Monday, May 20, 2013

Sedia terus berlawan dan Zahid yang sombong

Oleh Ahmad Lutfi Othman
 
Semasa berkunjung ke Kelantan Selasa lalu, saya dapat mengesan riak kekhuatiran bahawa era pemerintahan PAS sejak 23 tahun lalu bakal berdepan cabaran besar, khususnya selepas pengunduran Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat.

Bagi saya, kebimbangan kecil itu boleh membawa kepada natijah positif jika ia diurus dengan baik. Ia jauh lebih baik daripada sikap terlalu yakin dapat mengekalkan kuasa, sehingga berlaku pengabaian ketara, terutama untuk mengawasi strategi licik musuh dan menutup ruang kelemahan sendiri.

Ketika majlis jamuan meraikan petugas PRU13 Kelantan di Kota Bharu, yang turut dihadiri Menteri Besar Ustaz Ahmad Yaakob, dua penggerak utama pilihan raya negeri, Wan Nik Wan Yusof dan Zulkifli Mamat menekankan keperluan gerak kerja mendekati rakyat harus bermula dari sekarang.

 

Semasa Pakatan Rakyat dilihat mendapat sokongan lebih meluas di Selangor dan Pulau Pinang, tentunya Kelantan mahu bergerak seiring. Ya, bukan saja memperkukuhkan kekuatan sedia ada, malah mampu menyuntik semangat dan inspirasi, khususnya kepada penyokong PAS di seluruh negara.

Ketua Penerangan PAS Negeri, Dr Mohd Fadzli Hassan, yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri, ketika ditemui di pejabanya di Kota Darulnaim, mengakui cabaran tersebut. "Dari segi asas kekuatan, pengaruh PAS dan Umno di Kelantan, hampir seimbang, masing-masing sekitar 35 peratus. Kemenangan terletak kepada 30 peratus pemilih atas pagar dan pengundi luar," tambahnya.

Berbicara soal keputusan PRU13, kami agak bersepakat bahawa faktor rasuah politik dan "proses pembodohan" umat, terutama di kawasan luar bandar, membabitkan majoriti pengundi Melayu  masih berkesan untuk mempertahankan survival Umno.

"Oleh itu, cabaran besar kita sepanjang lima tahun ini adalah untuk melahirkan masyarakat berilmu dan bermaklumat. Dengan itu tidak mudah lagi mereka diugut atau dirasuah, atau aktiviti beli undi lainnya," tambah Dr Fadzli, sambil menjamu kami makan tengahari nasi paprik di pejabatnya.

Saya agak kaget apabila Dr Fadzli mendedahkan beberapa pendekatan membeli undi, termasuk sindiket membabitkan kertas undi pos. Dalam PRU13, hampir 250,000 pemilih mengundi secara pos.

Lebih dahsyat, menurutnya, kertas undi pos itu cuba "dijual" kepada calon-calon yang bertanding, sehingga RM300 seorang. Malah, kegiatan ini dilakukan oleh broker tertentu, yang mengutip "komisyen" sehingga lebih 60 peratus. Ada kes di mana pemilik kertas undi mendapat RM100, manakala broker membolot RM200!

Di sebuah negeri di utara tanahair, diceritakan bagaimana para petugas BN, termasuk seorang bekas menteri besar, di malam hari mengundi, mengetuk pintu dari rumah ke rumah, seterusnya menyogok sejumlah wang, selepas memetrai "perjanjian" dan keesokan harinya ramai pengundi tidak keluar mengundi.

Malang sekali. Rupanya politik rimba, politik lama, politik kuno masih mengakar dalam amalan pilihan raya kita. Retorik politik baru, transformasi dan pelbagai istilah yang mahu menggambarkan pembaharuan dicipta untuk mengangkat pemerintahan Najib Razak, ternyata palsu.

Sebenarnya kita tidak memerlukan bukti-bukti terkini untuk mengesahkan bahawa sistem dan proses pilihan raya di Malaysia dipenuhi pelbagai ketempangan dan penipuan. Badan yang dipertanggungjawabkan khusus untuk menjalankan pilihan raya yang adil dan bersih, SPR secara jelas mengkhianati "kepercayaan awam" apabila bertindak seperti parti komponen BN yang ke-15!

Dalam perkembangan berkaitan, tulisan Dr Zahid Hamidi, Naib Presiden Umno, yang baru dilantik Menteri Dalam Negeri, disiarkan Utusan Malaysia (akhbar mana lagi?), mendapat reaksi panas.

Zahid dan Hishammuddin Husein, masing-masing rapat dengan Najib Razak, bertukar posisi di kementerian kanan, Pertahanan dan Dalam Negeri, walaupun pretasi kerja kedua-duanya buruk, seperti dibuktikan dalam kes pencerobohan di Lahad Datu dan peningkatan kadar jenayah.

Zahid mencabar golongan yang mengkritik sistem First-Past-The-Post (FPTP) serta mereka yang menimbulkan undi popular yang memihak Pakatan: "Jika golongan ini mahu menerima pakai list system atau single transferable vote seperti mana digunakan oleh negara-negara republik, sepatutnya mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan kepercayaan politik mereka."

Cabaran kepada "pengkritik" supaya berhijrah ke negara luar atau dicabut terus kerakyatan, selain ditahan tanpa bicara semasa ISA masih mengamuk dulu,  hanya menunjukkan kebebalan, kedunguan dan keangkuhan yang tiada batas.

Daripada pencacai Umno di kampung, atau bertaraf ketua bahagian, juga pemimpin KeADILan yang dibeli -- termasuk yang pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri atau ahli Parlimen melompat parti -- sehinggalah Menteri Dalam Negeri berkelulusan doktor falsafah, semuanya menunjukkan kecenderungan yang sama, mungkin disebabkan diternak dalam "kandang" yang serupa.

Respons Dr Mohamad Agus Yusoff kepada Zahid menarik sekali: "Mengapa DS Zahid boleh mengeluarkan kenyataan sebegini? Apakah salah jika rakyat mempersoalkan pelaksanaan sistem pilihan raya yang ada? Apakah Perlembagaan  menghalangnya? Setahu saya, Perkara 10 Perlembagaan menjamin hak rakyat untuk bebas mengeluarkan pendapat, berhimpun dan berpersatuan.

"Tidak ada satu klausa pun dalam Perlembagaan yang membenarkan menteri untuk memberitahu rakyatnya supaya berhijrah ke negara lain hanya kerana berbeza pendapat dalam politik. Jika kita akui negara kita adalah negara demokrasi, maka berdemokrasilah secara jujur.

"Sebagai menteri, DS Zahid sepatutnya membangkitkan kasih sayang dan semangat patriotik rakyat kepada negara, bukannya mengeluarkan kenyataan sebegini. Sebagai menteri DS Zahid sepatutnya menggunakan masa untuk merancang mengatasi masalah keselamatan, jenayah, social ills dalam negara, daripada menyerang rakyat yang mempunyai perbedaan politik dengan parti kerajaan."

Saya tidak pasti apakah Zahid berhasrat mahu menghalau lebih 52 peratus penduduk negara ini (berdasarkan undi popular yang diperolehi Pakatan Rakyat dalam PRU13) keluar daripada Malaysia hanya kerana mereka mungkin tidak bersetuju dengan sistem pilihan raya yang penuh ketempangan dan penipuan itu?

Sambil menyifatkan tulisan Zahid itu sebagai kenyataan sombong yang menghina rakyat, Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim, semasa berpidato di perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat edisi Negeri Sembilan, Jumaat lalu, beliau mempersoalkan: "Kamu (Zahid) ingat negara ini bapa kamu punya?"

 


Sebenarnya, apa jua sistem pilihan raya yang dipilih, termasuk FPTP, mempunyai kelemahan dan juga kekuatan tersendiri. Kebanyakan negara yang baru memilih sistem demokrasi dilihat lebih cenderung kepada bentuk-bentuk sistem pilihan raya alternatif, khususnya "yang menilai dan mengambil kira" setiap undi yang dibuang, iaitu sistem proporsional atau yang menggabungkan antara FPTP dan proporsional.

Bukan niat saya untuk menilai sistem mana lebih mewakili suara rakyat.  Yang hendak ditekankan, mengapa seorang menteri kanan (Dalam Negeri pula itu), memberi reaksi yang sebegitu kasar dan tidak bertamadun, hanya kepada golongan yang mengkritik, hatta membantah sistem pilihan raya yang berjalan sekarang?

Apakah partisipasi politik menurut Zahidi bermakna hanya turun mengundi setiap lima tahun sekali, seterusnya memberikan "cek kosong" kepada pemerintah, dan kemudiannya sekadar menjadi pemerhati pasif, walaupun menyedari bermacam-macam penyelewengan dan salahlaku berleluasa?

Malah, sistem FPTP di Malaysia, diperalatkan semahunya oleh elit pemerintah terutama semasa proses persempadanan semula kawasan pilihan raya. Lakaran persempadanan baru itu dibuat oleh pegawai-pegawai Umno sendiri, dan SPR hanya menurut saja.

Itulah yang berlaku selepas Umno dikejutkan dengan undi protes orang Melayu pada 1999. Pengundi Melayu di Kelantan, Kedah dan Terengganu "dihukum" SPR apabila tiada penambahan kerusi Parlimen diperuntukkan. Di Kedah, tokoh-tokoh utama PAS, misalnya Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar dikalahkan  melalui taktik gerrymandering persempadanan semula itu, membabitkan sekurang-kurangnya kerusi Kuala Kedah, Baling, Pokok Sena dan Yan.

Jelas, sistem FPTP telah dimanipulasi berdekad lamanya, menyebabkan setiap kali persempadanan semula dibuat, prestasi pembangkang dalam pilihan raya berikutnya akan merosot teruk. Contoh ketara ialah pada 2004, selepas Barisan Alternatif menerima sokongan membanggakan, terutama daripada pengundi Melayu pada 1999.

Sistem FPTP yang dilaksanakan sekarang juga memperlihatkan perbedaan ketara jumlah pengundi, misalnya di antara kerusi Parlimen Putrajaya (15,791) dengan Kapar (144,159), malah pengundi di Baling yang jauh tersorok lebih ramai berbanding kerusi Parlimen di Kuala Lumpur.

Ketika persempadanan semula itu dibuat, ia berasaskan keyakinan PM ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, bahawa orang Melayu akan mengundi pembangkang dan masyarakat Tionghua menjadi penyelamat BN. Maka banyaklah kawasan Parlimen pengundi campuran yang dibentuk, dan tiada tambahan kerusi di tiga negeri Melayu.


"Ibarat main bolasepak, padang permainan condong ke sebelah Pakatan, pihak lawan tak perlu sumbat gol pun, bola boleh meleret sendiri ke gawang kita," rakan saya, Zainal Abidin Hussin, orang kuat Pusat Kajian Strategik Kelantan, memberi contoh kepincangan sistem demokrasi di Malaysia, semasa kami minum air kelapa muda, di sebuah gerai di Pengkalan Chepa, sementara menunggu pesawat bertolak balik ke Kuala Lumpur. Kami sama-sama ketawa, walaupun menyedari hakikat itu cukup pedih untuk diterima.

Cuaca buruk pada petang Rabu itu menyebabkan AirAsia terlewat. Namun saya lebih memikirkan, bagaimana kaedah terbaik untuk memanfatkan mood semasa, terutama melalui himpunan "Black505" bagi memperolehi sistem pilihan raya yang bersih, bebas dan adil, termasuk merombak FPTP. Meskipun belum berkesempatan turun bersama-sama memeriahkannya, saya memberikan sokongan sepenuhnya kepada sebarang usaha melakukan reformasi menyeluruh ke atas sistem dan proses pilihan raya negara kita.

Di atas pesawat, saya teringat penutup tulisan Hishamuddin Rais:  "Tidak ada sesiapa dalam dunia ini akan mengagihkan Kuasa dan Kebebasan. Kuasa dan Kebebasan hanya dapat dirampas dengan Perlawanan."

Baca Seterusnya......

Loceng amaran dan Melayu dikhianati?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Saya di Kota Bharu ketika menulis catatan pendek ini. Bersama wartawan kanan, Wan Nordin Wan Yaakob, saya cuba menghayati dan menikmati kemenangan berganda Pakatan Rakyat di Kelantan meskipun hebat diasak Umno-BN. Tidak mudah juga PAS mempertahankan Serambi Makkah selepas 23 tahun berkuasa semula, selepas dikalahkan pada 1978.

Meskipun BN dapat merebut tiga kerusi Parlimen yang ditandingi KeADILan di Machang, Tanah Merah dan Ketereh -- selain mempertahankan Jeli dan Gua Musang, keputusan mempertahankan 33 kerusi Dun dalam PRU13 itu boleh dianggap satu pencapaian membanggakan.

Serangan bertali-arus BN, terutama menggunakan senjata ampuh politik wang, juga dilihat mempunyai kesan negatif kepada sokongan terhadap Pakatan, terutama di kawasan membabitkan tokoh-tokoh utama Umno. Namun, saya sempat dibisikkan bahawa keputusan di Kelantan tidak boleh dipandang selesa, sebaliknya satu bentuk "loceng amaran" awal.

 

"Persaingan adalah merebut sokongan pengundi atas pagar dan jumlah besar anak-anak Kelantan di perantauan yang balik mengundi di kampung halaman, iaitu hampir 200,000 pemilih," kata seorang rakan, yang terserempak di KLIA semasa menunggu pesawat ke Kota Bharu. Beliau kelihatan agak bimbang dengan kecenderungan mengundi anak tempatan.

Kebetulan sewaktu tiba di hotel penginapan, Raudah, ada jamuan meraikan petugas pilihan raya PAS Kelantan. Ditemani ketua wartawan Harakah negeri, Mazlan Jusoh, kami menikmati makan malam yang enak, ditempatkan bersebelahan meja utama Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, Setiausaha Perhubungan PAS, Zulkifli Mamat, Pengarah Pilihan Raya Negeri, Wan Nik Wan Yusof.

Ustaz Mad, dalam ucapannya, menyuntik semangat untuk aktivis parti menyusun pendekatan terbaik dan membuat persiapan rapi menghadapi PRU14, "bermula dari sekarang, sebaik keputusan PRU13 diumumkan". Beliau sempat merakamkan penghargaan kepada NGO Royalti dan pihak yang menguruskan pengundi luar, yang memberi sumbangan besar kepada kemenangan di Kelantan.

Seusai majlis, Wan Nik menunjukkan analisis awal keputusan PRU13 Kelantan. Agak menarik bila dibentangkan fakta tentang "undi belah-bahagi"; ada pengundi memilih PAS di peringkat Dun tetapi memangkah BN di peringkat Parlimen, misalnya di Machang, Tanah Merah dan tidak terkecuali Kota Bharu. Namun begitu, ramai juga pengundi yang menyokong BN di kerusi Dun tetapi memilih PAS di kerusi Parlimen, seperti Tumpat dan Pasir Puteh.

Sebenarnya saya lebih terdorong untuk menulis tentang percikan api perkauman dan sentimen persengketaan antara kaum yang cuba dicetuskan oleh pihak tidak bertanggungjawab (mungkin mengambil semangat daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Najib Razak sendiri) dan media utama yang ditaja Umno.

Kecaman melulu kepada DAP secara khusus dan pengundi Cina secara umum hanya mendedahkan hipokrasi Umno berdepan situasi sulit yang dihadapinya. Ramai pemerhati politik hairan bagaimana parti teras BN itu mengambil sikap bebal, yang bukan hanya memerangkap diri sendiri, malah boleh menjerumuskan negara ke lembah kebinasaan.

"Alhamdulillah, DAP yang dikecam hebat dengan fitnah melulu tidak melenting. Begitu juga dengan sikap bijaksana pemimpin PAS yang tidak mudah terperangkap dengan ajakan perpaduan juak-juak Umno," kata seorang pensyarah sains politik.

Secara peribadi, saya terganggu dengan kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan Ahli Jawatankuasa Rayuan Disiplin UMNO, Dato' Mohd Noor Abdullah yang mengugut masyarakat Cina supaya bersedia dengan  tindak balas masyarakat Melayu kerana "pengkhianatan" mereka dalam PRU13.

Dalam ucapan di Seminar Pasca PRU-13 di ibu negara, Mohd Noor mempertegaskan amaran bahawa orang Melayu akan membalas dendam sekiranya dikhianati. "...Bagi orang Melayu, pantang larangnya, jangan dikhianati orang Melayu. Oleh kerana orang Melayu bila dikhianati, dia membalas dendam kesumatnya tak sudah-sudah."

Malu saya untuk mengaku seorang Melayu jika ciri-ciri kemelayuan termasuk "membalas dendam kesumat tak sudah-sudah", seperti disebut Mohd Noor, yang sarat dengan elemen perkauman, hasutan dan langsung tidak bertanggungjawab! Kenyataan yang lazim didendangkan dalam kursus Biro Tata Negara ini seharusnya dikutuk.

Tempoh lima tahun ini wajar dimanfaatkan oleh Pakatan Rakyat, terutama PAS, bagi menawarkan budaya politik baru, untuk menjamin Malaysia yang dapat meneduhi setiap warganya, selain menguburkan terus politik kuno yang jahat dan hodoh itu.

Selepas memenangi hampir semua kawasan bandar, yang ditandai dengan majoriti lebih besar, Pakatan sebenarnya menguasai potensi masa depan yang cerah. Peningkatan kesedaran berpolitik masyarakat desa dan penempatan Felda misalnya, dikira mampu mengangkat kedudukan Pakatan, menjadikan impian ke Putrajaya lebih realistik.

Masyarakat Tionghua mungkin saja boleh berpatah palik memberi sokongan kepada BN dalam PRU14, tetapi dengan luka pedih dan bisa perit tusukan perkauman Umno, saya percaya dalam tempoh lima tahun ini, pengundi Cina tidak mudah memaafkan, apatah lagi melupakannya.

 

---

14 Mei 2013 

 

Baca Seterusnya......

Friday, May 17, 2013

Janji yang belum tertunai buat Jamal Azahari

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Saya sebenarnya telah lama berjanji dengan ayah mereka -- tujuh anak-anak bekas tahanan ISA di Sandakan, Sabah -- untuk cuba menyelesaikan masalah berkaitan pendidikan yang te...rabai sejak sekian lama.
 
Dari dalam penjara di Manila. Jamal Azahari memohon kepada saya, paling tidak pun dapat memastikan anak-anaknya dapat belajar agama ekoran masalah tiada dokumen pengenalan diri. Saya menyanggupinya.

Kempen tidak rasmi PRU13 yang berlangsung begitu lama sebelum pembubaran Parlimen telah menangguhkan hasrat saya itu. Sukar mencari tarikh yang sesuai untuk "lari sekejap" melintasi Laut Cina Selatan.

Saya juga telah memberi komitmen kepada Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah, yang tinggal di Sandakan, untuk berkunjung ke sana sebelum PRU13.


Jamal, warga Filipina, yang dibebaskan daripada Kamunting lebih enam tahun lalu dihantar balik ke negara itu, meninggalkan anak-anak dan isterinya di Sandakan. Kalau tidak silap saya, beliau ditahan ISA atas dakwaan terlibat dengan perjuangan Islam Moro.

Saya dan beberapa teman, khususnya Cikgu Norlaila Othman, aktivis Gerakan  Mansuhkan ISA (GMI) sempat turun menyantuni keluarga tahanan di Sandakan. Kami membawa sumbangan pembaca Harakah yang tidak putus-putus terus menghantar bantuan.

Walaupun selepas tahanan dibebaskan, dan kembali bersama keluarga, melalui dana yang dikutip, mereka tidak pernah dilupakan, khususnya semasa hari raya, Aidil Fitri dan Aidil Adha.

Namun kepada keluarga Jamal Azahari, nasib mereka lebih malang. Ketiadaan Jamal cukup menyulitkan, apatah lagi mereka tiada dokumen pengenalan diri sebagai "pelarian" yang diiktiraf UNHCR.

Anak-anak Jamal sepatutnya berada di bangku sekolah tetapi mereka sukar mendapat pendidikan secara formal. Kakak yang sulung pula, baru menginjak 20 tahun, terpaksa mencari rezeki, sekadar menjadi pembantu kantin .

(Gambar :Ahmad Lutfi meraikan anak-anak Jamal Azahari dan Norhatta, di rumah mereka, di Sandakan)
Dua kali saya singgah ke rumah mereka yang lusuh, hampir roboh, dalam keadaan yang cukup menyedihkan. Kedah runcit yang diusahakan secara kecil-kecilan bagaikan gudang lama. Memang kehidupan mereka anak beranak begitu daif.

Jamal, melalui panggilan telefon, dalam keadaan menyedari saya juga sering uzur, amat mengharapkan saya dapat membantu keluarganya, terutama menyekolahkan anak-anak.

Dengan nada sedih dan terharu, beliau seperti berasa amat bersalah kerana gagal memenuhi tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga. Di hujung telefon, saya beberapa kali kehilangan kata-kata, terharu dan turut berkongsi kocakan rasa Jamal.

Kesibukan berdepan PRU13 hampir melupakan saya dengan keluarga pejuang ini. Namun, sesekali saya dikejutkan dengan SMS anak-anak Jamal Azahari, yang bertanya khabar dan mohon sumbangan meringankan bebanan.

Saya kira, lebih penting daripada belanja dapur dan keperluan seharian, anak-anaknya mengharapkan dalam bersama rakan-rakan untuk bersekolah dan belajar. Kali terakhir, isteri Jamal, Norhatta, memberitahu saya, mereka anak beranak membuat keputusan untuk pulang ke selatan Filipina, atas permintaan suaminya.

Saya segera tersedar. Janji saya kepada Jamal belum tertunai. Justeru, saya membulatkan hati untuk terbang ke Sandakan, Ahad ini, 19 Mei, insya-Allah, bagi melihat sendiri, apa yang terbaik untuk Norhata dan tujuh anak-anaknya.

Jika ada pembaca yang mahu terus menyumbang khas untuk keluarga ini, sila salurkan terus kepada akaun Maybank HARAKAHDAILY DOT COM, no 5640 7000 0336. Terima kasih banyak. Terima kasih.
Baca Seterusnya......

Sunday, May 12, 2013

PRU13: Mari kita bantah dan muhasabah

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Jumaat, 10 Mei, saya cuti sakit. Khabar awal wartawan Harakah, Azamin Amin, yang memaklumkan bekas Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abd Razak terpaksa dipotong kedua-dua kakinya di bawah paras lutut menyebabkan saya agak "terkedu" di malam Jumaat itu. Hiba dan sebak. Tambah pilu mengenangkan Kedah jatuh hanya selepas sepenggal diterajui PAS-Pakatan.

Mulanya kolum ini tidak dapat diisi walapun saya sudah berjanji untuk menganalisis keputusan PRU13. Terpaksa ditangguhkan. Apa pun, hasrat saya untuk berehat lebih panjang terpancung apabila Dr Dzulkefly Ahmad menelefon. Mendengar suara lemah saya, AJK PAS Pusat itu cepat memintas, dengan nada ceria: "Kita yang kalah pun masih cergas."

Saya menyambutnya dengan ketawa kecil, sekali gus menyedari setiap kita mempunyai masa yang terbatas, dengan beban kerja menimbun. Dr Dzul yang kalah tipis di Kuala Selangor, dengan perbedaan 460 undi, sempat menjelaskan hasratnya untuk kembali aktif dalam Pusat Penyelidikan PAS (PPP) dan bersama rakan-rakan yang lain mengukuhkan parti.

Segera saya terkenang pemimpin PAS yang tidak menang dalam PRU13, antaranya, Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Husam Musa, Tuan Ibrahim Tuan Man, Mazlan Aliman dan lain-lain lagi.

 

Pastinya Parti Islam, yang mempunyai bilangan ahli Parlimen (21) paling kecil berbanding KeADILan (30), apatah lagi DAP (38), memerlukan gabungan tenaga kepemimpinan lebih cergas, tangkas dan berwibawa untuk mendepani cabaran lebih sukar dan kompleks. (PAS mempunyai 85 Adun, KeADILan 49 dan DAP 95)

Seorang pembaca menjolok idea melalui SMS: "Mereka yang tewas ini tentu mempunyai lebih banyak masa bagi mencetuskan proses 'peremajaan parti',  terutama untuk mendekatkan imiginasi orang muda dengan PAS."

Tentu sekali, dalam konteks dalaman, ramai mula membicarakan soal post-mortem secara tidak rasmi. Meskipun bedah-siasat keputusan PRU13 mungkin tidak begitu relevan dengan situasi sekitar PRU14 nanti, namun proses muhasabah dan koreksi diri, amat penting dan mendesak untuk kelangsungan mana-mana organisasi.

Ya, amat sedikit, malah boleh dikatakan hampir tiada pihak yang berani meramalkan berlaku kejutan di Terengganu sehinggalah selepas nama-nama calon diisytiharkan. Hinggakan ramai juga aktivis PAS di sana yang tersentuh apabila sering disebut, walaupun dalam nada berseloroh: "Kalaupun Pakatan dapat kuasai Putrajaya, negeri Terengganu kekal di tangan pembangkang, kali ini BN."

Di Kedah, seperti saya cuba lakarkan menerusi pemerhatian di hari terakhir sebelum mengundi, petugas PAS langsung tidak terhidu mereka boleh dikalahkan, walaupun pada pengamatan saya, "kita tuai apa yang telah kita tanam," selain proses pilihan raya penuh ketempangan dan penipuan. Sebagai penyandang, prestasi Kerajaan Pakatan Kedah juga wajar dinilai secara jujur dan kemungkinan ia menjadi penyebab utama kekalahan tidak diduga itu.

Tanpa merujuk analisis mendalam, saya kira keseluruhan keputusan PRU13 boleh dianggap satu peningkatan membanggakan buat Pakatan. Bukan mudah berdepan kempen yang cukup tidak seimbang, khususnya mainan media, terutama TV dan akhbar harian.

Tonton saja Buletin Utama TV3; iklan-lagu politik bersilih ganti, dengan laporan berat sebelah yang menjolok mata. Awani yang kelihatan mahu bebas juga terperangkap, apatah lagi RTM dan stesen TV Media Prima yang lain, serta tidak terkecuali TV Al-Hijrah.

Sebagai pengamal media, saya sebenarnya lebih cenderung untuk melihat akses media yang seimbang untuk semua parti dan calon yang bertanding, berbanding keputusan PRU13. Tuntutan Bersih awalnya seperti mahu diberi respons munasabah oleh Dr Rais Yatim, menteri berkaitan, tetapi akhirnya tawaran slot 10 minit menjadi jenaka dan hilang terus bila beliau tidak terpilih sebagai calon BN di Jelebu.

Dalam forum sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2013, anjuran Aidcom, Unisel dan akhbar Sinar Harian, pada 3 Mei (dua hari sebelum mengundi) di Shah Alam, saya menekankan impian agar institusi "semak dan imbang", yang berperanan sebagai "anjing penjaga" seperti media bebas dapat diperkukuhkan.

"Siapa pun yang menang Isnin 5 Mei nanti, kita mahu suara, rintihan dan keluhan rakyat didengar. Dan penguasa hanya dapat mendengarnya melalui kewujudan media independen, yang tidak diganggu dengan pelbagai peraturan karut-marut seperti sekarang," tegas saya dalam forum yang disertai A Kadir Jasin, Fathi Aris Omar dan moderator Abdullah Ahmad.

Malangnya, sepanjang kempen, saya perhatikan media di Malaysia -- yang dikawal melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, serta ditambah proses hak milik yang primitif -- bertindak tidak lebih daripada perkakas bagi BN. Tiada lagi kewarasan dan kebijaksanaan.

Pengecualian hanya kepada Sinar Harian. The Star kembali menjadi lidah rasmi MCA, dengan siaran iklan politik yang menyerang bertubi-tubi PAS dan DAP. Usaha DAP untuk membeli iklan menjawab tohmahan itu ditolak mentah-mentah. Akhbar-akhbar parti seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket berada dalam liga tersendiri dan tidak adil untuk dinilai "kebebasannya".

SPR langsung tidak berperanan untuk membentangkan "padang permainan sama rata" dalam PRU13. Penggunaan jentera dan kemudahan kerajaan secara berleluasa terang-terangan dibiarkan begitu saja. Ia tidak bertindak sebagai pemudahcara untuk mendapatkan akses media.

Malah, peratus keluar mengundi yang luar biasa itu, menyamai fenomena Terengganu 2004, ditambah pembuktian dakwat kekal yang tidak kekal, selain proses undi awal yang mencurigakan, menjadikan SPR kuda tunggangan atau satu lagi parti komponen BN!

Ramai pembaca dan kenalan, sejauh Miri dan Parlimen Sibuti di Sarawak serta Tanjong Karang dan Kuala Selangor,  menghubungi saya memaklumkan salahlaku jentera BN, khususnya menerusi politik wang.

"Di sini, sehari sebelum mengundi, Sabtu, petugas kempen PAS dari kampung dan rumah panjang beritahu saya, BN tabur duit, RM1,000 satu keluarga kepada pengundi yang nampak kuat sokong Pakatan dan RM500 satu famili kepada yang kurang kuat Pakatan," petikan SMS aktivis PAS Miri menceritakan situasi kempen di Sibuti. 


Walaupun tidak berkesempatan turun ke akar umbi selepas Parlimen dibubarkan -- kecuali di satu dua lokasi sahaja -- untuk menghayati harapan tinggi pengundi, yang berkobar-kobar beriltizam membuat perubahan menyeluruh, namun saya tetap dapat merasai tsunami politik yang jauh lebih besar berbanding 2008.

Di samping persiapan Pakatan yang ternyata lebih rapi dan sistematik, dengan penampilan calon berkualiti,  ramai yang saya temui berkata merekw tertarik dengan kandungan manifesto Pakatan yang cukup memikat, bukan hanya buat generasi muda tetapi rakyat umumnya.

Justeru, saya dapat memahami perasaan penyokong Pakatan selepas keputusan PRU13 diumumkan, sehingga menarik lebih 120,000 hadir ke Stadium Kelana Jaya, 8 Mei, walaupun dengan notis cukup singkat, untuk menzahirkan bantahan dan protes terhadap perjalanan  pilihan raya.

"Memang aku dan keluarga tak dapat masuk, sesak sungguh jalan malam itu,  tersekat di mana-mana, tapi kami berpesta bagai adik berani. Bohong kalau orang kata lebih 80 peratus yang hadir Cina," kata seorang teman dari Gombak.

"Rakan-rakan sepejabat saya, yang baru kali pertama mengundi, Melayu, Cina dan India, turun awal ke Kelana Jaya, bersama-sama membantah. Mereka masih terkejut besar mengapa Pakatan tidak dapat membentuk kerajaan," kata seorang anak muda, kakitangan bank, dekat Kg Pandan, yang secara kebetulan berjumpa saya, ketika makan malam di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Benar, kemenangan majoriti besar Selangor cukup menyenangkan, begitu juga penguasaan bergaya di Kelantan dan Pulau Pinang, tetapi kekalahan di negeri-negeri lain cukup memeranjatkan. Riak dan gelombang semasa kempen bagai tidak diterjemahkan sepenuhnya paa hari pengundian, ataupun ia disanggah komplot penipuan terancang?

Meneliti undi popular yang diperolehi BN di peringkat persekutuan, hanya sekitar 47 peratus, iaitu kemerosotan  4 peratus berbanding 2008, tapi mendapat 60 peratus kerusi daripada 222 kerusi Parlimen, ia sudah cukup kuat untuk mendesak satu perubahan ke atas sistem First Past-The-Post yang diamalkan selama ini.

Bagi strategis pilihan raya DAP, Ong Kian  Ming, keputusan PRU13 menunjukkan sebanyak 46 kerusi Parlimen BN dimenangi dengan undi di bawah 55 peratus, manakala kerusi Pakatan yang terbabit berjumlah 30. Kerusi-kerusi marginal ini akan menjadi medan pertarungan sengit dalam PRU14 nanti.

Menurut Dr Khairuddin Malik, Setiausaha Pakatan Rakyat Perak, jumlah undi yang diperolehi BN negeri itu di peringkat Dun ialah 506,947 (44.4%), berbanding undi untuk calon Pakatan, 590,344 (51.7%). Ini bermakna undi lebihan Pakatan sebanyak 43,893 atau 3.84% daripada jumlah keseluruhan undi.

SPR akan mengadakan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun ini. Dalam keadaan BN tidak mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen, proses untuk menambah bilangan kerusi Parlimen, hanya dapat dijalankan dengan kerjasama Pakatan.

Saya tidak pasti apakah proses melukis sempadan kawasan pilihan raya tanpa penambahan kerusi Parlimen boleh dijalankan tanpa majoriti dua pertiga BN? Sebagai parti pemerintah yang hampir tewas, sudah pasti proses persempadanan semula ini menjadi senjata utama untuk BN mempertahankan kuasanya. 

Secara peribadi, saya menyokong penuh usaha tangkas Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Pakatan seluruhnya, untuk membangkitkan kesedaran awam menuntut proses pilihan raya bersih, telus dan bebas, tanpa menunggu masa lebih lama.

"Kita bukan persoalkan keputusan kalah atau menang tetapi apakah perjalanan PRU13 itu adil atau tidak? Sistem pilihan raya bukan hanya dinilai selepas pembubaran Parlimen atau semasa berkempen, apatah lagi pada hari mengundi sahaja, ia satu proses menyeluruh," katanya kepada saya, mengulas suara sumbang yang mempertikai siri perhimpunan "Black505".

Dalam masa sama, seperti warga lain yang prihatin, saya begitu bimbang dengan kempen perkauman yang dibakar dengan marak sekali, terutama oleh Utusan Malaysia. Rupanya ia tidak berakhir selepas BN diisytihar menang, malah api merbahaya itu dinyalakan lebih besar lagi.

Sorotan berita dan analisis pasca PRU13 dibuat dari persepsi jahat, jelas bermotif untuk membangkitkan rasa tidak senang antara kaum, dengan meletakkan masyarakat Tionghua dalam kandang orang salah.

Perdana Menteri, Najib Razak dan mentornya, Dr Mahathir Mohamad boleh dianggap menyalakan mancis untuk membakar sentimen perkauman ini. Dalam siaran Buletin Utama TV3 sebentar tadi, Jumaat 10 Mei, tidak semena-mena ditonjolkan S Nallakaruppan, yang membangkitkan soal 13 Mei dan "amarah orang Melayu terhadap bantahan masyarakat Cina terhadap keputusan PRU13".

"Sudah melampau TV3 ini," rungut saya kepada isteri. Sakit kepala saya tambah mencucuk, dengan laporan tidak bertanggungjawab itu.

Dalam pada itu, beberapa rakan turut terpedaya dengan dakyah kalangan tertentu yang mendakwa pengundi Cina hanya memberi sokongan kepada calon DAP tetapi tidak memilih calon PAS di kawasan sama.

Mereka merujuk keputusan di Gelang Patah apabila Lim Kit Siang menang dengan majoriti hampir 15,000 undi. "Salahuddin Ayub yang bertanding di Dun Nusa Jaya, di bawah Parlimen Gelang Patah, kalah dengan majoriti 2,200 undi. Ini bukti pengundi Cina hanya mahu DAP menang, dan bukannya PAS," kata rakan itu, mengulangi tohmahan Umnp.

Saya terus menyanggah: "Cuba tengok satu lagi Dun di bawah Gelang Patah, iaitu Skudai, yang ditandingi calon DAP, Dr Boo Cheng Hau, dia menang lebih besar, majoriti lebih 18,000. Maknanya, undi itu seimbang, hampir semua pengundi Kit Siang menyokong Salahudin, begitu juga sebaliknya. Takkan sifir semudah itu pun tak faham."

Baca Seterusnya......

Sebelum Kedah jatuh ...

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Sejak pembubaran Parlimen sebulan lalu, saya dan rakan-rakan di Harakah agak sibuk dengan beberapa penerbitan khas, antaranya sisipan Bangkit dan tabloid Inikalilah! Sukar sekali untuk saya mencelah turun padang meninjau sendiri situasi akar umbi.

Meneliti laporan yang dihantar wartawan negeri atau mengikuti ulasan pantas media baru, termasuk foto menarik dalam Facebook, ia tentulah berbeda dengan saksi mata melihat perkembangan kempen PRU13 yang begitu rancak.

Memang saya sempat menjelajah setiap negeri, termasuk Sabah dan Sarawak, sebelum Najib Razak puas hati dengan tarikh pilihan raya yang dipilihnya, tetapi suasana kritikal dua minggu sebelum hari pengundian tentulah lebih istimewa untuk dihayati.

Harakah edisi Isnin, 6 Mei, yang sepatutnya mula berada di pasaran pada 5 Mei, terpaksa kami awalkan pengeluarannya, bagi memastikan ia dapat berfungsi sebagai bahan terakhir kempen.

 

Justeru, deadline dipercepatkan, daripada hari Khamis dan Jumaat, kepada Rabu dan Khamis supaya ia dapat berada di pasaran pada Sabtu, sehari sebelum mengundi. Dalam masa sama saya terpaksa bertungkus-lumus menyiapkan Bangkit khusus untuk negeri-negeri tertentu, yang tidak dikembarkan bersama Harakah.

Khamis, 2 Mei, tiba-tiba saya terkenang negeri kelahiran Kedah. Semenjak mula mengundi pada 1990, sehingga 2008 (walaupun tahun itu saya bertindak mengoyak kertas undi, tanda protes terhadap pengendalian SPR yang terdedah kepada penipuan dan penyelewengan), saya akan pulang ke Kampung Raja, Jitra. Pada 2012, saya berpindah tempat mengundi di Lembah Jaya, Ampang, Selangor.

Semasa saya ligat menyelami gelodak rasa pengundi di seluruh negara, rupa-rupanya saya bagai terlupa negeri sendiri, Kedah, yang diterajui PAS sejak tsunami politik, Mac 2008. Ramai rakan-rakan bertanya, mengapa saya kurang menyinggung isu-isu Kedah dalam kolum Catatan Hujung ini. "Saya sendiri tidak arif dengan pembaharuan di Kedah," jawab saya, jujur, walaupun terasa kebodoh-bodohan.

Dalam tempoh lima tahun itu, saya hanya sempat dua kali bertemu langsung dengan Menteri Besat Ustaz Azizan Abd Razak. Pertama, beberapa bulan selepas PRU12, dan mengadakan wawawancara dengannya, di rumahnya, di Alor Setar. Kedua, semasa cuti Tahun Baru Cina 2012, mengunjungi kediamannya di Sungai Limau, sekadar sembang-sembang santai, dijamu nasi lemak bungkus dan dadih.

Sungguh, saya belum menjejakkan kaki ke pejabat rasmi MB, setakat singgah di kantin Wisma Negeri. Dan hasrat saya balik kampung menjelang hari mengundi juga untuk merakamkan kenangan, mana tahu Kedah boleh jatuh ke tangan BN.

Berbaki hanya dua hari sebelum mengundi, saya serba salah. Apatah lagi pada pagi Jumaat, 3 Mei, sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2013, saya diundang bersama Editor Malaysiakini, Fathi Aris Omar dan Ketua Pengarang Berita Publishing, A Kadir Jasin, sebagai penalis forum "Safe to Speak: Securing Freedom of Expression in All Media", di Karangkraf, Shah Alam. Ucaptama disampaikan Prof Dr Andi Faisal Bakti, Dekan Fakulti Komunikasi, Universiti Pancasila, Jakarta.

Entah dari mana "hasutannya", saya tiba-tiba resah. Terlintas dalam fikiran, jika Kedah kalah PRU13, dan saya balik kampung hanya selepas 5 Mei, bermakna tidak sempat menatap saat-saat akhir di bawah lembayung Parti Islam.

Kerisauan itu bukanlah disokong fakta kukuh, sementalahan saya tidak mendalami mood sebenar pengundi di Kedah, walaupun mendengar banyak rungutan dan rasa kecewa kawan-kawan lama di Alor Setar.

Krisis dalaman PAS Kedah sudah menjadi rahsia umum. Isu KUIN didedahkan sendiri oleh kakitangannya. Imiginasi anak muda tidak tersentuh dengan gaya dan pendekatan Ustaz Azizan. Tiada pembaharuan memikat seperti di Pulau Pinang dan Selangor (Amat berbeda apabila Kelantan dikuasai PAS pada 1990). Dan penceramah PAS sendiri jarang menjadikan perubahan di Kedah sebagai tema pidato mereka.

Bekas menteri, Kadir Sheikh Fadzir turut meluahkan kebimbangan sama. Dalam kunjungannya ke Harakah, Kadir lebih risau tentang pencapaian ekonomi Kedah dan penonjolan Mukhriz Mahathir sebagai calon MB Kedah. Beliau mencadangkan majlis perundingan ekonomi negeri, tetapi, katanya, ia seperti tidak dipedulikan walaupun ada respons awal yang positif daripada Ustaz Azizan dan Exco Kanan, Amiruddin Hamzah.

Dalam pada itu, seorang pembaca setia Harakah mengirim SMS, enam bulan sebelum PRU13, menagih perhatian saya untuk 'menyelamatkan Kedah': "Prestasi buruk bolasepak Kedah juga boleh menganggu sokongan kepada PAS. Saya juga risau sokongan India di selatan  dan problem dalaman kawasan-kawasan PAS tertentu, yang berbalah tanpa sembunyi lagi."

Bagaimanapun, saya terasa agak terhibur dan lega apabila membaca siri kolum Nota Utara, Zulkifli Yahaya, bekas  editor Harakah. Penjelasan Zul meyakinkan walaupun saya dapat mengesan seolah-olah ada masalah yang cuba disembunyikan. Ya, biasalah ... bumi mana tidak ditimpa hujan! Isu-isu berkaitan pembalakan misalnya diperbesarkan media talibarut BN untuk mempengaruhi persepsi rakyat.

Selepas berbincang dengan isteri -- yang terpaksa sentiasa menemani jika berjalan jauh terutama apabila saya bertongkat  -- saya kejap hati untuk balik Kedah, sebaik selesai forum media, jam 1 tengahari Jumaat. Hanya ada tiket Firefly, dengan harga puncak, hampir RM1,000 juga untuk kami berdua.

"Jom balik tengok Kedah, mana tahu, kalah ke Ahad ini? saya bergurau dengan isteri. Siti Hawa jelas tidak gemar dengan "lawak bodoh" saya itu. "Jangan sebut benda tak baik," pintasnya.

Menghampiri lapangan terbang Subang, saya perhatikan banyak poster dan sepanduk calon PAS Kota Damansara. Pelik, bagaimana arahan parti agar memberi laluan kepada Dr Nasir Hashim, Presiden PSM, calon KeADILan, seperti tidak diendahkan.

"Sepatutnya PAS menunjukkan ketegasan hormati setiakawan sesama parti dalam Pakatan, walaupun terpaksa mengambil tindakan disiplin kepada ahli sendiri yang engkar," kata seorang wartawan senior.

Semasa menunggu pesawat, saya dihampiri  tiga pembaca Harakah, yang menyuntik kata-kata semangat, selain membuat cadangan kempen terakhir untuk memastikan misi Putrajaya  berhasil. Seorang darinya membutirkan dua strategi dan pendekatan pembebasan Makkah oleh Rasulullah, yang boleh digunakan PAS.

"Harakah dah tutup kedai, kami akan keluar balik selepas keputusan diumumkan," balas saya sambil ketawa. "Sebab itu saya terbang sekejap balik kampung, esok malam balik KL semula." Mereka, tanpa syak, yakin hayat BN segera berakhir.

Sebaik tiba di lapangan terbang Kepala Batas, seterusnya  ke Jitra, memerhatikan perang poster di sepanjang jalan, saya hairan mengapa dikibarkan bendera hitam-putih PAS. "Berkabung ke ni?" Abang saya yang memandu, menjawab: "Orang  Umno kata itu tanda Syiah, tapi mengarutlah, sebenarnya untuk mudahkan pengundi aja sebab kertas undi bukannya warna."

Saya tidak bersetuju hujah itu. Tapi, biarlah, bukan isu pun ... Kertas undi sememangnya dari dulu hitam-putih, 'kan? Dan tak pernah mengelirukan pun. Sepanduk rasmi PAS Kedah dengan paparan wajah Ustaz Azizan, yang menghiasi simpang strategik, juga tidak menarik. Apa pun, segalanya persepsi, hal kecil.

Seperti lazimnya, saya lebih suka melihat sesuatu dengan andaian senario terburuk agar usaha penambahbaikan boleh direncanakan untuk mengatasinya. Namun, respons daripada rakan-rakan PAS Kedah cukup positif. Masing-masing yakin menang.

Saya cuba mengusik: "Takkan langsung tak risau kita mungkin kalah?" Mereka tetap percaya Kedah tidak akan tumbang, malah dapat menambah beberapa kerusi Dun.

Kepada sahabat-sahabat yang kritis dengan Ustaz Azizan dan tidak berpuas hati dengan jaminan PAS Pusat untuk "memantau" perjalanan kerajaan negeri, mereka menjawab: "Sokongan rakyat tak berubah, cuma harapnya Ustaz Azizan bukan lagi MB selepas ini." Saya hanya tersenyum.

"Kita perlu pemimpin yang dinamik, tangkas, mudah didekati, sedia mendengar idea orang lain, bijaksana merumuskan pandangan berbeda, berkepala dingin, semangat kerja berpasukan ...," panjang pula leteran kawan saya itu, seorang jurutera.

Sabtu, 9.45 malam, saya berlepas pulang ke Kuala Lumpur. Setibanya di LCCT, di atas pesawat, ketika menunggu kerusi roda ke terminal,  juruterbang AirAsia menyapa mesra, "Saya suka baju itu." Beliau merujuk T-shirt  "Harakah: Media Pilihan Rakyat PRU13", yang saya pakai.

Untuk alas perut, sambil menanti kenderaan ke Ampang, saya dan isteri memesan ayam KFC. Seorang pelayan,  anak muda India, dalam lingkungan awal 20-an, menunjukkan tanda bagus ketika saya berselisih untuk membasuh tangan. "Semoga berjaya esok, bang!" katanya, juga menunjukkan kepada T-shirt Harakah. Esok, Ahad, hari mengundi PRU13.

Saya akan merakamkan debar menunggu keputusan dan analisisnya pada keluaran Harakah akan datang.

II.

Saya lebih berminat dengan bentuk laporan media sepanjang kempen. Semua akhbar harian, termasuk The Star, kecuali Sinar Harian, dan juga siaran televisyen, khususnya TV3, bagai "kerasukan" berkempen untuk BN dan mencari keburukan Pakatan.

Utusan Malaysia, melalui edisi petang yang diedarkan percuma, memainkan sentimen perkauman. Rujuk keratan akhbar, muka 7, terbitan 30 April, yang menyiarkan grafik Lim Kit Siang, tertera "Gua akan jadi PM komunis Republik Malaysia yang pertama!"

Tidak cukup setakat itu, seminggu kemudian, selepas keputusan diumumkan, Utusan terus membakar api perkauman, melalui laporan sensasi, misalnya dengan tajuk "Apa lagi orang Cina mahu?"

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) menegur laporan Utusan Malaysia yang  memuatkan laporan berhubung sokongan Cina dalam PRU13  yang disifatkan provokatif dan memesongkan pembaca.

NUJM berkata, akhbar Umno itu tidak harus menyiarkan laporan sebegitu, yang disifatkan perkauman dan cuba menghasut ketegangan antara kaum.

"Seperti yang kita semua tahu, Umno yang manipulasikan Utusan Malaysia di belakang tabir. Tapi ia bukannya akhbar parti yang hanya kepada ahli-ahli Umno, ia tidak patut dipergunakan sebagai senjata atau bahan propaganda parti politik untuk menyerang lawan politik."

Saya tertarik dengan berita mengenai kekecewaan bekas Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam yang kalah di Bukit Katil. Ali menyifatkan masyarakat Cina di negara ini sebagai orang yang tidak mengenang budi dan menghargai jasanya.

"Mereka langsung tak kenang budi. tidak ambil kira jasa saya ketika mereka datang hingga lewat malam minta tolong, bila saya bantu ini yang saya terima," kata Ali, seperti dilapor Utusan.

Akhirnya, izinkan saya merakamkan tulisan kolumnis Karim Raslan: "Pakatan mengalahkan BN dengan teruk di bandar-bandar.BN boleh terus mentadbir dengan ddengan sokongan pengundi luar bandar dalam masa singkat, namun yang pasti bandar merupakan sumber idea dan tenaga yang BN sangat perlukan untuk memperbaharui diri mereka. 

"Pakatan mungkin tidak berjaya mendapatkan jumlah kerusi yang mereka harapkan, namun amat jelas ia menguasai kawasan-kawasan paling dinamik di Malaysia. Suka atau tidak, itu akan memberi kelebihan untuk jangka masa panjang."

 

Baca Seterusnya......

Cukuplah, BN perlu berehat

Oleh Ahmad Lutfi Othman

SEGALA yang perlu telah dilakukan. Kempen dan usaha meyakinkan pengundi bahawa era Umno-BN sudah berakhir serta perlu ditamatkan juga telah dijalankan.

Alhamdulillah, selama sebulan sebaik Parlimen dibubarkan, kami di Harakah, bersama petugas pilihan raya Pakatan Rakyat yang gigih mengatur gerakerja, cuba menyedarkan pengundi agar dapat membuat pilihan tepat.

Melalui beberapa produk baru seperti sisipan Bangkit dan tabloid Inikalilah! – selain Harakah sedia ada - kami bersyukur dapat terus menyumbang dengan menawarkan berita-idea.

Kami bukan setakat tidak mahu tertinggal dalam babak penting sejarah negara ini, tetapi mahu turut serta proaktif untuk membentuk Malaysia baru, yang lebih damai, sejahtera dan adil untuk semua warganya.

 

Malaysia terlalu kaya untuk ber terusan dibolot elit penguasa, kroni dan suku-sakat mereka. Ketamakan Umno-BN tidak pernah mengenal had dan batasan. Tsunami Mac 2008 memang tidak pernah memberi iktibar bermanfaat untuk pemimpinnya meng insafi makna sebenar amanah kepemimpinan.

Cukuplah. Tempoh 57 tahun Umno-BN menerajui negara sudah lebih daripada memadai. Mereka perlu direhatkan, sekurangkurangnya untuk lima tahun, ke rana bukan saja sudah kurang upaya membangunkan orang Melayu- Bumiputera tetapi telah banyak memudaratkan kesentosaan hidup rakyat berbilang kaum negara ini.

Penggiliran parti pemerintah adalah lumrah di mana-mana negara yang berkembang maju. Parti yang gagal memikul tanggungjawab dengan baik harus diundurkan.

Malah, jika kerajaan baru terbentuk dan terbukti tidak berjaya memenuhi aspirasi rakyat, ia juga harus ditukar.

Kali ini, saya yakin majoriti rak yat sudah bertekad mahu melakukan perubahan. BN boleh meng hasut de ngan apa jua tohmahan, tetapi rakyat terbukti bijaksana membuat penilaian dan bakal memutuskan bahawa pe luang mesti diberikan kepada Pakatan Rakyat.

Insya-Allah, anda tidak perlu takut untuk mengubahnya. INIKALILAH!

Baca Seterusnya......

Umno, Utusan sama-sama dibelenggu kebebalan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

SEPATUTNYA dalam edisi terakhir Harakah menjelang PRU13 saya tidak perlu menyinggung hal-hal kecil seperti arahan agar majlis bedah buku saya, Pencuri Pilih Anjing, bersama dua buku lain, Propagandis Zaman (Subky Abd Latif) dan Aku Melayu di Kota Inggeris (Dr Muhaimin Sulam), diberhentikan segera ketika ia sedang berlangsung, di Pesta Buku Antarabangsa, bertempat di PWTC, 28 April lalu.

Ketika majoriti rakyat ghairah membicarakan gelombang perubahan di seluruh negara – melebihi kesan tsunami politik 2008 – yang memungkinkan Pakatan “membebaskan” Putrajaya pada 5 Mei nanti, namun saya tetap merasakan isu kebebasan bersuara, apatah lagi dalam konteks mengulas buku, mesti diberikan perhatian.

Apakah hanya kerana pesta buku (sewajarnya pesta ilmu) itu diadakan di kompleks Umno, maka setiap acara di dalamnya harus memenuhi kehendak “parti tua” yang sudah berkuasa hampir 60 tahun itu? Malah seorang pengunjung yang memakai topi dan kemeja-T berlambangkan PAS pun telah diminta keluar dari kawasan pameran buku.

 

Saya sekadar membicarakan kepentingan institusi “semak dan imbang”, misalnya media bebas, perlu diperkukuhkan, manakala “anjing penjaga” harus dibebaskan daripada pengaruh parti pemerintah.

Negara akan musnah jika “pencuri diberi kebenaran memilih anjing penjaga”. Apa sensitifnya luahan hati saya itu, yang menekankan persoalan kebebasan akhbar tidak pernah ditangani secara serius dan jujur oleh kerajaan, sehingga pihak keselamatan PWTC terpaksa naik ke pentas utama bagi memberhentikan diskusi ilmu itu?

“Sdr perlu mulakan kempen memindahkan tapak pesta buku daripada kompleks Umno ke premis yang lebih bebas,” seorang rakan memberikan cadangan sebaik mendapat tahu pengurusan PWTC bertindak primitif di luar kewarasan.

Dalam perkembangan lain, bertalu-talu saya menerima pertanyaan: “Apakah sdr yakin BN dapat dikalahkan kali ini?” Sebenarnya saya lebih prihatin dengan corak pengundian dan suasana kempen, sama ada ia berjalan secara telus, terbuka dan demokratik, daripada asyik mengira jumlah kerusi Parlimen dan bilangan negeri yang bakal dikuasai Pakatan.

Apa pun, saya tidak berupaya mengasingkan diri daripada arus perubahan yang kuat melanda, sehingga saya yang selama ini cukup berhati-hati untuk membuat telahan terpaksa akur dengan tanggapan ramai.

“Berdasarkan risikan, jangkaan jumlah kerusi Parlimen BN semakin berkurangan, malah terbaru, di bawah 90 kerusi,” kata seorang penganalisis politik. “Minggu lepas BN masih dianggap bertahan dengan 120 kerusi, tanda hebatnya mood berubah, terutama masuk minggu kedua kempen.”

Petang Selasa lalu, anak saya yang baru balik dari sebuah pasaraya berdekatan Taman Kosas, Ampang membawa naskhah Utusan Malaysia percuma. “Tadi, orang yang mengedarnya, depan pintu masuk supermarket merayu supaya ambiklah satu dan berkurang sikit ‘sampah’ yang ditinggalkan.

Dia kata, pengunjung marah bila dia hulurkan Utusan percuma itu,” anak saya bercerita panjang. Sepintas lalu, 28 halaman edisi khas PRU13 Utusan itu memang memualkan penyokong pembangkang. Tiada langsung elemen halus untuk mempengaruhi pengundi. Seperti biasa, gaya Utusan tetap kasar, bebal dan tidak berlapik.

Saya terkejut melihat foto Lim Kit Siang memakai kacamata hitam, pada muka 7. Bayangkan, keterangan gambar berkenaan mencatatkan: “Gua (Kit Siang) akan jadi PM komunis Republik Malaysia yang pertama.” (Pedulikan dengan tajuk utama halaman itu: “Anwar lumpuh di Permatang Pauh!”) Bersedialah Utusan untuk kesekian kalinya membayar saman malu. Sebagai pengamal media, saya cukup sedih dan terhina apabila profesion kewartawanan telah dilacurkan semata-mata untuk mempertahankan elit penguasa yang serba-serbi korup itu.

Baca Seterusnya......

Mengintai Putrajaya di Perak: Cerah masa depan!

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Saya cuba bersikap terbuka dan berlapang dada apabila menonton TV, bukan  terhad hanya kepada slot berita tetapi juga rancangan bualbicara selepasnya, diselangi iklan-iklan politik tidak berbayar. Saya juga terpaksa berusaha menenangkan diri sendiri ketika menatap akhbar-akhbar harian berbahasa Melayu dan Inggeris.

Walaupun menyedari degup jantung tambah kencang berdepan siri "pembelasahan" media, saya gagahi juga. Selepas tujuh hari berkempen, saya belum sempat turun mendengar ceramah, merasai situasi sebenar di lapangan. Selain laporan internet -- melalui portal berita, blog dan juga Facebook -- saya terpaksa melanggan akhbar-akhbar utama dan memasang telinga mendengar (bukan menonton) Buletin Utama TV3, bagi mengetahui pendekatan kempen BN yang tidak beretika itu.

Untuk mempertahankan survival BN yang terancam, peneraju media menjadi tidak rasional lagi. Proses "pembodohan" umat  berlangsung secara besar-besaran. Berduyun-duyun sang profesor (termasuk dari disiplin sains politik) membentangkan sudut pandangan, sedangkan yang diluahkan tidak lebih daripada pengulas bertaraf jurucakap parti.


Apabila saya singgung isu-isu yang dimainkan media di bawah kawalan mutlak Umno-BN itu dalam FB, segera reaksi rakan-rakan yang mengaku mereka sudah lama tidak membaca Utusan Malaysia dan menonton TV3. (Gambar :Ustaz Idris menunjukkan sesuatu kepada Ahmad Lutfi, di pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang, dekat Changkat Jering.)

"Aku juga dah tak baca The Star, yang cuba berlagak bebas tapi semasa kempen PRU13 bertukar tukang propaganda murahan," ujar kawan lama dari Alor Setar. "Buang masa, membazir duit hang beli Utusan atau Berita Harian, juga menonton berita TV3," tambahnya meminta saya menjaga kesihatan dengan tidak memudaratkan diri menatap media talibarut Umno itu!

Sukar untuk memastikan sama ada  media konvensional yang terjajah ini masih mempunyai pengaruh besar, namun saya yakin kewibawaan dan integritinya menjunam teruk.

"Lutfi, tak payah susah hatilah dengan pemberitaan songsang mereka,  hanya satu jalan untuk mengubah keadaan, rehatkan saja BN. Buang masa saja kau bersama KAMI timbulkan isu akses media semasa kempen ini, tumpukan saja hari-hari terakhir ini untuk Harakah jelaskan kekeliruan yang dicetuskan media Umno dan fokuskan tawaran Pakatan," tegur seorang bekas editor kanan.

Menginsafi rangkaian Harakah masih terbatas, saya dan rakan-rakan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) bertindak melancarkan promosi di beberapa lokasi, di seluruh negara, sambil mengedarkan sisipan Bangkit secara percuma.

Khamis lalu, semasa saya melakukan tinjauan singkat ke Bukit Gantang dan Kuala Kangsar -- dua kerusi Parlimen  yang ditandingi PAS -- saya menitipkan sejumlah T-shirt khas buat wartawan sambilan Harakah di Perak, Muhd Faeez Azahar.

"Sambil edar Bangkit dan tabloid Inikalilah, jangan lupa berkempen untuk Harakah, terutama di kawasan strategik dekat Ipoh ini," ingatan saya kepada Faeez, anak muda yang berkampung di Pejabat Perhubungan Negeri sepanjang kempen PRU13.

Alhamdulillah, berkat sumbangan pembaca Harakah untuk dana projek penerbitan kempen PRU13 KAMI, hampir 200,000 naskhah Bangkit berjaya diedarkan ke lokasi tertentu. Mungkin ia tidak mampu menyaingi edaran percuma edisi petang Berita Harian dan Utusan Malaysia tetapi sekurang-kurangnya berjaya menawarkan sumber maklumat alternatif.

Di sebelah tengahari 25 April itu, saya ditemani wartawan senior, Johari Jaafar, bertemu Ustaz Idris Ahmad, di pejabat Pusat Khidmat (bekas) Ahli Parlimen Bukit Gantang, dekat Changkat Jering. Rakan sepejabat, Khairul Hartimi Tajudin memandu dari Kuala Lumpur, memudahkan urusan saya.  

Idris yang juga penasihat editorial Harakah menyambut kami. Agak keletihan, tetapi tetap menyerlahkan keyakinannya. Saya tidak banyak bertanya peluangnya untuk mengekalkan kemenangan Nizar Jamaluddin -- dan sebelumnya Allahyarham Roslan Shahrom -- tetapi cuba merisik pandangan AJK PAS Pusat ini terhadap potensi Pakatan Rakyat untuk "membebaskan" Putrajaya.

Selama ini, termasuk ketika bermesyuarat setiap Selasa dan JUmaaat  di Harakah,  Idris seperti juga saya, cukup berhati-hati dengan peluang ke Putrajaya. Kami berkongsi kerisauan tentang sikap pengundi Melayu, terutama di kampung-kampung, dalam usia melebihi 40 tahun, yang dilihat masih terpengaruh dengan dakyah perkauman Umno.

"Ustaz, rata-rata ana pergi, ramai bercakap Pakatan boleh menang, malah ada sahabat menggesa ana membuat persiapan operasi Harakah selepas 5 Mei nanti, apa jadi Harakah selepas kita menang?" saya mengintai ulasan Idris.

Dia tersenyum lebar. "Ana pun rasa begitu," katanya tanpa teragak-agak. Saya teruja dengan penegasan Ustaz Idris memandangkan tidak mudah untuk dia membuat rumusan seperti itu. Segera saya teringat beberapa hari sebelum itu, Dr Mohamad Agus Yusoff semasa saya mengunjunginya di Bandar Baru Bangi juga melahirkan keyakinan sama.

Seorang lelaki melewati usia 60 tahun yang bersama kami dari awal segera bangun, bersalam erat dengan Idris, tanda puas dengan reaksinya. Kami sama-sama ketawa.

"Semalam, seorang kawan di UKM telefon, beritahu Majlis Profesor Negara bermesyuarat tergempar di Putrajaya,  ekoran situasi bayangan membimbangkan bakal melucutkan takhta BN," maklum saya kepada Idris. "Khabarnya banyak lagi meeting serupa semalam di Putrajaya, bincang isu sama."

"Apa pun kita jangan leka, usah pandang rendah jentera kempen BN terutama melalui media dan agensi kerajaan sejak lama dulu," kata Idris, sambil merujuk sikap penyokong tegar Umno yang ditemuinya sepanjang kempen. "Ada yang langsung tak makan dengan hujah, kita hanya harapkan perubahan anak-anak mereka, yang lebih terdedah dan terbuka," tambahnya.

"Apa yang menarik minat pengundi, Ustaz?" tanya saya. "Tawaran kita, seperti hapuskan tol dan PTPN, rendahkan harga kereta, mekanisme turun kos sara hidup. Ana tak letak banyak tawaran kita, tumpu yang utama saja," katanya sambil menunjukkan booklet pengenalan dirinya. "Harakah patut jelaskan lebih terperinci dengan sokongan fakta meyakinkan," ujar Idris.

Sebelum kami beredar, Idris memperkenalkan wartawan Malaysiakini, Zulaikha Zulkifli, yang menunggu di luar. Zulaikha dari Kuala Lumpur turun ke Perak membuat liputan di "kerusi panas" seperti Kuala Kangsar, Lumut, Larut, Sungai Siput dan Bukit Gantang sendiri.


Calon PAS Kuala Kangsar, Drs Khalil Idham Lim sedang sibuk berkempen dari rumah ke rumah di Kampung  Ulu Kenas ketika Johari Jaafar menghubungi beliau untuk menentukan tempat sesuai kami menyapanya.

Kami solat jamak di Masjid Ridzwaniah, bersebelahan Kolej Melayu Kuala Kangsar sementara menunggunya. Dua kenalan baru yang saya jumpa petang itu kelihatan yakin dengan mood pengundi Perak.

"Kami hanya mahukan kerajaan yang pernah kami pilih pada 2008," kata seorang darinya. "Saya jangka peluang PAS cerah di Kuala Kangsar ini, bukan kerana faktor calon Bebas, Kamilia Ibrahim tetapi masanya sudah sampai untuk rakyat berubah. Larut juga berpotensi tetapi saya lebih yakin Dato' Seri Nizar akan jadi MB selepas 5 Mei nanti," katanya sambil membilang jumlah kerusi Dun yang bakal dimenangi Pakatan. "Insya-Allah, boleh sampai 35 kerusi Dun," katanya.

Hujan mulai turun ketika kami melewati bulatan untuk keluar dari bandar Kuala Kangsar, menuju tempat Idham Lim. "Biar kita ke sana, jangan ganggu calon bertemu penduduk," kata saya kepada Munizam Zamri, jurufoto sambilan yang berkejar dari Seberang Perai.

Saya perhatikan Idham berkulit cerah tambah bercahaya wajahnya semasa menceritakan cabarannya bertanding di Kuala Kangsar. "Saya lebih suka berbicara soal cabaran dan bukannya peluang," katanya.

Dia nampak komited dan yakin dengan keupayaan diri untuk bersama-sama melakukan perubahan, dan lebih penting "membantu penduduk setempat" yang dihimpit pelbagai masalah.

Dia menggariskan lima tawarannya, termasuk berkaitan pembinaan Jambatan Manong, yang sudah melalui tiga kali majlis pecah tanah tetapi belum siap juga. Kedua, pengangkutan awam dari Kuala Kangsar ke Simpang Tiga yang daif dan uzur. Juga mengenai penempatan kampung baru dan kampung tersusun yang tidak mendapat hak milik kekal, selain masalah perparitan.(Gambar :Khalil Idham Lim (duduk, kiri) dan Jamil Dzuknarnain (duduk, kanan) menceritakan cabaran yang dihadapi mereka semasa berkempen di Kuala Kangsar dalam pertemuan di sebuah masjid Kampung Ulu Kenas.)

Walaupun "orang baru" tetapi Idham kelihatan amat arif dan masak dengan masalah masyarakat yang bakal diwakilinya nanti. Saya yakin  Idham dan juga calon PAS Dun Manong. Haji Jamil Dzulkarnain, bekas Ketua Zon Bank Simpanan Nasional Kawasan Kuala Kangsar yang turut bersama kami petang itu mempunyai peluang cerah.

Baca Seterusnya......

Husam, Agus, Kit Siang dan Mat Taib

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Dalam kolum Simpul Mati, akhbar INIKALILAH terbitan 24-30 April lalu, saya merakamkan pengalaman dan gelodak rasa pada hari penamaan calon PRU13, khususnya semasa mengikuti dari dekat calon PAS di Putrajaya, Husam Musa. Personaliti Naib Presiden PAS ini ternyata menimbulkan kegusaran jentera kempen BN, termasuk calonnya Tengku Adnan Tengku Mansor.

Secara logiknya, Husam hampir pasti kalah, tetapi penampilannya di pusat pentadbiran negara itu dilihat bakal membongkar banyak isu yang terpendam di sana, sama ada  masalah seharian warga Putrajaya atau lebih digeruni Umno ialah akses anak kebanggaan Kelantan ini kepada sumber maklumat.

(Saya difahamkan kemudiannya bahawa jentera kempen PAS berdepan  pelbagai bentuk sabotaj dan aksi ganas-samseng, termasuk kesukaran untuk memasang bendera dan poster. Umno sengaja mendedahkan kepada dunia; tindakan barbarik tidak bertamadun penggerak partinya bukan hanya di kawasan pendalaman seperti penempatan Felda atau kampung tradisi tetapi membarah di kota-kota besar).

 

Umum mengakui ragam politik pada pagi Sabtu itu begitu meriah, menarik (juga mengejutkan) dan mencatat rekod bukan saja dari segi pertambahan jumlah calon Bebas, tetapi turut menyaksikan  pertembungan dalaman kedua-dua gabungan parti, BN dan Pakatan Rakyat.

Kemelut dalaman Pakatan cepat diselesaikan. Walaupun reaksi akar umbi di kawasan tertentu tidak mudah dikendurkan dalam masa singkat, namun ia jauh berbeda dengan krisis dalaman Umno yang berpanjangan dan juga perselisihan di antara parti-parti komponen BN, yang dijangka membawa natijah lebih buruk kepada prestasi BN pada 5 Mei nanti.

Seperti orang lain juga, saya agak terkejut dengan barisan calon "boleh menang" yang diputuskan Najib Razak sendiri. Sehingga hari ini saya belum dapat memahami mengapa Zulkifli Nordin boleh dipilih BN di Shah Alam, pusat pentadbiran negeri termaju.

Semakin payah saya mencari alasan bagaimana calon BN di Pasir Mas, Che Johan Che Pa boleh  memberi laluan kepada Ibrahim Ali. Zulkifli dan Ibrahim merupakan dua pemimpin utama Perkasa. Kalau diikutkan pengaruh, apalah yang ada lagi pada Ibrahim, calon Bebas yang pernah hilang wang pertaruhan dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, 2005? Melainkan saya terpaksa merumuskan bahawa semua itu  membuktikan pengaruh Dr Mahathir Mohamad begitu mencengkam dalam Umno.

Lim Kit Siang pula berkata, pemilihan Zulkifli dan memberi laluan kepada Ibrahim, menunjukkan Dr Mahathir mempunyai "kuasa mutlak" dalam Umno, termasuk "satu hari nanti beliau akan meletakkan Ibrahim sebagai perdana menteri". "Perkasa sudah menjadi parti komponen ke-14 dalam BN," katanya.

Apa pun, sebagai pengamal media, saya lebih suka meneliti situasi kempen, terutama jika ia bercanggah dengan amalan demokrasi, mencabuli adab dan peraturan serta mengetepikan etika. Paling penting, mengapa selepas dilipatgandakan tuntutan Bersih, termasuk melalui siri himpuna raksasa, namun amalan rasuah dan "beli undi" terus berleluasa semasa kempen, manakala akses media untuk parti-parti bertanding selain BN, semakin disekat.

II. Agus yakin Pakatan menang PRU13?

Petang Isnin lalu, selepas beberapa kali temujanji dengan penganalisis politik, Dr Mohamnad  Agus Yusoff tertangguh, dalam curahan hujan lebat saya gagahi juga ke rumahnya, di Bandar Baru Bangi. Saya ditemani pengendali kolum sastera-budaya Harakah, Ali Bukhari Amir.

Tentulah topik utama tertumpu kepada perkembangan mutakhir kempen PRU13. Semasa seronok bersembang, Dr Agus menjawab  panggilan telefon. Dari nada dan butir percakapannya, pensyarah kanan sains politik UKM ini seperti berbicara dengan wartawan.

"Banyak pertanyaan saya terima mengenai ramainya calon Bebas kali ini," katanya mengesahkan andaian saya panggilan itu daripada wartawan yang memburu berita. "Bagi saya, ia biasa saja. Yang hendak saya tekankan, kali ini rakyat tidak mahu bazirkan undi mereka, terutama kepada calon-calon Bebas."

"Ya, saya suka istilah itu, tidak berlaku lagi pembaziran undi walaupun ramai juga nama-nama besar yang bertanding sebagai calon Bebas," pintas saya.

PRU13, kata Dr Agus, adalah peluang terbaik untuk rakyat melakukan perubahan, dan ia bukan lagi persoalan mengenai calon-calon. "Maknanya, kali ini pengundi lebih mementingkan parti berbanding personaliti calon?" tanya saya. "Ya."

"Pilihan raya kali ini di antara dua parti besar, kedua-duanya, BN dan Pakatan, mempunyai potensi dan sumber yang tidak jauh berbeda, dengan aras padang permainan hampir sama rata," tambah Dr Agus. "Dan saya dapat rasa wujud kesedaran besar yang agak menyeluruh bagi mengubah kerajaan di peringkat persekutuan."


Ditanya pandangan profesor politik tertentu yang meramalkan BN mampu menang besar, termasuk memperolehi majoriti dua pertiga di Parlimen, Dr Agus segera membidas: "Usah berselindung di sebalik kedudukan sebagai ahli akademik, isytihar saja sebagai jurucakap parti, 'kan senang."

Beliau menyifatkan ada di kalangan mereka seperti ayam daging yang sudah dibiasakan dengan dedak. "Ayam ini, jika terlepas dari kurungan, tidak akan melarikan diri kerana ia menunggu dedak seterusnya walaupun tahu akan disembelih akhirnya," ujarnya.


Saya sejak lama  menghormati pandangan Dr Agus dan seringkali merujuk kepadanya terutama sebagai panduan untuk menulis komentar politik. Ada kelainan dalam ulasannya, tentunya disebabkan setiap analisisnya tidak dibuat sembrono, malah lebih penting, boleh dipertanggungjawabkan.

Saya perhatikan, walaupun beliau menyedari Pakatan Rakyat juga mempunyai kelemahan -- termasuk dalam pemilihan calon di negeri tertentu -- tetapi peluang mesti diberikan agar kepemimpinan negara dapat "disegarkan" dengan idea-idea dan dasar-dasar baru, yang akhirnya membawa keuntungan dan manfaat buat rakyat.

Agak kerap Dr Agus menegur laporan pemberitaan Harakah. Selain mahu melihat Harakah lebih berwibawa dan dipercayai pembaca, beliau prihatin dengan kesilapan-kesilapan kecil seperti ejaan dan tanda baca.

"Saya mahu Harakah selami masalah dan penderitaan rakyat, dekati golongan terpinggir yang tertekan dengan kenaikan kos hidup. Kita mahu formula penyelesaian yang lebih menyeluruh terhadap begitu banyak problem besar negara, bukannya ditangani melalui bantuan one-off," katanya sambil merujuk bermacam-macam insentif yang dihamburkan Najib. "Risda pun nak bagi bantuan."


Sebelum saya pulang, saya tanyakan sekali lagi 'soalan cepumas': "Dr yakin Pakatan boleh menang dan menguasai Putrajaya kali ini?" Segera beliau menjawab: "Ya."

III. Mat Taib: "Umno bukan tiada jasa tapi sudah jadi OKU"

Penyertaan bekas Menteri Selangor, Muhammad Muhd Taib diharap dapat melonjakkan pengaruh PAS, terutama di kalangan orang Melayu di negeri termaju itu. Saya lebih tertarik dengan kenyataan bekas Naib Presiden Umno ini yang kelihatan selesa menyandarkan hujahnya kepada tuntutan agama.

Muhammad ternyata bersikap terbuka, tenang dan mengambil pendekatan sederhana.  Beliau sengaja memilih masa selepas hari penamaan calon bagi mengelak tohmahan mengejar jawatan, atau lebih tepat menjadi calon PRU13.

Apabila desas-desus tersebar seorang bekas menteri besar Umno akan menyertai PAS, Dr Haron Din menghubungi saya mengesahkan tokoh itu ialah Muhammad. Mungkin hubungan rapatnya dengan  Dr Haron Din turut memudahkan beliau membuat keputusan bijak.

Meneliti responsnya terhadap soalan media, saya kira Muhammad tidak mahu sengaja mencipta pertembungan dengan Umno.

“Saya tidak boleh kata Umno tak ada jasa, tapi sampai masanya mereka sudah tidak boleh lagi dah buat kerja dan sudah hilang upaya,” kata Muhammad. “Mereka dah jadi kurang upaya."

Sebuah akhbar memetik kenyataannya: Saya tidak mahu serang Umno kerana saya lama dalam Umno. Itu tidak adil. Umno sudah buat baik. Saya fikir Pas perlu diberi peluang. Bagi dia peluang."

Ya, satu lagi kunci kata yang saya minat, "bagi PAS peluang."

IV. Kit Siang: "Umno tak berani pertahan Islam

Calon DAP di Gelang Patah, Lim Kit Siang menyelar kempen perkauman BN, termasuk melalui iklan politk dalam akhbar The Star, dengan menyebar fitnah mengenai bungan parti itu dengan PAS.

Saingannya Abdul Ghani Othman cuba menakutkan masyarakat Cina, dengan menekankan dalam ceramahnya: "Jika Kit Siang menang, Hadi mungkin jadi PM.”

Kit Siang menyanggah kemas: "Jadi saya ingin tanya kepada MCA dan Ghani, apa salahnya jika pengundi Cina undi PAS, pengundi Melayu undi DAP, semua pengundi India, Cina, Melayu, Kadazan, Iban mengundi PAS, KeADILan dan DAP? Apa salahnya jika kita rakyat Malaysia bersatu padu, bersatu hati dan saling faham-memahami."

Mengulas kempen MCA memburukkan DAP, Kit Siang berkata: "Saya kesal dengan tindakan MCA yang menggunakan akhbar The Star yang dikuasainya untuk menyiarkan iklan-iklan politik yang menghina orang Melayu dan mempermainkan agama Islam. MCA sengaja berbuat demikian untuk menunjukkan kepada kaum Cina bahawa ia tidak akan tunduk kepada orang Melayu dan Islam."

Dalam The Star baru-baru ini, iklan bertajuk “Why is DAP silent?” (Mengapa DAP berdiam diri?) mengutuk kerajaan negeri PAS-Pakatan Rakyat Kedah yang didakwa merobohkan tempat menyembelih haiwan, mengharamkan panggung wayang, mengharamkan persembahan seni oleh wanita dan mengharamkan sambutan Hari Valentine. Iklan akhbar MCA itu juga mendakwa kononnya PAS mahu menutup Bursa Saham dan Genting serta fatwa PAS dikatakan menjejaskan orang bukan Islam.

"Umno pula berdiam diri dan tidak berani mempertahankan Islam dan Melayu kerana mahu membiarkan MCA memperolehi undi kaum Cina melalui cara yang kotor dan keji ini," tegas Kit Siang.

Menyentuh momokan MCA terhadap pemerintahan PAS di Kelantan, Kit Siang mempunyai jawapan mantap: "MCA dan BN lupa bahawa rakyat Kelantan sejak 1990 sentiasa memilih PAS adalah kerana kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat adalah bersih, bebas rasuah dan adil kepada semua kaum.

"Kebebasan beragama di Kelantan adalah lebih baik daripada beberapa negeri yang diperintah oleh Umno-BN. Rakyat Kelantan sudah lama sedar bahawa pimpinan PAS-Pakatan Rakyat tegas menolak rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan."

Lega saya. Titik.

 

Baca Seterusnya......

Muka baru perangai lama: Usah tangguh lagi perubahan!

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Sehingga 16 April lalu, bilik gerakan Umno (BN) di hadapan rumah saya, di Bukit Ampang, dalam kawasan Dun Lembah Jaya, Selangor masih belum dibuka.

Seperti lazimnya, kebanyakan pusat kempen BN hanya akan beroperasi selepas nama calon diisytihar. Namun begitu, selepas diumumkan, tidak semestinya bilik gerakan BN automatik dibuka; biasanya ada juga yang tertangguh disebabkan "merajuk" kerana calon idaman tidak terpilih, seterusnya menunggu "tawaran" untuk meredakannya.

Saya tidak begitu berminat untuk mengulas soal konflik dalaman Umno-BN atau meneropong kumpulan mana (termasuk klik Dr Mahathir Mohamad) yang paling berjaya mengetengahkan calon pilihan masing-masing. Walaupun lebih ramai mungkin teruja untuk membaca analisis siapa pemenang awal, dalam konteks saingan dalam Umno, saya suka melihatnya daripada perspektif lebih luas.

 

 

Media (pastinya semua akhbar utama dan siaran TV akan menjadi lidah propaganda BN) cuba menonjolkan, pada PRU13 ini, gabungan parti itu mempertaruhkan sebanyak 33 peratus muka baru bagi kerusi Parlimen dan  49 peratus lagi di peringkat Dun.

Penampilan muka-muka baru itu, termasuk percubaan Timbalan Presiden Perkasa, Zulkifli Noordin di Shah Alam, bukan saja dianggap calon boleh menang bagi BN tetapi dilabelkan sebagai "calon transformasi", seperti dihasratkan Pengerusinya, Najib Razak.


SMS seorang rakan saya, pada petang Selasa lepas, menyedarkan bahawa pemilihan calon BN khususnya di Selangor, tentunya ditapis sendiri oleh Ketua Umno Negeri, Najib, agak menarik untuk disorot. Negeri termaju ini, melalui apa juga taktik dan pendekatan, menjadi sasaran utama untuk ditawan kembali Najib.

"Ini bukan calon boleh menang, ada calon bunuh diri," catat rakan saya itu.  "Misalnya calon BN di Ampang dan Gombak bukan saja dikitar semula tetapi mempunyai masalah peribadi yang serius. Apabila Ong Tee Keat digugurkan di Pandan, atas permintaan Dr Chua Soi Lek, laluan Rafizi Ramli menjadi lebih mudah."

Opps, saya sendiri sudah terlajak. Tunggu analisis keluaran akan datang. (Cuma saya pelik mengapa Najib tidak berani mengumumkan calon MB Selangor jika menang PRU13, hanya atas alasan takut memberi tekanan. Rakan saya, bekas Adun Umno, menyebut tiga nama, Samsudin Lias, Subahan Kamal dan Bushro Mat Johor ... entahlah).

Mesej penting yang cuba disampaikan Najib ialah sikap responsif BN terhadap gema tuntutan "perubahan", tidak jauh beda dengan slogan Pakatan Rakyat sendiri. Baru-baru ini, melalui pelancaran Manifesto BN, juga telah dikenal pasti hanya 14 peratus tawaran dikemukakan Najib merupakan idea baru. Banyak cadangan Pakatan diciplak bulat-bulat.

Begitu juga dengan idea "perubahan" yang cuba diserapkan Najib melalui calon muka-muka baru. Desakan dan tekanan akar umbi untuk menyaksikan perubahan -- sama ada atas nama reformasi, islah ataupun transformasi -- begitu ketara.

Dan media talibarut BN akan cuba meyakinkan rakyat bahawa pentadbiran Najib sedang berusaha untuk merealisasikan tuntutan perubahan itu, dimulai dengan penampilan calon-calon baru, sesetengahnya lebih muda walaupun masih ramai yang terpilih itu, seperti pernah digambarkan A Kadir Jasin sebagai "panglima perang, kayu reput dan kayu hanyut, paku karat dan paku longgar".

Soalnya, apakah percubaan muka-muka baru itu menandakan BN benar-benar serius mahu  melonjakkan Malaysia ke ambang pembaharuan, yang dapat membawa manfaat dan kesejahteraan buat rakyat atau sekadar menampilkan imej palsu bagi mengelirukan orang ramai, khususnya pengundi baru.

Siapa sebenarnya yang menghalang perubahan selama ini, malah berlaku curang, korup, salahguna kuasa, membazir dan meminggirkan kepentingan rakyat? Apakah wakil rakyat yang tidak banyak mempunyai kuasa eksekutif ataupun jemaah menteri yang diterajui perdana menteri, juga barisan exco kerajaan negeri yang dipimpin menteri besar dan ketua menteri?

Sila semak "akujanji" BN dalam manifestonya tentang komitmen membanteras rasuah, menghalang ketirisan, mengamalkan keterbukaan seperti tender terbuka dan memberhentikan monopoli.

Perhatikan juga sikap perkauman melampau, yang mempertaruhkan keharmonian masyarakat berbilang kaum, sering melakukan provokasi agama berbahaya, semata-mata untuk mempertahankan saki-baki kuasa; apakah BN prihatin dengan gejala yang boleh "membunuh" itu?

Bukankah Najib sendiri pernah berucap di hadapan perwakilan Umno, membayangkan kekeliruannya terhadap amalan jijik rasuah yang sudah menjadi budaya? "Kalau bagi (rasuah), salah tapi kalau kita tidak bagi, kalah."

Bukankah mentor Najib, iaitu Dr Mahathir sendiri berulang kali berkempen di seluruh negara, atas satu tema besar -- perubahan tidak semestinya membawa kebaikan. Dengan menunjukkan contoh negara Timur Tengah yang dilanda "Arab Spring", rakyat ditakut-takutkan untuk melakukan perubahan

Bagaimana dengan penguasaan berterusan, malah dalam tempoh yang cukup lama, seperti Taib Mahmud di Sarawak, tokoh yang sarat dengan bebanan tuduhan salahguna kuasa, memeras rakyat dan mengaut semahunya khazanah alam?

Dan, usah lupa Najib sendiri, yang dikira "bapa transformasi" tetapi masih terpalit dengan seribu satu amalan kecurangan. Lihat saja perjalanan pilihan raya yang penuh ketempangan dan penipuan.

Rasuah terbesar ialah amalan membeli undi dan menyalahgunakan kemudahan kerajaan semasa pilihan raya sehingga menghalang penggiliran parti pemerintah.

Saya kira pengundi tidak mudah tersilau dengan slogan "perubahan" BN melalui muka-muka baru calon PRU13 itu. Elit politik Umno masih kekal sama, mengakar dan penentu polisi kerajaan jika BN kekal memerintah.

Naib Presiden PAS, Husam Musa memberi reaksi menarik terhadap pengumuman calon-calon BN: "Najib lakukan perubahan sebagai 'reverse psikologi' dengan menampilkan muka baru agar rakyat berfikir semula tidak perlu tukar kerajaan kerana Umno telah menukar calonnya."

Husam yang bakal bertanding di Putrajaya merumuskan,  "meskipun mereka ini adalah muka baru, namum mereka juga mengekalkan sifat Umno-BN sebelum ini."

Cukuplah. Tempoh 57 tahun sudah lebih daripada cukup untuk eksperimen perubahan. Sebenarnya kita yang begitu lama tertangguh untuk menggerakkan misi perubahan ini!

 -----

Ditulis pada 16 April 2013

Baca Seterusnya......

Kalah atau menang, calon BN tetap untung!

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Mendekati tarikh penentuan PRU13, Umno dan sekutunya dalam BN tidak dapat menyembunyikan lagi pergolakan dan konflik dalaman yang serius. Pemilihan calon adalah fasa paling kritikal bagi semua parti-parti yang bertanding, tetapi situasi Umno-BN lebih dahsyat  ekoran sabotaj dan "cah keting" yang keterlaluan.

Kepada Umno-BN, kepemimpinan bukannya amanah berat yang perit untuk dipikul (dan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah nanti) tetapi suatu "ghanimah" atau laba keuntungan yang direbut tanpa mengira adab etika.

Kebanyakan bilik-bilik gerakan BN belum beroperasi sepenuhnya sehinggalah pemilihan calon dapat dimuktamadkan. Malah terdapat bilik gerakan yang belum pun dibuka kerana tiada pihak -- termasuk ketua bahagian -- mahu mengambil risiko jika tidak terpilih. 

 

Setiap kelompok atau kumpulan, khususnya dalam Umno, termasuk diketuai Rosmah Mansor mempunyai senarai tersendiri. Apabila nama calon diisytihar, mereka yang tidak terpilih sering "merajuk", sekurang-kurangnya untuk "meletakkan harga diri" minta dipujuk. Tegasnya, sama ada menjadi calon atau tidak, "keuntungan peribadi" mesti diraih.

Sesungguhnya pemilihan kepemimpinan membabitkan Umno sering menagih korban besar. Dalam hirarki parti, meliputi pertandingan peringkat cawangan hinggalah majlis tertinggi (MT), kos yang hangus cukup besar, dan ia membabitkan dana awam yang tidak ternilai.

Seorang usahawan berjaya, yang juga pemaju perumahan di Shah Alam, menjelaskan kepada saya bagaimana ketua-ketua perhubungan Umno mengumpulkan wang yang begitu banyak setiap kali berkempen pilihan raya umum.

Contoh paling ketara ialah di negeri termaju, Selangor. Semasa Umno-BN berkuasa, selepas Parlimen atau Dun dibubarkan, maka berduyun-duyunlah para taukeh besar -- khususnya yang mendapat keuntungan lumayan melalui projek kerajaan negeri -- menyumbangkan dana politik (wang rasuah) atas nama kos berkempen.

Tentulah semua transaksi itu tidak direkodkan. Dengan itu, tiada bukti kesalahan rasuah. Dari segi agihan, segalanya terletak di atas budi bicara ketua perhubungan Umno tadi. Sudah tentu wang yang dikumpulkan untuk diri dan suku-sakatnya jauh melebihi apa yangdibelanjakan untuk tujuan berkempen.

Manakala bagi calon-calon Umno-BN yang terpilih, sebahagian besar daripada peruntukan berkempen yang diperolehi tidak digunakan untuk maksud sebenar. Lebih separuh akan disimpan bagi kepenting peribadi. Pendek kata, kalaupun kalah akhirnya, calon Umno-BN itu tadi sudah lebih daripada cukup untuk "makan-pakai" untuk tempoh yang lama.

Namun begitu, saya lebih terkejut apabila mendapat tahu selepas BN kalah di Selangor pun, amalan rasuah ini terus bermaharajalela. Misalnya, Timbalan Pengerusi Umno Negeri, Noh Omar (yang mempunyai banyak tanggungan itu) menyalahgunakan dana politik (yang diperolehi secara tidak sah melalui manipulasi subsidi beras) untuk muslihat peribadi.

Pemimpin Umno peringkat bahagian rata-rata tidak puas hati dengan Noh disebabkan peruntukan yang dijanjikan menyusut dari bulan ke bulan, dan akhirnya "habuk pun tarak". Begitu jugalah dengan karenah saingan terdekatnya, Koordinator BN, Mohd Zin Mohamed.

Saya ingin menekankan bahawa kekalahan Umno-BN di peringkat negeri langsung tidak dapat mengubah watak rakus dan tamak para pemimpinnya. Melalui imbuhan projek kerajaan pusat, seperti ditunjukkan di Kelantan sejak 1990, mereka terus bercakaran memburu laba. Dana awam "difaraid" seolah-olah warisan keluarga.

 

----------

Artikel ini dtulis sebelum BN mengumumkan calon-calon PRU13

Baca Seterusnya......

Manifesto, calon faktor paling kritikal tentukan kemenangan

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Selepas Parlimen dibubarkan, saya kira dua faktor terpenting yang begitu diperhatikan pengundi ialah pembentangan manifesto parti-parti bertanding dan penampilan calon-calon berkaliber.

 Pakatan Rakyat mengemukakan Manifesto Rakyat enam minggu sebelum BN berbuat demikian, yang disiarkan secara langsung oleh hampir semua saluran TV di negara ini, ketika publik belum redakan membincangkan "tawaran lawak" slot 10 minit di RTM.

Tempoh 10 minit itu, kata menteri berkaitan, Dr Rais Yatim, adalah untuk sekali siaran saja dan bukan siri berterusan seperti pandangan Pengerusi SPR, Abdul Aziz Mohd Yusof. "Diberi sekali sahaja bukan tiap-tiap hari berkempen," kata Rais.

Rakan saya, seorang wartawan penyiaran, menasihatkan agar Harakah lebih menumpukan perbahasan mengenai manifesto, terutama penjelasan Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli, dan usah membazir masa kepada salahguna kuasa BN menggunakan dana dan kemudahan awam untuk berkempen PRU13.

Sukar memenuhi permintaannya apatah lagi melihat Najib Razak semakin ligat memperalat jentera kerajaan mempertahankan Putrajaya. Isnin lalu, melalui Buletin Utama TV3, saya melihat pesara kerajaan mempamerkan slogan "I Love BN", dalam program bersama Perdana Menteri. Pastinya bahan kempen itu disediakan Jabatan Perdana Menteri. 

Itu hanya sekelumit bukti daripada rangkaian besar penyalahgunaan kuasa oleh BN.

Baru dua hari manifesto BN dilancarkan, di waktu "media talibarut" memberikan liputan luar biasa, reaksi rakyat tentunya mendukacitakan Najib. Ia menjadi bahan persendaan, terutama dalam internet, malah media antarabangsa, seperti Bloomberg turut mengesahkan manifesto itu hasil ciplakan Manifesto Rakyat.

"Kenapa dalam masa lebih 50 tahun, baru nak turun harga kereta? Dah 50 tahun lebih memerintah baru nak turun harga kereta. Bila kita buat, dia pun buat," kata Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.


Menurut Rafizi, hanya 14 peratus atau 22 janji BN itu (daripada 157 janji) adalah idea baru yang belum diumumkan atau dilaksanakan. "Tindakan menciplak ini terutama berhubung perkara besar seperti menurunkan harga kereta, menghapuskan tol, memberi permit teksi individu, peranan kerajaan membina rumah rakyat supaya tidak ditinggalkan kepada swasta, membina rumah untuk pekerja estet dan bantuan yang adil kepada sekolah menggambarkan BN akhirnya menerima hakikat Manifesto Rakyat adalah baik, mampu dilaksanakan dan menepati harapan rakyat," katanya.

Sebelum ini, pemimpin BN termasuk di peringkat tertinggi menyifatkan kebanyakan tawaran dalam Manifesto Rakyat bakal membankrapkan negara. Sebaik BN mengemukakan tawaran hampir serupa, sudah tentulah pemimpin sama bijak "bersilat lidah", malah ramai yang bergelar penganalisis politik, termasuk bertaraf profesor yang dahulunya turut "membelasah" Pakatan, kini menyokong 100 peratus janji-janji BN itu.

Saya tidak risau polemik berkaitan manifesto tiruan ini, cuma penjelasan harus disebar-luaskan  ke segenap pelosok tanahair dalam bentuk perbandingan mudah, termasuk pemahaman tentang falsafah atau idea-idea besar yang membedakan tawaran BN dengan Pakatan, selain strategi jelas menurunkan kos hidup dan usaha mengeluarkan Malaysia daripada perangkap pendapatan sederhana.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menekankan: Pada tahun 1966, KDNK Malaysia perkapita adalah USD350, mendahului Korea Selatan sebanyak USD130. Hampir 50 tahun kemudian, KDNK Malaysia meningkat sehingga USD9,977 manakala Korea Selatan pula  melonjak jauh mendahului Malaysia kepada USD22,424. Sehingga 31 Dis 2012, hutang Kerajaan Pusat sebanyak RM502 bilion,  peningkatan 89% berbanding akhir 2007, RM266 bilion.

Selain manifesto, senarai calon-calon yang diumumkan turut menjadi tumpuan dan perhatian masyarakat. Saya tertarik dengan pengumuman Presiden PAS yang menamakan dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Husam Musa, untuk bertanding kerusi Parlimen Pulai dan Putrajaya.

Kedua-dua tokoh ini dikira berpindah daripada kerusi selamat di Kelantan ke kawsan berisiko tinggi, terutama sekali Husam. Putrajaya, berdasarkan undi yang diperolehi calon KeADILan dan PAS, masing-masing pada tahun 2004 dan 2008, merupakan kerusi selesa buat BN. Pada PRU2004, saingan BN hilang wang pertaruhan dan lima tahun lalu hanya meraih sekitar 25 peratus sokongan.

Mengenali Husam, tindakan "berani mati" itu membawa mesej dan isyarat jelas tentang  kesungguhan PAS bersama-sama Pakatan Rakyat untuk menerajui Kerajaan Persekutuan. Selama ini, secara diam-diam, beliau memang disanjung oleh kakitangan awam, hatta dihormati pemimpin kanan kerajaan, termasuk bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Jika Salahuddin dan Lim Kit Siang mahu memastikan tsunami politik kali ini bersifat menyeluruh dan bermula dari selatan, kehadiran Husam di pusat pentadbiran kerajaan bakal menyempurnakan misi perubahan.

Sekadar membayangkan galasan amanah berat itu saja sudah cukup sukar dan membebankan, namun personaliti sehebat Husam menjadikan Putrajaya antara "kerusi panas" yang bukan hanya tumpuan media, tetapi digeruni penyandangnya.

 

-----

 

Artikel ini ditulis pada 9 April 2013

Baca Seterusnya......

Cara selamatkan parti yang telah lama berkuasa

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Semasa menonton Buletin Utama TV3 Khamis lalu, saya terdengar pengumuman bahawa manifesto BN yang akan dilancarkan pada 6 April, di Stadium Bukit Jalil, akan disiarkan secara langsung.

Pada pagi Jumaat, ketika bersiap-siap ke pejabat, pandangan saya terpaku kepada siaran Astro Awani, yang turut menghebahkan siaran langsung pembentangan Pengerusi BN, Najib Razak itu, melalui tiga saluran tiga bahasa utama.

Malamnya, ketika begitu banyak iklan bukan komersil yang cuba berselindung daripada  motif politik BN yang sarat,  dengan klip video lagu-lagu pelbagai rentak mengasak mata dan telinga penonton di waktu puncak, saya perasan TV3 menyiarkan lagu khas BN Selangor. Tak pasti sama ada TV3 mengenakan bayaran untuk slot iklan itu.

Segera terlintas dalam fikiran saya tawaran slot 10 minit siaran rakaman manifesto PRU13 kepada setiap parti yang bertanding. Memalukan, sekali gus menghina! Jelas khalayak mahu diperbodohkan. Dr Rais Yatim yang mempunyai PhD berkaitan demokrasi  telah merendahkan diri dan partinya sendiri ke tahap paling bawah.

 

Kesimpulannya, tuntutan akses media untuk memudahkan kempen pilihan raya hanya menjadi bahan persendaan elit politik Umno. SPR pula langsung tidak bersikap proaktif, malah mengunci mulut daripada memberi perincian terhadap perjalanan kerajaan sementara.

Dari sisi lain, rakyat semakin jelak dan muak dengan aksi melampau pemimpin Umno-BN yang terus mengawal mutlak media untuk propaganda murahan berkempen PRU13. Stesen TV kini sudah menjadi bilik gerakan BN. Tepat seperti kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, indeks kebebasan media di negara kita setaraf dengan negara-negara mundur di Afrika.

Dalam pada itu, saya perhatikan tidak ramai orang berbicara soal tempoh kempen minimum apabila lebih sibuk membuat tekaan hari penamaan calon dan pengundian. Tanpa sedar kita telah menerima kempen singkat; di zaman Dr Mahathir Mohamad, tempohnya di bawah 10 hari. Hanya pada 2008, Abdullah Ahmad Badawi memanjangkan kepada 13 hari.

Untuk membuktikan transformasi politiknya, Najib perlu menimbangkan tempoh dicadangkan Bersih, iaitu 21 hari, selain berdada lapang membenarkan rakyat mendapat maklumat secukupnya daripada semua parti bertanding, melalui media awam, khususnya TV. Jangan pula ada yang menyindir: "Lebih mudah mencari kucing bertanduk berbanding menanti ehsan Najib."

 

II.

Petang Khamis lalu, lima aktivis pelajar UKM, termasuk Presiden Gamis dan Pengerusi Tolak (Gelombang Anak Muda Tolak Umno-BN), Azan Safar berkunjung ke rumah saya.

Agak teruja saya mendengar komitmen tinggi anak-anak muda melakukan kempen jelajah seluruh negara -- didahului dengan perhimpunan lebih 300 siswa di hadapan Seri Perdana -- terutama untuk mendapatkan tandatangan sepanjang 1km, kira-kira membabitkan dua juta rakyat Malaysia, bagi menolak penguasaan Umno-BN hampir enam dekad.

"Simbolik pelancaran TOLAK di hadapan Ibu Pejabat  Umno di PWTC adalah mesej jelas anak muda tidak gentar dan bersedia memimpin perubahan untuk Malaysia yang lebih baik. Bahkan, kita akan pastikan gelombang ini akan menjadi tekanan besar buat UMNO-BN di fasa akhir menjelang PRU13 ini. Ayuh kita bersama menggerakkan gelombang perubahan ini," kata Azan dalam kenyataan awal 15 Mac lalu.

Manakala pelancaran kutipan tandatangan bagi merubah kepimpinan negara diadakan di kompleks membeli-belah Sogo, 3 April. Tolak menyenaraikan  tujuh alasan mengapa Umno-BN perlu ditolak, di antaranya: "Umno-BN mengamalkan rasuah dan kronisme sebagai budaya dalam parti dan pentadbiran negara; Umno-BN gagal menguruskan ekonomi negara sehingga membebankan rakyat dengan hutang dan kos sara hidup yang tinggi; Umno-BN campur tangan dalam IPT dan menyekat kebebasan akademik mahasiswa dan universiti; Umno-BN menafikan hak rakyat dan mengadaikan kepentingan bangsa Melayu."

 

Selepas menikmati nasi beriani masakan isteri,  saya diberitahu Azan bahawa esoknya, selepas solat Jumaat, mereka bersama NGO yang bersama Tolak akan mengadakan sudut pidato di Masjid Negara. Seterusnya hari Sabtu, Tolak  akan memulakan kempen jelajah seluruh Malaysia, bermula di Kuala Lumpur ke Terminal One, Seremban, menaiki tren.

Sebenarnya, selain mendengar tekad mereka untuk mencetuskan perubahan dalam PRU13, saya lebih terkesan dengan "penindasan" berterusan pihak universiti terhadap gerakan pelajar yang dikuasai Pro-M, seperti di UKM.

Majlis Perwakilan Pelajar (dilihat tidak cenderung dengan Umno-BN) yang mendapat mandat sah majoriti mahasiswa langsung tidak dihormati. Urusetia Hal Ehwal Pelajar telah mengambil alih banyak peranan PMUKM dan lebih menjolok mata, membekukan kegiatan tradisi persatuan sehingga berakhirnya PRU13. Satu tindakan cukup melampau.

Ya, idea pembaharuan Timbalan Menteri KPT, Saifuddin Abdullah -- yang banyak bercakap soal politik baru dan proses pendemokrasian alam kampus -- sebenarnya telah dibakul-sampahkan oleh elit universiti yang masih dikongkong bebalisme dan fahaman lapuk.

Biarpun Auku dipinda dan membenarkan mahasiswa aktif berpolitik, termasuk untuk menjadi calon pilihan raya, kekangan aktiviti dalaman kampus tetap seperti pelajar sekolah. Pimpinan kampus masih diperbudakkan. Sebarang peraturan, termasuk yang bersifat karut-marut dan antiintelektual, mudah saja untuk diperkenal dan dikuatkuasakan.

"Sepatutnya rakan-rakan pimpinan kampus bersuara lantang menjerit memberitahu dunia tentang tekanan berterusan yang mereka hadapi," reaksi saya tidak puas hati. "Dan ia menjadi bukti apa yang didakwa transformasi Najib Razak adalah pura-pura belaka. Masyarakat luar langsung tidak tahu, sampai ke peringkat itu HEP menindas PMUKM."

III.

Saya tertarik dengan tulisan kolumnis terkemuka Karim Raslan dalam Sinar Harian dan The Star bahawa parti politik memang  mampu berubah walaupun telah lama memegang tampuk kuasa  tetapi dengan syarat mereka perlu ditewaskan terlebih dahulu, sebelum pembaharuan berlaku.

Beliau  memberi contoh Parti Kongres di India, Parti Demokrat Liberal (LDP) di Jepun dan Parti Revolusi Berinstitusi (PRI) di Mexico. Kongres, parti politik tertua di India, yang dikalahkan Parti Bharatiya Janata (BJP) pada 1996 kembali dengan kemenangan besar pada 2004 selepas pucuk pimpinannya memodenkan parti itu.


PRI yang memerintah Mexico selama 71 tahun mengamalkan rasuah, salahguna kuasa dan penipuan. Pemenang Anugerah Nobel dari Peru, Mario Vargas Llosa, menyifatkan regim PRI sebagai "diktator sempurna".

Apabila Enrique Pena Nieto, 46 tahun, dipilih sebagai Presiden Mexico pada akhir 2012, selepas partinya, PRI kalah pada tahun 2000, rakyat bimbang mereka akan kembali diseret ke era yang sinonim dengan penyelewengan.

Tetapi Pena Nieto pantas memberi kejutan dan  antara langkah awalnya adalah mengajak parti-parti politik Mexico menandatangani "Pact for Mexico", dokumen yang menjanjikan pembaharuan menyeluruh termasuk ketelusan pengendalian hal-hal kewangan kerajaan tempatan dan  memecahkan monopoli dua syarikat telekomunikasi.

"Kesimpulannya," tulis Karim Raslan, "parti politik boleh berubah dan krap sekali pengalaman pahit berada di bangku pembangkang yang  mencetuskan perubahan positif ini. Terpulanglah kepada teman-teman di sini memikirkannya."

Justeru, mengambil iktibar analisis dibuat Karim Raslah itu, "selamatkanlah" Umno-BN yang memerintah negara sejak merdeka 57 tahun lalu dengan memberi peluangnya berehat, kalaupun tidak terus bersara!

Baca Seterusnya......

Ustaz Hadi ceria, yakin turun ke gelanggang ...

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Semasa mengisytiharkan calon PRU13 untuk tiga kerusi Parlimen, iaitu Titiwangsa, Baling dan Temerloh, serta mengumumkan bekas Duta Besar Arab Saudi dan Iran menyertai PAS, di pusat media, Pejabat Agung PAS, pagi 24 April lalu, saya perhatikan wajah Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam mood cukup ceria dan menyenangkan.

Sesekali Tok Guru Presiden  berjenaka, memberi respons mudah, disambut Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali, juga disulami elemen humor. Soalan wartawan dijawab tenang walaupun ada rakan-rakan media cuba menimbulkan sedikit provokasi.Biasalah situasi sebegitu. Perang hampir bermula. Kesilapan kecil boleh mengundang padah.

Setiap gerak, aksi dan bicara pemimpin oposisi sentiasa diteliti dan diteropong dari dekat. Silap mengatur langkah, terlanjur memberi pendapat ... segalanya boleh dijadikan perangkap

 

 

 Apa pun saya lebih terkesan dengan keyakinan tinggi yang ditunjukkan Ustaz Abdul Hadi; azimat terbaik buat aktivis parti melangkah turun ke gelanggang. Tidak mudah mengharung "ibu segala pilihan raya" ....

Kempen kali ini menjanjikan hanya mereka yang terbaik sahaja -- selain mengelak 'kesalahan bodoh' -- bakal menang. PAS yang berdepan kompleksiti pengundi Melayu dan 'kekuatan' Umno sebagai tonggak BN,  terpaksa memikul beban lebih besar dan mencabar berbanding rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Penyertaan Brig-Jen (B) Dato' Najmi Ahmad, bekas Pengarah Kor Agama Tentera Malaysia dan Dato' Adnan Othman, bekas diplomat, bersama PAS, seperti diumumkan Abdul Ustaz Hadi sememangnya bukan satu berita mengejutkan, tetapi ia mengukuhkan lagi harapan majoriti rakyat yang mendambakan perubahan.

Senarai nama personaliti berpengaruh, termasuk artis popular, yang memilih PAS rupanya semakin panjang. Alhamdulillah.

Najmi diamanahkan bertanding di Baling, yang pernah dimenangi PAS pada 1978 oleh abangnya, Ustaz Nakhaie Ahmad. Pada 1999, manfaat daripada kebangkitan dan protes pengundi Melayu kepada Dr Mahathir Mohamad,  bekas Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Taib Azamuddin terpilih. Tsunami politik 2008 memenangkannya sekali lagi.

Ditanya sama ada isu Nakhaie yang keluar daripada PAS pada penghujung 1980-an boleh menjejaskan sokongan kepada PAS di Baling, Ustaz Hadi dilaporkan berkata, sambil ketawa kecil: "Saya rasa lebih kuat jika Dato' Nakhaie menyokong dan memenangkan (adiknya)."


Pemilihan peguam muda, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, anak kelahiran Sentul, Kuala Lumpur, yang terbabit secara aktif dalam Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) sebagai pengganti Almarhumah Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali di Titiwangsa disifatkan keputusan bijak.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan itu bukan saja dikira mampu melangsungkan legasi Dr Lo'Lo' malah berupaya memperkukuhkan kedudukan dan pengaruh parti Islam di tengah kota raya.

Saya juga dapat menjangkakan kelegaan pimpinan PAS Kawasan Temerloh yang saya temui minggu lalu apabila Ketua Pemuda Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi diisytihar calon Pakatan di kerusi Parlimen berkenaan.

Biarpun kemungkinan bakal berdepan penyandang, Saifuddin Abdullah, yang dilihat sebagai 'tokoh pembaharu' dalam Umno -- tetapi tidak digemari pimpinan setempat partinya sendiri -- namun Ustaz Nasruddin tetap mempunyai potensi lebih cerah.

Kedua-duanya perlu bersaing sengit khususnya untuk merebut sokongan pemilih muda atau yang baru pertama kali mengundi.


II.

Tulisan A Kadir Jasin, bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, bertajuk "Ironi rintihan Perdana Menteri" dalam blognya, 1 April lalu, menyentuh keluhan Najib Razak bahawa beliau tidak dibenarkan memandu sendiri, menarik perhatian ramai.

Dalam temu bual dengan stesen radio UFM 101.3 pada 22 Mac, Najib menyatakan kerinduan untuk memandu sendiri tetapi tidak kesampaian kerana larangan polis.

Dalam berita bertajuk "Najib dedahkan jiwanya kepada stesen radio", The Star, antara lain, melaporkan: "Beliau juga menyatakan kerinduannya untuk memandu keretanya sendiri tetapi tidak boleh berbuat demikian kerana larangan polis."


Najib memberitahu radio UFM 101.3: "Tetapi saya dibenarkan sekali memandu dari Putrajaya ke Hotel Majestic dengan keluarga saya untuk makan malam dua minggu lalu, tetapi dengan diiringi polis."

Kadir merumuskan "rintihan" Najib itu sebagai "maka sahlah negara kita tidak seselamat dulu lagi".

Sebelumnya beliau mencatatkan: "Kalau orang kenamaan yang mendapat perlindungan polis atau yang ada pengawal peribadi pun masih dinasihatkan berjaga-jaga, apa halnya dengan orang biasa yang terdedah kepada pelbagai bentuk jenayah dan ancaman?


"Tidak hairanlah banyak pemilik rumah dan kedai sanggup menggali kocek mengeluarkan wang sendiri bagi mendirikan pagar berduri, membina pondok kawalan dan memasang televisyen litar tutup serta semboyan. Kemudian mengupah pengawal tempatan dan Nepal untuk menjadi keselamatan mereka.


"Taman perumahan sudah menjadi macam kampung baru waktu darurat 1948-60 yang dikelilingi pagar berduri dan dikawal oleh polis, tentera dan Home Guard. Maaf cakaplah, tidakkah orang dan pihak yang diberi mandat dan amanah menjaga keselamatan dalam negara berasa malu atau bertanggungjawab terhadap keadaan yang serba tidak menentu dan kacau-bilau seperti sekarang?"


III.

 

Dr Mahathir Mohamad semakin aktif berkempen ke seluruh negara untuk memenangkan BN dan liputan media kepadanya seolah-olah dia masih Perdana Menteri. Dalam sebuah negara demokrasi, bekas Perdana Menteri itu tidak boleh dihalang daripada mengamalkan hak untuk
berpartisipasi dalam politik. Biarkanlah.

 

Kalau dulu tumpuan kritikannya lebih kepada Anwar Ibrahim, tetapi kali ini, amarahnya terhadap Lim Kit Siang tidak boleh disembunyikan lagi. Puncanya, Ketua Ahli Parlimen DAP itu berpindah untuk bertanding di Johor, sebuah negeri yang dianggap kubu terkuat Umno.

Kit Siang mengambil tindakan drastik itu, meninggalkan kerusi selamatnya di Ipoh Timur ke Gelang Patah yang dimenangi BN dengan majoriti besar pada 2008, telah menghantar mesej jelas bahawa tsunami politik lebih menyeluruh kali ini akan bermula dari selatan.

Johor -- dan juga Sabah serta Sarawak -- bukan lagi "simpanan tetap" buat BN. Langkah Kit Siang itu, untuk "menyerang" kubu terkuat Umno dan kemungkinan diikuti beberapa pemimpin kanan DAP yang turut bersedia bertanding di Johor, cukup menggusarkan Dr Mahathir. Jika Johor goncang, besar musibahnya untuk BN secara keseluruhan.

"Kalau Kit Siang berani datang sini, orang Johor mesti ganyang dia habis-habisan. Biar itu menjadi hari terakhirnya dalam politik. Jika nak bertanding tempat lain kita faham tapi nak serang kubu besar Umno di Johor, satu perbuatan tak masuk akal," kata Dr Mahathir semasa berucap hampir dua jam, di Kempas Permas, Johor Bahru, 1 April lalu.

Dr Mahathir bukanlah menjolok sarang tebuan tetapi kecaman melampaunya itu, saya kira, bukan saja mendorong semangat aktivis DAP, malah mampu menyemarakkan lagi motivasi penggerak PAS dan KeADILan bagi menamatkan penguasaan Umno-BN di Johor.

Kelihatan Dr Mahathir seperti berkuasa penuh ke atas perjalanan kempen BN, malah ada beranggapan dialah PM "de facto" yang turut digeruni Najib.

"Tiada jalan untuk menutup mulut Mahathir melainkan memastikan BN kalah dalam PRU13 dan Johor mesti menyumbang banyak kerusi Parlimen buat Pakatan," kata seorang rakan. Saya separuh bersetuju dengannya; biarkanlah Dr Mahathir dan Najib sendiri terus bersuara lantang sebagai pembangkang nanti.

Bukankah oposisi juga mempunyai fungsi besar untuk membangunkan negara, 'kan? Dr Mahathir, Najib dan ramai lagi pemimpin BN mempunyai pengalaman yang cukup lama menerajui kerajaan, dan ia sesuatu yang cukup berharga untuk dikongsi bersama untuk terus menyumbang kepada pembinaan Malaysia baru, walaupun selepas berada pada kerusi pembangkang!

IV.

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) merakam penghargaan dan ucapan terima kasih di atas sokongan dan bantuan berterusan masyarakat, khususnya pembaca Harakah, bagi menjayakan projek penerbitan PRU13, yang menyasarkan pengedaran bahan-bahan bercetak kepada pengundi Melayu di kawasan yang dianggap tidak begitu terdedah dengan media baru.

Salurkan sumbangan anda kepada akaun KAMI MEDIA Maybank 514075606399. -- lutfi_detik@yahoo.com

Baca Seterusnya......