Sunday, May 6, 2018

4 soalan kepada Adam Adli tentang Mahathir

Makalah ringkas ini cuba menyelami polemik berkaitan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri dan pengerusi gabungan pembangkang

ADAM ADLI ABDUL HALIM, aktivis gerakan anak muda yang dikenali ramai sejak zaman mahasiswa, dipilih untuk mewakili suara generasi baru yang kritikal dengan agenda reformasi dan perubahan.



Bagaimana Adam dan generasinya melihat faktor Mahathir ini. Apakah Mahathir diberikan kebebasan untuk bertindak seperti era 22 tahun menjadi PM dahulu? Apakah politik Malaysia masih terikat dengan politik personaliti? Ahmad Lutfi Othman melontarkan empat soalan asas kepada Adam Adli untuk penilaian bersama.

Pandangan Sdr Adam Adli terhadap penerimaan gabungan pembangkang melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan menamakan beliau sebagai Perdana Menteri ke-7 jika BN dapat dikalahkan.

Penerimaan Mahathir sebagai calon PM bukanlah sesuatu yang janggal untuk difikirkan, memandangkan dalam struktur politik kita selama ini pun, kita cenderung dengan pemimpin yang paling senior untuk menjadi nombor wahid, dan juga yang punya pengalaman memimpin.

Misalnya, pembangkang awal dahulu sejak 1998 sedia menerima musuh utama mereka, Anwar Ibrahim sebagai pemimpin utama pembangkang, dan calon Perdana Menteri. Kalau difikirkan sedalam-dalamnya – apa beza Anwar dan Mahathir dari segi asal usul kepimpinan mereka? Anwar itu bukankah bayang-bayang Mahathir suatu masa dahulu?

Pembangkang menerima Anwar atas banyak faktor – simpati, pekerti, kualiti kepimpinan dan yang paling penting, keuntungan politik sendiri. Dan memang benar, sebaik Anwar mengambil alih kepimpinan gabungan pembangkang, hasilnya cemerlang.

Mahathir mungkin bukan pemimpin yang mudah disenangi berbanding Anwar, apa lagi beliau ada sejarah memimpin negara yang terlalu panjang – menjadikan beliau sesuai diangkat sebagai kedua-dua negarawan dan diktator.

Namun keuntungan politik yang dibawa oleh Mahathir, setanding dengan apa yang dibawa oleh Anwar dahulu, malah mungkin lebih besar. Tidak mungkin pembangkang tidak mahu keuntungan sedemikian.

Mahathir mungkin boleh mendekatkan pengundi Melayu luar bandar kepd PH, tapi kemampuan (dan kejujurannya) untuk membawa pembaharuan dan perubahan (seperti reformasi institusi) menjadi pertikaian sesetengah pihak.

Wajar untuk kita persoal dan pertimbang. Ertinya kita ini sihat dan waras dalam mencatur politik, biarpun dalam keadaan yang sedang agak mendesak. Selama ini pun kita sentiasa berhati-hati dengan orang yang tiba-tiba menyertai kita, biarpun orang itu tidak lah dikenali sebagai orang jahat sebelum ini – apa lagi apabila oang yang selama ini kita gambar dan bingkaikan sebagai bapak kepada segala kebobrokan dalam negara.

Cuma dalam politik, tidak pernah ada musuh yang kekal, apa lagi kawan yang kekal.
Dalam soal mendepani kejujuran dan keikhlasan Mahathir apabila berbicara soal reform – jika tidak mempercayai Mahathir pun, apakah kita tidak mampu percaya kepada diri kita sendiri? Kita ada banyak tokoh yang terkenal tegas dan kukuh dengan prinsip menegakkan reformasi institusi – tidak mungkin hanya kerana wujud Mahathir, agenda ini terhalang.

Mahathir yang bakal menjadi PM baru ini saya percaya tidak mendapat cek kosong seperti zaman Barisan Nasional beliau. Saya percaya bahawa pemimpin kita sendiri yang ada hari ini, yang bakal menjadi sebahagian kabinet Mahathir akan memberi waktu yang sukar kepada beliau. Dua tahun memimpin kerajaan Pakatan pasti akan lebih sukar daripada 22 tahun memimpin kerajaan Barisan.

Rekod gelap hak asasi manusia di zaman Mahathir sering dijadikan alasan untuk menolak beliau kembali sebagai PM. Tapi ada pihak mengatakan Mahathir sekarang sudah berbeda.

Mahathir bukanlah orang yang berlainan hari ini. Beliau masih orang yang sama sejak dahulu, cuma bacaan politik beliau sahaja yang sudah berkembang sesuai zaman. Beliau faham dengan bahasa dan gerak politik hari ini, zaman internet, zaman maklumat cepat tersebar.

Apa yang beliau lakukan hari ini bukan bererti beliau sudah berubah menjadi orang lain, tidak.
Saya menilai Mahathir sebagai orang yang memahami bahawa zaman sudah berubah, perkara tidak lagi semudah zaman dahulu. Konteks masyarakat pada zaman beliau sudah berbeza dengan hari ini.
Rekod gelap beliau dahulu wujud kerana persekitaran beliau membenarkan ianya berlaku.
Persekitaran hari ini berbeza sama sekali. beliau boleh melepaskan diri dahulu bukan hanya kerana jawatan yang disandang, sebaliknya juga kerana maklumat dan cerita tidak sampai. Hari ini, apa maklumat yang boleh disorok lagi dari pengetahuan awam?

Jangan kata penjarakan orang, tersasul dalam ucapan pun cepat akan disebar dan dibincangkan, seterusnya dibahan oleh masyarakat.

Ada pihak lain mengatakan, kita tidak seharusnya menyerahkan bulat-bulat masa depan negara kepada mana-mana individu, termasuk Mahathir ataupun Anwar. Rakyat mahupun NGO harus berpartipasi secara proaktif untuk nembina semula negara. Soalnya, bagaimana rakyat harus atau boleh berperanan seperti itu?

Perbincangan sebegini sudah wujud sekian lama. Saya sendiri datang dari aliran yang kedua – iaitu aliran yang mahu menghentikan politik personaliti. Namun saya juga bukan hipokrit.

Saya faham benar bahawa bukan sahaja masyarakat feudal seperti Malaysia yang masih terus bergantung dengan pesona personaliti – masyarakat di luar pun sebegitu juga.
Dari zaman berzaman, akhirnya kita akan dengan sendirinya mengangkat suatu personaliti untuk bukan sahaja disanjung, sebaliknya mewakili psike kita.

Tidak ada satu pun idelogi politik dalam dunia yang terlepas dari perkara ini. Hatta golongan kiri yang antara paling terkenal gemar membincangkan masalah politik personaliti pun terbukti sejak dahulu sebagai antara kelompok yang paling mengangkat personaliti – dari Marx kepada Mao, dari Lenin kepada Castro.

Kita tidak dapat lari daripada soal ini. psikologi manusia secara kolektif akan sentiasa bergantung kepada satu simbol sebagai pelepasan diri ataupun tempat bergantung.

No comments: