Monday, June 10, 2013

"Janji yang hampir ditunaikan"

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Saya sebenarnya telah lama berjanji dengan ayah mereka -- tujuh anak-anak bekas tahanan ISA di Sandakan, Sabah -- untuk cuba menyelesaikan masalah berkaitan pendidikan yang terabai sejak sekian lama.

Dari dalam penjara di Manila. Jamal Azahari memohon kepada saya, paling tidak pun dapat memastikan anak-anaknya dapat belajar agama ekoran masalah tiada dokumen pengenalan diri. Saya menyanggupinya.

Kempen tidak rasmi PRU13 yang berlangsung begitu lama sebelum pembubaran Parlimen  telah menangguhkan hasrat saya itu. Sukar mencari tarikh yang sesuai untuk "lari sekejap" melintasi Laut Cina Selatan.

Saya juga telah memberi komitmen kepada Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah, yang tinggal di Sandakan, untuk berkunjung ke sana sebelum PRU13.

Jamal, warga Filipina,  yang dibebaskan daripada kem tahanan Kamunting lebih enam tahun lalu, dihantar balik ke negara itu, meninggalkan anak-anak dan isterinya di Sandakan. Difahamkan, beliau ditahan ISA atas dakwaan terlibat dengan perjuangan Islam Moro.

Saya dan beberapa teman, khususnya Cikgu Norlaila Othman, aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) sempat dua kali turun menyantuni keluarga tahanan di Sandakan. Kami membawa sumbangan pembaca Harakah yang tidak putus-putus terus menghantar bantuan.

Walaupun selepas tahanan dibebaskan, dan kembali bersama keluarga, melalui dana yang dikutip, mereka tidak pernah dilupakan, khususnya semasa hari raya, Aidil Fitri dan Aidil Adha. Mereka dianggap bagai saudara sendiri.


Saya kira, lebih penting daripada belanja dapur, anak-anaknya perlukan pendidikan. Kali terakhir, semasa kempen PRU13, isteri Jamal, Norhatta Paraji, memberitahu saya, mereka anak beranak membuat keputusan untuk pulang ke selatan Filipina, atas permintaan suaminya.

Saya yakin mereka tiada pilihan lain dan Jamal mahu memastikan pendidikan anak-anak yang lama terabai, terjamin, walaupun dalam keadaan minimum. Kalau ditanya pandangan isteri dan anak-anak. tentulah mereka lebih selesa di Sandakan, tetapi apalah daya...

Ahad lalu, 19 Mei, jam 9 pagi, Alhamdulillah, saya bersama isteri, Siti Hawa dan seorang rakan tiba di lapangan terbang Sandakan. Hajat kami mahu membantu keluarga yang ditinggalkan Jamal Azahari membina penghidupan baru, dimulai dengan mengubahsuai rumah yang terlalu uzur dan menyekolahkan anak-anaknya yang tidak pernah mendapat pendidikan formal.

Melihat wajah kosong anak-anak Jamal-Norhatta, Nazeba, Wasim. Wajir, Nadzla dan Nasim, air mata saya hampir tumpah. Narhatta mempelawa saya melihat ruang tamu, yang kini bertukar dapur. Masuk ke dalam, lebih menyedihkan. Saya tidak perlu mengada-adakan cerita untuk menarik simpati.

Tekad saya, menjelang Aidil Fitri nanti -- walaupun Jamal Azahari entah bila dibebaskan -- saya mahu melihat keluarga yang ditinggalkan mampu tersenyum riang.

Jika ada pembaca yang mahu terus menyumbang khas untuk keluarga ini, sila salurkan terus kepada akaun Maybank HARAKAHDAILY DOT COM, no 5640 7000 0336.

No comments: