Tuesday, February 21, 2012

Menunggu gerakerja luar biasa untuk kutip hasil luar jangka

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Teka-teki tarikh pilihan raya umum ke-13 terus menjadi bualan umum. Kali ini ia diganjak ke hadapan. Tapi, tetap dalam tahun 2012, tak mungkin terlajak http://3.bp.blogspot.com/-yvKJyVyzhrk/TnLy30-y4zI/AAAAAAAAhHI/fLcyFlJ-sKc/s1600/pilihanraya.jpgmelewati Disember. Sebelumnya, ramai beranggapan ia bakal diadakan pada suku pertama tahun ini, sekitar Mac.

Saya bertanya, kenapa terlalu cepat? Bukankah masih banyak janji dan jaminan Perdana Menteri belum tertunai? Misalnya pemansuhan akta rimba, ISA. Kelak banyak lagi label negatif terpalit di batang tubuh Najib  Razak seperti "lidah bercabang" ....

Jawab yang membawa khabar itu, BN yang "patah hati" dengan masyarakat Tionghua dijangka lebih suka Parlimen dibubarkan selepas Tahun Baru Cina. Alasannya, pengundi Cina yang baru sahaja "balik kampung" tidak sanggup lagi untuk berbelanja lebih untuk turun ke hometown menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

Andaiannya, semakin ramai pengundi Cina tidak mengundi, makin mudahlah BN mengekalkan penguasaan di Putrajaya dan merampas beberapa kerusi  majoriti bukan Melayu. Saya susah hendak bersetuju dengan pandangan tersebut.

Saya kira Najib Razak tidak sebebal itu. Bukankah banyak usaha telah dilakukannya untuk memenangi kembali sokongan pengundi Cina, misalnya gagasan 1Malaysia? Amat buruk impak politik kepada BN jika Najib dilihat menyampaikan mesej salah menjelang tarikh penentu hidup-mati gabungan parti yang berkuasa sejak 54 tahun lalu itu.

PRU13 cukup kritikal buat semua parti. Silap mengatur strategi pasti membawa padah. Sebaris kenyataan pemimpin (khususnya Pakatan Rakyat) yang tersasar juga boleh menjerumuskan.  Malah saya bersetuju dengan pendapat bahawa parti yang paling sedikit melakukan kesilapan dijangka memenangi pertarungan ini.

Apa pun, kini lebih ramai meramalkan ia berlangsung sekitar Jun, atau sebelum Ramadan ... ya, bukannya lama lagi pun! Mungkin waktu itu beberapa pembaharuan politik seperti pemansuhan ISA, pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti,  penambahbaikan proses pilihan raya dapat diselesaikan.

Juga penting, kontroversi Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) berupaya diredakan ketika itu selepas jawatankuasa khas menemui formula penyelesaian.

Dalam situasi hari ini, perubahan undi yung kecil pun boleh menyebabkan kejutan besar terhasil. Justeru, tidak wajar sama sekali untuk meremehkan apa jua isu yang mungkin mempengaruhi kecenderungan mengundi.

Anggapan tarikh PRU13 dalam lingkungan 100 hari lagi tidak bermakna persiapan dikendurkan. Ia mesti dipergiatkan. Umpama dalam pertandingan larian maraton, sekarang adalah zon pecutan terakhir.

Tempoh sekitar empat bulan ini juga singkat, apatah lagi jika persoalan-persoalan besar, seperti pola pengundian masyarakat Melayu masih menjadi perdebatan dalam PAS. "Sesuatu yang luar biasa mesti dilakukan untuk meyakinkan majoriti pengundi Melayu kepada PAS. Mereka yang telah menyelamatkan BN pada 2008. Barulah kita dapat mengimpikan hasil yang juga luar biasa," kata seorang pengamat sosial.

Tidak sedikit yang masih ragu keberkesanan jentera PAS memfokuskan gerakerja, misalnya  di kawasan perkampungan tradisi dan masyarakat Felda. 

"Tapi PAS jangan pula terlalu yakin dengan sokongan pengundi bandar atau kelas menengah Melayu. Dalam PRU13, lebih ramai akan membuat keputusan di saat-saat akhir selepas segala pertimbangan diambil kira," ingatan seorang pensyarah sains politik kepada saya sambil meminta Harakah mengemaskan lagi persembahan dan laporannya.

Meskipun akses kepada internet kian meluas, mudah dan pantas, namun media tradisi (dan juga bahan bercetak) seperti Harakah masih dipandang penting malah begitu diperlukan terutama untuk menyampaikan maklumat, menyanggah dakwaan, membekalkan analisis, sekali gus diharap dapat membentuk persepsi pengundi, khususnya di kalangan masyarakat Melayu luar bandar, konstituensi terpenting PAS.

Justeru, pertemuan santai wartawan Harakah bersama pimpinan tertinggi parti, terutama Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Hulu Yam, Selangor, pagi Ahad lalu, sebagai persiapan berdepan pilihan raya paling sukar ini begitu mengujakan. Bukan saja obor semangat dinyalakan, malah dipandu sebaiknya.

Nasihat, pedoman dan teguran yang dititip kepada kami amat bermakna sekali. Lebih penting, persiapan rohani turut dititik-beratkan sebagai bekalan paling ampuh.

"Dalam apa jua keadaan, jaga segala adab dan akhlak Islam. Pastikan sumber berita adalah sahih. Jangan sesuka hati mensensasikan laporan," Ustaz Abdul Hadi, yang juga penulis prolifik, menyampaikan amanat.

Malam sebelumnya, Pengarah Urusan, Dato' Kamarudin Jaffar mencadangkan agar Harakah menampilkan persembahan lebih menarik, selari dengan bahang pilihan raya yang makin panas ini.

Semasa saya menghadiri program berkaitan media baru di Sungai Gau, Temerloh, pagi Sabtu lalu, aktivis PAS akar umbi turut menzahirkan harapan tinggi buat Harakah mendepani PRU13. Mereka mahu rakyat negeri itu khususnya pengundi Melayu di kawasan kampung tradisi dan penempatan Felda dibekalkan maklumat yang cukup, sehingga persepsi usang terhadap Umno-BN dapat dirobah.

 

No comments: