Saturday, November 29, 2008

Berani Mahathir sahkan Mukhriz tidak rasuah?

Politik wang, "istilah sopan" untuk gejala rasuah dalam pemilihan Umno diakui sudah mencapai tahap paling parah, namun bagi majoriti rakyat Malaysia ia tidak lebih sekadar satu isu basi yang hanya hangat dibincangkan setiap tiga atau empat tahun sekali. Walaupun didedahkan, misalnya hanya untuk menjadi ketua bahagian sahaja ada calon yang menghabiskan puluhan juta ringgit, masyarakat umum tidak lagi terkejut dengan "perangai jelik orang Umno itu".

Malah, ramai yang senyum sinis (menahan muak) mendengar pelbagai penegasan pimpinan tertinggi Umno bagi memerangi politik wang yang sudah mendarah-daging seluruh tubuh parti berkenaan. Terbaru, bakal Presiden Umno, Najib Razak dari Lima, Peru mengakui usaha menangani rasuah dalam Umno tidak mudah dan memakan masa panjang untuk mengatasinya.

"Saya percaya ada beberapa langkah tambahan yang boleh kita lakukan untuk membanteras politik wang dalam politik," tambah Najib selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Apex, 24 Nov lalu. Soalan yang pasti menyusul: Apakah Najib ada kredibiliti untuk bercakap soal korupsi atau salahguna kuasa?

Sewaktu media riuh-rendah dengan lakonan tidak menjadi pemuka-pemuka Umno mengganyang politik wang, para perwakilan, sama ada untuk persidangan penuh, Pemuda, wanita, hatta Puteri, sudah mengira berapa banyak habuan yang bakal diraih. Ada yang membekalkan nombor akaun bank supaya mudah urusan "transaksi" nanti.
Penggiat jentera kempen pula siap menghitung bajet, dengan segala kos operasi, bagi menghadapi "pusingan kedua' yang lebih mendebarkan, selepas "kuda" mereka dapat melepasi kuota pencalonan yang ditetapkan. Ramai petugas sepenuh masa telah dikenal pasti untuk menggerakkan kempen.

Apabila semakin ramai calon yang dapat bertanding, atau membuka ruang membatalkan persetujuan awal peralihan kuasa - seperti dalam kes pertandingan ketua wanita - maka peluang perwakilan untuk mengutip laba kian terbuka.

Harus diingat, mereka yang terpilih sebagai perwakilan bahagian ke persidangan agung pun sudah "banyak melabur" sebelum mendapat status istimewa G7 (selain pemegang utama jawatan di peringkat bahagian yang terpilih secara automatik) yang bakal menjadi buruan calon-calon, menjelang pemilihan Mac 2009.

Ya, bayangkan saja, selepas lebih 20 tahun (percubaan Anwar Ibrahim menentang Ghafar Baba pada November 1993 berakhir dengan kemenangan percuma selepas penyandang, Ghafar hanya mendapat tujuh pencalonan) jawatan timbalan presiden Umno bakal direbut tiga calon yang "tebal poketnya", Muhyiddin Yassin, Mohd Ali Rustam dan Muhammad Muhd Taib.

Hampir semua perwakilan Umno "merindui" kehangatan kempen untuk jawatan berprestij itu, yang "datangnya tidak selalu, mungkin ini kali pertama dan terakhir semasa menjadi perwakilan".

Bagi Pemuda, persaingan antara Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Dr Mohd Khir Toyo pastinya menelan belanja yang cukup tinggi. Malah, saya kira, ia mungkin membabitkan wang paling banyak dalam sejarah pemilihan sayap kanan Umno itu. Jawatan ketua pemuda merupakan posisi strategik untuk mana-mana pemimpin Umno melangkah lebih jauh, di samping dapat membentuk rangkaian pengaruh lebih mantap, seperti pernah ditunjukkan Anwar dan Najib.

Walaupun Dr Mahathir Mohamad adalah tokoh paling lantang mengecam budaya jijik sogokan membeli undi dalam pemilihan Umno, beliau sendiri tentu sukar untuk memberi jaminan bahawa anaknya langsung tidak terbabit dengan gejala buruk itu.

"Saya tak pasti, antara Mukhriz dan Khairy, siapa yang kurang membelanjakan wang dalam kempen nanti," kata seorang aktivis Pemuda Umno, yang mendakwa ketiga-tiga calon ketua pemuda itu sudah terjerumus dalam gaung rasuah. "Masakan Mukhriz mampu mendapat pencalonan paling tinggi ketika Khir Toyo dan Khairy dikatakan mengumpan perwakilan bahagian-bahagian dengan rasuah?" tambahnya.

Rasuah sememangnya jenayah paling sukar dibanteras kerana pelakunya payah untuk dibuktikan. Jarang orang yang menerima rasuah mahu ke hadapan menjadi saksi kerana mereka sudah menerima "nikmat" daripada jenayah itu.

Seolah-olah, dalam jenayah ini, berbeza dengan jenayah bunuh, curi, rompak atau rogol, tiada sesiapa yang terlibat dengannya menjadi mangsa. Perasuah mendapat manfaat dengan undi yang diperolehinya, manakala perwakilan yang menerima rasuah, "seronok-suka" dengan habuan yang diterimanya, walaupun masing-masing menyedari maksud sabda Nabi: "Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan dalam api neraka."

Lebih malang, seperti pernah diungkapkan oleh Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS, kalangan pemimpin politik yang "dilihat menghayati agama pun terlibat dengan rasuah, walaupun mereka begitu menjaga amal ibadat lain, termasuk ibadat sunat".


Sebenarnya, mangsa daripada petaka buruk akibat berleluasanya rasuah dalam pemilihan Umno terlalu ramai. Justeru, seluruh rakyat yang menjadi mangsa aktiviti tidak berakhlak itu perlu bangun menunjukkan bantahan dan protes secara terbuka.


Ia bukan kegiatan eksklusif dalam Umno yang tidak memberi kesan kepada rakyat, seperti didakwa Syed Hamid Albar ketika pemimpin PAS Johor membuat laporan polis terhadap amalan rasuah membabitkan pemilihan Umno Kota Tinggi yang dipimpinnya.


Rakyat yang sedia menderita akibat tekanan kenaikan kos sara hidup terus menanggung keperitan dihimpit jenayah rasuah pemimpin Umno. Dari mana sumber calon-calon yang menghabiskan jutaan ringgit untuk merebut jawatan dalam umno itu, kalau bukan khazanah kekayaan negara, yang sepatutnya diagihkan secara adil dan merata buat rakyat?


Kos projek pembangunan meningkat berkali ganda, demi memenuhkan kantung penguasa dan deretan kroni mereka, yang kemudiannya "dilaburkan" kembali demi mengekalkan jawatan dan kedudukan.


Saya pernah mendedahkan di Harakah, begitu banyak projek yang terpaksa dinaikkan kosnya, hanya untuk mengagihkan "keuntungan atas angin" kepada pelbagai lapis "kontraktor', yang sebahagian besarnya adalah pemimpin Umno peringkat bahagian.
Masih saya ingat, ada projek menaikkan taraf sekolah, membabitkan kos RM200,000 setiap satu, untuk ratusan sekolah di seluruh negara, yang dibuat menjelang pilihan raya umum. Kontraktor hanya dibayar RM70,000 (35 peratus), manakala wang selebihnya RM130,000 dibahagi-bahagikan kepada "hantu-hantu politik". Angka 65 peratus untuk rasuah daripada kos projek itu adalah terlalu besar untuk ditampung oleh wang rakyat!
Itu secebis contoh kecil. Usah dikira projek berbilion ringgit yang dianugerahkan secara rundingan terus, dengan persen tertentu ditetapkan kepada Umno, dan diserahkan secara tunai di Putrajaya!


Hairan juga, Mahathir tidak pernah bersuara tentang gejala rasuah untuk membeli undi dalam setiap kali pilihan raya umum, bagi memenangkan BN sekali gus mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiganya, yang menghanguskan wang rakyat dalam jumlah yang cukup besar dan menggerunkan! Korupsi itu bukan hanya membabitkan wang yang banyak, tetapi juga salahguna kuasa "kerajaan sementara" dan penyelewengan-penipuan SPR yang tiada taranya.


Apa pun, saya mendoakan agar peringatan Mahathir di bawah ini akan menjadi kenyataan, apabila rakyat, dalam pilihan raya akan datang, bersatu hati menolak parti dan calon pilihan raya yang rasuah: "Sesungguhnya kesan daripada tingkah laku calon-calon untuk jawatan dalam Umno dan juga ahli-ahli Umno yang tamak dan begitu bersedia untuk disogok sudah menjadikan Umno sebuah pertubuhan yang dipandang hina dan dibenci oleh rakyat samada Melayu, Cina atau India.


"Dengan mengetahui Umno terdiri dan dipimpin oleh perasuah, dengan anggapan bahawa siapa sahaja yang menjadi calon Umno dalam pilihan raya umum ke-13 akan terdiri daripada orang yang telah dicalonkan kerana rasuah, dipilih oleh pemimpin perasuah dari parti yang secara terbuka mengamal rasuah, apakah pengundi akan rela beri undi mereka kepada calon-calon Umno? Saya fikir tidak." _

No comments: