Deraf
awal tulisan di bawah ini saya siapkan lebih dua minggu lalu. Tentunya
apabila dibaca dalam konteks hari ini, ia boleh dianggap bagai
“tertinggal keretapi”. Banyak perkembangan baharu berlaku. Tepat sekali
kata bijak-pandai, dalam politik seminggu sudah terlalu lama.
Dalam tempoh 15 hari itu, saya pula uzur berpanjangan. Penglihatan
makin kabur. Dua tiga kali temujanji dengan pakar mata Hospital Shah
Alam sebagai persiapan operasi pembedahan kali kedua terpaksa
ditangguhkan.
Musim panas terik tambah memburukkan tahap kesihatan saya. Rutin
dialisis memerlukan pengambilan jumlah cecair disukat. Saya lebih suka
terperap di rumah, malah menghabiskan banyak masa terbaring di atas
katil. Daya fokus juga semakin terhad dan tidak mampu bertahan lama.
Kunjungan tetamu juga dibataskan.
Sikap politik Pas menjelang PRU14 memang meruntun minat dan perhatian
saya. Polemik dakwaan Pas terima duit Umno ketika itu, waktu Najib
Razak bergelumang skandal mega 1MDB, dianggap fitnah jahat dan
pembohongan besar.
Pas, bagi saya, berdasarkan pemerhatian terhadap aksi dan reaksi
beberapa pemimpin kanannya, sudah bersedia untuk bekerjasama dengan
Umno. Cuma ia terhalang kerana dikhuatiri apa-apa persefahaman atau
strategi politik dengan Umno akan menimbulkan bantahan atau
pemberontakan ahli-ahlinya. Ya, senario sebelum PRU14 dengan realiti
masa kini cukup berbeda.
Saya bercadang menghuraikan episod itu, termasuk isu cek RM1.4 juta
yang dihayar bagi pihak Presiden Pas kepada Sarawak Roport, dalam
kesempatan akan datang. Sebelum itu, eloklah dibaca catatan santai
mengenainya terlebih dahulu, yang ditulis dua minggu lalu:
Dakwaan Pas menerima dana besar daripada Umno (atau pemimpin Umno)
belum berakhir walaupun sudah ada penyelesaian di luar mahkamah dengan
Sarawak Report.
Ceritanya masih bersimpul-simpul, penuh tanda tanya dan kemusykilan.
Mengapa selepas jutaan ringgit dihanguskan untuk kos perbicaraan,
tiba-tiba sahaja “brek tangan ditarik ketika kereta meluncur laju”.
Kalau kos guaman terlalu mahal, apakah ia tidak dapat dijangka sejak
awal? Bukankah bagi Pas, soal maruah, nama baik dan harga diri tiada
galang gantinya? Duit boleh dicari, derma mampu dikutip, tabung jihad
mudah dilancarkan, tetapi izzah parti tiada taruhan.
Ramai bertanya, mengapa tidak dipilih untuk saman Husam Musa dan
Mahfuz Omar kerana mereka rakyat tempatan dan tidak perlu bersusah-payah
ke London? Dua Naib Presiden AMANAH itu turut mendakwa Pas menerima
dana Umno, cuma angka berbeda-beda. Bagi Husam, jumlahnya lebih RM90
juta, sementara Mahfuz mengemukakan slip bank RM2.5 juta telah
dimasukkan ke dalam akauan pilihan raya Pas negeri Terengganu.
Lebih lanjut, banyak pihak mempersoal, mengapa tiada terma khusus
dalam penyelesaian di luar mahkamah itu syarat yang memastikan dakwaan
Sarawak Report bahawa Pas terima dana Umno mesti ditarik balik. Saya pun
keliru. Sedangkan isu sebenar adalah tohmahan jelik tersebut. Ia mesti
dipadamkan. Permohonan maaf harus dituntut.
Tuduhan Pas terima duit Umno juga dikaitkan dengan audio Nik Abduh
Nik Abdul Aziz, yang dirakam dalam satu pertemuan dalaman, dihadiri
lebih kurang 40 orang aktivis Pas.
Pertama kali mendengar pendedahan suara itu, saya tidak syak lagi ia
milik Nik Abduh. Bukan hanya soal gemersik dan lantunan suaranya, tetapi
lebih kepada cerita dan kisah yang terangkum dalam audio itu. Terlalu
sukar dan payah untuk mereka-reka hikayat jika ia sebenarnya tidak
datang daripada Nik Abduh sendiri.
Malah bagi saya, video visual lebih mudah dilakonkan daripada rakaman
audio, apatah lagi dalam tempoh yang panjang, berdurasi hampir 21
minit. Begitu juga dengan nama-nama yang disebut berulang kali, seperti
Suwardi, Maulana Shaari dan lain-lain. Tidak mudah “penulis skrip” untuk
menghadam latar belakang kisah tersebut jika ia semata-mata lahir
daripada imiginasi dan khayalannya.
Apabila Nik Abduh mengakui audio itu adalah suaranya, maka tidak
berbangkit lagi penafiannya sebelum itu yang mendakwa ia merupakan
fitnah sampah oleh pemimpin AMANAH. Ramai pemimpin tertinggi Pas
menyokong Nik Abduh atas alasan dia terpaksa berbohong demi
menyelamatkan parti, khususnya ketika tarikh PRU14 begitu hampir sekali.
Maka pembohongan Nik Abduh itu terpaksa dijustifikasi dengan pelbagai
alasan. Sedih sekali. Termasuk hujah yang menyandarkan seerah nabi-nabi
dan pengalaman Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Dibimbangi, selepas
ini pembohongan sudah menjadi kelaziman dan lumrah, atas daleh
perjuangan atau motif yang didakwa luhur dan baik.
Sebenarnya kandungan audio Nik Abduh itu mempunyai cerita yang lebih
besar dan mendebarkan. Selain pengakuan menerima dana (atau rasuah
politik) Umno, tidak kiralah berapa jumlahnya, timbul isu lama mengenai
RUU355, manipulasi Suwardi dan Jamil Khir, Umno banyak bantu menjayakan
program-program Pas (termasuk membersihkan parti daripada jebon dan
parasit).
Saya tidak dapat mengesan di mana perbincangan ilmiahnya, seperti
dakwaan Presiden Pas, tetapi ia lebih menggambarkan personaliti sebenar
Nik Abduh, misalnya gelembongnya tentang hubungan rapat dengan CIA dan
kekagumannya terhadap kehebatan tidak terperi Maulana Shaari.
Di luar rakaman audio itu, sejak lama sebelum PRU14, saya menaruh
syak ada semacam persefahaman di antara sebilangan tertentu pimpinan
tertinggi Pas dengan Najib Razak. Tidak semua maklum akan gerakan sulit
itu, termasuk beberapa pemimpin kanan parti. Mohamad Sabu sendiri
mengakui banyak langkah sulit dalam parti dibuat tanpa pengetahuannya
ketika dia timbalan presiden.
Najib juga turut mendedahkan, memang rancangan pertandingan tiga
penjuru dalam PRU14 dibuat untuk memastikan BN kekal berkuasa, ekoran
eksperimen PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Pas diyakini dapat
menarik sebahagian besar undi kelompok yang menentang Umno-BN.
Strategi Pas meletakkan calon paling ramai, sekitar 160 kerusi
Parlimen, adalah bertujuan untuk memastikan Najib-BN bertahan, dan
mereka percaya akan membentuk kerajaan campuran selepas 9 Mei 2018.
Itulah makna di sebalik angan-angan Pas menjadi “king maker”.
Seorang kenalan saya yang juga pernah berkawan rapat dengan seorang
personaliti yang disebut dalam audio itu berkata: “Walaupun usaha
membawa Pas bekerjasama dengan Umno gagal dimetrai semasa PRU14, sudah
ada broker politik di pihak Haji Hadi dan Najib yang menjadi kaya raya
dan senang-lenang.” Dan kawan saya itu menyambungnya dengan gelak besar.
Sementara itu seorang lagi teman, bekas pemimpin Pas dan kekal dalam
parti itu sehingga kempen PRU14 memberitahu saya: “Jumlah sebenar Pas
terima duit Umno tak dapat dipastikan, tetapi yang pasti, memang Pas
ambek duit Umno.”
Saya kira kita baru didedahkan dengan babak-babak awal drama yang masih panjang.
(bersambung lagi)
No comments:
Post a Comment