Wednesday, August 7, 2019

Mahathir-Anwar: Usah biarkan rakyat rimas-lemas dengan politiking

Terpaksa menghuni wad Pusat Perubatan Univerisiti Teknologi Mara (PPUiTM) Sungai Buloh selama hampir dua minggu ekoran serangan jantung tidak menghalang saya daripada terus mendapat tempias daripada pergolakan politik tanahair.

Sejak hujung Ramadan, tambah meriah menjelang fajar Syawal, pelbagai isu hangat tidak pernah reda, malah kian mendebarkan mutakhir ini. Sedangkan kita baharu sahaja melepasi episod tahun pertama pemerintahan Pakatan Harapan, menyaksikan kerajaan BN-Perikatan berusia 61 tahun ditumbangkan oleh kuasa rakyat. Namun, situasi politiknya seolah-olah negara seperti berada di ambang pilihan raya umum; menggelegak dan penuh warna-warni.


Memang dinamika politik Malaysia tidak pernah terhenti hanya kerana pilihan raya umum masih jauh lagi. Tiada rehat atau masa senggang untuk berlibur walaupun demam pilihan raya sudah berakhir. Majlis ceramah politik terus hidup dan mendapat sambutan menggalakkan. Malah perhimpunan atau demonstrasi yang condong kepada membantah kerajaan dihadiri ramai peserta.

Sehinggakan saya yang uzur panjang dan direhatkan dalam wad hospital UiTM Sungai Buloh juga tidak senang duduk; itu pun sekadar pemerhati pasif dari jauh! Tetamu yang menziarahi juga membawa khabar politik yang sarat dengan cerita-cerita sensasi dan kontroversiti. Ya, kita lebih teruja memanjangkan kisah yang ada kalanya belum dipastikan kesahihan daripada membincarakan tema yang produktif dan memanfaatkan rakyat.

Topik yang cukup hangat sekitar isu peralihan kuasa perdana menteri, krisis dalaman PKR khususnya pergeseran di antara presiden dan timbalan presidennya serta kaitan dengan video Sandakan, dan upaya taawun Pas-Umno. Walaupun Parti Amanah Negara turut mengadakan proses pemilihan di setiap peringkat kepemimpinan, tidak pula terdengar gosip yang merimaskan. Tentunya ada perkembangan di luar jangka dalam AMANAH, namun ia bagai percikan kecil dalam cawan sahaja.
Pergeseran dan timbulnya pelbagai pandangan berbeda, malah munculnya kumpulan-kumpulan yang tidak sealiran dalam sesebuah parti, khususnya yang sedang memegang teraju kekuasaan bukannya fenomena pelik. Cuma, bagaimana perselisihan itu diuruskan, agar matlamat lebih besar tidak tersasar dan kepercayaan rakyat terus terpelihara; mandat umum untuk membawa perubahan, yang masih hangat, jangan diremehkan.

Mungkin bagi kebanyakan penggerak pertubuhan siyasah, pergolakan dalaman itu lumrah dan asam garam perencah kerukunan berorganisasi, tetapi usahlah melewati had sehingga kelihatan cukup merimaskan dan tercabut ikatan persaudaraan dalam perjuangan.

Soalnya, apakah pertikaian di kalangan kepemimpinan Parti Keadilan Rakyat — komponen parti paling banyak memiliki kerusi Parlimen dalam Pakatan Harapan — boleh dianggap telah melanggar batas-batas yang boleh dikompromi? Apakah tindakan timbalan presiden tidak menghadiri mesyuarat parti dalam tempoh yang panjang, boleh diterima dan tiada notis peringatan dikeluarkan? Bagaimana pula dengan ketetapan konvensyen Pakatan Harapan pada Januari 2018 mengenai calon perdana menteri kelapan; benarkah tiada had masa ditentukan agar proses peralihan kuasa itu disempurnakan?

Sekali imbas, kelihatan punca meleretnya kotroversi ini adalah tempoh masa yang tidak dimuktamadkan bagi peralihan kuasa itu. Ramai beranggapan, ketetapan konvensyen PH tidak menyatakan dengan jelas. Namun anggapan umum, ia akan berlaku pada pertengahan penggal, atau lebih tepat sekitar dua tahun selepas kerajaan baharu dibentuk. Saya sendiri tidak pasti, bagaimana had dua tahun itu dirujuk, tetapi begitulah kepercayaan umum. Dan Dr Mahathir sendiri bagaikan mengakuinya beberapa kali.

Secara peribadi, saya juga berpandangan tempoh dua tahun itu terlalu singkat, apatah lagi bagi membawa misi pemulihan dan refornasi kepada regim yang berkuasa lebih enam dasawarsa. Namun, jika ia satu konsensus yang disepakati Pakatan Harapan, lima bulan sebelum PRU14, maka muafakat itu tidak boleh dipandang ringan. Ia janji dan komitmen terbuka kepada ralyat Malaysia yang tidak wajar dimungkiri.

Cuma, saya tertanya-tanya bagaimana resolusi mengangkat Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri boleh dipakejkan sekali dengan ketetapan Anwar merupakan penggantinya? Apakah ia bertujuan untuk melunakkan bantahan terhadap cadangan Mahathir menjadi perdana menteri kali kedua? Legasi gelap pemerintahannya selama 22 tahun tidak mudah untuk diterima oleh tiga pemimpin komponen PH, iaitu DAP, PKR dan AMANAH. Atau dirasakan Mahathir sudah terlalu tua bangka bagi memimpin Malaysia keluar daripada krisis yang parah? Anwar merupakan calon perdana menteri Pakatan Rakyat sebelum itu meskipun Pas kelihatan tidak bersetuju sehingga konsesus gagal dibentuk.

Daripada tiga parti asal PH itu, hanya AMANAH dilihat dapat menerima sepenuhnya ketetapan Mahathir sebagai perdana menteri pertama kerajaan baharu. PKR nampak mula bergolak; ada pemimpinnya secara terbuka mempersoalkan kewajaran pilihan Mahathir itu. Manakala, difahamkan DAP terpaksa mengambil sedikit masa dengan melakukan rundingan dalaman beberapa kali sebelum kata putus dicapai.

Bukan hanya penyokong dan pemimpin PH terkejut dan tidak menyangka Umno-BN mampu dikalahkan dalam PRU14, malah bekas presiden Umno, Najib Razak lebih terpinga-pinga lagi.

Malam 9 Mei 2018 terasa begitu panjang sekali. Bukti keberanian rakyat merentasi kecondongan politik, yang menarik turun regim kleptokrasi. Dan faktor Mahathir sebagai pelengkap kejatuhan dinasti Perikatan-BN itu tidak dapat dipertikai lagi. Bukan menafikan peranan Anwar dan tokoh-tokoh pembangkang lain, namun peranan Mahathir sebagai peserta pecut terakhir acara larian berganti-ganti itu mempunyai aura tersendiri. Ditambah fungsi tersendiri Mahathir sebagai negarawan ulung berpengalaman dalam saat-saat kritikal membentuk kerajaan. Sejak itu, saya kira syak-wasangka dan keraguan kepada Mahathir berdasarkan rekod lamanya, perlahan-lahan hilang.
Genap seminggu selepas menang PRI14, Anwar mendapat pengampunan Agong, satu tempoh masa yang relatif singkat dan menepati ketetapan konvensyen Pakatan Harapan, Januari 2018. Ia membuka laluan untuk Anwar bergerak aktif dalam politik tanpa apa-apa sekatan.

Formula Mahathir dalam agihan kerusi Kabinet, meskipun mungkin dipengaruhi kepentingan partinya, Bersatu, yang menang antara kerusi Parlimen paling kecil, juga diterima baik rakyat. Semua empat parti PH, dilayan secara setara tanpa mengira jumlah kerusi yang dimenangi. Hujah Magathir, rakyat yang menentukan kemenangan, bukannya mana-mana parti politik. Mungkin di saat itu penyokong PKR, yang mempunyai bilangan kerusi Parlimen hampir empat kali ganda daripada Bersatu mula merasa tidak puas hati. Begitu juga dengan pemilihan anggota Kabinet di kalangan PKR yang dikatakan mengetepikan cadangan rasmi parti. Kumpulan Azmin Ali khabarnya mendapat layanan istimewa Mahathir, yang mendapat nasihat rakan karib perdana menteri, Daim Zainuddin, tokoh veteran yang tidak serasi dengan Anwar.

Saya pernah menulis buku Krisis Anwar-Mahathir: Daim pencetus kontroversi baru, terbitan 1994. Tidak dinafikan bahawa penyokong Anwar mulai gelisah dengan peranan dominan Daim dalam kerajaan Pakatan Harapan, yang dikira masih sarat dengan sentimen anti-Anwar. Pelantikan Azmin sebagai Menteri Hal-Ehwal Ekonomi yang berpengaruh itu, ditambah pengganti menteri besar Selangor yang dipilih Azmin, bukannya parti, menambahkan lagi kecurigaan bahawa langkah Anwar kemungkinan disekat sekali lagi.

Dalam tempoh awal pemerintahan juga sudah muncul desakan dari bahagian Bersatu agar Mahathir tidak berundur di pertengahan jalan; elok disudahkan sehingga PRU15 berlabuh. Terlintas pengalaman Mahathir boleh kembali aktif berpolitik selepas mengumumkan persaraan. Juga ekoran desakan dan tuntutan akar umbi yang bersilih ganti menggesanya agar selamatkan negara daripada angkara Najib Razak!

Justeru, mengenali watak Mahathir, yang sentiasa memilih untuk mempunyai opsyen lebih terbuka dan tidak suka ditentukan gerak langkahnya oleh orang lain, maka saya dapat memahami kegusaran penyokong dan pendukung Anwar. Apatah lagi kalangan orang-orang Anwar juga banyak yang melatah dan menghalakan sasaran terbuka mereka kepada Mahathir.

Kerap juga saya tertanya-tanya benarkah sikap Mahathir terhadap Anwar sudah berubah, atau hanya sekadar perubahan strategi politik untuk menumpaskan musuh bersama, Najib? Biarpun berulangkali melafazkan untuk tetap berpegang dengan janji melepaskan kuasa kepada Anwar, Mahathir tetap seperti sosok yang dikenali umum, tingkahnya mengundang tafsiran pelbagai. Pihak berkepentingan boleh mengolah menurut selera masing-masing, dan tiada siapa mampu mendakwa pengertian mereka paling tepat.

Bicara tentang peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar memang meletihkan dan tidak produktif. Dua figura heavy-weight yang pernah rapat-intim ini, kemudian bertarung dalam pertempuran luar biasa dahsyat, seterusnya tanpa dijangka mengisytiharkan perdamaian, dan muncul sebagai pemenang. Mungkinkah kita menyaksikan lagi medan tempur tragis selepas sejarah Malaysia Baharu dilakar penuh warna-warni? Atau kemenangan bagai revolusi tanpa-darah itu bakal dikhianati dan rakyat terus jauh daripada perubahan yang didambakan? Sementara perubahan struktural dan reformasi sistem masih jauh daripada impian, wajarkah kita terus berlegar sekitar kontroversiti tidak berkesudahan? Ya, kita masih terkepung dengan politik personaliti di kala tuntutan perubahan jauh lebih mendesak.

Saya cuba membaca perkembangan politik seterusnya nanti, termasuk kebimbangan pertemuan Mahathir dengan wakil Umno, Pas dan parti-parti dari Sarawak. Menelah pemikiran perdana menteri berusia 94 tahun ini adalah kerja paling sukar dan mengelirukan. Cuma harapan saya, moga watak penyelamat Malaysia kali ini tidak mengecewakan harapan jutaan rakyat yang rimas-lemas dengan situasi politik terkini.

No comments: