Ahmad Lutfi Othman
Tidak sukar untuk saya memahami gelodak rasa Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, yang dilaporkan Harakahdaily sebagai "teresak-esak menangis kegembiraan" selepas mendapat tahu dua Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh menerima keputusan parti, yang mengarahkan mereka kembali semula ke dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah.
Rakan baiknya, AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman, kedua-duanya anak Johor, turut menulis, menggambarkan situasi ketika beliau menerima panggilan Salahuddin memaklumkan berita gembira itu, "dengan nada tersekat-sekat, menangis teresak-esak".
Mazlan yang aktif memperjuangkan kepentingan peneroka dan generasi kedua Felda seterusnya mencatatkan: "Alhamdulillah ... tidak semena-mena mengalir deras air mata saya. Kegembiraan yang tidak terhingga. Saya sujud syukur dan membaca al-Quran sambil menangis."Sememangnya debar episod terbaru di Kedah itu merisaukan banyak pihak dalam parti. Sebagai orang yang diamanahkan untuk mencari jalan keluar ke atas pergolakan dalaman itu, Salahuddin tentunya dapat merasai nikmat yang membahagiakan apabila formula penyelesaian dapat diterima dengan baik.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan Salahuddin sebagai layak digelar "Kofi Anan dalam PAS".
"Ahli dan para pemimpin juga sangat gembira dan terharu dengan kepenatan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang bergegas balik dari Bosnia, transit di Austria, Kaherah, Bangkok dan sesampai di Kuala Lumpur bergegas ke Kedah, tak sempat menjamah makanan, terus menghadiri mesyuarat dalam keadaan demam hingga jam 3 pagi," tambah Tuan Ibrahim.
Kebetulan pada Sabtu malam, 3 Mac itu, sekitar jam 9 malam, ketika ramai wartawan berkumpul di sekitar kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon, Alor Setar -- lokasi mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat -- saya melewati plaza tol terakhir Lebuh Raya Utara Selatan di Hutan Kampung, dalam perjalanan balik kampung untuk menziarahi emak saudara yang sakit tenat.
Hujan hampir sepanjang laluan yang kami tempuh selama lima jam itu. Semakin mendekati utara titisannya tambah lebat.
Saya menghubungi Ketua Pemberita Harakah Kedah, Azamin Amin, bagi mendapatkan maklumat lanjut. Beliau segera membalas SMS saya, memaklumkan keadaan, dan memberitahu wartawan tidak dibenarkan masuk, sambil menjangkakan mesyuarat mungkin berakhir lewat pagi.
Setengah jam kemudian, saya tiba di Kampung Pulau Timbul, Jitra. Ramai adik-beradik berkumpul; emak saudara saya, dalam lingkungan usia 70-an, ternyata begitu uzur sekali dan sukar bernafas.
Suasana sedih dan pilu tidak dapat menghalang beberapa kenalan dan orang kampung berbisik bertanyakan situasi sebenar politik Kedah. Nampaknya mereka agak kebingungan dan tidak dapat menyelami bagaimana Ustaz Azizan Abd Razak boleh berdepan keadaan yang dilihat genting itu.
"Ustaz Azizan nampak okey aja, takda isu besar yang bawa masalah, malah orang Umno pun takda modal nak serang dia," kata seorang daripadanya.
"Patutnya, sayalah yang tanya orang Kedah," usik saya. Mereka kelihatan cuba membendung keresahan.
"Dekat dengan pilihan raya, macam-macam pula hal berlaku. Hilang semangat nak bekerja pilihan raya, bukan saya seorang saja, kawan-kawan lain di sini pun macam tu juga ...," respons saudara saya itu.
"PAS di Kedah bukannya kuat sangat, kita boleh kalah kalau tak selesai cepat masalah ini," pintas seorang lagi, sambil mengaku dia masih tidak faham apa sebenarnya yang berlaku.
"Lagi elok kalau tak tahu puncanya," balas saya sambil tersenyum. Ternyata mereka agak tidak gemar dengan gurauan saya itu. Seorang rakan karib mencelah: "Aku tak dapat terima mengapa krisis ini terdedah pada waktu yang kritikal seperti sekarang."
Mereka begitu bimbang kekuatan parti terjejas atau sekurang-kurangnya rakyat curiga dengan keupayaan kerajaan PAS Kedah dan dengan itu boleh menyebabkan tumbang dalam PRU13 nanti.
"Insya-Allah, kita sama-sama berdoa untuk kebaikan jemaah. Semua yang terlibat itu mahukan yang terbaik untuk parti dan kerajaan Kedah. Banyak perkara yang kita tidak tahu," kata saya.
Apabila mendengar nada SMS telefon bimbit saya, seorang saudara rapat pantas bertanya, "ada maklumat terbaru?" Saya segera menyemak dan menjawab, "tak ada lagi, masih awal kot, mesyuarat tentu panjang, silap-silap sampai subuh."
Oleh kerana masih keletihan dan kaki membengkak, saya mohon diri beredar. Kampung halaman saya, Kampung Raja, hanya kira-kira 300 meter dari rumah emak saudara.
Di rumah, sembang-sembang bersambung. Orang kampung masih berkongsi kebimbangan. Saya kira mesyuarat khas di Seri Mentaloon malam Ahad itu bukan hanya cuba diteropong aktivis PAS di kampung saya, malah mendapat perhatian seluruh negara.
Mungkin ramai pencinta jemaah memanjatkan doa dan menunaikan solat hajat di keheningan malam itu agar segalanya berjalan lancar dan berjaya merumuskan jalan keluar terbaik. Halangan yang membantutkan gerakerja persiapan PRU13 perlu dibuang segera.
Lebih penting daripada itu, keyakinan tinggi rakyat terhadap Parti Islam tidak boleh dijejaskan. Selama ini banyak pihak beranggapan PAS mempunyai mekanisme tersendiri -- tentunya Islamik dan beradab -- bagi menyelesaikan sebarang kemelut dalaman yang berbangkit.
Dan kelebihan itulah, bagi mereka, yang membedakan PAS dengan parti-parti politik yang lain.
Keletihan sepatutnya memudahkan saya melelapkan mata, tetapi fikiran tetap terfokus ke Alor Setar. Sehingga jam 3 pagi, Azamin masih melaporkan tiada perkembangan yang boleh dilaporkan.
Esoknya, pagi Ahad, banyak SMS diterima bertanyakan soalan sama. Saya segera menghubungi rakan-rakan, di antaranya, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Helmi Khalid, yang juga bekas wartawan Harakah.
Jawapan mereka hampir senada, "tak tahu ... cuba tanya AJK PAS Pusat." Helmi membalas, beliau dimaklumkan tiada sidang akhbar pagi itu. Mungkin ia adakan diadakan di Kuala Lumpur, pada pagi Isnin.
(Lebih kurang jam 10 pagi, khabar duka menyapa; satu-satunya mak saudara saya yang masih ada telah meninggal dunia. Innalillahiwainnailaihirojiun. Alfatihah)
Rakan-rakan lama di Kedah, yang sebahagiannya tidaklah begitu mengikuti perkembangan politik, turut menghubungi saya. Selain menjawab ringkas, saya lebih suka menduga tanggapan mereka sendiri.
Mereka tidak terkejut jika PAS juga dilanda masalah dalaman. "Suami isteri pun bergaduh, saudara mara ada yang tidak bertegur sapa, apatah lagi PAS yang begitu ramai ahlinya, ditambah lagi kini berkuasa di Kedah," kata seorang teman, peniaga berjaya.
"Cuma yang kami harapkan, janganlah londeh segala aib di depan orang ramai. Kalau nak bergaduh pun, ikutlah adab-adab, 'kan? Rakyat sedang perhati bagaimana PAS menyelesaikan konflik sesama sendiri. Jangan bagi mereka hilang keyakinan. Kalau kalah selepas berkuasa, payah nak menang balik," tambahnya.
Ini bertepatan sekali dengan kenyataan Ustaz Abd Hadi pada 6 Mac lalu, selepas merakamkan terima kasih kepada semua pihak terbabit yang memberikan kerjasama dan menghormati keputusan pimpinan PAS Pusat : "Perlu dingat bahawa konflik dalam sesebuah organisasi adalah perkara lumrah dan ianya perlu dihadapi dengan penuh keimanan, tenang, sabar dan berlapang dada. Ujian sebegini bukan sahaja senantiasa akan dihadapi dalam perjuangan, tetapi juga akan terus menerus dihadapi dalam semua suasana bahkan lebih mencabar lagi dalam mengisi kemenangan."
Media juga melaporkan kesediaan Ustaz Azizan untuk akur dengan keputusan pimpinan PAS Pusat: "Saya ikut sahaja apa jua keputusan dalam mesyuarat yang diputuskan PAS Pusat, termasuk arahan yang dikeluarkan ... Selepas ini, saya serah kepada Pusat untuk uruskan, lagipun isu ini sudah diambil sepenuhnya oleh Pusat dan mereka akan pantau apa yang berlaku."
Sikap terbuka Ustaz Azizan itu wajar disanjung. Tidak mudah buat seorang menteri besar berdepan satu "tribunal", yang akhirnya dimanipulasi media Umno sebagai telah mengurangkan kuasa eksekutifnya. Difahamkan, semasa mesyuarat malam itu, Ustaz Azizan kelihatan tenang walaupun diasak pelbagai persoalan.
Begitu juga dengan pendirian Ir Phahrolrazi dan Dr Ismail, yang dikira dapat membantu memudahkan parti mencari jalan keluar menamatkan kemelut daripada terus berpanjangan.
Bagi saya, tiada pemenang apatah lagi pihak yang kalah dalam isu ini. Masih terlalu banyak agenda penting -- bukan setakat memastikan kemenangan PAS dan Pakatan dalam PRU13 -- khususnya demi kepentingan rakyat yang perlu diberi tumpuan.
Justeru, jauhilah daripada membuat ulasan atau singgungan yang boleh menyakitkan hati rakan-rakan yang lain, khususnya ketika sebarang kenyataan mudah ditafsirkan dengan pelbagai maksud.
Bernama melaporkan, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, meskipun didesak pemberita mengenai kemelut pentadbiran Kedah, beliau tetap dengan pendirian untuk tidak akan campur tangan sebaliknya menyerahkan kepada PAS Pusat untuk menangani soal tersebut.
(Satu penyakit juga kalau dalam saat-saat krisis, ada pemimpin yang pantang disuakan soalan wartawan, pantas saja memberi respons meskipun natijahnya kepada jemaah buruk dan negatif. Begitu juga dengan sikap gatal tangan aktivis parti, khususnya yang mempunyai jawatan strategik, yang mencatatkan apa saja yang terlintas dalam pemikitran, termasuk hal-hal sensitif, misalnya dalam Facebook).
Secara peribadi, saya cuba mengelak daripada memandang remeh apa yang berlaku atau sekadar menuding jadi kepada musuh atau media yang dikontrol Umno. Memanglah BN dan medianya akan mengeksploitasi sejauh mungkin, terutama negara di ambang PRU13, dan ia satu kesempatan terbaik untuk menawan kembali Kedah.
Cuma saya kasihan dengan rakan-rakan media, khususnya di Utusan Malaysia dan TV3, yang begitu bebal (dan dungu) dalam laporan mereka, sehingga mahu mengaitkan semua perkembangan dalam PAS dengan faktor Anwar Ibrahim, dan terbaru ditambah elemen "parasit-parasit".
Imiginasi luar mereka asyik tertumpu kepada "krisis" kelompok "Erdogan" yang mahu menjatuhkan ulamak, sedangkan di Kedah, Dewan Ulama PAS Negeri, terutama ketuanya, dilihat bersama Phahrolrazi, termasuk dalam beberapa sidang akhbar.
Nasihat saya, menulislah berdasarkan kebenaran ... jangan rendahkah martabat sendiri hanya kerana mahu memuaskan nafsu bos politik anda!
Apa pun, buat penggerak parti, setiap masalah perlu dihadap secara serius, cermat dan bijaksana serta tidak memisahkannya dengan tradisi muafakat dan syura. Dalam keseluruhan babak yang dianggap genting ini (ada rakan menyifatkannya sebagai banyak membazirkan masa, tumpuan dan tenaga petugas parti), tentu ada yang "tercedera"; sama-samalah kita merawatnya dan bukannya menambahkan lagi luka.
No comments:
Post a Comment