Begitu perit tribulasi dan berat kepedihan yang menimpa pemimpin dan ahli-ahli parti selama lebih 60 tahun; PAS bukan saja bertahan tetapi berkembang pesat.

Prinsip perjuangannya disanjung, akhlak dan komitmen penggerak PAS dihormati kawan dan lawan. Justeru, benteng pengundi Melayu-Islam yang dikatakan menjadi penyelamat Umno-BN pada 2008 tidak semestinya kekal kebal. Ia hampir roboh dan musnah.

Jadi mengapa perlu gerun dengan  parti bobrok yang bakal ditelan sejarah itu?  "Janganlah tindakan kita yang keliru, walaupun tanpa sedar, boleh menyebabkan Umno dapat mengembalikan kekuatannya untuk terus mempertahankan kuasa," ingatan seorang profesor sastera kepada saya. "Harapan kami hanya kepada Pakatan, jangan sesiakan," tambahnya.

III.

Isnin lalu, saya sempat berkunjung ke rumah Dr Haron Din, di Bandar Baru Bangi. Saya tidaklah berhasrat menimbulkan khabar angin yang tersebar luas dalam internet mendakwa beliau keluar PAS, banyak lagi perkara lain yang lebih urgent.

"Kalau Ustaz Haron Din betul keluar PAS, pasti Utusan dan TV3 terlebih dulu menghebohkannya," saya membalas SMS seorang rakan yang bertanyakan berita palsu itu. Rupanya ramai lagi yang tertanya-tanya isu yang sama.

Kenalan rapat dari Alor Setar, sebaik mengetahui saya di rumah Timbalan Mursyidul Am PAS itu, minta bertanyakan kerana "aku nak dengar sendiri penjelasannya".

Sambil minum petang dan menikmati karipap panas, Dr  Haron menegaskan: "Saya pertegaskan sekali lagi, bahawa saya dalam menghadapi isu kalimah Allah atau isu yang berhubung dengan apa sahaja pendirian PAS dengan DAP, saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkan perjuangan bersama PAS.

"Tidak terlintas dalam benak saya, bahawa saya akan keluar PAS dalam menghadapi isu  ini. Melawak tidak pernah, bercakap pun tidak pernah. Selepas bersama dalam perjuangan, tidak terfikir  hendak keluar PAS.


"Malah Perhubungan PAS Perlis telah menawarkan saya bertanding dua kerusi, Dun dan Parlimen dalam PRU13 walaupun saya daripada awal minta tidak disenaraikan kerana tidak cukup sihat fizikal."

Dr Haron berkata, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jassin sendiri menawarkan kerusi yang disandangnya. Begitu juga dengan seorang lagi Adun PAS (Simpang Empar), Rus'sele Eizan.

"Saya juga ditawarkan Parlimen Arau. Pada 2008 saya kalah 300 undi sahaja.  Saya tolak tawaran itu. Mesyuarat tidak terima pandangan saya, mereka kata akan bantu dan tampung kelemahan saya. Akhirnya saya terima satu sahaja, iaitu Parlimen Arau," ujarnya.

 

 

Baca Seterusnya......