Friday, June 27, 2014

Riuh-rendah kisah Firdaus akan segera berakhir ....

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Seorang ibu tua, umur mendekati 70 tahun, kematian suami lebih dua dekad lalu, menghidap pelbagai penyakit kronik, mempunyai tiga anak cacat (OKU), dua daripadanya langsung tidak mampu menguruskan diri

Kedua-duanya terganggu mental, seorang  sejak dilahirkan dan seorang lagi selepas kemalangan jalan raya. Yang seorang ini boleh saja bertindak ganas secara tiba-tiba, termasuk terhadap emaknya sendiri. 

Sepatutnya, ketika dihimpit keuzuran pada usia emas, ibu tua ini yang perlu dirawat dan disantuni, tidak seharusnya lagi menguruskan karenah anak-anak yang begitu memenatkan. Mahu sebentar keluar rumah pun harus pastikan dulu anak-anak cacat ini

Apakan daya, anak-anak yang lain juga dibebani masalah tersendiri. Alhamdulillah, ada juga anak yang sedia duduk sebumbung, menampung rumah sewa dan belanja seharian, ala kadar. Dan ibu tua cukup memahami perasaan si anak budiman ini, yang pastinya tidak mudah menjalani kehidupan seharian dalam situasi itu.

 

Dalam keadaan berjalan pun terketar-ketar, mata kabur teruk akibat pendarahan diabetik, dia harus terus -- dengan sabar, dedikasi dan penuh kasih sayang -- memelihara anak-anak OKU, jantung hatinya. Tidak pernah merungut, apatah lagi mengeluh atau membayangkan keresahannya memikul amanah Ilahi.

"Makcik beruntung sebenarnya, tiga anak makcik itu bakal ahli syurga tanpa hisab, mereka akan menunggu di pintu jannah nanti, insya-Allah, asalkan makcik tetap reda dengan ujian ini," kata-kata jirannya mengubat hati dan melapangkan dada.

Seorang daripada anaknya itu, melewati usia 40-an, sukar melangkah ekoran masalah tulang pinggul selepas jatuh dan hanya terbaring lemah. Penglihatannya juga samar-samar, mesti dituntun dan dipapah. Kadang-kadang kencing berak bersepah. Ya, perlukan pengawasan hampir 24 jam, 7 hari seminggu. Ia mengingatkan saya tentang kegigihan aktivis Ronasina (Mohd Affandi Ramli) dan isterinya, Raja Rohaisham Raja Muhaiddin, yang berkorban segalanya untuk dua anak cerebral palsy.

Apa pun, ibu tua ini tetap mementingkan kebersihan. Tiada kompromi. Yang diutamakan, suci daripada najis. Mudahnya, boleh solat di mana saja dalam rumah sempitnya. Dengan keuzuran yang makin ketara, dia tetap tampak bersahaja melalui hidup seharian, biarpun berdepan penat lelah, sekurang-kurangnya untuk  memastikan kediaman bebas daripada waswas kekotoran.

Namun, sebagai insan biasa, jiwanya sering berperang. Reda dengan ketetapan Tuhan tetapi keyakinannya sesekali turut goncang terutama apabila  keseorangan menanggung keperitan. Anak yang cacat mental tapi masih tegap ke sana-sini, sentiasa menagih wang, terutama untuk bekalan rokok dan minuman di restoran mamak berdekatan.

Pernah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat. Tetapi, apabila sering berpindah-randah, bertukar alamat, namanya kemudian tercicir daripada senarai. Cuba memohon semula tetapi pelbagai soalan diasak; lebih pedih apabila terpaksa berdepan sindiran pedih.

Bagi ibu tua, kesusahan tidak bermakna mesti dizahirkan dengan keadaan selekeh dan kusut-masai, hanya dengan tujuan untuk menagih simpati. Penampilannya sentiasa kemas, berjubah dan berjilbab labuh. Dia pantang sama sekali  sengaja menghina diri, demi mengharapkan bantuan.

"Makcik ni segak aja, pakaian pun kemas, tak nampak macam orang susah," pernah dia disindir seorang kerani ketika membawa borang bantuan. "Biar permohonan aku tak lulus, untuk merayu-rayu, apatah lagi mengemis, itu bukan tabiat aku," tegasnya.


Sudah jatuh ditimpa tangga. Bertindan-tindih masalah silih berganti. Memang tepat perumpamaan Melayu itu. Bukan saja buat ibu tua ini, tetapi ramai lagi yang dirundung malang. Tiada bahu tempat menyandar ketika susah. Tiada telinga sudi mendengar luahan hati.

Tidak kurang yang mencebik bibir  terutama melihat tingkah-laku anaknya yang kadang-kala nampak tidak sopan dan menjolok mata. Ya... orang yang terencat akal, mana tahu segan dan malu, 'kan? Lebih menyedihkan, tidak kurang yang mendakwa dia ditimpa azab atas kesalahan dan dosanya masa lalu.

Tambah pilu, ada pihak mengambil kesempatan, menjadi mangsa penipuan berulang kali. Secara semulajadi, dalam posisi terdesak itu, mereka mudah meletakkan kepercayaan dan menggantung harapan walaupun menyedari peluang untuk menjadi mangsa muslihat licik begitu tinggu.


Anda tidak perlu menjelajah ke pelosok paling dalam untuk mencari mereka. Mungkin saja jiran,  kenalan atau melalui khabar yang anda perolehi daripada media. Sudahlah fakir, menanggung anak cacat, ketua keluarga pula uzur, berulang-alik ke hospital.

Lebih perit, mereka seperti keseorangan menanggung beban. Ada di antara ibu terbabit ditinggalkan suami dan terpaksa mencari nafkah sendiri. Bukan tiada kemudahan disediakan pihak berkuasa -- meskipun diakui jauh daripada memadai -- tetapi sebahagiannya tiada akses, atau jahil mengenainya. Sukar keluar daripada "lingkaran setan".

Laporan Sinar Harian, 25 Jun lalu, mengingatkan saya dengan nasib ibu tua tadi. Hampir sama keadaan mereka. Ibu tunggal, Mariam Abdul Kadir, 67, cekal menguruskan tiga anak istimewanya (OKU lembam) sejak kematian suami, Kamaruddin Zainal Abidin, pada Mei 2010.

“Anak-anak ini permata hati makcik. Mereka saham akhirat saya ...," kata Mariam. Bagaimanapun cabaran dalamannya juga hebat. Mariam mengakui, jika duduk termenung, terngiang-ngiang bisikan iblis menggodanya supaya bertindak kejam ke atas anak-anaknya itu.

“Bisikan itu seolah-olah mengejek makcik kerana memiliki anak-anak OKU dan ada yang menyuruh makcik beri racun sahaja kepada anak-anak.

“Malah, bisikan itu terus menggoda makcik supaya tidak mengikut nasihat alim ulama atau ustaz-ustaz yang banyak memberikan nasihat kepada makcik untuk lebih sabar menjaga anak-anak OKU ini.

"Setiap kali bisikan itu datang, makcik akan ambil wuduk dan menunaikan solat memohon pertolongan Allah untuk mengurniakan kesihatan buat makcik bagi menguruskan anak-anak," kata Mariam, seperti dilaporkan Sinari Harian.
 

Justeru, apabila Selebriti Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot diberitakan menyelar kerajaan kerana gagal memberi bantuan secukupnya kepada keluarga anak OKU (cerebral palsy), Muhammad Firdaus Dullah, 15 tahun,  yang ditemui kurus-kering dalam bilik terkurung penuh najis di flat Taman Semarak, Nilai, saya kira isu menggemparkan ini harus dilihat dalam perspektif lebih menyeluruh.

Memang mudah menyalahkan ibu Firdaus dan juga ayah tirinya, tetapi kes tersebut wajar membuka mata seluruh anggota masyarakat, terutama elit penguasa.

Wardina membandingkan layanan negara "kafir" terhadap keluarga OKU dengan Malaysia.
Beliau  memberi contoh, Australia, di mana ibu bapa yang mempunyai anak OKU diberikan pelbagai peruntukan seperti elaun bulanan selain dapat menjalani sesi terapi dengan percuma.

Katanya, seperti dilaporkan Malaysian Insider, yang memetik laman Instagramnya,  dengan segala kemudahan yang diberikan Australia kepada golongan demikian membuktikan betapa kerajaan negara itu memahami kesukaran dan kesulitan ibu bapa membesarkan anak OKU.

“Malah kawan saya mempunyai anak OKU, kedua-dua suami dan isteri tidak perlu bekerja kerana disuruh kerajaan untuk fokus menjaga anaknya yang OKU. Anak OKU dihantar  terapi secara percuma. Dihantar ke sekolah OKU berkualiti dengan percuma dan ibu bapa diberi cuti percuma setiap tahun."

Pihak kerajaan tentunya bingkas menafikan teguran Wardina. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Seri Rohani Abdul Karim berkata, kenyataan terbabit tidak berasas sama sekali kerana pihaknya sangat mementingkan kebajikan golongan berkenaan dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan.


"Lihatlah selepas empat hari penemuan remaja itu, dia dibantu dan dibela kerana pihak kami sangat mementingkan kebajikan OKU,” katanya dalam sidang media selepas melawat Firdaus di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, sambil menekan ibu Firdaus juga  tidak pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Memang ada bantuan, termasuk kewangan secara bulanan, tetapi ia bukan saja jauh daripada mencukupi, malah agak sukar memperolehinya, sehinggakan menimbulkan persepsi negatif di kalangan masyarakat, dan turut membuatkan ada keluarga terbabit  yang langsung tidak  membawa anak mereka ke JKM.


Walaupun lebih ramai ibu bapa yang tidak mengabaikan tanggungjawab membesarkan anak-anak OKU, seperti ibu tua di atas dan Mariam Abd Kadir, tetapi bebanan mereka harus diringankan, terutama melalui dasar dan polisi kebajikan yang holistik.

Mungkin saja memerlukan menteri khusus -- bukan lagi Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat -- yang memberikan tumpuan kepada OKU. Lagi pun, bukankah Menteri di Jabatan Perdana Menteri begitu ramai sekarang? 

Ya, hari ini kita riuh-rendah berbicara mengenai Firdaus, terutama apabila terbayang rakaman televisyen yang sebenarnya tidak beretika itu,  tapi percayalah, tanpa menunggu lama, isu ini akan segera hilang apabila timbul isu-isu panas yang lain, yang menunggu masa untuk memalingkan perhatian masyarakat.

Maka, tinggallah keluarga terbabit meneruskan kehidupan sendiri .... Orang seperti ibu tua dan Mariam tadi, juga kanak-kanak yang senasib dengan Firdaus tidak lagi dipedulikan.

2 comments:

IBU PUSPITA said...
This comment has been removed by a blog administrator.
JUNAIDI said...
This comment has been removed by a blog administrator.