Sunday, January 15, 2012

Segenggam pasir menjadi gunung?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Biarpun isu dalaman parti dianggap kecil dan lumrah dalam perjuangan panjang PAS, namun dengan perkembangan mutakhir ini, ia begitu menggamit keprihatinan anggota jamaah dan masyarakat umum.

Ia petanda ahli-ahli PAS begitu sayang parti atau jamaah yang disertainya. Benar, PAS pernah mendepani "keretakan" yang jauh lebih besar dan sukar, tetapi kebanyakan ahli parti tidak mahu sebarang episod gelap berulang.

"Saya ingat hanya Umno dan parti komponen BN, atau mungkin KeADILan dan DAP sahaja, yang ada masalah dalaman. Rupanya PAS juga tidak terkecuali," kata jiran saya, seorang Tionghua, yang kerap memuji "dua tok guru" Mursyidul Am dan Presiden. "PAS bukan parti malaikat," pintas saya, sambil ketawa kecil, "tapi jangan risaulah, itu masalah kecik aja. Segenggam pasir yang digambarkan seperti bukit."

Rata-rata, sama ada dalam sessi perbincangan serius atau sembang-sembang santai, yang dahulunya terarah kepada krisis Umno-BN -- seperti isu "calon boleh menang" -- kini tertumpu pula kepada "ribut dalam cawan kopi". Mulanya seolah-olah tergambar pada sesetengah orang bahawa isu calon pilihan raya pun sudah menjadi masalah besar dalam PAS, seperti menimpa Umno, sedangkan realitinya tidaklah sebegitu rupa.

Saya sendiri dihujani pelbagai pertanyaan dan persoalan. Tidak kurang yang mengkritik keras laporan Harakah. Sesama ahli atau aktivis parti, mungkin tidak sedikit yang dapat mengikuti salur-galur konflik ini sejak awal dan dapat memahami kedudukan sebenar. PAS bermula tarikh penubuhannya 60 tahun dulu, seperti juga pertubuhan siasah lain, tidak pernah sunyi daripada masalah dalaman. Malah, yang keluar parti, bukan sekadar ahli biasa tetapi pimpinan tertinggi, termasuk presidennya.

"Apa pun, agak tidak manis jika kita sering menyandarkan rekod bahawa ramai pernah keluar parti bagi menjustifikasikan kemungkinan ada pemimpin yang bakal menuruti jejak itu. Benar, kadang-kadang kita perlu potong kaki bagi mengelak diabetis merebak, tetapi mengapa diabaikan rawatan lebih awal," kata seorang pemerhati politik, yang mengakui PAS merupakan parti politik paling unik dan cukup berpotensi di Malaysia.

"Orang ramai selama ini menyanjung tinggi PAS berdasarkan idealisme perjuangan Islamnya, komitmen tinggi pemimpin dan gaya hidup sederhana mereka meskipun selepas berkuasa, serta kesetiaan ahli-ahli parti yang tahan uji," tambahnya.

"Saya perhatikan, orang PAS walaupun ditekan, dipenjara, dilayan bagai warganegara kelas dua, mereka tetap istiqamah dengan perjuangan Islam, malah tidak pula memilih jalan atau pendekatan militan seperti yang berlaku kepada sesetengah gerakan Islam luar negara," kata seorang sarjana sains politik. "Tapi saya nak tengok juga keupayaan PAS hadapi cabaran dan dugaan apabila berkuasa dalam kerajaan," ujarnya lagi.

Justeru, saya kira, ramai yang berminat bukan sahaja untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di antara Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali dengan Dr Hasan Ali dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa, tetapi mereka juga begitu teruja untuk melihat bagaimana PAS mencari jalan keluar terhadap "kemelut kecil" ini.

Bukan sahaja aktivis parti yang risau dengan "perang di media" yang bagaikan tiada kesudahan (tetapi kini seperti melalui era "gencatan senjata), namun masyarakat umum akan membuat penilaian terhadap apa yang berlaku itu, dan sekali gus mungkin membentuk persepsi baru terhadap PAS, sebuah parti yang dianggap paling kritikal tetapi cukup penting dalam PRU13 nanti.

"Masalah dalaman bukannya pelik bagi mana-mana parti politik, terutama jika babitkan perbedaan pendekatan politik. Yang menarik perhatian adalah bagaimana konflik dalaman itu diselesaikan secara harmoni. Orang mahu melihat cara PAS, sebagai parti Islam, menangani perselisihan yang timbul, dan tentulah ia berbeda dengan Umno, 'kan?" lontaran pandangan seorang penggerak PAS, yang dahulunya aktivis Umno.

Selain melalui proses disiplin parti, beliau menekankan agar ia diuruskan secara Islami. Apabila saya bertanyakan lebih lanjut bentuk penyelesaian Islami itu, beliau tidak dapat menghuraikannya, sebaliknya mahu PAS sendiri menunjukkan model teladannya.

"Bukan sekadar terletak kepada kewibawaan Tok-Tok Guru untuk menanganinya, tetapi formula penyelesaian masalah dalaman harus terpahat dalam struktur dan budaya parti. Usah cepat melatah, isu seumpama ini memang mudah mencuit emosi, apatah lagi apabila berlaku perang mulut secara terbuka," tegasnya.

Beliau segera merujuk kepada kenyataan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat: "Selesaikan perselisihan pandangan melalui mekanisme dalaman parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh. Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa. Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya-Allah."

Lebih mengejutkan saya apabila seorang aktivis PAS, dalam usia 60-an, menangis di hujung talian selepas meluahkan rasa bimbang terhadap konflik dalaman. "Benar, parti mesti tegas dan segera bertindak, tapi saya amat takut jika kita sendiri terjebak dalam perangkap fitnah dan adu domba," ujarnya tersangkut-sangkut.

Semua maklum bahawa Najib Razak hanya mengintai tarikh paling sesuai untuk mencadangkan pembubaran Parlimen. Kontroversi berterusan yang membabitkan pimpinan partinya memang menggusarkan tetapi Najib juga melihat peluang yang boleh diraih daripada kekeliruan yang timbul dalam parti lawan.

Di atas kertas seolah-olah setiap parti Pakatan Rakyat menempuh "konflik" dalaman. KeADILan bakal melalui saat getir keputusan penghakiman Anwar Ibrahim, DAP belum reda pertembungan Dr P Ramasamy dengan Karpal Singh, dan terkini, PAS turut diuji. Membaca laporan dan siaran media yang dikawal mutlak Umno tentulah berbeda dengan realiti di akar umbi.

Tentulah masalah kecil yang menimpa PAS sekarang sukar untuk dieksploit Najib, namun saya masih memegang kata-kata seorang rakan: "Dalam PRU13, pemenangnya bukanlah pihak yang paling kuat, tetapi yang paling sedikit melakukan kesilapan."


(Ketika tulisan ini disiarkan , nampak petunjuk memberangsangkan, "perang media" seakan reda. Apabila pimpinan tertinggi memberi nasihat dan teguran, insya-Allah, segalanya terkawal dan patuh).

No comments: