Friday, December 14, 2012

Anwar: Usah remehkan minda politik orang kampung!

oleh Ahmad Lutfi Othman

Agak lama saya tidak menghadiri program politik di sebelah malam, terutama selepas serangan angin ahmar kedua, seminggu sebelum  Ramadan lalu. Bagaimanapun, Syarahan Baling, malam Jumaat lalu, 10 Disember, di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya berjaya menarik saya ke sana. Saya terasa ada elemen nostalgik yang mengheret.

 
Demonstrasi Baling, 3 Disember 1974, mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri, terutama dalam konteks perjuangan golongan bawahan tertindas, masyarakat petani di luar bandar, yang miskin dan hilang hak untuk sama-sama menikmati kehidupan berkualiti (sebenarnya sekadar untuk cukup makan-pakai-tempattinggal).

Baling juga simbol komitmen tinggi gerakan pelajar -- menjelang pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 -- menjuarai isu-isu rakyat, menyelami penderitaan dan ratap tangis kelompok terpinggir apabila inflasi melambung, harga getah menjunam dan elit penguasa bersikap tidak peduli.

Ia gabungan padu yang terjalin di antara mahasiswa, tenaga akademik dan juga penduduk kampung, bukan hanya di Baling tetapi juga kawasan sekitar, seperti Sik dan Kulim.

Malah tiga bulan sebelum itu, di Tasik Utara, Johor, mahasiswa turun membela golongan miskin yang diperintah keluar dari  rumah yang mereka dirikan di Kampung Barisan Nasional atas janji pemimpin Umno sebelum PRU 1974. Kediaman dirobohkan dan tapak ganti tidak diberikan. Bersama penduduk yang teraniaya mahasiswa berkampung di hadapan pejabat Menteri Besar.

Dalam kedua-dua episod itu, lebih seribu mahasiswa ditahan polis. Di Baling, pada 1 Disember 1974,  hampir 30,000 berdemonstrasi, manakala lebih 5,000 pelajar menunjuk perasaan di Kuala Lumpur (Saifuddin Abdullah; Kalau Saya Mahasiswa). Masjid Negara yang menjadi tempat perlindungan demonstran dicabuli anggota FRU. Kampus UM digempur polis melalui Operasi Mayang; autonomi universiti berkecai.


Mohd Saifullah Mohd Zulkifli, aktivis AMK merakamkan kembali catatan dalam majalah Ar-Risalah, terbitan ABIM 1975 mengenai peristiwa itu: "Perhimpunan pelajar-pelajar tersebut telah disuraikan oleh FRU dengan tembakan gas pemedih mata. Pelajar-pelajar melarikan diri ke Masjid Negara tetapi FRU terus mengejar mereka. FRU  mengepung 8,000 pelajar yang sedang berlindung di masjid serta melepaskan tembakann gas pemedih mata kearahnya. Ketika berada di dalam masjid pelajar-pelajar tersebut telah melaung-laungkan kalimat "ALLAHU AKBAR" dan beberapa kali mereka setelah mengalunkan azan. Sementara menunggu ketibaan waktu Zuhur mereka berzikir beramai-ramai selama kira-kira 20 minit. Setelah masuk waktu mereka telah menunaikan fardu Zuhur secara berjamaah .

 

"Pihak FRU terus berusaha untuk memberkas pelajar-pelajar dan dalam operasi tersebut beberapa orang pelajar telah cedera. Akhirnya pihak FRU menangkap seramai 1,128 orang pelajar, termasuk 80 pelajar wanita dan membawa mereka ke balai-balai polis Sentul, Brickfield dan Jalan Bandar. Pada sebelah malamnya mereka ditempatkan di Polis Depot Jalan Gurney. Pelajar-pelajar yang ditahan hanya diberi makan selepas 11.00 malam.

"Polis  memasuki kampus Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia pada pada 2.00 pagi hari Ahad 8hb Disember 1974. Polis  menggeledah bilik-bilik asrama, pejabat-pejabat dan lain-lain bangunan Universiti untuk mencari dan menangkap mahasiswa di bawah ISA.”


Tanpa sedar, rupanya dalam diri saya masih meruap semangat sebagai bekas pemimpin pelajar pertengahan 1980-an, yang dikira era malap selepas 10 tahun kampus diserkup Auku dan pelbagai peraturan karut-marut HEP (Hal Ehwal Pelajar) -- meletakkan mahasiswa tidak lebih daripada pelajar sekolah.

Majlis anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, 10 Disember, diserikan tokoh-tokoh yang terlibat secara langsung dalam kebangkitan rakyat yang mencipta sejarah itu. Syarahan utama disampaikan Anwar Ibrahim, sebelumnya Dr Syed Husin Ali dan forum melibatkan Prof Gurdial Singh, Kamarazaman Yaakob dan Syed Hamid Ali.

Susulan tunjuk perasaan yang menggegarkan tanahair itu, kelima-limanya menjadi mangsa kezaliman ISA, dan yang paling lama merengkok di Kamunting ialah Dr Syed Husin, hampir enam tahun, diikuti Anwar dua tahun. Sebenarnya tarikh 10 Disember merupakan Hari Hak Asasi Manusia yang disambut setiap tahun di seluruh dunia.

Dalam bicaranya, Syed Hamid, bekas Setiausaha Agung PSRM, kini aktivis KeADILan di Batu Pahat, membawa misalan menarik.

"Dalam perjuangan ini, saya tidak lebih daripada sebatang lidi sahaja. Tetapi janganlah kita lupa banyak lagi lidi-lidi yang lain, yang bertebaran di sana sini.

Mari kita kumpulkan lidi-lidi itu dan mengikatnya menjadi penyapu yang dapat membersihkan segela penyelewengan dan kezaliman," ujarnya bersemangat, disambut tepukan bergemuruh lebih 1,000 hadirin.

"Demonstrasi Baling membuktikan, di mana ada kezaliman dan penindasan, pasti di situ ada penentangan dan perlawanan. Ia bukan hanya hukum sosial atau hukum sejarah saja, tetapi juga hukum fizik. Semakin kuat sesuatu itu dibaling, maka akan lebih kuatlah pantulannya," kata adik kepada Dr Syed Husin itu.

Dr Syed Husin pula menjelaskan, selepas hampir 40 tahun demonstrasi Baling, keadaan negara kita, terutama dari segi keadilan sosial,  tidak banyak berubah. "Sebab kerajaan pun tidak pernah berubah," tegasnya.

"Baling menunjukkan perlu persefahaman, kesatuan, penggabungan tenaga dan jalinan erat semua pihak bagi menjayakan gerakan perubahan. Tidak harus dibiarkan segelintir kecil orang, tapi besar kuasanya, melakukan kezaliman.

"Saya tidak percaya satu orang boleh membuat perubahan. Anwar, yang teruk dizalimi dan difitnah sejak 14 tahun lalu, hanya lambang kepada perubahan itu, dan kita mesti bersatu melakukannya," kata Dr Syed Husin semasa memperkenalkan Anwar sebagai pemidato utama Syarahan Baling.

Malam itu Anwar bercakap agak serius, menekankan aspek-aspek penting perubahan dan konsep pembangunan yang ditawarkan. Beliau banyak mengutip kata-kata sarjana terkemuka, di antaranya Malek Ben Nabi dan Alexis de Tocqueville.

Saya lebih tertarik apabila Anwar menekankan sesuatu yang bermakna buat mereka yang mahu sama-sama mencetuskan perubahan dalam PRU13: "Demonstrasi Baling mengingatkan kita agar jangan mudah mengandaikan kelompok miskin di daerah terpencil, yang kurang mendapat maklumat, rendah pendidikan formalnya, masih dihimpit kemiskinan dan kekurangan asas, tidak mampu bangkit untuk menentang pemimpin zalim dan sistem bobrok."

Anwar menyanggah tanggapan yang mendakwa penduduk kampung ketika itu berani bangun melawan disebabkan hasutan mahasiswa atau  orang luar yang lebih terpelajar. Katanya, setiap manusia mempunyai potensi dan nurani untuk melakukan perubahan, apatah lagi selepas ditindas dan ditekan.

Beliau mungkin mahu menepis andaian bahawa masyarakat di pelosok desa, yang tidak mendapat akses maklumat seperti orang bandar, tidak tergolong dalam kelas menengah, sukar menyokong Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang.

Tsunami politik lebih empat tahun lalu dikira banyak disumbangkan oleh kelompok berpendidikan tinggi di kota dan pinggir bandar, yang dianggap lebih celik politik berbanding masyarakat di pedalaman, selain protes terbuka masyarakat bukan Melayu.

Agak ramai juga penganalisis politik, termasuk pemimpin oposisi sendiri, yang tidak meletakkan harapan tinggi kepada pengundi luar bandar, terutama yang mendiami kampung Melayu tradisi dan penempatan Felda, untuk memudahkan misi Pakatan ke Putrajaya.

"Saya tidak bersetuju dengan andaian itu. Lihat saja di Kelantan, yang diperintah PAS sejak lebih 22 tahun lalu," tambah Anwar sambil menolak nasihat kepadanya agar usah buang masa membentangkan data dan statistik tentang ekonomi negara, termasuk fakta tentang defisit, apabila berceramah jauh di kampung-kampung. "Saya diminta membawa isu-isu mudah seperti kenaikan harga barangan asas dan seumpamanya," ujarnya.

"Tak semestinya golongan terpelajar di bandar lebih berilmu dan memahami isu. Misalnya semasa di Chuping, Perlis, sebuah rancangan Feldam saya bertanya kepada seorang penduduk kampung, apakah negara kita pernah dijajah, beliau mengakuinya. Sedangkan ada profesor sendiri tidak tahu perkara ini," Anwar berseloroh, disambut gelak ketawa penonton.

Bagi saya, teguran Ketua Pembangkang itu harus diberi perhatian serius oleh penggiat parti, terutama PAS dan KeADILan, yang bertembung langsung dengan cabaran masyarakat desa dan peneroka Felda, di luar kubu tradisi pembangkang. Proses pendemokrasian harus merentasi segenap ruang.

Ada kalanya kita meremehkan keupayaan berfikir dan menganalisis oleh segmen pengundi terpenting itu, yang masih dianggap penyokong kuat BN. Meskipun mengakui mereka sasaran terpenting yang perlu didekati, namun tidak banyak usaha terancang dibuat bagi meningkatkan kesediaan untuk melakukan perubahan. Sebaran maklumat masih tersekat. Persepsi songsang sukar diperbetul.

Saya sendiri bertemu rakan-rakan yang masih setia menyokong BN bukan disebabkan habuan atau imbuhan yang mereka terima. Kelihatan mereka ikhlas dan mempercayai hanya Umno mampu mempertahankan "ketuanan" dan kepentingan Melayu. Mereka seolah-olah yakin kedudukan orang Melayu akan tergugat apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa, dengan DAP menjadi teraju utamanya.

Malah di Terengganu, yang mana lebih 96 peratus penduduknya orang Islam, Umno tetap memainkan isu PAS dikuasai, atau menjadi kuda tunggangan, oleh DAP, walhal tiada satu kerusi pun ditandinginya.

Boleh saja anda rumuskan  bahawa mereka ini naif berpolitik tetapi ia bukan hanya membabitkan masyarakat di kampung atau golongan berpendidikan rendah. "Kerisauan masa depan politik Melayu" itu turut dikongsi oleh kelompok kelas menengah, memegang jawatan tinggi-strategik dan terdedah kepada limpahan informasi.

Di sebelah tengahari, sebelum Syarahan Baling pada malamnya, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, semasa majlis diskusi ringkas bersama Jabatan Pengarang Harakah, menekankan bahawa dalam PRU13, jentera kempen Umno-BN akan mengeksploitasi semaksimum mungkin isu-isu sensitif berkaitan agama dan perkauman.

"Untuk BN pertahan kuasa, kali ini mereka mainkan isu sentimen, bukan fakta lagi.  Untuk pertahankan undi kerana hilang harapan kepada Cina, kini Umno terpaksa menggunakan isu sentimen perkauman untuk mendapatkan undi Melayu dan bumiputera Islam," ujarnya.

Mat Sabu seterus menceritakan pengalamannya bersembang dengan seorang pensyarah universiti semasa menunggu pesawat di lapangan terbang, di Johor. "Dia beria-ia minta PAS bertanding bersendirian, jangan berpakat dengan parti lain, terutama DAP. Katanya, jika PAS konsisten solo memperjuangkan nasib bangsa dan agama, akhirnya ia akan diterima rakyat juga," katanya.

Beliau cuba menjelaskan kepada pensyarah itu situasi yang PAS alami setelah sekian lama bertanding bersendirian, termasuk hilang pertaruhan di Johor. "Selepas bersembang lama barulah saya sedar, pensyarah tadi sebenarnya dipengaruhi oleh kursus indoktrinasi BTN (Biro Tata Negara) yang baru dihadirinya," tambah Mohamad Sabu.

Selanjutnya orang no 2 PAS itu mengingatkan: "Saya tidak memandang rendah keupayaan Umno-BN untuk memanipulasi sentimen itu. Biarpun isu-isu yang dimainkan itu bukan berjejak di bumi nyata, tetapi Umno yang berpengalaman lama memerintah negara tahu ia cukup berkesan kepada sebahagian besar pengundi Melayu."

Apabila saya posting peringatan Mohamad Sabu itu dalam Facebook, seorang rakan, wartawan politik membalas melalui SMS: "...tapi saya masih pelik kenapa dalam isu raih undi Melayu, Pakatan macam buat kesilapan yang tidak sepatutnya, macam beri bola tanggung kepada Umno-BN."

Tanpa menjelaskan lebih terperinci maksudnya, kawan baik saya itu berpesan: "Andai dalam PRU13, Pakatan atau PAS terutamanya masih gagal menguasai kerajaan persekutuan, yang pertama harus dipersalahkan ialah diri sendiri."

Anwar dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Alor Setar, 7 Disember lalu, juga mengingatkan hal yang sama. Penilaian awal harus dibuat terhadap prestasi gerakerja pilihan raya dan juga mengamati kemungkinan terdapat kesilapan yang dilakukan oleh jentera Pakatan sendiri.

Menjelang pecutan terakhir berkempen PRU13, saya kira penegasan Anwar, pengakuan Mohamad Sabu dan pesanan sahabat saya itu elok dijadikan renungan bersama. Walaupun nampak seolah-olah ada sedikit pertentangan di antara ketiga-tiganya, namun masa masih berbaki untuk membuat "post mortem" terlebih dahulu, agar isu-isu "yang terlepas pandang" dapat diberi perhatian.

Keghairahan melakukan perubahan di tengah-tengah sambutan hebat massa terhadap Pakatan, misalnya seperti ditunjukkan dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat tidak harus melupakan kita tentang aspek-aspek terselindung yang masih perlu diteliti.

 



Anwar mengingatkan dalam Syarahan Baling, 10 Disember lalu, agar tidak hanya menumpukan kepada golongan kelas menengah untuk membawa perubahan, sebaliknya masyarakat kampung terpinggir yang tidak begitu terdedah dengan maklumat juga berupaya mencipta sejarah, seperti dibuktikan dalam demonstrasi Baling, 3 Disember 1974. Turut kelihatan, Dr Syed Husin Ali.

No comments: