Buku Revolusi Tanpa Darah
merupakan judul keempat saya usahakan sejak uzur berpanjangan tiga
tahun lalu. Ia merakam detik-detik paling indah dan momen-momen tidak
mungkin dilupakan menumbangkan regim korup yang bertahan lebih enam
dasawarsa.
Alhamdulillah, buku-buku terdahulu, Lorong Sunyi Media Bebas, Parti Amanah Negara, dan Mengapa Mahathir? mendapat sambutan menggalakkan.
Judul terakhir, buku kecil sekitar 100 halaman, saya pasarkan secara
terburu-buru menjelang Parlimen dibubarkan pada April 2018, tetapi
dicari pembaca walaupun selepas keputusan PRU14 diumumkan.
Buku Mengapa Mahathir? bertujuan untuk memujuk penentang
tradisi Dr Mahathir Mohamad (waktu itu calon perdana menteri ketujuh)
dan penyokong tegar Pas, bagi memangkah simbol PKR, demi menjatuhkan
Najib Razak dan membentuk kerajaan baharu.
Lima ribu naskhah hampir habis menjelang hari mengundi 9 Mei. Lebih
700 buku yang tidak sempat dipasarkan saya sumbangkan kepada beberapa
teman yang menjadi calon AMANAH. Saya merasakan buku berkenaan mungkin
tidak relevan lagi selepas keputusan PRU14 diketahui.
Najib sendiri tidak menduga, begitu juga pemimpin Pakatan Harapan.
Usai pengiraan kertas undi, Rabu itu menjadi malam jahanam buat Umno-BN.
Kalaupun ada rancangan untuk sabotaj, segalanya sudah terlambat.
Rakyat Malaysia yang berani sudah mengukir sejarah paling gemilang.
Tekad mereka terkabul. Sang kleptokrat dihalau daripada Seri Perdana.
Buku Mengapa Mahathir? terpaksa diulang cetak meskipun
kandungannya dikhususkan untuk kempen PRU14. Pembaca tidak sabar
menunggu analisis pilihan raya, apa sahaja buku tentang Mahathir menjadi
rebutan!
Seperti lazimnya, kudrat menyusun buku khas PRU14 berjalan cukup
lambat. Berbekalkan jari telunjuk yang menaip lemah menggunakan tablet
di pembaringan, saya memulakan penyusunan buku seawal Jun 2018.
Format lama tidak berubah. “Buku gaya Lutfi” dikekalkan; ada siri
wawancara panjang bersama hampir 10 ahli akademik dan aktivis politik,
sudut pandang saya sendiri, dan lebih kurang 20 teman-teman yang
diundang menulis.
Saya turut menyiarkan terjemahan analisis dan artikel bersesuaian
yang asalnya berbahasa Inggeris. Maknanya, saya menyusun buku
sepertimana mengendalikan sebuah majalah.
Selalunya saya menetapkan judul buku sebelum mula menulis atau
menyusun bab. Tajuk seperti kompas buat memandu arah. Ternyata satu
perubahan yang begitu besar telah berlaku dalam politik negara.
Ada yang menyifatkannya sebagai gempa bumi atau tsunami dengan
magnitud besar. Ada pula menamakannya kebangkitan serentak rakyat
pelbagai kaum. Saya tertarik dengan julukan revolusi elektoral. Kalimah
revolusi sebati dengan jiwa saya sejak sekian lama.
Ya, ungkapan itu — revolusi — terlalu besar maknanya, sedangkan
perubahan ini, meskipun diakui menyimpan pengertian luar biasa, namun ia
tetap mengandungi impian luhur untuk memulakan proses reformasi
berskala besar dalam tempoh yang panjang.
Berkuku
Senario ketika langkah pertama bertukar selepas period 100 hari
kerajaan bertukar. Keresahan mulai dikesan terutama apabila banyak janji
manifesto tidak dapat ditunaikan.
Kerajaan berdepan kesulitan dan kesukaran menguruskan bagasi regim
lampau. Dana awam yang dicuri, korupsi membengkak, ketirisan tidak
terbendung, hutang melepasi trilion ringgit, kebocoran hampir setiap
peringkat.
Perubahan regim tidak bermakna segalanya sudah berubah. Jentera
pentadbiran masih dikawal rangkaian lama yang terbelit dengan tabiat
lama.
Pegawai tertinggi kerajaan tentunya sukar ditukar seluruhnya, kecuali
dirombak mengikut keperluan.
Menteri-menteri pula hampir semuanya tiada
pengalaman dan kemahiran, walaupun menpunyai idealisme luhur. Tidak
mustahil mereka sendiri turut dibuli pegawai-pegawai yang sudah berkuku.
Ya, revolusi tanpa darah ini mempunyai banyak keterbatasannya,
terutama bagi memastikan kelicinan peralihan kuasa tidak memberi impak
negatif kepada kehidupan rakyat.
Saya memilih judul Revolusi Tanpa Darah kerana perubahan besar 9 Mei
perlu dirakam sebagai peristiwa paling bermakna dalam sejarah panjang
tanahair kita. Malaysia terselamat daripada senarai negara gagal apabila
Umno-BN berjaya direhatkan dari tampuk kuasa.
Revolusi sering dikaitkan dengan pertumpahan darah dan kacau-bilau.
Peralihan kuasa di negara-negara sedang membangun dan dunia ketiga juga
tidak pernah melalui jalan mudah.
Huru-hara yang banyak memakan korban sentiasa menunggu. Proses
reformasi — bukan revolusi — di sebuah negara jiran juga menagih nyawa
dan kecelakaan.
Proses menyiapkan buku ini sepatutnya dilunaskan pada bulan September
2018 tetapi kerap tertangguh disebabkan tahap kesihatan saya yang tidak
menentu.
Rutin dialisis cukup melesukan. Penglihatan yang kabur teruk ekoran
diabetik retinopati menyukarkan saya menyusun abjad. Pembedahan mata
pada penghujung tahun banyak membantu namun halangan tetap ada apabila
rakan-rakan penulis undangan berdepan masalah masing-masing.
Ada yang menyiapkan tugasan seawal Jun, sebulan selepas 9 Mei.
Sehinggalah artikel terakhir yang saya terima pada Januari 2019, sewaktu
aroma keriangan bulan madu hampir pupus.
Ketika saya mula menghebahkan kemunculan buku baharu ini melalui
Facebook, kegelisahan masyarakat sudah terkesan. Harapan rakyat cukup
tinggi agar kerajaan Pakatan Harapan mengubah nasib mereka, mengurangkan
kos hidup seharian, meningkatkan harga komoditi utama seperti getah dan
sawit, membuka luas peluang pekerjaan, mengekalkan subsidi sara hudup,
mengurangkan kadar tol dan seumpamanya.
Episod kedua mengisi kemenangan atau pun huraian tentang cabaran
pembinaan semula negara tidak dimasukkan dalam buku setebal kira-kira
400 halaman itu.
Saya merancang untuk menyusun buku seterusnya tentang langkah-langkah
pembaharuan dan reformasi kerajaan dalam buku seterusnya, selain
mengupas perang merebut undi Melayu pra-PRU15.
Justeru, saya sudah menjangka reaksi negatif terhadap kemunculan buku
ini di kala sebahagian rakyat mulai resah dengan prestasi Pakatan
Harapan.
Tidak kurang yang mencemuh judul buku dan memperlekeh kalimah
revolusi yang saya pilih. Tentulah majoritinya adalah daripada
pembangkang Pas-Umno yang kini bergabung.
Rumah kaca
Saya mengalu-alukan respons terbuka dan agresif mereka. Dapat juga
kita mengesan kelemahan dan kekurangan kerajaan untuk segera melakukan
pembetulan dan pengubahsuaian. Persepsi tidak semestinya benar tetapi ia
bermanfaat untuk menguji keberkesanan proses penyampaian maklumat.
Sesungguhnya Pakatan Harapan sudah tidak “menikmati” lagi sokongan
selesa buat elit pemerintah seperti dahulu. Rakyat pasca 9 Mei lebih
kritis, terbuka dan matang.
Mereka tidak teragak-agak untuk mengkritik, mencemuh dan menentang.
Apatah lagi iklim kebebasan bersuara lebih telus, media lebih bebad,
budaya takut sudah hilang. Kerajaan seperti berada dalam rumah kaca.
Transparen dan tidak dapat disembunyi lagi.
Saya ketawa sendiri apabila membaca cemuhan dan sindiran terhadap
tajuk buku, seperti “reformasi hancing” atau “reformasi tanpa arah”.
Ia menguatkan tekad saya untuk terus menyumbang dan memberi makna kepada revolusi yang saya pilih. Perjalanan ini masih panjang.
Terima kasih buat pengkritik. Pembangkang masih ada peranan besar dan
strategik untuk memulihkan negara. Cuma, lebih molek jika berbahasa
dengan baik, dan elakkanlah daripada istilah “hancing” dan seumpamanya.
Perdana Menteri telah berusaha membebaskan negara daripada kongkongan
dan sekatan terhadap kebebasan bersuara. Cabang- cabang kuasa cuba
dipisahkan seperti sepatutnya. Inisiatif perangi rasuah dilancarkan
secara bersungguh-sungguh, tidak mengenal bulu.
Reformasi struktural menunggu giliran. Langkah penjimatan berjalan
lancar. Cuma cabaran berkaitan kos sara hidup dan beban ekonomi agak
perlahan ditangani. Penjelasan kerajaan pula seperti tersekat.
No comments:
Post a Comment