Sunday, March 31, 2019

Pasca PRU14: Mengapa saya tetap komited agenda media bebas?

Pencapaian kerajaan Pakatan Harapan sepanjang 10 bulan memerintah menimbulkan pelbagai persoalan. Ramai mengalu-alukan perubahan, sekali gus bersyukur dengan tamatnya regim kleptokrasi, namun tidak kurang pula mempertikai pembaharuan yang sudah berjalan.

Meskipun proses pemulihan negara dijelaskan sedang meniti jalan sukar ekoran bebanan tinggalan pemerintah terdahulu, majoriti rakyat yang berani menolak Umno-BN pada 9 Mei 2018 mahu segera menikmati kesegaran iklim Malaysia Baharu.


Sungutan tentang kos sara hidup yang terus meningkat, harga barangan asas yang tidak turun, peluang pekerjaan yang terbatas, harga komoditi utama yang rendah, nilai ringgit yang sukar ditingkatkan, subsidi atau bantuan buat masyarakat B40 yang dipotong, serta banyak janji manfesto yang belum tertunai. Rungutan itu diadun dengan pelbagai sentimen perkauman dan agama sempit, sehingga mencetuskan keresahan dan kegelisahan.

Secara peribadi, saya melihat situasi ini dengan sikap terbuka dan berlapang dada. Pasca Rabu 9 Mei bukan hanya menyaksikan kerajaan bertukar tetapi minda kebanyakan rakyat turut berubah.

Mereka semakin berfikiran kritis, terdedah kepada perkembangan yang sukar dipastikan kesahihannya, dan lebih penting, era hari ini kerajaan baharu secara sukarela telah melucutkan banyak kuasa yang diwarisi.

Rakyat menikmati — walaupun mungkin ramai tidak menyedarinya — kebebasan bersuara yang tiada tolok bandingnya. Proses pendemokrasian berjalan lancar. Media massa tidak lagi dikongkong, hatta pembangkang bebas mengoperasikan akhbar harian. Saluran televisyen tidak lagi menjadi pusat dakyah parti pemerintah seperti dahulu. Organ oposisi dijual tanpa sekatan di pasaran terbuka; zaman KDN membuat rampasan sudah berlalu.

Saya masih ingat, antara ungkapan menarik Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad, pada pidato terakhirnya di Langkawi pada malam terakhir kempen PRU14 ialah mahu mewujudkan Malaysia Baharu yang terhad atau terbatas kuasanya. Saya ketika itu membayangkan rangkaian akta drakonian yang mengongkong kebebasan bersuara dan berpersatuan akan dimansuhkan atau dipinda bagi membuang segala sekatan itu.

Pastinya sebagai orang media, saya ternanti-nanti suasana lebih kondusif untuk berkarya dan menulis, tidak lagi terikat dengan peraturan karut-marut, pasaran terbuka untuk segala jenis penerbitan yang bertanggungjawab, jauh sekali daripada operasi rampasan KDN atau surat-surat amaran dan tunjuk-sebab dari Putrajaya.

Sejak mengetuai majalah kampus sekitar pertengahan 1980-an, saya berdepan rintangan sukar-pedih sebelum diluluskan bahan-bahan penerbitan untuk dicetak. Pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) berkuasa mutlak menolak mana-mana bahan yang tidak disukainya, manakala apa-apa jua bahan bercetak yang hendak diedar atau dipamerkan dalam kaum wajib mendapat kelulusan terlebih dahulu.

Aktivis kampus pula tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan media, melainkan perlu melalui proses penapisan. Ya, segalanya terlarang kecuali memperolehi ehsan khas!

Kerjaya saya bermula di Harakah, lidah rasmi Pas yang hanya mendapat permit penerbitan pada 1987 selepas lama beroperasi (dalam bentuk berbeda) dengan skala kecil tanpa lesen. Rangkaian pengedarannya sentiasa diganggu terutama selepas diklasifikasikan sebagai “surat berita”. Pencetak Harakah turut digertak secara halus susulan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, ekoran tangkapan borong ISA pada hujung 1987.


Gambar sekitar Mac 2018 dirakam di sebuah stesen minyak yang giat mempromosi kempen akta anti berita tidak benar yang bertujuan menyekat pembongkaran salahguna kerajaan ketika itu.
Apabila saya mengambil keputusan berhenti Harakah dan memulakan syarikat penerbitan sendiri pada 1988, tidak tergambar bagaimana sukarnya permohonan untuk mendapatkan lesen akhbar mingguan atau majalah bulanan. Hatta untuk menerbitkan makalah politik tidak berkala (one-off) yang tidak memerlukan lesen pun, cukup payah, khususnya bagi mencari pencetak yang sanggup menanggung risiko.

Menurut pindaan akta penerbitan, pencetak juga boleh dihadapkan ke mahkamah jika bahan yang dicetaknya tidak mematuhi syarat-syarat ketat. Ia bukan sahaja meliputi isi kandungannya yang terdedah kepada penafsiran terbuka KDN malah tertakluk syarat-syarat remeh seperti perlu mempamerkan nama dan alamat pencetak di halaman tertentu.

Nampak seperti tiada apa-apa masalah dengan syarat berkenaan, tetapi di situlah bermulanya masalah lebih besar. Pengalaman saya sendiri dapat menjadi contoh terbaik. Semua penerbitan saya, sejak 1988 hingga awal 2000-an, tidak mematuhi syarat KDN, iaitu tidak mempamerkan nama dan pastinya alamat pencetak. Tiada pencetak yang sanggup meletakkan butiran syarikat mereka, sekali gus meletakkan perniagaan mereka dalam risiko dibatalkan lesen.

Mulanya saya tidak mempamerkan langsung keterangan tentang pencetak dalam penerbitan saya, tetapi ia mungkin mengundang musibah lebih besar kerana tidak mematuhi peraturan. Pencetak, seorang Tionghua yang mengendalikan mesin secar kecil-kecilan di Sentul — kemudiannya menjadi kawan rapat saya — mencadangkan agar dipamerkan juga nama dan alamat pencetak, tetapi butiran yang palsu atau yang tidak wujud! Ia sekadar untuk mengelirukan KDN.

“KDN takkan ada masa untuk periksa semua maklumat itu. Dan kalau dia semak pun, you yang bertanggungjawab, bukan saya. Lagi pun you tak takut ‘kan dengan KDN atau polis?” katanya sambil ketawa besar.

Belum lagi dikisahkan bagaimana payahnya untuk memasarkan makalah politik saya, terutama tabloid bukan periodikal. Majalah yang berpermit, seperti Detik dan Wasilah turut terdedah dengan ancaman kerana dilihat kritikal terhadap pemerintah. Rata-rata pengedar dan peruncit keberatan kerana bimbang operasi rampasan dan terpaksa turun-naik mahkamah yang membazirkan masa.

Saya sengaja mengimbau sisi gelita era cengkaman ke atas kebebasan media itu untuk menzahirkan perbedaan ketara babak baharu selepas 9 Mei 2018. Meskipun menyedari kongkongan itu diperketatkan pada zaman Dr Mahathir menjadi perdana menteri buat kali pertama dahulu, ia tidak menghalang untuk kita terus membangkitkannya buat iktibar.

Kawalan keterlaluan melalui syarat-syarat karut- marut dan monopoli pemilikan media itu sewajarnya dimansuhkan terus. Saya tidak pasti sejauh mana perkembangan usaha reformasi institusi dan undang-undang sedang berjalan, namun diharapkan ia tidak mengambil masa panjang.

Ada juga teman-teman yang kurang bersetuju dengan kempen kebebasan media saya. Kata mereka, zaman sudah berubah, kini kebebasan itu telah disalahguna oleh pembangkang dengan menyebar fitnah dan berita palsu.

Kerajaan harus lebih tegas dan jangan terlalu terbuka kerana ia membawa mudarat, tambah mereka. Kerajaan PH mungkin berkuasa hanya sepenggal jika terus membiarkan persepsi negatif ini berleluasa.

Pedoman 

Mereka mahu saya memberi fokus untuk perkukuh media di bawah Pakatan Harapan dan membantu perjelas dasar serta program kerajaan, daripada terus memperjuang kebebasan media.

Saya bukan mencari helah, tetapi kesihatan yang tambah merosot membataskan komitmen saya. Sekadar pemerhati pasif dan sesekali melontarkan pandangan.

Sepatutnya saya merupakan insan paling gembira dan bersyukur di atas perubahan pasca PRU14. Sempat jua di hujung julai usia ini, saya menyaksikan dan merasai sendiri udara segar dan manis, erti kebebasan yang dituntut sejak awal 1980- an.

Pelbagai inisiatif mempromosi kebebasan media dilakukan, sama ada berbentuk memorandum bantahan, nota tuntutan, demonstrasi, mengusung keranda, kenyataan akhbar, ceramah-forum-konvensyen, majlis makan malam, menubuhkan NGO media bebas KAMI, kunjungi dan lobi ke pejabat Suhakam.

Selain itu saya turut melancarkan aktiviti proaktif seperti menerbitkan majalah dan akhbar tanpa (tidak memerlukan) permit walaupun berdepan operasi rampasan KDN dan tindakan mahkamah, juga memohon puluhan permit sekalipun tidak pernah dilayan, apatah lagi untuk dipanggil temuduga.

Benar, saya penyokong tegar usaha berterusan untuk menukar regim Umno-BN, kalaupun bukan sebagai penggerak gigihnya. Saya tidak segan-silu mengaku pendukung kuat Pas, kemudiannya Amanah, serta siri gabungan pembangkang (Harakah Keadilan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah, Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan terakhir Pakatan Harapan) dan masa sama memperjuangkan kebebasan akhbar.

Parti politik yang telus dan bertanggungjawab, begitu juga pemerintah berintegriti, tidak sepatutnya memusuhi media bebas meskipun berdepan kritikan dan pendedahan yang menyakitkan. Ia bagai cermin buat pedoman dan saluran efektif rakyat menyalurkan suara hati serta respons segera.

Saya akui keresahan dan rasa tidak puas hati penyokong PH dengan sikap pengendali media kerajaan, seperti RTM dan Bernama, terutama untuk menangkis serangan dan fitnah pembangkang. Agensi berkenaan dikatakan kurang responsif terhadap cabaran semasa, sehingga menimbulkan gossip ada tangan-tangan ghaib yang mensabotaj kerajaan baharu.

Dalam pertemuan saya bersama Dr Rais Yatim, bekas Menteri Penerangan sebanyak dua kali, baru-baru ini, beliau turut berkongsi kekecewaan di atas peranan RTM dan Jabatan Penerangan Malaysia, terutama bagi menjelaskan dasar-dasar baharu kerajaan, serentak menangkis serangan pembangkang. Difahamkan masih berpengaruh pegawai-pegawai kanan yang setia dengan regim lama atas posisi strategik mereka.

“Sekarang, Jabatan Penerangan hampir lumpuh. Saya tahulah, ramai budak-budak saya di sana,” tambah Rais sambil mengharapkan ia kembali berperanan dengan berkesan.
Menteri Komunikasi dan Multi Media juga dikatakan berdepan rintangan sukar untuk membawa pembaharuan dan perubahan. RTM dan Jabatan Penerangan dikenali sebagai lubuk buat juak-juak Umno sejak zaman berzaman.

Ada teman-teman mengeluh, kita masih mempunyai kelompangan besar apabila tiada akhbar harian mesra-PH yang dilancarkan selepas Utusan Malaysia dan BH kekal di bawah pengaruh Umno.

“Sudahlah rakyat bebas bersuara sepenuhnya melalui media sosial, manakala akhbar utama dan stesen televisyen swasta pun tidak dikawal kerajaan. RTM pula tidak kreatif dan tiada inovasi baharu sebagai media awam. Jenuhlah kita nak berlawan dengan pembangkang Umno-Pas,” seorang kawan, wartawan veteran meluahkan rasa tidak puas hatinya.

Saya sedang merangka tulisan tentang media pada era Malaysia Baharu yang lebih menyeluruh, terutama berdepan gugatan manipulasi pelbagai faham dan sentimen ekstrem.

Apa pun cabaran getirnya, ia jangan sampai menghalalkan akta-akta drakonian dan regresif, termasuk Akta Antiberita Tidak Benar, atau pengekalan Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi. Sebarang akta yang memberi kuasa dan tafsiran terlalu luas kepada elit pemerintah mesti dipinda, sementara akta yang menjamin kebebasan maklumat harus segera diperkenalkan.

Usaha menangani berita palsu dan fitnah sudah memadai dengan undang-undang sedia ada. Tidak perlu diserabutkan lagi dengan pelbagai peraturan rimba, termasuk Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang terpaksa diluluskan secara tergesa-gesa sebulan sebelum PRU14 itu.

Menjadi ujian kepada kerajaan PH untuk bijaksana mengolah cabaran besar yang mungkin menggugat survival kuasa mereka. Ingat mutiara hikmah janji Dr Mahathir pada malam 8 Mei 2018 untuk membentuk pemerintahan yang terhad kuasanya, tetapi tidak pula sampai hilang keberkesanan fungsi kerajaan.

Media bebas sentiasa dianggap seteru oleh anggota pentadbiran dan mengundang bermacam-macam kesukaran natijah segala pendedahannya, namun dari titik inilah bermulanya kerajaan berintegriti, antirasuah dan prorakyat. Ya, agenda pembaharuan tidak semudah dilafazkan.

No comments: