Sunday, May 12, 2013

Umno, Utusan sama-sama dibelenggu kebebalan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

SEPATUTNYA dalam edisi terakhir Harakah menjelang PRU13 saya tidak perlu menyinggung hal-hal kecil seperti arahan agar majlis bedah buku saya, Pencuri Pilih Anjing, bersama dua buku lain, Propagandis Zaman (Subky Abd Latif) dan Aku Melayu di Kota Inggeris (Dr Muhaimin Sulam), diberhentikan segera ketika ia sedang berlangsung, di Pesta Buku Antarabangsa, bertempat di PWTC, 28 April lalu.

Ketika majoriti rakyat ghairah membicarakan gelombang perubahan di seluruh negara – melebihi kesan tsunami politik 2008 – yang memungkinkan Pakatan “membebaskan” Putrajaya pada 5 Mei nanti, namun saya tetap merasakan isu kebebasan bersuara, apatah lagi dalam konteks mengulas buku, mesti diberikan perhatian.

Apakah hanya kerana pesta buku (sewajarnya pesta ilmu) itu diadakan di kompleks Umno, maka setiap acara di dalamnya harus memenuhi kehendak “parti tua” yang sudah berkuasa hampir 60 tahun itu? Malah seorang pengunjung yang memakai topi dan kemeja-T berlambangkan PAS pun telah diminta keluar dari kawasan pameran buku.

 

Saya sekadar membicarakan kepentingan institusi “semak dan imbang”, misalnya media bebas, perlu diperkukuhkan, manakala “anjing penjaga” harus dibebaskan daripada pengaruh parti pemerintah.

Negara akan musnah jika “pencuri diberi kebenaran memilih anjing penjaga”. Apa sensitifnya luahan hati saya itu, yang menekankan persoalan kebebasan akhbar tidak pernah ditangani secara serius dan jujur oleh kerajaan, sehingga pihak keselamatan PWTC terpaksa naik ke pentas utama bagi memberhentikan diskusi ilmu itu?

“Sdr perlu mulakan kempen memindahkan tapak pesta buku daripada kompleks Umno ke premis yang lebih bebas,” seorang rakan memberikan cadangan sebaik mendapat tahu pengurusan PWTC bertindak primitif di luar kewarasan.

Dalam perkembangan lain, bertalu-talu saya menerima pertanyaan: “Apakah sdr yakin BN dapat dikalahkan kali ini?” Sebenarnya saya lebih prihatin dengan corak pengundian dan suasana kempen, sama ada ia berjalan secara telus, terbuka dan demokratik, daripada asyik mengira jumlah kerusi Parlimen dan bilangan negeri yang bakal dikuasai Pakatan.

Apa pun, saya tidak berupaya mengasingkan diri daripada arus perubahan yang kuat melanda, sehingga saya yang selama ini cukup berhati-hati untuk membuat telahan terpaksa akur dengan tanggapan ramai.

“Berdasarkan risikan, jangkaan jumlah kerusi Parlimen BN semakin berkurangan, malah terbaru, di bawah 90 kerusi,” kata seorang penganalisis politik. “Minggu lepas BN masih dianggap bertahan dengan 120 kerusi, tanda hebatnya mood berubah, terutama masuk minggu kedua kempen.”

Petang Selasa lalu, anak saya yang baru balik dari sebuah pasaraya berdekatan Taman Kosas, Ampang membawa naskhah Utusan Malaysia percuma. “Tadi, orang yang mengedarnya, depan pintu masuk supermarket merayu supaya ambiklah satu dan berkurang sikit ‘sampah’ yang ditinggalkan.

Dia kata, pengunjung marah bila dia hulurkan Utusan percuma itu,” anak saya bercerita panjang. Sepintas lalu, 28 halaman edisi khas PRU13 Utusan itu memang memualkan penyokong pembangkang. Tiada langsung elemen halus untuk mempengaruhi pengundi. Seperti biasa, gaya Utusan tetap kasar, bebal dan tidak berlapik.

Saya terkejut melihat foto Lim Kit Siang memakai kacamata hitam, pada muka 7. Bayangkan, keterangan gambar berkenaan mencatatkan: “Gua (Kit Siang) akan jadi PM komunis Republik Malaysia yang pertama.” (Pedulikan dengan tajuk utama halaman itu: “Anwar lumpuh di Permatang Pauh!”) Bersedialah Utusan untuk kesekian kalinya membayar saman malu. Sebagai pengamal media, saya cukup sedih dan terhina apabila profesion kewartawanan telah dilacurkan semata-mata untuk mempertahankan elit penguasa yang serba-serbi korup itu.

No comments: