Banyak
kalangan mendakwa anggota kerajaan hari ini masih bermentaliti
pembangkang. Mungkin 11 bulan memerintah berjaya mengubah sikap mereka
secara umum, tetapi kecenderungan yang diwarisi berdekad lamanya tidak
berjaya dikikis sepenuhnya.
Mentaliti pembangkang sering dikaitkan dengan kecenderungan
menyalahkan pihak lain semata-mata. Dalam konteks semasa, meletakkan
segala punca masalah negara yang bertindan-tindih ini kepada regim
terdahulu, Umno-BN. Minda oposisi juga kerap dihubungkan dengan
kegagalan menawarkan idea, dasar dan program baharu yang lebih baik
serta praktikal.
Mengimbau kemenangan PRU14 pada 9 Mei 2018 itu, banyak pihak mengakui
ia tidak terduga; dalam sekelip mata pembangkang yang hebat mengkritik
tiba-tiba bertukar menjadi menteri, menerajui posisi strategik dan
jawatan kanan. Ramai tokoh yang telahpun melepasi usia pencen, kini
perlu datang awal ke pejabat setiap pagi menggalas tanggungjawab besar,
suatu disiplin baru yang tidak pernah dialami sebelum ini.
Dr Mahathir Mohamad berulang kali menyebut, manifesto Pakatan Harapan
dirangka dalam keadaan mereka menjangka tidak akan menang PRU14.
Justeru, ada janji-janji yang sememangnya sukar dilaksana, apatah lagi
tanpa mengetahui tahap kesihatan sebenar kewangan negara dan kekangan
lain yang melambatkan pelaksanaannya.
Pengerusi PH itu juga mengakui situasi amat berbeda di kala beliau
dilantik perdana menteri buat kali pertama pada 1981. Bukan sahaja
prestasi ekonomi baik ditinggalkan pendahulunya, Tun Hussein Onn dan
tiada atau kurang legasi buruk yang diwarisi, malah anggota kabinetnya
tidak sahaja berpengalaman tetapi jauh lebih senior daripada beliau
sendiri. Dr Mahathir juga menerajui Umno, parti teras dalam BN, yang
dilihat mendominasi gabungan pemerintah, memudahkannya membuat keputusan
penting.
Dalam sesi wawancara eksklusif dengan The Star, Dr Mahathir
mengakui terpaksa berkerja tiga kali lebih banyak berbanding dahulu,
sambil berkata, “Saya harus bekerja sepanjang hari … Terdapat banyak
masalah yang tidak dapat diselesaikan kerana beberapa menteri saya tidak
cukup arif dalam mengendalikan masalah berkenaan, jadi mereka datang
kepada saya.”
Tambah Dr Mahathir, beberapa menterinya juga dilihat masih dalam
mentaliti pembangkang yang galak mengkritik dan bukannya melaksanakan
dasar sebagai sebahagian daripada kerajaan.
Namun begitu, kombinasi tokoh-tokoh berpengalaman dalam pentadbiran
Pakatan Harapan — malah cukup lama eksperimennya, termasuk mengetuai
jentera pentadbiran selama 22 tahun — bersama pemimpin yang ranum
idealisme adalah jalinan kompak yang sesuai untuk menjayakan misi
penting, memulihkan negara. Sekurang-kurangnya mereka tiada pengalaman
rasuah, menyalahgunakan kuasa dan mencuri dana awam!
Bayangkan, peralihan kepemimpinan negara berlaku tanpa Dr Mahathir,
Muhyiddin Yassin ataupun pemimpin-pemimpin orang pernah menerajui
kerajaan negeri, seperti Azmin Ali dan Lim Guan Eng. Proses pembelajaran
dan keserasian dapat dipercepatkan, selain lebih mudah mengesan
elemen-elemen sabotaj dalam perkhidmatan awam jika ada.
Begitu pun, masih banyak kelemahan, percanggahan atau tiada
persefahaman (juga timbul kenyataan kurang cerdik) sesama anggota
kabinet, sehingga dilihat ada aksi U-turn yang mengelirukan.
Ada kalanya menteri tersasul seolah-olah nampak sedikit ego dengan
jawatan yang disandang. Ya, kemahiran serta kebijaksanaan diplomasi
datang bersama pengalaman dan kematangan.
Wartawan veteran, A Kadir Jasin, yang juga penasihat media perdana
menteri berulang kali menegur. Dalam tulisan di blognya, beliau
menekankan, antara sungutan dan rungutan yang sering kita dengar
mengenai menteri, timbalan menteri, menteri besar dan ketua menteri PH
ialah mereka tidak cukup kerap turun padang melawat projek dan bertemu
rakyat jelata.
“Malah saya lihat dengan mata kepala saya sendiri betapa kekoknya
sesetengah daripada mereka apabila bersama rakyat jelata. Ada yang
seolah-olah mahu dipagari oleh pegawai dan pengawal supaya boleh
mengelak daripada mendengar keluh kesah rakyat jelata.”
Secara personal, sukar juga bagi saya, selepas begitu lama menjadi
pengkritik kerajaan, tiba-tiba beralih kepada pentas berbeda. Iaitu
mencari sisi positif terhadap dasar-dasar baharu pemerintah, tanpa
melupakan tugas untuk terus menegur dan mengingatkan. Apatah lagi
menginsafi hakikat peranan orang media sebagai “anjing penjaga” dan agen
semak-imbang.
Bukan mahu meremehkan fungsi oposisi, namun semua mengakui, tugas
memimpin dan mentadbir kerajaan pastinya jauh lebih sukar daripada
mengkritik dan membangkang. Sementalahan pula ditambah-sukar lagi dengan
warisan kebejatan yang berskala gergasi, juga bersekali jentera
pentadbiran sama, dipusakai turun-temurun sejak enam dekad.
Berlapang dada
Teringat pilihan sukar apabila Dr Mahathir mula mengkritik keras
Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak dan mengatur persefahaman
bersama barisan pembangkang, serta menjalin hubungan dengan Anwar
Ibrahim. Rekod bekas PM ke-4 itu, terutama dalam konteks hak asasi
manusia dan amalan demokrasi menimbulkan banyak persoalan. Namun, saya
tidak bermasalah untuk mengalu-alukan kehadirannya bersama pembangkan
bagi menumbangkan Mahathir. Lebih daripada itu, saya berlapang dada,
malah melihatnya sebagai satu kelebihan apabila Konvensyen Pakatan
Harapan pada Januari 2018 menamakan Mahathir sebagai calon perdana
menteri.
Saya tidak teragak-agak untuk mendukung resolusi PH itu, kerana tiada
pilihan lebih baik, selain menyedari kekuatan Dr Mahathir untuk
menghimpun sokongan, khususnya pengundi Melayu luar bandar. Faktor
Mahathir juga berjaya menyanggah propaganda Umno-BN yang mendakwa PH
didominasi atau nenjadi kuda tunggangan DAP.
Kini, menjelang setahun tarikh gemilang 9 Mei, suasana bulan madu
telah berlalu. Pembangkang ghairah mendakwa kerajaan PH hanya mampu
bertahan satu penggal. Gabungan Umno-Pas didakwa boleh mengatasi PH
dalam PRU15. Jumlah undi kedua-dua parti itu, dalam pilihan raya lalu,
untuk hampir 30 kerusi Parlimen boleh mengalahkan calon PH yang menang
di situ. Isu-isu Melayu-Islam dicanang sebagai sandaran serta modal
politik, dan ia nampak mempengaruhi audien. Sekurang-kurangnya oposisi
disuntik keyakinan tinggi untuk kembali memerintah.
Saya mengakui, tidak ramai menyedari pembaharuan agresif yang dipacu
kerajaan baharu. Dalam masa sama terdapat kelemahan, termasuk prestasi
anggota kabinet dan menteri besar serta exco negeri. Prestasi majoriti
MB Pakatan Harapan turut dipersoal secara terbuka. Juga nampak semacam
kecelaruan komunikasi politik. Keterbukaan turut mengundang risiko
negatif apabila tidak diurus dengan bijaksana dan matang. Namun
masing-masing dalam proses pembelajaran dan penyesuaian. Harapnya,
mereka lebih cepat belajar dan tidak membuatkan rakyat hilang sabar.
Sepanjang kerjaya sebagai wartawan dan penulis politik, sejak
pertengahan 1980-an, selama 30 tahun, saya tidak segan untuk mengakui
lebih cenderung kepada pembangkang. Bermula fajar indah 10 Mei 2018,
biarpun diselimuti gebar keuzuran, saya menukar posisi mendukung
pemerintah yang bertekad membawa tajdid dan reformasi.
Sekurang-kurangnya trend kemungkaran politik-ekonomi berjaya ditamatkan
dan sistem kenegaraan dibetulkan.
Tidak boleh digambarkan kefasadan tambah meluas jika regim Umno-BN
masih berkuasa. Kita bagai melintasi medan tempur penuh jerangkap
peledak. Alhamdulillah, demokrasi berjaya dipulihkan, kecurian dana awam
dihentikan, rasuah dibongkar dan korupter satu demi satu diseret ke
mahkamah, akta drakonian menunggu masa dipinda-mansuh, beban peningkatan
kos hidup serius ditangani.
Kerajaan perlu serius menangani keresahan awam. Korupsi bukan
satu-satunya punca kejatuhan regim. Begitu juga kecurangan demokrasi.
Mungkin tumbangnya kerajaan Pas di Terengganu (2004) dan di Kedah (2013)
bukan contoh sesuai tetapi boleh dijadikan iktibar. Pembaharuan perlu
kebijaksanaan, prioriti dan satu bentuk kemahiran. Jangan cemari dengan
aksi melampau atau mempamerkan mesej yang tidak diperlukan, walaupun
bertujuan baik. Niat yang tulus tanpa perlaksanaan berhikmah dan
penjelasan yang membumi mungkin tidak mencapai natijah yang diharapkan.
Tidak mudah menyuntik keyakinan buat rakyat bangkit menumbangkan
regim yang berakar 61 tahun. Segala impian melihat Malaysia yang lebih
adil, makmur dan sejahtera akan lebur jika PH bertahan hanya satu
penggal. Cita-cita luhur agar setiap rakyat dapat berteduh di bawah
lembayung redup yang damai akan berkubur andai BN kembali berkuasa.
Justeru, pengalaman setahun lalu penuh warna-warni itu memerlukan
proses pembetulan segera. Hendaknya mentaliti pembangkang sudah melalui
transformasi secukupnya sebagai peneraju perubahan. Gangguan bercirikan
perkauman usah diperkecil tetapi tidaklah sampai kelihatan panik
menanganinya. Hadam psikik kelompok Melayu dan olah secara bersama oleh
semua parti PH. Belajar berdiplomasi dengan segala rukun yang penuh seni
itu.
Idealisme seluhur dan secantik mana sekalipun akan menjadi
puing-puing berterbangan jika PH sekadar kerajaan satu penggal.
Kesempatan berharga yang gagal dimanfaatkan merupakan jenayah tidak
terampun.
Teman saya, editor dan penulis berbakat, Fathi Aris Omar menitipkan pesan panjang yang bermanfaat:
“Ramai demokrat dan aktivis mahu perubahan tulen. Tidak ramai yang
berfikir bagaimana mengekalkan kuasa yang mendukung perubahan itu.
“Perubahan sejati, bagi mereka, mestilah disegerakan tanpa tolak
ansur. Tolak ansur dengan rakyat, demi mengekalkan kuasa, dalam usaha
melaksanakan perubahan dianggap “wayang politik” sahaja.
“… Mereka tidak mahu melihat dinamika evolusi perubahan dalam demokrasi yang mereka laung-laungkan itu.
“Aktivis dan demokrat seharusnya tahu meletakkan perimbangan antara
perubahan yang berdikit-dikit dengan usaha mengekalkan kuasa.
“Kuasa yang mendukung proses demokrasi mesti dipertahankan atau
dikembangkan. Kita kena jadi “rakan kongsi strategik” dalam proses ini.
“Tiada guna perubahan demokratik jika hilang kuasa.
Demokrasi harus dikembangkan melalui Kuasa yang mendukungnya. Namun proses ini perlu rundingan dan tolak ansur.
“Yang kita cita-citakan, dalam perubahan demokratik, bukan usaha
kosmetik; perubahan sekadar di atas kertas dan perundangan tetapi gagal
jelira dalam sosio-budaya masyarakat.
“Kita mahu perubahan yang menanam nilai demokrasi, yang mengubah
jiwa, sikap dan tingkah laku. Sebab itu, Kuasa yang mendukung proses ini
perlu dipertahankan, sekurang-kurangnya dua atau tiga penggal pilihan
raya. Perubahan segera dan gopoh-gapah dalam tempoh sepenggal bukan
pilihan kita. Sepenggal ertinya tiada perubahan!”
No comments:
Post a Comment