Wednesday, December 7, 2011

Felda, AGM Umno dan selak kain Shahrizat

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Sidang akhbar mengenai Pengerusi Felda, Isa Samad, di Hotel Flamingo, Ampang, 28 Nov lalu dijadualkan jam 9.30 paghttp://syukran.files.wordpress.com/2011/01/isa-felda.jpgi. Kebetulan rumah saya hanya sekitar 4km sahaja dari situ. Anak lelaki saya pula bercuti, jadi tiada alasan untuknya menolak bila diajak menemani, apatah lagi jiran sebelah rumah -- seorang pesara TUDM, Katolik -- yang mutakhir ini cukup ghairah berbicara soal politik, turut mahu bersama.


"PAS mesti memimpin Pakatan Rakyat," kata jiran saya itu, Mejar Bersara Wiliam, "jangan hampakan rakyat yang impikan perubahan, dan oleh itu mesti ke depan menjuarai isu-isu masyarakat pelbagai kaum dan tidak hanya tertumpu masalah orang Islam sahaja."  Beliau yang disahkan menghidap kanser hidup tahap keempat sentiasa positif tentang keupayaan  pembangkang dalam PRU13 nanti. 

Namun, yang lebih mengujakan saya untuk turut menghadiri sidang akhbar pagi 2 Muharam itu apabila dimaklumkan oleh Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Nasaie Ismail, bahawa yang terbabit dalam sidang akhbar itu bukan lagi teman-teman yang sering dikaitkan dengan perjuangan membela peneroka Felda, seperti Mazlan Aliman, tetapi "aktor baru" di kalangan "orang dalam" sendiri.

Justeru, walaupun terlewat hampir dua jam daripada jadual asal dan kaki kiri saya sudah mula membengkak akibat menunggu lama -- mujur ada Dr G Manimaran, Pengarang Bahasa Melayu, The Malaysian Insider untuk diajak berbual -- saya terasa berbaloi.

Penampilan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Shamsuddin Othman, 59, yang mewakili 11 wilayah Felda di seluruh negara memang cukup meyakinkan.

Hujahnya tenang dan teratur, walaupun ketika ditayangkan kepada para wartawan video ucapan Isa, semasa sesi penerangan kepada perwakilan Koperasi Permodalan Felda, di Kuala Pilah, 12 Nov, yang jelas menghinanya.

Meskipun Isa dituntut mohon maaf di atas keculaparannya itu -- dengan kata-kata "jika budak kecil, saya dah lempang", "munafik", "pembohong", "penipu" dan "jika saya jumpa saya akan lutu dia" -- saya melihat sidang media itu menjangkaui isu personal Pak Sam, malah membawa impak baru kepada siri pergolakan isu Felda.

Umno yang kelihatan panik mempertahankan sokongan pengundi Melayu dalam PRU13 nanti bakal ditimpa masalah besar di kubu sendiri apabila "simpanan tetapnya" sudah memberi kata dua, ekoran tidak berpuas hati dengan proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH), yang jelas merugikan.

Dari riak Shamsuddin dan rakan-rakannya dalam Jawatankuasa Perunding Peneroka Peneroka (JKPP) dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW), saya rasa tindakan mereka bukan bermotif politik, sebaliknya tegas membela kepentingan peneroka. Mereka langsung tidak mengeluarkan kenyataan buruk kepada Perdana Menteri.
 
Difahamkan sebahagian besar pemimpin peneroka memihak Umno, namun ia tidak menghalang untuk mendesak Isa dan dua pegawai kanan Felda meletakkan jawatan. "Jika hasrat kami ini  tidak ditunaikan PM, jelaslah sokongan peneroka Felda semasa PRU13 tidak lagi diperlukan  kerajaan memerintah," kenyataan akhbar mereka dipetik.

Isa dalam responsnya bukan saja enggan memohon maaf, malah menyifatkan pihak yang cuba menolak usaha penyenaraian FGVH sebagai "pengkhianat negara". (Mudahnya kalimat pengkhianat dihamburkan). Isa juga menggesa agar Shamsuddin "datang berkomunikasi dengan saya".

Kesombongan Isa itu dikecam keras masyarakat peneroka. Ada yang membandingkannya dengan kesediaan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Meng, yang sedia memohon maaf kepada Menteri Besar Perak, Dr Zambry Abd Kadir. Lebih teruk apabila Isa cuba memburukkan lagi Shamsuddin dengan dakwaan ponteng mesyuarat Felda.

Berdepan pelbagai asakan, PM Najib Razak dijangka terus mengekalkan Isa kerana "ada rahsia yang mereka kongsi bersama". Bukankah pada September 2009, gesaan Dr Mahathir Mohamad agar Isa tidak diletakkan sebagai calon BN dalam pilihan kecil Bagan Pinang ekoran kesalahannya dalam rasuah politik, juga tidak diendahkan Najib.

Mungkin Najib perlu mendengar pantun ini:
Andai ada lembu di ladang,
Bawalah menginap di pangsapuri;
Sana sini orang Felda tentang,
Cepatlah Isa mengundur diri.


II.

Umno sukar menutup wajah gabranya berdepan perhimpunan agungnya kali ini. Saya tidaklah sampai menganggap ia AGM terakhir sebagai parti pemerintah tetapi tetap terkesan dengan pelbagai "keanehan" di dalamnya. Ternyata Umno begitu gelisah menunggu saat kuasa bercerai-tanggal daripadanya.

Membuka persidangan pada 29 Nov, Muhyiddin Yassin bertindak garang membelasah Pakatan Rakyat, khususnya DAP. Orang Melayu ditakut-takutkan akan kehilangan kuasa jika Pakatan menguasai Putrajaya. Ia bukan sesuatu yang luar biasa, terutama untuk membakar semangat ahli parti, tetapi usahlah menabur fitnah.

Lagipun ucapannya yang bertajuk "Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad" dilihat sarat dengan elemen agama, sambil menyifatkan perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri sebagai "para mujahid dan mujahidah". Memang Umno terdesak memaku sokongan Melayu kepadanya, namun janganlah berdusta. Mungkin Muhyiddin teruja dengan nasihat mentornya, Mahathir, yang mahu Umno terus menambat hati pengundi Melayu, khususnya di luar bandar.

Lihatlah ungkapannya: "Daripada soal kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, segala-galanya cuba dipertikai dan dirobek satu demi satu oleh DAP. Tembelang DAP untuk menubuhkan sebuah negara republik dengan mengetepikan nilai, sejarah dan jati diri Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berpaksikan kedaulatan Raja-raja Melayu dan Islam sebagai Agama Persekutuan semakin jelas kelihatan."

Mungkin terdorong dengan ucapan itu, dalam perbahasan, perwakilan Pemuda Pulau Pinang,  Syeikh Husin Maidin menegaskan: "Siapa saja, Melayu, Cina, India yang menyokong DAP, depa daripada bangsa bangsat. Saya ulang sekali lagi, DAP adalah bangsa bangsat." Beliau juga menyifatkan ahli-ahli PAS di Pulau Pinang sebagai "bapuk".

Sidang itu juga sendat dengan perbahasan mengenai kriteria winnable candidate, suatu istilah yang sudah menggambarkan bahawa Umno kini bermasalah untuk mencari calon pilihan raya. Ramai menjangkakan konflik dalaman makin parah apabila tafsiran ciri-ciri "calon boleh menang" terbuka luas.

"Pakatan Rakyat hanya perlu tangkas dan bijaksana menggunakan kesempatan apabila Parlimen dibubarkan nanti. Ruang ahli-ahli Ummno, yang tidak puas hati dengan calon, untuk sabotaj tambah meluas. Dalam Umno, apa lagi yang lebih penting selain menjadi wakil rakyat?" kata seorang veteran parti.

"Mengikuti laporan media tentang perhimpunan, saya yakin rakyat muak dengan perbahasan yang hanya terpusat kepada keghairahan Umno mengekalkan kuasa, sedangkan masalah negara, khususnya berkaitan kemelut ekonomi dan juga perubahan politik, langsung tidak disentuh," ujar seorang penganalisis.

"Kasihan Najib, semakin tidak menjadi geraknya. Persepsi pengundi terhadap Umno makin memburuk. Segala usaha transformasinya langsung tidak membekas," tambahnya.

Dan seperti kata bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin, yang menjadi tetamu perhimpunan berkenaan, "Umno belum dapat memberi satu harapan baru, terutama kepada generasi muda, yang berbeza dengan harapan generasi dahulu, yang tidak boleh ditarik dengan ganjaran wang lagi."


III.

Isu Fidlot makin panas. Ketua Wanita Umno, Shahrizat Jalil mengamuk sakan sehingga bukan saja sanggup "menyingsing lengan" tetapi juga bersedia untuk "selak kain".

Melalui siaran berita TV, rakyat dapat menonton dengan jelas mimik muka garangnya, dengan nada suara yang begitu emosional dan sorakan sokongan perwakilan Wanita apabila beliau menjerit: "Senyum punya senyum, saya tak larat nak senyum lagi ... Itu belum angkat kain lagi. Wahai Zuraida, Ketua Wanita KeADILan yang biadap, cik puan ingat kami takut dengan kamu. Oh, suruh saya letak jawatan, siapa kamu?"
 
Kesabarannya ternyata hilang dengan pelbagai pendedahan mengenai syarikat milik keluarganya, terutama oleh Rafizi Ramli, Pengarah Strategi KeADILan: "Anak muda ini, apa namanya? Rafizi? Mafizi? Dia adalah si Tanggang muda."

Zuraida Kamarudin kemudiannya menjawab ringkas, pendedahan awal projek tersebut kucar-kacir dan tidak menepati sasaran kerana tiada kepakaran,  dibuat Ketua Audit Negara, dan bukannya KeADIan. Hakikatnya, tegas beliau, yang biadap adalah apabila menteri-menteri yang diberi amanah, menyalahgunakan kuasa menyeleweng wang rakyat untuk mengkayakan keluarga.

Sepatah kata Rafizi: "Kalau dia singsing lengan, angkat kain, kita akan dedah lagi lepas ni." Benar, Rafizi terus tampil dengan pendedahan dana NFC daripada sejumlah RM250 juta diguna untuk beli kereta mewah (RM534,622), tanah di Putrajaya (RM3,363,507) dan melancong (RM455,423).

Dulu saya sukar percaya gosip mengatakan Shahrizat mengamuk dalam mesyuarat bersama pegawai kanan kementeriannya, malah mengherdik suaminya dengan gelaran yang tidak enak didengar selepas pecah isu NFC, tetapi melihat gayanya Rabu lalu saya sekadar mampu tersenyum.

Namun, lebih menjengkelkan saya apabila membaca penjelasan Timbalan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar bahawa siasatan awal NFC mendapati "tidak ada unsur pecah amanah dikesan". Peliknya, Khalid mengakui siasatan masih berjalan dan Shahrizat sendiri belum direkodkan kenyataannya!

Maka semakin merudumlah indeks rasuah Malaysia, sepertimana laporan Tranparency International bahawa skor Malaysia jatuh lagi kepada 4.3 pada tahun ini, yang terburuk dalam 10 tahun. Dan tambah menjauhlah imiginasi orang muda dengan Umno yang tidak pernah belajar daripada siri kesalahannya itu.


---------
Kolum ini disediakan pada malam Sabtu, 2 Disember 2011

 

Baca Seterusnya......

Terengganu tercicir lagi dari tsunami politik?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Kekuatan PAS di Terengganu memang sudah teruji.  Dalam pilihan raya pertama selepas merdeka, pada 1959, PAS dapat menguasai negeri itu, bersama Kelantan. Selepas 1969, Kedah turut dirangkaikan sebagai wilayah tradisi atau kubu kuat PAS.

Ketiga-tiga negeri majoriti Melayu  ini sering dirujuk sebagai penanda aras kekuatan PAS. Sebelum pengaruh PAS melewati kawasan Malay belt itu -- dan timbulnya nama Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim sebagai seteru ketat  -- perhimpunan agung Umno  sentiasa panas dengan serangan terhadap PAS di negeri-negeri berkenaan, khususnya Terengganu.


Ketika pengundi Melayu bangun lantang menzahirkan protes terbuka kepada Umno dan Dr Mahathir Mohamad pada 1999, Terengganu mencatat sejarah gemilang. Semua lapan kerusi Parlimennya dimenangi Barisan Alternatif, manakala Umno hanya bertahan empat daripada 32 kerusi Dun.

Selepas 40 tahun, PAS kembali menerajui kerajaan negeri. Pelbagai perubahan bagi membela kebajikan dan kepentingan rakyat segera dilaksanakan. Suara mereka juga dirujuk sebelum polisi penting negeri digubal. Namun, tiada siapa dapat menghidu perancangan jahat Umno, yang dibantu rapat agensi kerajaan pusat, untuk merampas negeri yang kaya dengan hasil petroleum itu.  

Usia kemenangan pada 1959 tidak sampai dua setengah tahun, apabila pelbagai taktik jelik-kotor digunakan Perikatan untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Allahyarham Daud Samad, dengan membeli wakil rakyat. Rupanya, menjelang pilihan raya 2004, rakyat Terengganu pula yang "dibeli" Umno, melalui taburan wang ehsan, selain manipulasi senarai daftar pemilih yang menjolok mata.

Maknanya, rampasan kuasa di Perak pada 2009, yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Nizar Jamaluddin, bukanlah perkara baru. Begitu juga dengan strategi Umno memperalatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), khususnya untuk menawan kembali Selangor dalam PRU13 nanti, juga telah didahului di Terengganu.

Difahamkan bekas Menteri Besar, Idris Jusoh diberi peranan penting menterjemahkan pengalaman merampas Terengganu untuk aplikasi Umno di negeri-negeri Pakatan Rakyat sekarang.

PAS Terengganu dilihat tercicir daripada bersama-sama membentuk tsunami politik, Mac 2008. Memang ia dilihat berupaya bangkit daripada kekalahan teruk 2004, namun penguasaan lapan kerusi Dun dan satu Parlimen (ditambah satu lagi di Kuala Terengganu dalam pilihan kecil), ternyata belum memadai di kala PAS menerajui kerajaan campuran di Kedah (juga Perak selama setahun), selain mengekalkan kemenangan sejak 1990 di Kelantan dan menjadi sekutu penting dalam kerajaan negeri Selangor.

"PAS perlu kembali berkuasa di Terengganu, sekurang-kurangnya dengan itu, dapat menyanggah dakwaan yang timbul selepas tahun 2008 bahawa PAS telah kehilangan sokongan pengundi Melayu. Dengan menerajui ketiga-tiga negeri Melayu, termasuk Kelantan dan Kedah, maka secara automatik PAS merupakan parti yang mewakili aspirasi majoriti orang Melayu," kata seorang pemerhati politik.

Jika dihitung isu semasa, pelbagai masalah besar melanda Terengganu. Daripada kos sara hidup meningkat, terutama dengan kenaikan harga barangan asas, juga rekod buruk pengurusan kerajaan negeri membelanjakan dana awam (cerita runtuhnya bangunan-bangunan baru yang dibina sudah dianggap perkembangan biasa), sehingga konflik dalaman Umno negeri yang parah dan tidak dapat disembunyikan.

Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad banyak menulis mengenai kepincangan pentadbiran Ahmad Said, terutama keghairahannya untuk "terus berbelanja besar di tengah-tengah kesempitan dan keperitan hidup golongan marhaen di Terengganu, yang hanya mengharapkan sesuap nasi bagi menampung keperluan keluarga yang miskin".

Beliau kerap membangkitkan perbelanjaan mengurus Kerajaaan Terengganu yang cukup tinggi, malah "jauh lebih tinggi berbanding dengan negeri-negeri maju seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang". Bagaimanapun rakyat negeri yang kaya dengan hasil buminya ini masih terperangkap dengan putaran kemiskinan.

Dalam pertemuan sidang editorial Harakah dengan Abdul Wahid Endut pada 1 Disember lalu, ternyata beliau yang berpengalaman luas sebagai Adun selama lima penggal, berhati-hati apabila membicarakan peluang PAS Terengganu yang baru diterajuinya.

Beliau tidak mahu menyandarkan perpecahan dalaman Umno sebagai faktor utama kemenangan, sebaliknya mahu membina kekuatan tersendiri, sambil menyedari misinya dipagari pelbagai halangan sukar. Segala sekatan psikologi yang terbina di antara PAS dengan rakyat selama ini mesti diruntuhkan.

Lagi pun, bukan mudah mengepalai badan perhubungan di negeri-negeri tradisi PAS seperti Kelantan, Kedah dan juga Terengganu. Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat masih diperlukan mengemudi PAS Kelantan, begitu juga Ustaz Azizan Abd Razak di Kedah. Malah di Terengganu, ramai pemimpinnya bertaraf nasional, misalnya Presiden sendiri, Tuan Guru Abd Hadi Awang; Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Harun Taib; dan Setiausaha Agung, Mustafa Ali.

Rakan saya, Sayuti Omar dalam blognya, mempersoalkan keberkesanan pimpinan Wahid untuk mencetuskan perubahan di Terengganu ketika masih ramai pemimpin veteran dilihat menaungi PAS Terengganu. "Wahid yang kini menjadi pesuruhjaya menggantikan Harun Taib tidak berjaya membawa perubahan atau melakukan proses penyalinan kepimpinan seperti diharapkan. PAS Terengganu memerlukan pendekatan baru yang kontemporari dan memenuhi selera semasa," tulis Sayuti.

Apa pun saya yakin, Wahid mempunyai perkiraan tersendiri dalam mengatur rentak dan strategi, termasuk mengambil kira semua sumber kekuatan yang ada. Sekurang-kurangnya pendekatannya lebih membumi dan mesra rakyat, serta berupaya memecahkan  tembok psikologi yang mungkin terbina sejak sekian lama.

Semasa melayari enjin pencari Google tentang Wahid, saya terjumpa tajuk berita yang menarik dalam Harakahdaily, "Wahid sedang 'lembutkan' imej PAS Terengganu". Berita bertarikh 2 Sept, yang memetik kenyataannya semasa meraikan perantau Terengganu yang beraya di kampung itu merumuskan: "Masalah besar yang dihadapi Wahid adalah persepsi yang diletakkan kepada PAS Terengganu yang dilihat keras dan kasar dengan lawan masing-masing."

Saya sendiri agak keliru dengan ungkapan "PAS Terengganu yang dilihat keras dan kasar ..." Mengapa boleh terjadi sedemikian rupa, namun lebih penting apakah persepsi itu dapat diperbetulkan sekarang? Saya sendiri menekankan kepada Wahid, kes Terengganu mungkin berbeza daripada negeri lain disebabkan negeri itu pernah menang sepenggal (1999-2004) dan kemudiannya kalah, lalu apakah kemungkinan kekalahan itu boleh diertikan dengan penolakan rakyat terhadap kepemimpinan kerajaan negeri? Justeru, ia boleh memberi implikasi terhadap pemilihan calon PRU13.


Berbicara hampir sejam dengannya, saya kira Wahid mempunyai iltizam tinggi untuk mendampingi  rakyat, dengan  memenangi hearts and minds pengundi. Beliau tentu tidak mahu Terengganu terpisah dengan arus perubahan, malah menjadi penyumbang utama menghadiahkan lagi enam kerusi Parlimen buat memudahkan laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Baca Seterusnya......

KeADILan kesamping isu-isu Melayu?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Apabila KeADILan memilih Johor sebagai lokasi Kongres Nasional Tahunan Ke-8, ia dilihat bukan sahaja sebagai isyarat jelas parti itu untuk "mara ke selatan" tetapi juga keseriusan "untuk menembusi negeri yang suatu ketika dahulu merupakan fixed deposit Umno", seperti diluahkan Timbalan Presidennya, Azmin Ali.

Di majlis sama, Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mohd Akin, menekankan: "Kongres ini menjadi alamat, petanda bahawa kubu (Umno) itu sudah pecah dan tidak lama lagi negeri Johor ini akan kita bebaskan daripada cengkaman Umno."

Saya menelah, mungkin tidak ramai aktivis dan pemimpin KeADILan sendiri yang memandang serius  penegasan penuh bersemangat itu memandangkan laluan sukar Johor buat ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat,  namun realiti politik pasca Mac 2008 sememangnya sukar diduga. Upaya rakyat untuk mencetuskan perubahan, walaupun tanpa sebarang amaran awal,  tidak boleh dipandang remeh.

 

"Apa pun, janganlah kerana keputusan PRU12 yang di luar jangka itu, maka kita semua boleh berteori dengan mudah bahawa segalanya mungkin berlaku kejutan dalam PRU13, termasuk di Johor, sedangkan gerakerja kita masih terbatas. Usah sekadar mengharap nasib memihak kira kali ini," pandangan seorang pemerhati politik, yang ternyata masih kurang yakin kemampuan Pakatan untuk menawan wilayah tradisi Umno di selatan.
 
Tsnami politik hampir empat tahun lalu dapat disekat daripada melimpah keluar Lembah Klang, iaitu Negeri Sembilan -- meskipun majoriti dua pertiga BN dalam sidang Dun buat pertama kali berjaya dinafikan -- dan Umno tetap gagah di Melaka dan mampu bertahan di Johor dengan beberapa "kecederaan kecil".

Waktu itu, kecuali Perlis dan negeri-negeri selatan, semua negeri Pantai Barat, yakni Kedah, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor mencipta sejarah. Bagaimanapun, penganalisis melihat pengundi Melayu masih berbelah-bahagi, dengan Umno menguasai sisa-sisa kawasan tertentu, khususnya penempatan luar bandar.

Sekiranya Sabah dan Sarawak tidak dapat diusik dengan berkesan oleh Pakatan dalam pilihan raya umum ke-13 nanti, maka kubu Umno di selatan Semenanjung, khususnya Johor, mesti ditembusi, bagi memastikan peralihan kerajaan persekutuan berjalan lancar di Putrajaya.

Bagaimanapun, keupayaan Pakatan di Johor, dan juga Melaka serta Pahang, masih menjadi tandatanya, manakala keazaman politik yang tinggi untuk menawan Negeri Sembilan -- yang kini hanya dibezakan dengan empat kerusi Dun -- tetap menagih komitmen luar biasa, terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Kunjungan saya ke Seremban hujung minggu lalu dan kesempatan berbicara dengan aktivis PAS di sana masih gagal untuk meredakan kerisauan saya tentang trend mengundi masyarakat luar bandar, di kampung tradisi dan kawasan Felda. Selain berusaha menyampaikan maklumat (kisah pengkhianatan BN dan cerita kejayaan Pakatan) terus langsung kepada mereka, persepsi dan tanggapan pengundi Melayu di desa itu perlu diubah segera.

Empat kerusi Dun yang diperlukan untuk menukar kerajaan Negeri Sembilan memang nampak kecil bilangannya, tetapi cabaran dan gugatannya ternyata lebih sukar. Umno -- dengan segala sumber dan kemudahan -- yang menyedari takhtanya bakal dirampas akan melakukan apa sahaja taktik kotor dan tipu helah, apatah lagi kerusi Dun sasaran Pakatan bukannya mudah untuk direbut.

Dalam keluaran ini, Harakah memilih Negeri Sembilan sebagai fokus fikrah menjelang PRU13. Dibantu wartawan Negeri Sembilan, Faiz Abdullah, rakan-rakan dari Kuala Lumpur, Wan Nordin Wan Yaakob, Shafri Shamsuddin, dan jurufoto Wan Zahari Wan Salleh menyiapkan bahan.

Ketika mereka melakukan tinjauan di Seremban, Sabtu 19 Nov, sebahagian besar perkhidmatan bas di seluruh negeri itu terhenti. Ramai pengguna marah. Cuma ada yang merungut kerana tidak melihat kelibat pemimpin Pakatan menjuarai isu rakyat itu.

Selain wawancara dengan pimpinan utama PAS Negeri Sembilan, kami sebenarnya mahu menyediakan analisis lebih menyeluruh. Bagaimanapun, kesuntukan ruang membatasinya. Bagi saya, selagi Dun atau Parlimen belum dibubarkan, apa jua kelemahan masih boleh diperbaiki.

Aktivis parti tentunya bersedia melakukan penambahbaikan dan menerima setiap kritikan sebagai cabaran yang mesti ditangani dengan dada terbuka. Biar impian mencecah awan, namun persiapan dan gerakerja harus berpadanan agar hasrat murni untuk membela rakyat dan menyelamatkan negeri/negara terkabul.

Sementara itu, semasa menyelak helaian ucapan Shamsul, saya terkesan beberapa penekanannya yang menarik, terutama berkaitan isu-isu Melayu. Rupanya bukan PAS sahaja yang memandang serius agenda berkenaan, malah KeADILan turut memberi keutamaan. Bagi saya, ini perkembangan (atau boleh sahaja menjadi polemik) yang diharap berimpak positif dan produktif.

Di antara yang disentuh adalah peruntukan saham RM52 bilion di bawah DEB yang "lesap", isu pengurusan Felda dan peneroka, Tanah Rizab Melayu yang berpindah tangan kepada syarikat bukan Melayu, pembangunan Kampung Baru, institusi raja-raja Melayu, memperkukuhkan fungsi dan peranan bahasa Melayu serta tentangan terhadap usaha menghidupkan semula PPSMI.

Shamsul turut mencabar pemimpin Umno: "Hakikatnya, Umno yang membahayakan kepentingan dan kedudukan orang Melayu.
Maka demi menjamin benteng terakhir orang Melayu, yakni kuasa politik, tidak menjadi dagangan Umno; AMK mencabar Umno meminda Perlembagaan bagi memasukkan syarat dan jamina bahawa jawatan Perdana Menteri hanya boleh disandang oleh seorang Melayu. Alasan jawatan tersebut dipegang oleh seorang Melayu hanya semata-mata kerana Umno berkuasa tidak boleh diterima. Sejarah membuktikan Umno sanggup menggadaikan dan memperdagangkan apa sahaja."

Ucapan perasmian Azmin turut menyinggung isu-isu Melayu, dengan mempersoalkan perjuangan Umno terhadap kepentingan bangsa. Antara lain, puisi Usman Awang dan karya Syed Muhammad Naquib Alatas dijadikan hujah Azmin untuk menempelak pengkhianatan Umno kepada orang Melayu.

Ketika menulis kolum ini, malam Sabtu, saya terbaca usul tergempar yang diluluskan kongres AMK, iaitu untuk mengadakan rancangan komprehensif bagi meningkatkan undi daripada pengundi Melayu. Saya tidak pasti bagaimana respons kongres KeADILan yang berlangsung esoknya terhadap usul berkenaan.

Dalam perkembangan lain, jaminan Perdana Menteri, Najib Razak untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku)  bagi membolehkan mahasiswa yang mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik, disambut positif, meskipun masih ramai yang curiga. Saya lebih suka melihat sisi positif pengumuman itu, demi kepentingan masa depan anak-anak muda kita. Gelombang pendemokrasian tidak boleh disekat lagi.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah, yang dilarang menyertai program mengenai e-bukunya, Kalau Saya Mahasiswa, di UIAM, minggu lalu, mungkin merupakan orang paling lega. Beliau paling lantang dan konsisten menyuarakan hak berpolitik pelajar (mungkin mengatasi pemimpin Pakatan Rakyat) walaupun dikecam hebat rakan-rakannya (dan terpaksa berkonfrantasi dengan menterinya sendiri) dalam Umno dan kerajaan.

Demonstrasi lebih 200 siswa UIAM selepas solat Jumaat, 25 Nov lalu pasti merungsingkan rektor barunya, Zaleha Kamaruddin. Sukar untuk menjangkakan mengapa Zaleha bertindak nekad menghalang dan membatalkan beberapa program di universiti berkenaan. Semuanya memburukkan imej beliau dan memalitkan imej buruk buatnya.

Alasan beliau ditekan pihak luar tidak boleh diterima sebagai daleh. Rektor atau naib canselor harus mempunyai integriti tinggi dalam usaha menegakkan idealisme dan mempertahankan prinsip.

Saya agak kerap mendengar bicara Zaleha mengenai hal-ehwal kekeluargaan Islam dalam siaran radio IKIM khususnya dalam perjalanan ke pejabat. Ya, bicara yang menarik dan bermanfaat. Malang bagi profesor undang-undag ini yang terpaksa menempuh siri kontroversi yang langsung tidak bermanfaat itu. Kasihan ...

Bermula dengan kes pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang dilarang berkuliah dalam Masjid UIAM, pembatalan penyertaan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIAM sebagai panel dalam program Hujah TV9, diikuti Prof Dr Aziz Bari digantung tugasan dan dikenakan siasatan, dan terkini program membabitkan  Saifuddin yang  dibatalkan secara ad-hoc.


----------
Tulisan ini disiapkan pada 25 Nov 2011

Baca Seterusnya......