Friday, July 23, 2010

Sebelum degup jantung dihentikan ...

Oleh Ahmad Lutfi Othman

PEMBEDAHAN pintasan koronari jantung sepatutnya bukan lagi proses rawatan yang menggerunkan. Bagaimanapun, apabila operasi angioplasti (mengembangkan saluran darah ke jantung yang tersumbat) ketiga saya gagal pada pertengahan April lalu dan doktor memaklumkan bahawa saya tiada pilihan, selain segera menjalani "bypass operation", saya menerimanya dalam keadaan berbelah-bahagi.

Jantung berdegup kencang. Maaf cakap, memang saya takut dan gerun mendengar "bypass". Dulu, nak ambil darah kat jari untuk test kencing manis pun "seriau". Bila doktor cadangkan suntik insulin, saya mencari pelbagai alasan untuk mengelaknya. Kemudiannya, mendengar operasi angioplasti pun kecut perut. Tup tup kena "belah dada" pula, lagilah menggigil ...
Justeru, saya harus segera membuat keputusan, tidak boleh berfikir panjang lagi. Masa adalah denyut nadi yang pantas bergerak. Bukan memutuskan sama ada mahu dibedah atau tidak, tetapi hanya untuk memilih hospital mana untuk menjalani "major operation" yang mengundang risiko itu. Mulanya saya dicadangkan ke sebuah hospital awam kerana bayarannya rendah. (Untuk tiga kali operasi angioplasti di hospital swasta sebelum itu banyak juga wang dibelanjakan, lebih RM50,000).

Temujanji diatur dengan pakar kardiologi hospital di selatan Kuala Lumpur itu tetapi di saat akhir saya menukar fikiran. Asasnya mudah, saya tiada kenalan di hospital berkenaan bagi bertukar-tukar fikiran dan menjawab beberapa persoalan berbangkit dalam diri. Bukan sangsi dengan kepakaran di sana tetapi terasa diri dalam kegelapan untuk membuat pilihan tepat.

Bulatkan hati

Melalui seorang teman rapat, pensyarah di UKM, saya bulatkan hati ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (kini dikenali sebagai PPUKM). Prof Madya Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman, pakar perunding bedah jantung, yang saya temui di klinik pakar, tingkat 7, peramah orangnya. Bicaranya terus-terang, tidak berselindung, penuh keyakinan.

Meneliti VCD yang dibekalkan pusat rawatan angioplasti, Dr Ramzi mengakui ada risiko pembedahan, tetapi tambahnya, jika tidak menjalani "bypass" risikonya mungkin lebih tinggi. Risiko pembedahan jantung adalah kematian!

"Ada pesakit lebih teruk daripada you, selamat, tapi ada pula yang nampak kurang risiko berbanding you, tidak berjaya diselamatkan," jelas Dr Ramzi menjawab kebimbangan saya. Rekod buruk diabetis selama 20 tahun, ditambah masalah pada buah pinggang saya tambah merisaukan. Beliau menjangka kemungkinan saya terpaksa melalui rawatan dialisis sebaik selesai pembedahan.

Makin kencanglah debaran jantung. Saya melihat kesengsaraan (sebenarnya ketabahan) teman-teman yang buah pinggang mereka gagal berfungsi. Rutin harian terpaksa berubah. Apa pun, ia segera diredakan apabila Dr Ramzi memberitahu ada teknik baru mendapatkan urat di kaki sebagai saluran baru di jantung, iaitu kaedah VMMS (teknologi penuaian pembuluh darah), yang dapat memendekkan masa pemulihan terutama untuk pesakit kencing manis.

Hanya lega sekejap mendengar bicara Dr Ramzi. Gelisah menerpa semula apabila beliau menjelaskan bagaimana teruknya saluran darah saya ekoran mendapan kolestrol sejak sekian lama.

Balik dari HUKM, saya segera mencari kawan-kawan yang ada pengalaman dengan "bypass". Memang di waktu sukar seperti itu rakan-rakan lebih mampu untuk membantu. "Tidak sedar-sedar selepas dibius"

Seorang doktor muda yang mempunyai klinik berdekatan rumah saya - beliau pernah bertugas di IJN - menceritakan kisah sedih ayahnya. Tiada siapa dalam keluarganya menduga ayah mereka "tidak sedar-sedar" selepas dibius untuk pembedahan.

"Kami hampir tidak terbayang risiko itu memandangkan dia tidak menghadapi apa-apa penyakit kronik lain, dia tak ada diabetis macam you," katanya, sambil menambah, "dan bayangkan lagi apa perasaan saya sebagai seorang doktor pula, yang gagal menyelamatkan ayah. Namun, segalanya ketentuan Allah."

Tentunya banyak lagi cerita tentang kejayaan pembedahan pintasan jantung tetapi yang mudah berbekas di hati adalah rekod kegagalan. "Bypass perkara biasa sekarang, Lutfi, nanti awak terasa muda 10 tahun," usik seorang kawan.

Selain itu, saya agak terkejut bila ramai juga membantah apabila dimaklumkan saya memilih HUKM. Rupanya mereka masih mengingati episod duka kematian Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor - Presiden PAS yang begitu disayangi bukan saja ahli-ahli parti Islam itu tetapi sesiapa jua yang pernah mengenalinya - selepas menjalani "bypass' di hospital berkenaan. (Saya sendiri teresak-esak menangis ketika mengiringi jenazahnya dari HUKM, Cheras ke surau berdekatan). Itulah hakikat yang sukar diterima: Ada pesakit nampak sihat dan sesetengahnya "segar-bugar" ketika katil disorong ke bilik bedah, tetapi selepas dibius, "tidak bangun-bangun" lagi. (Ustaz Fadzil yang kerap berjenaka dikatakan masih ceria bertanyakan juadah ayam kampung yang digemarinya sehari sebelum dimasukkan ke wad HUKM).

Pemergian Almarhum selepas PAS menang besar dalam pilihan raya umum 1999 memang satu kejutan (dan kehilangan) besar, apatah lagi beliau merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen, yang menyaksikan keupayaan hebatnya berpidato dan kemampuannya mematahkan hujah lawan dengan gaya yang cukup menarik.

Reputasi HUKM dan kematian mengejut Ustaz Fadzil

Saya tak pasti sejauh mana kes Ustaz Fadzil hampir 10 tahun lalu itu masih memberi impak negatif kepada reputasi Pusat Jantung dan Paru-Paru HUKM (apa pun saya kira tanggapan itu amat tidak adil buat petugas HUKM, terutama pakar-pakar bedah jantungnya, yang ternyata gigih menabur bakti), namun apabila bulat hati memilih "untuk menyerah diri" di hospital berkenaan, saya segera memikirkan situasi terburuk bakal menimpa: kematian.

Terdetik di hati, jika ramai yang dipanggil Ilahi secara tiba-tiba, termasuk anggota keluarga dan sahabat rapat, saya merasakan lebih bernasib baik kerana masih sempat untuk bermuhasabah, bertaubat, bermunajat dan melazimi diri dengan amalan mendekatkan diri dengan Allah. "Mati tetap akan datang, tidak di bilik bedah, mungkin di atas katil di rumah, atau terbujur di jalan raya. Awak patut bersyukur Lutfi, jika ditakdirkan tidak panjang umur, awak sekurang-kurangnya dapat membuat persiapan bertemu Ilahi," hati saya berbisik-bisik, sebenarnya mahu menenangkan diri sendiri.

Terlintas dalam fikiran bahawa nikmat kesihatan bagai disia-siakan selama ini. 46 tahun usia berlalu terasa sekejap. Selain menelaah kitab-kitab agama yang lama tidak disentuh, terutama tafsir IbnuKathir, saya menghubungi ustaz-ustaz untuk mendapat pedoman memanfaatkan kesempatan paling berharga itu.

Benar dan ternyata cukup benar, ayat-ayat Allah adalah penyembuh kegelisahan. Bebanan dosa yang menimbun membayangi kegelapan malam. Satu demi satu peristiwa silam menjelma dalam kotak fikir. Masa merenung diri pantas berlalu.

Saya turut dinasihatkan agar, jika mampu, banyak membuat kenduri atau majlis makan, khususnya untuk fakir miskin, anak-anak yatim dan pelajar-pelajar tahfiz.

Menyantuni keluarga tahanan ISA

Terasa puas bila mengingatkan sempat juga saya menyantuni dan membantu keluarga malang tahanan ISA melalui rayuan bersiri dalam Harakah, termasuk menziarahi mereka sehingga ke negeri di bawah bayu. Bertemu muka dengan anggota keluarga tahanan ISA ketika suami atau ayah mereka dikurung tanpa bicara cukup menyedarkan bahawa kita masih tidak melakukan yang sepatutnya bagi memansuhkan akta drakonian yang zalim itu.

Bagaimanapun tabung ISA mendapat sambutan menggalakkan, sekurang-kurangnya dapatlah sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka terutama menjelang hari libur.

Seorang bekas tahanan ISA, warga Moro yang mempunyai keluarga di Sandakan, Sabah, yang kini dipenjarakan di Manila selepas dibebaskan dari Kamunting sempat berbual melalui telefon. Beliau nyata sebak, tetapi masih sempat menyuntik kata-kata perangsang buat saya. Kebetulan beliau juga menderita sakit kronik, yang turut memerlukan pembedahan.

Terselinap di hati bahawa lebih ramai insan yang bergelut dengan keperitan dan kesengsaraan. Sudahlah sakit, keluarga pula terpaksa mengerah keringat mencari sesuap nasi.

"Lutfi lebih beruntung"

"Bapa saya buat bypass di usia lebih muda, 42 tahun, lebih 15 tahun lalu. Dia buat persiapan macam akan pergi buat selamanya. Kami sekeluarga belajar untuk pasrah. Hari operation, saya anak sulung terpaksa menjaga adik-adik di rumah.

"Hanya emak dan seorang dua saudara yang menunggu di luar bilik bedah. Bulan puasa pula tu. Alhamdulillah, sampai sekarang dia sihat. Lutfi lebih beruntung, ramai mendoakan dan membantu kos rawatan," kata bekas kawan sepejabat yang pernah membantu semasa saya mengusahakan penerbitan akhbar politik tidak berkala selepas majalah Detik dan Wasilah diharamkan KDN. Beliau banyak meredakan kekhuatiran yang kerap menerpa ketika itu. (bersambung)

2 comments:

Liza @ Adzriel AB said...

suami pun dlm dilema nk buat bypass..

umno totok 98 said...

Pn liza dah tak sambung crt proses penyembuhan suami pn liza dlm blog puan