Tuesday, November 25, 2008

Kepentingan ideologi dalam usaha menjatuhkan sistem: Kes Iran

Pada dasarnya ideologi ialah satu sistem nilai atau kepercayaan politik yang dianggap oleh pendokong-pendokongnya sebagai satu sistem politik yang ideal untuk direalisasikan. Rasional-rasional yang terkandung di dalamnya dianggap oleh mereka dapat menerangkan keadaan masyarakat yang mereka hadapi dan dapat pula digunakan sebagai kerangka teori untuk merancang sistem alternatif bagi masyarakat tersebut.

Pegangan ideologi ini pula sebaliknya bertindak mencorak sikap politik mereka terhadap pelbagai institusi dan proses masyarakat. Menurut Syed Ahmad Hussein (1994), ideologi berhubung langsung dengan soal kuasa politik. Ia juga mengandungi dalih-dalih normatif untuk memperjuangkan sesuatu program perubahan atau reaksi kepada keadaan yang ada, ataupun dalih-dalih yang mempertahankan keesahan status quo.

Ideologi berbeza dengan falsafah. Ideologi menuntut tindakan dan bukan setakat menganalisis dan mengupas. Sebab itulah ideologi pernah ditakrifkan sebagai "sistem idea yang action-related". Ideologi juga mempertahankan sesuatu sistem nilai dan mempertikaikan sistem-sistem nilai lainnya.

Ia turut boleh berperanan mengerah sokongan untuk berpadu dalam menghadapi peperangan atau ancaman luar, di samping menjadi pendorong perpaduan rakyat, termasuk melalui pengerahan untuk menyertai rapat-rapat raksasa yang selalunya melibatkan pengluahan ketaatan kepada ideologi, negara dan pemerintah.

Di peringkat individu, ideologi memberikan identiti dan perasaan keanggotaan kepada individu dalam kumpulannya. Ia juga boleh dijadikan alat rasionalisasi peribadi yang dapat menolong seseorang individu itu membendung tekanan hidup dan mengawal keraguan dan konflik kejiwaan, selain memuaskan keinginan seseorang untuk menghubungkan dirinya dengan identiti yang lebih umum.

Pendek kata, ideologi boleh berperanan sebagai kuasa azimat yang luar biasa hebatnya, sehingga memungkinkan satu sejarah baru terbentuk, misalnya melalui beberapa revolusi yang terpahat dalam sejarah dunia.

Negara yang dipilih untuk menunjukkan kepentingan ideologi sebagai penggerak menjatuhkan sistem pemerintahan bobrok ialah Republik Islam Iran.

Revolusi Iran mempunyai kedudukan yang istimewa berbanding perubahan di negara lain apabila dinasti Pahlavi (diterajui Mohamad Reza Shah Pahlavi) yang mengamalkan kuku besi dapat ditumbangkan melalui dorongan kuat Islam sebagai satu ideologi pemerintahan dengan kepimpinan karismatik Ayatullah Khomeini.

Terlalu sukar untuk membayangkan suatu revolusi lain dalam sejarah di mana kepimpinannya mempunyai kuasa sehebat para pemimpin Revolusi Islam Iran.

Bagaimanapun gerak kerja yang didokong golongan agama itu, yang berjaya menumbangkan sepenuhnya sistem monarki pada 11 Februari 1979, sudah dimulakan lama sebelum itu, dan memakan korban yang cukup banyak.

Dan inilah juga persoalan menarik dalam perbincangan kita, bagaimana puluhan ribu rakyat jelata Iran dengan tangan kosong sedia turun bertempur di jalan-jalan raya di Tehran, sewaktu perintah berkurung dikuatkuasakan, sehingga akhirnya ketiga-tiga cawangan angkatan bersenjata Iran menyerah diri kepada kuasa rakyat.

ELEMEN PENTING GERAKAN PERUBAHAN

Dalam mana-mana gerakan perubahan sosial, apatah lagi ?bertaraf revolusi? seperti berlaku di Iran, tiga elemen penting harus ada:

1. Sistem sedia ada begitu korup dan bobrok, sehingga majoriti rakyat mudah diyakinkan bahawa ia perlu ditukar, berdasarkan fakta dan keterangan yang tidak mungkin dapat disembunyikan lagi.

2. Kehebatan ideologi atau sistem pemerintahan baru yang ditawarkan sebagai alternatif bagi menumbangkan sistem lama yang menekan dan menzalimi rakyat.
3. Kemunculan pemimpin karismatik.

KEBOBROKAN DINASTI SHAH IRAN

Menurut Masih Muhajeri (1984), rakyat Iran selama lebih satu abad telah berusaha untuk menubuhkan sebuah kerajaan Islam bagi membebaskan diri daripada satu sistem yang begitu mengongkong dan menghina mereka.

Katanya, motif utama di belakang Revolusi Islam Iran adalah kebangkitan semula Islam, penubuhan sebuah kerajaan Islam dan penguatkuasaan hukum-hukum Allah yang telah digariskan al-Quran.

Dinasti Pahlavi pula dianggap mengkhianati bangsanya sendiri apabila bertindak sebagai agen kolonialisme Amerika di Timur Tengah, sehingga kehidupan rakyat Iran telah jauh terpesong dari ajaran Islam. Shah Iran juga didakwa terlibat dalam pakatan jahat Amerika-Israel.

Budaya lucah (misalnya, kegiatan seks dilakukan di hadapan umum atas tajaan isteri Shah), amalan rasuah (keluarga dan rakan-rakan rapat Shah memperolehi komisyen melangit), eksploitasi kekayaan negara (hasil minyak diguna untuk golongan istana bermewah-mewah), usaha memusnahkan pengaruh golongan agama (malah membunuh ulamak terkemuka) dan kezaliman polis perisik Savak (yang dilatih agen perisik Israel, Mossad dan CIA) meningkatkan lagi rasa marah rakyat terhadap pemerintah.

Rakyat yang kebanyakannya hidup dalam kemiskinan bertambah jelek melihat pembaziran Shah, misalnya untuk merayakan hari kemahkotaannya, berbilion rial dibazirkan (termasuk menghantar pesawat khas ke Belanda untuk membeli bunga dan membawa masuk wanita Paris dengan pesawat Concorde), selain pesta merangsang nafsu di istana dianjurkan dalam tempoh yang lama. Ramai kanak-kanak yang tidak berdosa mati berhampiran lokasi perayaan kerana tidak ada kemudahan perubatan, tidak cukup makan, malah dinafikan keperluan asas. Shah juga dituduh melindungi pengedar dadah kelas atasan.

Sebahagian besar hasil penjualan minyak digunakan untuk membeli senjata dari Amerika, Eropah dan Israel. Peruntukan besar buat penasihat tentera dari Amerika turut dibebankan kepada rakyat Iran. Iran juga dijadikan pangkalan tentera Amerika untuk menyerang Soviet. Dalam perang Arab-Israel tahun 1967 dan 1973, pesawat Israel menerima bahan bakar dan peralatan perang dari pangkalan udara Iran.

Walaupun institusi ketenteraan Iran berada dalam kekuatan yang hebat, namun ia sepenuhnya dikongkong Amerika, satu penghinaan yang tidak dapat diterima rakyat Iran dan anggota tenteranya sendiri. Ribuan agen Savak, yang dibayar gaji lumayan dan kemudahan istimewa, menangkap siapa saja yang disyaki menentang Shah. Memiliki buku dan gambar Khomeini merupakan satu kesalahan dan boleh dipenjarakan sehingga seumur hidup, malah ada yang dibunuh.

Ramai ulamak dan aktivis, termasuk mahasiswa, menjadi korban.
Savak yang melakukan pelbagai bentuk penyeksaan untuk memaksa para pejuang mendedahkan rahsia. Antaranya adalah merogol isteri, anak atau adik perempuan di hadapan aktivis berkenaan. Savak menyusup di kampus, kilang, pejabat, masjid, juga berkeliaran di jalan raya, sekolah, malah di kalangan golongan agama dan keluarga.
Dalam keadaan tertekan itulah rakyat Iran di bawah kepimpinan karismatik Khomeini bangun dan mengorbankan jiwa lebih daripada 60,000 syuhada dan 100,000 lagi menjadi cacat.

KEMURNIAN IDEOLOGI ISLAM

Seorang pengkaji yang begitu berminat dengan perkembangan Iran selepas revolusi, Kalim Siddiqui (1996) menegaskan, tidak ramai orang di luar Iran dan tidak juga ramai di dalam Iran yang memahami bahawa Revolusi Islam adalah berasal daripada revolusi intelektual dalam tradisi Syiah.

Pengaruh ulamak dan pusat-pusat keagamaan yang cukup besar dalam tradisi kehidupan masyarakat Syiah Iran juga memainkan peranan besar, khususnya selepas pintu ijtihad dibuka. (Sebelum itu, ulamak Syiah berpendirian tiada Negara Islam yang sah boleh didirikan sehingga datangnya Imam Mahdi).

Kesanggupan rakyat, biarpun yang tidak mendalami ilmu agama, untuk mati syahid dalam memperjuangkan kebenaran amat dikagumi. Kesedaran tentang politik Islam cepat tersebar, terutama pemahaman tentang konsep mustadhafiin dan mustakbirin, begitu juga slogan "Tidak Timur, Tidak Barat".

Imam Khomeini menekankan soal golongan yang menindas, seumpama Amerika Syarikat dan golongan yang tertindas, seperti rakyat Iran sendiri. Ia berupaya menyuntik kekuatan dalaman luar biasa terhadap pelbagai lapisan rakyat untuk berdada dengan muntahan peluru tentera yang mempertahankan Shah.

Malah, selepas kerajaan baru terbentuk, dan kemudiannya menghadapi pelbagai tentangan dari pihak luar, termasuk sehingga mencetuskan peperangan dengan Iraq (yang didokong Amerika), namun komitmen tinggi rakyatnya untuk mempertahankan revolusi tetap terserlah.

Semangat juang inilah juga yang mendorong penubuhan Jihad-e Sazindigi atau Jihad untuk Pembinaan Semula Kehidupan (Jihad). Sekumpulan siswazah muda yang bersemangat di kalangan jurutera, doctor, ahli sains menyertai Jihad untuk membangun prasarana terutama berkaitan perumahan dan pertanian di kawasan perkampungan, selama beberapa minggu, bagi membina keperluan asas dan memperkenalkan kaedah pertanian moden, tanpa sebarang perbelanjaan negara.

Apabila berlaku perang dengan Iraq, ramai anak-anak muda yang sedikit terlatih (dikenali sebagai Baseej atau kerahan) menawarkan diri untuk berjuang bersama-sama tentera mahir, dan mereka menunjukkan keberanian yang menimbulkan ketakutan di hati tentera Iraq yang asyik dengan majalah Playboy di katil-katil mereka, sehingga melenyapkan sebarang keinginan campur tangan oleh kuasa-kuasa besar dunia, Eropah dan juga negara Arab lainnya.

FAKTOR KEPIMPINAN KARISMATIK

Mengulas kejayaan revolusi Iran tidak akan bermakna tanpa merujuk faktor kepimpinan karismatik, bukan sahaja melibatkan peranan Imam Khomeini, tetapi juga tokoh-tokoh lain, yang turut melahirkan gagasan revolusioner, seperti Dr Ali Shariati, Ayatullah Taleqani dan Ayatullah Mutahhari.

Wan Idros Wan Sulaiman (1999) menekankan, pada asasnya teori kepimpinan karismatik yang unggul adalah daripada Robert J. House yang banyak menulis berkenaan karismatik yang dianggapnya sebagai gifted.

House menyarankan bahawa pemimpin karismatik mempunyai tingkatan-tingkatan kuasa rujukan yang amat tinggi dan sesetengah kuasa itu didapati daripada keperluan pemimpin berkenaan untuk mempengaruhi orang lain dan juga dari tingkat keyakinan diri, penguasaan yang amat tinggi dan kepercayaan teguh tentang kebenaran moral.

House juga menegaskan pemimpin karismatik bijak menyampaikan pandangan atau matlamat yang ingin dicapai sehingga mampu meraih komitmen dan tenaga pengikutnya. Mereka begitu berhati-hati mewujudkan satu imej kejayaan dan kecekapan serta menunjukkan contoh-contoh melalui perilaku mereka, mengenai nilai-nilai, norma dan kepercayaan yang mereka tegakkan.

Pemikiran Ayatullah Khomeini, lewat tulisan-tulisannya, menurut Amien Rais (1987), melihat Islam sebagai agama yang dinamis dan menjadi agama kaum pejuang yang mendambakan keadilan dan kebenaran, serta agama mereka yang ingin melakukan pembebasan dari setiap penindasan.

Beliau mengingatkan kaum Muslimin terhadap citra Islam yang diprojekkan oleh musuh-musuh Islam, sebagai agama ibadat dan tidak ada hubungan dengan masalah negara. Khomeini melihat imperialisme dan kolonialisme bukan hanya dari segi ketenteraan, politik dan ekonomi, tetapi juga dari segi pendidikan, keagamaan dan kebudayaan.

Di matanya, Amerika merupakan "Syaitan Besar". Beliau jelas memihak kepada kaum yang lemah atau mustadhafiin, dan menentang golongan mustakbirin atau penindas. Beliau diusir ke Turki, Iraq, kemudiannya Perancis, dan kembali ke Tehran pada 1 Februari 1979.

Ucapan Khomeini dari Najaf dan Paris telah dirakam untuk diedarkan ke seluruh Iran, mendorong rakyat keluar ke jalan-jalan raya berdepan hujan peluru. Pembunuhan berlaku hampir setiap hari, namun kasih sayang rakyat kepada Khomeini bertambah subur.

Walaupun terpisah jauh dalam tempoh 16 tahun, ikatan yang kukuh tetap wujud. Shah terpaksa melarikan diri pada 16 Januari 1979 ke Kaherah, ekoran kebangkitan rakyat yang tidak dapat disekat lagi. Rakyat dari seluruh pelosok negara memberi sambutan bersejarah kepada Khomeini di lapangan terbang Mehrabad.

Di makam para syuhada, Behesht-e Zahra, beliau menyampaikan ucapan paling penting dengan mengisytiharkan kabinet tidak sah dan mengumumkan beliau sendiri akan menubuhkan kerajaan. Sebagai usaha terakhir, Perdana Menteri Bakhtiar, pada 10 Februari 1979 mengisytiharkan perintah berkurung 24 jam untuk membolehkan penggelidahan ke atas kediaman Khomeini.

Namun rakyat bangun membentuk tembok untuk melindungi pemimpin revolusi itu. Selepas bertempur selama 24 jam di jalan-jalan raya, angkatan tentera, yang dimulakan oleh pasukan udara, berpaling tadah dan memberikan sokongan kepada Khomeini. Maka tercapailah kemenangan revolusi Islam menggantikan pemerintahan kuku besi.

Arkitek kedua revolusi ialah Dr Ali Shariati, lulusan sosiologi, lahir pada 1933 dan meninggal pada usia muda, 44 tahun, kemungkinan diracun agen Savak, di London. Shariati menganjurkan diterapkan pendekatan Nabi s.a.w. untuk melakukan perubahan sosial dan transformasi kejiwaan masyarakat.

Beliau mengajarkan bahawa bentuk sesuatu adat dapat dipelihara, tetapi isi atau maknanya harus diubah. Contoh yang diberikan Shariati adalah bagaimana Nabi melestarikan ritual haji yang mula-mula penuh dengan penyembahan berhala, kemudian berubah total menjadi penyembahan kepada Allah berdasarkan Tauhid.

Pemahaman Shariati tentang Islam terasa sangat revolusioner apabila membaca karya-karyanya. Misalnya pengertian intizhar dalam tradisi Syiah, yang sering difahami sebagai menunggu datangnya imam yang ghaib, diberikan tafsiran yang cukup kreatif oleh Shariati. Menurutnya, intizhar bererti menunggu secara aktif kedatangan kebenaran yang harus diperjuangkan.

Dihubungkan dengan konteks masyarakat Iran di zaman Shah, gagasan-gagasan Shariati benar-benar dapat menggerakkan masyarakat, terutama golongan terpelajar di kampus, sehingga kuliahnya di Universiti Masyad dan pusat keagamaan Husayniya-e Irsyad dihadiri ribuan angkatan muda, seterusnya menumbuhkan bibit-bibit revolusi Islam.


Shariati juga berani mengkritik ulamak-ulamak yang menafsirkan ilmu-ilmu Islam menjadi ilmu fiqh yang sempit. Sebaliknya, karya-karya Shariati banyak mengemukakan suatu konsepsi Islam yang baru, penuh bersemangat dan memberikan inspirasi, khususnya membangkitkan kembali kerinduan untuk mati syahid. Beliau mempopularkan istilah rausyanfikr, iaitu cendekiawan yang terlibat dalam gerakan sosial masyarakat dan berpandangan luas.

Sesungguhnya Shariati benar-benar memahami semangat orang muda, malah berhasil memberikan satu ideologi kepada mereka, yang dapat memenuhi keinginan mereka untuk tetap taat kepada keyakinan agama, mahupun dorongan untuk mencetuskan revolusi.

Keistimewaan Shariati terletak dalam kemampuannya meleburkan pelbagai bentuk idealisme sosial, ekonomi dan kebudayaan yang kelihatannya saling bertentangan, menjadi satu ideologi yang padu, dan dengan demikian memberikan satu tujuan bersama bagi segala jenis orang Iran yang aktif berpolitik.

Shariati diakui seorang pemikir hebat di zamannya, yang mendorong satu perubahan luar biasa berlaku di Iran, dengan pemimpin di medan tempurnya adalah Khomeini.
Selain faktor Khomeini dan Shariati, pemikiran Islam revolusioner di Iran juga berhubung erat dengan Ayatullah Taleqani dan Ayatullah Mutahhari.

Taleqani yang lahir pada 1911 dan syahid pada 1979, sejak muda bersahabat baik dengan Taqi Shariati, ayah Dr Ali Shariati, selain berhubungan dengan Khomeini. Beliau keluar-masuk penjara, manakala rumahnya menjadi pusat golongan intelektual progresif yang sering berdiskusi dengannya mengenai perubahan sosial dalam konteks masyarakat Iran.

Taleqani cukup arif dengan ilmu falsafah, Yunani mahupun Barat, selain mempunyai wawasan mengkagumkan tentang ekonimi Islam, namun beliau mengabdikan seluruh kehidupannya untuk menentang regim zalim Shah Iran. Beliau banyak mengkritik golongan ulama dan intelektual yang bersikap opurtunis.


Mutahhari, juga syahid pada 1979, merupakan profesor di Fakulti Teologi Universiti Tehran. Beliau bukan sahaja pemikir revolusi tetapi juga penggerak revolusi dan salah seorang dari pemimpin utamanya. Sesuatu yang unik dalam proses revolusi Iran apabila ia menggabungkan begitu ramai pemikir dan pemimpin berwibawa, menurut bidang masing-masing, seperti Mehdi Bazargan, Abul Hassan Bani Sadr (walaupun kemudiannya 'menyeleweng'), Ali Rajaie, Javad Bahonar, Montazari, Behesti, Rafsanjani dan Ali Khameini.


Justeru, meskipun puluhan pimpinannya terkorban syahid selepas Khomeini berkuasa, ekoran komplot mematahkan revolusi, namun Iran terbukti tidak ketandusan pemimpin, di samping rakyatnya terus memberi sokongan padu biarpun negara itu diasak dari segenap penjuru.


KESIMPULAN


Kajian mendalam terhadap perjuangan rakyat Iran menentang pemerintahan monarki kuku besi Shah akan menghasilkan penemuan cukup menarik, khususnya kesediaan mereka untuk sanggup mati demi menegakkan kebenaran Islam, di bawah kepimpinan karismatik Khomeini yang didokong tradisi intelektual yang tinggi.


Kejatuhan regim zalim dinasti Pahlavi sebenarnya tidak memudahkan usaha pembentukan sebuah kerajaan baru kerana kuasa-kuasa besar dunia, dengan memperalatkan musuh-musuh dalaman, termasuk individu-individu yang cukup rapat dengan Khomeini, tidak henti-henti melakukan usaha sabotaj. Antaranya adalah perang Iran-Iraq yang dipaksakan, begitu juga sekatan ekonomi yang memeritkan, selain memencilkan kejayaan revolusi di kalangan umat Islam atas daleh perbezaan mazhab.


Komitmen rakyat Iran begitu tinggi bagi mempertahankan revolusi agung itu, sebahagiannya didorong oleh kesucian dan kemurnian akidah perjuangan, atau apa yang disebut ideologi, dalam konteks perbincangan kita. Kesederhanaan Khomeini yang terus menjalani kehidupan serba sederhana, walaupun selepas berkuasa, juga merupakan faktor pemersatu rakyat Iran untuk terus memajukan negara yang dibina di atas keringat, air mata dan darah syuhada itu.

RUJUKAN

Amien Rais. 1987. Cakrawala Islam: antara cita dan fakta. Bandung: Penerbit Mizan
Ghazali Mayudin (pnyt). 1999. Teori sains politik pilihan: aplikasinya dalam konteks Malaysia. Bangi: Jabatan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia.

John L. Esposito (pnyt). 1986. Identitas Islam pada perubahan sosial-politik. Jakarta: Bulan Bintang

Kalim Siddiqui. 1996. Stages of Islamic revolution. London: The Open Press.
Masih Muhajeri. 1984. Dimensi revolusi Islam. Kuala Lumpur: Islamic Media & Communications.

Syed Ahmad Hussein. 2006. Pengantar sains politik. Kuala Lumpur & Pulau Pinang: Dewan Bahasa dan Pustaka & Pusat Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia. _

No comments: