Sunday, June 2, 2019

30 minit bersama Kak Wan, Anwar di wad pembedahan Ampang

Stesen jurururawat Wad 5D Hospital Ampang hanya beberapa langkah dari katil saya. Sebaik isteri memaklumkan hasrat Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Anwar Ibrahim untuk datang ziarah kepada kakitangan bertugas, saya terdengar deringan telefon.

Daripada perbualan yang jelas sampai ke cuping telinga saya itu, tergambar Timbalan Perdana Menteri dan Presiden PKR itu seolah-olah hampir tiba. Agak riuh reaksi yang lain. Bercampur rasa terkejut dan teruja. Mungkin juga kelam-kabut kerana tidak sempat membuat persiapan.


Isteri nampak tenang biarpun penat baru membereskan masakan untuk anak berjualan di bazar Ramadan. Saya cepat-cepat ke bilik air membersihkan diri dalam keadaan masih mengantuk. Langkah diatur perlahan penuh hati-hati. Saya sentiasa diingatkan agar menjaga pergerakan dan kekalkan keseimbangan terutama apabila dalam tandas.

Sejak lapan tahun lalu saya sudah dua kali diserang angin ahmar, membuatkan bahagian kiri tubuh lemah, khususnya anggota kaki. Alhamdulillah, pertuturan saya tidak terjejas. Cuma tongkat diperlukan untuk mudah mengatur langkah. Baru-baru ini anak menempah kerusi roda melihatkan saya kerap kepenatan dan sesak nafas apabila berjalan. Di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang lalu, saya hanya sempat singgah tiga atau empat reruai ekoran kaki lenguh amat sangat mengharung pengunjung yang bersesak begitu ramai.

Saya tidak mempunyai hubungan istimewa atau personal dengan Anwar ataupun Kak Wan. Sekadar wartawan biasa yang memerhati dari jauh atau secara lebih khusus, agak banyak menulis buku politik membicarakan Anwar sejak awal 1990-an. Saya lihat Anwar merupakan bintang gemerlap di langit politik tanahair.

Waktu itu saya menjadi bidan terjun, tiba-tiba ditarik ke jawatan Pengarang Kumpulan Harakah dan heboh ura-ura bakal Anwar bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno mencabar penyandang, Almarhum Ghafar Baba. Buku Anwar Lawan Ghafar? mencetuskan kontroversi apabila meramalkan posisi no. 2 Umno menjadi pertarungan sengit di kala Anwar menafikan mempunyai hasrat untuk berbuat demikian. Buku tebal itu mula saya tulis setahun sebelum pemilihan November 1993.

Cuma, ada pihak salah anggap terhadap pandangan kritis atau teguran saya kepada Anwar. Mereka membayangkan saya mahu melepaskan dendam dan amarah ekoran pemecatan saya daripada UTM pada 1986. Waktu itu, Anwar Menteri Pendidikan dan saya aktif dalam gerakan pelajar yang heboh dengan isu pemberhentian mahasiswi berpurdah. Kebetulan seminggu sebelum dibuang universiti, akhbar Watan menyiarkan pada paparan muka depan “ugutan” saya untuk menentang Anwar jika beliau tidak melaksanakan sistem pendidikan Rabbani. Walhal, ia tiada kaitan langsung dengan Anwar.

Tengah hari Sabtu itu, mendapat khabar Anwar dan Kak Wan akan menziarahi, segera minda saya diketuk persoalan besar tentang isu peralihan kuasa perdana menteri yang sering digembar-gemburkan. Mahathir dijangka bakal melepaskan teraju dalam tempoh dua tahun selepas PRU14 atau sekurang-kurangnya sebelum penggal berakhir menjelang PRU15.

Perbahasan berlebihan isu ini lebih membawa mudarat dan mengurangkan fokus kepada usaha memulihkan negara apatah lagi menyedari hubungan penyokong Mahathir-Anwar di peringkat akar umbi tidaklah seharmonis yang diharapkan. Episod zaman gelora dahulu juga tidak semudah itu untuk dijernihkan. Hanya sikap terbuka, berjiwa besar dan berlapang dada, serta kebijaksanaan memilih prioriti, menjadikan PH sebuah keluarga besar yang progresif dan maju ke depan.

Saya tidak dapat mengingati bila kali terakhir bertemu Anwar. Yang pasti, selepas beliau dibebaskan daripada penjara dan mendapat pengampunan Agong setahun lalu, saya belum berjumpanya. Semasa di Harakah, saya sempat dua kali mewawancaranya, pertama di sebuah banglo di Petaling Jaya dan kemudiannya di ibu pejabat PKR.

Anwar Ibrahim dan Wan Azizah ketika menziarahi Ahmad Lutfi Othman di Hospital Ampang, 11 Mei lalu.
Saya turut bersama ribuan penyokong menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya yang menghantarnya ke penjara sekali lagi pada Februari 2015. Ketika itu tahap kesihatan saya merosot teruk. Menunggu keputusan yang dibacakan Ketua Hakim Negara, dalam suasana panas terik di bawah sepohon pokok bersebelahan bangunan mahkamah, terasa begitu lama dan memenatkan.

Politik pembangkang dilanda kepiluan dan diserkup kekosongan apabila Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia sejurus selepas Anwar dihantar ke penjara. Dua tokoh utama itu menjadi pengikat dan penghubung kesatuan oposisi dan meleraikan sebarang kekusutan yang timbul.

Tergambar misi untuk mengalahkan Umno-BN semakin sukar digapai. Apatah lagi persefahaman sebalik tabir di antara Pas-Umno kian heboh digosipkan. Nik Aziz yang menentang keras ura-ura kerjasama itu sudah tiada; tambah mudahlah gerak langkah mencari keserasian di antara dua parti Melayu tertua itu.

Ketika harapan menumbangkan regim korup nampak hampir mustahil dan impian merehatkan elit penguasa seperti tidak terkalahkan, berpunca pembangkang yang dianggap paling berpengalaman — Pas — mengambil sikap berbeda, rupa-rupanya tekad rakyat tetap istiqamah. Mereka benar-benar mendambakan perubahan. Peluang keemasan ini bukan selalu hadir dan seharusnya didakap erat.

Justeru, ramai penganalisis dan pengkaji politik yang menjangkakan BN dan Najib Razak masih berupaya mengekalkan tampul kuasa meskipun merosot teruk populariti. Manakala Pas terus dianggap faktor penentu atau sekurang-kurangnya pemecah undi Melayu, sekali gus memberi keuntungan buat penyandang. Maka situasi pertandingan tiga penjuru, seperti ditunjukkan dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah satu kelebihan buat Umno-BN serta menjadi strategi ampuh Najib.

Dua PRK yang menyuntik rasa yakin diri buat BN itu diadakan lebih kurang dua tahun sebelum PRU14. Faktor Mahathir sebagai tenaga penggerak utama oposisi belum menyerlah, walaupun sentimen anti-Najib sudah membahang. Bersatu pun belum ditubuhkan secara rasmi lagi. Namun begitu, strategis Umno silap membaca realiti dan tetap menganggap majoriti pengundi Melayu masih terpengaruh dengan propaganda karut mereka.

Biarpun Mahathir diterima sebagai faktor dominan kejayaan Pakatan Harapan dan berjaya menangkis perang saraf perkauman Umno, pengaruh pemimpin terdahulu yang merintis usaha menumbangkan regim kleptokrat tidak boleh diremehkan. Mahathir mungkin pelengkapnya tetapi jasa tokoh-tokoh seperti Anwar sukar diremehkan. Apatah lagi dengan sikap terbuka dan berlapang dada Anwar yang sanggup menerima bekas seteru ketatnya bagi menyelamatkan negara daripada terhumban ke dalam jurang dalam kehancuran.

Sesungguhnya Mahathir dan Bersatu tidak hadir dalam vacuum. Perjuangan ini bagai mata rantai yang bersambung. Benar, percubaan Anwar dari dalam penjara sejak 1998 belum berjaya. PRU 1999 sehingga 2013 menemui jalan sukar, dan pernah mengalami pasang surutnya tetapi ia menyediakan tapak kukuh buat kebangkitan bermakna pada 9 Mei 2018.

Wan Azizah membantu menjelaskan kepada Anwar terma-terma tertentu berkaitan rawatan ginjal kronik yang sedang ditempuhi Ahmad Lutfi.
Tsunami politik pada 2008 yang menafikan majoriti dua partiga BN di Parlimen dan menguasai lima negeri, telah mengasaskan keyakinan diri untuk berubah buat rakyat Malaysia. BN sudah hilang kekebalannya. Malah, saya menganggap sumbangan generasi lebih awal yang komited dengan kebebasan dan keadilan, sejak kemerdekaan lagi, harus terpahat dalam sejarah membentuk Malaysia Baharu. Keringat, tenaga dan darah mereka yang beriltizam gigih itu wajar dikenang. Korban bukan sedikit, dengan harga yang mahal, untuk membebaskan negara daripada kelompok penguasa dan sistem yang menindas.

Ketika mendengar derap sepatu yang semakin rapat ke katil 11, wad 5D, tengah hari Sabtu yang hening itu, saya perlahan-lahan bangun. Tidak ramai pelawat yang menzirahi dua jiran pesakit berhampiran saya. Ada dua kerusi kosong bersebelahan katil disediakan untuk Kak Wan dan Anwar.

Saya duduk mencari keselesaan sambil memerhati para jururawat agak kalut menerima tetamu istinewa yang datang mengejut.

Sosok Anwar muncul dahulu, diiringi Kak Wan. Langkah pasangan itu nampak ringan. Senyum menguntum hadir lebih awal sambil Kak Wan memberi isyarat agar saya terus duduk. Timbalan Perdana Menteri sudah berada di depan saya dengan raut wajah cukup menyenangkan. Seorang wanita, isteri dan ibu yang cekal, tabah dan sabar. Personaliti luar biasa tetapi tetap berwatak sederhana dan mendamaikan. Tempoh 20 tahun yang memisahkan di antara dua senario amat berbeda da kontras sekali. Ya, garis takdir sering tidak terduga.

Salaman Anwar terasa erat dan agak lama. Pandangan saya jatuh ke dalam bola matanya yang jernih. Lelaki berusia 70 tahun ini masih tegap dan kelihatan sihat, tidak menggambarkan penderitaan yang dilalui berdekad lamanya.

“Kak Wan ada program di sinikah?” sapa saya, menyedari Wan Azizah merupakan Ahli Parlimen Pandan, kawasan yang lokasi Hospital Ampang itu.

“Tak ada program pun, memang kami sengaja datang untuk melawat Lutfi,” balas segera Kak Wan sambil tersenyum.

Anwar bertanya tahap kesihatan saya dan seterusnya merapati saya untuk melihat dari dekat tangan yang berbalut. Apabila diberitahu komplikasi dialisis yang mungkin menyebabkan fistula di lengan kiri bermasalah, Kak Wan sebagai seorang doktor perubatan membantu menjelaskan kepada Anwar terma-terma tertentu berkaitan rawatan ginjal kronik secara lebih terperinci.

BERSAMBUNG…
Nota:
Catatan ini agak lambat disiapkan kerana keuzuran berpanjangan selepas keluar wad lebih dua minggu lalu.

No comments: