Saturday, December 8, 2012

Cinta Nabi, pilihan raya kampus dan gambar tipu Najib

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Insiden penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w. seperti terancang dan berlaku pada sela masa tertentu. Ada-ada saja provokasi yang dicetuskan, baik melalui novel, karikatur dan terkini, filem.

Umat Islam yang diasuh untuk mengasihi Nabi melebihi mana-mana insan di dunia ini bingkas bangun serentak. Protes dan amarah itu meledak di mana-mana.

Kecintaan kepada kekasih Allah itu tidak boleh diungkapkan sekadar melalui kata-kata dan rasional logika.

Dalam situasi begini, sambil mencari hikmah di sebalik kes cercaan itu, ia seperti menyuntik rasa sayang yang paling dalam buat teladan unggul itu. Malah, mendengar alunan nasyid syahdu yang menggetarkan, seperti Law Kaana Bainana, dan mengulangi selawat bisa membuatkan air mata mengalir deras. Menatap gambar kubah hijau Masjid Nabawi dan mengingati ziarah ke makam baginda terus menyejukkan jiwa.

Terdapat kelompok yang menekankan agar penghinaan itu dibalas dengan respons yang lebih wajar. Misalnya, kata sebahagian mereka, novel Salman Rushdie harus didepani dengan karya sastera yang memuliakan Nabi. Begitu juga dengan penampilan filem Islami, yang dikira dapat menjawab kebiadaban Innocence of Muslims.

"Pendokong Islam harus menguasai industri hiburan di peringkat global, terutama berkaitan filem dan televisyen," seorang rakan mengusulkan.

Tanpa meremehkan cadangan itu, walaupun mengakui ia satu projek mega yang menagih komitmen, kewangan, kreativiti dan rangkaian pasaran luar biasa, serta mesti dimulakan di dalam negara terlebih dahulu, saya cuma mengingatkan bahawa reaksi spontan (yang mungkin dilihat kurang rasional dan antiintelektual) seperti sedang marak di seluruh dunia tidak harus (dan tidak mampu) "dilunakkan".

Semasa umat Islam membantah The Satanic Verses pada 1988, ada wartawan  Barat bertanya seorang penunjuk perasaan, "apakah anda sudah membacanya?" Dijawabnya tegas, "syukur kepada Tuhan kerana aku tidak membaca novel sekeji dan sehina itu".

Saya menyokong penuh jawapan dari lubuk sanubari demonstran tersebut. Karya bersumberkan imiginasi yang jijik itu tidak perlu diteliti atau dinilai pun. Usah benarkan ia "membusukkan" rak buku kita. Ia selayaknya dibakar atau ditong-sampahkan. Apatah lagi dengan filem Innocence of Muslims yang kotor, hanyir dan sarat dengan dendam kesumat itu!

Novel, karikatur dan filem bangsat seumpama itu tidak perlu disanggah dengan karya Islami. Benar, aktivis Islam (termasuk kerajaan umat Islam) wajar terlibat serius dengan industri kreatif, dan memberi peluang kepada audien untuk mendapat pilihan lebih berkualiti, namun ia bukanlah untuk menyahut cabaran musuh-musuh Allah itu. Persetankan mereka dengan karya busuk bertaraf longkang itu.

(Kualiti industri filem dan drama tempatan begitu menyedihkan. Ia bukan saja gagal mempamerkan produksi yang dapat menyemai rasa cinta dan rindu kepada Nabi s.a.w. malah memberi gambaran buruk kepada Islam itu sendiri. Bukan pelik apabila karya yang dianggap membawa mesej Islam tetapi tetap memaparkan aksi yang memalukan Islam).

Namun, salah faham rakan-rakan bukan Islam, yang mungkin terkeliru dengan reaksi agresif kita apabila hal-hal sensitif dalam agama disentuh, mesti dijelaskan sebaik mungkin. Peluang menawarkan penerangan ketika mereka kelihatan ghairah ingin tahu terhadap "misteri kecintaan kepada Nabi", tidak harus dilepaskan.

Apa pun, jangan takut kita dilabelkan ekstrim atau tertutup minda hanya kerana segera turun memenuhi  jalan raya dan kawasan lapang sebelum sempat membuat "penilaian saksama" terhadap karya provokasi itu. Namun, tidaklah sampai kita mewajarkan tindakan membunuh Duta Amerika Syarikat, seperti pandangan seorang wartawan kanan Utusan Malaysia!


II.

Musim pilihan raya kampus, yang tertangguh sejak Mac lalu, disambut dengan perhimpunan aman hampir 1,000 mahasiswa sekitar Lembah Klang, 16 September lalu. Ia membayangkan masih banyak persoalan yang perlu dijawab oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan pengurusan kanan universiti tempatan berkaitan proses pemilihan kepemimpinan pelajar.

Selepas didedahkan konspirasi "Ops 2020", yang didalangi pegawai kanan PM Najib Razak bagi memudahkan kumpulan Aspirasi pro-Umno menguasai 20 kampus IPTA, ternyata prosedur pilihan raya kampus rupanya belum dapat "dibersihkan" lagi.

Elit penguasa BN masih takut untuk membiarkannya berjalan secara bebas, adil dan telus. Jika mereka cukup bimbang Pakatan Rakyat dapat "membebaskan" Putrajaya dalam PRU13, pengampu-pengampu ini juga licik mencari jalan untuk menumpaskan kumpulan Pro-Mahasiswa daripada menguasai sebarang kampus, terutama Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sepatutnya pentadbiran universiti kita dibebaskan sepenuhnya daripada cengkaman politik Umno. Biarkanlah mahasiswa (dan tenaga akademiknya) selesa menjalani kehidupan sebagai warga intelektual -- berani mencabar dan sedia dicabar. Mahasiswa sudah cukup matang dan dewasa untuk melakukan apa jua eksperimen dalam kembara ilmu mereka, termasuk untuk bebas berorganisasi, meluahkan pandangan dan terlibat dalam proses membangunkan negara.

Malang sekali, meneliti memorandum yang dikemukakan pelajar, mereka masih berdepan karenah berpanjangan tentang penetapan tarikh pilihan raya kampus, kebebasan berkempen dan ketelusan sistem pengundian. Universiti menjadi kacau dan kalut apabila pentadbirnya campur tangan untuk memenangkan kumpulan pro-Umno.

Saya tertarik dengan tuntutan agar mahasiswa terlibat secara proaktif dalam jawatankuasa menguruskan pilihan raya kampus. Malah, sebenarnya saya kira banyak urusan mahasiswa yang kini dikendalikan Urusetia Hal Ehwal Pelajar boleh dikendalikan oleh mereka sendiri.
Selama ini bakat dan potensi kepemimpinan pelajar disia-siakan. Dana awam juga dibazirkan kerana terpaksa menggajikan "orang luar" bagi melicinkan pengurusan (sebenarnya lebih kepada melakukan sekatan) terhadap organisasi mahasiswa.

Dalam wawancara dengan Roketkini.com, pakar seni bina, Prof Dr Mohd Tajuddin Rasdi turut menyinggung hal ini: "Bila saya ke Indonesia untuk memberikan syarahan di sana, semua persiapan seminar telah dilakukan oleh pelajar sendiri. Saya ingat yang buat persiapan adalah pensyarah tetapi rupanya pelajar.

"Seperti Universitas Indonesia, pelajar sendiri yang menguruskan hal-ehwal mereka. Di sini kita ada HEP di bawah Timbalan Naib Canselor. Tetapi di sana para pelajar mempunyai autonomi penuh untuk mengumpul dana dan sebagainya. Sebab itu mereka menganjurkan seminar dan kenakan sedikit bayaran. Sama juga apabila orientasi pelajar. Ia tidak dilakukan oleh HEP tetapi oleh pelajar sendiri. Bagi saya, di Malaysia juga, kita kena biarkan pelajar sendiri menguruskan hal ehwal mereka dari pihak HEP sendiri."


Pemimpin BN  (dan juga Pakatan Rakyat jika memerintah nanti) tidak perlu terlalu gusar jika kecenderungan politik pelajar tidak selari dengan Putrajaya. Usah risau atau terganggu tidur dengan siri demonstrasi atau aksi protes mahasiswa. "Golongan tidak berkepentingan itu" sebenarnya satu aset berharga, yang diperlukan oleh mana-mana pemerintah, terutama dalam konteks semak dan imbang.

Berapa ramai aktivis kampus yang bersikap anti-establishment semasa memimpin gerakan pelajar, menerajui siri demonstrasi, menggegarkan pintu pejabat menteri, tetapi menjadi sebahagian daripada jentera kerajaan selepas bekerja. Kalaupun mereka terus menyuarakan kritikan dan teguran dengan lantang, ataupun bersama oposisi dan NGO, bukankah itu juga baik untuk pemerintah?

Saya tetap melihat gerakan mahasiswa sebagai satu institusi dan kuasa penting dalam sesebuah negara, termasuk untuk mengelak korupsi, salahguna kuasa, kezaliman, penindasan dan sekali gus menyuburkan amalan good governance, ketelusan, kebebasan,  akauntabiliti dan penghayatan hidup beragama. Kerajaan yang dibina di atas prinsip mulia tidak akan gentar hanya dengan pekikan anak muda yang bangkit membantah.

III.

Orang yang dangkal pemahaman politik pun dengan mudah dapat membaca motif sebenar kerajaan yang beria-ia mahu "membunuh" Suaram, NGO hak asasi manusia yang pernah mendapat anegerah khas Suhakam pada 2011.

Daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperalatkan untuk menekannya. SSM telah mengemukakan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 September lalu.

Dalam reaksinya, Suaram bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk diisytiharkan sebagai pertubuhan haram. Wakilnya, Cynthia Gabriel menegaskan, walaupun Suaram bakal didakwa, siasatan mengenai dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam Scorpene akan diteruskan. Kes di Perancis itu tidak akan terjejas, katanya.

Melalui gembar-gembur media, isu dana asing, khususnya daripada Open Society Institute kepunyaan George Soros, mungkin dijadikan punca utama tindakan bakal dikenakan kepada Suaram. Menteri yang mengawal SSM, Ismail Sabri Yaakob berkata ia disebabkan Suaram mempunyai 'akaun yang meragukan'.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua memberi respons: "Kenapa SSM nak mendakwa Suaram di atas 'akaun yang meragukan' sedangkan banyak lagi kes yang mempunyai masalah sama? Beliau merujuk kes Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang dimiliki keluarga Shahrizat Jalil (NFC), yang turut mempunyai 'akaun meragukan'.


Naib Presiden KeADILan, N Surendran  berkata, adalah menjadi kebiasaan bagi sebuah NGO untuk menerima bantuan asing. "Ia langsung bukan merupakan kesalahan di bawah undang-undang. Mendakwa Suaram atas alasan menerima dana luar adalah alasan paling dangkal untuk menutup pendedahan kes Scorpene. Menerima dana untuk niat yang baik adalah sesuatu yang patut digalakkan bukan dikecam, malah kerajaan Malaysia sendiri banyak menyalur dan menerima dana dari luar," katanya.

Sebelum itu, sekumpulan NGO tempatan dan antarabangsa, termasuk dari Nepal, Afghanistan, Indonesia, Kemboja, Pakistan, Filipina, Australia, China dan Korea Utara menegaskan: "Kami mengutuk keras kerajaan Malaysia yang cuba menjatuhkan dan menghina NGO yang menerima dana asing untuk tugas kemanusiaan. Kami menegaskan dana asing diperlukan NGO, bukan sahaja di Malaysia, tapi di seluruh dunia."


"Saya tidak fikir perlu ada satu isu tentang di mana dana itu datang, selagi pembiaya tersebut tidak berperanan menentukan arah tuju sesebuah NGO tersebut. Kami mempunyai prinsip dan pendirian tertentu. Sama ada seringgit daripada rakyat Malaysia atau satu dolar daripada seseorang di luar negara, ia tidak penting kepada kami,” kata Eric Paulsen, penasihat "Lawyers for Liberty".


Saya kira kredibiliti Najib yang sedang menjunam ini akan lebih terhakis sekiranya Suaram didakwa dan diambil tindakan. Ia langsung tidak membantunya membuat persiapan terakhir berdepan PRU13. Jika tukang kempennya beranggapan dengan menyeret Soros boleh membuatkan pengundi Melayu marah kepada Suaram (dan Pakatan), andaian itu ternyata meleset.

Hairan juga, mengapa Najib seperti membiarkan sahaja  imej buruknya, yang kelihatan seperti cukup terdesak sekali  sehingga memerlukan tindakan "sokongan membawa rebah".

Paling ketara apabila gambar yang disiarkan akhbar New Straits Times dikatakan telah diubah suai bagi menampakkan bahawa pengunjung dalam satu perhimpunan bersama Najib, di Pekan, nampak lebih ramai.

Laporan NST mendakwa lebih 15,000 orang hadir dalam majlis pada 16 September itu. Gambar itu, yang disiarkan bersama dengan berita bertajuk "Najib: United front crucial for Umno’s success in polls" di lamanweb NST  telah dikeluarkan.

Beberapa blogger menyiarkan bukti gambar yang telah "diedit" itu. Seorang daripadanya, Milo Suam menulis: "Besarkan mata anda luas-luas dan cuba perhatikan ada lebih 10 ekor hantu muncul di belakang Najib."

No comments: