Monday, November 10, 2008

Memperbaharui semangat demokrasi kota Greek lama

Amalan demokrasi di Athens, bermula pada kurun kelima sebelum masihi, merupakan pembabitan langsung semua lelaki dewasa berumur 20 tahun ke atas.

Mereka terbabit dalam Perhimpunan Rakyat yang bersidang 10 kali setahun. Selaras dengan pertambahan penduduk, kerencaman latar belakang dan perbezaan tahap ekonomi, ia kemudian dikembangkan kepada demokrasi berperwakilan apabila rakyat memilih wakil mereka untuk menggubal undang-undang dan menjalankan pemerintahan.

Walaupun sudah dilantik wakil rakyat, melalui proses pemilihan yang sepatutnya adil dan bebas, seterusnya menubuhkan kerajaan, tanggungjawab mentadbir dan menentukan hala tuju negara tidak seharusnya ditinggalkan kepada ahli-ahli politik sahaja.

Prinsip asas demokrasi sebagai pemerintahan rakyat mesti dikekalkan, dengan cuba melibatkan seramai mungkin anggota masyarakat, tentunya tidak bermula dan berakhir dengan pilihan raya semata-mata.
Selain memastikan pilihan raya dijalankan secara bebas, bermula dengan senarai daftar pemilih yang bersih, kebebasan bersuara yang terjamin, perjalanan kempen yang benar-benar demokratik, penjumlahan undi yang telus, rakyat tidak sewajarnya disekat - malah dirangsang - daripada terus memberi pandangan dan kritikan terhadap kerajaan.

Ruang diskusi awam harus diperbesarkan, pastinya dengan memansuhkan semua akta drakonian, misalnya ISA, sehingga jiwa takut untuk memberi pandangan berbeza dapat dilenyapkan.
Amat rugi, seperti yang berlaku di negara ini, apabila kita tidak berpeluang berkongsi idea untuk membangunkan negara dengan seramai mungkin warganya, khususnya golongan intelektual.
Kelompok terpelajar yang bertambah berkali ganda jumlahnya terperosok begitu sahaja di menara gading, diikat dengan pelbagai peraturan yang mengongkong, sedangkan jika ilmu dan penemuan mereka dapat dimanfaatkan, rasanya banyak masalah dan konflik yang membelit negara dapat dirongkai.

Bukan sedikit wang rakyat yang dibelanjakan untuk melatih tenaga akademik sehingga mereka menjadi pakar sesuatu bidang.

Kemahiran berharga itu sepatutnya dapat dinikmati bersama, terutama melalui saluran yang mudah dan cepat, misalnya menerusi media massa.

Sayang sekali apabila kajian yang menelan kos tinggi itu seringkali tidak dibenarkan untuk siaran akhbar jika dikira memberi kesan negatif kepada pemerintah.

Semuanya harus mendapat perkenan naib canselor terlebih dahulu. Mana-mana hebahan tanpa restu boleh mengundang tindakan tatatertib dan surat tunjuk sebab.

Dalam masa 20 tahun, jumlah universiti tempatan meningkat lima kali ganda. Pelbagai disiplin ilmu diajar. Kelas menengah membesar. Dunia berubah pantas seiring fenomenaglobalisasi.

Namun para pensyarah kita tetap dihantui mentaliti hamba, manakala anak-anak mahasiswa dikapit budaya takut tanpa sebab. Sikap individualistik membarah. Rasa peduli luntur.

Mereka mungkin memberontak dalam diam tapi sukar mengungkapkannya sebagai seorang ilmuan. Amarah itu mungkin diluahkan dalam peti undi, yang boleh menumbangkan sesebuah kerajaan, tetapi penyertaan aktif untuk membina negara sukar dilangsungkan.

Malangnya, tiada petanda akan muncul kebangkitan radikal untuk memecahkan kebuntuan ini. Masing-masing mengelak untuk bertembung risiko.

Ya, memang sukar mencari jiwa pemberani di kalangan pensyarah. Kalau ada pun, ia mudah dipatahkan kerana kewujudannya terpencar dan terserak-serak.

Bertambah buruk apabila semakin ramai pentadbir kampus, terutama naib canselor dan timbalan-timbalannya, yang berlumba-lumba menjadi pengampu elit penguasa. Tanpa diperintah mereka bersedia menjadi hamba demi mengejar daki dunia.

Dunia akademia perlu dibebaskan segera. Penghuninya harus sedar akan kerugian yang ditanggung rakyat akibat pemenjaraan mereka itu. Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang lebih baik untuk didiami setiap warganya, jika urusan pemerintahannya tidak diserahkan kepada sekelompok kecil mereka yang terbukti rakus dan tamak. Sepatutnya semakin ramai terbabit "memperelokkan negara" ini.

Semangat demokrasi Athens 25 kurun lalu sebenarnya boleh dijelmakan kembali. Perkembangan pesat teknologi maklumat terutama kemudahan internet dapat membantu untuk semua kita berpartisipasi secara langsung bagi mewujudkan Malaysia yang lebih damai dan berkat.

Tenaga akademik kita harus memulakannya. Dan saya kira teman lama saya, Prof Zaini Ujang, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia yang baru, boleh mempeloporinya! - mks._

No comments: