Oleh Ahmad Lutfi Othman
Kontroversi "video Listen!" menyedarkan kita bahawa proses "brainwashing" dan "pembodohan" masih berterusan di kampus-kampus.
Dan ia dilakukan secara terbuka serta dinaungi pihak berkuasa. Lebih
mengejutkan, majoriti mahasiswa, seperti dapat dikesan melalui paparan
video berkenaan, nampak agak "kebingungan". Seolah-olah mereka bertepuk
dan bersorak tanpa mengetahui hujung pangkal.
Terima
kasih kepada ledakan teknologi maklumat dan keajaiban dunia komunikasi
hari ini yang "secara tidak sengaja" telah mendedahkan "penghinaan
terhadap intelektual anak-anak muda" dan realiti sebenar di menara
gading.
Sehingga 21 Januari, pengunjung klip video tersebut di
YouTube mencecah lebih 960,000. Sekelip mata, pelajar tahun kedua
undang-undang Universiti Utara Malaysia, KS Bawani dikenali ramai dan
begitu popular.
Ada pihak melihatnya sebagai mengulangi jejak Adam Adli dan Umar Mohd Azmi, tetapi saya kira kes Bawani lebih klasik lagi.
UUM
sejak sekian lama dikenali sebagai antara universiti yang sukar
memberi ruang selesa buat warganya menjalani kehidupan sebagai
cendekiawan. Pernah mendapat jolokan "Universiti Untuk Mahathir" dan
kewajiban mahasiswanya memakai "tali leher di tengah ladang getah"
sering dijadikan bahan ketawa.
Saya teringat peristiwa lucu (dan
juga tragis) pada akhir 1980-an, semasa menziarahi rakan-rakan pemimpin
gerakan pelajar di Taman Siswa, Bandar Darul Aman, dekat Jitra (UUM
ketika itu masih di kampus sementara).
Saya terpaksa dibawa
menyelinap dari satu rumah ke rumah yang lain, kononnya untuk mengelabui
pengawal keselamatan. Mereka cukup bimbang pelajar UM dipengaruhi
"anasir asing".
Difahamkan, agak kerap pihak HEP melakukan
pemeriksaan mengejut (spot check) ke atas bilik pengenapan mahasiswa
yang disyaki menyokong pembangkang (PAS). Bukti yang dijumpai hanyalah
buku-buku mengenai gerakan Islam!
Proses "cuci otak" ini --
seperti lagak Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin -- bukan hanya
tertumpu di UUM atau kampus IPTA yang lain, khususnya di UiTM dan
kampus-kampus yang agak muda usianya, malah melibatkan kakitangan awam
di setiap peringkat, terutama dikendalikan Biro Tata Negara (BTN).
Program
"brainwashing" itu selalunya dianjurkan secara tertutup, sarat dengan
sentimen perkauman dan berselindung di sebalik faham agama yang sempit.
Walhal tujuan sebenarnya hanyalah untuk mempertahan dan mengukuhkan
kuasa Umno-BN.
Lagu "Anak Kecil Main Api", yang dinyanyikan di
Perhimpunan Agung Umno 2012 merupakan mantera yang sentiasa diulangi
dalam program indoktrinasi itu sehingga "bercucuran air mata" mengenang
nasib malang "bumi dipijak milik orang". Alahai!
Bawani juga
mengenangkan saya satu lagi peristiwa "memalukan", kali ini di kampus
tertua, Universiti Malaya. Cuma adegan tersebut tidak dirakam dalam
YouTube, sebaliknya hanya sekeping gambar mati.
Tarikhnya, 10
Februari 2011. Sekumpulan 20 mahasiswa UM dihalang secara tidak
bertamadun daripada mengadakan sidang media, membantah beberapa
peraturan pilihan raya kampus, yang sememangnya sengaja digubal untuk
memberi laluan sukar kepada kumpulan Pro-M.
Tiba-tiba sahaja
seorang pengawal keselamatan bertindak nekad menekap mulut seorang
aktivis mahasiswa ketika beliau mahu memberi ucapan dalam sidang media
itu. Gambar itu memang klasik dan patut diabadikan dalam sejarah
"pembodohan massa" ini!
Dalam video Listen itu juga menyerlahkan
bagaimana mahasiswa UUM dimomokkan dengan propaganda murahan mengenai
demonstrasi jalanan, khususnya Bersih. S Ambiga diburukkan imejnya
secara terbuka, begitu juga dengan pemimpin Pakatan.
Dan ketara sekali Sharifah dan konco-konconya mahu memaksakan pandangan mereka terhadap mahasiswa secara unilateral.
Cuma,
saya kasihan melihat gelagat seorang pemimpin pelajar yang mengetuai
bacaan ikrar-- yang kontang nilai dan maknanya -- rasanya Yang Dipertua
Persatuan Mahasiswa UUM. Nampak dengan jelas beliau seperti
"diperbudakkan" oleh Sharifah.
Saya turut bersimpati dengan
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah, yang dilihat
begitu bersungguh-sungguh, malah ikhlas, mahu membebaskan universiti
daripada segala elemen yang merendahkan martabat ilmu dan ilmuwan.
Pada
5 Januari lalu, saya mengikuti forum anjuran Solidariti Mahasiswa
Malaysia (SMM) yang membincangkan pembabitan pelajar dalam PRU13,
termasuk sebagai calon pilihan raya. Saifuddin yang diundang sebagai
penalis (dan bersedia hadir) memberikan buah pandangan dan reaksi
menarik, serta mengemukakan beberapa cadangan untuk mengembalikan status
universiti ke landasan asalnya.
Saya kira Saifuddin keseorangan
dan tidak mendapat sokongan, bukan sahaja daripada pemimpin Umno-BN,
malah idea pembaharuannya itu diremehkan oleh pentadbir tertinggi
universiti.
Baru-baru ini, beberapa universiti mendapat naib
canselornya yang baru dan mereka yang dilantik itu merupakan bekas
timbalan naib canselor yang menjaga hal ehwal pelajar. Sepanjang
mengetuai HEP, permusuhan mereka dengan mahasiswa yang mahukan
perubahan begitu ketara.
Lebih menarik, mereka juga terbukti
begitu aktif menekan persatuan pelajar dan turut memomokkan isu
demonstrasi jalanan ini, seperti dilakukan Sharifah Zohra Jabeen dalam
forum di UUM, pada 8 Disember 2012 itu.
Seorang profesor menulis
surat kepada saya memaklumkan ia bukan satu kebetulan. Katanya, memang
sengaja dipilih pegawai kanan yang berjasa "menjinakkan" pelajar,
sekali gus menyumbang kepada kepentingan elit penguasa itu sendiri.
Mereka juga mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Umno.
Sepatutnya
kes Bawani ini membuka jalan untuk kita meneropong dengan cermat apa
sebenarnya berlaku di kampus-kampus? Ia bukan saja menghimpit kehidupan
mahasiswa tetapi juga "memenjarakan" para pensyarah dan kakitangan
akademiknya. Kemudahan yang mereka terima dan lingkungan universiti
juga cukup daif dan langsung tidak menyuburkan tradisi ilmu.
Ada
kalangan akademia yang masih memegang teguh idealisme terpaksa menelan
segala peraturan dan situasi yang mengongkong itu asalkan dapat terus
berbakti buat anak bangsa.
Dr Maszlee Malik sempat berkongsi
"keperitan" tersebut dalam forum bersama Saifuddin itu. Saya kira sampai
masanya perjalanan IPT di negara kita dibedahsiasat secara holistik ...
atau mungkin proses itu lebih mudah jika kerajaan persekutuan bertukar
tangan, insya-Allah.
II.
Ramai pembaca yang masih tidak puas
dengan foto-foto menarik Himpunan Kebangkitan Rakyat yang kami siarkan.
Mereka mahu melihat lebih banyak gambar "candid" terutama yang
menggambarkan sisi-sisi istimewa, seperti gandingan masyarakat pelbagai
kaum melangkah seiring menuntut hak.
Satu daripada tohmahan media
Umno ialah penglibatan rakan-rakan Cina yang didakwa jauh merosot
berbanding Bersih 3.0. Beberapa rakan FB saya menunjukkan bukti
bergambar bahawa mereka mendapat ramai kenalan baru, dari masyarakat
Tionghua.
"Di sebelah saya adalah seorang ahli perniagaan Cina
berjaya, bergelar Dato'," kata seorang daripadanya. "Saya perhatikan
banyak juga yang dia dermakan," tambahnya. Ada gambar disertakan dalam
emel saya.
"Semasa berjalan dari Jalan Sultan dan Bukit Bintang,
saya perhatikan ramai kawan-kawan Cina, cuma mereka seperti tidak selesa
masuk ke stadium, dan ramai di antara mereka yang tinggal sekitar
Lembah Klang, mahu memberi peluang kepada orang luar," ujar seorang
rakan saya yang turut berarak lebih 10km.
Saya sendiri tidak
berminat untuk menafikan tuduhan Utusan Malaysia itu. Semua sudah maklum
gaya pemberitaannya, seperti juga TV3.
Namun begitu, bagi saya,
kita terima sajalah laporan itu. Bukankah selama ini dibayangkan Pakatan
Rakyat -- termasuk PAS yang dilihat agak menyerlah dalam HKH itu --
tidak mendapat sokongan bulat daripada masyarakat Melayu?
Orang
Tionghua dikatakan bakal memberi undi tidak berbelah bahagi kepada
Pakatan hinggakan majoriti daripada 15 wakil rakyat MCA yang ada
disebut-sebut akan tewas dalam PRU13.
"Orang bukan lagi bercakap
soal berapa ramai ahli Parlimen MCA nanti, tapi orang berbicara soal
berapa ramai lagi ahli MCA yang ada," kata seorang pemimpin kanan
Pakatan, dalam nada bergurau.
Saya tidaklah sampai begitu sekali
mahu memperkecilkan kemampuan MCA atau parti komponen BN lain, tetapi
sekadar membayangkan bahawa BN kini hanya bersandarkan kepada sokongan
orang Melayu. Seolah-olah sudah "berpatah hati dan berputus harap"
dengan pengundi bukan Melayu, khususnya orang Cina.
Dan jika
majoriti pengundi Melayu pun semakin mendekati Pakatan, khususnya PAS,
termasuk menyertai HKR, saya kira itu perkembangan amat positif, 'kan?
Bukankah mutakhir ini, kempen Umno -- yang nampaknya diterajui sendiri
oleh Dr Mahathir Mohamad -- ghairah bermain dengan sentimen perkauman
bagi mengikat sokongan orang Melayu?
Tuesday, January 22, 2013
Banyak lagi proses pembodohan di IPTA; hentikan!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment