Tuesday, February 21, 2012

Umno di ambang sakratulmaut: Najib ada kuasa misteri?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Walaupun saya lebih cenderung dengan pendapat bahawa tarikh pilihan raya umum ke-13 tidak akan berlaku dalam waktu terdekat, namun ia bukan bermhttp://2.bp.blogspot.com/_Hh4A9Mk5ADI/SsyBqhqdGLI/AAAAAAAABwA/q-L02hJKNV0/s400/keranda+UMNO.jpgakna segala persediaan intensif jentera Pakatan Rakyat selama ini boleh dikendurkan.

Ia harus dilihat sebagai suatu peluang terakhir untuk memperkemas persiapan berdepan "pertarungan paling sengit yang sukar dijangkakan". Rata-rata pemerhati berpendapat PRU13 adalah kesempatan terbaik buat rakyat Malaysia menukar kerajaan persekutuan -- potensi yang tidak pernah dinikmati generasi sebelum ini.

Selaku orang paling berkuasa untuk menamatkan teka-teki yang berlanjutan sebegitu lama, Perdana Menteri Najib Razak pastinya begitu teliti dan cerewet memilih tarikh keramat itu. Berbanding presiden Umno dan pengerusi BN sebelum ini, beliau berada dalam posisi paling sukar. Survival Umno-BN berada di tangannya.

Malaysian Insider mendedahkan, sumber BN berkata pentadbiran Najib percaya terlalu berisiko untuk mengadakan pilihan raya umum sekarang disebabkan isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan soal kenaikan gaji untuk 1.4 juta kakitangan perkhidmatan awam (SBPA). Tarikh yang difikirkan sesuai adalah seawal separuh kedua tahun ini.

(Ketua Umno Cheras, Dato' Syed Ali Alhabshee berkata kontroversi NFC perlu diselesaikan sebelum PRU13: "Jangan salahkan rakyat jika mereka beralih sokongan disebabkan kegagalan kerajaan menangani isu berkaitan kepentingan umum termasuk NFC.")

Sesungguhnya suara dan kehendak rakyat selepas tsunami 8 Mac 2008 tidak mudah ditelah lagi. Selepas empat tahun menang besar pada 21 Mac 2004, Abdullah Ahmad Badawi ternyata gagal membaca mesej dan isyarat akar umbi. Belum sempat mengubati duka ekoran tamparan hebat keputusan PRU12, beliau dipaksa turun oleh rakan-rakan rapatnya dalam Umno.

Meskipun seorang perdana menteri dibantu pelbagai kemudahan strategik (tidak terkecuali agensi perisik) dan sokongan kewangan yang melimpah, juga dengan bantuan penasihat sekeliling pinggang, ia belum menjamin kelangsungan hayat gabungan parti yang diterajuinya.

(Ironinya, seringkali berlaku, bagi mana-mana regim yang meniti sakratul maut, seperti yang menimpa Suharto dan ramai diktator di Timur Tengah, perhitungan di waktu kritikal kerap tersasar. Keputusan yang dipilih sebenarnya makin mempercepatkan lagi kuasa rakyat meratah kerakusan mereka).

Jika Abdullah boleh tertipu dengan petunjuk di sekitarnya, sehingga gagal memahami realiti dan menangkap maksud simbol-simbol di hadapannya, apakah hebatnya Najib untuk tidak mungkin mengulanginya lagi?

Memang situasi yang dihadapi Abdullah dan Najib itu berbeda.

Abdullah dan sekutunya (termasuk anak menantu dan perancang kempen di Tingkat 4 Jabatan Perdana Menteri) terleka dan dibuai kemenangan gemilang 2004, serta langsung tidak menduga rakyat Malaysia bijak menggunakan kesempatan dalam kotak undi. Malah pembangkang sendiri tidak membayangkan akan memperolehi sokongan luar biasa itu. Semuanya terkedu.

Najib sekarang amat menyedari bahawa Putrajaya bakal terlepas tangan jika tiada langkah berkesan diambil. Justeru, bermacam-macam program politik dilancarkan. Jentera BN mungkin memposisikan dirinya dalam kedudukan atau senario paling buruk, iaitu hilang kuasa di peringkat persekutuan -- situasi paling ngeri yang tidak pernah dialaminya.

Bukankah Najib pernah melafazkan ikrarnya di hadapan perwakilan Umno, yang ditonton rakyat Malaysia secara langsung, untuk mempertahankan Putrajaya sehingga "titisan darah terakhir"? Jika kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 langsung tidak dapat dihidu, apakah tidak mustahil strategi Najib kini juga belum dapat dijejak?

Bagi parti pemerintah yang tidak pernah kalah sejak merdeka 55 tahun lalu, ikrar seumpama itu besar sekali implikasinya. Ya, masakan Najib hanya menunggu takdir menelannya? Pastinya segala yang boleh diperkakaskan untuk mempertahankan kuasa demi menjaga kepentingan yang begitu banyak, akan dilibatkan, biar setinggi mana sekali pun nilai kosnya.

Najib tentu tidak mahu -- walaupun sekadar untuk membayangkan -- memimpin Umno tanpa merangkul erat kuasa politik. Sebenarnya, kalaupun BN belum ditakdirkan tumbang, tetapi dengan mengulangi prestasi buruk Abdullah pada 2008, ia sudah cukup untuk memaksa Najib berundur lebih awal. Dan saya tidak dapat bayangkan situasi Rosmah Mansor ketika itu!

Timbalannya, Muhyiddin Yasin, sudah berpengalaman melakukannya dengan berkesan sekalai terhadap Abdullah dahulu dan pasti tidak melepaskan peluang untuk mendesak Najib mengaku kalah. Dr Mahathir Mohamad tentu boleh membantu Muhyiddin ....

Jatuhnya Kedah, Selangor dan Pulau Pinang (serta Perak, sebelum tiga Adun Pakatan disogok Najib) pada 2008 cukup memeritkan. Dr Mahathir berkali-kali mengingatkan ahli-ahli Umno, bagi mengelak pertembungan merebut jawatan dalam parti, apa ertinya menang dan terpilih sebagai pemimpin Umno sekiranya parti itu kalah dalam pilihan raya. Umno tanpa kuasa akan hilang seri, bisa dan segalanya.

Rakan saya, Zulkifli Yahaya memberi satu analogi menarik: "Umno ibarat mitos orang tua yang membela hantu raya. Pemilik hantu raya kelihatan gagah dan bergaya adalah kerana hantu raya yang menumpang dalam dirinya atau dia yang menumpang hantu raya. Sama-sama menumpang, macam BN yang bertenggek pada kekuatan kerajaan pusat. Kekuatan Umno ialah kerajaan. Tanpa kerajaan Umno sudah reput dan berkubur."


Kelebihan Najib berbanding Abdullah adalah daripada segi kewaspadaannya yang tinggi. Setiap rentak dan langkah, malah diam dan bicaranya pun diperhitungkan terlebih dahulu natijah politiknya. Abdullah masih berbekalkan mood bulan madu 2004 bila berdepan PRU12. Langsung tidak terbayang majoriti dua pertiga BN di Parlimen akan dinafikan, apatah lagi lima negeri turut tumbang.

Pelbagai janji, tawaran dan komitmen pembaharuan Abdullah hanya manis di bibir. Beliau tidak menyangka majoriti rakyat hanya menunggu masa untuk menghukumnya.

Kini, Najib melihat beliau masih ada peluang untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat. Jika wang perlu ditabur lebih banyak, seperti diamalkan melalui bermacam-macam insentif 'one-off' sekarang, maka segalanya akan dihambur.

Peduli apa jika negara bankrap kerananya nanti, asalkan kuasa masih di tangan, khazanah kekayaan menjadi harta sendiri. Bukankah selama ini pemborosan dan pembaziran menjadi kelaziman untuk habuan kroni dan suku-sakat? Justeru, apalah yang mahu difikirkan sangat untuk sesekali "bersedekah" buat rakyat bagi meraih kembali sokongan yang mula menghilang itu? Najib faham benar keberkesanan politik wang.

(Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan amalan korupsi dan kapitalis kroni oleh BN yang akan menjadikan negara ini muflis dan bukannya konsep negara berkebajikan yang dibawa Pakatan Rakyat).

Cuma, mampukah Najib mengekang budaya ceh keting di kalangan pemimpin Umno selepas mengetahui nama mereka digugurkan sebagai calon PRU13 nanti, satu fenomena biasa dalam setiap kali pilihan raya? Difahamkan Najib ada taktik tertentu (mengulangi kaedah Mahathir) untuk memastikan kesetiaan itu berkekalan. Fail-fail rahsia pemimpin Umno yang berada di atas meja Perdana Menteri akan dijadikan bahan tarik tali atau umpam menjinakkan kemarahan tidak terpilih sebagai calon.

Apa pun saya kurang yakin ia berkesan mengubati derita Umno. Parti itu akan terus bergolak apabila tiba "bab kuasa". Tiada ubat mampu menyembuhkan penyakit kronik itu. Justeru, strategis Pakatan harus pintar menambah-parahkan lagi luka tersebut. Zulkifli Yahaya menyuntik idea: "(Untuk) menjana perpecahan dalam Umno, maka projek ala Trojan Horse mesti digerakkan secara berperancangan serta bersungguh-sungguh di semua peringkat jentera pilihan raya parti. Jangan biar perpecahan dalam Umno hanya berlaku secara kebetulan. Maksudnya perlu sediakan tenaga dan bajet untuk 'melicinkan' lagi perpecahan itu."

Dalam satu majlis makan malam mengutip dana PRU13 untuk PAS Pokok Sena, ketua Mahfuz Omar, yang juga Naib Presiden PAS, membayangkan bahawa berbeda pilihan raya sebelum ini, PRU13 ditunggu-tunggu rakyat. Ramai sudah memutuskan siapa yang akan diundi.

Berbeda pandangan seorang pensyarah sains politik, pengundi kali ini lebih cermat dan menghargai hak mereka. "Rakyat mengundi bukan lagi dengan sentimen, mereka menilai banyak sudut, terutama keuntungan yang bakal mereka perolehi. Mungkin orang yang kita nampak seperti penyokong kuat BN tetapi semasa mengundi akan menyokong Pakatan, begitu juga sebaliknya," katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan aktivis Pakatan Rakyat bahawa "ibu segala pilihan raya" ini terlalu getir dan bakal memakan korban besar. Ingatannya itu dituturkan oleh banyak pihak lain, namun saya tertarik dengan penekanannya, iaitu apa yang selalu saya ulangi: "Umno-BN dan Najib tidak leka lagi. Mereka sudah bersedia dengan serangan hendap dan penembak tepat. Najib tidak akan ulangi kelalaian Pak Lah."

Namun, di atas segalanya adalah kehendak dan nurani rakyat. Apakah mereka, khususnya pengundi Melayu, mudah digula-gulakan lagi semasa kempen nanti, atau tekad mengimpikan perubahan tetap menyala biar Najib bersedia mempertaruhkan segalanya untuk survival kerjaya politik dirinya dan BN?

Saya tetap berdegil untuk mengingatkan diri sendiri bahawa Pakatan, khususnya PAS, perlu lebih bekerja kuat berkali lipat, dengan strategi dan pendekatan berkesan, bagi mengubah persepsi masyarakat Melayu-Islam. Saya masih risau dengan kecenderungan pengundi Melayu di kampung-kampung tradisi dan penempatan Felda misalnya, tetapi tetap yakin bahawa ruang dan peluang tetap terbuka luas untuk dimanfaatkan.

No comments: