Wednesday, September 11, 2019

Pembangkang Umno-Pas sengaja bermain api atau PH berdepan jalan mati?

Hampir sebulan hospital pakar Universiti Teknologi Mara, Sungai Buloh menjadi rumah kedua saya, susulan serangan jantung mengejut malam Jumaat, awal Julai lalu.

Selama lebih kurang 60 hari juga saya berehat panjang selain tiga kali ditolak masuk ke bilik prosedur rawatan jantung. Pakar kardiologi turut membayangkan kemungkinan saya terpaksa jalani pembedahan pintasan jantung buat kali kedua selepas sepuluh tahun, sekiranya prosedur angioplasti itu tidak berjaya.

Awal 2010, semasa berkhidmat di Harakah, serangan jantung ketika memandu memaksa saya menjalani tiga kali prosedur angioplasti di sebuah pusat rawatan swasta di Jalan Tun Razak, sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras untuk operasi pembedahan jantung.


Alhamdulillah, biar pun agak sukar, operasi lima jam bermula awal maghrib Rabu itu akhirnya berjaya. Saya hampir tertidur ketika jam melewati 12.30 tengah malam tetapi dikejutkan dengan tepukan tangan pasukan pakar bersama kakitangan sokongan tanda kelegaan dan kesyukuran. Operasi berjaya. Darah kembali mengalir dalam saluran jantung yang tersumbat sejak satu abad lalu. Dua doktor pakar dari dua hospital swasta mengetuai prosedur tersebut.

Pernafasan terasa kembali lancar. Sebelumnya, saya kerap tercungap-cungap terutama apabila keluar bilik air. Mendaki anak tangga di rumah juga suatu aktiviti memenatkan. Pergerakan lebih selesa, namun tetap perlahan dan perlu berhati-hati. Saya dinasihat terus berehat dan tidak melakukan aktiviti fizikal yang lasak; sebenarnya satu kelaziman sejak empat tahun lalu apabila menjalani rutin dialisis tiga kali seminggu.

Dalam tempoh 20 hari di wad, ramai kenalan menziarahi. Rupanya tidak sedikit yang kurang maklum bahawa ada sebuah lagi pusat perubatan di belakang hospital awam Sungai Buloh, melalui jalan yang dipenuhi deretan pokok-pokok bunga.
(Gambar : Pasukan pakar yang mengendalikan operasi rawatan jantung Ahmad Lutfi di hospital Universiti Teknologi Mara, Sungai Buloh, Ogos lalu)
“Terima kasih Lutfi, sekurang-kurangnya you telah mempopularkan hospital ini kepada rakan-rakan you, termasuk pak-pak menteri yang datang melawat,” gurau seorang doktor pakar HUiTM, mengetahui ada menteri singgah.

Khabarnya hospital universiti di Sungai Buloh itu akan sepenuhnya diuruskan secara swasta mulai tahun depan, manakala bahagian awam bakal beroperasi di Puncak Alam.

Sepanjang terlantar menanti prosedur jantung itu juga, saya jarang mengikuti perkembangan semasa. Saya cuba mengosongkan minda daripada membaca topik-topik yang selama ini meruntun minat. Namun, ada kenalan yang menziarahi gagal menahan diri daripada bergebang persoalan siyasah. Saya sekadar memasang telinga.

Malah selepas selesai operasi yang bersambung-sambung itu, mata dan fikiran masih terasa penat untuk mengikuti pergolakan politik yang sentiasa panas. Apa pun, saya yakin, putaran masa dan edaran dunia tetap berjalan lancar; dunia belum kiamat! Hujan lebat pasti akan reda, badai besar akhirnya surut juga.

Politik Malaysia jarang sunyi walaupun di luar musim pilihan raya. Tiada istilah gencatan senjata. Ramai aktivis sepenuh masa dan 24 jam makan tidur dengan politik. Sentiasa meriah dan berwarna-warni. Isu-isu bersilih ganti, panas membahang dan ada kalanya bagai pijar membakar. Ramai pula tukang sorak tambah mencurahkan minyak.

Secara peribadi, saya tidak terlalu risau atau bimbang dengan rantaian pergolakan isu-isu yang kelihatan panas itu. Mungkin juga disebabkan saya kurang arif mengenainya dek keuzurzn yang menganggu sehingga menganggap ia hanya fenomena biasa yang sentiasa berulang. Atau mungkin juga isu-isu yang kelihatan sensitif itu sengaja dirancang atau diada-adakan? Ada pihak menganggap ia untuk mengalihkan perhatian daripada isu-isu yang lebih real. Ya, teori konspirasi sentiasa mencelah di mana ada ruang dan peluang.

Namun begitu, tidak pula bermakna saya meremehkan apa juga isu atau persoalan yang boleh menggugat keharmonian dan ketenteraman rakyat pelbagai kaum serta agama. Enam dekad selepas merdeka menunjukkan sebilangan kita masih tebal dengan prasangka buruk. Ditambah buruk dengan golongan opurtunis yang cekap mengapi-apikan sentimen tersebut. Dan kelompok berkepentingan ini sentiasa mencari jalan, termasuk memanipulasi isu sensitif, demi meraih manfaat jangka pendek. Malangnya, sebilangan rakyat pula mudah terjebak dalam perangkap penuh emosional.

Senario politik pasca-PRU14 bukan sahaja menarik, juga mendebarkan. Dari perspektif lain, kita semakin terpisah dan dijarakkan. Asas-asas yang membina negara, yang dipersetujui generasi awalan juga tidak dihormati lagi.

Keterbukaan bukan bermakna persefahaman boleh dirobek dan sensitiviti tidak dipedulikan.
Sesungguhnya parti-parti pembangkang, apatah lagi badan-badan bukan kerajaan juga memainkan peranan penting demi kestabilan dan kesentosaan.

Kita berhasrat mencapai kematangan dan idealisme tetapi kita juga akur dengan kerencaman realiti dan faktor kumpulan pendesak. Dalam setiap era, sentiasa muncul golongan ekstremis yang tetap mempunyai pengaruh dan sokongan. Ada kalanya rasional, kesederhanaan dan inklusif kelihatan ditundukkan oleh gelombang melampau itu.

Regim Perikatan-BN selama enam dasawarsa memerintah sering menekan dan menindas pembangkang. Undang-undang dimanipulasi, kebebasan disekat, demokrasi dicabul, sistem dan proses pilihan raya ternyata pincang, malah aktivis oposisi dilayan bagai warga kelas kedua. Namun pembangkang secara umumnya menerima setiap keputusan pilihan raya biarpun ia diakui umum berjalan secara berat sebelah. Tiada aksi boikot atau pemulauan, apatah lagi untuk memilih jalan kekerasan atau keganasan. Pendekatan damai tetap menjadi pilihan.

Di waktu itu, dengan keanggotaan gabungan parti-parti dalam kerajaan dan pembangkang yang hampir seimbang serta merata, isu-isu bersifat perkauman sempit dan keagamaan melampau dapat diredakan. Sekurang-kurangnya setiap gabungan parti bersikap rasional dan terbuka demi meraih undi dari setiap sektor masyarakat. Jalur tengah sentiasa menjadi rujukan.

Isu-isu kritikal negara, seperti tuntutan pilihan raya bersih dan adil, sistem kehakiman yang berintegriti, media bebas, membanteras korupsi, memerangi kleptokrasi, agihan ekonomi lebih adil dan persoalan-persoalan nasional lainnya menjadi agenda penting yang dibahaskan. Oposisi ketika itu giat berkempen menuntut Malaysia yang lebih adil, bersih, demokratik, transparen dan bermaruah.

Dalam PRU14, Umno hilang kuasa tanpa dijangka. “Cash is King” tidak berkesan lagi. Pas pula gagal menyelamatkan Umno; impiannya untuk menjadi “king maker” terburai. Namun kedua-dua parti Melayu ini masih mempunyai sokongan akar umbi, khususnya di wilayah tertentu. Isu-isu yang membangkitkan sentimen kaum dan sensitiviti agama digunakan untuk memperkukuh pengaruh. Dasar keterbukaan kerajaan baharu dimanfaatkan bagi menyebarkan propaganda pembangkang, khususnya membakar kebencian dan prejudis. Masa sama, media awam kurang berkesan menangkis dan menjawab isu-isu panas tersebut.

Pentadbiran baharu pula dilihat tidak tegas, sekali gus kurang berkesan menangani gejala berita palsu dan fitnah yang bermaharajalela. Perdebatan hal-hal sensitif yang selama ini dipendamkan memang dialu-alukan tetapi perlu diuruskan secara berhemah dan bertanggungjawab. Usah biarkan golongan ekstremisme merampas masa depan negara, seterusnya memusnahkan jalur kesederhanaan.

Dalam pada itu, ada pemerhati menyifatkan Bersatu gagal menggantikan posisi Umno dan Parti Amanah Negara pula tidak berjaya menarik sokongan orang Pas. Apabila Umno-Pas mengatur langkah membentuk kerjasama politik, ia dikira boleh menggugat kerajaan PH, khususnya di kerusi majoriti pengundi Melayu.

Perebutan pengaruh dan kuasa adalah lumrah. Oposisi pastinya mencari peluang di atas kelemahan dan kepincangan kerajaan, juga kelompongan pengalaman pentadbiran. Imbau kembali bagaimana BN ditumbangkan. Dua seteru ketat, Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim boleh berpadu atau mengetepikan perbedaan. Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu yang pernah dua kaki dikurung ISA boleh menerima kepimpinan Mahathir bagi mencapai objektif menumbangkan regim kleptokrasi
.
Cuma, lihat bagaimana isu-isu diolah untuk mendapat sokongan rakyat pelhagai kaum. Daripada skandal mega 1MDB dan kes-kes penyalahgunaan kuasa agensi strategik seperti Felda, Mara, Tabung Haji, membawa kepada demonstrasi Bersih dan tawaran manifesto. Ternyata rakyat mendambakan perubahan yang positif-holistik dan mahu menamatkan segera amalan kecurian dana awam yang berskala gergasi. Negara kaya-raya ini mesti diselamatkan buat warisan generasi masa depan anak semua bangsa.

Bukannya negara kini ketandusan isu-isu membabitkan kepentingan bersama, selain perubahan yang tertangguh dan pengurusan negara yang kelihatan

canggung. Korupsi mungkin sedang dibanteras dengan hebatnya, namun banyak lagi juzuk penting dalam ketatanegaraan yang belum ditangani dengan baik.

Namun barisan pembangkang lebih memilih isu-isu yang dikira mudah merangsang sokongan kelompok tertentu. Dicipta slogan dan diratib wirid, seumpama “Melayu terabai, Islam terancam” atau yang lebih popular “agenda DAP dominasi kerajaan PH”.

Mampukah gabungan Umno-Pas menggoncang kedudukan PH dengan serangan-serangan liar ini?

Apakah watak oposisi ini dapat diterima baik rakyat? Bagaimana sikap politik golongan majoriti senyap di tengah-tengah keriuhan yang dipaparkan itu? Benarkah ia sekadar kelemahan komunikasi atau ketempangan sistem penyampaian? Atau ia memang petanda serius membayangkan kemungkinan pemerintahan satu penggal yang bakal kecundang?

No comments: