Wednesday, November 30, 2011

Kecaman Mahathir dan nurani Saifuddin

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

"Dulu saya selalu hantar Dr M keluar negara dan cium tangan tetapi selepas tengok ..."

Wawancara Mhttp://www.straitstimes.com/STI/STIMEDIA/image/20110215/mahathir-15.jpgingguan Malaysia, Ahad lalu dengan Dr Mahathir Mohamad, mengenai persiapan Umno menjelang PRU13, sempena perhimpunan agung parti itu, bermula 29 Nov ini, dikatakan mencetuskan rasa tidak puas hati ramai pemimpin dan aktivisnya. Kumpulan akhbar Utusan Melayu nampaknya masih menjadikan bekas Perdana Menteri itu sebagai sumber berita utama berbanding akhbar arus perdana yang lain.

Bercakap kelemahan Umno, seperti lazimnya, Mahathir mengecam dan meletakkan sepenuh kesalahan kepada pengganti beliau, Abdullah Ahmad Badawi: "Umno sudah menjadi rosak teruk apabila Abdullah mengambil alih. Ini kerana beliau mengutamakan keluarganya dan macam-macam lagi pertuduhan rasuah. Lepas itu orang tahu tentang penglibatan menantunya."

Bagaimanapun, Mahathir yang dilihat lebih percaya kepada Muhyiddin Yassin, turut menyindir Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Najib Razak: "Umno memerlukan banyak masa supaya ia boleh diperkuatkan. Tapi beliau pun sibuk dan tidak mempunyai masa yang cukup. Pemimpin-pemimpin Umno yang lain pula belum ada kredibiliti dan masih baru." (Khabarnya Mahathir tidak senang dengan kegemaran Najib yang kerap melancong keluar negara).


Mahathir terus memperlekeh kemampuan pemimpin Umno, termasuk para menteri dan ketua bahagian, yang disifatkannya gagal menjawab serangan pembangkang khususnya mengenai rasuah dan kronisme. "Di kalangan pemimpin Umno tidak banyak yang berkaliber, tambah lagi mereka dikaitkan dengan rasuah seperti (semasa) bertanding untuk Ahli Majlis Tertinggi," bidasnya.

Ditanya apakah orang Melayu sudah kritikal terhadap Umno, beliau menjawab: "Ini adalah soal impression bahawa Umno dipimpin orang yang korup dan orang yang ada kelayakan tidak dibenarkan masuk dan pegang jawatan. Ini adalah benar, malah kita hendak cari pemimpin dalam Umno sekarang pun susah. Di Selangor begitu ramai orang Melayu tapi hendak cari pemimpin cukup susah ..."

Segera saya teringat buku Reformasi Pembiayaan Politik di Malaysia, terbitan tahun 2010, yang dihasilkan sekumpulan pengkaji Transparency International. Mahathir merupakan salah seorang yang diwawancara. Beliau dipetik sebagai berkata: "Hakikatnya setiap orang yang dilantik ke jawatan Majlis Tertinggi Umno dalam tahun 2009 memang kerana mereka menggunakan wang. Jadi bolehlah anda mengatakan bahawa jawatankuasa pusat Umno sebenarnya terdiri daripada orang yang bersikap rasuah."

Dalam pada itu, seorang teman mengirim emel kepada saya, mengutip respons Ketua Pembangkang Dun Kelantan, Md Alwi Che Ahmad dalam Facebook. Saya tertarik dengan ungkapan Alwi, di antaranya: "Hari ini Tun M kata macam-macam, Melayu gaduh sama sendiri, pemimpin Umno tiada pelapis ... saya nak tanya Tun M, bukankah di zamannya Umno dan PAS mula gaduh? Dia benci PAS sebab Yusof Rawa pernah kalahkan beliau. Lepas itu dia pecat Musa Hitam, kemudian guna Pak Ghafar, lepas itu suruh Anwar kalahkan Ghafar. Sebelumnya dia benci Tengku Razaleigh, kemudian pecat Anwar ...

Dalam FB, Alwi kelihatan berdebat dengan seorang penyokong Mahathir. Beliau turut merakamkan: "Dulu saya selalu hantar Tun M keluar negara. Cium tangan hormat pemimpin dan orang tua. Tetapi suatu hari di bilik bunga raya, saya tengok Pek Khing letak tangan atas bahu Tun M, Vincent Tan pula salam biasa, saya jadi kaget. Lepas itu saya refused menghantarnya tetapi hati saya memberontak. Aku hormatkan dan muliakan pemimpinku, (tetapi) bangsa lain ....

"Saya cuma minta dia berlaku adil dalam kritikannya .... anak-anaknya tiada yang tidak kaya raya, kapalterbang sendiri pun ada, dia hentam Cina, tapi di sekelilingnya semua Cina berjaya, saya hanya mahu dia berlaku adil!"

Apa pun, saya lebih terkesan dengan gesaan Mahathir agar Umno memberikan tumpuan untuk menarik pengundi Melayu.

Bekas Presiden Umno ini tidak pula menunjukkan kebimbangannya dengan trend pengundi bukan Melayu, khususnya komuniti Cina, yang dijangka terus menolak BN dalam PRU13 nanti.

Mahathir seperti mahu menyampaikan mesej bahawa jika berlaku swing undi di kalangan orang Melayu -- walaupun sedikit -- peluang BN untuk mengekalkan penguasaan di Putrajaya terjejas dengan teruk.

Dari sisi lain, bukankah selama ini banyak pihak risau tentang keupayaan PAS untuk mendekati dan meraih sokonganmasyarakat Melayu luar bandar, khususnya di kampung-kampung tradisi dan peneroka Felda? Maknanya, yang perlu khuatir dan berusaha berlipat ganda untuk memenangi minda dan hati orang Melayu adalah PAS, bukannya Umno, 'kan?

II.

Dua hari sebelum berlangsungnya majlis diskusi e-buku, Kalau Saya Mahasiswa, di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak, saya menerima SMS Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang mempelawa untuk turut memeriahkan program berkenaan.

Saya memanjangkan jemputan itu kepada rakan-rakan lain. Bukunya itu telah saya hadam, namun saya percaya sudut pandangannya tentang dunia kampus tetap segar dan mencabar, apatah lagi UIAM merupakan gelanggang paling sesuai membicarakan isu-isu yang membelenggu kebebasan akademik, menjerut suara mahasiswa dan memperbudak golongan cendekiawan.

Keuzuran menghalang saya, diganggu pula dengan deadline Harakah. Final bola sepak Sukan SEA di antara Harimau Muda dengan pasukan Indonesia di malam sama memang mengujakan tetapi saya hanya beminat untuk mengetahui keputusannya.

Jantung saya masih tidak selesa untuk menanggung debaran yang memenatkan!

Tanpa mengetahui perkembangan diskusi itu, esoknya, pagi Selasa, saya bertanyakan Saifudin melalui SMS, dengan hasrat untuk turut mengulasnya dalam kolum ini. Tanpa menjelaskan, beliau hanya minta alamat emel saya.

Rupanya saya ketinggalan keretapi. Pada saat-saat akhir, UIAM membatalkan program itu. Saya turut merayau ke akaun Facebook Saifuddin. Beliau menyifatkannya, "ini tribulasi dan asam garam perjuangan". Kepada Malaysiakini, beliau berkata, "inilah kali pertama saya dijemput tapi program dibatalkan."

Waduh, alahai ... dan aneh sekali, di waktu Mahkamah Rayuan cuba memberikan ruang untuk warga kampus melaksanakan hak yang dijamin Perlembagaan, Rektor UIAM -- tentunya selepas mendapat arahan menteri, yakni boss Saifuddin sendiri -- yang mempunyai latar belakang undang-undang yang hebat bertindak senekad itu atas alasan "isu Auku sedang hangat diperkatakan".

Belum pun berlalu episod hitam menimpa Prof Aziz Bari, UIAM seperti ghairah menagih kontroversi baru. Kali ini bukan membabitkan mana-mana tokoh pembangkang, kerana yang dihalangnya adalah seorang timbalan menteri dan Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Saya pernah mengusik Saifuddin; nampaknya beliau seperti keseorangan, atau mungkin hanya didokong Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden MCA, Senator Gan Ping Sieu, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Ketiga-tiga mereka popular dengan aktiviti bola keranjang, YB'sCanJump. Jawab Saifuddin, "ada ramai lagi tetapi tidak berani bersuara."

Mengapa Saifuddin digeruni? Meskipun tegas mempertahankan prinsip dan berani menongkah hujah lapuk yang dikemukakan rakan-rakannya dalam BN, termasuk menyanggah daleh kolot pegawai kanan universiti, tutur katanya tetap teratur dan sopan. Dalam satu program TV, Saifuddin membidas tajam pendirian bebal bekas Naib Canselor UiTM, Ibrahim Ali Shah.

Dalam e-bukunya, Saifuddin menegaskan, Auku jelas mengongkong dan mengawal gerakan mahasiswa sehingga menjadikan mereka lesu.

Beliau juga menolak hujah yang mendakwa Auku tidak menyekat gerakan pelajar hanya kerana banyaknya jumlah program yang dijalankan di kampus. Beliau mengkategorikan tiga jenis program mahasiswa, iaitu aktiviti, bakti dan advokasi.

Baginya, program yang sekadar aktiviti kurang berkesan, manakala bakti dianjurkan dalam satu siri atau pakej yang punya matlamat tertentu. Sedangkan advokasi ialah prsoes pembuatan atau mempengaruhi pembuatan keputusan, yang dilakukan menerusi memorandum, perundingan, melobi dan sebagainya.

"Ada aktiviti yang sekadar aktiviti. Ada aktiviti yang bersifat bakti. Ada aktiviti yang bersifat bakti dan advokasi. Manakala ada aktiviti yang bersifat advokasi sahaja, dan ada yang bersifat advokasi dan bakti sekali gus, tetapi jarang terdapat advokasi dan aktiviti sekadar aktiviti.

"Gerakan mahasiswa ditandai oleh sifat atau ciri advokasi," jelas Saifuddin. Dan inilah jenis program yang terpaksa menempuh pelbagai halangan di universiti.

"Ada yang berpendapat Auku 1979 perlu untuk mengawal mahasiswa daripada berpolitik kerana bimbang mahasiswa menentang kerajaan. Soalnya, mengapa tidak ditanya mengapakah kerajaan ditentang oleh mahasiswa?" katanya, dipetik daripada e-buku Kalau Saya Mahasiswa.

-------
Artikel ini disiapkan pada 22 Nov 2011

(Rayuan sumbangan untuk Tabung ISA Harakah, AKAUN MAYBANK 564070000336 atas nama HARAKAHDAILY DOT COM; masih ramai keluarga mangsa tahanan dan bekas tahanan ISA yang perlu dibantu)

No comments: