Showing posts with label Harakah. Show all posts
Showing posts with label Harakah. Show all posts

Tuesday, May 29, 2012

Mahathir ramal Umno ganas jika kalah?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Sewaktu debat mempertemukan Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin disifatkan sebagai permulaan budaya politik baru yang sihat dan matang, kita dikejutkan dengan siri aksi brutal terhadap program Pakatan Rakyat.

Ketika rakyat masih mengingati dengan jelas perlakuan ganas polis semasa menyuraikan himpunan aman Bersih 3.0, riak kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka bakal menjadi gelanggang terburuk dalam sejarah, seperti hampir tidak dapat dielakkan lagi

Terbaru, 24 Mei, di Pantai Dalam, media melaporkan batu dan telur berterbangan semasa Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berceramah, mengakibatkan seorang warga emas cedera di kepala. Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Nurul Balqis dturut terkena lontaran batu sebesar kira-kira penumbuk tangan.

Menurut saksi, batu itu dibaling dari kawasan ceramah Umno di kuarters Dewan Bandaraya Raya Kuala Lumpur (DBKL) Pantai Dalam yang terletak bersebelahan. Personaliti yang ghairah menabur fitnah, Ummi Hafilda Ali berceramah dengan pembesar suara dihalakan kepada audien program Pakatan Rakyat, dengan menjawab secara langsung isu-isu yang dibangkitkan penceramah Pakatan berhampiran.

Hari yang sama, di Sayong Lembah, Kuala Kangsar, pada majlis ceramah membabitkan bekas Menteri Besar Perak yang digulingkan, Nizar Jamaluddin, 11 kereta disimbah cat biru. "Cat itu kebanyakannya disimbah di bahagian lampu depan," kata Nizar.

Minggu ini juga, kumpulan anti-Bersih, yang diketuai pemilik Restoran Sekinchan Ikan Bakar, Jamal Yunus, secara berterusan melakukan provokasi dan gangguan melampau di hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga selepas aksi "senaman punggung" dipamerkan pada 15 Mei.

Minggu lalu, di Melaka, batu dan telur juga berterbangan di majlis minum petang anjuran PAS, di mana Ambiga dijadual hadir. Dua Adun DAP, Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh) dan Tey Kok Kiew (BAndar Hilir) berkata, tayar kenderaan mereka dipancitkan, cermin sisi pecah dan badannya kemik teruk dihantam kumpulan pengacau yang didalangi Umno, termasuk beberapa wakil rakyatnya.

Siri gangguan ke atas program dan personaliti pembangkang dijangka berterusan, malah mungkin ditingkatkan, kerana ia sudah menjadi budaya Umno sejak zaman berzaman (ingat zaman Pemuda Tahan Lasak Umno), yang kini pimpinan parti berkenaan gelabah dan kelihatan gabra menghadapi "hukuman rakyat" dalam PRU13.

Secara peribadi, saya pelik memikirkan bagaimana Umno-BN yang meniti saat-saat sukar ini, memilih pendekatan konfrontasi, yang sebenarnya semakin menjauhkan lagi parti itu daripada sokongan pengundi.

Meskipun ia ibarat "baling batu sembunyi tangan, namun banyak bukti boleh ditunjukkan bahawa segala serangan dan provokasi jahat selama ini (ingat siri gangguan sejak keputusan PRU12, Mac 2008, khususnya di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan, dengan kemuncaknya rampasan kuasa kerajaan Perak), ditaja oleh Umno.

Sepatutnya, menjelang PRU13 yang cukup kritikal itu, semua parti-parti yang bertanding mempersembahkan pendekatan terbaik bagi memikat hati dan pemikiran pengundi, bukannya melakukan tindakan agresif -- apatah lagi berunsur samseng dan ganas -- yang hanya menyebabkan masyarakat menjadi lebih marah dan jelik.

Aneh sekali strategi Umno ini, 'kan? Ketika perayu kempen berusaha dengan segala tenaga untuk melunakkan hati pengundi, mereka memilih taktik yang boleh menikam belakang sendiri!

Tentu ramai mengingati bagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menghadapi asakan di luar adab kemanusiaan, termasuk dihadiahkan "kek tahi" yang menjijikkan sempena hari jadinya tidak lama dahulu.

"Apa nak dihairankan, tengok saja akhbar-akhbar yang dimiliki Umno, yang tidak malu-malu menyiarkan gambar lucah dan porno, hanya untuk memburuk-burukkan pemimpin Pakatan Rakyat. Blogger yang ditaja dan diupah Umno, serta mendapat layanan istimewa pemerintah, bersikap biadab dan kurang ajar ketika memaparkan posting mereka," kata seorang teman, seorang pensyarah sains politik.

Ternyata Umno tidak sabar dan tahan uji menghadapi kekalahan, apatah lagi menunggu "saat kematian". Sedangkan selama ini, sejak pilihan raya umum pertama, pembangkang khususnya PAS, tetap menolak pendekatan kekerasan atau militan meskipun sering diganasi secara fizikal dan istiqamah dengan "muwajahah silmiyyah".

Pemimpin dan aktivis PAS menghadapi ujian perit, termasuk dibunuh, dipenjarakan, dibuang daerah, dinafikan hak sebagai warga dan pelbagai bentuk pengkhianatan lain. Biarpun kalah teruk -- termasuk melalui penipuan -- dalam pilihan raya, PAS tetap menghormati proses demokrasi dan pemimpinnya berjaya meyakinkan ahli-ahlinya agar tidak memilih jalan di luar batas undang-undang.

Justeru, apabila bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad cuba melakukan satu lagi provokasi jahat, bagi saya ia satu tindakan tidak bertanggungjawab dan patut dikecam.

Dalam blognya, Dr Mahathir mendakwa jika Pakatan Rakyat tewas dalam PRU13, mereka akan menganjurkan "demonstrasi ganas" tanpa henti untuk menolak keputusan itu. Selepas itu, pembangkang akan mengusahakan pilihan raya baru yang dimanipulasi mereka diadakan.

"Tunjuk perasaan Bersih yang besar dan ganas adalah persediaan untuk menolak keputusan PRU13 jika parti lawan gagal memenanginya. Kekalahan mereka akan dituruti dengan demonstrasi ganas yang tidak berhenti-henti supaya keputusan pilihan raya ditolak dan satu kerajaan lain didirikan, yang ditunjuk oleh parti lawan," dakwanya.

Kalah dalam pilih raya bukan satu isu besar bagi pembangkang. Mereka sudah melaluinya sejak sekian lama. Sejarah menjadi saksi pembangkang dapat menerima kekalahan itu tanpa menimbulkan huru-hara. Yang panik dan gelabah apabila ditewaskan adalah Umno. Tidak dapat dengan jalan kasar, mereka memilih pendekatan membeli wakil rakyat dengan sogokan rasuah.

Namun, jika PRU13 berjalan secara tempang, penuh penipuan dan sarat dengan manipulasi, seperti tergambar melalui pelbagai komplot hari ini, saya sendiri tidak dapat menolak kemungkinan rakyat akan bangkit membantah melalui perhimpunan yang lebih ramai daripada Bersih 3.0 lagi.

Apakah Dr Mahathir sudah menduga bahawa Umno-BN sudah bersiap untuk melakukan "kejahatan dahsyat" itu dalam PRU13 nanti? Atau beliau sekadar membayangkan Umno sendiri mungkin mencetuskan huru-hara dan keganasan sekiranya kalah dan hilang kuasa di peringkat persekutuan nanti, seperti terjelma secara kecil-kecilan sehari dua ini?
Baca Seterusnya......

Monday, May 28, 2012

Harapan airtime TV untuk Pakatan semasa kempen PRU13

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Di waktu banyak pihak meramalkan Pilihan Raya Umum Ke-13 mungkin mencipta tragis sebagai "medan terburuk" bagi pertarungan menagih mandat baru rakyat, saya melihat beberapa reaksi awal pemerintah -- yang mungkin dilihat sudah terlewat tetapi tetap dianggap positif dalam proses pendemokrasian -- yang agak mengembirakan.

Semua maklum bahawa PRU13 paling kritikal, sama ada buat Pakatan Rakyat dan juga BN. Ia pertempuran hidup atau mati. Bagi sesetengah individu bertaraf VVIP, kalah bukan sekadar bererti menjadi pembangkang tetapi bakal berdepan tindakan yng cukup mengaibkankan. Maka, untuk mengharapkan pertandingan ini dijalankan secara adil, telus dan bersih, serta menurut etika yang sihat, ia seolah-olah hanya ilusi.


Semua maklum, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada awal lagi dilihat bukan sahaja memihak kepada elit penguasa, malah telah dijadikan perkakas utama BN untuk menang secara tipu-muslihat. Buktinya, senarai daftar pemilih yang kotor dan meragukan, terutama di Selangor. Bukti ini sebenarnya lebih panjang lagi.

Bagaimanapun, sebagai pengamal media yang prihatin dengan tuntutan proses pilihan raya yang adil dan bersih, saya mengharapkan reaksi awal kerajaan terhadap isu akses media dan tempoh minimum kempen perlu disambut tetapi hendaklah diperhalusi agar situasi "padang permainan sama rata" dapat dijelmakan.

Apabila saya agak kerap menimbulkan hal ini, terutama melalui program Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan kenyataan akhbarnya, ramai yang memandang sinis dan melihat usaha itu sebagai sia-sia sahaja.

Ya, masakan Umno-BN yang berada di tepi jurang curam dan dalam, masih mahu berbicara soal mewujudkan proses pilihan raya yang benar-benar demokratik dan bebas daripada sebarang penipuan dan manipulasi?

Kita tidak dapat membayangkan kegerunan pemimpin Umno-BN, terutama yang bergelumang dengan pelbagai skandal dan dosa politik, berdepan dengan hukuman rakyat nanti. Tanpa kuasa -- khususnya buat pertama kali di peringkat persekutuan -- segala imuniti dan kekebalan tertanggal seluruhnya.

Apa pun, saya kira Najib Razak tidak mempunyai banyak pilihan. Misalnya, beliau terpaksa memansuhkan ISA, tentunya bukan kerana kejujuran dan keikhlasan untuk memartabatkan keadilan, tetapi disebabkan sudah "diasak ke dinding".

Malah kerajaan sememangnya tidak lagi dapat memperalatkan ISA sesuka hati untuk memenjarakan musuh atau seteru politiknya, disebabkan kesedaran merata rakyat terhadap isu-isu hak asasi dan sebagainya. (Mungkin agak sukar kita mengingati siapa mangsa ISA terakhir daripada kalangan tokoh-tokoh politik; ia lebih membabitkan aktivis yang dikaitkan dengan keganasan dan militan ....)

Begitu juga dengan janji-janji untuk memulihkan demokrasi terpaksa dilafaz Najib semasa malam Hari Malaysia tahun lalu, pastinya bukan disebabkan keikhlasannya untuk menamatkan amalan zalim turun-temurun regim BN. (Secara peribadi saya tidak gemar dengan istilah "ikhlas dan jujur" dalam politik; ia perlu terus diasak dan ditekan secara konsisten).

Ia didorong oleh tindakan politik penguasa bagi merebut kepercayaan dan keyakinan rakyat, yang semakin terbuka dan terdedah dengan proses pendemokrasian sejagat, seperti ditandai oleh Arab Spring dan seumpamanya. Pilihan agar dilihat lebih terbuka dan demokratik hanya merupakan antara talian hayat terakhir yang masih tinggal.

Sang diktator yang mengawal ketat setiap pergerakan rakyatnya pun tidak mampu mengepung wilayah negara daripada "wabak pendemokrasian" ini, apatah lagi teknologi ICT dan fenomena langit terbuka sudah merata serta tidak mampu disekat lagi.
 
Dan saya melihat penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya adalah kemenangan moral buat Bersih 2.0. Kerajaan akhirnya terpaksa tunduk dengan aksi protes jalan raya. Manakala beberapa rumusan awal, seperti penggunaan dakwat kekal, merupakan "keputusan terpaksa" bagi melunakkan kemarahan rakyat dan pembangkang.

Hinggakan, Pengerusi SPR, Abdul Aziz Mohd Yusof terpaksa meluahkan rasa kecewanya apabila beberapa langkah pembaharuan, misalnya dakwat kekal, tidak disambut dengan lafaz terima kasih oleh pemimpin Pakatan Rakyat.

Apabila membaca kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Rais Yatim, pada 22 Mei lalu, bahawa kerajaan akan meneliti saranan SPR agar parti-parti politik di negara ini termasuk pembangkang diberikan akses siaran televisyen secara bebas dan adil, saya menarik nafas lega.

Kata Rais, kertas kabinet mengenai hal itu sudahpun disiapkan. Semestinya ia dibincangkan dengan semua parti yang bertanding serta NGO media yang prihatin dengan isu ini, khasnya Bersih.

Sekurang-kurangnya isu akses media ini terpaksa juga disambut kerajaan. Sebelum itu, Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar memberi jaminan akan mempertimbangkan tempoh kempen lebih lama dalam PRU13 nanti. (Alasan bertulis SPR sebelum ini untuk meremehkan tuntutan tempoh minimum kempen 21 hari adalah dangkal dan tidak diasaskan kepada fakta).

Saya dan KAMI kerap menekankan dua tuntutan penting Bersih itu, yang agak dipandang remeh, iaitu akses media yang adil dan saksama, serta tempoh kempen minimum 21 hari, termasuk melalui Konvensyen Akses Media Dalam PRU13 pada 12 Mei lalu, di Hotel Nouvelle, Sri Kembangan.

Rais berkata, ia bagi membolehkan parti-parti berkenaan menyampaikan manifesto mereka kepada rakyat. "Kerajaan telah menerima permohonan SPR supaya memperuntukkan masa kepada parti-parti politik berkempen di televisyen. Sebenarnya kita telah menyediakan satu kertas cadangan yang akan dibentangkan ke Kabinet tidak lama lagi," tambahnya.

Ia susulan permohonan SPR agar kerajaan memberikan masa siaran televisyen kepada semua parti politik ketika kempen PRU13.

Ya, kerajaan BN terpaksa melakukan sesuatu bagi menampakkan, sekurang-kurangnya, ia tidak berada pada tahap lebih buruk berbanding kerajaan junta Myanmar, yang bersedia memberi airtime saluran TV kerajaan kepada pejuang demokrasi Aung San Suu Kyi, dalam pilihan raya kecil negara itu baru-baru ini.

Kerajaan autoritarian Singapura juga memberikan akses kepada pembangkang untuk muncul di kaca TV yang dikawal kerajaan, khususnya untuk menjelaskan manifesto kepada pengundi. Difahamkan transkrip ucapan itu kemudiannya disiarkan dalam akhbar harian esoknya.

Saya kira SPR juga wajar mengendalikan debat politik di TV, membabitkan tokoh-tokoh utama parti-parti yang bertanding, seperti dimulakan oleh Sinar Harian, yang mempertemukan Khairy Jamaluddin dan Rafizi Ramli,  baru-baru ini. Apa pun, seperti saya tegaskan di awal tadi, isu akses media ini perlu diperdebat dan perhalusi lagi.

 

Baca Seterusnya......

Sunday, May 27, 2012

BN gambarkan Bersih 3.0 kotor: Tersilaukah rakyat?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Demonstrasi Bersih 3.0 memang membawa impak besar kepada lanskap politik tanahair. Ia dilihat sebagai antara faktor utama bagi Perdana Menteri mencadangkan tarikh pembubaran Parlimen ... tapi malangnya, tanpa mengambil peduli langsung tuntutan mereformasikan sistem dan proses pilihan raya, yang begitu lantang dikumandangkan dalam himpunan petang 28 April itu.

Yang dihebohkan media hanya "tindakan ganas dan kotor perusuh", kerugian besar peniaga sekitar Dataran Merdeka (termasuk kira-kira RM280 juta oleh para pengusaha haji dan umrah jika kerajaan Arab Saudi melarang rakyat negara ini mengerjakan ibadat itu!), sedangkan agenda murni pendemokrasian tidak dihiraukan sama sekali. Elit pemerintah yang cukup takut untuk melakukan pembaharuan politik dengan tangkas cuba mengalih isu sebenar.

Selepas 10 hari,  perhimpunan bersejarah yang mengumpulkan lebih suku juta orang itu -- membabitkan pelbagai  lapisan kaum,   majoritinya anak-anak muda -- turut mendapat perhatian istimewa Majlis Fatwa Kebangsaan. Biarpun fatwa yang diputuskan nampak umum, merujuk sebarang perhimpunan atau demonstrasi, namun semua pihak melihatnya ditujukan khusus kepada Bersih 3.0.

Majlis Fatwa memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.

"Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama," kata pengerusinya, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

(Tentunya saya cuba mengelak daripada menyanggah keputusan fatwa tetapi saya bimbang jika ia diputuskan atas kehendak elit penguasa -- apatah lagi menjelang PRU13 --  atau tanpa maklumat cukup dan pertimbangan sewajarnya, kedudukan majlis tersebut akan menjadi momokan awam. Bayangkan selepas pasukan polis diasak kiri kanan, Majlis Fatwa pula menjadi perisai Umno? Perkembangan yang cukup menyedihkan).

Apakah Majlis Fatwa langsung tidak memahami tujuan sebenar himpunan Bersih 3.0 itu, bagi memastikan proses pilihan raya yang adil dan bebas? Dan, kalaupun berlaku kacau-bilau, siapa sebenarnya yang mencetuskan (malah merancang) huru-hara dan kekacauan itu? Undang-undang mana pula yang dilanggar demonstran, atau kalaupun ada peraturan yang diceroboh, apakah ia bersifat zalim, menindas dan tidak demokratik?

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat pantas mengulas: "Pernahkah Majlis Fatwa memandang dan memahami di sebalik lapan tuntutan Bersih untuk mengatasi isu pengundi hantu dan penipuan dalam pilihan raya yang implikasinya lebih besar kepada negara? Saya yakin fatwa ini hanya laporan akhbar prokerajaan sahaja tanpa mendapat penjelasan dari penganjur Bersih 3.0 sebelum membuat pertimbangan."


Dalam pada itu, semasa imej polis berada pada tahap terendah, ekoran keganasan terhadap demonstran pada petang 28 April lalu, tiga bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar, Tan Sri Rahim Noor, dan Tan Sri Musa Hassan,  turut menyokong tuduhan Dato' Seri Najib Abdul Razak bahawa perhimpunan "duduk-bantah" itu merupakan percubaan  pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.


Hanif, Rahim dan Musa mempunyai "rekod tersendiri" dalam usaha menyekat pergerakan reformasi 1998, atau lebih khususnya bertembung langsung dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim. (Rujuk kes mahkamah berkaitan taukeh judi Genting, mata lebam Anwar dan afidavit lucah). Lebih jauh lagi, Hanif menuduh ada elemen prokomunis terbabit.

Malah Rahim, dalam kenyataan terbaru dalam New Straits Times, 8 Mei, melabelkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai father of kafir (bapa kafir), ekoran penegasan Menteri Besar Kelantan itu tentang kewajipan  umat Islam menyertai Bersih 3.0. Dia juga menyifatkan Tok Guru sebagai "pelawak".

"Kasihan Rahim Noor, memang rahmat tak sampai padanya, kasihan keluarganya. Apa nak jadi polis pencen ini? Orang bukan Islam pun hormat dan sayang Tok Guru," SMS seorang pembaca Harakah kepada saya.

Apa pun, saya agak kaget dengan "keberanian" editor NST memilih tajuk selancang itu. Ia memang mengundang tindakan undang-undang daripada Tok Guru ataupun PAS sendiri (seperti disahkan kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man), tetapi bagaimana dengan pemantauan Kementerian Dalam Negeri (KDN)?

(Sebelum itu, NST juga "tersalah petik" ucapan Senator Australia, Nick Xenophon, di Parlimen negara itu pada 17 November 2009, dengan menggambarkannya sebagai anti-Islam. Utusan Malaysia akhirnya terpaksa memohon maaf dengan Xenephon. Beliau adalah salah seorang daripada  pasukan tujuh anggota pemantau antarabangsa dalam misi pencarian fakta mengenai sistem pilihan raya Malaysia, termasuk demo Bersih 3.0).


Rahmah Ghazali, wartawan NST, yang terpampang namanya pada halaman 6 itu, menafikan beliau terlibat dalam penulisan berita berkenaan. Rahmah hanya menulis dua perenggan akhir daripada keseluruhan 14 para, itu pun berita bersumberkan Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.


II.

Ketika berucap di Gua Musang, 4 Mei, Najib menegaskan: "Mereka (demonstran) ada niat untuk tawan Dataran Merdeka, bukan berhimpun untuk dua tiga jam tetapi dua tiga hari atau lebih daripada itu, nak gambarkan kerajaan tidak boleh mengawal keadaan. Mereka nak jadikan Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir di Mesir."

Tidak cukup dengan "khayalan" (atau mungkin igauan buruk) Najib itu, sepupunya, Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Hussein mendakwa Anwar dan para penyokongnya berniat mengambil alih (occupy) Dataran Merdeka daripada 14 hingga 28 April ekoran isu pinjaman pelajaran mahasiswa (PTPTN).

Bagaimanapun, dakwa Hishammuddin, kurangnya sokongan daripada orang ramai menyebabkan rancangan itu tidak diteruskan.

Rupanya PM dan Menteri Dalam Negeri mempunyai imiginasi yang cukup liar. Tanpa memerlukan sebarang bukti, mereka boleh bergebang (sebenarnya memfitnah) sewenang-wenangnya, semata-mata untuk memalitkan imej buruk kepada Pakatan Rakyat, sekali gus menjauhkan pengundi daripada memilih kerajaan persekutuan yang baru.

Najib dan Hishammuddin masih diulit mimpi lama. Mereka mengharapkan rakyat gerun dengan istilah "menggulingkan kerajaan", apatah lagi dengan insiden di Medan Tahrir.

Mungkin Umno masih mengimpikan masyarakat Tionghua khususnya takut dengan gambaran "keganasan" demonstran, sepertimana Dr Mahathir Mohamad pernah "mengutip untung" semasa era reformasi 1998-99, apabila mengaitkannya dengan rusuhan di Indonesia.

Malang sekali apabila himpunan Bersih 3.0 dibanjiri masyarakat Cina dari seluruh negara. Malah saya dapati mereka datang dengan penuh bersemangat, melaungkan slogan yang lebih jelas dan tidak malu-malu  berkempen sesama peserta demonstrasi. Hinggakan semasa  menapak di sekitar Jalan Sultan pagi 28 April itu, saya tercari-cari juga rakan-rakan sebangsa!


Jelas sekali, tiada tuntutan Bersih agar Najib meletakkan jawatan. PM hanya diminta menunaikan lapan agenda mereformasikan sistem pilihan raya, agar semua parti dan calon dapat bertanding secara adil, telus dan bersih. Tegasnya, padang permainan sama rata dapat dihamparkan.

Umum maklum bahawa kebangkitan Arab ditandai dengan beberapa faktor utama, antaranya, pemerintahan diktator kuku besi yang menekan hak rakyat, demokrasi dicabul, selain pembolotan khazanah kekayaan negara sehingga ekonomi merudum, kadar pengangguran meningkat dan keganasan pasukan keselamatan semasa berdepan siri tunjuk perasaan.

Pelik juga, mengapa Najib dan konco-konconya nampak begitu gusar dengan kebangkitan rakyat dan kerap mengaitkannya dengan Medan Tahrir dan Arab Spring, yang menjatuhkan beberapa diktator melalui aksi jalan raya. Apakah mereka merasakan ada persamaan dengan Gadaffi, Mubarak ataupun Ben Ali?

Anak Mahathir, Marina, yang turut menyertai demonstrasi Bersih 3.0, dan pada 9 Julai 2011, Bersih 2.0  menyinggung hal ini: "Memang kita bukan seperti  Mesir, tetapi mengapa reaksi kita seperti Mubarak (ketika menangani peserta demonstrasi)?"

Mahfuz juga memberi respon: "Najib takut bayang-bayang dia sendiri. Di Malaysia, kita bukan minta dia turun. Itu minta kemenangan percuma. Kita mahu menang atau kalah dalam pilihan raya bersih dan adil."

II.

Selasa lalu, saya menerima banyak SMS, tapi kandungannya sama. Ramalan terkini PRU13. Pembubaran Parlimen, 14 Mei; penamaan pencalonan, 26 Mei; dan hari mengundi 9 Jun.

Kali ini ramai mengambil berat tarikh berkenaan. "Kalaupun tersasar sekali lagi, saya rasa ia tidak mungkin melewati Ramadan. Sebabnya, jika diadakan selepas puasa, Najib terpaksa menunggu sehingga semua jemaah haji balik, iaitu paling awal November 2012. Waktu itu rakyat dah lupa segala 'durian runtuh'," komen seorang rakan.

Bagaimanapun saya lebih tertanya-tanya soal lapan tuntutan Bersih yang tidak dipedulikan itu ... terutama daftar pemilih yang mencurigakan.

-----

Artikel ini disiapkan pada 8 Mei 2012

Baca Seterusnya......

BERSIH 3.0: "Mukjizat" media baru

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Semasa program sembang santai blogger dan wartawan dengan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Ulu Yam, Selangor, petang Ahad lalu, sehari selepas himpunan BERSIH 3.0, Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man menekankan soal "keajaiban" dan sumbangan besar media baru.

Suatu waktu dahulu, ketika berdepan asakan dan serangan berterusan media yang dikawal mutlak elit pemerintah, parti-parti pembangkang yang dinafikan hak untuk "bermain di atas padang sama rata" terasa begitu perit sekali.  Tiada langsung peluang untuk menjawab segala tohmahan.

Namun, dalam suasana langit terbuka dan penemuan gajet baru yang lebih sofistikated, proses pendemokrasian semakin mudah untuk menjadi lebih matang, teruji dan menyeluruh.  Setiap pihak mempunyai ruang untuk berbicara mengemukakan hujah, menjelaskan kekeliruan, sekali gus menyanggah fitnah.

Lebih menarik apabila gambar-gambar yang dirakam, tidak terbatas oleh jurufoto profesional, malah rakyat biasa, terutama yang disiarkan melalui YouTube, tambah menyemarakkan lagi usaha menumbangkan kerajaan zalim.

Contoh ketara, kebangkitan dunia Arab membuktikan diktator rakus kecundang apabila maklumat tidak dapat lagi dimonopoli elit penguasa.  Segala tindakan di luar batas kemanusiaan, termasuk mengakibatkan kematian dan kecederaan parah ke atas penunjuk perasaan, seperti di Medan Tahrir, tersebar luas ke seluruh dunia dalam sekelip mata.

Terbaru, demonstrasi raksasa 28 April lalu, di sekitar Dataran Merdeka, yang menghimpunkan - paling kurang - suku juta rakyat prihatin, bukan saja mencatatkan sejarah baru perjuangan menuntut hak di Malaysia, malah mendedahkan ketakutan regim pemerintah terhadap pembongkaran tindakan ganas pasukan polis.

Rakyat bangkit serentak, berganding bahu, membentuk gelombang kuning yang melaut, dengan gaya santai tapi penuh bersemangat, menuntut reformasi menyeluruh ke atas sistem dan proses pilihan raya yang bersih dan adil.

Dari perspektif lain, benar sekali ungkapan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, semasa mengulas BERSIH 3.0, bahawa transformasi Perdana Menteri Najib Razak kali ini begitu berjaya sekali, "Najib berjaya menukar imej polis daripada kurang ganas kepada lebih ganas.  Ya, lebih ganas daripada aksi polis regim Israel kepada penduduk Palestin.  Lihatlah video yang merakamkan adegan ganas polis itu, yang banyak tersebar dalam internet."

Perhimpunan dan juga perarakan yang berjalan secara aman, teratur, berdisiplin dan lancar sehingga jam 2 petang, bertukar menjadi kecoh, kelam-kabut dan huru-hara.  Anggota polis yang mulanya nampak mesra bertukar watak (atau kembali kepada "fitrah" sebenar?); dalam keadaan tertentu lagak mereka seperti samseng upahan yang tidak berakal, rakus dan ganas menyambar mangsa, membelasah tanpa belas kasihan.

Tidak cukup dengan tembakan gas pemedih mata dan meriam air, yang mengasak lokasi sendat peserta demonstrasi, ditambah dengan maki hamun, sepak terajang dan aksi brutal lainnya.  Ya, lebih 250,000 orang mengisi ruang yang sempit dan kemudiannya ditembak gas dan air kimia.  Ke mana arah untuk menyelamatkan diri?

Lebih dahsyat dan keji, apabila video-video yang disiarkan dalam internet membuktikan begitu banyak sekali aksi provokasi pihak polis, yang tujuan akhirnya untuk menukar situasi aman dan terkawal itu menjadi "panas dan ganas", bagi memenuhi niat jahat taukeh-taukeh politik yang gelabah menunggu tarikh Parlimen dibubarkan.

Anggota polis, mungkin daripada cawangan khas (SB), yang berpakaian preman, termasuk wanita - malah ramai di antara mereka turut berbaju kuning dan menjeritkan slogan reformasi pilihan raya - dikenal pasti menjadi agen provokator yang kelihatan begitu proaktif.  SB ini cuba merangsang peserta demonstrasi bertindak lebih agresif di luar kawalan.

Rupa-rupanya inilah strategi elit pemerintah (mungkin dengan bantuan pakar luar negara, seperti APCO) yang dirancang lebih awal, bagi menggambarkan perjalanan BERSIH 3.0, "yang diterajui NGO dan disokong pembangkang", sebagai kotor dan tidak bertamadun, sekali gus menghitam-legamkan imej Pakatan Rakyat.

Anda lihat sendiri tajuk utama di muka depan semua akhbar harian esoknya, Ahad, 29 April.  Senada saja.  Sama ada mendapat arahan "pihak atasan" atapun sememangnya setiap ketua editor akhbar yang dikontrol ketat UMNO itu sudah "faham sangat" apa yang dikehendaki Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri.

Gambar yang dipilih juga serupa, iaitu kereta polis diterbalikkan, satu imej global tentang keganasan "para perusuh".  Tanpa menunggu lama, Buletin Utama TV3 pada malamnya juga sudah memulakan kempen memburuk-burukkan pejuang demokrasi itu, yang kemudiannya berlangsung berhari-hari.

Cerita latar sebelum kereta Waja itu diterbalikkan langsung tidak dijelaskan, malah dipadamkan.  Sekali lagi, YouTube banyak membantu mencerahkan.  Kita dapat melihat bagaimana kereta polis itu, dari arah Kompleks Pertama atau Jalan Dang Wangi, yang mulanya perlahan, tiba-tiba dipandu laju dan melencong meluru ke arah pejalan kaki di sebelah kompleks membeli-belah Sogo.

Tiga empat orang melambung dilanggar.  Salah seorang daripadanya, Su Kuang Hong, 25, seperti dilaporkan Malaysiakini, berkata beliau terpelanting ke bahagian atas kenderaan tersebut selepas dilanggar.

Proton Waja polis itu juga terus bergerak selepas melanggarnya dan beliau sekali lagi melayang dan melanggar tembok di hadapan pusat membeli belah itu apabila kenderaan itu berhenti secara tiba-tiba.

Cuba bayangkan, dalam suasana tegang sejurus selepas ditembak pemedih mata, meriam air dan sebahagiannya dipukul atau sekurang-kurangnya belum dapat menarik nafas lega dikejar, mereka menyaksikan pula kereta polis melanggar rakan-rakan yang lain.  Jika turut di situ, apa reaksi spontan anda?

Wartawan Malaysiakini, Zulaikha Zulkifli, yang berada di tempat kejadian merakamkan, "Kenderaan yang bergerak di antara kumpulan peserta berkenaan kemudian melanggar beberapa orang sehingga menyebabkan salah seorang individu berkenaan terpelanting ke atas kenderaan tersebut."

"Saya nampak kereta itu kemudiannya tersasar ke arah kanan dan seterusnya melanggar tembok di hadapan pusat membeli belah Sogo. Individu yang saya lihat berada di atas bonet kenderaan itu juga terjatuh dalam kejadian yang berlaku dengan pantas itu."

"Seramai kira-kira 30 orang peserta perhimpunan kemudiannya mengerumuni kenderaan tersebut dalam keadaan marah dan bertindak menendang dan memukul kereta tersebut.  Saya turut mendekati untuk melihat dengan lebih jelas dan mendapati salah seorang lelaki yang dilanggar itu mengalami kecederaan dan berdarah di bahagian muka."

"Saya juga mendengar jeritan daripada individu di sekitar kawasan tersebut yang cemas kerana menyangka ada orang terperangkap di bawah kenderaan itu."

Pada hemat saya, insiden itu sebenarnya mungkin dirancang dengan teliti, dan merupakan salah satu elemen provokasi yang cukup berbahaya, agar himpunan itu tidak berakhir secara mudah dan aman, apatah lagi memberikan imej baik dan positif kepada BERSIH 3.0.  Tegasnya, pihak polis sengaja mengundang kemarahan  demonstran supaya mereka bertindak "gila".

Beberapa minit sebelum itu, sebuah kenderaan polis, juga merempuh kawasan hampir sama, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, berdekatan Sogo.  Ia nyaris melanggar orang ramai ketika membuat belokan tajam ke lorong sebelah kanan, bersebelahan kompleks membeli-belah itu.  Satu lagi bukti provokasi polis yang diperalatkan regim yang sedang meniti saat-saat sakratul-maut!

Sesungguhnya pentas BERSIH 3.0 adalah medan terakhir UMNO-BN melancarkan serangan terhadap pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 yang cukup kritikal itu.  Motif Najib untuk tidak menyekat demonstrasi itu, seperti dilakukannya semasa BERSIH 2.0, juga sarat dengan kepentingan politik.

Saya dimaklumkan bahawa ketua-ketua editor telah dipanggil ke Bukit Aman, pada Jumaat, 27 April, sehari sebelum perhimpunan.  Khabarnya Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein (gambar kanan) sendiri memberikan taklimat dan arahan.  Pastinya berkaitan dengan liputan media terhadap demonstrasi BERSIH 3.0.

Menurut Naib Presiden KeADILan, N Surendran: "Kami diberitahu bahawa semasa pertemuan tersebut, ketua-ketua editor diberi arahan bagaimana melaporkan keadaan semasa perhimpunan BERSIH 3.0 dan mereka juga diminta supaya tidak melaporkan kekejaman pihak polis.  Pihak polis dengan jelas mengikut telunjuk KDN apabila pihak media yang sedang merakam aksi salah guna kuasa polis terhadap orang awam juga dikasari."

Wartawan Harakah Kedah, Izwan Abdul Halim, turut ditangkap dan dibawa ke Pulapol, Jalan Semarak.  Kamera beliau yang banyak merakam sudut menarik demonstrasi dirampas dan memori kadnya tidak dikembalikan selepas beliau dibebaskan pada awal pagi Isnin.  Satu bentuk pencabulan dan gangguan melampau terhadap kerjaya seorang pemberita.

Ramai lagi pengamal media menghadapi nasib sama, malah lebih buruk apabila ada yang diganasi polis berunifom, walaupun selepas memaklumkan mereka adalah wartawan, di samping menunjukkan kad akreditasi media, seperti dialami pembantu editor MerdekaReview edisi Mandarin, Chen Shaua Fui.  Tiada langsung rasa hormat polis terhadap wartawan.

"Selepas ini kita pun tak perlu lagi menghormati kerja polis," marah seorang editor kanan sebuah akhbar harian.

Wartawan The Sun, Mohd Radzi Abdul Razak, 27, dicederakan oleh lapan anggota polis semasa membuat liputan, sekitar jam 7 malam, berdekatan waterfall persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut.

Beberapa wartawan lain berdekatan menjerit berulang kali, "Press! Media!", namun kumpulan polis itu terus menyerang Mohd Radzi.  Beliau terpaksa dirawat dalam wad Hospital Kuala Lumput.

Begitu juga dengan nasib jurugambar Malay Mail, Arif Kartono, yang ditumbuk oleh polis dan kameranya dipecahkan.  Wartawan Malaysiakini, Koh Jun Lin, pula ditahan dan peralatan kameranya dirampas.

Turut dirampas kamera ialah P Malayandy, jurufoto akhbar Tamil, Makkal Osai, selain dicederakakan lima anggota polis.  Huang An Jian, juga jurugambar, sebuah akhbar Cina, Guang Ming Daily, ditangkap ketika merakam kejadian demonstran ditahan.
 
Malah wartawan antarabangsa, Harry Fawcett daripada Al-Jazeera pun tidak terkecuali, apabila mereka dikasari semasa mengambil gambar polis sedang memukul peserta perhimpunan.  Kameranya juga rosak dan beliau terpaksa menggunakan iPad untuk melaksanakan tugasannya.

Sehubungan itu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) menggesa supaya siasatan ke atas dakwaan serangan polis terhadap wartawan itu dijalankan jawatankuasa bebas dan bukannya pasukan polis.

Ia jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi serta bertentangan dengan hak wartawan untuk melakukan tugas dalam susana dan persekitaraan aman.  Biarlah jawatankuasa tersebut memanggil anggota polis yang terlibat dan para wartawan dan jurugambar untuk memberi keterangan supaya orang ramai akhirnya mengetahui apa yang berlaku," kata Presiden NUJ, Chin Sung Chew.

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) memandang serius pencabulan ketara terhadap tugas wartawan ini.  Semasa KAMI aktif memperjuangkan akses media yang adil dan saksama buat semua parti yang bertanding dalam PRU13 nanti, insiden 28 April itu menggambarkan Malaysia, dari sudut kebebasan akhbar, sedang berundur ke belakang.

KAMI turut memberi sokongan padu kepada insiatif NGO media yang lain, yang begitu prihatin dengan perkembangan menyedihkan itu, antaranya, Centre for Independent Journalism (CIJ) Malaysia.

Satu tragedi yang memalukan semasa dunia menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, pada 3 Mei ini!

KAMI juga sedang mengumpulkan bahan dan dokumen yang perlu bagi memulakan tindakan undang-undang terhadap pihak polis dan kerajaan Malaysia, di atas insiden keganasan membabitkan warga media itu.

Kebebasan wartawan untuk melaksanakan tugas tanpa gangguan dan ancaman perlu dipertahankan.  Ia selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara.

Saya telah merujuk hal ini kepada peguam Hanipa Maidin.  Katanya, beliau akan menimbulkan "ancillary right", iaitu hak-hak tambahan (suplemantary rights) yang timbul daripada hak-hak utama (primary rights).  Hak ini timbul daripada perkaitan yang munasabah dengan hak-hak utama.

Misalnya, kata Hanipa, hak bersuara adalah hak utama, dan daripada hak utama ini timbul hak kebebasan media dan hak wartawan menjalankan tugas tanpa gangguan dan ancaman.

Kita perlukan perisytiharan mahkamah di atas hak wartawan tersebut.

Saya juga merasakan inilah masa sesuai bagi menilai semula, secara menyeluruh, sebarang undang-undang atau peraturan mengenai media di negara ini.  Tidak cukup dengan pindaan kosmetik terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini, apabila konsep permit dan pemilikan akhbar masih tidak dirombak.

Mungkin pengalaman Amerika Syarikat, yang memperuntukkan dengan jelas, bukan saja peruntukan tentang kebebasan akhbar dalam perlembagaannya, tetapi juga melarang Kongres Amerika daripada menggubal undang-undang berkaitan dengannya.


Baca Seterusnya......

Catatan Bersih 3.0 senja 28 April

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Untuk memberi ruang buat Harakah menampilkan laporan terkini tentang perhimpunan Bersih 3.0, deadline edisi Isnin ini terpaksa dianjak, daripada sekitar jam 2-4 pagi Sabtu kepada lewat petangnya, selepas selesai demonstrasi raksasa itu. Meskipun agak sukar mengetengahkan analisis menyeluruh, dalam tempoh singkat, sekurang-kurangnya pembaca dapat menatap gambar-gambar bersejarah yang bakal membentuk Malaysia Baru, yang lebih terbuka dan demokratik


Seperti demonstrasi Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, saya ditemani seorang rakan menempah bilik hotel untuk penginapan malam Sabtu lalu. Dalam keadaan keuzuran, saya kira perlu mencari lokasi lebih selesa, juga dapat mengurangkan pergerakan fizikal, yang agak dekat dengan Dataran Merdeka, dan lebih penting dapat merasai (juga menikmati) "debar dan getar" himpunan menuntut proses pilihan raya yang adil dan bersih itu.

Tentunya tunjuk perasaan kali ketiga (pertama, November 2007 dan kedua, September 2011), yang menggesa tuntutan sama bukan perkara main-main. "Duduk Bantah" mungkin ringan pada sebutannya, santai pada tanggapan awalnya, tetapi berat dan mendalam pada bebanan maknanya.

Isu sistem demokrasi yang pincang dan tempang, dengan siri penipuan yang menjolok mata, terutama membabitkan senarai daftar pemilih yang kotor, ditambah komplot Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) -- diburukkan lagi dengan pendedahan bahawa pengerusinya, Abd Aziz Mohd Yusof dan timbalan, Wan Ahmad Wan Omar adalah masing-masing anggota Umno Ampang, Selangor dan Pasir Mas, Kelantan -- bersama agensi kerajaan lain bagi memenangkan Umno-BN, mencapai kemuncaknya.

Dan Bersih 3.0 adalah jawapan terbaik, sekurang-kurangnya untuk menyuarakan protes terbuka rakyat dan mengingatkan pemerintah bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 wajib dikendalikan secara telus, bersih dan adil. "Petaka dan padah" akan menimpa negara jika PRU13, yang cukup kritikal buat BN dan juga Pakatan Rakyat itu, berjalan penuh tipu muslihat.

Disebabkan menunggu stamina kembali pulih selepas baru balik dari lawatan kerja ke Tawau, Sabah seawal pagi Jumaat, 27 April itu, saya agak terlewat menyusup masuk ibu kota, kira-kira 15 minit sebelum jam 12 tengah malam. Berbeda setahun lalu, suasana kali ini lebih tenang, tanpa sekatan jalan raya yang menganggu, apatah lagi siri laporan polis yang memualkan. Baju rasmi Bersih, kuning, juga bebas dijual dan dipakai.

Malam itu, mulanya saya ingin berehat dan memanjakan diri di bilik penginapan Hotel Ancasa, Jalan Tun Tan Cheng Lock, berdekatan Pudu Raya dan Menara Maybank. Semasa belajar di Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Gurney (kini Jalan Semarak), 30 tahun lalu, saya kerap menapak laluan berkenaan, selepas turun bas di Kompleks Kota Raya, menuju stesen bas Pudu Raya, untuk balik kampung.

Jam sudah 2 pagi. Suasana sunyi, tapi deretan kenderaan melalui Jalan Tun Perak, menghala ke Dataran Merdeka, hampir tidak bergerak. Mulanya saya perhatikan tidak ramai pejalan kaki berbaju kuning, namun sesekali terdengar sorakan bergemuruh "Bersih! Bersih!", disambut bunyi hon yang bingit. Ramai melambaikan tangan tanda sokongan moral.

Tidak mahu terperangkap dalam kesesakan yang makin teruk, saya dan rakan kembali ke hotel. Rasanya lebih pantas bergerak dengan berjalan kaki. Semasa singgah di sebuah restoran mamak, tidak jauh dari Masjid Jamek, saya terjumpa dengan sahabat lama, bekas pelajar UTM, selain diajak bergambar oleh demonstran yang makan di situ, bersama Tian Chua Tidak terhenti setakat itu, rupanya Bersih 3.0 menemukan ramai lagi kenalan yang terpisah.

Tempoh tiga jam sebelum azan Subuh pagi Sabtu bersejarah itu cukup bermakna sekali. Laluan sepanjang 2km ke simpang Jalan Tun Perak dan Jalan Tunku Abdul Rahman bukan hanya mempereratkan hubungan dengan rakan-rakan seperjuangan, di samping menyuntik kesegaran baru berdepan cabaran dan gugatan lebih sengit, juga mengingatkan saya bahawa pembaca Harakah (yang mengenali saya sebagai Ketua Pengarangnya) turut membabitkan golongan belia dan remaja.

Lebih mengujakan apabila kemesraan di kalangan peserta Bersih 3.0 melewati sempadan kaum. Melihat reaksi masyarakat Tionghua yang begitu bersemangat, dengan jumlah kehadiran yang cukup ramai, dan nampak komitmen mereka di tahap tinggi, maka tidak pelik jika pemimpin Umno mengambil sikap berpatang arang untuk memujuk pengundi penentu itu kembali menyokong BN dalam PRU13.

Mungkin bersimpati dengan keuzuran saya yang terpaksa bertongkat dan berjalan perlahan penuh cermat, lima enam orang yang berselisih di jalan berpesan: "Jalan hati-hati, ya!" Sekitar jam 3.30 pagi, seorang lelaki Cina, dalam usia 25 tahun, tinggi lampai, menegur saya: "Jaga baik-baik abang, jalan elok-elok."

Melihat kaki saya mula membengkak dan berjalan agak tempang, beliau menunjukkan kepada pasangannya: "Dia juga bersemangat datang sini, tengok kakinya juga bengkak macam abang. Kaki dia sudah jadi macam kaki gajah tapi dia tetap berkeras mahu datang." Kami sama-sama ketawa. Lelaki Cina itu kemudian menarik tangan teman wanitanya, dan berjalan perlahan-lahan ke arah Dataran Merdeka.

Semasa balik ke hotel, jam menghampiri pukul 4 pagi. Beberapa kumpulan anak muda, dalam usia belasan tahun, berjalan pantas, menuju ke arah masjid. "Dari mana, ni?" saoa rakan saya. "Ipoh, bang," jawab seorang darinya. "Bersemangat nampak?" "Kali ini kita mesti tukar," pantas sekali responsnya.

Jawapan sama juga diberikan seorang belia Cina, dari Johor Bahru, ketika saya melintasi restoran McDonald berdekatan Jalan Sultan. Cuma dia menjawab dengan pertanyaan: "Mesti tukar, ya?" Wajahnya keanak-anakan, mungkin belum "cukup umur" untuk mengundi, tetapi bicaranya serius.

"Mesti tukar" dimaksudkan kepada pertukaran kerajaan persekutuan, daripada BN kepada Pakatan Rakyat!

II.

Mulanya, saya mahu mengulas demo Bersih 3.0 dalam bentuk santai dan bercerita mudah, tetapi malang sekali, permulaan yang baik telah diakhiri dengan pencabulan tindakan ganas polis. Apabila saya meninggalkan kawasan Menara Maybank jam 3 petang selepas tidak mampu berdiri lama, suasana nampak berjalan lancar.

Sekembali ke pejabat Harakah, macam-macam SMS diterima, hampir semuanya mendakwa aksi polis melampau dan di luar batas. Selain tembakan meriam air, ramai bertanyakan benarkah polis melanggar peserta demonstrasi sehingga parah dan membelasah beberapa tahanan bagaikan lagak seorang samseng?

Mungkin ketika akhbar ini berada di pasaran, media baru telah mendedahkan foto sensasi keganasan polis itu. Ada laporan mengatakan aktivis Cikgu Bard dihantam teruk

Media, seperti TV3 dan Utusan Malaysia, pasti bingkas menyambar dan membesar-besarkan kes orang ramai menendang kereta polis yang diterbalikkan dan dakwaan pistol polis yang dilarikan. Mungkinkah impian Umno untuk memburuk-burukkan Bersih 3.0 akan tercapai?

Memang bukannya mudah mengendalikan 500,000 peserta himpunan bersejarah ini. Ya, tidak semudah melepaskan gas pemedih mata atau bertindak bebal melepaskan geram. Ada yang mendakwa, melewati senja, amukan polis tambah dahsyat apabila orang yang memakai baju kuning pun ditahan.

Insiden seumpama itu, jika benar, amatlah menyedihkan. Siasatan rapi perlu dilakukan mengetahui akar puncanya. Apa pun, saya lebih khuatir mesej sebenar Bersih 3.0 akan tenggelam begitu sahaja, dikaburi dengan ending yang menyedihkan itu.

Apa khabar senarai daftar pemilih? Bagaimana dengan akses media yang adil dan saksama? ...

Kolum ini disiapkan pada petang 28 April 2012

Baca Seterusnya......

Apabila tsunami melintasi Laut China Selatan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Pilihan raya adalah permainan angka. Kebetulan pada 31 Mac lalu saya berkunjung ke Kota Kinabalu, dan esoknya terbang ke Miri. Kali ini, elok kita teliti fakta-fakta pilihan raya, khususnya di Sabah.Daripada jumlah 222 kerusi Parlimen yang ditawarkan, 25 peratus daripadanya berada di Sabah dan Sarawak, dua negeri yang dianggap "simpanan tetap" BN dalam Pilihan Raya Umum 2008. Malah ada beberapa kerusi yang dimenangi BN tanpa bertanding.



Membadai dengan dahsyatnya 

Sarawak sudahpun melepasi Pilihan Raya Negeri Ke-10 tahun lalu. Tsunami politik PRU12 yang menggemparkan Semenanjung, kini membadai dengan dahsyatnya Bumi Kenyalang, terutama di kawasan majoriti pengundi Cina.

Justeru, pemerhati politik menjangka Sarawak mampu menyumbang lebih 10 kerusi Parlimen buat Pakatan Rakyat dalam PRU13. Empat tahun lalu, DAP hanya menang di Bandar Kuching, seterusnya pada Mei 2010, parti itu memperolehi satu lagi kerusi Parlimen, Sibu, melalui pilihan raya kecil.

Di Kota Kinabalu, semasa menghadiri kursus kewartawanan dan media baru, dan dilanjutkan pada malamnya, secara santai sambil menjamah "ikan terbang" di sebuah restoran masakan Padang di gigi air, saya berkongsi maklumat dan sudut pandang dengan pimpinan tertinggi PAS Sabah.

Selama ini, dalam tiga kali kunjungan ke Sabah, saya lebih tertumpu kepada usaha mengagihkan bantuan kepada keluarga tahanan ISA,  khususnya di Sandakan dan Tawau, selalunya menjelang Aidilfitri, bersama teman-teman Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Nada agak berhati-hati


Pesuruhjaya Negeri, Aminuddin Aling, timbalannya, Hamzah Abdullah (yang agak kerap mengirim SMS melontarkan idea dan juga teguran membina kepada Harakah) dan Setiausaha Perhubungan,  Ustaz Awang Leman Ikin ternyata optimis -- meskipun dalam nada agak berhati-hati -- dengan potensi rakyat Sabah untuk melakukan perubahan.

Mereka senada menyuarakan harapan agar berlaku persefahaman erat di kalangan pembangkang, bukan sahaja dalam Pakatan Rakyat, tetapi juga parti-parti lokal seperti SAPP dan STAR. BN dijangka turut menaja calon-calon Bebas, termasuk daripada parti-parti kecil bagi mempertahankan kuasa.

Keberanian pengundi Sabah untuk menukar tampuk kepimpinan kerajaan negeri sudah teruji. Parti pemerintah bersilih ganti -- BERJAYA, USNO, PBS -- menerima penghakiman rakyat. Dan sekarang Umno-BN dilihat terlalu lama dan selesa bertakhta, sedangkan negeri yang cukup kaya dengan hasil bumi dan sumber alam ini terus terkepung dan terbelit dengan pelbagai masalah, terutama kemiskinan dan pengangguran.

Sebelumnya, sekitar jam 3 pagi 31 Mac, sebaik tiba di lokasi penginapan, Setiausaha Pilihan Raya PAS Sabah, Rahimin, yang juga 'orang kuat' Jabatan IT PAS Negeri, sempat menitipkan bekalan bermanfaat tentang keunikan latar belakang politik Negeri Di Bawah Bayu itu. Saya hanya pernah menelaah buku Dr Mohammmad Agus Yusoff, Politik Akomodasi di Sabah 1962-1992, diterbitkan pada 1992.

Saya masih sukar untuk memahami keragaman etnik, umpamanya Kadazan-Dusun yang membentuk kelompok Bumiputera bukan Islam; begitu juga kompleksiti struktur masyarakat Bumiputera Islam, seperti Melayu, Berunai,  Bajau, Illanun, Suluk dan banyak lagi.

Bukan lagi simpanan tetap 

Jika tidak diteliti secara dekat situasi terkini politik Sabah, mungkin saya seperti orang lain juga, merasakan Umno tetap dalam zon selesa dan percaya negeri itu masih merupakan "fixed deposit" BN bagi mempertahankan Putrajaya

Ya, masakan tidak, pembangkang hanya menghantar wakil tunggal (Sri Tanjung) dalam sidang Dun, Jimmy Wong Sze Phin, Pengerusi DAP Negeri. Dr Hiew King Cheu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pula merupakan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, satu-satunya wakil Pakatan dari Sabah di Dewan Rakyat.

Persempadanan semula kawasan pilihan raya dan pertambahan pengundi Bumiputera Islam  menjadikan Umno kelihatan dominan. Sistem penggiliran ketua menteri yang dimansuhkan, sebaik pusingan Musa Aman, membuktikan hal ini.

PBS yang suatu ketika dahulu begitu berkuku dan digeruni, kini terpaksa akur dengan tekanan real politik, sekadar berpuas hati dengan kuota tiga kerusi Parlimen (daripada 25 kerusi di Sabah) dan 12 Dun (berbanding 60 semuanya). Saya kira presidennya, Joseph Pairin Kitingan amat memahami hakikat itu.

"Rakyat Sabah harus disedarkan bahawa mereka menjadi harapan besar orang Semenanjung untuk menukar kerajaan Pusat. Kalaupun BN masih pertahankan kerajaan Sabah, biarkan ... kita nak tengok juga macamana ia tadbir negeri sebagai kerajaan pembangkang, istilah songsang yang sekarang dilabelkan kepada kerajaan negeri Pakatan," usik seorang sahabat, semasa kami minum teh tarik di sebuah restoran di bawah Pejabat Perhubungan PAS Sabah.

PAS lebih akrab dengan DAP? 


Semasa mengadakan wawancara ringkas dengan Adun Sri Tanjung, Jimmy Wong bersama Setiausaha DAP Sabah, Dr Edwin Bosi, sambil ditemani Setiausaha Publisitinya, saya dapat mengesan hubungan mereka yang rapat dengan pimpinan PAS Negeri. Malah nampaknya seperti lebih akrab berbanding DAP dan KeADILan itu sendiri!

"Kita tidak mahu ada parti dalam Pakatan Rakyat yang kelihatan begitu dominan berbanding rakan-rakan yang lain, seperti Umno dalam BN," kata Jimmy.

Jimmy turut menekankan kepentingan kerjasama dan persepakatan parti-parti pembangkang. Seterusnya beliau petah menuturkan isu-isu besar di Sabah, yang tidak dapat lari daripada soal kemudahan paling asas, seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.

"Kadar air di Sabah paling mahal dalam Malaysia, lebih kurang empat kali ganda tarif di Pulau Pinang walaupun di sana bekalan air mentahnya dibeli dari Kedah. Air pula kotor dan berbau. Saya dah berkali-kali bawa isu ini ke sidang Dun, termasuk untuk mengurangkan Non-Revenue Water (NRFW) yang begitu tinggi di Sabah, tapi tiada reaksi berkesan diambil," katanya.

"Sabah berada di tempat kedua dalam senarai negeri paling miskin walaupun negeri ini mempunyai sumber petroleum, tanah yang luas dan lokasi pelancongan menarik. Jalan pun ditampal sana sini tanpa perancangan, macam kita tampal koyok bila sakit kepala atau demam," katanya, disambut ketawa kecil saya dan rakan-rakan lain.

"Contoh mudahnya, jika kita dalam perjalanan dari Sabah, masuk Brunei dan keluar ke Sarawak. Cuba pejamkan mata, bila  rasa macam berombak, itu tandanya kita masih di Sabah. Kemudian rasa stabil, itu sudah masuk Brunei dan bila berombak balik, ia menandakan kita di Sarawak," tambahnya, sekali lagi mencetuskan suasana ceria di kalangan kami.

Seusai perbincangan ringkas itu, kami bertukar-tukar kad nama. Saya tertarik membaca Janji-janji Pakatan Rakyat Sabah di sebelah belakang kad Jimmy.

Petro Sabah 

Sepuluh janji tertulis: Merealisasikan autonomi Sabah; menubuhkan  suruhanjaya diraja masalah Pendatang Tanpa Izin; menuntut 20% royalti minyak; mempertahankan hak Tanah Adat; merombak Felda; menjanjikan dividen Tabung Yayasan Sabah RM300 Kepada setiap rakyat Sabah; menghapuskan masar kabotaj; menubuhkan Petro Sabah dan menuntut balik Blok L&M; menubuhkan Yayasan Orang Asal Untuk membasmikan kemiskinan; dan menaiktarafkan kemudahan asas Sabah dalam lima tahun.

Isu tanah adat segera mengingatkan saya dengan NGO Bela Tanah Rakyat Sabah (TABAH), yang berjaya menghimpunkan ratusan rakyat Sabah yang prihatin untuk berarak secara aman pada 12 Mac lalu ke Pejabat Ketua Menteri dalam "123 Bangkit".

Sayang saya tidak sempat bertemu penggerak utamanya, Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu, yang juga Setiausaha TABAH. Hamzah Abdullah juga, dalam panggilan telefonnya sebelum saya ke KK, menimbulkan hal tanah adat ini.

Semasa dibawa mengeliling bandaraya Kota Kinabalu, saya turut ditunjukkan banyak projek dan bangunan yang dikaitkan dengan kepentingan Musa Aman.

Dalam pada itu, rumusan yang dibuat oleh Ahli Parlimen, Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu dalam temubual dengan Roketkini cukup menarik: "Kita kena tukar pengurus. Dulu di Sabah kalau pilihan raya kita lihat baju kena tukar, tapi orangnya tidak bertukar. Pairin berapa kali? Yong Teck Lee ke, Musa Aman ke, masih duduk sana! Ini bukannya perubahan!

"Baju sudah tukar, parti sudah tukar, tapi orangnya masih duduk atas sana. Orang Sabah bukannya orang bodoh dan mereka dapat melihat semua ini. Orang Sabah mahukan perubahan. Kalau kita tak ubah, kita hanya menunggu kematian."

Dalam wawancara dengan Harakah, Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminudin Aling juga menekankan hal sama: "Rakyat Sabah juga cerdik, jika diberikan wang mereka pasti ambil, tapi bila mengundi mereka akan mengundi Pakatan Rakyat. Begitulah yang terjadi ketika BN menghadapi PBS dahulu, tapi akhirnya PBS juga yang menang."

Rakyat Sabah kalah dengan rasuah politik? 

Saya juga mengharapkan begitu. Bukankah selama ini kita dimomokkan bahawa pengundi di Sabah mudah menukar sokongan hanya kerana rasuah politik di saat-saat akhir?

 Saya turut mengharapkan ada gelombang besar yang mampu menenggelamkan arus deras politik wang yang sentiasa menjadi tradisi BN dalam setiap kali pilihan raya di Sabah.

Hati kecil saya agak berat untuk meninggalkan KK untuk ke Miri, pagi Ahad, 1 April itu. Banyak lagi persoalan politik Sabah yang masih menjadi teka-teki dalam fikiran saya.

Meskipun ada pihak agak ragu keupayaan Sabah untuk menyumbang lebih banyak kerusi bagi menjayakan misi Pakatan Ke Putrajaya, saya kira potensi itu tetap besar dan makin menyerlah.

Apa pun, saya percaya, dalam PRU13 nanti, untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan, aktivis dan pemimpin Pakatan harus kerap melintasi Laut Cina Selatan ....

BERSAMBUNG ....


Baca Seterusnya......

Sekadar tunggu disembelih SPR ...

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Minggu ini suhu politik tanahair makin membahang dan panas menikam.Bapa Altantuya Shaariibu, model Mongolia yang dibunuh kejam, Setev Shaariiibu, yang berada di Kuala Lumpur dalam lawatan tiga hari, mendakwa pernah melihat gambar anaknya diambil bersama Perdana Menteri, Najib Razak.

Dua akta primitif, yang mengekang kebebasan bersuara, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), masing-masing dibentang di Dewan Rakyat untuk pindaan dan pemansuhan (tetapi diganti dengan rang undang-undang pencegahan, yang juga dilihat keras).

 



Apa pun, ramai percaya, tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak akan melewati Jun ini, selepas beberapa kali ramalan tersasar. Najib masih belum kejap hatinya untuk turun ke medan meskipun saban hari berkempen politik menggunakan dana dan kemudahan awam.

Dalam pada itu. setiap program ceramah, debat dan diskusi politik Pakatan Rakyat mendapat sambutan hangat, tidak kira siapa yang mengisinya. "Paling kurang, kutipan derma dapat menampung kos program, tapi selalunya mampu meningkatkan hasil tabung PRU13," usik aktivis PAS Kuala Lumpur.


Di Parlimen, laporan PSC berhubung penambahbaikan proses pilihan raya bukan saja menimbulkan kontroversi ekoran sikap Speaker yang bebal itu, namun suasana menjadi lebih kritikal apabila pelbagai pendedahan membongkar konspirasi membabitkan lebih kurang 11 nama pegawai kanan kerajaan, yang bersedia menjadi "barua Umno-BN" bagi mempertahankan Putrajaya dan merampas Selangor daripada Pakatan.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar menyebutkan beberapa nama yang dikatakan terlibat dalam  'task force' untuk memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti.

"Ini isu serius kerana saya anggapnya seperti menjual negara kepada rakyat asing," kata Mahfuz. "Jika semua ini benar, hak rakyat akan dikuasai warga asing malah masa depan negara turut ditentukan warga asing," tambahnya.

Tentu nama-nama yang disebut itu bingkas menyanggah atau sekadar memberi daleh, "saya tidak tahu apa-apa",  misalnya Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Omar Wan Ahmad dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Mahfuz juga menyebut beberapa nama lain seperti Penasihat kepada Perdana Menteri, Othman Razak, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah JPN beserta tiga pegawai kanannya, dan juga orang-orang penting di MKN dan SPR.

Wartawan Saidah Hairan melaporkan, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, dalam satu taklimat kepada penggerak parti di Selangor, hujung minggu lalu, turut menyebut 11 nama berkenaan. Ia menjadikan senarai daftar pemilih yang ada "begitu kotor dan sukar sekali dibersihkan".

"Mereka buat kerja dengan tersusun. Jika Pakatan Rakyat Selangor kalah, bukan kerana rakyat menolak kerajaan tetapi disebabkan kemasukan daftar pemilih warga asing. Apakah Selangor menjadi negeri ketiga (selepas Sabah dan Terengganu) yang dirampas BN dengan cara begini," katanya.

Sementara itu, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi respons tegas terhadap mereka yang didakwa terlibat dengan 'task force' ini: "Jangan jadi umpan untuk pegawai kerajaan dapat duit dan pangkat kerana ia hanya sembelih mereka sendiri. Bila bersara nanti, tidak dihormati masyarakat, bila mati akan dikutuk oleh masyarakat, itu nasihat sayalah."

Dalam tinjauan rambang, saya dapat rasai kegelisahan dan kebimbangan aktivis Pakatan, khususnya pendokong PAS. Mereka mahu tindakan segera diambil, dan bukannya sekadar menunggu perhimpunan besar-besaran Bersih 3.0, 28 April nanti.

Harakah sendiri dilihat tidak cukup responsif untuk menelanjangkan komplot jahat "sekumpulan pengkhianat dan penderhaka" yang dibayar imbuhan oleh wang rakyat ini. Ramai pemanggil mendesak saya agar menimbulkan isu 'task force' ini dalam Harakah secara lebih terperinci.

"Kalau begini jadinya, memang Pakatan akan kalah, tapi tewas bukan disebabkan penolakan atau kemarahan rakyat. Ia berpunca daripada kerja jahat Umno. Dan kita kena ingat, ini hanya salah satu daripada perancangan jelik mereka, mungkin banyak lagi strategi busuk yang belum dapat kita kesan," kata seorang pembaca setia Harakah dari Setapak 

Saya merujuk pandangan Mohd Khairudin Othman, Setiausaha Perhubungan PAS Selangor tentang isu 'task force' itu. "Hal ini serius ... sebab sesiapa yang dapat IC melalui cara ini, maka nama dia secara automatik masuk dalam senarai daftar pemilih," katanya.

Pengarang Berita Harakah, Mohd Rashidi Hasan dan wartawan kanan, Wan Noordin Wan Yaacob memaklumkan kepada saya rumusan temubual mereka dengan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, yang mendedahkan usaha terancang strategis Umno memindahkan pengundi ke kawasan yang dikenal pasti berpotensi untuk dimenangi BN.

"Banyak kerusi Pakatan yang bakal terlungkup, termasuk Tumpat," kata Rashidi, merujuk kawasan yang diwakili Kamarudin Jaffar, Pengarah Urusan Harakah. "Dahsyat betul perancangan jahat Umno ini, Pakatan di Selangor mungkin jatuh kalau ianya berjaya," tegas Wan Nordin.

Difahamkan sasarannya lebih tertumpu kepada kerusi yang dimenangi secara majoriti tipis oleh PAS atau KeADILan. Dengan cara itu DAP akan dibiarkan menang dengan kelebihan undi yang besar asalkan BN dapat merebut kawasan bersebelahan apabila penyokong mereka dipindahkan ... (Saya pernah melontarkan kekhuatiran bahawa PAS mungkin akan menjadi parti paling malang dalam PRU13!)

Turut dibangkitkan salahlaku SPR "memperbetulkan" sempadan kawasan pilihan raya tanpa kelulusan Parlimen, satu lagi komplot untuk memenangkan BN, walaupun ia jelas aktiviti yang menyalahi undang-undang, iaitu memindahkan pengundi tanpa izin mereka dan memperbetulkan kawasan pilihan raya Dun mahupun kerusi Parlimen tanpa melalui persetujuan Parlimen.

Saya tertanya-tanya, mampukah Bersih 3.0 pada 28 April nanti "membersihkan" segala kekotoran dalam senarai daftar pemilih itu? Apa yang kita harapkan daripada "Duduk Bantah" itu? Jika Najib dan konco-konconya terus bersikap pekak-badak telinga tebal, apa yang boleh kita cetuskan lagi?

"Takkan nak biar Umno sembelih kita mudah-mudah macam itu saja. Sabah jatuh dengan taktik sama, Terengganu pun seperti itu, mana boleh kita tunggu Selangor juga tumbang dengan komplot jahat di bawah perancangan orang sama," marah seorang pembaca Harakah, dari Terengganu, yang mengaku "tidak dapat bersabar" lagi.

Ketika saya bersama Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) cuba berkempen dan melobi untuk memastikan hak pemilih untuk mendapat maklumat yang komprehensif, tepat dan cepat sebelum mengundi dalam pilihan raya paling sengit nanti, serta mendesak tempoh kempen minimum dilanjutkan kepada 21 hari, isu daftar pemilih menganggu tumpuan KAMI.

"Pakatan juga mesti tekankan bahawa  semua pengundi pos, yang menjadi 'simpanan tetap' BN selama ini, mesti  ditukar kepada kategori pengundian awal," kata seorang sarjana sains politik, dan tambahnya, "pastikan juga dakwat kekal memang benar-benar digunakan kali ini."


II.

Saya terpaksa menangguhkan dahulu ulasan terhadap isu mendesak manipulasi senarai daftar pemilih bagi meneruskan catatan perjalanan ke Bumi Kenyalang, 1 April lalu.

Saya menghadiri kursus kewartawanan dan media baru di Miri, sambil cuba menyelami pergolakan politik Sarawak, yang semakin diperhatikan terutama selepas pilihan raya negeri (PRN), April 2011.

Sarawak menyumbang kerusi Parlimen paling banyak, iaitu 31, dengan hanya Bandar Kuching dapat dikuasai DAP dalam PRU12 (ditambah satu lagi, juga melalui DAP di Sibu, dalam pilihan raya kecil, Mei 2010).

Namun dalam PRN10, DAP mendapat tambahan 100 peratus kerusi Dun, iaitu daripada enam kepada 12. KeADILan pula mencatatkan kemenangan di tiga kawasan, sedangkan PAS masih belum meraih kejayaan.

"BN sendiri mengakui kesukaran kali ini. Saya difahamkan, pemimpinnya hanya berani mendakwa lebih kurang 20 kerusi Parlimen sebagai kawasan selamat," kata Jofri Jaraiee,
Yang Dipertua PAS Miri, dikenali dengan blog dwibahasanya yang cukup aktif, pas-miri.blogspot.com.

Semasa berucap meraikan kedatangan saya dan petugas Jabatan IT PAS Pusat, Jofri melahirkan keyakinannya bahawa bumi Sarawak memang tapak yang subur buat Parti Islam jika setiap potensi digembleng sebaiknya.

Beliau turut mengharapkan Harakah dapat memuatkan lebih banyak perkembangan siasah negeri itu. Sambil mengakui masih ada kelompok yang memandang serong PAS, Jofri lega dengan sikap masyarakat Tionghua "yang lebih terbuka dan menghargai sumbangan kita".

"Begitu juga dengan respons masyarakat Iban di sini, begitu positif. Apatah lagi kemungkinan besar  PAS akan meletakkan seorang calon Iban, yang juga merupakan seorang personaliti televisyen terkenal, di kawasan Parlimen Sibuti," kata Jofri.

Ditemani Yeo Kian Leong, Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sarawak, yang turut hadir sepanjang pagi kursus kewartawanan media baru itu, Jofri membawa 'menjelajah' kawasan Sibuti.

"Kawasan ini luas, mungkin hampir sama dengan Selangor, itulah yang saya sebut tadi, kalau tempoh kempen dibenarkan sebulan pun belum tentu kita dapat berjumpa semua pengundi," katanya sambil menunjukkan ladang kelapa sawit yang sebahagiannya 'dirampas' daripada tanah adat masyarakat pribumi.

Sebenarnya saya lebih tertarik dengan sembang santai Yeo, sepanjang perjalanan kami. Beliau lebih banyak menggunakan istilah "Parti Islam" atau "Parti Tok Guru" semasa merujuk kepada PAS.

Insya-Allah keluaran depan saya cuba merakamkan idea dan sudut pandangan Yeo yang cukup bernas dan praktikal, khususnya untuk membantu kempen PAS di Sarawak.

Pada malam 2 April, tidak sampai 24 jam saya tiba dari Miri, Jofri mengirim SMS memaklumkan ayah Yeo meninggal dunia di Krokop. Rombongan PAS Kawasan berkunjung ke rumahnya dan mengucapkan takziah.  Saya turut terkedu ...

 

Baca Seterusnya......

Manipulasi BN kalahkan kuasa rakyat dalam PRU13?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Melihat sambutan hebat masyarakat terhadap program Pakatan Rakyat, khususnya ceramah-dialog politik dan majlis makan malam, tidak terbayang bahawa Najib Razak dan BN mampu mempamerkan prestasi lebih baik dalam pilihan raya umum akan datang, berbanding rekod buruk Abdullah Ahmad Badawi empat tahun lalu.

Pagi Ahad lalu, 25 Mac, sewaktu singgah di majlis Himpunan Anak Terengganu di Perantauan 2012, di Kajang -- yang menyaksikan hampir semua pimpinan kanan PAS Negeri turun, termasuk Pesuruhjaya, Abd Wahid Endut dan Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang -- saya lihat hadirin memenuhi segenap ruang Dewan Majlis Perbandaran Kajang itu. 



Wajah dan air muka mereka menyerlahkan keyakinan atau sekurang-kurangnya semangat dan harapan tinggi agar Terengganu tidak lagi tercicir daripada gelombang tsunami politik, seperti tahun 2008.

Di sebelah malamnya, wartawan Harakah yang membuat liputan Karnival Terima Kasih Rakyat di Stadium Kuala Selangor, sempena empat tahun Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, memaklumkan bahawa puluhan ribu menghadiri majlis ceramah Rapat Rakyat, yang disertai tiga pimpinan utama, Anwar Ibrahim, Ustaz Hadi dan Lim Kit Siang, selain Menteri Besar Khalid Ibrahim.

Sehari selepas itu, saya dikunjungi dua aktivis mahasiswa Universiti Malaya, yang banyak menceritakan perkembangan menarik anak-anak muda di kampus; siri aksi protes terbaru mereka begitu mengujakan, termasuk menghantar simbol batu nesan kepada Menteri Pengajian Tinggi, petanda keprihatinan tinggi terhadap idealisme perjuangan untuk bersama-sama mencetuskan perubahan yang begitu didambakan rakyat.

Sekurang-kurangnya saya dapat diyakinkan bahawa kebangkitan mahasiswa kini berupaya membentuk gelombang tersendiri dan mampu mempengaruhi kecenderungi mengundi generasi muda dalam PRU13 nanti. Jadual mereka untuk mengungguli suara kebenaran cukup padat sekali.


Ketika menulis catatan ini, jam 1.10 pagi, 28 Mac, hanya 2km dari kediaman saya, di Padang Awam, Taman Kosas, Ampang, ceramah Anwar dan Mohamad Sabu baru berakhir setengah jam lalu. Mulanya saya bercadang untuk merasai kemeriahan itu, tetapi keuzuran dan kesuntukan masa menyemak deadline Harakah menghalangnya.

Saya menelefon anak sulung yang terperangkap dalam kesesakan. "Ramai sangat yang datang ... kebanyakannya anak-anak muda. Mereka bertepuk dan bersorak semasa Anwar berucap. Mungkin itu sebabnya Anwar berceramah lama malam ini, dia pun bersemangat dengan orang muda," ujarnya sambil ketawa.

Seminggu sebelumnya, 18 Mac, sempena Hari Wanita Sedunia, di Petaling Jaya, ribuan aktivis daripada pelbagai pertubuhan, berarak penuh bersemangat, dari Masjid Bulat, Seksyen 14 dan Taman Tasik Jaya ke Paang Astaka, juga membawa tema serupa, iaitu menuntut perubahan, antara lain dengan laungan "Wanita Menuntut Kerajaan Bersih" dan "Wanita Menolak Rasuah".

Asakan berterusan terhadap Pakatan Rakyat, yang disiar besar-besaran media, khususnya Utusan Malaysia dan TV3, dengan tukang karut utamanya, Najib, sudah cukup membayangkan, bahawa Umno-BN dalam keadaan panik dan tidak tentu arah. Kuasa yang bakal terlucut begitu menggerunkan.

Ya ... begitulah pemandangan lahiriah atau lakaran di permukaan; begitu menjanjikan! Di mana-mana orang bercakap soal perubahan dan pembaharuan. Atau setidak-tidaknya menjalar fenomena Asalkan Bukan Umno (ABU), meskipun masih ada yang curiga keupayaan Pakatan Rakyat untuk melakukan yang terbaik buat Malaysia.

"Berilah peluang Pakatan memerintah kerajaan pusat ... kalau sama juga perangainya, rasuah, sombong, asyik kayakan diri dan kroni, cukup sepenggal kita tukar orang lain pula, apa susah?" Ungkapan yang lebih kurang hampir sama maksudnya, sering diluahkan kepada saya, terutama oleh orang awam yang saya lihat tidak begitu komited dengan mana-mana parti politik.

Dalam masa sama, rupa-rupanya agak ramai yang lebih cenderung untuk bersikap berhati-hati mentafsirkan situasi yang dilihat mata kasar itu. Tidak kurang yang menelefon saya, manakala lebih ramai menghantar SMS dan emel.

"Lutfi, saya bimbang dengan penipuan dan taktik jahat BN yang kita tidak terhidu. Mungkin perancangan licik mereka berbeda dengan komplot di Terengganu pada 2004 dulu. Tapi, ia tidak lari daripada manipulasi senarai daftar pemilih, itu yang paling penting," SMS seorang pembaca Harakah, sekadar memaklumkan dari Shah Alam.

Beliau cukup khuatir, Selangor -- yang menjadi idaman Najib dan Noh Omar -- akan terlepas ke tangan BN, bukan disebabkan kelemahan kepimpinan Khalid Ibrahim, tetapi berpunca daripada seribu satu tipu muslihat, yang disokong dan dimudahkan oleh rangkaian agensi kerajaan!

"Mampukah Pakatan halang penipuan daftar pemilih? Tidak ada cara lain kecuali kita tingkatkan tekanan melalui Bersih 3.0. Kali ini kita berhimpun lebih lama, kalau boleh berhari-hari, dan tidak bersurai sehingga ada jaminan tindakan berkesan dari kerajaan," seorang pemanggil, bekas tentera melontarkan pandangan.

Mendapat panggilan yang agak kerap dan curahan SMS dengan nada sama, yang khuatir dan curiga, bukan sahaja merisaukan laluan Pakatan ke Putrajaya, malah bimbang dengan penguasaan ke atas Selangor dan Kedah, saya sendiri naik cuak.

Apakah mereka turut terpengaruh dengan mesej yang sering saya bawa dalam kolum ini, atau kerisauan itu memang sesuatu yang real; bukan disebabkan kegagalan Pakatan untuk meraih sokongan tetapi manipulasi BN terhadap proses pilihan raya yang masih tempang ini?

Saya jarang tertarik dengan emel blogger Tulang Besi, tetapi tulisannya tentang Selangor agak menyentap perhatian saya. Antara yang ditekankan beliau:

"Dengan bantuan SPR dan JPN, Umno (di Selangor) telah berjaya menukar puluh ribuan pengundi Pakatan Rakyat dari Dun masing-masing; mendaftar pendatang asing sebagai pengundi yang sah; menukar alamat pengundi Umno dari Johor, Melaka dan Pahang untuk mengundi di Dun (yang dikuasai) KeADILan dan PAS; dan mendaftar banyak pengundi hantu yang tidak dikenali dan tidak wujud di Selangor.


"Mengikut bilangan terkini, bilangan kerusi yang bakal dimenangi oleh Umno-BN adalah 35 berbanding Pakatan Rakyat 21. Menjelang pilihan raya umum bulan Jun 2012 nanti, bilangan kerusi yang bakal dimenangi BN adalah 43 berbanding Pakatan Rakyat 13.

"Umno-BN bukan setakat yakin untuk memerintah Selangor tetapi yakin mendapat kembali majoriti dua pertiga di Dun Selangor.

"Setakat yang saya tahu, amat sedikit sangat usaha yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat untuk menangkis penipuan Umno-BN ini. Disebabkan kos membantah nama dalam daftar pemilih yang diragui ditetapkan oleh SPR RM10 untuk satu nama, maka PAS Selangor tidak mampu membantah dengan banyak walaupun mereka kuat bekerja."

Saya tinggalkan anda dengan persoalan yang kelihatan merisaukan ini ...


Baca Seterusnya......

Tanpa Sabah, misi Pakatan ke Putrajaya tinggal angan-angan?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Selain Kelantan, rakyat Negeri Di Bawah Bayu juga popular dengan kecenderungan siasahnya yang lebih terbuka dan berani membuat keputusan. Lama sebelum tsunami politik melanda Semenanjung, Mac 2008, bumi Sabah sudah menyaksikan perubahan kepemimpinan negeri; ada kalanya berlaku secara mengejut dan tidak dijangka.

Parti-parti yang menerajui kerajaan negeri bersilih ganti. Daripada United National Kadazan Organization (UNKO), pimpinan Donald Stephens, kepada United Sabah National Organizatin (USNO), diasaskan Datu Mustapha Datu Harun, kepada Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) diketuai Fuad Stephens dan Haris Sallah, seterusnya Parti Bersatu Sabah (PBS) diterajui Joseph Pairin Kitingan.



Penyertaan mengejut PBS bersama Gagasan Rakyat pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah menjelang Pilihan Raya Umum 1990 mendorong Umno bertapak di Sabah, seterusnya menguasai negeri itu sehingga kini.

Sabah dan Sarawak menyumbangkan kerusi Parlimen yang agak besar, masing-masing 31 dan 25, menjadikannya 56 kerusi. Ia membentuk satu perempat atau 25 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi di Dewan Rakyat.

Dalam kedudukan BN buat pertama kali telah dinafikan majoriti dua pertiganya di Parlimen dalam pilihan raya 2008, dan kini banyak pihak bercakap tentang kemungkinan tampuk pemerintahan Pusat bertukar tangan,  tumpuan tidak dapat lari daripada meneliti setiap perkembangan di Sabah dan Sarawak.

Kita dapat menyaksikan bagaimana kedua-kedua negeri itu mula diberi perhatian dan layanan "istimewa", terutama selepas ura-ura ramai ahli Parlimen BN akan melompat parti, menjelang 16 September 2008.

Di atas kertas, digembar-gemburkan peruntukan pembangunan di sana ditambah, begitu juga jawatan strategik dalam kabinet dan kerajaan, juga posisi penting di Parlimen. Namun begitu, sebenarnya Sabah dan Sarawak masih tertinggal jauh, termasuk daripada segi kemudahan paling asas.

Dalam suasana setiap kerusi (malah setiap undi) begitu penting dalam PRU13 -- bagi memudahkan laluan ke Putrajaya dan  membentuk kerajaan Persekutuan -- maka Pakatan Rakyat tidak  boleh memandang ringan setiap potensi yang ada di Sabah dan Sarawak.

Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10, pada April 2011, telah menyuntik semangat dan keyakinan baru kepada aktivis Pakatan Rakyat. Kubu kebal BN di negeri yang dianggap "simpanan tetap" atau "fixed deposit" itu mulai retak. Daripada 71 kerusi Dun yang dipertandingkan, BN kalah 16 kerusi, dengan DAP menang 12 dan KeADILan, 3.

Dalam PRU12, BN Sarawak hanya kalah satu kerusi Parlimen. Diunjur daripada trend pengundian 2011 itu, sekurang-kurangnya sepuluh kerusi diramalkan dikuasai Pakatan, sebahagian besarnya di kawasan majoriti pengundi Cina. (Saya akan mengulas hal ini dalam Harakah keluaran akan datang).

Ya ... tiba-tiba Sabah yang agak muram pergolakan politiknya seperti mendapat inspirasi menakjubkan. Rakyatnya mula ghairah berbicara soal perubahan dan keperluan untuk merobah kerajaan Persekutuan, kalaupun belum bersedia menumbangkan Ketua Menteri, Musa Aman.

"Target yang lebih praktikal adalah untuk Sabah bersama-sama menyumbangkan kerusi Parlimen yang mencukupi untuk Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Pusat," kata penganalisis politik, Musli Oli.


Senario menarik negeri jiran Sarawak itu bakal merebak ke Sabah. BN dilihat tidak sehebat mana lagi, terutama berdepan pelbagai isu membabitkan salah guna kuasa, penyelewengan, korupsi, kronisme dan juga pengabaian yang begitu ketara terhadap kemudahan awam, terutama bekalan air bersih.

Apabila diminta mengisi slot dalam seminar kewartawanan dan media baru PRU13 di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Sabah, 31 Mac lalu, saya dapat merasai komitmen padu penggerak parti, diketuai pesuruhjaya sendiri, Aminuddin Aling.

"Sdr perlu selalu turun ke Sabah, melaporkan aktiviti PAS yang kian meriah dan mendapat sambutan hangat, agar bukan saja kami bertambah semangat, malah aktivis parti seluruh negara dapat berkongsi sama dengannya," bisik Timbalan Pesuruhjaya Hamzah Abdullah kepada saya, selepas beliau, Aminuddin dan Setiausaha Perhubungan, Ustaz Awang Leman Ikin selesai mengadakan sidang akhbar mengenai penggunaan kalimah Allah. Hamzah merupakan Pesuruhjaya PAS Sabah pertama ketika mula bertapak pada  1986.

 

Jika dalam pilihan raya 1986 PAS bertanding tiga kerusi Parlimen, iaitu Kota Belud, Jambongan dan Kimanis, (malah dalam pilihan raya umum empat tahun lalu, tanpa sebarang kerusi Parlimen pun) saya difahamkan  untuk PRU13, Parti Islam ini mungkin diamanahkan untuk bertanding sejumlah kerusi yang jauh lebih besar, mungkin mencatat rekod sepanjang 26 tahun berjuang dengan penuh getir di Sabah.

BN SABAH BAKAL KALAH 14 KERUSI PARLIMEN?


Dalam kunjungannya ke Kota Kinabalu, 31 Mac lalu, di sebuah restoran di bawah Pejabat Perhubungan PAS Negeri Sabah, wartawan Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN sempat berbicara dengan penganalisis politik Sabah, Musli Oli, 52, yang juga Penolong Ketua Penerangan KeADILan, Sabah. Lulusan ekonomi yang banyak menulis buku-buku politik ini merupakan bekas Presiden Mahasiswa Sabah Universiti Malaya, awal tahun 80-an.


HARAKAH: Bagaimana sdr melihat situasi politik Sabah?


MUSLI OLI: Dalam pilihan raya 2008, BN menang 24 daripada 25 kerusi Parlimen. Hanya kerusi Kota Kinabalu dikuasai DAP. Sebenarnya ada empat atau lima kerusi parlimen boleh dimenangi parti pembangkang jika "satu lawan satu". Daripada 60 kerusi Dun, hanya satu dimenangi DAP, iaitu Sri Tanjung.


Waktu itu, Sabah dan Sarawak tidak mendapat isyarat yang jelas daripada negeri-negeri lain di Semenanjung. Justeru, rakyat "play safe" dan terus beri sokongan  kepada BN.

Situasi hari ini jauh berbeza. Ramai secara terbuka menyatakan perasaan tidak puas hati dengan isu-isu yang menyelubungi rakyat terutama isu pendatang tanpa izin, isu kemiskinan dan banyak lagi, yang gagal ditangani kerajaan BN.

Daripada urutan sejarah politik,   pemimpin Kadazandusun (KDM) seawal Tun Stephens amat berpengaruh dan mendapat sokongan daripada kaum mereka kerana sentimen tidak bersetuju dengan dasar kerajaan Pusat kepada Sabah.

Atas faktor sentimen marahkan dasar BN di peringkat Persekutuan itu, Sabah bertukar kerajaan beberapa kali dengan kebangkitan semangat KDM. Ia bermula pada 1976 bila USNO tumbang kepada  Berjaya pimpinan Stephens.

Diikuti kebangkitan PBS di bawah pimpinan  Joseph Pairin Kitingan pada pilihan raya 1985. Berjaya yang mendapat sokongan "sink and swim" dari Dr Mahathir  Mohamad hanya tinggal enam daripada 48 kerusi Dun!

Kerana taktik "pecah dan perintah"  Kuala Lumpur, KDM dipecahbelahkan kepada beberapa parti politik selepas pilihan raya negeri 1994. PBS, UPKO dan PBRS adalah parti-parti politik utama pimpinan KDM, di samping jumlah yang signifikan menyertai Umno.

Setelah PBS menyertai semula BN pada 2001 dan persempadanan semula kawasan pilihan raya (daripada 48 kerusi kepada 60), jumlah kerusi majoriti pengundi KDM, yang asalnya 20 menjadi 17 sahaja.

Dengan dua faktor itu sokongan KDM tidak lagi menjadi penentu politik Sabah.

Keadaan terkini pengundi KDM macam mana, ya?


Daripada 25 kerusi Parlimen Sabah, lapan kerusi majoriti KDM berada dalam situasi "tidak menentu"  berikutan isu-isu politik mutakhir terutama janji Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga yang begitu dekat dengan hati kaum KDM.

Antara isu-isu yang mendapat sokongan KDM ialah: Pertama, memulihkan Perjanjian 20 Perkara. Kedua, menyemak semula Perjanjian Malaysia 1963. Ketiga,  menaikkan royalti minyak daripada 5 peratus kepada 20 peratus. Keempat,  menubuhkan siasatan diraja mengenai pendatang tanpa izin.

Kelima, memansuhkan dasar kabotaj yang menjadi punca harga barang keperluan di Sabah lebih mahal secara relatif dengan Semenanjung. Dan keenam, melaksanakan sepenuhnya dasar Borneonisasi.

Jika tidak ada perpecahan undi dan tercapai persetujuan "satu lawan satu parti" sesama pembangkang, lima kerusi Parlimen KDM  boleh ditawan Pakatan pada PRU13.

Janji Pakatan ini secara umum bukan sahaja menarik sokongan KDM yang terkenal dengan keberanian mereka menukar kerajaan tetapi juga mempengaruhi sokongan kaum Bumiputera Islam yang masih dibelenggu kemiskinan.

Dengan kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia, di samping kadar pengangguran di Sabah yang teratas sekali,  golongan  muda mula secara terang menunjukkan protes terbuka terhadap BN dan Umno.

Jangkaan sdr ...

Saya meramalkan daripada 14 kerusi Parlimen diwakili Umno, lima hingga tujuh boleh dimenangi Pakatan, antaranya Kota Belud, Kudat dan Kimanis. Kerusi Parlimen yang sebelum ini diwakili LDP (1), SAPP (2) akan ditawan Pakatan di samping mengekalkan Kota Kinabalu.

Keseluruhannya, lima kawasan KDM, lima kerusi Melayu dan empat kerusi Cina, semuanya 14 akan jatuh kepada  Pakatan. Namun, saya kira BN masih mampu mempertahankan kerajaan negeri kerana fokus rakyat Sabah lebih kepada menawan Putrajaya.


Dalam PRU13 nanti, Umno-BN cukup mengharapkan Sabah dan Sarawak menjadi benteng terakhirnya. Tetapi dari tanggapan sdr itu, maknanya, Sabah bukan lagi "simpanan tetap" BN?

Istilah "simpanan tetap" adalah istilah Dato' Seri Najib Razak sewaktu berucap di Tuaran, Sabah pada 2008, beberapa bulan selepas  PRU12.

Rakyat Sabah hari ini mempersenda istilah itu dengan kata-kata seperti "jika ada bank yang tawarkan interest 20 peratus, buat apa simpan di bank yang bayar interest lima peratus"!

Lanskap politik Sabah berubah setelah PRU12, apatah lagi selepas melihat keputusan rakyat Sarawak pada pilihan raya negeri Sarawak, April 2011.

Apa sebenarnya isu-isu kritikal yang dihadapi rakyat Sabah?

Isu pokok ialah Perkara 20 dan Perjanjian Malaysia 1963 yang tidak dihormati kerajaan Persekutuan yang diterajui Umno-BN! Begitu juga isu tanah adat dan tanah warisan. Di Sabah setakat ini 485 kes pending di mahkamah berhubung  tindakan syarikat-syarikat yang merampas tanah rakyat.

Begitu juga isu royalti minyak. Dua pemimpin Sabah terkorban  kerana isu ini. Seorang korban jawatan, Tun Mustapha yang ditentang Tun Razak kerana meminta royalti lebih daripada 5 peratus  dan  Tun Fuad terkorban nyawa pada 6 Jun 1976 kerana enggan tanda tangan perjanjian dengan Petronas yang beri 5 peratus royalti.

Isu lain ialah kebanjiran pendatang tanpa izin dari Filipina dan Indonesia. Janji KLmemujuk rakyat Sabah menyertai gagasan Malaysia ialah melindungi Sabah daripada Filipina dan Indonesia ternyata tidak benar. Sebaliknya KL membiarkan Sabah dimasuki secara bebas dan Umno terlibat memberi kad pengenalan dan kerakyatan kepada mereka.

Selain itu, isu kemiskinan dan kemudahan infrastruktur yang daif. Pada tahun lalu, Penolong  Pengarah Kanan Jabatan Kebajikan Persekutuan, Asri Aziz dalam majlis "sedetik dengan media" menyatakan 68 peratus rakyat Sabah masih hidup di bawah paras garis kemiskinan.

Jika di Sarawak, Ketua Menteri, Taib Mahmud yang mentadbir lebih 30 tahun dianggap membebankan BN di negeri itu, bagaimana pula dengan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman? Sepanjang saya berada di sini, ramai bercakap tentang banyak projek pembangunan dikaitkan dengannya.

Seperti Harris Salleh yang tumbang dengan  Berjaya pada 1985, Musa Aman tidak mewakili kaum majoriti pribumi Sabah iaitu kaum KDM dan kaum Bajau. Musa terlalu fokus untuk memperkaya kaum keluarga dan kroninya.

Isu pengambilan tanah rakyat didalangi Musa Aman kerana kuasa meluluskan tanah adalah hak mutlak Ketua Menteri Sabah.

Suasana atau lingkungan politik mutakhir ini nampaknya memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat, tetapi sejarah di Sabah menunjukkan pembangkang juga sering berdepan masalah sesama sendiri ...


Masalah pokok ialah untuk mencapai persetujuan dan kerjasama dengan parti-parti bukan Pakatan Rakyat seperti SAPP dan STAR. Jika gagal dicapai persetujuan "satu lawan satu" agak sukar untuk menggugat kedudukan BN yang mungkin menjadi dalang di belakang parti-parti pembangkang ini.

Begitu juga dengan masalah kewangan dan logistik yang masih menjadi halangan besar kepada pembangkang kerana keadaan dan geografi di Sabah.


Baca Seterusnya......

Pakatan Rakyat "jangan syok sendiri"..

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Memang seronok membaca telahan bekas Menteri Kewangan dan veteran Umno, Daim Zainuddin. Jika https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjp85oatDg4fPX1C_lX0duRr7REdOKlLvbHEkt9aA7xNCRnKslsgfGxcznRWrbCLyGwwn-oUlh-JkMGF1cvqei-_tPaX44FnMGzsuJbpsHG81Bo1Cj7oACKHfstl8tqFjXwGsPN93u8567S/s200/Daim1.jpgmenjelang Pilihan Raya Umum 2008 beliau meramalkan BN kalah di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, kali ini beliau hanya menjangka Johor, Melaka dan Pahang dapat memberi kemenangan mudah buat gabungan parti yang memerintah sejak merdeka itu.


Beliau juga melihat Negeri Sembilan dan Perlis sukar dipertahankan BN, difaktorkan oleh perpecahan dalaman Umno yang teruk. Tidak pasti pula bagaimana tanggapannya terhadap Terengganu,  negeri yang masih dianggap kubu kuat PAS dan turut menyaksikan pergolakan kepemimpinan Umno.

Yang jelas, Daim tidak menyenaraikan Terengganu bersama tiga negeri selamat di selatan itu. Apa pun, BN dilihat memang tidak berpeluang di Kelantan dan Pulau Pinang tetapi masih ada ruang  di Kedah dan Selangor, dengan syarat menampilkan kepimpinan sesuai -- sesuatu yang paling sukar dilakukan Umno.

Sebut saja nama Ahmad Bashah Md Hanipah di Kedah dan Noh Omar di Selangor, saya yakin, persepsi pengundi kepada Umno sukar diubah.

Untuk mengekalkan Perak (yang direbut BN melalui rampasan kuasa) akan menjadi cabaran terbesar bagi BN, kata Daim. Menurut pemerhati politik, Umno negeri itu juga hebat bergolak dan kedudukan Dr Zambry Abd Kadir dilihat goyah. Pengalaman setahun di bawah Menteri Besar Nizar Jamaluddin pula memikat hati pengundi.

Tentulah lega para aktivis dan penyokong Pakatan Rakyat mendengar pandangan Daim, ketika ditemubual akhbar harian Cina, Nanyang Siang Pau, yang disiar pada 20 Mac itu.

Ditambah dengan analisis politik bekas Adun Pulau Manis, Pekan, Ariff Sabri Abd Aziz, bahawa Sabah dan Sarawak -- selama ini dianggap  deposit tetap BN -- bakal menghadiahkan hampir 20 kerusi Parlimen kepada Pakatan.

Manakala Johor yang dianggap Daim sebagai selamat buat BN, sebenarnya menimbulkan kerisauan amat sangat kepada Muhyiddin Yassin dan Ghani Othman. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Pengerusi KeADILan Johor, Dr Chua Jui Ming rasanya mempunyai cerita menarik tentang perkembangan terkini di sana.

Kepada pembaca yang sering mengikuti tulisan saya, tentu dapat mengagak bagaimana saya cuba menafsirkan situasi seumpama ini. Agak kerap saya melontarkan pelbagai persoalan dan tanda tanya sehingga boleh memancung rasa lega dan seronok aktivis Pakatan itu.

Ya, saya lebih suka melihat realiti politik dalam konteks "situasi terburuk yang mungkin berlaku", dan dengan itu masih berupaya untuk merancang dan melakukan penambahbaikan atau "mengetatkan skru yang longgar".

Dalam bahasa mudah, saya cuba mengingatkan, "jangan syok sendiri" atau membunyikan "loceng amaran" lebih awal agar tidak mudah leka dengan ramalan (malah tinjauan di lapangan) yang sebenarnya bergantung rapat dengan bermacam-macam faktor, dan dalam politik ia boleh berubah dengan drastik sekali.

Rakyat kini berpeluang melihat, merasai serta menghakimi pemerintahan dan prestasi Pakatan, sepertimana mereka lakukan selama ini kepada BN.

Kalau pada 2008, pengundi membuat pilihan mungkin didorong oleh faktor amarah kepada BN, tidak puas hati dengan Abdullah Ahmad Badawi atau memprotes wakil rakyat setempat, sekarang prestasi Pakatan (kerajaan, GLC, ahli majlis dan wakil rakyat) turut dinilai, juga dengan kacamata kritis, malah mungkin secara lebih kritikal, dengan  merujuk janji-janji atau manifesto yang dibuat.

Justeru, apabila mendengar keluhan penduduk yang terbabit dengan banjir kilat di Lembah Jaya Utara, Ampang dan sekitar Dusun Tua, Hulu Langat (tidak terkecuali rungutan aktivis parti yang membantu mangsa), dua minggu lalu, yang tidak berpuas hati dengan sikap kerajaan negeri, saya menganggapnya sebagai hal serius dan tidak boleh dipandang ringan.

Mangsa bah mungkin terharu dengan tindakan proaktif sukarelawan yang pantas membersihkan rumah mereka dan kawasan sekitar, serta menawarkan makanan dan pakaian percuma, namun penduduk mengharapkan lebih daripada itu, khususnya daripada sebuah kerajaan berkebajikan dan paling kaya!

Mereka mahu "jaminan keselamatan", misalnya dari segi sistem saliran dan sungai yang efisyen, agar tidak lagi fobia dengan hujan lebat yang bakal menenggelamkan, selain bantuan one-off di atas kerosakan harta benda yang begitu besar, dan menyegerakan proses pemulihan kemudahan infrastruktur, termasuk jambatan yang hilang dibawa arus deras.

Untuk 10 hari pertama, rasa tidak puas hati dan kecewa terhadap kerajaan negeri agak meluas. Kebetulan saya sering mengunjungi lokasi terbabit memandangkan jarak rumah saya tidak sampai 2km dari tempat kejadian.

"Jangan sampai peluang Pakatan untuk pertahan Selangor terjejas hanya kerana dasar terlalu berjimat cermat kita sehingga mangsa banjir berasa diabaikan. Takkan duit berbilion kerajaan negeri nak diwariskan kepada BN untuk difaraid sesama mereka?" tegur seorang aktivis PAS, seminggu selepas banjir kilat.

"Jangan jadikan isu yang mudah itu payah untuk diselesaikan," kata seorang profesor sains politik kepada saya, merujuk kejadian bah di daerah Hulu Langat. "Rakyat kalau marah, apatah lagi dekat dengan PRU13, parah jawabnya. Isu-isu kebajikan, berkaitan kos sara hidup dan keselamatan, cukup mempengaruhi undi mereka," tekannya lagi.

Alhamdulillah, Menteri Besar Khalid Ibrahim, pada Isnin lalu, membuat pengumuman yang melegakan. Daripada bantuan awal sebanyak RM300,000, Khalid, selepas majlis pembukaan sidang Dun Selangor, pada 19 Mac, menegaskan dua perkara penting.

Saya menyedarinya daripada posting anggota Exco Kerajaan Negeri, Iskandar A Samad dalam Facebook. Pertama, kerajaan negeri akan menanggung kos membaik-pulih infrastruktur  yang musnah akibat banjir, termasuk pembinaan sebuah jambatan yang runtuh di Lembah Jaya Utara. Peruntukan adalah daripada geran Selangorku. Anak-anak syarikat kerajaan negeri, seperti PKNS, akan turut membantu. Kedua, bantuan bagi setiap keluarga yang terlibat dinaikkan kepada RM1,000.


Pimpinan utama Pakatan yang kini menerajui empat negeri, termasuk dua negeri terkaya, tentunya  menyedari, kuasa yang tidak dikendalikan secara penuh amanah dan tanggungjawab, mudah terseret dengan pelbagai salahlaku.

Dakwaan bahawa anggota pentadbiran kerajaan negeri Pakatan turut terbabit dengan penyalahgunaan kuasa, korupsi dan amalan pilih kasih tidak boleh diremehkan begitu saja. Tidak semestinya apabila tiada laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka segalanya dianggap beres dan bersih.

Soal integriti mesti dibudayakan dan menjadi prinsip penting. Sesungguhnya banyak amalan yang "salah daripada segi moral dan akhlak" boleh terlepas dengan mudah jika diteropong melalui kacamata undang-undang.

Dalam zaman langit terbuka ini, rakyat mampu membuat penilaian sendiri terhadap setiap dakwaan, sama ada kepada BN mahupun Pakatan. Prestasi Adun dan ahli Parlimen serta sikap sesetengah daripadanya yang mengabaikan kepentingan rakyat,  yang turut dipersoalkan pengundi, juga perlu ditangani dengan serius.

Kolumnis Amin Iskandar merumuskan dalam satu tulisannya: "Jika khianat rakyat, tsunami yang melanda BN  pada Mac 2008 tidak mustahil akan berbalik kepada Pakatan. Yang pasti, rakyat bukan lagi bodoh dan mudah untuk diperkotak-katikkan."

Sekadar beberapa tinjauan rambang di negeri-negeri tertentu, terutama selepas bercakap dengan pemimpin Pakatan akar umbi, khususnya penggerak PAS peringkat kawasan, saya dapati banyak perkara yang dilihat indah dari atas rupanya masih "berserabut" di bawah.
Sesetengah aktivis ini terkepung dengan masalah yang tidak mampu diselesaikan sendirian. Mereka mengharapkan bimbingan pemimpin atasan, terutama melalui lawatan kerja dan program bersama rakyat.

"Ada pemimpin yang memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri seperti tidak mengambil berat soal aktiviti parti. Saya membayangkan jika mereka, yang lebih dikenali rakyat itu, dapat turun ke kawasan-kawasan yang bakal ditandingi PAS. Jadilah seperti Tok Guru Nik Aziz, yang tetap menjelajah ke seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, walaupun semua orang tahu Tok Guru kerap uzur," luahan hati seorang Yang Dipertua PAS Kawasan kepada saya.

"Semasa ramai ghairah mengimpikan penguasaan Putrajaya, saya nak ingatkan bahawa kubu kuat kita sendiri, Kelantan, jika tidak diberi perhatian serius, pun boleh terlepas, atau mengulangi situasi genting seperti selepas pilihan raya 2004," seorang pemimpin peringkat pertengahan PAS memberi amaran.

"Saya setuju pandangan Lutfi, apa pun keadaannya, PAS mesti mempertahankan negeri tradisi kita, khususnya Kelantan, dan juga Kedah. Kalau boleh, kita dapat ambil alih Terengganu semula. Ya, jangan pandang ringan cabaran Umno Kelantan," tegasnya kepada saya, sambil menekankan kerisauannya selama ini, agar PAS tidak dilihat ditolak oleh pengundi Melayu-Islam.

Tidak syak lagi, pertarungan dan perdebatan mengenai isu kontroversial mudah untuk diungguli Pakatan, tetapi bagaimana dengan persiapan dan tipu muslihat "di padang permainan" sebenar?


"Tapi, janganlah semua orang nak bercakap benda yang sama," tegur seorang pengkaji politik. "Misalnya, bila heboh isu NFC semua nak jadi macam Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli ... semua nak ceramah isu lembu. Patutnya, ada penceramah yang hadam masalah tempatan, dan timbulkan problem seharian audien, yang perlu ditangani segera," ujarnya.

Apabila Pengerusi Umno Negeri, Najib Razak kerap melafazkan keyakinannya untuk menawan kembali Selangor-- terbaru di Puchong Perdana, 18 Mac lalu -- mungkin ramai di antara kita melihatnya sebagai satu propaganda BN semata-mata. Saya tidak begitu! Saya cuba membacanya secara tersirat.

Difahamkan, timbalannya, Noh Omar dalam beberapa pertemuan dengan pihak media dan golongan akademik turut meluahkan keyakinan yang sama. Umno yakin Selangor dapat ditawan semula.

"Adakah kerana kerajaan Pakatan sendiri yang bermasalah, wakil rakyat tidak dekati rakyat, faktor Dr Hasan Ali ataupun senarai daftar pemilih?" tanya saya kepada sumber yang dekat dengan Noh.

"Daftar pemilih," jawabnya ringkas. "BN akan lakukan apa saja untuk rebut Selangor. Agensi strategik seperti SPR, JPN dan Majlis Keselamatan Negara sendiri akan digunakan," tambahnya. "Anggota Kabinet pun yakin, selepas mendengar taklimat, bahawa Pakatan boleh dikalahkan di Selangor," sambungnya.

"Tarikh PRU13 tidak akan ditentukan selagi Najib tidak yakin BN dapat menang di Selangor," demikian posting seorang rakan Facebook saya.

Saya kira Harakah dan kolum ini sendiri sering menimbulkan rancangan dan tindakan jahat Umno-BN ini; cuba menyelongkar dan membongkarnya. Namun ia tidak pernah menghalang mereka daripada meneruskan misi yang dirancang rapi itu.

Ya, saya hanya sekadar mengulangi peringatan ... dan melihat daripada perspektif "situasi terburuk" agar seluruh aktivis Pakatan memberikan sepenuh komitmen dan kebijaksanaan bagi menghalang tipu daya BN itu.
Baca Seterusnya......