Oleh Ahmad Lutfi Othman
Saya agak terkilan kerana tidak dapat bersama dalam perarakan besar-besaran ke Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, petang Jumaat, 21 September lalu, untuk membantah filem jijik menghina Rasulullah s.a.w. Innocence of Muslim, yang turut mencetuskan rangkaian demonstrasi di seluruh dunia.
Turun ke jalan-jalan raya atau ke medan terbuka, untuk meluahkan perasaan, sama ada melaungkan kebencian atau mengungkapkan kecintaan, juga aksi protes atau tanda sokongan, melalui demonstrasi aman (walaupun seringkali bertukar kecoh selepas diganggu aparat regim pemerintah) merupakan hak yang patut dihormati.
Hak berdemonstrasi perlu dihormati
Justeru, amat tidak wajar sekali tanggapan yang meremehkan hak berhimpun dan menyuarakan pandangan dalam demonstrasi aman, tidak kira membabitkan perhimpunan berkaitan isu filem bangsat Sam Bacile, atau perarakan raksasa Bersih menuntut pilihan raya adil dan bebas, juga bantahan terhadap isu alam sekitar seperti Lynas, dan tidak terkecuali Occupy Dataran Merdeka oleh aktivis kampus berkaitan tuntutan pendidikan percuma.
Kita dapat (dan mudah) memahami pendekatan agresif media dan NGO tali barut Umno untuk mengeksploit semaksimum mungkin reaksi Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham, yang mempertikai hasrat Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin merancang protes besar-besaran terhadap filem jijik itu, sekali gus mempersoal (bertanya), adakah umat Islam wajar menghabiskan masa dan tenaga untuk memberi respons terhadapnya.
Sememangnya kenyataan Twitter Ngeh itu perlu ditegur dan diperbetulkan. Dan saya yakin Ahli Parlimen Beruas dan bekas Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak itu sudah mendapat pengajaran sewajarnya daripada insiden tersebut. (Rupanya reaksi segera melalui Twitter kerap juga menimbulkan kesan negatif yang mungkin tidak terduga; dan ini sepatutnya diberi perhatian istimewa oleh semua ahli politik, agar lebih berhati-hati dan tidak mudah gatal tangan, 'kan?).
Ngeh tidak sepatutnya "terlepas pandang"
Tentunya sebagai seorang pemimpin yang sering turun ke jalan-jalan raya dan merancang siri demonstrasi menangani banyak isu, bukan sahaja selepas kerajaan Pakatan Rakyat Perak ditumbangkan secara tidak bermaruah pada 2009, malah berkaitan hak-hak rakyat sebelum tahun 2008, dan Ngeh juga pernah ditahan polis semasa perhimpunan Bersih 2.0, beliau tidak seharusnya "terlepas pandang" dengan sensitiviti umat Islam, yang sepatutnya dekat dan akrab dengan beliau.
Sesungguhnya kita ditakdirkan hidup bersama, berkongsi keistimewaan bumi Malaysia, yang penuh dengan kepelbagaian dan keunikan ini, dari Perlis ke Pulau Sebatik. Setiap warga perlu melihat setiap perbedaan itu sebagai peluang untuk lebih dekat dan rapat, saling memahami dan mengerti. Mungkin selama ini masih luas jurang yang memisahkan kita, meskipun berada dalam persepakatan politik yang sama, sehingga elemen sensitif pun "terlepas pandang".
Oleh itu, saya tidak fikir Ngeh pernah berhasrat untuk cuba menafikan hak setiap warga bagi terlibat dalam sebarang perhimpunan aman seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan. Bukankah selama ini pemimpin DAP sering berhujah menggunakan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan bagi menyokong pendirian mereka. Saya kira beliau mungkin sukar memahami atau terkeliru dengan reaksi dan kemarahan umat Islam seluruh dunia, apatah lagi sebahagiannya menunjukkan aksi "ganas", seperti dipaparkan melalui TV satelit.
Selami tanggapan rakan-rakan bukan Islam
Semasa memohon maaf dan menarik kenyataan kontroversinya itu, Ngeh sendiri mengakui bahawa beliau tidak bermaksud sama sekali untuk menghina Islam. "Saya cuma mahukan masyarakat kita berfikir dengan lebih mendalam untuk mengambilkira bagaimana kita memberi respon terhadap sebarang isu maupun provokasi," katanya sambil mengutuk keras video 13.5 minit Innocence of Muslim.
Berbicara dengan beberapa rakan bukan Islam, saya turut terkesan bahawa sebahagian mereka tidak dapat menyelami perasaan serta nurani kecintaan seorang Muslim yang cukup tinggi terhadap insan agung, Muhammad bin Abdullah.
Mereka agak kaget dengan sikap umat Islam yang bersedia melakukan apa saja, hatta untuk mati sekalipun, demi menunjukkan rasa sayang kepada Rasulullah. Lebih menghairankan mereka apabila orang Islam yang begitu mencintai Nabi ini pun adakalanya bukanlah seorang Muslim yang taat kepada setiap perintah Allah.
Pastinya kes pembunuhan Duta Amerika Syarikat di Libya, Christopher Stevens dan tiga lagi kakitangan kedutaan AS, yang memaparkan keganasan dan kemusnahan harta awam, banyak mempengaruhi tanggapan negatif mereka dan memperkukuhkan salah faham terhadap Islam. Tragedi di Benghazi itu telah mencemarkan nama Islam sedangkan membunuh wakil atau duta, dilarang Nabi s.a.w. sendiri.
Bedakan respons kejahilan dengan kenyataan jahat terancang
Apa pun, respons melulu berdasarkan salah tanggapan atau kejahilan tidak harus disamakan dengan kenyataan terancang bermotif jahat atau bermaksud menghina. Ramai membandingkan bantahan keras Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek mengenai hukum hudud, seperti sering disiarkan The Star, sehingga memberi gambaran betapa buruk dan kejamnya undang-undang Islam itu. Begitu juga dengan kenyataan pemimpin tertinggi Umno sendiri memperlekeh sunnah Nabi s.a.w. termasuk oleh Dr Mahathir Mohamad.
Saya tidak bermaksud bahawa apa jua kenyataan daripada pemimpin DAP harus dilihat daripada perspektif berbeda berbanding bidasan tokoh MCA. Kedua-duanya mesti diadili dengan sikap terbuka, jujur dan matang, serta mendekatinya dengan penuh berhikmah jika ia lahir daripada kejahilan atau silap perkiraan.
Sememangnya kepada tukang kempen Umno-BN, yang sentiasa menanti-nanti peluang untuk merobek persefahaman PAS dan DAP, serta memburuk-burukkan lagi imej Pakatan Rakyat di kalangan masyarakat Islam, singgungan Ngeh itu ibarat bulan jatuh ke riba, "cukup dialu-alukan".
Momokan "hantu" DAP
Dan tidak mustahil ia boleh mempengaruhi keputusan Najib Razak untuk menamatkan teka-teki tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13! Najib sudah hilang keyakinan untuk mendapatkan semula mandat rakyat. Apabila kesatuan Pakatan berjaya "dicelarukan", dan majoriti pengundi Melayu kembali "ke pangkuan jalan", itulah peluang keemasan Najib untuk mengekalkan kuasa, yang kini dilihat hampir terlucut itu.
Bukan rahsia lagi, seperti selalu saya tekankan, berdasarkan pengolahan dan pengurusan isu oleh propagandis BN, seperti dipaparkan Utusan Malaysia dan Buletin Utama TV3, maka pengundi Islam akan terus dimomokkan dengan "hantu" DAP ini.
Berterusanlah kempen bagi memalitkan label DAP sebagai anti-Melayu dan chauvinis Cina, misalnya mahu menubuhkan negara republik dan menafikan kedudukan raja-raja Melayu, bercita-cita meletakkan Kristian sebagai agama rasmi dan bermacam-macam lagi tohmahan liar dan jahat, yang tidak pernah pun dibuktikan.
Umno, yang seolah-olah putus harapan dengan sokongan masyarakat bukan Islam selepas PRU12, kini hanya bergantung talian hayatnya dengan pengundi Melayu, terutama di kawasan pendalaman dan berusia tua, yang sebahagiannya dilihat masih termakan dengan putar-belit media mereka.
Kontroversi Ngeh akan segera berakhir dan Umno melopong lagi
Sebenarnya sandaran harapan Umno itu cukup rapuh sekali. Ia sekadar berselindung di sebalik pakej manipulasi, pembohongan atau sekurang-kurangnya penyamaran yang begitu tipis. Cahaya mentari terang benderang akan membakar segala kepalsuan itu. Lihatlah sendiri kes berkaitan kenyataan Ngeh di laman sosial itu, saya yakin akhirnya masyarakat dapat membuat penilaian secara adil.
Realiti langit terbuka dan akses internet yang hebat, peningkatan kadar urbanisasi dan kualiti pendidikan yang tinggi, faktor penentu 2.5 juta pengundi baru serta "usia bangka" regim pemerintahan -- semuanya akan menarik turun elit penguasa Umno-BN ke jurang paling dalam.
Balik kepada kenyataan Ngeh Koo Ham, saya tertarik dengan pandangan Dr Khairuddin Abd Malik, Setiausaha Pakatan Rakyat Perak: "Saya memahami konteks tulisan Dato' Ngeh yang sedikit kurang arif tentang hubungan istimewa seorang Mukmin dengan Rasulullah. Beliau seharusnya lebih bijak beri komen ...
Buktikan Rasulullah rahmat untuk seluruh alam
"Kepada non-Muslim seperti Ngeh, kena sampaikan lebih dakwah kerana dia tak memusuhi Islam. Sekadar keliru melihat tindakan umat Islam yang tak fokus, rugi, kenali mana musuh dan mana satu objek dakwah. Fikir secara strategik. Buktikan Rasullullah adalah diutuskan untuk bawa rahmat kepada seluruh alam."
Seorang rakan pula mengirim SMS: "Umat Islam, termasuk pemimpin badan-badan dakwah dan individu Muslim yang dihormati, sepatutnya menerima permohonan maaf Ngeh seadanya. Untuk apa dipersoalkan soal keikhlasan dan seumpamanya? Dekati rakan-rakan bukan Islam kita, jadikan isu ini sebagai kesempatan terbaik untuk membuat penjelasan dan penerangan. Suburkan budaya dialog, khususnya antara agama."
No comments:
Post a Comment