Sunday, June 23, 2019

Biarlah AMANAH, Pas terus bersaing dalam dua gabungan parti berbeza

Tidak pelik apabila Ketua Dewan Ulamak Pas, Nik Zawawi Salleh ketika menggulung perbahasan di muktamar parti itu di Kuantan, menolak kemungkinan sebarang kerjasama dengan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Ya, bertandinglah, bersainglah secara sihat. Saya pun tidak terkejut dengan label buruk diberi kepada AMANAH; adat parti-parti yang berebut kuasa.


Biarlah dua parti Islam ini, yang mempunyai pendekatan berbeza, masing-masing dalam gabungan tersendiri. Pas bersama Umno-BN dan AMANAH dalam Pakatan Harapan (PH).

Biar subur sistem dua (gabungan) parti di negara ini. Biar terdedah dengan kepelbagaian dan kerencaman berpolitik. Mantapkan gabungan masing-masing dengan agenda Islam tersendiri.
Rakyat, khususnya umat Islam akan menilai kedua-dua parti Islam ini; sejauhmana prestasi dan rekod kerja masing-masing, demi kesejahteraan negara dan kepentingan rakyat.

Ya, biar Pas dan AMANAH berlumba-lumba membuat amal kebajikan dan menunaikan tanggungjawab secara berkesan, bukannya asyik menyalahkan saingan masing-masing atau memanipulasi sentimen perkauman atau keagamaan sempit.

Jangan perjudikan keharmonian negara atau memilih jalur keras hanya kerana ia dianggap jalan singkat meraih populariti.

Ya, masing-masing sudah ada jalan atau pendekatan dan amanah yang dipertanggungjawabkan rakyat.

Pas ada dua negeri, Kelantan Terengganu.

AMANAH adalah komponen PH dan rakan kongsi yang memerintah Persekutuan, dengan lima menteri Kabinet, dan bersama mentadbir banyak negeri, termasuk dipilih sebagai Ketua Menteri Melaka.

Tempoh kurang empat tahun sebelum PRU15, gunakanlah untuk berkhidmat dengan cekap dan berkesan.

Daripada bersama satu parti, tetapi asyik bercakaran, tikam-menikam, lebih baik pilih wadah sendiri dan tumpukan agenda perubahan lebih menyeluruh, demi kepentingan rakyat, negara dan agama.

No comments: