Thursday, November 17, 2011

Tarikh PRU13 dan projek lembu 1 Malaysia

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Teka-teka tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 memang tidak akan berakhir selagi Parlimen belum dibubarkan. Walhttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh7uCBIcyuEbxxrEj5LRMJ064hKcBE6KLo9sOMs0wq2u6-e4BK1PMB3fAY1QhS6-4DlJ8QLzISR6ZjlT4W7orIynfiH_AdyQ4HliF3_rqkgUTDkN_VcyJnslXo30-Gyx0IXvnF4ZcEzre4v/s320/images.jpgaupun saya sendiri menjangkakan ia mungkin diadakan selepas Tahun Baru Cina 2012, tetapi masih ramai yang suka meneka tarikh lebih awal, dengan andaian Dato' Seri Najib Razak lebih selesa mengadakannya selepas balik daripada menunaikan fardu haji.

Mana-mana Perdana Menteri tentu tidak gemar jika telahannya mudah dibaca umum. Bagaimanapun, pastinya mereka tidak akan mengubah tarikh yang dipilih secara cermat itu hanya kerana ia sudah dijangka. Apatah lagi PRU13 adalah mengenai persoalan hidup dan mati Umno-BN. Mandat BN akan tamat pertengahan tahun 2013.

 

Saya tidak melihat episod Najib  dan isterinya, Datin Seri Rosman Mansur ke Makkah mampu meraih lebih sokongan mahupun simpati pengundi, malah ia  boleh bertukar menjadi sebaliknya jika publisiti media nampak "keterlaluan" dan kelihatan sarat dengan "motif politik".

Bukankah isu gambar pengawal-pengawal Najib yang ramai semasa di Masjidil Haram, pakaian Rosmah yang tidak sempurna menutup aurat, dan terbaru, kenyataan PM bahawa urusan hajinya selesai awal, turut mengundang kontroversi, terutama di laman-laman sosial internet, serta mendapat 'teguran' Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya?

Walaupun tarikh 11.11.11 nampak menarik untuk tarikh pembubaran Parlimen, namun bagi saya, tiada alasan untuk Najib tergesa-gesa memilihnya sebaik tiba dari Tanah Suci. Jika ia dicadangkan juga oleh para penasihatnya yang ramai itu, mungkin istilah lebih tepat buat mereka adalah "punahsihat" ...

Lagi pun, masakan PRU13 bakal berlangsung semasa masih ada jemaah haji yang belum pulang ke tanahair? Negara juga bakal menghadapi musim banjir tidak lama lagi. Lebih penting daripada itu, Bajet 2012 yang menjanjikan begitu banyak peruntukan 'one-off' berbentuk wang tunai belum dapat dilaksanakan lagi. Paling awal  dapat diagihkan pada Disember ini dan memakan masa sehingga melewati tahun baru.

Begitu juga dengan jaminan transformasi politik Najib seperti memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang hanya dapat direalisasikan sekitar sekitar Mac tahun depan.

Pemansuhan ISA adalah peristiwa besar yang tidak akan disia-siakan Najib; mengadakan PRU13 sebelum janji itu dikota akan membawa padah lebih besar dan mengukuhkan lagi persepsi ramai bahawa BN-Najib tidak boleh dipercayai. Ya, lebih baik tiada jaminan pemansuhan dibuat pada malam Hari Malaysia yang lalu jika beliau mahu mengadakan pilihan raya cepat.


Saya kira imej Najib juga tercalar teruk jika PRU13 diadakan sebelum cadangan pembaharuan sistem pilihan raya oleh jawatankuasa terpilih khas Parlimen (PSC), yang dipengerusikan Dato' Seri Maximus Ongkili,  dilaksanakan. Pada 22 September lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PSC itu diberikan tempoh enam bulan untuk menyiapkan cadangan mereka.

Meskipun tiada sekatan untuk Najib mencadangkan tarikh pembubaran Parlimen lebih awal, tetapi beliau sudah tentu tidak boleh meremehkan sensitiviti majoriti rakyat terhadap kepincangan proses demokrasi negara kita, sepertimana digambarkan melalui perhimpunan raksasa Bersih 2.0, 9 Julai lalu.

Menarik komentar Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man: "PM yang baru balik haji dengan semangat melontar jumrah, sehebat melontar sifat mazmumah dalam diri, sudah pasti akan membawa pelbagai perubahan sama ada dalaman dan luaran, kerana ia antara tanda-tanda haji mabrur.

"Lebih besar dari itu, rakyat yakin PM yang dapat haji mabrur akan hanya mengadakan pilihan raya setelah segala penyelewengan sistem pilihan raya dapat diperbaiki. Mana mungkin mereka yang dapat haji mabrur sanggup mengadakan pilihan raya dengan penipuan, ketidakadilan dan daftar pemilih yang tidak bersih?"


Selain itu, isu-isu sensasi terkini, seperti skandal penyelewengan lebih RM250 juta Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) membabitkan suami dan anak-anak  Dato’ Seri Shahrizat Jalil, menteri kabinet yang juga Ketua Wanita Umno, dipercayai mampu memberikan tekanan besar kepada BN-Najib.

Persepsi masyarakat bukan Melayu terutama pengundi Tionghua memang lebih terkesan dengan isu-isu seperti rasuah, kronisme, salahguna kuasa, skandal kewangan dan Laporan Ketua Audit, tetapi saya yakin kesedaran berpolitik orang Melayu juga semakin matang dan mereka turut prihatin dengan persoalan integriti dan akauntabliti.

Sementara orang Cina kian menjauhi BN dan dan melihat gabungan parti itu langsung tidak boleh dipercayai untuk memegang amanah pemerintahan, pengundi Melayu pula bakal menjadi penentu siapa peneraju Putrajaya. Dan saya jangka, isu NFC bakal mengocak keyakinan Umno-BN terhadap orang Melayu.

Jawapan Najib dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Seri Noh Omar terhadap isu yang yang dibangkitkan Pengarah Strategik KeADILan, Rafizi Ramli jelas mahu memperbodohkan rakyat. Shahrizat pula sehingga kini gagal menjawab bagaimana suami dan anak-anaknya, yang tiada pengalaman dalam bidang ternakan boleh diberi kepercayaan dan modal (pinjaman RM250 juta, geran RM6.1 juta dan 5,000 ekar tanah) sebegitu besar.

Rafizi mengemukakan bukti bahawa keseluruhan RM250 juta telah disalurkan kepada akaun NFC menjelang  menjelang 31 Mac 2009. Pada 6 Mei 2009, NFC memindahkan wang pinjaman ini, RM116 juta, ke dalam akaun deposit tetap milik NFC di Public Bank Berhad.

Penyata kewangan NFC yang difailkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan badan-badan lain menunjukkan NFC mendapat keuntungan faedah dari simpanan deposit tetap berjumlah RM666,952.96 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009.

"Keuntungan faedah RM666,952.66 bersamaan 23% daripada perolehan hasil penjualan lembu, seolah-olah NFC sebuah syarikat pelaburan kewangan dan bukannya operator ladang ternakan lembu," kata Rafizi.

Tidak terhenti setakat itu,  beliau turut mendedahkan:

* Analisis  rekod kewangan NFC bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009 menunjukkan operasi ternakan lembu rugi besar dan tidak mungkin berupaya membayar kembali pinjaman RM250 juta.

* Bagi tahun 2009, kos purata mengimport, menternak dan menyembelih seekor lembu di NFC berjumlah RM4,481 seekor.
* NFC memberi diskaun RM2,964,555 kepada Real Food Company Sdn Bhd (RFC) yang mengendalikan restoran mewah Meatworks milik keluarga Shahrizat, atas alasan mengurangkan harga jualan memandangkan kos terlalu tinggi.


* Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008 dan 31 Disember 2009, NFC rugi RM7 juta (2008) dan RM11 juta (2009).

* Kos operasi tinggi bermakna besar kemungkinan NFC akan terus rugi bagi tahun-tahun mendatang, apatah lagi sasaran ternakan dan sembelihan tersasar jauh.

* Kerajaan Pusat tiada  pilihan kecuali melupuskan pinjaman RM250 juta seperti mana amalan sebelum ini yang membabitkan Perwaja.

* Rekod kewangan NFC bagi tahun berakhir 31 Disember 2009 menunjukkan RM827,579 digunakan untuk pelbagai lawatan luar negara dan keraian oleh pengarah NFC yang terdiri dari suami dan anak-anak Shahrizat.

* Kalau pun NFC perlu membuat lawatan ke luar negara untuk meninjau lembu dan mengikat perjanjian komersil, jumlah itu terlalu tinggi dan bersamaan RM511 setiap seekor lembu yang disembelih pada 2009 oleh NFC.

* Hanya 1,618 lembu  disembelih pada 2009. Daripada kos purata penternakan dan penyembelihan sebanyak RM4,481 seekor, 11% (RM511) adalah kos lawatan ke luar negara dan keraian yang dibelanjakan keluarga Shahrizat.

* Kos operasi di NFC 22 kali ganda lebih mahal berbanding anggaran kos Jabatan Perkhidmatan Veterinar semasa kertas konsep projek fidlot dibuat.

Sebelum ini, Rafizi mendedahkan walaupun sasaran permintaan yang ditetapkan adalah 40 peratus tetapi NFC hanya mencapai 0.6%. Jumlah lembu yang perlu disembelih untuk mencapai sasaran adalah 1,500 ekar sehari tetapi realitinya kini sekadar 20 ekor.

Beliau juga mempersoalkan: "Berapakah hasil dari kayu kayan yang ditebang untuk membuka ladang sedia ada di atas tanah seluas beribu ekar dan siapakah yang mendapat keuntungan dari urusniaga kayu kayan tersebut?"

Persoalannya, mampukah isu-isu yang real ini menangkap imiginasi pengundi, khususnya orang Melayu, berbanding isu-isu rekaan berkaitan kepentingan Melayu, yang dicipta Umno, melalui penonjolan Utusan Malaysia dengan jurucakapnya, Perkasa dan beberapa individu seperti Zulkifli Nordin dan Ezam Mohd Noor?

Saya bimbang jika isu jadi-jadian, atau seperti rakan saya, Zulkifli Yahaya, sifatkan sebagai "pelbagai cerita hantu atau kisah seram ciptaan BN untuk takutkan pengundi Melayu", dapat mempengaruhi khalayak ...

 

No comments: