Monday, June 10, 2013

Terus mengasak Najib, sekali gus bermuhasabah tentang PRU13

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Sebenarnya, tanpa perlu menunggu bukti-bukti baru berkaitan penipuan dalam PRU13 -- termasuk dakwat kekal yang tidak kekal, lampu padam ketika membilang kertas undi, ada pemilih mengundi lebih daripada sekali, juga amalan politik wang yang menjolok mata -- sistem dan proses pilihan raya negara kita perlu segera direformasi secara menyeluruh.

Pengerusi SPR bersama timbalannya,  dan lima anggota yang lain (rujuk profil mereka dalam laman web SPR dan saya pernah mengulasnya dua tahun lalu) harus meletakkan jawatan. Keyakinan awam kepada anggota SPR. seperti dituntut Perkara 114 (2) Perlembagaan sudah lama terhakis. Gelagat SPR tidak lebih daripada komponen ke-14 BN!

Justeru, gema lantang suara rakyat yang ditunjukkan dalam siri jelajah "Blackout 505" mesti diteruskan secara lebih proaktif. Bukannya dengan niat untuk menjatuhkan kerajaan di luar proses demokrasi, tetapi mahu bangkit mengasak secara intensif agar kerajaan benar-benar serius melakukan pembaharuan politik.

Tidak lama lagi kita akan berdepan proses persempadan kawasan pilihan raya, yang selama ini menjadi instrumen paling ampuh buat BN mengekalkan kuasa. Tanpa majoriti dua pertiga, jumlah kerusi tidak dapat ditambah, namun SPR dibimbangi akan meneruskan "kerja jahat" selama ini, iaitu melakar semula kawasan pilihan raya semata-mata untuk memudahkan BN memenangi PRU14.

Sistem First-Past-The-Post telah dimanipulasi sepenuhnya, termasuk penyimpangan maksimum untuk jumlah pengundi di setiap kawasan pilihan raya. Walhal, BN sepatutnya dapat bekerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk mengimbangi kawasan Parlimen, dengan melakukan penambahan kerusi mengikut formula lebih demokratik merujuk prinsip satu orang satu uundi, dengan mengambil kira kawasan luar bandar (rural weightage), tetapi dengan nisbah yang munasabah.


Saya tertarik dengan rumusan aktivis SAMM, Edy Noor Reduan: "Menyeru semua NGO dan aktivis supaya pastikan tiada lagi rapat himpunan, tiada lagi acara persembahan, tiada lagi ucapan pidato yang melampuh, kini tiba masa untuk bergerak, kini tiba masa untuk berarak dengan berani."


Apa pun, saya juga teruja dengan persoalan dibangkitkan AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman: "Apa lagi yang mahu dilakukan selepas jelajah "Blackout 505"? Presiden Anak itu lebih prihatin dengan  proses koreksi diri dan langkah segera menjernihkan keadaan, sekali gus mrumuskan hala tuju dan prioriti parti.

Saya berkongsi kerisauan melihat respons aktivis Pakatan, sebahagiannya terkeluar daripada batasan akhlak dan adab, ketika bermuhasabah terhadap keputusan PRU13. Pelbagai gelaran dan label buruk diluahkan. Memang pedih menerima kekalahan, namun usah ditutup ruang dan potensi PRU14 dengan menuding kesalahan kepada pihak lain, tanpa meremehkan prinsip pertanggungjawaban.

Parti harus terus disegarkan dan diremajakan. "PAS tidak lagi boleh berbangga dengan struktur parti yang kemas dan keahlian yang ramai, jika imiginasi pengundi tidak tertarik dengan keupayaan dan kemampuan barisan kepemimpinannya menangani cabaran semasa," kata seorang ahli akademik. Ya, rakyat sedang memerhati dan menilai ...

 

----

Sedutan artikel Ahmad Lutfi pada Julai 2011:

 

Saya yakin keanggotaan SPR selepas ini akan diperhatikan. Sempat juga saya membelek profil pengerusi, Abdul Aziz Mohd Yusof, timbalannya Wan Ahmad Wan Omar dan ahli-ahli yang lain, iaitu Zainal Abidin Mat Said, Jamdin Buyong, Mohamad Ramji Alli, Dr P Manogran dan Christopher Wan Soo Kee.

Mungkin selama ini mereka kurang dikenali walhal tanggungjawabnya cukup penting dan kritikal. Rasanya lebih ramai yang mudah menyebut nama-nama pesuruhjaya Suhakam daripada ahli-ahli SPR.

Daripada laman web SPR, dimaklumkan bahawa jawatan Abdul Aziz sebelum dilantik Pengerusi SPR ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri. Manakala Wan Ahmad pernah memegang posisi paling strategik di SPR sendiri iaitu sebagai setiausaha, dan lebih menarik ia berlaku pada 1998-2004, iaitu tempoh yang cukup rumit buat Umno.

Persempadan semula kawasan pilihan raya dikatakan tugas terpenting Wan Ahmad, begitu juga dengan senarai pemilih pilihan raya 2004. Sebelum itu beliau banyak terlibat di bahagian keselamatan dan politik, Jabatan Perdana Menteri.

Jawatan Zainal Abidin sebelum dilantik ke SPR adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Jamdin pula pernah menjadi Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Sabah. Mohd Ramji merupakan bekas Pengarah Kemas Negeri Sarawak pada tahun 2004. Dr P Manogran adalah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (2004-2006), manakala Christopher pernah memegang jawatan Ketua Cawangan Khas (SB) Kuala Lumpur (2002-2005) dan jawatan terakhirnya sebelum dilantik ahli SPR adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Secara peribadi saya melihat latar belakang semua ahli-ahli SPR itu "tidak cukup kuat dan meyakinkan", malah "meragukan". Masih ramai tokoh masyarakat yang dihormati dan berwibawa, yang boleh disandarkan amanah berat menerajui SPR; dan tidak semestinya bekas pegawai kanan kerajaan yang dilihat begitu dekat dengan parti oemerintah.

Pada hemat saya, keahlian SPR perlu dirombak segera, bagi mendapatkan kembali kepercayaan umum kepada institusi yang cukup penting dalam sistem demokrasi itu, dan Agong mempunyai kuasa untuk berbuat demikian menurut peruntukan Perlembagaan, Perkara 114(2).

No comments: