Wednesday, June 26, 2019

Video Sandakan, perpecahan PKR dan polemik PM kelapan

Saya cuba mengelak daripada menyinggung isu video seks yang didakwa membabitkan menteri kanan dan aktivis muda PKR walaupun ia diakui panas membahang dan menarik minat awam.

Cukuplah dengan iktibar daripada minat berlebihan saya, 20 tahun lalu, dalam menyikapi isu dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri berlaku curang sehingga terlucut daripada jawatan. Pertimbangan rasional, termasuk melayan keraguan dan tanda tanya besar, tidak memadai untuk kita cuba mencari kesahihan di atas isu membabitkan keaiban seseorang.


Kemeriahan dan kesyahduan Aidilfitri yang baru berlalu terganggu dengan kehadiran persoalan tidak dijangka ini. Ingatkan budaya politik baharu sudah menokhtahkan elemen jelik seumpama itu, tetapi realitinya, perebutan dan persaingan kuasa mewajarkan segala-galanya. Kawan boleh bertukar menjadi lawan, sahabat mudah mengkhianati, rakan bisa sahaja menikam belakang.

Cuba untuk tidak menyinggung episod hanyir ini, namun ia tidak boleh disapu ke bawah karpet. Di mana-mana orang berbicara mengenainya. Sama ada secara terbuka atau berlapek. Adegan ranjang, apatah lagi membabitkan seks sejenis dan didakwa menyentuh sisi gelap personaliti terkemuka sukar untuk ditutup.

Ada teman yang bertanya, “bolehkah hang mengulas isu video ini tanpa terlebih dahulu menontonnya?” Sesungguhnya tidak tergamak untuk menonton video jijik itu, sekalipun bertujuan bagi mengesahkan ketulenannya. Begitu juga dengan video-video bertaraf longkang yang tersebar luas sebelum ini. Masyarakat kita sudah kehilangan akhlak dan adab. Kemuliaan insan dipertaruhkan.

Mata, tangan dan lidah tidak lagi dapat dikawal. Sifat malu hilang entah ke mana.

Segera saya teringat reaksi seorang demonstran di Eropan yang membantah The Stanic Verses, karya Salman Rushdie di era 1980-an dahulu. Fiksyen yang menghina Rasulullah s.a.w. itu mengundang protes besar-besaran umat Islam di seluruh planet bumi ini. Ditanya apakah dia sudah membaca novel itu, jawab penunjuk perasaan tersebut, “Syukur, saya tidak membaca karya sekeji itu”.

Ya, bagi mereka yang belum ada kesempatan untuk menonton video lucah itu atau tidak dirangkaikan dalam grup whatsapp tertentu, bersyukurlah anda.

Sekurang-kurangnya penglihatan kita tidak dicemari elemen porno yang kotor itu walaupun minda kita mungkin sudah terjejas teruk dengan lintasan yang bukan-bukan. Jangan pula terperangkap dengan rantaian perkongsian dengan lebih ramai audien walaupun asalnya niat sekadar untuk mengesahkan originalitinya.

Kerap kali kita tanpa sedar termasuk dalam rangkaian fitnah atau penyebaran aib orang, dengan memanjangkannya kepada pihak lain, atas motif hanya bertanya kesahihannya. Sebaiknya rantaian itu tidak disambung oleh kita dan harus ditamatkan. Buang jauh-jauh rasa ingin tahu yang sebenarnya didorong oleh nafsu syahwat dan bisikan syaitan.

Kadang-kadang seseorang yang mempunyai kedudukan dan posisi berpengaruh, walaupun sekadar bertanya kesahihan aib buruk yang diperolehinya, sudah cukup untuk turut menyebarkan dengan lebih meluas keaiban itu.

Bayangkan, pada tengahari Sabtu itu, ketika bertandang raya ke rumah saudara-mara, di sebuah flat kos rendah yang sempit, kami menghadap juadah Aidilfitri yang lazat, sedang kaca televisyen menayangkan laporan berita terkini berkaitan kes video berkenaan. Tua muda, kecil besar, dan sebahagiannya anak-anak bawah umur, meskipun mata tidak tertumpu kepada TV, disibukkan dengan aneka makanan tetapi masing-masing dapat mendengar secara jelas butiran kata yang tidak wajar dikongsi umum.

Pastinya berita seumpama itu bukan pertama kali dikongsi khalayak terbuka. Babak gelita 1998 diikuti kes liwat II membabitkan tokoh besar tanahair kini berulang kembali walaupun agak sedikit terkawal. Deskripsi mungkin tidak rinci seperti dahulu, tetapi ia sudah cukup memualkan dan menganggu kesantunan aktiviti kekeluargaan. Memang kita perlukan masyarakat lebih terbuka untuk menjadi lebih progresif dan bertamadun, tetapi bukan dengan cara membicarakan hal-hal dalam kelambu tanpa segan-silu.

Fajar 10 Mei 2018 membawa sinar bercahaya lebih gemilang. Pengisytiharan cuti Khamis dan Jumaat yang syahdu itu memberi ruang persediaan untuk setiap warga membetulkan minda berdepan episod baharu yang lebih segar. Bukan setakat usia pemerintahan regim 61 tahun ditamatkan, atau lebih tepat direhatkan, legasi lampau juga mahu dikuburkan. Budaya usang zaman berzaman, seperti ampu-mengampu, takut nenyuarakan kebenaran, amalan korupsi dan kronisme, tumbuk rusuk, pilih-kasih, perlu dihentikan sama sekali.

Memang tidak mudah mencetuskan perubahan atau mencabut akar yang kuat mencengkam bumi. Apatah lagi kelaziman hodoh itu sudah dianggap sebati dan menjadi darah-daging. Pemegang kuasa boleh sahaja beralih orang tetapi tabiat lama terus diwarisi. Lebih malang apabila ramai bertukar kulit, berubah warna bagi menjamin survival. Maka semangat dan roh perubahan perlahan-lahan pudar.
Babak hanyir cerita videp ini hanya simptom kecil gejolak nafsu kuasa terus menggelegak. Ia tidak pernah puas atau penat. Terbuka sedikit peluang, pasti direbutnya seoptimum mungkin. Kuasa dan pengaruh tetap dianggap wahana memperkayakan diri dan kelompok.

Biarpun pihak berkuasa, termasuk PDRM, diberi kepercayaan untuk menjalankan tugas masing-masing secara profesional tanpa prejudis dan tidak memilih bulu, namun begitu, setiap kemusykilan dan persoalan yang timbul, perlulah dijawab. Orang ramai pastinya mempunyai banyak keraguan terhadap pelbagai isu berbangkit daripada penyebaran video rersebut dan ia terus membentuk bermacam-macam teori konspirasi. Masing-masing dengan khayalan dan imiginasi tanpa had.

Oleh kerana membabitkan figura nasional yang menjadi tumpuan awam, apatah lagi perselisihan di antara kem tidak lagi rahsia dalam parti berkenaan, maka semakin maraklah bara pertelingkahan. Walhal PKR merupakan pertubuhan siyasah yang lahir daripada rahim reformasi yang mahu mengungguli impian perubahan.

Memang adat berpolitik pasti berdepan persaingan dan pergelutan pengaruh. Masing-masing ada strategi tersendiri bagi berada sekurang-kurangnya satu langkah di hadapan. Seringkali parti yang berkuasa lebih mudah diasak konflik dalaman, malah ada kalanya melebihi pertembungan di antara parti yang berbeda. Misalnya, semasa Umno selesa di atas singgahsana kuasa sebelum tahun 2008, krisis internal lebih menyerlah. Pemilihan parti lebih sengit daripada pilihan raya umum yang mudah dijangka keputusannya. Lihat saja pertandingan di antara Team A dan Team B, April 1987, yang mengakibatkan Umno diharamkan.

Kini, dugaan atau penyakit parti berkuasa itu melanda PKR, komponen PH paling banyak memiliki kerusi Parlimen, dengan presidennya merupakan perdana menteri menanti. Namun, sejak penubuhannya atas nama Parti Keadilan Nasional, sewaktu Anwar Ibrahim terpasung dalam penjara, ia telah berdepan siri gugatan yang dahsyat. Ramai pendiri parti reformasi ini berundur sambil menikam belakang sendiri.

Eksperimen beraninya atas jati diri parti berbilang kaum dan menghimpunkan pelbagai aktivis dengan latarbelakang yang rencam, serta masih mentah dalam dunia politik, akhirnya membuahkan hasil yang ranum. Bermula dengan langkah kanan dalam PRU1999, walaupun tanpa kerusi yang banyak, ujian berat pada 2004 apabila berbaki kerusi tunggal di Permatang Pauh dengan majoriti tipis. Sudahlah begitu, cabaran dalaman menimpa hampir setiap kali pemilihan parti. Sehingga pertandingan terakhir penghujung tahun lalu, seolah-olah membahagi dua parti apabila kem berbeda nampak jelas terbentuk.

Pada satu peringkat, berdasarkan serangan bertubi- tubi jentera propaganda kerajaan, kita seolah-olah terbayang, keahlian parti ini mungkin hanya tinggal Anwar, Dr Wan Azizah Ismail dan anak sulung mereka, Nurul Izzah! Namun kecekalan dan ketabahan Wan Azizah bersama pendukung-pendukung idealisme gerakan reformasi berbaloi apabila tsunami politik membadai pada 2008. Negeri terkaya, Selangor, diterajui PKR.

Dalam temubual panjang saya dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, untuk buku Revolusi Tanpa Darah, beliau turut melahirkan rasa terkejut dengan keputusan PRU14. “Kami hanya jangka menang, antara 34 hingga 36 kerusi sahaja, berbanding 31 kerusi Parlimen sebelum itu,” ujarnya. Apatah lagi PKR turut diakui berdepan masalah fraksi atau faksionalisme. Bahkan terdapat perbedaan pandangan serta pendirian politik juga. CumaDr Syed Husin menyandarkan harapan tingginya kepada Anwar untuk mengendurkan ketegangan hubungan antara personaliti dan fraksi ini.
September 2018. Proses pemilihan pimpinan tertinggi PKR bermula. Kali ini suasana berbeda. Anwar tidak lagi dianggap faktor pemersatu parti. Beliau dilihat, kalaupun tidak jelas memihak, tetapi agak cenderung kepada kem calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli, yang mencabar penyandang Azmin Ali, Menteri Ekonomi.

Bermulalah retak menunggu belah. Sesebuah organisasi terdedah risiko perpecahan yang serius apabila ketuanya dipercayai menyebelahi satu kumpulan yang bersaing. Ditambah pula dengan cerita sambung menyambung tentang proses peralihan kuasa perdana menteri yang dilihat tidak selicin dijangka. Timbul desas-desus percubaan Mahathir, dengan tangan-tangan ghaib Daim Zainuddin, untuk meletakkan Azmin sebagai perdana menteri masa depan. Maka semakin ghairah kilang berita angin meramalkan Anwar menjadi “bakal perdana menteri” paling lama.


Apakah negara akan bergelut lagi atau kembali disibukkan dengan kemelut politik berpanjangan? Sedangkan situasi ekonomi dan kewangan, termasuk di peringkat gIobal semakin serius. Sepatah pesan Prof Jomo KS, “rakyat Malaysia perlu bersedia mengharungi tempoh sukar akan datang memandangkan ekonomi kini berdepan isu sebenar di tengah-tengah situasi luaran yang tidak dapat diselesaikan malah semakin bertambah buruk hampir setiap hari.”

Kematangan kita mengolah konflik sedang teruji. Mampukah elemen politik longkang yang busuk itu dibenamkan sedalam-dalamnya atau kita terus berputar di dalam lingkaran setan yang sama? Sama-sama kita saksikan babak seterusnya.

No comments: