Wednesday, December 7, 2011

Terengganu tercicir lagi dari tsunami politik?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Kekuatan PAS di Terengganu memang sudah teruji.  Dalam pilihan raya pertama selepas merdeka, pada 1959, PAS dapat menguasai negeri itu, bersama Kelantan. Selepas 1969, Kedah turut dirangkaikan sebagai wilayah tradisi atau kubu kuat PAS.

Ketiga-tiga negeri majoriti Melayu  ini sering dirujuk sebagai penanda aras kekuatan PAS. Sebelum pengaruh PAS melewati kawasan Malay belt itu -- dan timbulnya nama Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim sebagai seteru ketat  -- perhimpunan agung Umno  sentiasa panas dengan serangan terhadap PAS di negeri-negeri berkenaan, khususnya Terengganu.


Ketika pengundi Melayu bangun lantang menzahirkan protes terbuka kepada Umno dan Dr Mahathir Mohamad pada 1999, Terengganu mencatat sejarah gemilang. Semua lapan kerusi Parlimennya dimenangi Barisan Alternatif, manakala Umno hanya bertahan empat daripada 32 kerusi Dun.

Selepas 40 tahun, PAS kembali menerajui kerajaan negeri. Pelbagai perubahan bagi membela kebajikan dan kepentingan rakyat segera dilaksanakan. Suara mereka juga dirujuk sebelum polisi penting negeri digubal. Namun, tiada siapa dapat menghidu perancangan jahat Umno, yang dibantu rapat agensi kerajaan pusat, untuk merampas negeri yang kaya dengan hasil petroleum itu.  

Usia kemenangan pada 1959 tidak sampai dua setengah tahun, apabila pelbagai taktik jelik-kotor digunakan Perikatan untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Allahyarham Daud Samad, dengan membeli wakil rakyat. Rupanya, menjelang pilihan raya 2004, rakyat Terengganu pula yang "dibeli" Umno, melalui taburan wang ehsan, selain manipulasi senarai daftar pemilih yang menjolok mata.

Maknanya, rampasan kuasa di Perak pada 2009, yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Nizar Jamaluddin, bukanlah perkara baru. Begitu juga dengan strategi Umno memperalatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), khususnya untuk menawan kembali Selangor dalam PRU13 nanti, juga telah didahului di Terengganu.

Difahamkan bekas Menteri Besar, Idris Jusoh diberi peranan penting menterjemahkan pengalaman merampas Terengganu untuk aplikasi Umno di negeri-negeri Pakatan Rakyat sekarang.

PAS Terengganu dilihat tercicir daripada bersama-sama membentuk tsunami politik, Mac 2008. Memang ia dilihat berupaya bangkit daripada kekalahan teruk 2004, namun penguasaan lapan kerusi Dun dan satu Parlimen (ditambah satu lagi di Kuala Terengganu dalam pilihan kecil), ternyata belum memadai di kala PAS menerajui kerajaan campuran di Kedah (juga Perak selama setahun), selain mengekalkan kemenangan sejak 1990 di Kelantan dan menjadi sekutu penting dalam kerajaan negeri Selangor.

"PAS perlu kembali berkuasa di Terengganu, sekurang-kurangnya dengan itu, dapat menyanggah dakwaan yang timbul selepas tahun 2008 bahawa PAS telah kehilangan sokongan pengundi Melayu. Dengan menerajui ketiga-tiga negeri Melayu, termasuk Kelantan dan Kedah, maka secara automatik PAS merupakan parti yang mewakili aspirasi majoriti orang Melayu," kata seorang pemerhati politik.

Jika dihitung isu semasa, pelbagai masalah besar melanda Terengganu. Daripada kos sara hidup meningkat, terutama dengan kenaikan harga barangan asas, juga rekod buruk pengurusan kerajaan negeri membelanjakan dana awam (cerita runtuhnya bangunan-bangunan baru yang dibina sudah dianggap perkembangan biasa), sehingga konflik dalaman Umno negeri yang parah dan tidak dapat disembunyikan.

Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad banyak menulis mengenai kepincangan pentadbiran Ahmad Said, terutama keghairahannya untuk "terus berbelanja besar di tengah-tengah kesempitan dan keperitan hidup golongan marhaen di Terengganu, yang hanya mengharapkan sesuap nasi bagi menampung keperluan keluarga yang miskin".

Beliau kerap membangkitkan perbelanjaan mengurus Kerajaaan Terengganu yang cukup tinggi, malah "jauh lebih tinggi berbanding dengan negeri-negeri maju seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang". Bagaimanapun rakyat negeri yang kaya dengan hasil buminya ini masih terperangkap dengan putaran kemiskinan.

Dalam pertemuan sidang editorial Harakah dengan Abdul Wahid Endut pada 1 Disember lalu, ternyata beliau yang berpengalaman luas sebagai Adun selama lima penggal, berhati-hati apabila membicarakan peluang PAS Terengganu yang baru diterajuinya.

Beliau tidak mahu menyandarkan perpecahan dalaman Umno sebagai faktor utama kemenangan, sebaliknya mahu membina kekuatan tersendiri, sambil menyedari misinya dipagari pelbagai halangan sukar. Segala sekatan psikologi yang terbina di antara PAS dengan rakyat selama ini mesti diruntuhkan.

Lagi pun, bukan mudah mengepalai badan perhubungan di negeri-negeri tradisi PAS seperti Kelantan, Kedah dan juga Terengganu. Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat masih diperlukan mengemudi PAS Kelantan, begitu juga Ustaz Azizan Abd Razak di Kedah. Malah di Terengganu, ramai pemimpinnya bertaraf nasional, misalnya Presiden sendiri, Tuan Guru Abd Hadi Awang; Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Harun Taib; dan Setiausaha Agung, Mustafa Ali.

Rakan saya, Sayuti Omar dalam blognya, mempersoalkan keberkesanan pimpinan Wahid untuk mencetuskan perubahan di Terengganu ketika masih ramai pemimpin veteran dilihat menaungi PAS Terengganu. "Wahid yang kini menjadi pesuruhjaya menggantikan Harun Taib tidak berjaya membawa perubahan atau melakukan proses penyalinan kepimpinan seperti diharapkan. PAS Terengganu memerlukan pendekatan baru yang kontemporari dan memenuhi selera semasa," tulis Sayuti.

Apa pun saya yakin, Wahid mempunyai perkiraan tersendiri dalam mengatur rentak dan strategi, termasuk mengambil kira semua sumber kekuatan yang ada. Sekurang-kurangnya pendekatannya lebih membumi dan mesra rakyat, serta berupaya memecahkan  tembok psikologi yang mungkin terbina sejak sekian lama.

Semasa melayari enjin pencari Google tentang Wahid, saya terjumpa tajuk berita yang menarik dalam Harakahdaily, "Wahid sedang 'lembutkan' imej PAS Terengganu". Berita bertarikh 2 Sept, yang memetik kenyataannya semasa meraikan perantau Terengganu yang beraya di kampung itu merumuskan: "Masalah besar yang dihadapi Wahid adalah persepsi yang diletakkan kepada PAS Terengganu yang dilihat keras dan kasar dengan lawan masing-masing."

Saya sendiri agak keliru dengan ungkapan "PAS Terengganu yang dilihat keras dan kasar ..." Mengapa boleh terjadi sedemikian rupa, namun lebih penting apakah persepsi itu dapat diperbetulkan sekarang? Saya sendiri menekankan kepada Wahid, kes Terengganu mungkin berbeza daripada negeri lain disebabkan negeri itu pernah menang sepenggal (1999-2004) dan kemudiannya kalah, lalu apakah kemungkinan kekalahan itu boleh diertikan dengan penolakan rakyat terhadap kepemimpinan kerajaan negeri? Justeru, ia boleh memberi implikasi terhadap pemilihan calon PRU13.


Berbicara hampir sejam dengannya, saya kira Wahid mempunyai iltizam tinggi untuk mendampingi  rakyat, dengan  memenangi hearts and minds pengundi. Beliau tentu tidak mahu Terengganu terpisah dengan arus perubahan, malah menjadi penyumbang utama menghadiahkan lagi enam kerusi Parlimen buat memudahkan laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

No comments: