Kalau Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat cukup bilangan sokongan ahli
Dewan Rakyat, hanya berdasarkan kedudukan kerusi di Parlimen atau bukti
Akuan Berkanun (SD), isu kerajaan pintu belakang masih belum selesai.
Terbukti semalam, ada wakil rakyat yang duduk sebelah blok penyokong
kerajaan, rupa-rupanya pembangkang. Lagi pula, anggaran sokongan cukup
tipis, tidak lebih 113, majoriti dua undi!
Dan kalau berlaku pengundian, belum tentu lagi sokongan “cukup makan”
itu dapat bertahan.
Mungkin ahli-ahli Parlimen Umno pun ada yang
menolak Muhyiddin serta memihak Mahathir atau Anwar dalam diam. Apa lagi
ahli Parlimen Bersatu (asal) yang sudah terkesan dengan sikap sombong
Umno dan mahu kembali sebagai parti dominan kerajaan.
Kalau usul undi tidak percaya kepada perdana menteri akhirnya dapat
dibentang di Parlimen juga, dan kemudian ditolak kerana penyokong
Muhyiddin lebih ramai, maka isu pengkhianatan-pembelotan dan pencabulan
mandat rakyat juga masih belum selesai.
Isu terpenting bukan “cukup bilang” atau tidak, ia menyangkut
persoalan dasar, kerajaan ini hasil rampasan kuasa. Tapi kudeta yang sah
di sisi undang-undang atau Perlembagaan.
Dijangka menghampiri sidang Parlimen akan datang, episod sarat dengan
sogokan dan tawar-menawar menjadi lebih rancak lagi. Malangnya,
kepentingan rakyat dan negara akan terus terabai.
Pandemik Covid-19
hanya menjadi perisai membentengi kerajaan yang rapuh ini.
Sehingga kini, tiada sebarang pakej rangsangan ekonomi atau pelan
menghadapi wabak maut ini yang dibahaskan secara menyeluruh di Parlimen.
Impak dahsyat koronavirus ini masih belum dihalusi secara tuntas.
Apatah lagi apabila kerajaan tebuk atap ini masih tidak dapat melalui
proses semak- imbang di Dewan Rakyat, lagilah keabsahannya akan terus
dipertikai. Muhyiddin terus disibukkan untuk membeli sokongan dengan
mengagih-agihkan habuan dan ghanimah; tiada lagi usaha pembaharuan atau
pemulihan tanah air tercinta, juga penggubalan polisi awam atau
pelaksanaan program bagi menyelesaikan kemelut rakyat.
Agenda reformasi Pakatan Harapan (PH) dahulu telah terbantut dan
kemungkinan besar terbaral. Muhyiddin sentiasa dibelenggu rasa curiga,
syak wasangka, tidak yakin diri, dan takut pada bayang-bayang sendiri.
Lagipun kerajaan ini tidak tidak berdiri atas apa-apa manifesto atau
iltizam politik, hanya komplot jahat elit politik berkepentingan dan
persefahaman sementara yang goyah.
Selepas dua bulan merampas kuasa rakyat, selepas ahli-ahli Parlimen
(yang tidak dapat masuk Kabinet lagi atau sudah penuh kuota timbalan
menteri) diserahkan jawatan pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan
kerajaan (GLC) dan diwujudkan duta-duta khas bertaraf menteri, amat
mengejutkan sokongan terhadap Muhyiddin tidak juga meningkat.
Kita masih tertanya-tanya siapa sebenarnya yang mengisi senarai wakil
rakyat yang menyokong Muhyiddin, yang diserahkan kepada Agong akhir
Februari lalu.
Apakah ini petanda konflik politik mungkin berpanjangan, yang hanya
dapat dirungkai dengan pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum
mengejut. Lagi pun, Umno dan sekutu rapatnya, Pas, sudah lama yakin
mereka akan menang besar dalam PRU-15.
Malah, semasa baginda Agong berjumpa kali pertama dengan wakil-wakil
rakyat sejurus perdana menteri meletakkan jawatan akhir Februari lalu,
kedua-dua parti Muafakat Nasional itu tidak mencadangkan sebarang nama
calon PM, mereka mengusulkan Parlimen dibubarkan. Justeru, kemungkinan
PRU-15 diawalkan tidak boleh ditolak.
Di samping mengukuhkan pengaruh parti masing-masing dan membersihkan
daripada potensi pengkhianatan berulang, kerjasama politik sesama
pembangkang harus dimurnikan.
Hubungan dua personaliti utama, Mahathir-Anwar mesti dijernihkan.
Khususnya penyokong tegar ataupun penasihat mereka berdua, harus berjiwa
lapang, dan mengambil iktibar daripada keruntuhan kerajaan PH. Masalah
komunikasi yang meruncing itu nampaknya masih belum diuruskan dengan
tuntas
No comments:
Post a Comment