Catatan
pendek ini merupakan respons segera terhadap kerjasama atau
persefahaman politik di antara Pas dan Umno, yang terjalin secara rasmi
selepas PRK Dun Semenyih.
Realiti politik Malaysia tidak memungkinkan mana-mana parti
bertanding secara solo dan menolak muafakat dengan pihak lain, dalam
usaha meraih kuasa.
Umno mampu bertahan sebagai teraju pemerintahan selama enam
dasawarsa, dengan sebahagian besar tempoh itu memperolehi majoriti dua
pertiga, disebabkan keupayaannya menarik sokongan majoriti rakyat
daripada pelbagai kaum dan agama.
Saya secara peribadi menolak dan membantah keras ura-ura kerjasama
Pas berpakat dengan Umno, terutama untuk membentuk kerajaan campuran di
negeri Selangor dan Perak, pasca-PRU 2008.
Gosip pakatan sulit kedua-dua parti Melayu-Islam itu semakin
diperkatakan selepas PRU 2013, apabila BN hilang majoriti undi popular,
meskipun sokongan pengundi Melayu dapat ditingkatkan.
Pengalaman Pas juga, khususnya dalam era kepimpinan ulamak, bermula
PRU 1986, mendedahkannya dengan tahaluf siyasi bermula parti-parti kecil
dan komuniti masyarakat Cina, bercambah kerjasama serpihan Umno
misalnya Semangat 46 dan Parti Keadilan Nasional sehingga persefahaman
tidak formal seterusnya secara langsung dengan DAP.
Walaupun PRU14 menyaksikan Pas tidak berada lagi dalam kolisi
pembangkang dan bertanding seolah-olah secara bersendirian, tetapi satu
gabungan longgar turut dibentuk, iaitu Gagasan Sejahtera.
Pada hemat saya, persefahaman politik dengan Umno tidak banyak
membawa manfaat kepada Pas, malah menyebabkan parti Islam itu akan
hilang pengaruh dan integriti.
Kepercayaan pengundi, terutama bukan Islam mungkin kembali menjunam.
Posisinya dalam kerajaan perpaduan itu dikira tidak berupaya untuk
membawa langkah pembaharuan dan agenda reformasi. Apatah lagi kerajaan
Najib Razak dikenali sebagai regim kleptokrasi bertaraf global.
Saya memberi syarat, rundingan boleh dilakukan di antara Pas-Umno hanya setelah kerajaan BN tumbang, ketika kedua-duanya sama level,
selepas ego Umno sebagai elit pemerintah dileraikan. Ia juga ke arah
penyuburan amalan sistem dua parti, dengan mekanisme semak-imbang
diperkukuh. Kerjasama hanya boleh dimetrai apabila prinsip-prinsip asas
kenegaraan dan pembaharuan dipersetujui bersama.
Muafakat Umno-Pas menjelang PRU14 adalah berbeda sama sekali dengan
kerjasama pada masa kini. Beberapa tulisan saya sebelum ini lebih kepada
penjelasan babak-babak genting sebelum 9 Mei 2018, termasuk
pertandingan tiga penjuru untuk memecahkan undi penentang BN — strategi
yang diakui Najib sebagai gagal dan memenangkan Pakatan Harapan.
Begitu juga pengaruh Umno, termasuk peranan bekas menteri agama,
Jamil Khir, untuk memecah-belahkan kesatuan Pakatan Rakyat melalui isu
RUU355, dan dakwaan dana Umno disalurkan kepada pemimpin tertentu Pas.
Pastinya Pas berhak memutuskan strategi dan pendekatan politiknya
sendiri. Tiada siapa dapat menghalangnya. Mungkin ketika golongan yang
dianggap “jebon dan parasit” masih memimpin parti, ada halangan dan
bahtahan dalaman, sehingga usaha kerjasama itu cuba dilakukan dalam
gelap dan muktamar 2015 dipaksa menerima resolusi tanpa bahas, tetapi
keadaan sekarang sudah berbeda.
Sekarang Pas kerap menonjolkan sikap kebersamaan dan solidariti
pembangkang, suasana berbeda yang dirakamkan ketika kempen PRU14.
Pakatan Harapan dan Dr Mahathir Mohamad yang berada dalam blok
pembangkang waktu itu menjadi asakan Pas, dan tidak pula timbul sentimen
“kami sama-sama pembangkang”. Sebaliknya sifir yang dicatur pemimpin
atasan adalah membentuk kerajaan campuran BN-Pas, dengan mengekalkan
regim Najib.
Bermain mata
Mungkin ada pihak mengkritik tulisan saya yang dilihat
mengungkit-ungkit cerita lama. Sudahlah, episod Pas bermain mata dengan
Umno sudah jadi sejarah. Tuduhan Pas terima duit Umno pun masih
berlegar-legar tanpa bukti sahih, kecuali suntikan dana RM2.5 juta
daripada pegawai Bendahari Umno ke dalam dua akaun Pas menjelang
Parlimen dibubarkan, Mac 2018.
Ya, saya menyedari hakikat itu. Ia memang kisah yang sudah berlalu.
Umno dan Pas gagal dalam strategi mereka yang diatur dalam gelap itu.
Namun sejarah perlu dibentangkan seadanya. Sekurang-kurangnya harus
ditafsirkan secara menyeluruh. Mungkin bagi pemimpin tertinggi Pas, ia
sekadar helah, bukannya pembohongan.
Tumpuan kini terfokus kepada pakatan politik Umno-Pas pasca PRU14,
melalui siri PRK, khususnya Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih.
Jentera pilihan raya Pas bermati-matian membantu calon-calon BN dan
membuahkan kemenangan.
Semenyih lebih istimewa kerana dapat merampas kerusi milik PH. Ia
juga membuktikan sokongan majoriti pengundi Melayu kepada pembangkang.
Sekali gus ada pihak merumuskan bahawa gagasan “penyatuan ummah”
dipersetujui sebahagian besar orang Melayu.
Biarpun kuat menentang kerjasama politik Umno-Pas sebelum PRU14, saya
bersikap terbuka dengan eksperimen mutakhir. Malah saya menyambut baik
jika muafakat itu diluaskan lagi kepada sekutu BN, iaitu MCA dan MIC.
Biar ada dua kolisi besar parti, yang meliputi pelbagai kaum dan agama.
Sistem dua gabungan parti nampak seperti mula dirintis pada 1999
tetapi telah menempuh pelbagai pancaroba dan gugatan dalaman. Barisan
Alternatif (BA) tidak mampu bertahan sehingga PRU 2004. Muncul semula,
dengan jenama Pakatan Rakyat (PR) ekoran tsunami politik 2008, tetapi
hanya sempat menyertai satu pilihan raya, iaitu 2013. Terbarai
kemudiannya walaupun undi popular Pakatan Rakyat meraih sekitar 53
peratus.
Para penyokong Pas nampaknya menerima tanpa soal pendekatan
berbaik-baik dengan Umno. Sentimen anti-DAP yang ditohmah sebagai
menguasai Putrajaya, selain persepsi kerajaan PH mengabaikan kepentingan
Islam, berjaya meresahkan sebilangan besar orang Melayu. Kebebasan
bersuara yang dijamin pemerintahan baharu juga mendorong kegelisahan
yang direkayasa itu dikongsi oleh lebih ramai audien.
Balik kepada “persandingan” Umno-Pas, mungkin dalam konteks hari ini,
ia dianggap cabaran besar kepada PH. Bagaimanapun saya percaya, situasi
politik boleh cepat berubah. Misalnya, realiti PRK Sungai Besar dan
Kuala Kangsar, jauh berbeda dengan suasana sebenar PRU14, sehingga
percaturan Umno-Pas jauh tersasar.
Pembangkang dilihat berjaya memanipulasi sentimen agama dan kaum
secara optimum. Namua ia sebenarnya turut dibantu kegagalan kerajaan PH,
bukan sahaja untuk menunaikan janji manifesto, tetapi juga
ketidakberkesanan usaha penerangan secara menyeluruh.
Kes mahkamah bekas pemimpin-pemimpin kerajaan turut mempengaruhi
persepsi rakyat. Pertuduhan ke atas mereka cukup luar biasa tetapi belum
dibentangkan lagi di hadapan mahkamah. Mereka masih bebas
bergentayangan, malah selesa berkempen memburukkan kerajaan.
Bagi saya, tiada kesalahan besar, apatah lagi jenayah, dilakukan
kerajaan dan pimpinan PH. Mungkin ekspektasi rakyat begitu tinggi,
selepas lama dijerut Najib-BN, selain mereka tidak sabar menunggu
janji-janji berkaitan kualiti hidup dan kos barangan.
Sama-sama kita meneliti cerita politik era baharu ini terjalin. Ia
menjanjikan babak warna-warni yang mendebarkan semua pihak. Rakyat
semakin kritis untuk membuat penilaian dan penghakiman. Mereka mampu
memberi markah setepatnya ke atas aksi-aksi lakonan politik ini, di
pentas merebut kuasa.
Apa pun sudut pandang terhadap implikasi gabungan Umno-Pas ini, kita
perlu menunggu perkembangan selanjutnya. Terlalu cepat untuk diunjurkan
pengakhirannya menjelang PRU15. Pengalaman kerjasama politik Pas selama
ini tidak memihaknya. Namun, mungkin juga koleksi eksperimen itu sudah
cukup untuk mengajarnya agar lebih matang
No comments:
Post a Comment