Oleh Ahmad Lutfi Othman
Sewaktu BN nampak ghairah mahu menawan kembali negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang, tidak ramai penganalisis politik -- malah strategis Umno sendiri -- yang meletakkan Pulau Pinang sebagai sasaran utama untuk direbut.
Mungkin target Selangor dan Kedah dijangka lebih realistik berbanding Pulau Pinang dan juga Kelantan. Negeri termaju itu sememangnya begitu diidamkan Najib Razak, apatah lagi beliau Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, manakala pergolakan dalaman PAS di Jelapang Padi dilihat mencerahkan lagi peluang.
Bagaimanapun, di Pulau Pinang, sementalahan pula ketika umum melihat kecenderungan majoriti pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Tionghua, untuk terus menolak BN, dan mungkin dalam skala lebih besar berbanding PRU12, maka ia pastinya tambah menyukarkan BN.Dalam masa sama, Gerakan yang menerajui kerajaan Pulau Pinang selama 40 tahun, langsung tidak menunjukkan petanda pemulihan, selain ketandusan pemimpin berpotensi-berbakat untuk menampilkan cabaran bermakna kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Presidennya, Dr Koh Tsu Koon, yang kalah teruk di kerusi Parlimen Batu Kawan kepada calon DAP, Dr P Ramasamy, bukan saja ditolak rakyat Pulau Pinang malah diperkecil-kecilkankan oleh rakan-rakan dalam parti sendiri. Malah, kemungkinan beliau sendiri tidak bertanding dalam PRU13.
Begitulah juga dengan nasib malang MCA, yang bertambah parah dan tiada petunjuk akan disokong pengundi pulau mutiara ini.
Empat tahun lalu, DAP mencatatkan kejayaan gemilang di Pulau Pinang -- satu kejutan gelombang yang turut melanda Perak, Selangor dan Negeri Sembilan apabila hampir semua calonnya menang -- dan menobatkannya sebagai peneraju kerajaan negeri. Semua calonnya, iaitu tujuh di kerusi Parlimen dan 19 Dun bukan saja berjaya, tetapi merekodkan majoriti undi yang besar.
KeADILan meraih empat kerusi Parlimen dan sembilan Dun, manakala PAS, yang bertanding dua kawasan Parlimen dan lima Dun, hanya dapat mempertahankan kerusi tunggalnya, melalui wakilnya, Allahyarham Hamdan Abd Rahman, iaitu Dun Permatang Pasir (kini disandang Ustaz Salleh Man, Pesuruhjaya PAS Negeri selepas pilihan raya kecil pada 26 Ogos 2009).
Percaturan politik Pulau Pinang tidak pernah sunyi daripada isu-isu kemunduran masyarakat Melayu. Seperti jenaka seorang tokoh PAS, "kalau semua kertas kerja yang membincangkan masalah Melayu Pulau Pinang dibuang ke laut, ia boleh membentuk sebuah pulau disebabkan begitu banyak dokumen tersebut".
Media yang diperalatkan Umno, seperti Utusan Malaysia dan TV3, memang cuba menimbulkan pelbagai isu kontroversi, terutama mengada-adakan cerita tentang apa yang didakwa diskriminasi kerajaan negeri terhadap orang Melayu, sekali gus memberi gambaran PAS tidak lebih daripada melukut di tepi gantang, malah diperkudakan DAP. (Saya masih merasakan wakil DAP dan PAS, masing-masing perlu dilantik sebagai Exco Kerajaan Kedah dan Kerajaan Pulau Pinang).
Di atas isu sama, kita pernah dipaparkan dengan siri demonstrasi hampir setiap minggu di sekitar Komtar bagi menentang kerajaan negeri, yang didakwa menindas orang Melayu. Sentimen perkauman cuba diapi-apikan. Ditonjolkan seolah-olah kerajaan yang diterajui DAP itu bersikap kasar dan keras dengan orang Melayu tetapi banyak bertolak ansur dengan golongan Cina.
Bagaimanapun, jika kita sempat turun ke Tanjong, untuk meninjau realiti politik di sana secara lebih dekat, gembar-gembur itu ternyata tidak berasas. Kepemimpinan Guan Eng ternyata disenangi ramai; agak sukar kita mendengar persepsi negatif tentang pentadbirannya. Namun, tentulah ia tidak sunyi daripada kesilapan yang perlu ditegur.
Selain sikapnya yang segera turun padang untuk menyelesaikan masalah rakyat, dengan beberapa insentif program sosial mengurangkan beban rakyat, beliau memperkenalkan juga langkah pembaharuan, di antaranya keperluan perisytiharan harta, lanjutan daripada urus tadbir cekap, akauntabiliti dan telus (CAT), prinsip asas dalam pentadbiran kewangan negeri, selain penekananan kepada sistem tender terbuka.
Kesederhanaannya menggunakan dana awam, termasuk tidak memanfaatkan keistimewaan beliau sebagai Ketua Menteri, mendapat pujian ramai. Misalnya, beliau lebih selesa menggunakan pesawat tambang murah. Saya pernah menemuramahnya di LCTT, Sepang, di celah-celah kesibukan penumpang menunggu jadual penerbangan AirAsia.
Setiausaha Politiknya, Zairil Khir Johari juga pernah membuat kenyataan akhbar bahawa apa-apa hadiah atau sumbangan semasa hari jadi Guan Eng tidak akan diterima. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, juga agak kerap merujuk pemerintahan Guan Eng jika beliau membincangkan isu integriti dan antirasuah.
Kenyataan Guan Eng yang mahu meneladani Khalifah Umar Abdul Aziz menunjukkan beliau serius dengan komitmen untuk membelanjakan wang awam secara berhemat, mengelak pembaziran, telus dan memastikan rakyat mendapat yang terbaik daripada khazanah hasil negeri.
Dalam kunjungan ke Kepala Batas, semasa menghadiri seminar kewartawanan media baru, 25 Februari lalu, saya berbicara tentang kedudukan strategik PAS di Pulau Pinang, yang mesti diperkukuhkan, terutama menjelang PRU13.
Ditemani Anuar Hashim, pegawai khas penerangan di Pejabat Ketua Menteri, saya sempat menyapa Guan Eng sewaktu beliau bergegas untuk menyampaikan bantuan ke kampung-kampung sekitar yang dilanda ribut.
Semasa jurufoto mahu merakamkan sudut menarik Guan Eng di hadapan pejabat daerah, saya perhatikan beliau berlari-lari anak, menarik Yang Dipertua PAS Kepala Batas, Rosidi Hussain, yang juga Penyelaras Kadun Penaga, untuk bergambar bersamanya.
Cerita Ketua Menteri yang mengambil berat penampilan pemimpin-pemimpin PAS, terutama dalam majlis rasmi kerajaan, sudah lama saya dengar. Ustaz Salleh juga pernah mengesahkannya. Guan Eng tidak mahu PAS dilihat terpinggir atau terasing.
Justeru, ramai mengharapkan kehadiran wakil-wakil PAS dalam setiap sektor kerajaan negeri, termasuk PBT dan Majlis Agama, memberi impak berkesan. "Wakil kita harus bekerja lebih efisyen dan berkualiti, selari dengan budaya kerja Ketua Menteri sendiri, yang nampak pantas tak terkejar," kata seorang PAS, sambil ketawa kecil.
Sebelum itu, semasa saya makan tengahari dengan Rosidi, di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas, beliau banyak menekankan perlunya PAS Pulau Pinang berusaha lebih gigih untuk menambahkan bilangan kerusi Dun dalam PRU13.
Tentulah tidak mudah berdepan Umno, yang masih berbekalkan dua kerusi Parlimen dan 11 Dun, apatah lagi disokong politik wang yang masih berleluasa.
"Saya akui kerusi Parlimen Kepala Batas, yang diwakili Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nor Mohamed Yakcob di Tasek Gelugor agak sukar direbut, tapi untuk empat kerusi Dun lagi, kita berpeluang," akui Rosidi.
Bagaimanapun, beliau tetap yakin, sekiranya PAS mengemukakan calon berwibawa dan disenangi pengundi, apatah lagi jika Abdullah mungkin tidak bertanding lagi kali ini, potensi PAS untuk dua kerusi Parlimen itu masih terbuka.
Selain Permatang Pasir yang dimenangi dengan majoriti 5,433 undi, PAS kalah di Dun Penaga (dengan majoriti undi calon BN 1,231), Permatang Berangan (1,985 undi), Sungai Dua (535), dan Bayang Lepas (399).
"Kesepakatan kerajaan Pakatan Rakyat akan nampak bertambah mantap jika PAS menang lebih banyak kerusi dan ada wakilnya dalam Exco. Serentak dengan itu, tohmahan bahawa masyarakat Melayu diabai kerajaan negeri mudah ditangkis," kata seorang bekas wartawan Bernama yang lama bertugas di Pulau Pinang.
"Saya pasti, Ketua Menteri pun lebih suka jika lebih ramai wakil PAS dalam sidang Dun nanti," tambahnya.
Saya mengakui, tanpa membuktikan terlebih dahulu keupayaan untuk menambat hati pengundi, kedudukan PAS dalam kerajaan negeri sukar diperkukuhkan. Lebih mustahak, selepas diberikan kepercayaan, amanah itu mesti digalas penuh dedikasi dan dilaksanakan dengan cemerlang.
Belum terlambat untuk menilai kembali perancangan strategik menguasai empat Dun, selain mempertahankan Permatang Pasir. Jumlah sasaran yang kecil tetapi praktikal itu sebenarnya mempunyai implikasi besar bukan saja dalam landskap politik Pulau Pinang tetapi negara keseluruhannya.
PAS mesti menunjukkan ia "rakan kongsi" yang proaktif dan boleh dipercayai, termasuk di negeri-negeri tertentu seumpama Pulau Pinang. Dalam waktu suntuk ini, saya bersetuju dengan pandangan Rosidi, iaitu faktor calon memainkan peranan yang cukup besar dan PAS mesti serius mencari tokoh-tokoh berkelayakan.
Dalam pada itu, semasa merasmikan seminar kewartawanan media baru berdepan PRU13 di Pongsu Seribu, Timbalan Pesuruhjaya, Ustaz Khalid Man membangkitkan isu menarik berkaitan Nor Yakcob yang telah dilupakan.
Beliau merujuk kepada kes penahanan bekas Setiausaha Politik Nor, Hasbie Satar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ketika itu Nor merupakan Menteri Kewangan II, yang dilihat begitu berpengaruh dan dekat dengan khazanah kekayaan negara.
Dalam usia 30-an, Hasbie mengumpulkan kekayaan luar biasa termasuk longgokan wang tunai jutaan ringgit yang ditemui di rumahnya. Beliau turut memiliki beberapa kereta mewah dan rumah agam.
"Isu ini mesti ditimbulkan semula, banyak misteri di sebaliknya yang harus dibongkar. Tentulah segalanya berkaitan rasuah," kata Khalid.
Justeru, saya berkira-kira untuk menelanjangkan kembali isu ini, bukan difaktorkan oleh cabaran Nor Mohamed Yackob kepada PAS di Tasek Gelugor, tetapi bagi merakyatkan persoalan berkaitan rasuah dan salahguna kuasa.
II.
Berita kematian penyair Zahari Hasib, 65, cukup mengejutkan. Sebaik sampai di ofis, pagi Isnin 27 Februari, saya dimaklumkan bahawa Zahari meninggal dunia pada Ahad malam.
Masih terngiang-ngiang suara serak-garaunya. Lebih kurang 10 jam sebelum rohnya berpisah daripada jasad, Zahari menghubungi saya. Seperti biasa, setiap kali puisinya disiarkan, beliau pasti menelefon saya, sekadar mengucapkan ucapan terima kasih. Dan kelaziman ini juga dilakukan kepada rakan-rakan di media lain.
Sebelumnya, Rabu, 22 Februari, rupanya Zahari singgah ke pejabat Harakah, dari Teluk Intan, menitipkan berbelas-belas paket kecil gula-gula dan beberapa plastik buah lai. Dan itu merupakan tradisinya sejak puluhan tahun bila turun ke Kuala Lumpur.
Zahari tidak memaklumkan kedatangannya lebih awal. Saya ketika itu di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, mengikuti kes perbicaraan Himpunan Mansuh ISA. Tanpa sempat saya menghubunginya, beliau terlebih dahulu menelefon: "Saudara Lutfi, sudah terima buah lai?"
Sesungguhnya saya amat meminati puisi Zahari. Mudah dan bersahaja. Senang diikuti oleh sesiapa saja. Benar, cukup puas menikmatinya. Isu-isu yang ditampilkannya menyentuh kehidupan rakyat biasa.
Saya sendiri mengendalikan sajak-sajak yang dihantarnya. Tetapi saya lebih suka kepada rangkap akhir setiap puisinya. Ada kejutan yang membahagiakan.
Saya tidak akan lupa -- setiap kali puisinya tersiar, pasti akan disusuli kad terima kasih. Masya Allah, beliau begitu menghargai orang lain.
Ucapan terakhir dalam kadnya: "Terima kasih dan terima kasih dan terima kasih Sdr Ahmad Lutfi Othman. Hidup Ahmad Lutfi, hidup Harakah!"
Untuk Harakah kali ini, kami siarkan lima puisinya. Saya pernah memintanya menulis tentang mahasiswa. Agak lambat Zahari menyiapkannya. Mungkin beliau agak tertekan dengan permintaan saya itu.
Hasilnya saya tidak menemui kejutan yang saya tunggu pada rangkap terakhir setiap karyanya.
Ya ... Sememangnya penyair tidak boleh 'dipaksa', 'kan?
Innalillahiwainnailaihirojiun. Alfatihah.
Berikut adalah puisi-puisi berkaca Almarhum Zahari itu:
Terima Kasih
Terima kasih kepada pagi
yang menantang angin lembut
segar serta nyaman
terima kasih kepada mentari
yang membawa sinar terang
lagi indah
terima kasih kepada sihat
yang tak menjadikan aku sakit
hingga boleh membaca
serta mencatat ilham
untuk menulis beberapa buah puisi
terima kasih
dan kesyukuranku pada Tuhan
kerana telah membenarkan aku
hidup sehari lagi
pada hari ini!
Catatan Dalam Bas
Sukar sekali
mahu jadi orang baik
dan bersopan
sebab kuala lumpur
seolah-olah mengajar kita
supaya bertindak bengis
kasar dan ganas
lalu di dalam bas ini
tidak ada lagi persaudaraan
atau timbang rasa
maka amat payah
untuk menemui mereka yang sudi
hendak meluangkan tempat duduk
bagi seorang buta
anak sekolah
atau ibu sarat mengandung
Cermin Muka
Cermin muka ini
tak pernah menyatakan bohong
pada tiap masa
ia menunjukkan yang benar selalu
ia menampakkan wajah
rambut
telinga
mata
serta bulu hidung
maka seperti pada tiap hari
kita bersolek dan bersikat di sini
untuk pada lahirnya akan
kelihatan cemas bersih serta
cantik
tetapi apakah
begitu juga hati yang di dalam?
Seorang Anak Muda
Seorang anak muda
yang gila dan melarat
rupanya masih ada tuah
sebab telah diterima
menjadi tamu
untuk makan bersama orang banyak
dan suatu majlis perkahwinan
di flat kami
sesudah kenyang
dia bangun beredar
lalu diarak pula
oleh ramai kanak-kanak
sambil ada yang bertepuk
dan menyanyi
maka dengan megah
dia pun berjalan di hadapan
sambil mengangkat kedua tanganya
dengan nyaring dia menjerit
undilah aku!
undilah aku!
saya ini calon pemimpin masa depan
kalau nati saya menag
nescaya
aku kuturunkan sewa rumah tuan-tuan!
Panggung Anniversary
Ketika bertanya isteriku
bagaimana panggung aniversary
pada malam itu?
aku cuma menjawab pendek:
keadaannya macam selalu
yang ramai datang orang Melayu
menggendong kekasih
anak serta cucu
nasiblah hujan lebat malam itu
kuranglah untung
si Cina cincau dan air tebu!
ZAHARI HASIB
Teluk Intan, Perak
No comments:
Post a Comment